Jun 14, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_part 7

Part 7

Sudah dua minggu berpuasa, baru hari itu Arif berkesempatan untuk berbuka puasa bersama Zawiya. Itu pun setelah beberapa kali dia buat temu janji kerana Zawiya yang terlalu sibuk menghadiri jemputan berbuka puasa bersama majikannya.

“Susah betul nak jumpa Wiya sekarang kan? Sibuk mengalahkan pak menteri.” Selamba Arif menyindir.

“Eh abang ni, cakap orang pulak. Bukan abang pun sibuk ke? Maklumlah dah ada orang teman untuk berbuka puasa kan?” tingkah Zawiya turut balas sindiran. Sejak berkenalan dengan Suraya, dia perasan bekas suaminya itu cukup jarang mencarinya. Suraya pula sering memberitahu kerap keluar dengan Arif sejak akhir-akhir itu.

Arif sengih.

“Tapi sekali sekala abang teringin jugak nak berbuka puasa dengan Wiya. Macam selalu-selalu tu.” Balasnya penuh makna.

Zawiya cebik.

“Sudahlah bang. Siapalah Wiya ni. Orang dah ada pengganti kan? Baiklah Wiya ikut Datuk Haziq pergi berbuka puasa. Lagi best.” Balasnya demi menyedapkan hati.

“Yelah tu. Wiya tak payahlah tipu abang. Hari tu Su cakap, Wiya berbuka sorang-sorang apa cerita?” Arif senyum tepi.

Zawiya ketap bibir. Mukanya membahang. Dalam hati dah memarahi Suraya yang langsung tak boleh menyimpan rahsianya.

“Sekali aje. Bukan selalu.” Masih mahu bela diri.

Arif pula cebik. Macamlah dia nak percaya.

“Yang abang tiba-tiba nak berbuka dengan Wiya ni kenapa? Su mana? Selalu tu, Su sampai kelam-kabut keluar ofis  takut lambat jumpa abang.” Sekali lagi Zawiya menyindir.

Arif lepas hela perlahan.

“Mak ayah dia datang semalam.” Keluh terlepas lagi menyebabkan wanita di depannya lepas cebik.

“Oh sebab Su takdelah baru nak ajak Wiya berbuka ni?” Zawiya berjauh hati.

“No. Abang rindu…” Arif menyengih. Nakal.

Zawiya cebik lagi walaupun ada bunga kecil di dalam hatinya.

“Sebelum Wiya terlupa, weekend ni Wiya nak belikan baju raya untuk mak ayah Wiya. Nak beli sekali untuk bapak dengan mak. Boleh beli sekali untuk abang macam selalu. Abang teman Wiya boleh?” ujarnya kemudian. Sudah jadi kemestian dia menyediakan persalinan baru buat kedua-dua ibubapanya juga bekas mentuanya setiap kali menjelang aidilfitri. Dan semestinya termasuklah persalinan buat Arif sejak dari mereka bersama lagi.

“Erm… Tahun ni, abang rasa Wiya tak payahlah susah-susah belikan baju untuk abang.”

“Kenapa pulak?” Laju Zawiya menyoal.

“Hari tu, Su kata dia dah tempahkan baju melayu untuk abang.” Arif senyum meleret.
Zawiya tahan hati.

“Untunglah kan… Lupa pulak Wiya, abang dah ada pengganti yang boleh ambil alih kerja Wiya sebelum ni. Lepas ni, senanglah Wiya. Tak payahlah nak susah-susah sediakan semuanya untuk abang kan?” balasnya dengan senyum terpaksa.

“Ala… Dia yang beriya-iya nak bagi, abang terima aje. Tapi kalau Wiya nak belikan untuk abang, abang tetap terima jugak. Manalah tahukan, ini kali terakhir Wiya sediakan baju untuk abang. Tahun depan, dah jadi kerja-kerja Su pulak. Betul tak?”

“Betullah tu..” Senyum kian kelat. Dikerling jam di pergelangan tangan hampir waktu berbuka. Namun perut sudah terasa kenyang dek kata-kata lelaki di depannya itu. Entah kenapa sejak akhir-akhir itu rasa cemburunya kian tak terkawal. Mudah saja tercuit.

“Wiya nak makan apa? Biar abang ambilkan.” Ujar Arif sebelum bingkas.

“Takpe. Wiya boleh ambil sendiri.” Zawiya terus bingkas tanpa memandang ke wajah Arif. Dia mula merasakan ada tembok besar yang memisahkan mereka. Wajah bahagia mantan suaminya itu sudah cukup memberikan petanda yang kehadirannya tak diperlukan lagi.

Sementara itu, ada senyum yang bergayutan di bibir Arif apabila melihat perubahan wajah Zawiya. Dia senang hati bila ada garis cemburu kian jelas terpamer. Tidak seperti selalu. Begitu ramai perempuan cuba mendampinginya, sukar benar garis cemburu itu kelihatan. Tapi bukan untuk kali ini. Kehadiran Suraya memberi impak cukup besar pada wanita itu.

Sebaik kembali ke meja, azan maghrib berkumandang dari masjid berhampiran. Dalam masa yang sama mata Arif tak lepas pandang dengan segala jenis makanan yang terhidang di hadapannya.

“Wiya okey ke tak ni?” soalnya kurang senang di kala doa berbuka puasa habis dibaca. Dia tahu kalau dah begitu banyak makanan yang dipilih Zawiya, mestilah ada yang tak kena. Cuma sengaja dia buat-buat tak tahu.

“Okey.” Jawab Zawiya selamba sebelum menyuap potongan buah tembikai ke dalam mulutnya.

“Kut ye pun tengah marah, takkan sampai banyak macam ni Wiya? Tak baik membazir tau.” Tegur Arif mula rasa bersalah kerana dari tadi tak habis-habis dia nak menduga hati wanita itu.

“Siapa kata Wiya tengah marah? Wiya tak sempat sahur pagi tadi. Lapar sangat ni. Lagipun, abang kan dah bayar mahal-mahal? Rugilah kalau kita tak rasa semua.” Bijak dia mencari alasan demi menutup kebenarannya.

Arif dah menggeleng. Malas dia nak bersoal jawab lagi. Apa yang dia tahu, sebentar lagi dia yang akan menjadi mangsa untuk menghabiskan semuanya nanti.
…………

“Abang kenapa gosok perut dari tadi?” tanya Zawiya buat-buat tak tahu sebaik keluar daripada kereta. Beg telekung yang dibawa disangkutkan ke bahu.

“Eh, kura-kura naik perahu pulak dia.” Arif lempar jeling sekali. Semua gara-gara dia terpaksa menghabiskan semua makanan yang diambil wanita itu tadi. Perutnya terasa sendat dan sebu. Tak selesa.

Zawiya tahan senyum.

“Tu la… siapa suruh abang makan banyak-banyak?” selamba dia balas.
Arif jeling lagi. Ikut hati, memang dia dah tarik hidung Zawiya. Geram. Mujur dia ingat lagi akan batas yang jadi penghalang.

“Lain kali abang tak nak berbuka dengan Wiya. Su kalau tengah marah, takde pun nak makan banyak-banyak macam Wiya. Tadi tak pasal-pasal abang yang nak kena habiskan semua.” Balasnya sengaja mahu menduga hati wanita itu lagi.

Zawiya ketap bibir. Hatinya terusik.

“Lain kali tak payahlah ajak! Wiya pun tak teringinlah nak berbuka dengan abang!” tingkahnya seraya terus melajukan langkah. Terus masuk ke ruang solat muslimat di masjid yang biasa mereka kunjungi jika berbuka puasa bersama.


Arif terus tarik senyum lebar. Senang hati. 

Mungkin untuk sekali lagi_part 6

Part 6

“Memang dari dulu tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki?”

Soalan-soalan yang meniti di bibir Mak Tom sejak tadi memang tajam dari mata pedang. Langsung tak bertapis. Sama seperti yang diceritakan Zawiya. Dia kena bijak menjawab soalan-soalan tak terjangka daripada Mak Tom kalau nak jadi calon menantu pilihan.

“Memang tak pernah Mak Tom.” Jujur Suraya jawab dengan wajah yang membahang. Terpandang wajah Arif dan Haji Aziz yang turut sama ada di situ.

“Memang tak nak kenal, atau Su ni memilih? Maklumlah… Mak Tom pun faham zaman sekarang ni. Bukan semuanya lelaki boleh kita percaya senang-senang kan? Mak Tom pun bukannya percaya sangat dekat si Arif ni haa. Apa yang dia buat dekat belakang Mak Tom pun, Mak Tom tak tahu. 
Kalau tak, takdenya kahwin baru tiga tahun boleh bercerai kan? Padahal bertahun-tahun kenal budak Wiya tu.” Mak Tom jeling Arif penuh makna.

Suraya senyum pahit. Arif kekal tenang.

“Maaflah Su, kalau tak senang dengan apa yang Mak Tom tanya. Mak Tom bukan apa… Mak Tom tak nak Su jadi macam calon-calon yang pernah Arif bawak jumpa Mak Tom sebelum ni.” Sambung 
Mak Tom bila perasan akan renungan tajam suaminya.

“Mak ni… Tak payahlah nak ungkin tu semua. Yang dah lepas tu, lepaslah. Su pun dah tahulah mak.” Gumam Arif dengan sengih kelat.

“Mak tak nak benda yang sama jadi di kemudian hari. Kalau betul-betul serius, buat cara serius. Mak tak suka Arif main-main dengan hal perasaan orang ni. Ni anak dara orang. Bukan macam anak dara Si Manap tu.” Balas Mak Tom tegas.

“Ada ke mak samakan Su ni dengan anak dara Si Manap. Kalau dengar Si Manap, tak ke dia kecil hati?” tingkah Arif.

Haji Aziz terus mengucap panjang.

“Yang sampai nak libatkan lembu aku tu dah kenapa pulak?” celahnya bersama gelengan.
Suraya tahan senyum.

“Su, kalau kamu dengar dua beranak ni bertekak, sampai esok takkan habis. Merepek yang banyak dari yang betulnya.” Tambah Haji Aziz yang cukup masak benar dengan perangai isteri dan anak sulungnya itu.

Suraya lepas tawa kecil. Terhibur dia tengok telatah Mak Tom dan Arif. Patutlah Zawiya sayang sangat dengan ahli keluarga Arif.

“Abang ni… Saya bagi contoh ajelah!” Mak Tom lempar jeling ke arah suaminya itu.
Haji Aziz lepas rengus.

“Macam dah takde contoh lain yang awak nak bagi. Nama Si Manap jugak yang awak sebut kenapa? Haihh… Tak kuasalah aku nak layan.” Haji Aziz terus bingkas. “Ha Su, kamu makan ikan tilapia? Kalau makan, boleh pakcik bagi tahu budak-budak yang tengah tangkap dekat kolam tu tinggalkan sikit sebelum jual.”

“Tak payah susah-susahlah pakcik..” tolak Suraya serba salah.

“Takde yang susahnya. Benda ada. Nanti kamu balik, kirimkan sekali pada Wiya. Dia suka makan ikan tilapia tu. Dia pun dah lama tak balik.” Tambah Haji Aziz sebelum terus berlalu.

Suraya tak sempat membalas bayang Haji Aziz sudah pun hilang di sebalik pintu.

“Abang Rif, Su ni datang dah buat susah-susah ayah dengan mak abang aje.” Ujarnya benar-benar rasa bersalah.

“Hesy! Apa cakap macam tu? Takde yang susahnya Su. Kalau susah, Mak Tom awal-awal cakap susah.” Sahut Mak Tom.

“Su, siapa pun tetamu yang datang ke rumah family abang ni, mak ayah abang tak pernah nak beza-bezakan. Semua dia orang layan macam keluarga sendiri. Betul tak mak?” Arif sengih.

“Pandailah kau tu. Yang sekarang ni macam mana?” balas Mak Tom dengan kening sebelah terangkat. Berbalik ke topik asal yang sedang dibincangkan.

Suraya telan liur. Dia tak sangka Mak Tom benar-benar serius dengan tujuan kehadirannya hari itu.

“Mak, orang baru nak kenal rapat dengan Su ni. Bagilah masa.” Jawab Arif yang perasan akan riak Suraya yang sedikit berubah.

Mak Tom lepas hela panjang.

“Suka hati kaulah Rif. Mak kau ni dah penat asyik nak jadi tukang fikir masa depan kau aje. Cuma satu aje mak harap, jangan nak mainkan perasaan anak orang ni. Mak tak suka. Ingat tu?” Amaran diberi.

“Don’t worry mom. Ada jodoh tak ke mana. Kan Su?”

Sekali lagi Suraya senyum kelat. Tak terjawab.
Mak Tom lempar jeling lagi. Dia masih memasang harap agar Zawiya kembali menjadi menantunya.
……………..
“Su, abang mintak maaf ya kalau Su tak selesa dengan keluarga abang. Terutamanya mak abang tu. Wiya mesti dah cerita macam mana perangai mak abang tu kan?”

Suraya tarik senyum nipis.

“Abang jangan risaulah. Su okey. Sebab tu Su setuju datang rumah keluarga abang ni. Su nak kenal sendiri macam mana keluarga abang. Tak sangka, meriah betul.” Gelak kecilnya terlepas bila teringat semula perbualannya bersama ibu bapa lelaki itu awal tadi.

Seketika masing-masing kematian kata. Membiarkan beberapa ketika masa berlalu tanpa suara.

“Su.”

“Hmm…”

Suraya yang bersandar di badan kereta menoleh ke sebelah. Arif turut sama bersandar di sebelahnya.

“Su betul-betul tak kesah ke nak berkawan dengan abang?”

Suraya lepas senyum lagi.

“Kalau kesah, awal-awal lagi Su tolak.”

“Boleh abang tahu atas sebab apa Su setuju nak kenal dengan abang? Su tahukan abang cari calon isteri. Bukan teman biasa-biasa.” Setelah seminggu soalan itu cuma berlegar dalam kepalanya saja.

Suraya terus senyum. Penuh makna. 

Mungkin untuk sekali lagi_part 5

Part 5
- Abang jadi ke bawak Suraya jumpa mak esok?

Arif tersenyum sebaik membaca pesanan yang diterima daripada bekas isterinya. Laju jemari bermain di atas skrin untuk membalas.

+ Jadi. Kenapa Wiya tanya?

- Takde apa. Saja. Abang tak rasa cepat sangat ke?

Bertambah lebar senyum Arif.

+ No. Lagi cepat lagi bagus. Lagi cepat mak abang berhenti membebel.

- Abang tak nak kenal-kenal dulu ke dengan Su tu? At least kawan dulu ke? Manalah tahu nanti ada yang tak berkenan, Wiya tak nak abang salahkan Wiya.

Arif hampir tergelak pula. Pantas jarinya terus menyusun ayat untuk membalas.

+ Kan abang dah kenal Su tu? Wiya sendiri cakap yang dia calon terbaik untuk abang. So, abang rasa ni la calon terbaik. Abang dah tak nak tunggu lama-lama. Kalau mak setuju, Su setuju, lepas raya nanti abang nak masuk meminang.

Diam. Tidak lagi bergetar telefonnya menerima balasan daripada Zawiya. Bibir terus melakar senyum puas.

“Amboi! Senang hati nampak. Apa hal yang senyum lebar tu?” tegur Mak Tom yang sejak tadi menyiram anak-anak pokok cilinya. Dia perasan anak sulungnya itu tersenyum-senyum sendiri sejak tadi sambil memegang telefon. “Jangan cakap dengan mak kau dah jumpa pengganti baru pulak? Ni tiba-tiba balik pun dah buat mak musykil dengan kau ni.” Sambungnya penuh curiga.

“Esok orang nak bawak calon menantu mak yang baru dan terakhir. Kali ni, orang dapat rasa mak takkan tolak punya.” Jawab Arif penuh makna.

Mak Tom bawak gayung dan baldi di tangannya ke pangkin yang diduduki anaknya itu.

“Kau biar betul? Wiya tahu?”

“Ni calon dari dia mak. Mestilah dia tahu.” Balas Arif selamba.

“What?” Membesar mata Mak Tom dengan rasa tak percaya. “No no no. Mak terpacaya.” Kepalanya sudah menggeleng beberapa kali.

Arif hampir tergelak melihat reaksi maknya yang mula mencekak pinggang.

“Terpulang. Kalau mak tak percaya, mak boleh tanya Wiya sendiri. Yang penting, esok bakal menantu mak tu datang.” Arif sengih lebar.

“Hesy! Budak Wiya ni, lain yang aku suruh buat, lain yang dibuatnya.” Gerutu Mak Tom menahan geram. “Budak mana yang dia kenalkan dengan kau tu? Memang nak kena betul budak Wiya ni.” Membuak rasa ingin tahu adakah calon yang dimaksudkan itu standing dengan bekas menantunya.

“Kawan baik dia mak.”

“Kawan baik? Kau kenallah?”

Arif angguk. Tenang.

“Macam mana budaknya? Bujang? Janda?”

“Bujang. Cantik. Gebu-gebas.” Arif menyengih nakal. Sengaja nak panaskan hati maknya.
Mak Tom lempar jeling. Bibir diketam geram.

“Apa si Wiya tu tak cukup gebu-gebas ke sampai kau nak kena cari orang lain?” hamburnya sakit hati.

Arif sengih lagi. Nak tergelak pun ada.

“Wiya memang dah lama gebu-gebas mak. Tapi ni lain sikit. Fresh!” giatnya bersama kenyitan nakal.

Mak Tom picing mata.

“Nanti kau! Mak telefon si Wiya sekarang jugak!” Laju dikeluarkan iphone7 dari saku baju kurung kedah yang dipakai.

Arif terbelalak tengok gajet yang dipegang maknya.

“Makkaii… Kalah aku. Aku pun pakai iphone 5 aje. Dia lagi advance dari aku.” Omelnya sendiri. Dia yakin itu hadiah daripada ayahnya hasil dari penjualan tanah beberapa bulan sudah.

Seketika, dia mula dengar maknya bercakap dengan seseorang. Dan pastinya Zawiya.

“Nak sangat menantu kan…” gumam Arif dengan sengih penuh makna.

“Haa Rif, mak kau cakap dengan siapa tu?” Haji Aziz yang muncul dari belakang rumah dengan sebilah parang.

“Ex-menantu kesayangan dialah pak.” Jawab Arif dengan sengih seraya memberi ruang kepada Haji Aziz duduk.

“Dah kenapa pulak dia telefon si Wiya tu?”

“Pasal yang orang cakap dengan bapak semalam tu.”

“Pasal budak nama Suraya tu ka?”

“Sebab tu lah pak. Tu yang orang malas nak cakap dengan mak awal-awal.” Ada keluh meniti bibir Arif. Dia tahu perangai Hajah Kalthom apabila melibatkan calon isterinya. Pasti maknya itu akan berubah jadi penyiasat tak bertauliah. Macam-macam soalan akan ditanya hingga berpuas hati.

“Kau betul-betul ke nakkan budak Suraya tu?” Aju Haji Aziz ingin tahu. Selama ini, dia bukanlah cerewet seperti isterinya hingga ikut campur urusan pilihan hidup anak-anak.

Arif lepas hela panjang. Dipandang wajah Haji Aziz.

“Bapak rasa, betul ke apa yang orang buat selama ni?” Soalan berbalas soalan.

Haji Aziz tarik senyum nipis.

“Pilihan dekat tangan kau, Rif. Kau bukannya budak kecil. Bapak pun tak pernah nak halang apa yang kau buat selama ni. Cuma masa kau dengan Wiya dulu, bapak dengan mak memang kecewa. Sama-sama ego, sama-sama tak nak mengalah. Tapi tu dulu. Bapak faham darah tengah panas. Tapi pada bapak, tak terlambat kalau kau nak betulkan semula.” Jawabnya penuh makna.

“Maksud bapak? Bapak pun nak orang baik semula dengan Wiya?” Ada kerutan di wajah Arif.
Haji Aziz senyum lagi.

“Buatlah pilihan yang terbaik Rif. Umur kau bukannya makin muda. Makin tua.” Dia terus bingkas sebaik menepuk beberapa kali bahu si anak. Meninggalkan Arif yang sedikit terpinga-pinga di situ.






Jun 1, 2017

Mungkin untuk sekali lagi_short part 4

Part 4

+ Dia cantik. Pipi gebu. Memenuhi kriteria dan taste abang. Pandai masak. Rajin. Baik. Paling penting sekali, waktu kerja dia normal. Ada banyak masa dekat rumah. Mak abang mesti suka.

Berulang kali Arif baca pesanan yang diterima daripada Zawiya. Entah kenapa hatinya rasa tak senang. Dikilas jam di pergelangan tangan. Dia tiba 5 minit lebih awal daripada waktu yang dijanjikan dengan Zawiya. Sabar dia menanti hinggalah pintu kafe ditolak 2 orang wanita. Zawiya yang anggun dalam persalinan pejabatnya. Manakala seorang lagi anggun dalam persalinan kurung moden.  Mata tak lepas pandang hingga kedua-duanya melabuhkan duduk di hadapannya.

“Suraya?” Seperti tak percaya dengan wanita yang mahu diperkenalkan Zawiya kepadanya. Dia kenal Suraya. Salah seorang staf di pejabat Zawiya merangkap kawan baik bekas isterinya itu.

“Yes. Suraya. Dialah yang Wiya cakap dengan abang tu.” Jawab Zawiya sambil mengerling ke arah sahabatnya yang jelas malu dengan pertemuan itu meskipun mereka pernah kenal.

Arif lepas hela perlahan.

“Abang nak order. Jom Wiya teman abang.” Ujarnya seraya bingkas untuk ke kaunter. Dalam erti kata lain, dia sengaja mahu bercakap dengan Zawiya secara personal.

Suraya hala pandang pelik.

“Wiya…”

Zawiya tarik senyum kelat. Melihat riak kurang senang Suraya, dia rasa serba salah. Tambahan pula dengan riak Arif yang sukar ditafsirkan. Ditepuk beberapa kali tangan sahabatnya itu sebelum ikut bingkas.

“Aku order macam biasa ya?” ucapnya sebelum terus berlalu mendapatkan Arif yang sedia menanti di kaunter untuk membuat pesanan.

“Apa sebenarnya yang Wiya cuba buat?” tanya Arif terus sebaik pesanan dibuat.

Zawiya berkerut.

“Apa yang Wiya buat? Kan hari tu Wiya dah janji nak kenalkan abang dengan someone. Someone tu Suraya. Abang kan kenal dia?”

Arif lepas hela berat. Dipandang sekilas ke arah meja yang diduduki tadi. Suraya yang cukup ayu dan mampu memikat mana-mana hati lelaki yang memandang. Tapi bukan dia. Dia hormatkan gadis itu sebagai sahabat baik Zawiya.

“Tapi kenapa Suraya?” luahnya tak puas hati.

“Sebab dalam banyak-banyak kawan Wiya, Wiya paling kenal dan percayakan Suraya. Wiya kenal hati budi dia. Wiya yakin dia mampu bahagiakan abang. Dan yang paling penting mak mesti suka dia.” Jelas Zawiya cukup yakin.

Arif menggeleng bersama keluh yang terlepas.

“Abang tak fahamlah. Macam mana Suraya boleh ikut cadangan gila Wiya ni. Dia bukan tak kenal abang. Dia tahu kita pernah jadi suami isteri dulu.” Luahnya kurang senang.

“Tu lima tahun dulu, bang.” Cukup perlahan meniti bibir Wiya. “Selama Wiya kenal Suraya, dia belum pernah rapat dengan mana-mana lelaki pun bang. Tak salah rasanya kalau Wiya bagi peluang pada dia. Lagi pun, Wiya rasa dia aje yang boleh jaga abang. Jauh lebih baik dari Wiya pernah jaga abang dulu…”

Arif lepas rengus bersama gelengan. Langsung tak bersetuju dengan hujah bekas isterinya itu. Masa depan sukar diramal. Semuanya adalah pertaruhan. Luaran seseorang tak menjaminkan apa-apa. Terus dibawa minuman yang dipesan ke meja semula.

Suasana kekok mengisi ruang antara mereka. Suraya sesekali angkat mata memandang ke arah Arif. Tetapi lelaki itu menghalakan renung tajam ke arah Zawiya di sisi. Langsung tak lepas sejak tadi. Namun sahabatnya itu cuma beriak selamba dan leka menikmati croissant. Dia tahu pasangan itu masih menyimpan rasa yang sama. Tetapi sengaja cuba menafikannya. Baik Arif mahupun Zawiya. Dia kenal Zawiya. Dan disebabkan itu dia menerima tawaran Zawiya untuk kenal dengan Arif lebih dekat.

Dehaman dilepaskan beberapa kali.

“Erm… Su nak tanya Abang Arif satu benda boleh?” Dia memberanikan diri bertanya.
Arif tukar hala pandang. Zawiya di sebelah turut menoleh.

“Nak tanya apa-apa, tanya ajelah Su.” Sahutnya sambil beri isyarat pada Arif agar lebih tenang. Jelas benar riak tegang di wajah bekas suaminya itu.

“Su nak tanya apa?” Arif baru bersuara. Setenang mugkin.

“Abang Arif serius ke macam yang Wiya cakap?”

Arif hala pandang ke arah Zawiya. Tajam.

“Serius.” Sepatah.

“Abang tak kisah Su ni kawan Wiya?”

Arif lepas senyum tepi. Dihirup perlahan air kopinya.

“Abang yakin calon yang dia bagi adalah yang terbaik. Betul tak Wiya?” Terangkat sebelah keningnya. Menanti reaksi si bekas isteri.

“Insya-Allah.” Zawiya koyak senyum selebar mungkin meskipun hati sedikit terusik.

Arif senyum lagi.

“Hujung minggu ni, Su ikut abang balik kampung jumpa mak abang boleh? Sebelum kita puasa ni.”

Suraya dah bulat mata. Zawiya pula hampir tercekik dengan apa yang dituturkan Arif. Cepatnya! Dia ingat Arif main-main sebelum ini.

“Macam mana?” tanya Arif lagi.

Suraya pandang Zawiya sekilas. Dia perasan wajah Zawiya sedikit berubah.

“Insya-Allah kalau takde apa aral, Su ikut abang.” Senyum semanis mungkin dilemparkan.


Mungkin untuk sekali lagi_short part 3

PART 3

“Semalam mak call Wiya. Dia cakap abang ada balik kampung minggu lepas. Abang tak cakap pun nak balik kampung kan? Kalau tak, boleh Wiya ikut sekali. Wiya pun dah lama tak jumpa mak.” Ucap Zawiya sebaik menyedut jus oren yang baru dihantar pelayan tadi.
Arif senyum tepi.

“Wiya tu… Cakap aje nak balik kampung. Setiap kali janji nak balik dengan abang, mesti Wiya cancel last minute. Malas abang nak ajak Wiya lagi.” Balas Arif yang menghirup perlahan air kopi pekat kegemarannya.

Zawiya cuma sengih.

“Mak cakap apa dengan Wiya? Mesti mak cakap pasal abang kan?” sambung Arif yang sedia maklum akan keakraban mantan isterinya itu dengan maknya.

Zawiya tergelak pula.

“Abang macam tak tahu mak tu macam mana. Wiya tak tanya tau? Mak yang cerita. Wiya dengar ajelah.”

Arif cebik.

“Sekarang ni Wiya nak gelakkan abanglah kan?” Jeling dilemparkan.

Zawiya terus sambung gelak senang hati.

“Wiya… Kalau bukan sebab mak abang bising-bising takut abang jadi bujang tua, abang tak terdesak dekat mana-mana perempuan pun tahu? Abang lagi sanggup terus jadi bujang macam Wiya. Tak payah nak pening kepala. Biarlah abang bujang sampai ke tua.” tambah Arif membela diri dari terus jadi bahan tawa.

Tawa Zawiya mereda. Bertukar kepada senyum yang terasa kelat. Dia tahu akan hal tersebut. Berkali-kali bekas ibu mentuanya mengadu akan hal yang sama. Dan berkali-kali juga dia dipujuk agar kembali menerima mantan suaminya itu. Tapi apakan daya andai tuan badan sendiri tak pernah sekali pun meluahkan rasa ingin mereka kembali bersatu. Dia sedia terima kembali Arif andai memang itu sudah tertulis oleh-Nya memandangkan rasa cinta yang pernah ada buat lelaki itu tak pernah terhakis walau sedikit pun. Arif cinta pertama dan terakhirnya. Mana mungkin dia mampu melupakan begitu saja.

“Wiya, boleh tak Wiya tolong cakap dengan mak abang tu. Abang dah penatlah, Wiya. Bukan sorang dua perempuan yang abang bawak jumpa dia. Tapi satu pun dia tak berkenan. Balik-balik nak bandingkan dengan Wiya. Lepas tu, sibuk nak suruh abang balik dengan Wiya. Abang dah penatlah Wiya. Lepas ni, abang dah tak peduli. Kalau ada jodoh, ada la… Kalau takde pun, abang dah tak kesah.” Luah Arif akan tujuannya untuk bertemu dengan mantan isterinya hari itu.

Zawiya lepas hela perlahan. Disandarkan tubuh ke kerusi dengan selesa. Wajah bekas suaminya itu dipandang bersama senyum nipis yang terbentuk.

“Mak tu dah tua, bang. Apa yang dia mintak, tak salah. Abang satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Adik-adik abang semua dah duduk jauh ikut suami masing-masing. Yang tinggal sekarang ni cuma abang. Abang yang paling dekat dengan dia. Siapa lagi yang dia nak cari kalau bukan abang? Siapa yang dia nak harapkan selain abang? Bapak pun dah makin tak sihat. Bukannya kuat macam dulu. Bapak tu, nampak aje diam. Takde komplen apa-apa pun pasal abang. Tapi Wiya dapat rasa yang dia pun macam mak. Dia harapkan abang. Apalah salahnya kalau abang ikut aje apa yang dia nak?” lembut dia menasihati.

“Ikut apa yang mak nak, Wiya cakap?” Arif senyum senget. “Wiya tahu tak, apa sebenarnya yang mak harap dari abang?”

Zawiya kekal senyum. Dia tak nak jawab sebab dia sendiri dah tahu jawapannya.

“Apa yang mak nak sangat mustahil pada abang.” Sambung Arif bersama hela panjang.

“Maksud abang?”

“Abang tak nak musnahkan kebahagiaan Wiya sekarang ni. Cukuplah apa yang abang dah buat pada Wiya dulu. Kita sama-sama ada salah.  Tapi abang tak nak kita terluka buat kali kedua.”

Senyum Zawiya kian pahit. Jelas yang Arif langsung tak peka dengan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini. Dia dah sedia berubah kalau itu yang bolehkan hati Arif. Dulu dia juga terlalu pentingkan diri sendiri. Langsung tak fikir akan kemahuan Arif selaku suami.

“Untuk kita memang takde untuk sekali lagi kan?” balasnya lambat.

Arif angguk.

“Takkan ada Wiya. Abang tak layak untuk Wiya. Wiya berhak dapatkan yang lebih baik dari abang. Abang percaya jodoh Wiya ada. Cuma lambat atau cepat aje. Tapi yang pastinya bukan abang.” Jawabnya tekad.

Zawiya paksa bibir maniskan senyum meskipun terasa makin payah. Cuba dipujuk hati yang mula menangis kecewa. Tak menyangka sudah tak punya ruang lagi di hati Arif untuk dia kembali.

“Abang… Wiya rasa, dalam hal ni Wiya tak boleh nak tolong abang. Abang kena bincang dengan mak baik-baik. Wiya yakin dia boleh faham.” Ucapnya setenang mungkin. “Atau mungkin, Wiya boleh tolong abang carikan calon. Abang nak cuba?” Idea spontan yang datang dalam kepalanya. 
Seketika kemudian dia rasa menyesal. Terasa mahu ditampar mulutnya kerana memandai-mandai.

Arif berkerut. Dipandang wajah bekas isterinya itu dalam-dalam. Seperti tak percaya dengan apa yang didengari. Selama mereka kembali berkawan, tak pernah sekali pun Zawiya mahu membantunya cari teman hidup.

“Serius ke ni?”

“Yes. Tu pun kalau abang naklah. Dan Wiya rasa, dia paling sesuai untuk abang. Mak mesti suka.” Zawiya ceriakan wajahnya walaupun tak seikhlas hati.

Arif hirup kopi pekatnya lagi dengan akal ligat menimbal semula apa yang dicadangkan Zawiya.

“Nak ke tak nak ni? Ni aje yang Wiya boleh tolong. Yang lain-lain tu, sorry. Memang Wiya tak boleh nak tolong abang.” Gesa Zawiya. Namun jauh di sudut hati mengharap benar lelaki itu menolak.

“Okeylah. Abang terima. Tapi untuk kali terakhir. Kalau kali ni pun tak jadi jugak, abang surrender. Biarlah mak nak membebel apa pun, abang dah tak peduli.” Putus Arif sudahnya.

“Okey! Deal! Nanti, Wiya set kan date dengan calon abang tu. Apa-apa hal nanti, Wiya inform abang.” Zawiya senyum lebar.

Arif cuma senyum nipis dengan mata tak lepas renung wajah bekas suri hatinya itu. Entah kenapa hatinya tak senang tengok senyum lebar yang terhias.

“Wiya, kalau boleh abang nak Wiya kenalkan calon Wiya tu sebelum puasa ni. Boleh?” ujarnya tiba-tiba. Penuh makna. Sengaja mahu melihat reaksi wanita itu.

Zawiya yang sedang menyedut jus oren hampir tersedak.

“Tak cepat sangat ke? Kita nak puasa lagi dua minggu aje ni.”

“Okeylah tu. Lagi cepat, lagi bagus. Untung-untung lepas raya nanti boleh terus nikah.” Arif hadiahkan senyum paksa.

“Er… Wiya tak janji. Tapi Wiya cuba.” Zawiya telan liur yang rasa betul-betul pahit.



Mungkin untuk sekali lagi_short part 2

PART 2

5 tahun lalu…

“Cuba abang cakap dengan Wiya, apa yang tak cukup dekat rumah ni? Makan pakai abang, semua Wiya jaga. Apa lagi yang abang tak puas hati?” Walaupun rasa marah begitu membuak, dia masih mampu lagi tahan demi tak mengeruhkan keadaan. Semua hanya kerana dia balik agak lewat malam itu.

“Tak cukup dengan makan pakai aje, Wiya. Abang nak lebih dari tu! Abang nakkan perhatian Wiya sepenuhnya!” tegas Arif.

“Perhatian? Perhatian apa yang tak cukup lagi abang? Wiya rasa, Wiya tak pernah sekali pun abaikan abang.”

Senyum sinis terbentuk di bibir Arif.

“Tu Wiya yang cakap. Tapi yang rasa… Abang ni Wiya. Kahwin tapi macam orang tak kahwin! Balik lewat malam macam dah takde suami. Wiya ingat abang ni apa?”

“Abang…” Dari perasaan marah dalam hati, kini sebak pula yang menjelma. Hangat pelupuk matanya. Cukup kecewa dengan apa yang terluah di bibir suaminya itu.

“Wiya tahu tak, dah 3 tahun kita kahwin. Makin lama, abang rasa kita makin jauh. Setiap kali abang perlukan Wiya, Wiya takde. Wiya sibuk dengan bos Wiya! Bos bos bos! Macam dah takde orang lain dekat company Wiya tu kan? Abang dah muaklah dengan alasan Wiya! Baru seminggu kita berpuasa, Wiya cakap dengan abang berapa kali kita dapat berbuka bersama?”

“Abang…” Zawiya cuba paut lengan Arif. Namun lelaki itu laju menepis membuatkan air mata yang ditahan hampir gugur. Sepanjang bersama, belum pernah lagi Arif sekasar itu. “Abang tahu kerja Wiya macam mana kan? Wiya takde pilihan abang…” Dia cuba memujuk.

“Bukan takde pilihan. Tapi Wiya yang tak nak buat pilihan! Berapa kali abang suruh Wiya berhenti aje kerja dengan Datuk tu. Tapi Wiya yang degil! Wiya ingat, abang tak mampu nak jaga makan pakai Wiya ke kalau Wiya berhenti? Abang mampu lagi Wiya!” luah Arif yang meletakkan seluruh kesalahan ke bahu isterinya itu.

“Abang… Wiya mintak maaf kalau selama ni, abang rasa terabai. Tapi Wiya dah buat yang terbaik untuk rumah tangga kita, bang. Tolong bagi Wiya untuk baiki semuanya semula kalau tu dapat puaskan hati abang… Wiya janji, Wiya akan bagi sepenuh perhatian Wiya pada abang.” Zawiya kekal berlembut jika itu dapat menjernihkan keadaan. Sedar yang dia tidak cukup prihatin dengan apa yang dirasai Arif selama mereka bersama.

“Peluang cuma satu aje Wiya. Sama ada Wiya berhenti terus dari kerja dengan Datuk tu, atau kita buat haluan masing-masing.” Arif bertegas. Kata putus diberi. Dan dia mengharap Zawiya buat keputusan yang terbaik demi menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Abang…” Gugur juga air mata Zawiya kala itu. Pilihan yang terlalu sukar dibuat memandangkan dia terlalu sayangkan kerjayanya sekarang ini. Bukan mudah untuk jadi orang kepercayaan orang ternama. Dia dah bekerja sebagai setiausaha merangkap pembantu peribadi keluarga Datuk Zaman hampir 10 tahun. Terlalu sukar untuk dia meninggalkan kerja tersebut memandangkan dia dah terlalu banyak terhutang budi dengan keluarga Datuk Zaman.

“Pilih Wiya. Kalau Wiya nak rumah tangga kita ni berpanjangan, tolong pilih. Abang dah tak nak kita hidup macam ni lagi Wiya. Dah cukup 3 tahun abang bagi masa untuk Wiya. Sayangnya… Wiya langsung tak peduli apa yang abang cakap sebelum ni. Wiya lebih pentingkan kerja dari abang… Sampaikan untuk ada anak pun, Wiya takde masa. Jujur abang cakap. Dalam keadaan Wiya yang terlalu sibuk uruskan keluarga Datuk tu… Kita memang takkan ada harapan untuk ada anak…” Suara Arif lebih mengendur berbanding tadi.

“Rezeki anak bukan kerja kita bang… Bukan kita tak usaha…” Lemah Zawiya balas. Pilu hatinya bila perihal zuriat pula ditimbulkan. Padahal ada isu yang lebih besar yang menjadi punca kedinginan rumah tangga mereka sejak akhir-akhir itu. Cuma dia yang tak sanggup untuk timbulkan demi menjaga hati lelaki itu selain ia akan membawa fitnah jika hal tersebut tak benar. Dia tahu ada seorang wanita yang cuba mendekati Arif kebelakangan itu. Tapi sengaja tak disuarakan kepada Arif untuk mengelakkan kedinginan rumah tangga mereka berterusan.

“Memang kita usaha. Tapi Wiya tak pernah bersungguh! Balik-balik abang yang beriya-iya nak kita ada anak cepat. Tapi Wiya? Abang tak nak ungkit hal dalam kelambu kita, Wiya. Tapi Wiya boleh faham sendiri keadaan kita macam mana.”

Zawiya kemam bibir kuat. Laju air hangat yang menuruni pipi. Terasa dia dah benar-benar gagal jadi seorang isteri yang cukup baik buat lelaki yang terlalu dicintai itu.

“Wiya mintak maaf abang, kalau selama ni Wiya gagal jadi isteri yang terbaik untuk abang. Wiya tahu, Wiya dah banyak buat dosa pada abang dalam Wiya tak sedar.” Ucapnya dalam esak tangis. 
“Wiya rasa...” Wajah yang lencun diseka perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus perlahan demi meredakan segala rasa yang bermukim dalam hatinya kini.  “Wiya serahkan semua keputusan dekat tangan abang kalau itu dapat puaskan hati abang…”

Arif hala renung tajam ke arah isterinya yang menunduk.

“Apa maksud Wiya?” Dadanya mula berdebar.

Zawiya angkat muka. Dipandang sayang wajah lelaki yang menjadi tempat dia berlindung dan bergantung selama ini. Lelaki yang pernah menyayanginya sepenuh hati tanpa sebarang alasan.

“Wiya tak boleh berhenti kerja, abang…” jawabnya tekad meskipun keputusan itu bakal melukakan hatinya sendiri.

“Wiya…” Arif hilang kata. Tak menyangka itu yang terbit di bibir isterinya.

“Wiya tahu ada orang lain yang sedia tunggu abang lepas kita…” Zawiya gigit bibirnya kuat. Tak sampai hati mahu meluahkan perkataan seterusnya. “Wiya reda abang. Wiya tahu abang layak dapatkan yang lebih baik dari Wiya… Wiya mintak maaf abang…” Tangisnya kembali berlagu.

Arif geleng beberapa kali. Rengus kasar dilepaskan. Diraup wajahnya beberapa kali demi meredakan dada yang mula berombak.

“Wiya yakin dengan apa yang Wiya pilih?” soalnya dengan wajah yang cukup tegang. Suaranya bergetar menahan rasa marah.

Zawiya kemam bibirnya kuat sebelum menunduk kembali. Menekur hujung kaki yang terasa cukup dingin.

Arif tarik nafas panjang. Tak lepas memandang wajah wanita yang dah lencun itu dengan perasaan yang bercampur-baur.


“Nurul Zawiya binti Ahmad. Aku lepaskan kau dengan talak satu.” Habis menutur kata Arif terus berlalu ke pintu utama rumah bersama pelupuk yang hangat.