Dec 1, 2016

Aku yang dulu bukan yang sekarang_part 3


Part 3

Mata tenung hujung selipar yang dipakai. Dikuis-kuis anak batu yang ada demi membuang rasa debar entah apa-apa sejak lelaki itu muncul hinggakan hampir 10 minit sepi mengisi ruang antara mereka. Sepi di bawah pohon jambu yang jadi saksi pertemuan terakhir mereka 15 tahun lalu. Dan hari ini, takdir kembali menemukan mereka.

"Neyl..." Ghaz hala pandang. Hela dilepaskan perlahan. Sejak tadi dia gagal susun kata sedangkan sebelum bertolak semalam, begitu banyak yang mahu dimuntahkan. Ini semua disebabkan sekeping gambar lama yang terjatuh daripada susunan buku lama yang dijumpai minggu lepas. Membuak rasa ingin kembali semula ke kampung daddynya itu meskipun atuk dan neneknya sudah lama meninggal dunia.

Di situlah dia sering bermain setiap kali pulang ke kampung. Neylia satu-satunya teman yang dia kenal.

"Betulkan panggilan nama saya tu. Nura. Awak boleh panggil saya Nura." balas Nura tegas tanpa berpaling.

"Saya selesa dengan Neylia. Neyl. Macam dulu-dulu. Awak panggil saya Ghaz."

Nura geleng. Senyum nipis dilempar. Nama panggilan yang dah tak bagi apa-apa makna padanya sejak lelaki itu tidak lagi pulang ke kampung.

"Panggil Nura cukup. Saya tak biasa orang panggil Neyl atau Neylia." Dia tetap bertegas.

"Tapi saya tetap nak panggil awak Neylia." Ghazali sama tegas.

Nura lempar renung tajam di wajah yang jauh berubah dan lebih matang di sebelahnya ini. Sangat berbeza malah membuatkan hati wanitanya gagal menyusun rentak. Habis pincang semuanya. Nafas dihela perlahan seraya membuang pandang ke tengah halaman yang kosong.

"Kenapa awak balik lagi ke sini? Apa yang awak cari lagi dekat kampung ni? Awak dah bahagia duduk dekat bandar tu kan?" luahnya tak berselindung.

"Neylia..."

Nura ketap bibir. Terasa menyirap darahnya setiap kali nama keduanya meniti bibir lelaki itu. Memang dasar tak faham bahasa! Sakit hatinya.

"Saya rindu awak Neyl." ucap Ghazali tulus.

"Rindu? Awak rindu saya?" Nura lempar senyum cukup sinis. "Awak jangan nak merepeklah Doktor Ghazali Al-Falah!" tekannya geram. Status yang dimiliki lelaki itu kini membuatkan dia dah buang jauh kenangan lalu. Kenangan yang pernah ada di antara mereka meskipun hanya setebal buku 555. Kenangan yang dirasakan langsung tak bermakna buat lelaki itu.

"Neyl, tolong dengar dulu apa yang saya nak cakap." pujuk Ghazali bila dapat rasa Nura Neylia di depannya ini bukan lagi Nura Neylia yang dia kenal dulu. Nampak lembut tapi ada ketegasan yang tersembunyi.

"Saya rasa, takde apa yang saya perlu dengar." Nura dah bingkas dari pangkin kayu yang diduduki.

"Ada! Awak kena dengar dulu apa yang saya nak cakap!" tingkah Ghazali turut bingkas.

Nura lempar renung tajam. Ghazali turut balas renung yang sama sebelum akhirnya Nura mengalah. Dibuang pandang ke arah lain.

"Tolong jangan datang sini lagi, Ghaz. Saya rasa dah takde apa yang ada untuk awak dalam kampung ni." ucapnya perlahan.

"Siapa kata takde? Saya dah tinggalkan hati saya dekat sini dari dulu lagi." jawab Ghazali yakin. Tapi sekali lagi Nura hadiahkan senyum sinis.

"Awak boleh cakap apa yang awak nak. Tapi saya tetap tak nak dengar apa-apa pun dari awak lagi. Antara kita dah takde apa-apa!" Nura buka langkah untuk naik ke rumah.

"Sejak bila kita ada apa-apa?" Kata-kata Ghazali membuatkan langkah Nura terhenti di anak tangga pertama. Bibir diketap kuat sebelum kembali berpaling.

"Kenapa? Tak betul apa yang saya cakap? Awak dengan saya tak pernah ada apa-apa. Tapi kenapa awak marah-marah saya macam ni?" sambung Ghazali berani.

"Betullah tu. Antara kita memang tak pernah ada apa-apa. Saya tak pernah kenal awak. Saya rasa awak boleh balik sekarang ni. Takde apa-apa dekat sini untuk awak." Langkah kembali dibuka dengan pandangan yang mula berkaca-kaca.

"Neylia!" Disambar lengan Nura pantas.

"Apa lagi yang awak nak?" bentak Nura tertahan seraya rentap kembali lengannya.

"Saya mintak maaf.."

Nura tarik senyum tepi.

"Awak ada buat salah pada saya ke?" balasnya cukup sinis.

Ghazali lurut rambut dengan rengus yang terlepas. Terasa kata-katanya tadi dipulangkan semula.

"Baliklah Ghaz. Tempat awak bukan dekat sini." sambung Nura sebelum terus hilang ke atas rumah.

Ghazali cuba memanggil tapi bayang Nura langsung tak kembali. Hela panjang dilepaskan. Akal memutar kembali apa yang berlaku hampir 20 tahun lalu. Mengenang kembali janji yang pernah dibuat.

"Awak, saya janji! Nanti saya selalu ajak mummy dengan daddy balik kampung kalau ada cuti sekolah."

"Awak janji?"

"Saya janji! Kalau saya dah jumpa kawan baru dekat sekolah baru nanti saya takkan lupakan awak, Awakkan kawan baik saya. Saya takkan lupa sampai bila-bila. Saya sayang awak, Neyl."

Jari kelingking berkait. Janji terpatri. Senyum manis terhias bibir masing-masing. Pangkin buruk itulah yang dah menjadi saksi atas segala-galanya.

Nov 30, 2016

Aku yang dulu bukan yang sekarang_part 2


"Ghaz cuti sekejap je nek. Mummy pun tak tahu Ghaz balik sini."

"Oh yeke. Semalam nenek nampak masa Ghaz turun dari kereta. Ingatkan balik dengan semua."

"Takde nek. Mummy dengan daddy pergi Lumut. Bawak adik-adik sekali. Ghaz tinggal sorang dekat rumah. Bosan, tu yang saja balik jumpa Maklong. Maklong pun tak sihat Ghaz tengok." balas Ghazali yang sesekali curi pandang ke arah tingkap kayu yang ternganga. Tercari-cari bayang gadis berkurung biru tadi.

"Apa yang dicari tu Ghaz?"

Ghazali sengih kelat. Tangan garu belakang kepala yang tak gatal.

"Erm... Yang Ghaz nampak tadi tu, Neylia ye nek?"

Nenek Miah simpul senyum. Ghazali yang dia kenal dari kecil dulu langsung tak berubah. Masih sama. Tak malu berterus-terang.

"Neylia la tu." jawabnya ringkas.

"Serius tu Neylia?" mata Ghazali dah membesar.

"Yelah. Nura Neylia. Tapi sekarang, orang dah tak panggil dia Neylia. Dia tak suka. Nenek panggil Nura." jelas Nenek Miah sambil menanggalkan sarung tangan yang dah kotor. "Jom kita naik dulu Ghaz. Nanti nenek panggilkan Nura buat air. Dah lama sangat Ghaz tak datang rumah nenek ni sejak masuk sekolah asrama dulu."

Ghazali tak menolak. Sebaliknya senang hati menuruti langkah Nenek Miah memanjat tangga.

Tak sampai 5 minit duduk, bayang gadis berkurung biru tadi muncul dengan satu jag air laici. Ghazali langsung tak lepas pandang hingga membuatkan Nura serba tak kena. Langsung dia tak berani angkat muka sebaik meletakkan dulang. Dia ingin segera beredar dari situ namun terhalang bila nenek menyeru namanya. Lambat-lambat dia kembali berpusing sebelum terus labuhkan duduk di sebelah Nenek Miah. Habis hilang segala rentak di dalam dadanya.

Aku yang dulu bukan yang sekarang_short_part 1




Benang-benang berbolot pada mesin jahit uzur arwah Onyang Limah ditarik dengan keluh terlepas.

"Haihh... Time time macam ni la kau nak rosak." rungut Nura tak puas hati.

"Orang tak baca bismillah, mana mesin tu tak merajuk." sahut Nenek Miah dari luar. Nura tarik muncung. "Kalau tadi Nura jahit tangan, mesti dah siap. Nak juga pakai mesin yang ada angin kus-kus tu." tambah Nenek Miah lagi.

"Semalam nenek guna elok aje Nura tengok."

"Itu semalam. Angin dia baik. Hari ni angin dia tak baik. Sebab tu dari tadi dia meragam dengan Nura."

"Haih..." Nura tarik seluar track bottom yang koyak tersangkut dek paku karat di sekolah.

"Pergi ajelah beli baru. Bukannya mahal sangat." ujar Nenek Miah lagi.

"Ala... Nura baru pakai sekali seluar ni. Membazir aje nak beli baru nek.."

"Tak payahla nak kedekut sangat. Duit tu simpan banyak-banyak pun bukan boleh dibawak mati."

Nura lepas keluh panjang. Give up!

"Nak pergi kursus tu bila?" tanya Nenek Miah yang leka menukar pasu bunga-bunga orkidnya.

"Esok nek. Tak sempat dah nak beli baru." jawab Nura di muka tingkap kayu mengadap pondok bunga orkid neneknya. Mata terhala ke arah bunga-bunga orkid yang sedang galak berbunga sebelum terarah ke jalan. Ada susuk tubuh yang tak dikenali membonceng motosikal cukup perlahan sambil turut hala pandang ke arahnya sekilas sebelum menghilang di hujung jalan.

"Apa yang ditenung anak bujang orang sampai macam tu sekali?" tegur Nenek Miah yang turut perasan akan anak muda yang baru melewati laman rumahnya.

"Siapa tu nek?" Nura tanya penuh minat.

"Ghaz."

"Ghaz? Ghaz mana?"

Dalam masa yang sama lelaki tadi kembali melewati halaman. Namun kali ini terus memberhentikan motor di sebelah pondok orkid Nenek Miah.

Nov 19, 2016

Pembelian DAMBAAN BAHAGIA KINI DIBUKA

Assalamualaikum

Pembelian ebook DAMBAAN BAHAGIA kini dibuka dengan harga RM 10. Setiap pembelian akan didatangkan bersama ebook edisi khas JANJI KITA BAHAGIA.

Yang berminat boleh pm facebook, whatsapp di 0126385574 atau emel kepada arshanew@yahoo.com untuk details pembayaran.


Nov 11, 2016

Dmbaan Bahagia_bab 6_edited version

DB 6
“Tiya..”
Langkah Fathiyah terhenti. Dia menoleh dengan wajah tak berperasaan.
“Minggu ni balik rumah?” Tanya Zainab yang cuba mencorakkan senyum manis buat si bongsunya itu.
“Tak tahu lagi bu. Minggu depan Tiya dah nak exam.” Jawab Fathiyah sambil memandang ke arah keluarga Shah yang beransur pulang sebaik sebutan semula kes mereka selesai tadi.
“Tiya dah lama tak balik rumah.” Kedengaran sedikit kecewa suara Zainab menuturkannya.
Sejak peristiwa sebulan lalu, anak bongsunya itu tidak lagi pulang ke rumah. Lebih banyak menghabiskan masa di kampus. Puas dia memujuk, namun pelbagai alasan yang diberi.
“Tiya sibuk sekarang bu.” Dia masih lagi mencipta alasan. Mengelak untuk pulang ke rumah dan bertemu dengan abang-abangnya. Hatinya tawar dengan apa yang jadi.
“Takpelah.. Nanti senang-senang, Tiya bagi tahu Angah. Nanti dia boleh datang ambik Tiya.” Zinab mengalah. Tak mahu lagi memaksa.
“Iyelah..” Acuh tak acuh dia membalas. Sememangnya rajuknya masih tak terbujuk.
“Buat apa ajak orang tak sudi bu…”
Muncul Amir bersama lelaki yang menjadi punca dia menjejakkan kaki ke sini.
“Tak payahlah nak sindir-sindir orang!” Jeling tajam dihadiahkan sebelum mata tercari-cari sebuah kereta yang menghantarnya ke situ awal pagi tadi.
 “Sudahlah tu.. Jomlah kita balik.” Zainab mencelah kerana tak mahu ada pertengkaran di situ. “Angah dengan ibu hantar Tiya ye?” Sambungnya apabila perasan ketiadaan kereta yang menghantar anaknya ke situ tadi.
“Takpelah bu.. Tiya tunggu kawan Tiya. Tadi dia dah janji nak ambik Tiya.” Balas Fathiyah sambil mengeluarkan telefonnya. Shah yang turut sama ada di situ langsung tak dihiraukan.
“Ikut Tiyalah. Ibu dah nak balik ni. Tiya jaga diri baik-baik.”
Fathiyah terus hulurkan tangan sebelum tubuh ibunya dipeluk erat. Sungguh dia begitu merindui wanita itu. Namun hanya kerana dia masih berjauh hati akan keputusan yang terpaksa dituruti, rasa rindunya hanya mampu dipendam. “Ibu jaga diri baik-baik. Tiya sayang ibu.” Dikucup wajah yang mula keruh itu penuh kasih.
Zainab cuba memaniskan wajah sebelum dia turut menghadiahkan kucupan yang sama.
“Angah?” Amir sudah menghulurkan pipinya. Cuba bergurau.
“Tak payah nak sibuklah!” Dingin Fathiyah menjawab. Tangan lelaki itu juga disambut dingin. Tidak seperti selalu.
“Iyelah… Sebelum ni elok aje cium Angah. Tak suruh pun dia cium..” Amir cuba mengusik.
Fathiyah cebik.
“Sudahlah tu..” Zainab menarik lengan anak keduanya agar beredar. Tak mahu lagi berlamaan di situ.
“Shah, kau pun nak balik kampus kan?” Amir pandang ke wajah sahabatnya yang sejak tadi hanya diam memerhati.
“Haah. Kenapa?”
“Tiya, kalau kawan Tiya tu tak ambik, tumpang aje Shah.” Arah Amir saat mereka beriringan ke tempat kereta.
“Angah nak Tiya kena tangkap basah lagi ke?” Selamba dia menyindir.
“Hesy! Takdenya siang-siang hari orang nak tangkap.” Sahut Zainab sedikit kurang senang. Dia tak nak keadaan makin tegang.
“Entah Tiya ni…” Tambah Amir.
Fathiyah tarik senyum sinis.
“Malang tak berbau. Sampaikan orang yang tak bersalah pun dipaksa mengaku salah.” Sindirnya sakit hati.
“Sudahlah tu! Jom kita balik Amir.” Zainab menyampuk. Mahu menamatkan terus perbualan yang bakal mencetuskan perbalahan.
Amir cuma mampu tahan hati. Shah kekal tenang walaupun sedar akan sindiran tajam yang meniti bibir Fathiyah.
“Tiya jaga diri baik-baik.” Sempat Zainab berpesan sebelum dia masuk ke dalam kereta.
“Insya-Allah bu selagi Tiya tak jumpa dengan orang yang salah.” Kata-katanya tetap berbaur sindiran.
Zainab geleng perlahan.
“Sabar ajelah bro. Budak tengah hot.” ucap Amer penuh makna buat Shah sebelum dia masuk ke ruang pemandu.
Shah lempar senyum tawar.
“Er.. lama lagi ke kawan kau sampai?” Soalnya sebaik kelibat kereta Amir hilang dari pandangan.
Fathiyah tak menjawab. Sebaliknya dia terus beredar. Mahu menanti di tepi pintu pagar.
“Tiya!”
“Lepaslah!” Fathiyah menepis kasar tangan Shah yang cuba menarik lengannya. “Kau nak apa lagi?” Marahnya tak tertahan. Wajah tenang lelaki itu ditenung tajam.
Shah hela nafas. Fathiyah lepas rengus. Wajah dipalingkan.
“Sementara tunggu kawan kau, boleh tak kita cakap sekejap?”
“Kau nak cakap apa lagi?” Dingin.
“Tiya… Aku tak nak kita terus macam ni…” ucap Shah penuh mengharap.
Diam.
“Tiya… Please!
“Kau nak cakap apa lagi?” sergah Fathiyah mula rimas.
“Aku tahu aku dah banyak buat salah dengan kau. Dengan family kau… Aku mintak maaf banyak-banyak, Tiya..” ucap Shah sepenuh hati.
Fathiyah tarik senyum sinis. Tiada hati mahu menambah.
“Kalau boleh, aku nak kita terus berkawan. Kawan macam dulu. Sebelum kita…”
“Kawan macam dulu kau kata? Kau ingat tak macam mana kita kawan dulu?” Laju Fathiyah memintas.
Shah angguk perlahan. Betapa bahagia dan senang hatinya saat bersahabat dengan gadis itu dahulu. Hari-hari yang mendatang penuh ceria.
“Kau tak rasa apa yang aku rasa Shah. Kau tak duduk dekat tempat aku. Orang yang aku sayang tiba-tiba nak batalkan pertunangan atas alasan tak sedia. Alasan tak sedia tahu tak Shah? T-A-K S-E-D-I-A!” Sengaja dia menyebut lambat-lambat dua perkataan yang terakhir. “Lagi seminggu nak bertunang, tiba-tiba datang jumpa aku, dia cakap tak sedia? Kau tak rasa pelik ke Shah? Sebab dia yang beria-ia sangat nak kita orang bertunang, lepas tu dia jugak yang batalkan. Kau rasa, patut ke aku setia dengan orang yang tak tetap pendirian macam tu? Patut ke, aku berbaik-baik dengan dia lagi?” Sambung Fathiyah cukup sinis. Air mata yang mula bertakung cuba ditahan dari tumpah.
“Tiya… Aku tahu kau boleh dapat lelaki yang lagi baik dari aku Tiya. Cuma aku..” Shah mematikan kata apabila Fathiyah menggawangkan tapak tangan di hadapan wajahnya agar dia berhenti.
“Kau sendiri cakap yang aku boleh dapat lelaki yang lagi baik kan?” Fathiyah merenung tajam wajah keruh di hadapannya itu. “Habis tu, buat apa lagi kau nak kita berkawan? Sebab senang kau nak sakitkan hati aku lagi? Tak cukup ke, apa yang kau dah buat sekarang ni Shah.. Maruah aku, maruah family aku macam tak bermakna langsung pada kau kan? Aku kena paksa mengaku benda yang aku tak pernah buat. Kau ingat aku perempuan apa? Perempuan murahan? Macam tu ke Shah?” Lirih dia meluahkan dengan dada yang sedikit berombak. Menahan pelbagai rasa yang bergumpal.
“Tiya… I’m really sorry sayang…” Shah tetap cuba memujuk.
Fathiyah geleng.
“Kalau kau sayang aku, kenapa kau buat aku macam ni? Sampai hati kau Shah…” Tidak mampu lagi menahan, air matanya sudah laju menuruni pipi.
“Tiya… Aku tak mintak semua ni jadi pada kita. Sumpah! I really love you! Tapi keadaan tak mengizinkan kita bersama, Tiya… Aku tak layak untuk kau… Ada lelaki lain yang lagi sesuai, lagi baik, yang boleh cintakan kau lebih dari aku. Cuma aku… Aku tak sanggup kau pergi jauh dari aku selagi kau belum jadi milik orang lain. Kalau boleh… Aku nak pastikan kau jumpa dengan orang yang betul-betul boleh jaga, boleh sayang kau lebih dari aku sayang kau selama ni. Please Tiya…” Sepenuh hati Shah merayu walaupun sebenarnya kata-kata itu memakan dirinya sendiri.
Fathiyah menggeleng lagi. Air mata yang mengalir diseka kasar.
“Aku tak faham Shah. Aku tak faham apa yang kau cakap. Kau sayang aku tapi kau tak boleh bersama dengan aku? Kau suruh aku cari lelaki lain tapi kau still nak berbaik dengan aku.. Apa semua ni?” Dia cukup keliru.
“Kau tak perlu faham Tiya. Cukup kau faham yang aku tak nak kau jauh dari aku selagi kau belum lagi jadi hak milik orang lain.” Dia bertegas.
Fathiyah tarik senyum tepi.
“Aku tak perlu faham? Baik. Selagi aku belum jadi hak milik orang lain, selagi tu kau akan ada dalam hidup aku kan? Takpe… Aku akan pastikan kau jauh dari hidup aku secepat mungkin Shah.” Air mata yang masih bersisa tidak lagi diendahkan. Hati mula menanam tekad.
“Fathiyah…”
Muncul seorang lelaki muda dari dalam sebuah kereta yang berhenti tidak jauh dari mereka.
“Tiya…” Shah cuba menghalang bila Fathiya mula melangkah untuk mendapatkan lelaki yang baru saja tiba.
“Aku boleh jadi kawan kau, macam dulu Shah. Aku akan layan kau macam mana aku layan kau dulu sampai aku jumpa orang betul-betul boleh sayangkan aku. Tapi sekarang ni, kau tolong lepaskan tangan aku. Aku nak balik. Kejap lagi aku ada kelas.” pinta Fathiyah dengan suara tertahan. Tidak lagi sekasar dan sedingin tadi. Itu buat permulaan ikatan ‘persahabatan’ yang akan terjalin semula.
Thanks sebab sudi nak jadi kawan aku macam dulu lagi..” balas Shah walaupun terasa payah. Keputusan yang sudah dibuat kini terasa mula memakan dirinya sendiri. Adakah dia mampu melihat orang yang disayangi bahagia dengan orang lain sedangkan hatinya terus hancur berkecai?
Tanpa menanti lama, Fathiyah terus berlalu membawa hati yang cukup pilu. Keputusan yang dibuat demi memuaskan hati yang terluka. Biar lukanya kian parah agar tidak terubat lagi.
******
“Tadi macam mana? Okey?” Soal Anuar sebaik menyambut tuala yang dihulurkan. Wajah tidak ceria sahabatnya itu dipandang.
“Okey aje.” Ringkas dan tidak bersemangat Shah jawab. Wajah ditalakan ke arah sahabat-sahabatnya yang sedang giat berlatih di tengah padang. Sudah lama dia tidak menyertai mereka walaupun tempoh rehat yang diberi hampir tiba ke penghujung. Buat sementara waktu, dia tekad untuk berhenti dan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.
“Kau kalau ada apa-apa nak aku tolong, kau bagi tahu aje. Jangan simpan sendiri bro. Insya-Allah, apa yang aku boleh tolong, aku cuba tolong.” Anuar serba salah. Sewajarnya dia menemani sahabatnya itu ke mahkamah pagi tadi. Namun, lelaki itu yang melarangnya.
“Takde apalah. Semua dah nak settle.” Masih dalam nada yang sama namun kali ini ada keluhan berat yang terlepas dari bibir Shah.
“Kalau dah nak settle, yang muka kau macam orang kena paksa nikah kenapa? Kau kena paksa nikah dengan Tiya ke?” Anuar cuba berseloroh. Tak mahu sahabatnya itu berterusan murung begitu.
Shah lepas sengih. Namun hanya seketika bila wajah sendu gadis yang disayangi terbayang di ruang mata.
“Dia dah boleh terima aku.” Ayat itu yang meluncur di bibirnya.
Anuar yang sedang meneguk air terus tersedak. Terbatuk-batuk dia menahan perit apabila air yang diminum keluar dari rongga hidung.
“Kau kalau nak buat lawak, tunggulah aku habis minum.” Marahnya sambil terbatuk-batuk.
Shah sengih lagi sambil menggosok perlahan belakang tubuh Anuar yang masih terbatuk-batuk.
Sorrylah bro. Punch line aku kelakar sangat.” Terlepas tawa kecil di bibirnya.
Hotak kau punch line! Tu mintak penampar namanya.” Anuar geram kerana Shah masih mahu bergurau.
“Alah kau ni.. Nak gurau sikit pun tak boleh. Kata rindu nak jumpa aku tadi..” Shah memujuk.
Anuar menjuihkan bibir. Tuala yang digunakan untuk mengelap peluhnya tadi dibaling ke wajah sahabatnya itu.
“Tak payah nak rindu sangatlah!” Laju dia menyangkal. “Bro, sekarang serius. Tadi kau saja cakap macam tu sebab kau nak usik aku kan?” Soalnya bersama sengihan paksa.
Shah geleng. Senyum paksa juga dilemparkan. Wajah Anuar berkerut.
“Kau dah baik dengan Tiya? Biar betul? Bukan kau dengan dia…”
“Dia dah janji nak jadi kawan aku selagi dia belum jadi hak milik orang lain.” Sambung Shah bersama helaan nafas panjang.
Mata Anuar membulat.
“Kau jangan cakap dengan aku, kau yang mintak dia buat macam tu?” Tebaknya dengan rasa tak percaya.
“Aku yang mintak.” Tenang Shah jawab. Bertambah kerutan di wajah Anuar menyebabkan dua keningnya hampir bertaut.
“Kau ni ada hati ke tak? Kau lagi sanggup sakitkan hati sendiri sebab dia kan?” Dia merengus. Kurang setuju dengan apa yang dilakukan sahabatnya itu.
“Tu aje cara yang terbaik dari dia langsung tak nak cakap, tak nak jumpa dengan aku. At least, kalau Suhana dengan Amir takde, dia selamat dengan aku. Takdelah aku susah-susah macam hari tu.” balas Shah selamba.
“Kau sedar tak apa yang kau buat sekarang ni?” Anuar tetap mahu mempersoalkan keputusan lelaki itu.
Shah diam.
“Kau cuma tambah sakit hati dia bro. Kau ingat, dia setuju nak berbaik semula dengan kau, hati dia pun sama baik la? At the same time kau suruh pulak dia cari orang lain yang boleh jaga dia. Apa yang kau fikir ni Shah? Aku rasa dia makin benci kau ada la..” Anuar cuba mengingatkan.
“Dia nak benci aku, tu hak dia. Aku tak boleh nak buat apa Nuar.” Shah tetap tenang.
“Kau memang nak lepaskan diri kau aje kan? Aku tak tahulah apa yang kau fikir sekarang ni. Dan, aku tak faham apa sebenarnya tujuan kau buat macam tu. Hesy! Aku tak boleh bayangkanlah apa yang akan jadi dengan korang nanti. Korang kena buat-buat baik lepas apa yang dah jadi sebelum ni, bukan satu keputusan yang bijak bro. Sorry to say la. Aku rasa kau dah macam orang bodoh. Semata-mata sebab kau sayang dia, kau tak nak dia jauh dari kau, kau buat macam ni. Apa yang kau dapat? Lepas dia jumpa dengan lelaki yang lagi bagus, lagi bijak dari kau, kau tetap kena jauh dari dia kan? Apa bezanya dengan sekarang ni? Sama aje aku rasa. Hati sakit jugak. Tapi kalau korang buat macam tu… Huh! Hancur lebur hati kau…” Hambur Anuar panjang lebar. Geram dengan tindakan yang akan dilakukan oleh sahabatnya itu.
“Habis tu, kau nak aku buat apa? Kau lagi suka tengok aku dengan dia terus macam ni? Tak bertegur, tak bercakap? Nak tengok muka aku pun dia tak sudi. Macam tu kau rasa lagi bagus ke? Hati aku lagi sakit tahu tak?” Tingkah Shah masih mempertahankan keputusan yang dibuat walaupun sedar yang dia sebenarnya menambah luka di hati gadis yang amat disayanginya itu.
Anuar geleng bersama keluhan berat.
“Ikut suka kaulah Shah.. Aku dah tak tahu nak cakap macam mana. Cuma yang aku tahu, korang akan tambah sakit hati lagi lepas ni.” balasnya sebelum bingkas. Ada nada kecewa dalam nada suaranya.
“Nuar…”
“Ikut suka kaulah kau nak buat apa pun. Aku takde hak nak campur masalah korang berdua. Sendiri buat, sendiri tanggung ye tak? As a friend, aku dah ingatkan apa yang patut. Aku sayang kau Shah.” ucap Anuar sebelum kembali ke tengah padang menyertai rakan-rakan yang lain. Putus asa untuk mengubah pendirian sahabatnya itu.
Shah terdiam. Terkesan apa yang diucapkan oleh sahabatnya itu hingga mengundang air jernih di hujung mata. Sedar akan tindakan yang diambil kini akan menambah kekeruhan yang ada. Dia tahu itu. Cuma, keinginan hatinya tidak mampu ditolak. Dia mahu berbaik semula dengan Fathiyah seperti dulu walaupun mereka tidak ditakdirkan bersama. Itu lebih baik dari dia terus makan hati dengan layanan dingin Fathiyah seumur hidupnya. Sekurang-kurangnya kini dia masih diberi peluang untuk melalui hari-hari ceria seperti dulu dengan tingkah Fathiyah yang sering menghiburkan hati.
******
Beb, kau dah habis kelaskan? Jom keluar. Esok pun kau takde kelas kan?” Emma yang baru selesai mandi, masuk ke dalam bilik yang dikongsi bersama sejak sebulan lalu.
“Malaslah!” jawab Fathiyah ringkas. Rambutnya yang agak kusut dilurut perlahan sebelum diikat satu.
“Alah… Janganlah macam tu. Jomlah. Selalunya pantang aku ajak keluar, laju aje kau. Jomlah beb..” Emma masih memujuk.
Fathiyah tidak membalas. Hanya nafas berat sahaja yang kedengaran.
“Tiya…”
“Kau rasa, betul ke apa yang aku buat ni?” Pintas Fathiyah meluahkan apa yang terbuku di hatinya sejak siang tadi.
“Buat apa? Kau nak berbaik semula dengan ex-boyfriend kau tu?” Emma memulangkan soalan juga sambil mengeringkan rambutnya. Wajah sahabatnya itu dipandang dari pantulan cermin di hadapan.
Fathiyah angguk perlahan. Matanya ralit memandang Emma yang berdiri di depan cermin besar. Walaupun mereka bukan dalam bidang yang sama, sikap Emma yang lebih terbuka dan cukup memahami memang menyenangkannya. Tidak salah dia membuat keputusan untuk tinggal di hostel sebulan yang lalu.
“Tiya… Aku tak tahu nak cakap macam mana Tiya. Sekarang ni, terpulang dekat hati kau. Kalau kau rasa kuat nak layan dia macam mana yang pernah kau layan dia dulu, why not. Lagipun, tak elok kita berdendam lama-lama kan? Kita tak dapat apa pun.” Emma meluahkan pendapatnya.
Fathiyah diam. Memang sejak dia dan Shah tak jadi bertunang, perasaan benci dalam hatinya bukan sedikit. Malah seperti sudah sebati dalam dirinya. Kemudian ditambah pula dengan kejadian sebulan lalu. Itu sudah cukup menambah kelukaan yang sedia ada.
“Sudah la tu Tiya. Siaplah. Tadi aku dah janji dengan Zahril kau nak join sekali.” Emma terus tutup topik emosi yang takkan berkesudahan itu.
“Eh, aku tak kata pun nak ikut. Kau selamba aje janji dengan dia eyh?” Fathiyah sempat melemparkan bantal kecil ke arah Emma yang dah tersengih-sengih.
Hello Cik Kak. Kau lupa siapa yang hantar, siapa yang ambik kau tadi?” Emma mengingatkan. Sahabatnya, Aminuddin Zahril mula menaruh perasaan terhadap teman sebiliknya itu.
“Alah… Sebenarnya kau yang suruh dia hantar aku pagi tadi kan? Kau ingat aku tak tahu. Kau bukannya ada kelas pagi tadi. Saja kau nak kenakan aku dengan dia kan?” Balas Fathiyah sedikit geram. Lelaki yang menjemputnya di mahkamah tadi cukup baik budi pekertinya. Dia sendiri senang berkawan dengan Zahril.
Emma melebarkan sengih.
“Kau ikut ye? Please…”

“Iyelah!” Fathiyah terpaksa mengalah. Jelingan dilemparkan kepada sahabatnya itu sebelum dia bingkas dari katil.

Nov 4, 2016

Dambaan Bahagia_bab 5_edited version

DB 5
“Puas hati kau sekarang ni? Tunggu apa lagi? Jomlah kita nikah. Aku tak sabar sangat nak nikah dengan kau!” Tajam Fathiyah menyindir sebaik Shah menghampirinya di buaian tepi rumah.
Sengaja dia mengasingkan diri dari ahli keluarga yang lain sejak tadi. Tak mampu dia berhadapan dengan wajah-wajah kecewa orang yang disayangi dengan apa yang dah jadi. Terutamanya wajah ibu dan kedua-dua orang tua lelaki itu. Mereka antara orang yang terlalu istimewa dalam hatinya.
“Tiya, aku…”
Fathiyah lepas rengus.
“Apa sebenarnya tujuan kau Shah? Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku?” Tajam matanya menikam ke wajah Shah yang jelas kusut.
“Tiya, kau ingat aku mintak semua ni jadi? Aku tak sangka ada jiran-jiran yang nampak aku masuk rumah.” Shah cuba membela diri meskipun jelas dia di pihak yang salah.
“Masalahnya sekarang ni, bukan salah jiran-jiran tu. Kau tu yang bermasalah! Sakit otak! Pukul dua pagi? D-U-A P-A-G-I!” Tekannya sakit hati. “Orang tak sekolah pun boleh fikirlah! Padahal kau dah tahu Angah takde! Kau tu yang saja cari penyakit! Kalau kau terdesak sangat, pergilah cari perempuan lain! Tapi bukan aku!” Dihamburkan kemarahan yang tertahan sejak subuh tadi.
Shah lepas keluh. Cukup berat. Hati yang tergores mendengar tuduhan yang dilemparkan terpaksa ditahan. Sedar apa yang berlaku berpunca darinya.
“Tiya… Aku mintak maaf..” Itu sahaja yang mampu diluahkan kerana yakin segala penjelasannya takkan diterima bulat-bulat.
Fathiyah tarik senyum sinis.
Mintak maaf.. Tu ajelah yang kau tahu! Kau ingat dengan mintak maaf tu, boleh betulkan balik apa yang jadi ni ke?” Sekali lagi dia menyindir.
Kemarahan yang begitu membuak di hatinya cuba dikawal memandangkan keluarga lelaki itu masih ada di dalam rumah. Mujur ada Haji Ridhuan. Lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri itu telah membantu untuk menguruskan segala-galanya tadi.
“Tiya… Kalau aku ada kuasa ubah semua benda ni, dah lama aku buat.” Perlahan Shah menuturkannya seperti seorang pesalah.
Sekali lagi Fathiyah koyak senyum sinis.
“Dah tahu kau takde kuasa, lain kali fikir sebelum buat suatu benda! Jangan nak ikut suka kepala kau aje! Patutlah kau selalu kena repeat paper! Benda baik dengan benda buruk pun kau tak pandai nak beza. Kesian!”
“Tiya!” Tingkah Shah yang terasa setiap patah kata yang meniti bibir gadis itu sedang menghiris halus hatinya. Sakit!
“Kenapa? Tak betul apa aku cakap? Kau sedar tak apa yang kau buat ni dah menyusahkan semua orang? Paling aku geram, sebab kau dah susahkan aku dengan keluarga aku! Kau memang suka tengok ibu dengan umi menangis sebab kita kan? Tu yang kau nak? Hah Shah?” Luah Fathiyah yang kini cuba tahan air matanya dari gugur. Entah kenapa baru saat itu air matanya mahu menunjukkan diri. Tidak di saat dia ditangkap berkhalwat subuh tadi.
“Berapa kali aku nak cakap dengan kau? Aku tak mintak semua ni jadilah Tiya!” Tingkah Shah dalam nada yang mula meninggi. Dadanya sedikit berombak menahan marah yang mula berputik. Kata-kata gadis itu begitu mencabar kesabarannya.
Hei Shah! Benda ni semua takkan jadi kalau kau boleh bezakan mana baik mana buruklah! Kau letak dekat mana otak kau? Kau masuk bilik aku! Apa semua tu?” hambur Fathiyah mula tidak mampu mengawal kemarahan yang terbuku. Gugur juga air matanya yang sejak tadi ditahan.
Shah terdiam. Hanya bibirnya sahaja yang mampu diketap rapat. Cuba menahan rasa hati sendiri.
“Agaknya, kau memang ada niat buruk dengan aku kan? Entah apa yang kau dah tengok masa aku tengah tidur. Agaknya kalau orang pejabat agama tak datang, mesti kau dah…”
“Tiya!” Laju Shah mencelah. Tak sanggup dengar tuduhan yang tak pernah terdetik di hatinya. Dia masih waras. Kedatangannya malam tadi, hanya mahu memastikan gadis itu dalam keadaan baik. Tidak lebih dari itu.
“Aku benci dengan kau Shah… Sampai bila-bila aku benci kau…” Lirih Fathiyah menuturkannya dengan air mata yang semakin laju menuruni pipi. Hatinya benar-benar sakit dengan apa yang dah jadi. Maruah keluarganya tercalar dek kebodohan Amirudin Shah Lutfi!
“Tiya.. Aku..” Shah cuba menyentuh bahu Fathiyah yang menunduk menangis.
“Jangan peganglah! Kau nak kita kena tuduh lagi ke?” Jerkah Fathiyah meninggi. Terus sahaja dia bingkas dari buaian itu untuk masuk ke dalam rumah.
“Kenapa lagi ni?” Muncul Haji Ridhuan di muka pintu membuatkan langkah Fathiyah terhenti. Wajah lelaki yang cukup dihormati itu dipandang sayu.
“Abah… Abah tolonglah cakap dengan anak abah ni. Tiya tak boleh lagi tengok muka dia. Hati Tiya sakit sangat bah…” Luah Fathiyah tanpa segan. Tak mampu dia sembunyikan apa yang disimpan selama ini.
“Shah… Apa lagi yang dah kamu buat ni?” Lembut Haji Ridhuan menuturkannya. Wajah kusut anak kesayangannya dipandang.
Shah hela nafas panjang. Wajahnya diraup beberapa kali untuk menenteramkan hati sendiri. Tidak mampu dia menjawab.
“Abah dengan abang-abang kamu dah setuju nak kamu berdua mengaku dalam mahkamah nanti. Tak payah turun naik mahkamah banyak kali.” ujar Haji Ridhuan tegas akan tujuannya ke situ tadi. Kata sepakat sudah dicapai. Hanya dengan cara itu sahaja segala-galanya dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
Fathiyah tergamam, Shah terpempan.
“Er… Apa abah cakap ni? Abah nak Tiya mengaku?” Bergetar bibir Fathiyah mengucapkannya.
“Tiya… Abah tahu Tiya dengan Shah tak buat apa-apa. Tapi ni semua untuk kebaikan Tiya, masa depan Shah, maruah keluarga kita. Abah tak nak, dari orang tak tahu, jadi tahu bila kes ni berpanjangan.” Tenang Haji Ridhuan menerangkan. “Pasal duit denda tu, nanti abah uruskan semua.” lanjutnya lagi.
“Apa ni bah?” Fathiyah seperti tak percaya dengan apa yang baru saja didengari.
“Along rasa, tu yang terbaik. Ibu pun dah setuju.” Muncul pula Amrizan di situ. Berdiri di sebelah Haji Ridhuan.
“Along…” Fathiyah kemam bibir kuat. Air mata kian laju menuruni pipi. Kecewa dengan apa yang diucapkan oleh abang sulungnya. Dia menoleh ke arah Shah yang mendiamkan diri. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dia menghampiri lelaki itu.
“Puas hati kau sekarang kan?” Cukup perlahan dia meluahkan buat pendengaran Shah yang menunduk. “Macam tak berharga langsung maruah aku pada kau kan? Sampai mati aku benci kau Shah…” Lanjutnya sebelum terus berpusing. Dirempuh tubuh Amrizan yang menghalang laluan di muka pintu.
“Tiya!” Amrizan memanggil.
“Sudahlah tu Am. Biar dia cool down dulu.” Haji Ridhuan menyentuh bahu anak muda di sisinya itu. “Shah..” Wajah ditalakan ke wajah satu-satunya anak lelaki yang dia ada pula.
“Shah ni memang suka menyusahkan semua orang kan bah” Tutur Shah dengan senyuman tawar. Terasa kebodohan diri dengan apa yang dah jadi.
Hampir serentak Haji Ridhuan dan Amrizan pula melepaskan keluh. Tak tahu apa yang harus diucapkan lagi untuk meredakan keadaan yang sememangnya tegang.
******
“Tiya nak pergi mana dengan beg banyak-banyak ni?” Soal Amir bila melihat gadis itu menolak dua buah beg besar keluar dari bilik.
“Tiya tak nak duduk dengan Angah lagi. Tiya nak duduk hostel. Hostel pun dah bayar. Membazir aje kalau tak duduk.” jawab gadis itu tidak bernada.
“Kenapa pulak?” Amir mula tak senang hati.
Tanpa menjawab, Fathiyah kembali semula ke dalam bilik. Masih banyak lagi barang yang ingin dibawa.
“Kan lagi baik Tiya duduk dengan Angah?” Zainab pula mencelah sebaik gadis itu kembali muncul.
“Tiya serik duduk dengan Angah. Nanti entah siapa lagi yang masuk rumah. Tak pasal-pasal Tiya kena mengaku berkhalwat lagi.” Sinis Fathiyah menjawab sebaik dia kembali dengan sebuah beg pakaian lain. Teringat akan seraut wajah itu membuatkan dia mahu menangis.
Zainab dan Amir sudah berpandangan antara satu sama lain. Tahu yang Fathiya sedang berjauh hati dengan mereka sekeluarga kerana keputusan yang telah dibuat. Selepas keluarga Shah pulang, baru Fathiyah kembali menunjuk muka. Jika tidak, hanya berkurung di dalam bilik.
“Siapa pulak yang nak pindah ni?” Muncul Amrizan dari dalam bilik. Dia memandang wajah Amir dan ibunya yang duduk di ruang tamu.
“Tu…” Amir menunjuk ke arah Fathiyah yang sudah berulang-alik ke bilik untuk mengeluarkan segala jenis barang yang ingin dibawa ke hostel.
“Tiya…” Amrizan cuba menegur. Dia tahu Fathiyah kini merajuk dengannya. Gadis itu menentang keras dengan keputusan yang telah dibuat.
Fathiyah mendiamkan diri. Sengaja dia buat tak endah akan kewujudan abang sulungnya itu. Hati yang terluka masih lagi tak terubat. Selamba dia berlalu ke dalam bilik semula.
“Sudahlah Long… Dia tengah marah tu..” ujar Amir lebih tenang.
“Ibu…” Amrizan melabuhkan duduk di sisi Zainab yang berwajah muram sejak siang tadi.
“Banyaknya barang yang Tiya nak bawak. Macam dia tak balik sini lagi…” Luah Zainab perlahan akan kerunsingan hatinya bila melihat barang-barang yang sudah berlonggok di tepi pintu utama.
Amir dan Amrizan memandang ke arah yang sama. Masing-masing berpandangan seketika.
“Takdelah bu… Hari tu dekat rumah Angah, dia bawak sikit aje barang dia.” Amir cuba menenangkan walaupun sebenarnya dia perasan akan hal tersebut. Terlalu banyak barang yang ingin dibawa oleh adik bongsunya itu.
“Tiya, kita balik esoklah. Angah penatlah drive hari ni.” Dia cuba mencipta alasan walaupun sememangnya keletihan masih terasa kerana terpaksa bergegas pulang dari Ipoh siang tadi selepas dimaklumkan apa yang berlaku.
“Siapa kata Tiya nak balik dengan Angah? Tiya nak bawak kereta ayah.” Selamba Fathiyah menjawab sambil meletakkan sangkar Gojes yang ingin dibawa bersama. Selama dia tinggal di rumah Amir, haiwan peliharaannya langsung tak berjaga.
“Jangan nak mengada-ngadalah Tiya. Along tak izinkan. Nanti entah ke mana-mana Tiya pergi. Bukan boleh percaya sangat Tiya tu.” Sahut Amrizan sedikit tegas.
Fathiyah yang sedang memasukkan sebungkus habuk kayu ke dalam sebuah beg kertas terus terhenti. Wajah abang sulungnya dipandang tajam. Bibir mengoyak senyum sinis.
“Dari dulu pun, Along memang tak pernah percayakan Tiya kan?” tuturnya dengan sebak yang mula mengusik hati.
“Memang pun! Kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat dekat luar tu?” balas Amrizan tak mahu mengalah.
“Am..” Zainab terpaksa mencelah. Tak mahu ada pertelingkahan terus berlaku di antara anak-anaknya. Cukuplah dengan apa yang dah jadi.
Fathiyah ketap bibir. Tergores lagi hatinya.
“Tak bagi takpe. Tapi Tiya nak balik malam ni jugak.” Dia juga bertegas sambil memandang ke wajah Amir.           
“Ala… Kita balik esok ye? Pagi-pagi esok kita balik. Kelas Tiya pun petang kan?” Amir cuba memujuk. Dia cukup faham akan makna pandangan mata adiknya itu.
“Kalau Angah nak balik esok, Angah balik sendiri! Tiya boleh balik dengan kawan Tiya.” Putus Fathiyah geram. Laju dia melangkah ke dalam bilik untuk menghubungi rakan-rakan yang mempunyai kereta.
“Tiya! Okey-okey kita balik malam ni.” Amir terpaksa mengalah. Dia tak mahu menambah ketegangan yang ada.
Zainab hanya mampu melepaskan nafas berat.
*******
“Shah…” Hajah Aznah menyentuh lembut bahu anak lelakinya itu.
Sudah beberapa anaknya itu lebih banyak mengasingkan diri. Sememangnya apa yang berlaku telah memberi kesan yang cukup mendalam. Bukan sahaja maruah keluarganya tercalar, masa depan anaknya itu juga turut terjejas. Baru sebentar tadi pihak pengurusan pasukan hoki anaknya itu pulang. Entah apa yang dibualkan, tidak dapat dipastikan.
“Ummi…” Shah memberi ruang agar uminya melabuhkan duduk di kerusi panjang tepi kolam itu. Senyum nipis dilemparkan.      
“Surat apa tu?” Soal Hajah Aznah apabila terpandang akan surat yang dipegang.
“Surat cuti ummi.” Cukup tenang Shah jawab. Pandangan dilemparkan ke arah kolam ikan yang dihiasi air terjun buatan rekaan abahnya sendiri.
“Shah..” Hajah Aznah menyentuh lembut jemari Shah sebelum dibawa ke ribanya.
Shah menoleh.
“Lepas ni, bolehlah Shah fokus dengan study…” ujarnya cukup tenang. Cuba menyembunyikan kesedihan hatinya yang sebenar.
Dia baru sahaja menerima surat daripada pihak pengurusan pasukan hokinya dan dia diarahkan berehat buat beberapa ketika dari menyertai sebarang perlawanan dalam tempoh terdekat itu.
“Shah tak kesah kalau tak main hoki lagi lepas ni?” Hajah Aznah sengaja menduga.
Shah senyum lagi.
“Takpelah ummi.. Takde rezeki Shah nak main buat sementara waktu ni. Allah dah tetapkan yang terbaik untuk Shah. Mesti ada hikmahnya kan? Nanti Shah bolehlah attend kelas selalu. Shah tak nak repeat lagi.” Dia tetap juga cuba menceriakan hati.
Aznah tarik senyum tawar. Terasa hangat pelupuk matanya saat itu.
“Ummi, janganlah nangis. Shah takde apa-apalah. Memang semua salah Shah. Shah akan tanggung semuanya ummi.” Shah meraih bahu umminya. Tak sanggup dia melihat ada air mata menghiasi wajah wanita yang cukup disayangi itu.
Hajah Aznah seka air mata yang mula menuruni pipi. Tak mampu dia menahan sebak yang terasa.
“Ummi… Shah mintak maaf ye ummi. Shah dah malukan keluarga kita. Malukan abah. Shah ni selalu susahkan ummi dengan abah. Susahkan semua orang.” Sedikit bergetar suaranya menuturkan. Sedar kesalahan yang dilakukan bukannya kecil. Dan kali ini hingga melibatkan ramai pihak. Salah percaturan, masa depannya mungkin sahaja gelap. Mujur sahaja dia tidak dikenakan tindakan berat kerana adanya Anuar bersama. Cukup dia sahaja yang dikenakan tindakan tanpa melibatkan sahabatnya itu.
“Jangan cakap macam tu Shah. Ummi dengan abah tak pernah salahkan Shah. Shah pun tak mintak semua ni jadi kan? Ummi faham Shah cuma nak pastikan Tiya selamat. Cuma nasib Shah tak berapa baik semalam. Ummi tahu Shah takkan buat benda-benda yang akan memalukan keluarga kita.” Hajah Aznah memberi keyakinan.
“Tapi Tiya…” Shah terasa air matanya mahu gugur menyebut sebaris nama itu. Sedar, hati gadis yang dicintai itu kian terluka dengan perbuatannya. Ibarat dia menabur garam pada luka yang masih berdarah.
“Pasal Tiya, ummi nak Shah banyak bersabar. Mana-mana perempuan pun akan marah dengan apa yang jadi sekarang ni. Nanti ummi cuba pujuk dia.” Hajah Aznah memberi harapan.
Shah cuba corakkan senyum manis.
“Tiya sekarang bukan macam Tiya yang dulu, ummi. Tiya takkan maafkan Shah sampai bila-bila. Dah banyak kali Shah sakitkan hati dia. Bukan salah kecik yang Shah dah buat. Mana-mana perempuan pun takkan maafkan Shah.” balas Shah sambil menyeka air jernih yang memberat di kolam matanya.
“Siapa kata?”
Muncul Aqilah bersama Azrina datang menghampiri.
“Relakslah bro. Kita orang tak marah pun. Kita orang pun perempuan apa?” ujar Azrina yang sudah berdiri di belakang Shah sambil mengurut-urut bahu adiknya itu.
“Betul! Kak Long tak marah pun apa yang Shah buat. Shah tak buat apa-apa pun dengan Tiya kan? Lainlah kalau Shah ada buat apa-apa dengan dia. Kalau Shah buat, memang akak benam Shah dalam kolam ikan ni. Kan ummi?” Sambung Aqilah pula yang mengambil tempat di sisi kiri lelaki itu.
Hajah Aznah tarik senyum nipis. Begitu juga dengan Shah. Terharu akan sokongan yang diberi oleh kedua-dua orang kakaknya itu.
“Akak tahu… Kalau adik akak ni bijak sikit lagi, akak rasa benda ni tak jadi. Harapan Tiya jadi adik ipar akak mungkin lagi besar.” Azrina sengaja mengusik.
“Mana ada perempuan nak lelaki tak tahu asal usul keturunan macam Shah ni. Bukan dari keturunan yang baik-baik.” Shah merendah diri apabila teringat akan status dirinya selama ini.
“Shah ni kan!” Aqilah sudah menepuk kuat paha adik keduanya itu.
“Akak dengar Shah cakap lagi macam tu depan ummi, akak sendiri yang benam Shah dalam kolam tu.” tambah Azrina pula sedikit geram sambil menggosok rambut Shah hingga kusut.
“Shah…” Sedikit lirih nada suara Hajah Aznah. Hatinya terasa sakit setiap kali ayat itu meniti bibir anak lelakinya.
“Tapi memang betul pun macam tu kan ummi?” Shah masih mahu melanjutkan bicara. Rasa sakit, rasa kecewa yang ada dalam hatinya selama dua tahun itu terpaksa dipendam. Dia perlu bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini. Dia perlu menghargai orang-orang yang telah banyak berkorban demi hidupnya selama ini. Malah dia terasa berhutang nyawa dengan umminya itu.
Hajah Aznah menggeleng perlahan dengan air mata yang bergenang.
“Shah… Please lah! Elok-elok akak dengan Kak Long tak marah, sekarang terus nak marah tahu tak?” Azrina menepuk beberapa kali bahu adik lelakinya itu.
“Ummi, jomlah kita masuk! Tinggalkan dia sorang dekat sini mi! Penatlah cakap dengan orang yang tak faham ni!” Aqilah bersuara tegas sebelum bingkas. Tangan umminya terus ditarik agar bingkas sama.
“Shah memang dah tak sayang ummi ke? Tak cukup ke Shah, apa yang ummi dengan abah buat untuk Shah selama ni? Kenapa mesti Shah cakap lagi hal tu?” luah Hajah Aznah bernada kecewa.
“Tapi Shah kena terima hakikat tu ummi..” Lemah Shah menjawab.
Hajah Aznah menggeleng lagi.
“Apa yang Shah cakap ni, lagi buat ummi sedih dari apa yang Shah buat hari tu..” lanjutnya sebelum bingkas. Sungguh hati tuanya tersentuh dengan apa yang diungkit.
“Jomlah umi kita masuk. Jiwa dia tengah kacau tu, memang suka cakap benda yang merepek.” Tambah Aqilah sambil memimpin Hajah Aznah masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Azrina dan Shah di situ.
Azrina terus ambil tempat umminya tadi. Wajah adik lelakinya itu dipandang tajam.
“Kenapa Shah jadi macam ni? Kenapa Shah ungkit lagi hal yang dah lepas? Berapa kali lagi ummi, Kak Long dengan akak nak ulang? Bahagian mana lagi yang Shah tak faham? Cuba Shah cakap dengan akak.” Dia bersuara tegas sebaik kelibat ummi dan kakaknya hilang.
“Shah ni dah banyak susahkan semua orang…” jawab Shah bersama keluhan.
So what? Shah nak pergi cari mak Shah yang entah hidup entah mati tu? Kalau Shah jumpa Shah nak buat apa? Shah nak duduk dengan dia? Shah nak tinggalkan keluarga kita? Tu yang Shah nak?” Lantang dia menghamburkan rasa tak puas hatinya.
“Akak tak faham apa yang Shah rasa…” keluh Shah perlahan. Hatinya terusik dengan setiap patah kata kakak keduanya itu. Antara Azrina dan Aqilah, memang kakak keduanya itu lebih tegas berbanding kakak sulungnya.
“Memang akak tak faham! Tapi, boleh tak Shah tak payah lagi fikir pasal tu? Sekarang ni, takde siapa pun tahu siapa mak ayah Shah tahu tak? Dah lamalah Shah. Shah pun dah jadi anak umi dengan abah. Apa lagi? Apa lagi yang Shah nak cari? Tak cukup dengan apa yang Shah ada sekarang ni?” Hambur Azrina lagi.
Shah raup wajahnya beberapa kali diiringi helaan panjang. Wajah tegang Azrina dipandang sekilas sebelum pandangan matanya dibuang ke arah ikan hiasan yang bebas berenang. Air hangat yang kembali bertakung di hujung mata diseka perlahan.
“Shah ni anak terbuang kak. Bukan aje terbuang, mak ayah Shah buat Shah ni tak layak hidup dekat dunia ni. Shah susah nak terima tu semua akak.” Lirih dia meluahkan rasa yang dipendam sendiri selama dua tahun itu. “Tapi Shah sedar. Allah lagi sayangkan Shah. Sebab tu dia hantar ummi untuk Shah. Bukan aje ummi… Shah ada abah, Kak Long, akak.. Awin.. Semua orang sayang Shah...” Shah menyentuh tangan adik-beradik susuannya itu.
Azrina mula tahan sebak. Genggaman tangan adiknya itu dibalas. “Habis tu, kenapa Shah sebut lagi hal ni? Shah kesiankanlah ummi dengan abah. Please Shah… Akak rayu sangat dengan Shah. Tolong lupakan hal ni. Akak tak nak dengar lagi…” rayunya cukup sayu.
“Akak…” Shah terus meraih tubuh kurus Azrina dalam pelukan. “Thank you so much akak…” Bergetar suaranya meluahkan.
Promise?” Azrina leraikan pelukan. Air mata yang mengalir di wajah lelaki itu diseka lembut.
Shah mengangguk peralahan. Cuba berpegang pada janjinya. Dia akan cuba walaupun membuak rasa mahu mencari asal-usul keturunannya.
“Kalau akak dengar lagi Shah sebut hal ni depan ummi, akak tak nak lagi cakap dengan Shah. Jangan haraplah akak nak back up Shah lagi lepas ni kalau ada apa-apa jadi.” Azrina cuba mengugut pula dengan harapan Shah tidak lagi mengungkit akan hal lalu. Seluruh ahli keluarganya akan menahan pilu setiap kali membincangkan hal tersebut.

Shah paksa bibirnya memaniskan senyum. Apa yang pasti, ada desakan hati yang terpaksa dipendam demi menjaga hati-hati orang tersayang.