Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku tetap Sayang_prolog


8 tahun lalu…
“Along, mana ayah ni?” Soalan yang entah ke berapa kali terpacul di bibir Idris sejak tadi bila bayang ayahnya langsung tak muncul-muncul. Bila-bila masa saja pembedahan akan dijalankan seperti mana permintaan ummi tanpa perlu menunggu kehadiran ayah.
“Along tak tahu, Id. Dah banyak kali Along call ayah, tapi langsung tak dapat-dapat dari tadi.” jawab Azhan dengan riak resah yang tak terungkap. Ini pembedahan penting umminya. Dan sewajarnya ayah ada sama.
“Mana ayah pergi ni? Bukan dia tak tahu ummi operation hari ni.” keluh Idris lagi.
Azhan lepas hela panjang. Telefon di tangannya langsung tak dilepaskan. Kalau dibilang, mungkin hampir seratus kali dia cuba menghubungi ayahnya tapi tak ada satu pun yang berjaya disambungkan. Sungguh dia buntu meskipun umminya dah berpesan tak perlu risaukan ayah. Tapi baginya, hari itu merupakan hari penting ummi dan ayah wajib ada sama.
“Han.”
Kepala diangkat.
“Auntie.” Azhan segera dapatkan Laila. Jururawat yang bertugas menjaga umminya sepanjang berada di hospital dan juga pembedahan yang bakal berlangsung sebentar nanti.
“Mana ayah Han? Tak sampai lagi?”
“Tak tahulah Auntie. Han dah call ayah banyak kali. Tapi tak dapat. Auntie ada cuba call Uncle tak?” Azhan tahu Abdul Halim rakan baik ayahnya sejak dulu lagi.
“Tak dapatlah, Han. Auntie pun tak tahu Uncle pergi mana.” jawab Laila turut sama risau. Padahal awal-awal lagi dia sudah maklumkan kepada suaminya akan pembedahan penting hari itu.
Azhan lepas keluh resah.
“Han janganlah risau. Insya-Allah ummi takde apa-apa. Han doa banyak-banyak supaya semua jalan lancar. Auntie nak masuk dalam. Apa-apa hal nanti, Auntie bagi tahu.” Laila tepuk beberapa kali lengan anak muda yang dah dianggap seperti anak kandungnya sendiri itu sebelum terus beredar.
Azhan kembali henyakkan punggung di kerusi ruang menunggu itu dengan pelbagai rasa dalam hati. Kecewa, sedih dan marah bercampur-baur di dalam hati.
“Kalau apa-apa jadi pada ummi, Along takkan maafkan ayah…” gumamnya perlahan dengan pelupuk mata yang hangat.
“Along…”
Idris datang mendekat dan memaut bahu abangnya erat. Tinggal dia dua beradik di situ menanti umminya selesai dibedah untuk membuang kedua-dua mahkota yang amat bernilai pada seorang wanita demi nyawa yang tiada galang gantinya.
…………..
“Along…”
Azhan angkat kepala. Dipandang ke arah Idris yang baru keluar dari bilik khas yang menempatkan umminya sebaik selesai pembedahan sebelum mata dihalakan ke arah yang ditunjukkan adiknya itu. Laju dia bingkas dari kerusi ruang menunggu itu sebaik melihat dua susuk tubuh yang datang mendekat sambil berpegangan tangan.
“Ayah…” Perlahan. Hampir tak kedengaran. Bibir bergetar. Tak berkelip matanya memandang pasangan yang berdiri di depannya kini. Ayah dengan seorang wanita yang cukup dia kenal. “Auntie Imah.” Sama perlahan bila mata terhala ke arah jemari yang merah berinai dalam genggaman tangan ayahnya.
“Han…” Haji Ibrahim cuba capai tangan Azhan tapi si anak melangkah setapak ke belakang. Bergenang air mata lelakinya kala itu.
“Han dengar dulu apa yang ayah nak cakap ni, Han…” ujar Haji Ibrahim yang mula gusar bila tengok reaksi Azhan. Tidak seperti Idris yang lebih tenang biar pun langsung tak bersuara menegurnya.
Azhan geleng perlahan. Senyum sinisnya terlakar.
“Sebab ni ayah lambat datang? Sebab ni ayah tak dapat nak sama-sama tunggu ummi operation pagi tadi? Sebab ni ke ayah?” soalnya dengan suara yang bergetar.
“Han…”
Azhan geleng lagi.
“Ni ke ayah yang Han kenal selama ni?” tambahnya dengan penuh rasa kecewa dan marah. Bukan niat hatinya mahu bersikap biadab. Tapi dengan apa yang terpampang di depan mata, dia dah cukup dewasa untuk faham semuanya.
“Han dengar dulu apa yang ayah nak cakap.” Haji Ibrahim tetap cuba menerangkan hal sebenar.
“Tak payah! Ayah tak payah cakap apa-apa! Han dah faham semuanya!” Azhan lempar renung tajam pada wanita di sisi ayahnya. “Sampai hati ayah buat ummi macam ni…” luahnya tertahan.
“Han, dengar dulu apa yang ayah nak cakap Han.” Hakimah mencelah.
“Diam! Kau takde hak nak masuk campur urusan keluarga aku!” bentak Azhan kasar.
“Azhan!” Haji Ibrahim meningkah. Tembok kesabaran mula tergores dek kedinginan si anak.
Azhan tujah renung tajam. Rahang diketap kuat.
“Han tak sangka… Orang yang paling Han percaya, yang paling Han hormat, sanggup buat ummi macam ni.” Dipandang kedua-duanya bersilih ganti. “Dan kau… memang perempuan tak tahu malu!”
Pang!
“Jangan jadi anak kurang ajar Azhan!” Naik satu tangga suara Haji Ibrahim hingga bergema ruang menunggu itu.
Azhan usap pipi kiri yang terasa perit. Tumpah air mata lelakinya di situ.
“Ayah yang buat Han jadi kurang ajar macam ni! Dalam diam ayah duakan ummi.  Dengan perempuan yang paling ummi percaya pulak tu. Dan paling teruk bila ayah kahwin masa ummi bertarung nyawa hari ni! Tahniah ayah! Han takkan lupa apa yang ayah dah buat hari ni. Lepas ni, ayah jangan sesekali harap Han akan terima perempuan ni dalam keluarga kita. Jangan harap!” luah Azhan perlahan sebelum terus berlalu meninggalkan ruang menunggu itu. Panggilan Idris langsung dah tak dihiraukan.

No comments: