Jul 25, 2013

AWRA_bab 8

sila tegur jika ada typo dan sebagainya :)

****
AWRA 8

“Ehem ehem.” Sengaja Faiq berdaham sedikit kuat apabila melihat Awra leka di bawah meja kerja. Entah apa yang dilakukan gadis itu pun dia tidak pasti hingga tidak sedar akan salam yang diberi tadi.

“Kejap-kejap.” Balas gadis itu yang masih di bawah meja.

Faiq menarik senyum sebelum terus melabuhkan duduk. Rasanya sudah terlalu lama dia tidak masuk ke pusat tuisyen adiknya itu. Banyak perubahan telah berlaku sejak dibuka dua tahun lalu.

“Encik..Sorr..” Mati ayatnya di situ apabila wajah majikannya meniti ruang mata. Terus keningnya hampir bertaut sebelum dia kembali duduk di kerusi kerjanya. “Bukan ke..” Dia cuba mengingati tarikh pada hari itu. Setahunya majikannya akan kembali pada Isnin minggu hadapan.

“Macam mana kerja? Okey?” Soal Faiq lagak seperti majikan sebenar gadis itu.

“Er.. Okey.. Macam biasa aje.” Awra pura-pura tidak memandang wajah Faiq kerana dia masih pelik dengan kehadiran lelaki itu.

Faiq mengulum senyum lagi. Begitu lama dia tidak melihat wajah Awra sejak majlis makan malam pejabat Firdaus beberapa bulan lalu.

“Er.. Encik Faisal, bukan Encik Faisal balik minggu depan ke?” Serba salah Awra bertanya.

“Kenapa? Awak suka ya kalau saya tak datang?” Balas Faiq yang cuba menjadi adik kembarnya. Bukan dia tidak tahu Faidh masih di Melaka.

“Er.. Bukan macam tu..” Serba tidak kena Awra menjawab. Wajahnya juga hanya sesekali sahaja diangkat. Pura-pura sibuk mengemaskini rekod pelajar.

“Erm.. Saya saja nak tengok macam mana awak buat kerja. Sebab sebelum ni Khairi selalu ada temankan awakkan?” Sengaja Faiq menduga.

Awra menarik senyum tawar. Terasa tersindir dengan kata-kata lelaki di hadapannya itu. Memang selama ini Khairi ada membantunya di situ. Tetapi sejak beberapa hari lalu tidak lagi. Dia keseorangan di situ. Tiada lagi teman untuk berbual dan bergurau.

“Awra..” Senyuman di bibirnya sudah pun mati apabila melihat wajah gadis di hadapannya itu mula berubah riak.

Awra mengangkat wajah. Bertaut seketika pandangan mata mereka sebelum dia membuang pandang ke arah fail rekod pelajar yang terbuka. “Encik Faisal ada apa-apa nak bagi tahu saya ke?” Soalnya lambat. Kurang selesa apabila lelaki itu tidak lepas memandangnya sejak tadi. Ada perasaan pelik mula menular di hati.

Faiq menghela nafas panjang. Dia sedar Awra masih tidak mampu menerima kehadirannya. Pandangan mata gadis itu masih lagi dingin seperti kali pertama mereka bertemu di restorannya.

“Awra.. Saya nak mintak maaf fasal..”

“Takpa.. Dah lama pun hal tu.. Saya pun dah kerja dengan Encik Faisal..” Pintas Awra cepat. Hal beberapa bulan lalu tidak mahu diungkit semula kerana ia sudah pun dilupakan. Sedar dia kini bekerja dengan lelaki itu. Jika tidak kerana peluang yang diberi kepadanya, mungkin kini dia masih bergelar penganggur.

“Tapi saya rasa, saya dah..”

“Takpa Encik Faisal. Saya dah lupa pun hal tu.. Handphone saya tu pun memang handphone lama kan.. Memang patut pun kena buang.” Sekali lagi Awra memintas dengan senyuman kelat. Dia terpaksa melupakan hal itu semata-mata terasa terhutang budi dengan lelaki itu. Apa yang dimiliki hari ini lebih bermakna berbanding peristiwa di restoran lelaki itu.

“Betul ni?” Ujar Faiq seperti tidak percaya.

“Betul.” Awra cuba memaniskan senyum.

“Erm.. Kalau macam tu, bolehlah kita jadi kawankan?” Jawab Faiq yang turut mengoyak senyum. Ada perasaan lega di hatinya. Cuma dia perasan Awra tetap kurang selesa dengan kehadirannya di situ.

Awra mengerutkan wajahnya. Sedikit pelik dengan permintaan lelaki itu.

“Kalau awak dengan Khairi boleh jadi kawan, mesti dengan saya pun bolehkan?” Lanjut Faiq lagi yang masih setia dengan senyumnya.

“Er.. Khairi tu..”

“Saya tahu awak suka dia..” Celah Faiq sengaja menduga.

Awra memandang pelik. “Memanglah saya suka dia.” Jawabnya selamba. Sepanjang bekerja di situ dia memang cukup menyenangi Khairi. Lelaki itu selalu mengambil berat akan dirinya.

“Erm.. Patutlah awak macam tak suka bila awak kena kerja dengan saya..” Balas Faiq berserta keluhan. Tidak menyangka telahannya benar seperti mana yang diperkatakan oleh Firdaus.

“Macam takda kena mengena aje..” Balas Awra dengan kerutan di wajahnya. Pelik benar dengan kata-kata majikannya.

“Memanglah takda kena mengena dengan saya..”

“Kejap-kejap.” Awra menegakkan tapak tangannya di hadapan wajah Faiq. “Saya tak faham sekarang ni. Encik Faisal sebenarnya cakap fasal apa eh?” Soalnya yang mula keliru.

“Fasal awak dengan Khery la.. Awak kata awak suka dia kan?” Jawab Faiq senang.

“Memanglah saya suka dia. Tapi kenapa tiba-tiba nak cakap fasal hal tu eh?” Balas Awra dengan kerutan yang masih tidak hilang di dahinya.

Faiq mula telan liur. Termalu sendiri. “Erm.. Entah.” Jawabnya sambil membuang pandang ke arah lain. Punggung diangkat. Terus dia melangkah ke papan kenyataan yang tersangkut di dinding. Cuba meneliti apa sahaja yang tertulis di situ demi menyembunyikan perasaannya yang sebenar. Sedar yang dia sudah terlepas kata. Tidak sewajarnya dia mempersoalkan hal peribadi gadis itu walaupun hal itulah yang menyebabkan dia ke situ.

Awra menahan tawa. Lucu melihat Faiq yang serba tidak kena. “Encik Faisal, sebenarnya ada hal penting ke Encik Faisal nak bagi tahu saya?” Ujarnya yang sudah sembunyi senyum.

“Er.. Takda apa.. Erm, saya balik dululah.” Putus Faiq sebelum melangkah ke pintu. Dia tidak lagi menoleh. Risau Awra sedar perubahan warna kulit wajahnya saat itu. Laju dia mengatur langkah. ‘Kau dah kenapa Faiq!’ Kutuk hatinya sendiri sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
…………

“Encik Faisal.” Sapa suara di belakang membuatkan dia sedikit tersentak. Senyuman kelat dilemparkan.

“Buat apa dekat sini? Ingat dah balik tadi.” Lanjut Awra sambil menyembunyikan senyum. Tidak menyangka akan bertemu lagi dengan majikannya di situ.

“Er.. Saya ada hal sikit tadi.” Bohong Faiq. Padahal Firdaus yang memintanya menghantar Awra pulang hari itu. Firdaus terpaksa menghantar Athirah yang pengsan ke hospital.

“Oh..” Itu sahaja yang terluah di bibir Awra sambil tangannya mendail nombor telefon Firdaus. Abangnya tidak pernah tiba selewat itu. Biasanya Firdaus sedia menanti terlebih dahulu.

“Er.. Semua dah tutup?” Sengaja Faiq berbasa-basi. Cuba melupakan apa yang berlaku di antara mereka sebentar tadi.

“Dah..” Jawab Awra ringkas. Sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan semua suis bertutup sebelum turun tadi.

“Awra..” Faiq cuba menjelaskan keadaan yang sebenar. Cuma dia ragu-ragu untuk menuturkannya memandangkan Awra bukanlah seperti gadis lain.

“Hm..” Itu sahaja yang kedengaran sambil jemarinya sudah berkali-kali mendail nombor Firdaus namun langsung tidak bersambung. “Mana abang ni?” Soalnya lebih kepada diri sendiri.

“Awra..” Panggil Faiq lagi apabila Awra tetap juga cuba menghubungi Firdaus.

“Kenapa tak dapat ni? Abang ni lupa ke apa..” Bebel Awra lagi tanpa menghiraukan panggilan Faiq.

Faiq menarik senyum nipis. Lucu melihat wajah cemberut gadis itu. “Jomlah saya hantar awak balik.” Pelawanya kemudian. Tidak sampai hati melihat Awra berterusan begitu.

“Eh, takpalah.” Awra menolak. Mana mungkin dia pulang dengan lelaki itu kerana belum pernah dia berdua-duaan dengan seorang lelaki bukan mahram dalam sebuah kereta melainkan abang dan abahnya.

“Jomlah.. Abang awak yang suruh saya hantar awak balik. Kakak ipar awak pengsan dekat rumah tadi. Dia sekarang dekat hospital.” Jelas Faiq akhirnya.

“Hah! Biar betul Encik Faisal ni. Kenapa abang tak call saya pun..” Balas Awra sedikit terkejut.

Faiq angkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu. Saat Firdaus menghubunginya tadi dia hampir sahaja bertolak pulang memandangkan kedatangannya di situ memang dimaklumkan kepada lelaki itu.

“Habis tu, macam mana saya nak balik ni..” Rungut Awra sendiri.

“La.. Kan saya ada. Saya nak hantar awak baliklah ni.. Jom..” Balas Faiq seraya berlalu ke arah keretanya yang terpakir di hadapannya.

Awra mula mengerutkan wajah. Agak ragu-ragu dengan kata-kata Faiq sebentar tadi.

“Encik Faisal, awak cakaplah betul-betul. Betul ke abang saya yang suruh awak hantar ni? Entah-entah awak saja aje nak kenakan saya..” Ujarnya seraya mendapatkan Faiq yang sudah berdiri di sisi kereta.

“La.. Buat apa saya nak tipu awak. Tadi lepas saya jumpa awak, saya dah nak balik tau. Tiba-tiba abang awak call suruh saya hantar awak balik.” Jawab Faiq cuba meyakinkan.

“Tapi kenapa dia tak call saya dulu? Kenapa dia call awak?” Awra masih tidak berpuas hati.

“Manalah saya tahu Cik Awra sayang.. Lagipun dia memang tahu saya datang sini hari ni. Dah alang-alang saya ada dekat sini, takkan dia nak biar awak balik sorang naik teksi malam-malam macam ni.” Balas Faiq lag sambil menggelengkan kepala melihat wajah tidak puas hati gadis di hadapannya itu. “Jomlah saya hantar awak balik. Semua orang dah tengok kita tu. Nanti dia orang ingat laki bini bergaduh pulak.” Lanjutnya sebelum meloloskan diri dalam kereta. Bibir sembunyi senyum.

Awra ketap bibir geram. Tidak punya pilihan. Dia sendiri tidak berani pulang sendirian memandangkan dia belum pernah lagi pulang ke rumah menaiki teksi lewat malam begitu. Dalam tidak mahu, terpaksa juga dia masuk ke dalam kereta Faiq. “Kejap!” Sempat dia menghalang saat Faiq mahu menghidupkan enjin kereta.

“Kenapa?” Faiq berpaling.

“Macam mana saya nak tahu awak terus hantar saya balik rumah?” Soal Awra penuh rasa curiga.

“Cik Awra sayang.. Ada ke muka penjenayah handsome macam saya ni?” Balas Faiq dalam sengihan sebelum terus menghidupkan enjin kereta.

“Kejaplah!” Sekali lagi Awra menghalang hingga tidak sedar tangannya terlekap di lengan lelaki itu.

Faiq menahan tawa. Bola matanya terarah pada jemari halus yang melekap di lengannya.

Sorry..” Laju Awra menarik tangannya semula apabila melihat senyuman nipis yang terukir di bibir Faiq. “Er.. Awak janganlah gerak dulu. Tunggu sampai saya dapat call abang saya kejap.” Ujarnya serba tidak kena sambil jemarinya sibuk menekan papan kekunci telefon bimbit. Wajahnya dipalingkan ke luar tingkap saat gajet itu dilekapkan ke telinga. Tidak mampu menatap wajah Faiq yang sedang tersenyum. “Abang ni.. Takkan tak dengar!” Omelnya sendiri apabila panggilannya langsung tidak berjawab.

Handphone dia tertinggal dalam kereta agaknya. Tadi masa dia call saya, dia dah on the way pergi hospital.” Ujar Faiq lebih tenang.

Awra melepaskan keluhan berat. Hatinya berbelah bahagi. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Macam ni la.. Awak call abah awak. Saya hantar awak balik rumah family awaklah. Esok pun hari Sabtu, awak tak kerja kan? Risau abang awak balik lambat nanti. Bahaya awak tinggal sorang-sorang dekat rumah.” Tambah Faiq ikhlas.

“Awak ni biar betul? Saya lagi sanggup duduk sorang-sorang dekat rumah dari duduk berdua dengan awak dekat tiga jam tau. Rumah saya jauh kut dari sini..” Balas Awra dengan kerutan yang kian bertambah di wajahnya.

So sekarang ni, awak sebenarnya nak balik ke tak? Ke.. Awak nak kita sama-sama tidur dekat sini?” Duga Faiq dengan lirikan nakal. Sengaja mahu mengusik.

“Awak buat macam tu, lagi saya susah nak percaya awak tahu tak?” Bentak Awra sedikit geram.

“Okey-okey sorry. Saya gurau ajelah. Erm.. Sekarang ni awak decide. Awak nak balik ke tak? Saya tengah murah hati nak hantar awak balik ni. Bukan senang-senang saya nak bagi perempuan naik kereta saya ni tau.” Jawab Faiq cuba melakukan provokasi. Dia tidak mahu berlamaan  lagi di situ memandangkan Firdaus sudah menyerahkan amanah untuk menghantar si gadis itu pulang.

Awra menjuihkan bibir. “Hish! Time-time macam ni la kau nak habis bateri.” Bebelnya sendirian apabila gajet yang dipegang sudah terpadam.

“Biar saya call abah awaklah kalau tak percaya.” Ujar Faiq sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.

Awra berkerut dahi. “Macam mana awak ada nombor abah saya?” Soalnya seperti tidak percaya melihat lelaki di sisinya itu sedang menghubungi abahnya.

Faiq menjungkitkan keningnya dua kali berserta segaris senyuman. “Nah.” Dia terus menghulurkan telefon bimbitnya.

Awra yang masih tidak percaya, teragak-agak untuk menyambut. Gajet itu dilekapkan ke telinga.

“Awra.” Suara abahnya menyapa.

“Er.. Abah..” Balasnya sambil memandang pelik ke wajah Faiq yang sedang tersengih.

“Ala.. Abah percaya ke pada dia ni?” Keluhnya apabila abahnya sendiri suruh dia pulang bersama Faiq kerana Firdaus terpaksa bermalam di hospital.

“Iyalah iyalah..” Jawabnya berat dengan wajah yang memuncung. Wajah Faiq di sisi dijeling sekilas sebelum talian diputuskan. Gajet itu diserahkan semula kepada Faiq.

“Apa abah awak cakap?” Soal Faiq walaupun sudah dapat meneka apa yang diucapkan oleh ayah gadis itu.

“Macam mana abah saya boleh percayakan awak ni? Senang-senang aje suruh anak dara dia balik dengan orang dia tak kenal.” Gerutu Awra yang tidak punya pilihan. Abahnya sendiri menyuruhnya pulang bersama Faiq. Berlegar-legar pelbagai persoalan di dalam kepalanya saat itu namun tidak mampu diluahkan.

Faiq melebarkan senyum. Dia tidak mahu menjawab soalan yang ditanya. Belum tiba masanya lagi dia menerangkan semuanya selepas apa yang diberitahu Firdaus tempoh hari. “So, boleh kita bertolak sekarang?” Soalnya senang tanpa menghiraukan jelingan gadis itu lagi.

Awra tidak pun menjawab. Sebaliknya pandangan mata dibuang ke luar tingkap. Sedar yang dia langsung tidak punya pilihan. Terpaksa berserah majikannya itu yang akan menghantarnya terus pulang ke rumah ibu bapanya. Selama hampir tiga jam juga mereka akan bersama membuatkan dia tidak senang duduk.

Faiq menghela nafas panjang apabila tiada balasan daripada gadis itu. Tanpa menunggu lama lagi di situ dia mula memandu. Faham akan kedinginan yang ditunjukkan oleh Awra.

*****

“Firdaus kata kamu nak jumpa pakcik. Ada apa Faiq? Awra ada buat apa-apa salah ke?” Soal Shukor sebaik Faiq meletakkan makanan yang dipesan tadi.

“Haah Faiq. Apa Awra dah buat?” Celah Faridah pula.

“Mak, mesti Angah ada buat apa-apa tu.” Alya menyampuk.

“Eh, takdalah.. Awra takda buat apa-apa pun.” Faiq segera menjawab kerana tidak mahu ada salah faham di situ.

Sebenarnya dia mahu berterus terang dengan keluarga di hadapannya itu kerana tidak mahu ada perselisihan di kemudian hari nanti memandangkan dia mahu mendekati Awra. Tidak mahu hubungan yang sedia dingin bertambah keruh. Tambahan pula Firdaus sudah mengingatkannya semalam membuatkan dia memberanikan diri untuk bertemu dengan keluarga itu sendiri.

“Habis tu? Ni sampai nak belanja makcik dengan pakcik makan. Mesti ada apa-apa ni..” Sahut Faridah dalam senyuman. Yakin ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh anak muda di hadapannya itu mengenai anak keduanya.

“Er.. Sebenarnya memang fasal Awra makcik..” Balas Faiq dengan senyuman payau. Serba tidak kena dia mahu berterus terang akan hasrat hati. Belum pernah dia meminta izin pada mana-mana keluarga gadis yang mahu didekatinya sebelum ini. Cuma kali ini, ada suatu perasaan yang tidak mampu digambarkan setiap kali bertemu dengan gadis itu.

“Jaja dah agak dah.. Mesti Angah ada buat hal ni..” Tebak Afza pula yang selalu sependapat dengan kembarnya.

“Awra dah buat apa dekat tempat tuisyen kamu tu Faiq?” Shukor terus sahaja menambah seraya menyambut pinggan yang sudah berisi nasi daripada isterinya.

Faiq mengoyak senyum nipis. Terasa bersalah kerana tidak berterus terang dengan keluarga itu sebelum ini. “Pakcik.. Makcik.. Sebenarnya macam ni. Selama ni Awra bukan kerja dengan saya..” Tuturnya sehabis tenang.

“Habis tu? Kerja dengan siapa?” Laju Faridah bertanya dengan kerutan di wajah. Perasaan risau mula mengganggu hati tuanya.

“Sabar Faridah. Bagi budak Faiq ni habis cakap dulu.” Tenang Shukor mencelah.

Pasangan kembar yang mula menjamah makanan sudah berpandangan sesama sendiri.

“Macam ni.. Saya ni kembar makcik.. Awra kerja dengan adik saya. Faidh. Nama dia Faidh Faisal.” Jelas Faiq jujur. Serentak itu juga pasangan kembar di hadapannya terserdak.

“Ya Allah.. Dah kenapa kamu berdua ni..” Tegur Shukor sambil menggelengkan kepala melihat si kembarnya.

“Abang Faiq ni abah. Siapa suruh dia buat lawak.” Jawab Afza sambil menghulurkan tisu kepada kembarnya di sisi.

“Entah abang ni.” Sokong Alya pula.

“Betul kamu kembar Faiq?” Soal Shukor berwajah serius.

“Er.. Betul pakcik. Erm.. Saya mintak maaf banyak-banyak dengan pakcik, makcik sebab tak bagi tahu awal-awal hal ni..” Jawab Faiq serba tidak kena memandang pasangan di hadapannya itu.

“Awra tahu hal ni Faiq?” Soal Faridah pula.

“Erm.. Belum lagi makcik.” Faiq semakin tidak senang duduk di situ apabila melihat wajah Shukor yang tidak beriak. Lelaki itu sudah meletakkan sudu dan garfu yang dipegang tadi. Berhenti dari makan sambil memandang tajam ke wajahnya.

“Kamu adik-beradik saja nak mainkan anak pakcik ke Faiq?” Soal Shukor tidak bernada. Ada perasaan kurang senang hadir di hati tuanya.

“Er.. Bukan macam tu pakcik. Sebenarnya saya tak tahu pun yang Awra akan kerja dengan adik saya. Saya pun tak tahu ofis Athirah dekat dengan tempat tuisyen adik saya tu. Bila Awra dah interview baru adik saya bagi tahu.” Faiq cuba menjelaskan keadaan yang sebenar. “Erm.. Lagi satu, saya ingat dia cam saya dengan adik saya tu. Masa pakcik satu family datang makan dekat sini, adik saya ada sekali. Dia orang ada terlanggar depan toilet. Tapi Awra ingat tu saya.” Tambahnya lagi.

Faridah memandang wajah suaminya.

Shukor menghela nafas panjang sebelum dia kembali menyambung makan. Agak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi oleh Faiq.

“Er.. Pakcik, saya mintak maaf fasal hari tu.. Saya tak sengaja nak tipu pakcik sekeluarga.” Lanjut Faiq dengan perasaan bersalahnya.

“Takpalah Faiq.. Benda dah jadi. Kamu pun dah mengaku.” Sahut Faridah sambil melemparkan senyuman nipis. Yakin yang anak muda itu tidak berniat untuk menipu mereka sekeluarga. Semuanya kerana sedikit salah faham.

“Kembar kamu tahu yang Awra tak tahu semua ni?” Ujar Shukor ingin tahu.

“Tahu pakcik..” Akui Faiq ringkas. “Erm.. Sebenarnya saya ada hal lain nak bincang dengan pakcik, dengan makcik.” Dia memberanikan diri untuk menyampaikan hasrat hatinya pula.

“Fasal Angah lagi ke bang?” Celah Afza sambil menjungkitkan keningnya. Manakala Alya sudah melepaskan tawa.

Faiq mengukir senyum pahit.

“Ada apa lagi ni Faiq?” Shukor kembali menajamkan pandangan matanya ke wajah anak muda itu.

“Er.. Macam ni pakcik..” Faiq cuba menenangkan diri. Peluh yang mula merenik di dahinya diseka perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam.

“Cakap ajelah Faiq apa kamu nak cakap.” Sahut Faridah menenangkan. Dia perasan riak resah di wajah lelaki itu.

“Er.. Saya nak mintak izin pakcik dengan makcik. Er.. Saya nak kawan dengan Awra.” Luahnya sedikit tergagap-gagap.

Alya dan Afza sekali lagi berpandangan sesama sendiri sebelum kedua-duanya melepaskan tawa kecil.

“Abang ni memang kelakarlah. Nak kawan dengan Angah pun nak bagi tahu abah. Kawan ajelah.” Ujar Alya dalam sisa tawa.

Faridah mengoyak senyum. Begitu juga dengan suaminya.

“Belum pernah ada mana-mana lelaki yang berani datang jumpa pakcik kamu ni semata-mata nak kawan dengan anak makcik tu Faiq.” Ujar Faridah sambil mengerling ke wajah suaminya yang masih tersenyum.

Sekali lagi Faiq mengukir senyum kelat. Tangan menggaru kepala yang tidak gatal. Malu dengan apa yang baru sahaja diucapkan.

“Kamu nak kawan biasa aje ke atau nak kawan yang luar biasa ni?” Soal Shukor tenang sebelum menghirup perlahan air limau suam. Terukir senyum penuh makna di bibirnya.

Faiq telah liur. Dia tidak punya jawapan dari soalan yang diajukan.

“Abang suka Angah eh?” Selamba Alya menyoal dengan sengihan.

Faiq terasa wajahnya mula membahang. Tidak terpandang akan wajah kedua-dua orang tua Awra. Dia tidak menyangka akan menerima soalan-soalan yang tidak mampu dijawab.

“Suka cakap suka ajelah bang..” Sambung Afza pula yang turut melemparkan sengihan mengusik.

“Kamu berdua ni.. Ada aje nak menyibuk.” Tegur Faridah sambil menjeling sepasang kembarnya itu.

“Sudah tu..” Sahut Shukor sambil memandang dua gadis itu apabila kedua-duanya berterusan mentertawakan Faiq. “Erm.. Faiq, kamu jangan dengar sangat cakap budak berdua ni. Pakcik percaya kamu budak baik. Tak salah nak kawan dengan mana-mana anak pakcik pun. Cuma Awra tu lain sikitlah. Kamu boleh tanya Firdaus macam mana perangai Awra tu kalau kamu betul-betul nak kawan dengan dia.” Lanjutnya cuba membuang rasa tidak selesa Faiq. Dia perasan wajah kacak itu mula memerah apabila diusik anak kembarnya.

“Er.. Terima kasih pakcik..” Jawab Faiq dengan sedikit perasaan lega di hatinya. “Erm.. Pakcik makanlah dulu. Kalau ada apa-apa boleh panggil saya..” Sambungnya sebelum bingkas. Tidak mampu berlamaan di situ menjadi usikan pasangan kembar di hadapannya itu. Bukan dia tidak perasan akan lirikan nakal dari kedua-duanya sejak tadi.


Jul 16, 2013

AWRA_bab 7


“Khery, dah masuk enam bulan saya kerja dekat sini. Tapi, hari-hari saya jumpa awak. Encik Faisal memang dah serahkan tempat tuisyen ni pada awak eh?” Ujar Awra saat tangannya sedang menyusun fail-fail tutor yang akan mengajar pada hari itu.

Khairi yang sedang mengemaskini fail kewangan mengukir senyum. “Kenapa? Awra teringin nak jumpa dia ke?” Sengaja dia mengusik gadis comel di sisinya itu.

“Erm.. Takdalah. Cuma pelik aje. Macam pusat tuisyen ni awak sorang yang punya. Hari-hari awak datang sini. Tapi dia takda pun.” Balasnya sengaja ingin tahu. Sangkaannya sebelum masuk kerja lima bulan lalu, hari-hari dia akan menghadap wajah Faiq. Namun jangkaannya meleset sama sekali. Sudah lama ingin bertanya, baharu hari itu dia tergerak hati.

“Dia sibuklah Awra. Selalu outstation.” Jawab Khairi jujur.

Awra pula mengerutkan dahi. “Outstation?” Omelnya pelik. “Jadi  tukang masak pun outstation? Hebat.” Sambungnya lagi berserta senyuman nipis. Dalam diam dia mengagumi kehebatan lelaki bernama Faiq Faisal.
Khairi sudah menghamburkan tawa. Lucu dengan kata-kata Awra. Dia yakin gadis itu tidak sedar yang sahabatnya merupakan pasangan kembar. “Lepas ni, kalau dia datang hari-hari dekat sini, jangan merungut pulak.” Ujarnya sebaik tawa reda. Senyuman penuh mana terhias di bibirnya.

“Kenapa pulak? Awak nak pergi mana?” Laju Awra menyoal. Mula tidak senang hatinya. Selama dia bekerja di situ, dia lebih selesa bekerjasama dengan Khairi. Lelaki itu terlalu baik, dan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Kita orang sebenarnya ada bukak pusat tuisyen lain dekat Johor. Saya yang akan jaga dekat sana lepas ni.” Jelas Khairi ringkas menyebabkan bertambah kerutan di wajah Awra.

“Alah.. Maknanya lepas ni..”

“Hari-hari awak akan jumpa Faisal dekat sini.” Pintas Khairi berserta senyuman penuh makna. Namun dalam hati dia amat berharap Awra perasaan akan perbezaan pasangan kembar itu. Banyak petanda yang telah diberi sebelum ini. Tetapi Awra masih juga tidak perasan akan kewujudan si kembar itu.

“Khery, kenapa awak yang kena jaga dekat sana? Suruh ajelah dia. Sama aje kan?” Usul Awra yang keberatan mahu berpisah dengan rakan kongsi majikannya itu.

“Mak ayah saya dekat Johorlah sayang. Tiada siapa nak jaga dia orang lepas adik saya kahwin bulan lepas. Sekarang ni, saya aje yang tinggal. Sayalah yang kena jaga. Kebetulan staf kita orang dekat sana dah nak berhenti. So, saya memang takda pilihan.” Terang Khairi. Sememangnya dia juga turut terasa senang bekerjasama dengan Awra selama hampir enam bulan di situ.

“Alah…” Panjang Awra mengeluh. Resah memikirkan hari-hari yang mendatang bersama lelaki yang pernah menyakiti hatinya.

“Assalamualaikum.”

“Ha.. Panjang umur kau bro. Awra baru aje sebut-sebut nama kau tadi.” Ujar Khairi sebaik menjawab salam Faidh yang baru melangkah masuk.

Awra mula tidak senang duduk di situ. Pura-pura dia menyibukkan diri.

Faidh yang terus sahaja melabuhkan duduk di hadapan meja kerja Awra sudah tersengih. “Lama tak jumpa, rindu ke?” Soalnya sengaja mengusik.

Awra tersenyum pahit. ‘Gila ke apa aku nak rindu kau!’ Omelnya dalam hati. Melihat baju kemeja yang tersarung di tubuh lelaki itu, dia tahu Faisal baru pulang dari kerja memandangkan ketika itu sudah pun lepas waktu pejabat.

“Khery, kau nak balik Johor bila?” Soal Faidh kemudian.

“Malam ni bro.” Jawab Khairi ringkas. Fail kewangan yang sudah dikemas kini bertukar tangan.

“Cepat sangat kau nak gerak. Aku ingat minggu depan. Seminggu ni aku kena pergi Melaka la..” Balas Faidh berserta keluhan. Sejak akhir-akhir itu dia semakin sibuk hingga tidak sempat menjenguk pusat tuisyen itu.

Awra yang sedikit pun tidak mencelah itu sembunyi senyum. Dia amat berharap Khairi masih ada dalam seminggu itu sebelum dia benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan Faidh kelak.  Sekurang-kurangnya dia punya waktu untuk memahami cara kerja lelaki itu daripada Khairi sebelum apa-apa berlaku.

“Tak boleh la bro. Aku dah janji dengan abah aku. Mak aku tak sihat sekarang ni. Lagipun, Natasha last kerja seminggu ni. At least, nak jugak aku tahu cara kerja dekat sana sebelum aku take over.” Jawab Khairi sambil mengerling gadis di sisinya. “Kau nak pergi Melaka, kau pergi ajelah. Kan Awra ada ni. Dia boleh jaga kalau kau takda.” Sambungnya lagi cuba meyakinkan.

Faidh merenung Awra dengan senyuman nipis terukir di bibir. Dia yakin akan gadis itu. Selain banyak mulut, dia dapat melihat Awra seorang yang boleh dipercayai. Pelbagai cerita yang disampaikan oleh Khairi sepanjang Awra bekerja di situ. Tidak sia-sia dia memilih gadis itu beberapa bulan lalu. “So Awra, you tak kisah kan kalau kena duduk sini sorang-sorang takda teman? Lepas ni Khery tak dapatlah nak teman you selalu. I pun sibuk lately ni. Kalau senang baru I datang. Takpa kan?” Sengaja dia menduga gadis yang lebih banyak menunduk sejak tadi.

“Er.. Inshaa Allah. Saya buat mana yang mampu..” Seperti kurang yakin Awra menjawab kerana selama ini dia bergantung dan sentiasa di bawah seliaan Khairi. Lelaki itu sentiasa ada jika berlaku sebarang kesulitan. Dan selepas ini, segala tanggungjawab yang ada terpaksa dipikul sendirian.

“Kalau dah macam tu, senang sikit hati aku. Kau pun boleh balik Johor dengan aman bro.” Balas Faidh sambil keningnya diangkat dua kali kepada sahabatnya.

“Awra, seminggu ni saya takda, Faisal pun takda. Awak jangan menangis pulak.” Usik Khairi pula.

Awra tersengih kelat lagi. Perasaan kurang yakin semakin terasa memandangkan selepas ini dia terpaksa menutup pusat tuisyen itu sendirian selepas semua murid pulang. Sebelum ini, dia masih punya Khairi. Lelaki itu akan menjadi orang terakhir yang akan pulang. Khairi akan memastikan dia pulang terlebih dahulu memandangkan selama dia bekerja, Firdaus yang akan menjemputnya.

“Ha’ah. Seminggu ni I takda nanti Awra. I harapkan you aje ni.” Tambah Faidh lagi lebih serius. Dia benar-benar tidak dapat datang dalam seminggu itu nanti.

“Er.. Saya takda pilihan lain kan?” Balas Awra dengan sengihan pahit. Dia tidak mampu untuk menolak tanggungjawab yang bakal dipikul itu nanti.

Faidh angkat keningnya lagi dengan sengihan lebar. Datang satu idea dalam kepalanya tiba-tiba membuatkan terbayang-bayang wajah kembarnya. Dia tahu abangnya itu kini pun sama sibuk.
……….

“Kenapa muka kau macam tu dik?” Soal Firdaus sebaik Awra masuk ke dalam kereta. Selalunya wajah adiknya itu ceria setiap kali pulang dari kerja. Ada sahaja yang akan diceritakan kepadanya.

“Khery nak pindah Johor.” Jawab Awra lemah. Sempat matanya singgah ke wajah Khairi yang sedang melambai kepadanya sebelum abangnya mula memandu.

“Dia ada tadi tu..” Balas Firdaus yang turut perasan akan kelibat lelaki yang dimaksudkan itu. Setiap kali dia menjemput Awra, pasti lelaki itu akan sama-sama menanti di hadapan pintu hingga dia tiba.

“Memanglah. Tapi kejap lagi dia nak terus balik Johor dah. Jaga tempat tuisyen dekat sana.” Jawab Awra dalam nada yang sama.

“Oh.. Patutlah muka kau dah macam kena tinggal boyfriend.” Usik Firdaus menyebabkan lengannya menjadi mangsa cubitan halus Awra Terus sahaja tawanya terhambur. “ Kau syok dia dekat dia eh dik?” Giatnya lagi. Dia perasan pandangan mata Khairi cukup berlainan pada adiknya itu setiap kali mereka bertemu.

“Mana ada!” Sangkal Awra cepat.

“Eleh. Habis tu kenapa muka macam tu? Nampak sangat kau tak nak dia pergi Johor kan?” Tambah Firdaus lagi. Dia yakin adiknya tidak sedar akan perkara tersebut.

“Takdalah bang.. Memanglah dia nak pergi Johor. Tapi, abang tahu tak lepas ni Fir kena kerja dengan siapa?” Balas Awra sedikit geram.

“Siapa?” Firdaus menyoal lurus.

“Faisal.” Jawab Awra seperti tidak mahu.

“Faiq?” Firdaus menyebut nama seorang lelaki yang dimaksudkan adiknya.

“Dialah.. Siapa lagi. Dah la dalam seminggu ni nanti dia outstation. Fir sorang-sorang dalam seminggu ni nanti.” Rungut Awra tidak bersemangat setiap kali nama lelaki itu muncul di bibirnya.

“Outstation? Macam pelik aje.” Balas Fridaus yang sudah mengerutkan dahi.

“Entahlah bang. Kau pelik, aku lagilah pelik. Exec chef pun kena pergi outstation eh? Dengan kedai dia lagi. Tuisyen lagi.. Pelik betul. Patutlah Khery yang handle tuisyen tu. Dia tak pernah pun tunjuk muka dekat situ. Kali ni tak tahulah macam mana.” Jawab Awra yang sudah tidak menghiraukan lagi keadaan yang merunsingkan kepalanya sejak awal lagi.

“Erm.. Aku rasa dah banyak kali aku jumpa Faiq. Tapi, dia tak pernah sekalipun cerita fasal tempat tuisyen tu. Selalu dia cerita fasal business kedai makan dia tu ajelah.” Beritahu Firdaus yang baru perasan akan kelainan setiap kali terserempak dengan Faiq apabila mereka menonton perlawanan bolak sepak bersama.

“Mana dia nak cerita kalau dah hari-hari Fir menghadap muka Khery. Dia langsung tak datang pun. Balik-balik Khery jugak. Semua Khery yang uruskan sebelum ni.” Balas Awra sedikit geram.

Firdaus pula mengerling sekilas ke wajah adiknya yang masih lagi mencuka itu. Hatinya mula terdetik sesuatu namun cuba dibuang jauh kerana dia sendiri tidak pasti apa yang dirasakan saat itu.

*******

“Daus, kau kenapa pandang aku macam tu?” Soal Faiq sedikit pelik apabila perasan akan renungan lelaki yang kini menjadi sahabatnya kerana mereka berkongsi minat yang sama. Jika tidak, mereka tidak akan kerap bertemu di restoran dua puluh empat jam itu semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak.

“Aku ada hal sikit nak tanya kau ni.” Ujar Firdaus dengan senyuman nipis.

Faiq mula mengerutkan dahi. Perlawanan bola sepak yang hampir ke penamat tidak lagi menarik perhatian. “Kau ni buat aku nervous aje bila pandang aku macam tu. Macam aku ada buat salah.” Balasnya dengan senyuman kelat. Tidak dapat meneka apa yang ingin ditanyakan oleh lelaki di hadapannya itu. Air teh tarik di hadapannya dihirup perlahan untuk membuang debar halus yang terasa.

“Aku rasa dah dekat enam bulan kita berkawan, tapi sekalipun kau tak pernah cerita fasal tempat tuisyen kau tu.” Ujar Firdaus sebelum menghirup perlahan air teh kedua yang baru dipesan. Senyum penuh makna terhias di bibir. Dia sebenarnya agak terkejut apabila Faiq menghubunginya untuk sama-sama menonton hari itu sedangkan Awra memberitahunya semalam, seminggu itu Faiq akan berada di Melaka.

Faiq menarik senyum yang sama sebelum sekali lagi menghirup air tehnya. Dia yakin Firdaus mula mengesan akan kelainan yang disembunyikan selama mereka bersahabat. Dan dia tidak hairan lelaki itu mula mengesan kelainan yang ada kerana sudah berkali-kali dia diingatkan oleh Khairi dan adik kembarnya agar berterus terang sahaja akan perkara yang disembunyikan itu. “Pusat tuisyen tu bukan aku punya.” Balasnya lambat sebelum menyalakan sebatang rokok yang dikeluarkan dari kotaknya.

“Habis tu?” Laju Firdaus menyoal.

“Faidh.” Jawab Faiq sepatah. Senyuman nipis terpamer.

“Faidh? Siapa Faidh?” Soal Firdaus tidak faham.

“Faidh Faisal.” Sebaris nama itu meniti bibir Faiq menyebabkan bertambah kerutan di wajah Firdaus.

“Aku pening sekarang ni bro.” Ucap Firdaus dengan kening yang hampir bertaut.

“Faidh Faisal adik aku.” Jelas Faiq jujur.

“Adik? Maksud kau?” Firdaus mula dapat meneka.

Faiq di hadapannya mengukir senyum dengan anggukan kecil kepala.

“Adik aku selama ni kerja dengan adik kembar kaulah?” Tebak Firdaus sedikit terkejut akan kebenaran yang tersembunyi tanpa dia sedari.

“Macam tu la nampaknya..” Faiq hanya mengiyakan. Tidak dapat lagi menafikan akan kebenaran itu lagi.

“Patutlah.. Dia ada cerita yang kau ni sibuk sangat sampai takda masa nak tengok tuisyen. Semua Khery yang uruskan. Mati-mati dia ingat kau buat banyak kerja dalam satu masa. Dengan kerja hotel lagi, dekat kedai, tuisyen..” Balas Firdaus dengan gelengan kepala. Tidak menyangka sahabat yang baharu dikenali itu merupakan kembar.

Faiq hanya melebarkan senyum.

“Kalau kau tak ajak aku keluar hari ni, memang aku tak tahu kau ni kembar. Aku pun dah sama macam Awra.  Iyalah.. Awra cakap seminggu ni kau pergi Melaka. Tapi, bila kau ajak aku keluar hari ni, memang aku rasa lain macamlah. Tu yang aku tanya kau tadi.” Sambung Firdaus meluahkan rasa tidak senang hatinya tadi.

Faiq melepaskan tawa kecil. “Sorrylah bro. Aku bukan sengaja.” Ucapnya serba salah. Teringat yang dia turut melibatkan semua ahli keluarga lelaki itu semata-mata kerana Awra. Kini dia masih belum berpeluang untuk mendekati gadis itu kerana saban hari sibuk dengan urusannya. “Hari tu, masa kau satu family makan dekat tempat aku, kembar aku ada sekali. Awra siap terlanggar depan toilet lagi time tu. Tapi dia langsung tak perasan yang dia langgar tu bukan aku. Kan aku tengah masak time tu.” Lanjutnya cuba mengimbau kembali peristiwa di restorannya hampir setengah tahun lalu.

“Oh.. Iya ke? Tak perasan pulak aku..” Firdaus turut cuba mengingati kembali.

“Takpalah. Nanti ada masa aku kenalkan kau dengan dia. Aku nak kau tengok sendiri kita orang macam mana sebab orang yang baru kenal dengan kita orang memang susahkan sikit nak bezakan. Dah banyak kali jugaklah orang salah faham dengan kita orang.” Tambah Faiq yang sebaik melepaskan asap putih ke ruang udara.

“Ni kalau adik aku tahu..”

“Kejap bro.” Pintas Faiq seraya mengangkat tapak tangannya agar Firdaus berhenti bercakap. Rokok yang masih berbaki setengah terus dimatikan apinya. “Aku mintak tolong sangat kau jangan bagi tahu Awra yang kita orang kembar.” Sambungnya penuh mengharap. Dia masih berminat mahu mendekati gadis pelik itu.

“Apasal?” Firdaus menyoal pelik. Dia tidak mahu adiknya dipermainkan.

“Er.. Aku..” Tergagap-gagap pula Faiq mahu berterus-terang akan hasrat hatinya saat itu. Malu!

Firdaus mengoyak senyum penuh makna. “Kau saja nak main-mainkan dia atau kau memang betul-betul syok dekat adik aku tu?” Dia cuba memancing.

Faiq tersengih kelat. “Tak salahkan kalau aku nak kenal dia?” Ujarnya lambat. Belum pernah lagi dia membuat pengakuan seberani begitu pada maba-mana ahli keluarga gadis yang mahu dikenali sebelum ini.

Firdaus melepaskan tawa. “Bukan tak boleh. Tapi aku rasa, kalau kau nak kenal dia, aku rasa kau kena banyak bersabarlah. Dia tu nampak keras, tapi hati dia sensitif gila. Tu kau kena jaga-jaga la. Dia jarang nak marah, nak benci orang tanpa sebab. Tapi, kalau sekali dia marah, payah sikitlah bro. Bab merajuk pun sama. Dia susah sikit nak merajuk. Tapi kalau dah merajuk, dia akan buat kau macam tak pernah wujud aje nanti.” Panjang lebar Firdaus memberitahu perihal adik kesayangannya itu.

Faiq hanya melebarkan senyum.

“Lagi satu benda penting yang kau kena tahu fasal dia.” Tambah Firdaus sebelum menghirup air tehnya yang berbaki setengah.

“Apa dia?” Penerangan Firdaus tadi membuatkan semakin berkobar-kobar dia mahu mengenali insan bernama Awra Firdaus itu.

“Dia anak abah. Kau faham-fahamlah kalau anak abah ni. Manja dia terlebih sikit.” Terang Firdaus dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibirnya.

Faiq yang sedang menghirup air tehnya hampir tersedak. Ada gentar bertamu di hatinya. Bukan dia tidak mengenali ayah gadis itu. Malah sudah beberapa kali juga orang tua Awra datang ke kedainya tanpa pengetahuan gadis itu. Dan kini secara tidak langsung dia sudah melibatkan orang tua Awra akan rahsia yang cuba disembunyikan. Perasaan bersalah mula mencuit.

“Kau takkan takut dengan abah aku kut..” Sengaja Firdaus mahu mengusik.

Faiq tersenyum pahit. “Bukan takut. Hari tu abah kau pun ingat aku Faidh.” Ucapnya serba salah.

“Fasal tu, aku rasa elok kau terus terang ajelah. Nanti kalau Awra tahu kau tipu dia, memang kau cari fasal dengan dia la nampaknya.” Ujar Firdaus sekadar memberi cadangan.

“Bukan aku tak nak bagi tahu. Peluang nak bagi tahu tu aku takda. Sekarang aku sibuk sikit. Dia pun ada kerja dia. Lagipun, kau tahu kan kes kita orang sebelum ni. Belum tentu dia boleh senang-senang nak kawan dengan aku.” Balas Faiq mengendur.

“Bro, kalau dia marah lagi dengan kau, takdanya dia suka-suka nak kerja dekat tempat tuisyen adik kau tu. Setakat ni takda pulak dia complaint apa-apa fasal ‘kau’. Cuma baru-baru ni ajelah dia macam tak suka bila Khery kena ke Johor. Aku dengar, adik kau ada satu lagi pusat tuisyen dekat sana kan? Dia kata dia macam tak selesalah sebab lepas ni kena kerja dengan ‘kau’” Jawab Firdaus panjang lebar.

Faiq mula berkerut dahi. “Tak selesa kerja dengan aku? Erm.. Maknanya apa? Dia sebenarnya memang bengang dengan aku lagi la fasal phone dia yang aku jatuhkan tu?” Soalnya inginkan kepastian. Ada keluhan terbit di bibirnya jika apa yang pernah diharapkan sebelum ini musnah begitu sahaja belum sempat dia melakukan apa-apa.

Firdaus mengangkat dua bahunya tanda tidak tahu. Tindakan adiknya yang seorang itu kadang-kadang memang sukar dijangka.

“Atau dia sebenarnya dah ada hati dengan Khery? Sebab tu dia macam tak suka kalau ‘aku’ ada dekat situ.” Ujar Faiq lagi membuat telahan lain pula.

Firdaus tergelak kecil. “Jauh sangatlah kau fikir bro. Fasal adik aku ada hati dengan Khery, tu aku tak pastilah.. Tapi kalau Khery ada hati dengan adik aku.. Kemungkinan tu sangat besar aku rasa.” Sengaja Firdaus membuat provokasi walaupun sebenarnya dia perasaan hakikat yang satu itu.

“Biar betul kau ni.. Khery tu best friend kita orang dari sekolah lagi bro..” Balas Faiq yang mula rasa tergugat. Terlupa sebentar akan kewujudan Khairi yang sudah dikenali sejak mereka sama-sama bersekolah asrama di Johor dahulu.

“Tu aku tak tahulah. Aku rasa aje. Sebab lain macam aje bila Khery pandang adik aku tu. Lagipun, dah dekat enam bulan adik aku kerja dengan dia kan. Hari-hari jumpa.” Giat Firdaus lagi. Sengaja mahu menduga akan kesungguhan lelaki di hadapannya itu. Walaupun dia sudah mengenali Faiq, itu belum cukup meyakinkan yang lelaki itu benar-benar sesuai buat adiknya. Cuma perbezaan yang terdapat di antara kedua-duanya membuatkan separuh hatinya mengatakan Faiq merupakan calon yang sesuai buat Awra.

Faiq melepaskan keluhan berat dengan bola mata terhala skrin besar di hadapannya. Perlawanan bola sepak sudah pun tamat. Dalam kepalanya ligat memikirkan apa yang diucapkan oleh Firdaus.

“Bro, dah lewat ni.” Ujar Firdaus tiba-tiba selepas mengerling jam tangan yang dipakai hampir jam dua pagi. Selepas menjemput adiknya tadi, dia terus ke situ. “Kau tak payahlah fikir sangat apa yang aku cakap tadi. Kalau rasa nak jadi adik ipar aku, usaha ajelah. Banyakan doa.” Lanjutnya sambil menepuk beberapa kali bahu lelaki itu sebelum bingkas. “Aku balik dululah. Lain kali kalau ada game, kau call aje..” Tambah Firdaus seraya menghulur tangan untuk bersalaman

“Inshaa Allah. Terima kasih bro.” Balas Faiq dengan senyuman tawar. Matanya menyorot pandang kelibat Firdaus yang menjauh. Sempat dia membalas lambaian tangan Firdaus sebelum lelaki itu masuk ke dalam kereta. Keluhan panjang terlepas dari bibirnya sebaik kelibat kereta Firdaus hilang dari pandangan. Kata-kata Firdaus sebentar tadi sedikit sebanyak memberi kesan di hatinya.


Jul 8, 2013

AWRA_bab 6


“Aku memang tak boleh blah tengok muka dia tadi..” Ujar Faidh dalam sisa tawa. Lucu apabila teringat kembali wajah Awra yang masam mencuka saat mereka berlanggar di hadapan tandas tadi.

Faiq hanya menarik senyum tepi. Air teh tarik yang menjadi pilihan, disisip perlahan sebelum sebatang rokok mengambil tempat di bibirnya. “Kuat sangat ke kau langgar dia tadi?” Soalnya kemudian dengan asap berkepul keluar dari rongga hidung dan mulut. Ingin tahu keadaan gadis yang begitu mencabar hati lelakinya sejak kali pertama mereka bertemu.

“Kuat tak kuatlah. Tapi terduduk jugaklah minah comel tu.” Jawab Faidh dalam sengihan.

Faiq membuang pandang ke arah tempat letak kereta yang kian lengang. Hanya tinggal beberapa orang pelanggan sahaja yang ada memandangkan waktu ketika itu menginjak tiga pagi. Sesekali matanya terhala ke arah meja yang diduduki oleh Awra bersama ahli keluarganya tadi. Masih terbayang lagi wajah dingin gadis itu yang langsung tidak mahu mencuit spageti yang siap dimasak. Jelas benar api kebencian di dalam mata bulat gadis itu tadi. Dia yakin semuanya gara-gara salah faham yang berlaku.

“Pelik aku dia tu. Takkanlah tak boleh beza langsung aku dengan kau. Dia tak perasan ke kita pakai baju apa?” Sambung Faidh lagi. Masih setia senyuman di bibirnya.

“Orang tengah marah. Mana nak cam tu semua.” Jawab Faiq lebih tenang.

Mereka kembar seiras dan memang agak sukar untuk dibezakan pada siapa yang baharu sahaja mengenalinya. Ayah mereka sendiri kadang-kadang keliru jika mereka mengenakan pakaian yang sama. Secara fizikal, hampir seratus peratus mereka sama. Cuma yang membezakan mereka dari segi minat. Masing-masing punya kelebihan tersendiri.

“Tapi aku tengok dia memang boleh tahanlah. Mulut dia paling tak boleh blah sekali. Aku rasa, memang elok sangatlah jumpa kau.” Seloroh Faidh sebelum menghirup air kopinya yang sudah sejuk.

Faiq menarik senyum lagi.

“Dia perempuan yang paling gelabah, paling kelakar aku pernah jumpa bro. Cute pulak tu.” Selamba Faidh menambah ingin menduga lelaki pendua dirinya itu.

Apasal? Kau nak try?” Faiq laju mengajukan soalan.

Sorry bro.. Walaupun dia comel, dia bukan taste aku.” Balas Faidh dalam senyuman.

Faiq pula melebarkan senyuman. Dia cukup faham akan pilihan hati adik kembarnya itu.

“Kau tak payahlah senyum-senyum macam tu. Macamlah aku tak tahu apa yang ada dalam kepala kau tu. Tak cakap pun aku tahu.” Ujar Faidh penuh makna.

Faiq tetap mengulum senyum.

“Sudah-sudahlah tu. Baik kau terima ajelah pilihan ibu. Senang. Tak payah susah-susah nak try sana-sini. Dah la semua perempuan yang nak dekat dengan kau tu semuanya tunggu poket kau aje. Lupakan ajelah bro..” Nasihat Faidh. Dia simpati dengan nasib yang menimpa abangnya itu. Kebanyakan perempuan yang mendekati Faiq semata-mata kerana kedudukan dan kesenangan yang dimiliki.

“Kau ingat aku tak tahu ke calon yang ibu nak kenalkan tu? Memang taklah. Harap muka aje cantik. Masuk dapur pun tak pernah.” Selamba dia mengutuk calon isteri yang pernah disuarakan oleh ibunya beberapa bulan lalu. “Dari dia, baik aku pilih minah gelabah tu.” Lanjutnya sebelum membuang puntung rokok ke dalam bekas tersedia.

Faidh terus melepaskan tawa mendengar kata-kata abang kembarnya itu. “Gilalah! Aku tak boleh bayang kau dengan dia duduk sama. Mahu terbalik rumah aku rasa. Aura Selera bergabung dengan Awra Firdaus. Memang dah cantik sangatlah tu.” Ujarnya dalam sisa tawa.

Faiq hanya tersengih. Dia sendiri tidak dapat membayangkan jika perkara itu benar-benar berlaku.

“Rancak borak? Mengumpat fasal perempuan la tu.” Muncul gadis tinggi lampai seraya melabuhkan duduk di sisi Faidh.

“Mana tahu ni?” Sahut Faidh diiringi tawa besar.

Faiq melebarkan senyum seraya tangannya menyalakan sebatang lagi rokok.

“Faiq, sudah-sudahlah tu. Naik jerebu dah. Dari tadi you tak berhenti merokok.” Ujar Farhanah seraya menarik batang rokok itu dari tangan Faiq.

“Baru masuk dua batanglah..” Selamba Faiq menyambar semula rokoknya dan terus dinyalakan.

“Sekarang memanglah dua batang. Satu hari ni entah berapa banyak batang yang you dah bakar.” Balas Farhana yang cukup mengenali kembar tunangannya itu sejak zaman kampus lagi.

Faidh hanya mengukir senyum. “Biarkanlah dia you.. Dia memang suka bakar duit. Duit dah banyak sangat sampai dah tak tahu nak buat apa, memang macam tu.” Selamba dia menyindir abangnya kerana dia bukan perokok.

“You memang tak sayang nyawakan?” Bebel Farhanah lagi.

Faiq tidak membalas. Sebaliknya asap kepul kembali kelihatan terapung di udara lagi. Seperti tidak terkesan akan kata-kata bakal adik iparnya itu.

Farhanah menggelengkan kepala tanda mengalah. “You, I nak balik dululah. Kak Lela dengan Abang Zaki dah siap tu. You tadahlah asap rokok abang kesayangan you ni.” Ujarnya kemudian. Malas lagi mahu berlamaan di situ kerana terasa lemas dengan bau asap rokok. Tambahan pula hari sudah semakin lewat. Kakak dan abang iparnya pun sudah sedia menunggu.

“Iyalah. Hati-hati.” Balas Faidh berpesan.

“Ee.. Nasib baiklah I bertunang dengan adik you. Kalau dengan you, dah lama I sumbat rokok-rokok tu dalam mulut you tau.” Ujar Farhanah sedikit geram sebelum bingkas. Geram benar melihat Faiq yang masih mampu beriak selamba walaupun berkali-kali dia menyindir tajam. Seperti langsung tidak berbekas di hati lelaki itu.

“Takpa sayang. Lepas ni, akan ada orang tolong membebel pada dia. Confirm lepas ni dia berhenti merokok terus.” Jawab Faidh dengan senyuman penuh makna.

“I doakan sangat abang you ni dapat wife yang tak suka orang merokok. Baru padan muka dia!” Balas Farhanah sebelum berlalu. Sempat dia menampar bahu Faiq apabila lelaki itu mengajuk apa yang diperkatakan.

“Ee… Memang baguslah bukan aku yang bertunang dengan dia. Membebel macam apa entah perempuan tu.” Kata Faiq dalam sengihan selepas kelibat Farhanah menjauh.

Faidh terus melepaskan tawa. “Sebab tu la dia bertunang dengan aku. Bukannya dengan kau.” Sambungnya dalam sisa tawa.

Faiq hanya tersenyum tepi berserta gelengan. Kata-kata Farhanah kembali bergema di pendengarannya. ‘Wife yang tak suka orang merokok?’ Bibir serta-merta melebarkan senyum.

********

“Macam mana interview tadi? Okey?” Tanya Athirah selepas adik iparnya melabuhkan duduk di hadapan meja kerjanya.

“Erm.. Okeylah jugakkan. Cuma, hari tu akak kata Encik Faisal kan? Tapi yang interview tadi bukan Encik Faisal.” Balas Awra sambil menyandarkan tubuhnya.

“Habis tu siapa?”

“Encik Khairi.” Jawab Awra sepatah.

“Erm.. Share partner dia kut.” Balas Athirah bersangka baik. “Tapi takpalah, siapa-siapa pun tadi okeykan?” Lanjutnya lagi.

“Fir dah buat mana yang patut. Ada rezeki adalah.” Jawab Awra senang sambil tangannya teraba-raba di dalam beg tangan untuk mencari telefon bimbit kerana mahu menghubungi abahnya. Dia sudah berjanji mahu menghubungi abahnya selepas habis temu duga.

“Insha Allah.. Erm.. Awra nak balik hari ni jugak ke?” Tanya Athirah kemudian.

“Ha’ah kak. Abah suruh teman dia pergi Putrajaya esok. Sebelah petang baru kita orang datang rumah akak. Dinner ofis abang tu pukul 8 kan?” Jawab Awra dengan wajah yang mula berkerut-kerut. Satu persatu isi beg tangannya dikeluarkan semata-mata mahu mencari telefon bimbit lama milik abahnya.

“Cari apa dari tadi tu?” Soal Athirah tanpa menjawab pertanyaan Awra sebentar tadi.

“Akak ada nampak phone Fir tak? Nampak tak kalau-kalau Fir ada keluarkan?” Soal Awra yang sudah pun habis mengeluarkan semua isi beg tangannya hingga bersepah di atas meja Athirah. Kini dia terbongkok-bongkok pula melihat di bawah meja kalau-kalau gajet itu ada terjatuh tadi.

“Mana ada Awra keluarkan tadi. Akak tak nampak pun.” Balas Athira yang turut melihat bawah meja kerjanya. “Agaknya tertinggal dekat tempat tuisyen tu tak?” Sambungnya. Dia tahu adik iparnya itu sedikit cuai.

“Alah.. Malaslah nak pergi lagi. Dah la tingkat tiga. Penatlah nak naik tangga.” Rungut Awra berserta keluhan.

“Baik Awra pergi tengok sekarang. Nanti kalau lambat, abah dah datang pulak. Baik Awra pergi tengok dekat sana dulu.” Cadang Athirah.

“Haish! Time-time ni la ‘kau’ nak hilang.” Bebelnya sendiri sebelum bingkas. Mahu atau tidak, dia terpaksa kembali ke pusat tuisyen tadi.

Laju dia mengatur langkah keluar dari pejabat kakak iparnya. Mujur pusat tuisyen itu hanya di bangunan sebelah. Sebaik tiba di muka pintu, dia perasan ada dua kasut kulit lelaki di hadapan pintu. Tahu ada dua orang lelaki di dalam. Tidak ketika dia keluar tadi. Dengan berhati-hati dia memusingkan tombol pintu diiringi salam.

“Eh, tadi bukan awak dah interview ke?” Tegur Khairi sebaik wajah comel Awra muncul dari celah pintu.

Awra tersengih kelat. “Er.. Dah tadi.” Tergagap dia menjawab. Lelaki yang murah dengan senyuman itu sedikit sebanyak menenangkan hatinya.

So, ada apa-apa yang saya boleh tolong ke?” Ramah Khairi menawarkan diri.

“Erm.. Saya rasa macam tertinggal handphone. Er.. Encik Khairi ada nampak tak handphone warna kelabu dekat situ tadi.” Jawab Awra sambil menunjuk ke arah bangku menunggu yang diduduki sebelum ditemu duga.

“Oh.. Handphone awak ke? Kejap.” Balas Khairi sebelum bingkas. Dia masuk ke sebuah bilik di belakangnya.

Beberapa saat kemudian, Khairi muncul kembali bersama seorang lelaki.

Mata Awra membulat. ‘Biar betul ni.’ Bisiknya dalam hati. Seraut wajah yang cukup dikenali sedang mengukir senyum kepadanya.

“Cik Awra Firdaus kan?” Ujar lelaki itu tenang sebelum melabuhkan duduk di tempat Khairi tadi. Khairi pula menarik sebuah kerusi lain sebelum sama-sama duduk di ruangan pendaftaran.

“Er.. Ya.. Saya..” Tergagap dia menjawab. “Er.. Apa awak buat dekat sini? Awak bukan ke…” Awra ketap bibirnya rapat. Dia mula keliru dengan apa yang dilihat kini. Apa yang pernah bermain di dalam kepalanya sebelum ini kembali ligat berputar. Pelbagai persoalan muncul.

“Saya rasa memang rezeki you lah. Nak tak kalau I bagi jawatan ni pada you?” Ujar Faidh yang masih setia dengan senyuman. Tidak menyangka dia akan bertemu lagi dengan gadis yang dilanggarnya beberapa malam lalu. Jika Khairi tidak menunjukkan senarai calon yang ditemu duga hari itu, dia tidak tahu Awra salah seorang daripadanya.

“Hah?” Dua kali dia terkejut hari itu.

So macam mana? Nak ke tak nak?” Tanya Faidh lagi.

“Kejap eh? Saya macam confuse sekarang ni. Awak ni kerja apa sebenarnya ni? Kejap jadi tukang masak, kejap lagi saya nampak awak pakai smart-smart macam office boy. Kejap lagi, awak dekat sini.” Bebel Awra tanpa mempedulikan pertanyaan lelaki di hadapannya itu.

Faidh dan Khairi sudah berpandangan antara satu sama lain sebelum masing-masing mengukir senyum.

“Cik Awra Firdaus Abdul Shukor. Soalan I senang aje. You nak tak kerja ni? Kalau tak nak, takpalah. I tahu, you mesti rasa kerja ni tak sesuai untuk ex-student anugerah naib canselor macam you ni..” Balas Faidh yang juga tidak mempedulikan apa yang dibebelkan oleh gadis di hadapannya itu. Dia tahu Awra kini sedang keliru antara dia dan abang kembarnya.

“Er.. Bukan saya tak nak. Cuma..” Awra masih tidak berpuas hati. Dia tetap mahu tahu siapa sebenarnya lelaki di hadapannya itu.

No cuma-cuma. Just say yes or not?” Pintas Faidh langsung tidak mahu memberi peluang. Walaupun jawatan yang ditawarkan hanyalah sebagai seorang kerani, dia yakin Awra mampu untuk melaksanakan tugas itu sebaik mungkin. Peluang harus diberi walaupun memiliki segulung ijazah yang mana ianya kurang sesuai dengan jawatan yang ditawarkan.

“Tapi kenapa saya? Saya kan takda pengalaman kerja.” Awra selamba memulangkan soalan juga. Terasa ragu-ragu untuk menerima kerja yang ditawarkan walaupun sebenarnya dia terlalu ingin bekerja saat itu. Sudah puas rasanya dia duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.

“You ni memang banyak cakapkan?” Balas Faidh dalam sengihan. “Sekarang ni awak nak ke tak nak? Tu aje yang I nak tahu.” Lanjutnya sedikit tegas.

“Erm.. Okey. Saya terima. Tapi sebelum tu..”

“Sebarang pertanyaan, awak boleh tanya dengan Khairi.” Sekali lagi Faidh memintas sebelum bingkas. “Lagi satu, fasal handphone.” Faidh menyeluk saku seluarnya. Gajet warna kelabu yang dicari oleh gadis itu tadi diletakkan di atas meja. “Tak sangka ada orang pakai lagi handphone macam ni kan?” Selamba dia menyambung sebelum meninggalkan ruangan itu.

Awra ketap bibir. Sekali lagi dan orang yang sama mengutuk telefon bimbitnya. ‘Sabar Awra, sabar. Kau nak kerja kan? Sabar.. Sabar..’ Bisik hatinya untuk menenteramkan diri sendiri.

So, Cik Awra. Bila rasanya Cik Awra boleh mula kerja?” Khairi mencelah lalu mengambil tempat Faidh tadi.

*********
“Hoi! Kau tak kerja ke hari ni?” Sergah Faiq sebaik talian disambungkan.

“Kerja. Nak pergi kerja la ni. Masuk lambat sikit.” Balas suara garau di hujung talian.

“Habis tu, yang senang sangat call aku ni kenapa? Takkan rindu kut..” Seloroh Faiq diiringi tawa.

“Geli tapak kaki aku bro.” Balas adiknya yang turut sama menghamburkan tawa.

“Habis tu, nak suruh aku belanja lagi ke apa?” Serkap Faiq dalam sisa tawa.

“Erm.. Aku ada hot story nak bagi tahu kau ni.” Jawab suara itu lagi menyebabkan senyum di bibirnya mati.

“Apa yang hot sangat ni?”

“Awra Firdaus akan kerja dengan aku.” Ujar suara itu membuatkan dia yang baru sahaja menyedut air dari gelas di hadapannya terus tersedak. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari. Sepatah nama itu sahaja sudah cukup membuatkan jantungnya berdegup laju.

“Kau apa hal? Aku baru sebut nama, kau dah tersedak-sedak ni.” Sambung adiknya diiringi tawa besar kedengaran.

“Kau ni salah orang kut.” Dia cuba menidakkan apa yang diucapkan oleh adiknya sebentar tadi.

“Apa yang salahnya. Dah tentu aku baru lepas jumpa dia ni. Kan aku nak cari kerani tempat tuisyen aku tu. So, dia antara calon yang datang tadi. Khery yang interview dia.” Balas suara di hujung talian membuatkan hatinya mula tidak senang. Dirasakan terlalu banyak kebetulan yang berlaku kini.

“Erm.. Kau ada bagi tahu tak siapa kau? Siapa aku?” Ujarnya sedikit risau. Dia amat berharap Awra tidak perasan akan perbezaan antara dia dan adik kembarnya.

“Tak. Tapi dia ada jugak tanya tadi. Lain yang aku tanya, lain yang dia jawab.”

“Erm.. Bila dia mula kerja?” Perasaan ingin tahu mula menular dalam hati. Dalam diam dia memang berkenan mahu mengenali Awra dengan lebih dekat lagi.

“Tu nanti aku tanya Khery balik. Ni aku dah nak masuk ofis. Aku biarkan Khery aje yang bincang dengan dia tadi.” Jelas suara itu membuatkan dia menghela nafas panjang. “Okeylah my beloved brother. Nanti kita jumpa aku story lagi. Aku dah nak gerak ni. Assalamualaikum.” Lanjut suara di hujung talian sebelum talian terputus.

Faiq menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam saku seluar. Gelas di hadapannya dipandang lama sebelum bibir mengoyak senyum tepi. Bayang wajah cemberut Awra seperti sedang menari-nari di ruang matanya. ‘Perempuan pelik, tapi benar.’ Omelnya sendiri sebelum melebarkan senyum.

*******
“Bang, kau jangan nak perasan bujang sangat boleh tak? Ingat sikit Kak Ati tu.” Tegur Awra dengan suara tertahan apabila melihat abangnya sibuk membetulkan sut yang dipakai sejak tadi.

“Eh, Kak Ati tak bising, kau pulak bising. Kan aku tercalon pekerja cemerlang malam ni.” Jawab Firdaus dalam sengihan. “Yang kau tu, serba hitam malam ni kenapa?” Lanjutnya sambil memerhati pakaian yang tersarung di tubuh adiknya.

“Biar orang tak perasan.” Jawab Awra sambil mengulum senyum makna. Sebenarnya dia punya agenda pada malam itu. Mahu memerhati perilaku seorang hamba Allah yang turut sama berada di dalam majlis yang akan berlangsung sebentar sahaja lagi.

Firdaus mencebikkan bibir. “Macamlah ada orang nak tengok kau.” Sengaja dia mengusik menyebabkan perutnya sedikit senak apabila tangan Awra singgah di situ.

“Macam-macam hal budak berdua ni.” Celah Shukor sambil menggelengkan kepala melihat Awra dan Firdaus tidak lekang bergurau.

Athirah yang ada di situ hanya tersenyum. Begitu juga dengan ibu mentuanya.

“Abang!” Muncul si kembar Alya dan Afza di ruangan khas itu.

Korang ni dari mana? Mesti sibuk pergi cuci mata kan?” Tebak Awra sambil memandang pasangan kembar yang baharu sahaja melangkah masuk itu.

“Biarlah. Sibuk aje angah ni.” Selamba Afza membalas sebelum melabuhkan duduk di sisi abahnya yang leka melihat buku atur cara majlis sebentar nanti.

“Abang, tadi kita orang jumpa Abang Faiq. Ingatkan siapalah yang tegur kita orang tadi. Dia tengah cari abang.” Ujar Alya pula yang melabuhkan duduk di sisi Faridah.

“Oh iya ke. Erm.. Kalau macam tu, jomlah kita masuk dewan. Tadi nama abang dah register. Meja nombor lima.” Balas Firdaus seraya mengeluarkan telefon bimbit yang berbunyi dari dalam saku sut yang dipakai. “Panjang umur mamat ni.” Omelnya sebaik melihat nama Faiq tertera di skrin segi empat itu. Talian segera disambungkan kerana yakin ada yang ingin disampaikan oleh lelaki itu tentang majlis sebentar nanti.

Sementara Awra saat itu sibuk memasang telinga. Mendengar perbualan antara adik-adik kembarnya dengan kedua-dua ibu bapanya. Semua tentang lelaki bernama Faiq membuatkan sesekali dia mencebikkan bibir sendiri. ‘Kejap jadi tukang masak, kejap jadi tauke tuisyen. Pening kepala aku fikir fasal dia. Mana aku pergi, situlah kau ada.’ Bebelnya sendiri dalam hati sebelum keluhan terlepas. Pada minggu hadapan, akan bermulalah episod baru dalam hidupnya. Dia tidak lagi akan bergelar penganggur. Namun yang merunsingkan hatinya sejak beberapa hari itu, tentang majikannya. Terpaksa dilupakan apa yang pernah berlaku sebelum ini. Mahu atau tidak, dia akan bekerja di bawah lelaki itu demi masa depannya.

“Dik, kau tunggu apa lagi tu?” Tegur Firdaus tiba-tiba menyentakkan lamunannya. Sengihan kelat dilemparkan. Adik-adiknya tadi sudah pun mendahului bersama emak dan kakak iparnya. Hanya tinggal dia dan abahnya di situ.

“Nanti Kak Ati tunjukkan meja.” Arah Firdaus saat mereka beriringan.

“Kau nak pergi mana bang?” Awra mengajukan soalan pula.

“Nak jumpa Faiq dekat belakang sana kejap. Kau bawak abah masuk dulu.” Arah Firdaus sebelum mendapatkan beberapa rakan pejabatnya yang baharu tiba.

“Awra, kamu temankan abah pergi tandas kejap.” Ujar abahnya sebaik mereka melangkah masuk ke dalam dewan yang dihiasi indah itu.

“Alamak bah.. Fir manalah tahu tandas dekat mana.” Jawabnya sambil meliarkan pandangan mata ke sekitar dewan.

“Pakcik!” Terdengar suara seseorang menegur membuatkan dia segera berpaling.

“Hai!” Sempat lelaki itu melemparkan senyum kepadanya sebelum menghulurkan tangan kepada abahnya.

“Ha.. Faiq, kamu tahu tak dekat mana toilet? Pakcik nak pergi toilet ni.” Ujar Shukor tanpa perasan akan kelainan pada wajah Awra.

“Oh.. Toilet ada dekat belakang sana Pakcik. Jom saya tunjukkan.” Mesra Faiq menjawab. Mata sempat mengerling ke wajah Awra yang membuang pandang ke sisi.

“Terima kasihlah Faiq.” Jawab Shukor senang. “Awra, jom kamu temankan abah.” Arahnya kepada anak gadisnya yang hanya mendiamkan diri.

“Er… Takkan Fir nak masuk toilet lelaki pulak bah..” Jawab Awra lurus.

“Apalah kamu ni. Abah takda suruh kamu masuk dalam toilet sekali. Kamu tunggulah dekat luar.” Balas Shukor diiringi gelengan kepala sebelum mengiringi langkah Faiq yang mendahului.

Awra sudah menayangkan wajah kurang senang. Mahu atau tidak, dia melangkah juga.

“Pakcik, toilet lelaki sebelah kanan.” Ujar Faiq saat mereka tiba di belakang dewan.

Awra berhenti beberapa tapak dari dua lelaki di hadapannya itu.

“Iyalah. Terima kasih Faiq. Buat susah-susah kamu aje. Pergilah kamu buat kerja kamu.” Balas Shukor sebelum berlalu masuk.

Faiq sempat membalas dengan senyuman sebelum kelibat ayah kepada gadis comel yang turut ada sama di situ. “Ehem ehem.” Sengaja dia berdaham seraya merapati Awra yang bersandar di dinding batu. Tubuhnya turut disandarkan di situ.

“Terima kasih sebab tunjukkan toilet.” Ujar Awra mendatar tanpa menoleh mahupun sedar tubuh Faiq berdiri hampir.

“Sama-sama kasih.” Jawab Faiq selamba berserta senyuman.

Awra kerut dahi. Matanya sempat mengerling sekilas ke wajah lelaki itu. ‘Sengih-sengih. Macam handsome aje sengih macam tu.’ Gerutunya dalam hati. “Encik Faisal dah takda kerja ke? Bukan ke tadi Encik Faisal nak jumpa Abang Daus?” Ujarnya kemudian sambil membuang pandang ke tengah dewan yang mula dipenuhi rakan pejabat abangnya. Dia mula tidak selesa Faiq turut sama ada di situ.

“Belum lagi.” Jawab Faiq dalam nada yang sama sambil membetulkan bow-tie di lehernya.

So?” Awra menoleh ke wajah lelaki itu dengan harapan Faiq faham. Mahu lelaki itu terus beredar dan meneruskan kerja yang tergendala.

So?” Ulang Faiq tidak faham.

Awra merengus halus. “Encik Faisal ada kerja kan? Apa kata Encik Faisal buat aje kerja Encik Faisal. Fasal abah saya Encik Faisal tak payah risau. Saya boleh tunggu dekat sini.” Ujar Awra dengan senyuman paksa.

Faiq menggelengkan kepala beberapa kali dengan senyuman lebar tersungging di bibirnya. “Mesti penatkan sebut nama saya banyak kali? Panjang pulak tu. Apa kata saya mudahkan awak. Buang perkataan Encik Faisal tu. Panggil aje Faiq. Senang, pendek, ringkas, tepat, cepat dan lebih mesra. Lagipun, kita dah kenalkan?” Balas Faiq jauh menyimpang dari kata-kata Awra sebentar tadi.

“Hah?” Bertambah kerutan di wajah Awra. “Encik Faisal kan..”

“Kan lagi selesa macam tu. Adik-adik kembar awak tu pun elok aje panggil saya Abang Faiq.” Pintas Faiq yang begitu murah dengan senyuman.

“Dia orang lain, saya ni lain.. Takkanlah saya pun nak sama dengan dia orang.” Jawab Awra kurang berpuas hati.

“Apa yang lainnya?” Faiq pula menyoal lurus.

“Bukan ke saya ni nanti jadi staf Encik Faisal. Takkanlah bos saya nak panggil nama aje..” Jawab Awra malas. Hanya perkataan bos sahaja yang sengaja ditekankan agar Faiq sedar akan perbezaan mereka.

“Oh..” Faiq senyum lagi. “Erm.. Kalau macam tu, saya yang bakal jadi bos awak, awak kenalah ikut cakap saya kan?” Ujarnya dengan kening terangkat. Suka benar dia melihat wajah Awra yang cepat memerah dan sesekali berkerut-kerut itu.

Awra ketap bibir lagi. Terasa menyesal apa yang terungkap di bibirnya tadi.

“So, kalau saya nak awak panggil saya macam adik-adik awak panggil saya boleh tak rasanya?” Lanjut Faiq sengaja menduga membuatkan mata Awra terus membulat.

“Awak ni kan..”

“Eh, kamu ada lagi dekat sini Faiq.” Shukor muncul kembali menyebabkan Awra tidak sempat membalas.

“Teman Awra ni Pakcik. Tadi dia kata tak berani tunggu dekat sini sorang-sorang.” Jawab Faiq selamba sambil mengerling ke wajah Awra yang sudah berubah.

“Hm.. Ada-ada ajelah kamu ni Awra. Terima kasihlah Faiq temankan anak Pakcik ni. Susahkan kamu aje. Pergilah kamu buat kerja kamu.” Balas Shukor berserta senyuman nipis di bibir tuanya.

Awra hanya mampu mengetap bibir menahan geram. ‘Tak berani? Dia ingat aku dalam hutan ke? Hish! Nasib baiklah ada abah..’ Sempat lagi hatinya membebel.

“Erm.. Kalau takda apa-apa, saya pergi dulu pakcik. Jumpa lagi nanti.” Faiq tidak lagi punya alasan lain untuk berlamaan di situ. Terpaksa beredar walaupun masih terasa mahu berbual dengan Awra yang tidak semesra mana itu.

“Faiq, terima kasihlah sebab sudi terima anak Pakcik ni kerja dengan kamu.” Ujar Shukor sambil menepuk beberapa kali bahu Faiq.

“Er.. Rezeki Awra Pakcik.” Itu sahaja yang mampu dijawab oleh Faiq. Serba salah kerana turut membohongi lelaki itu semata-mata mahu menyimpan rahsianya daripada pengetahuan Awra. “Er.. Saya pergi dulu.. Assalamualaikum..” Lanjutnya sebelum terus berlalu. Meninggalkan Shukor dan Awra yang masih berwajah pelik di situ.