Dec 7, 2012

Jangan tak mungkin_part 8



“Dik kau kenapa?” tanya Shahimi apabila dilihat Ada hanya mendiamkan diri sejak mereka bertolak dari rumah tadi.

“Takda apalah.” Jawab Ada diiringi keluhan halus di bibirnya.

“Kau dari hari tu takda apa, takda apa. Tapi abang tengok kau sekarang macam lain aja.” ujar Shahimi yang perasan akan perubahan yang berlaku.

Ada tidak menjawab. Hanya pandangan mata sahaja ditalakan ke luar tingkap. Dia tidak perlu menjawab pertanyaan Shahimi kerana dia yakin abangnya itu sedia maklum apa yang sedang berlaku.

“Kalau dah rasa salah, said sorry aja. Kan senang. Apa yang susah sangat..” kata Shahimi lagi penuh makna sambil mengerling ke sisi.

Ada saat itu pula mula menahan sebak di dada yang bertandang. Dia cukup faham apa yang terucap di bibir abangnya.

“Azam yang abang kenal, cukup baik dik. Dia senang maafkan orang. Susah nak berdendam. Cuma mulut dia ajalah. Kau tahu kan..” Lanjut Shahimi lagi mengenai sahabat baiknya.

Ketika itu mereka dalam perjalanan ke hospital untuk melawat Azam yang disahkan menghidap demam denggi dan kini dalam keadaan yang agak kritikal. Selepas pulang dari Labuan, demam Azam berlanjutan hingga seminggu menyebabkan Uncle Zakuan terus menghantar lelaki itu ke hospital untuk membuat rawatan lanjut. Lenguh-lenguh badan yang dialami oleh Azam sebelum ini dianggap hanya kesan daripada kekurangan tidur dan terlalu sibuk dengan kerja. Tetap tidak menyangka ia sebenarnya memberi petanda lain pada kesihatan lelaki itu.

Ada diam lagi. Namun pelupuk matanya saat itu sudah terasa hangat.

“Janganlah menangis. Dia okey lagi..” tambah Shahimi yang perasan dengan riak wajah adiknya yang keruh.

“Macam mana kalau tak sempat..” luah Ada apa yang terpendam di hatinya sebaik diberitahu akan keadaan Azam tadi.

“Hish! Ada ke cakap macam tu. InshaAllah dia takda apa-apa.” balas Shahimi lebih positif.

Ada tidak membalas. Namun di dalam hati dia berdoa agar Azam segera sembuh. Dia amat risau jika dia tidak sempat untuk meminta maaf dengan lelaki itu. Perasaan bersalah di dalam dadanya tidak lagi tertanggung apabila mengenangkan keadaan lelaki itu berpunca dari dirinya sendiri.

“Dik..” Shahimi kembali bersuara setelah masing-masing mendiamkan diri.

Ada tidak menjawab tetapi wajahnya dipalingkan ke wajah Shahimi. Menanti apa yang ingin diperkatakan oleh abangnya.

“Kalau abang kata dia suka kau macam mana?” ujar Shahimi dengan senyuman yang bergayutan di bibirnya.
Ada pula sedikit tersentak mendengar kata-kata Shahimi. Wajahnya segera dipalingkan ke luar tingkap. Entah perasaan apa yang dirasakan mula menular di hatinya saat itu pun dia tidak pasti. Perasaan yang belum pernah dirasai sebelum ini.

“Dik, kau dengar tak apa abang cakap ni?” tambah Shahimi apabila Ada hanya mendiamkan diri.

“Abang jangan merepeklah.” Nafi Ada. Tidak pernah langsung terlintas di fikirannya yang Azam akan menaruh perasaan terhadapnya memandangkan hubungan mereka sebelum ini agak dingin.

“Merepek apa pulak.. Abang cakap dari apa yang abang nampak.” balas Shahimi yang teringat akan pandangan mata Azam ketika Ada menemaninya melawat lelaki itu di rumah dua minggu lalu. Dan sepanjang tempoh lelaki itu demam jugalah Ada yang memasakkan bubur setiap hari kerana Azam tidak berselera untuk makan nasi.

“Abang janganlah nak bergurau time-time macam ni. Ada takda mood lah nak bergurau dengan abang..” kata Ada yang cuba membuang jauh apa juga perasaan yang muncul di hatinya saat itu dari apa yang diperkatakan oleh Shahimi.

“Gurau apanya? Abang pun takda masa la nak gurau hal-hal macam ni.” Balas Shahimi cuba meyakin adiknya itu.

“Mana abang tahu dia suka Ada? Dia ada cakap dengan abang ke dia suka Ada?” soal Ada seperti tidak berminat mengetahui lanjut tentang apa yang diperkatakan oleh Shahimi. Dia tidak mahu melayan perasaan indah yang tiba-tiba hadir di hatinya saat itu kerana dirasakan perkara tersebut begitu jauh dari jangkauan akalnya.

“Dia takdalah cakap.. Tapi..”

See? Takda kan? So, baik abang jangan cakap. Dah la dia tengah tak sihat sekarang ni.” pintas Ada yang tidak mahu hal itu dilanjutkan lagi.

Apa yang penting baginya saat itu adalah tentang keadaan Azam. Dia amat berharap yang lelaki itu kembali sihat seperti sediakala. Dia lebih sanggup berhadapan dengan Azam yang bermulut lepas dari terpaksa melihat lelaki itu dalam keadaan yang tidak sihat.

Sebelum bertolak tadi, sempat dia membuat carian di internet untuk mengetahui lebih terperinci akan penyakit demam denggi yang dialami oleh Azam. Seperti yang diberitahu oleh abangnya, platelet Azam jatuh mendadak hingga ke 16 mikroliter (mcL) menyebabkan lelaki itu berada di tahap yang kritikal. Manusia normal mempunyai platelet sebanyak 150 mcL atau lebih. Perbezaan yang begitu ketara menyebabkan perasaan risaunya menggunung tinggi apabila memikirkan keadaan Azam. Tambahan pula, tiada ubat yang spesifik dapat menyembuhkan demam denggi selain minum air kosong dengan banyak untuk mengurangkan panas badan.

……………….

“Kau macam mana?” tanya Shahimi yang simpati melihat keadaan Azam yang tidak bermaya. Sebelah lengan lelaki itu bercucuk jarum dan bersambung dengan beg air yang tergantung. Diberitahu, sejak dimasukkan ke dalam wad, sudah berbeg-beg air yang dimasukkan tetapi keadaan Azam masih juga tidak berubah. Malah hari itu keadaan Azam bertambah buruk.

“Macam ni la Shah.. Apasal entah aku ni..” jawab Azam lemah.

“Kau sebenarnya dari mana bro?” soalnya pula apabila dilihat hanya Shahimi sahaja yang dilihat di situ sebaik terjaga dari tidur. Abahnya sudah pula pulang ke rumah sebelum dia terlena tadi.

“Aku dari rumah. Terkejut aku tadi bila Uncle cakap platelet kau mendadak turun hari ni. Kau tak minum air ke bro? Kan kau kena banyak minum air.” balas Shahimi yang sama risau melihat keadaan Azam. Wajah itu pucat dan agak cengkung. Dia dapat melihat ada bintik-bintik merah yang muncul pada kulit Azam yang putih.

“Aku minum bro. Lebih dua botol besar aku minum. Sampai aku dah tak larat dah nak pergi toilet. Tangan aku ni dah biru-biru sebab asyik nak ambik darah aja.. Tapi baiknya tak jugak.” kata Azam sambil menunjuk ka arah lengannya yang ada sedikit kesan kebiruan. Tubuhnya benar-benar terasa lemah. Hingga mahu ke tandas, kadang-kadang dia memerlukan bantuan.

“Jangan cakap macam tu Zam.. Ni semua kerja tuhan. Kau kena reda dengan semua ni. Kau tahu kan dengan penyakit ni la Allah hapuskan dosa-dosa kau.. Bersyukurlah Zam sebab kau mampu lagi nak beribadat pada Dia walaupun kau tengah sakit macam ni.. InshaAllah Zam kau boleh sihat balik.. Banyakkan doa, berserah pada Dia.” balas Shahimi yang simpati dengan sahabatnya itu. Dirasakan begitu besar dugaan yang diterima oleh Azam.

Nafas berat terlepas dari bibir Azam. Terkesan juga dengan apa yang diucapkan oleh Shahimi di hatinya. Dalam sakit begitu dia hampir terlupa akan hukum Allah. Lupa akan segala-gala yang berlaku ke atas dirinya kini adalah ketentuan dariNya.

“Astaghfirullahal’azim..” itu yang mula meniti bibirnya sebaik dia meraup wajahnya sekali.

“Sabarlah Zam.. InshaAllah.. Aku doakan kau cepat sembuh.” ucap Shahimi sambil menepuk perlahan bahu sahabatnya persis memberi sokongan.

“Kau dah makan belum ni?” soalnya kemudian seraya menukar topik perbualan. Dilihat bekas makanan yang dibekalkan oleh pihak hospital tidak pun bersentuh.

“Belum. Aku takda selera nak makan Shah. Tekak aku rasa pahit aja. Air kosong pun pahit.” jawab Azam seraya cuba menegakkan tubuh dan dibantu Shahimi.

“Erm.. Ni aku ada bawak sup ketam. Mama cakap orang demam denggi elok makan sup ketam. Trylah Zam. Manalah tahu Allah perkenan.” ujar Shahimi sambil mengeluarkan bekas makanan yang dibawa dari dalam beg kertas.

Azam hanya memandang Shahimi menuangkan sup tersebut ke dalam mangkuk. Apabila terpandangkan bekas makanan yang dibawa oleh Shahimi, dia teringat kepada Ada. Bekas makanan itu jugalah yang digunakan oleh Ada setiap kali gadis itu menghantar bubur kepadanya sepanjang dia demam.

“Mama dengan ayah aku kirim salam. Hari ni ayah dengan mama aku pergi hantar kad jemputan lagi. Petang-petang sikit baru datang sini.” kata Shahimi lagi tanpa perasan wajah Azam yang berubah.

Azam tidak lepas memandang bekas makanan yang masih terletak di hadapannya. Entah kenapa dia teringin benar mahu bertemu dengan Ada. Masih ada lagi urusannya dengan Ada yang belum selesai. Dia mahu meminta maaf dengan gadis itu atas apa yang telah berlaku di antara mereka sementara masih ada waktu. Risau yang dia tidak berkesempatan untuk bertemu dengan gadis itu lagi.

“Zam..” panggil Shahimi sambil menepuk bahu Azam yang dirasakan seperti khayal dalam dunianya sendiri.

“Kau okey ke?”

Shahimi sedikit pelik melihat keadaan sahabatnya itu. Meja mudah laras dirapatkan hingga di hadapan Azam agar mudah lelaki itu makan.

“Shah, kenapa kau tak bawak Ada?” Itu yang terluah di bibir Azam tanpa menjawab soalan Shahimi.

 Shahimi yang sedikit terkejut dengan pertanyaan Azam terus menghalakan pandangan ke dalam mata lelaki itu.

“Er.. Kenapa dengan Ada? Kau nak jumpa dia ke?” soal Shahimi kembali.

Azam mencerunkan pandangan ke arah mangkuk sup di hadapannya.

“Aku banyak buat salah dengan dia Shah..” luah Azam beserta keluhan panjang.

“Tu aja?” duga Shahimi yang mahu mengetahui apa sebenarnya yang dirasakan oleh Azam.

“Aku risau aku tak sempat nak mintak maaf pada dia..” tambah Azam pelupuk mata yang mula terasa hangat.

“Tak baik cakap macam tu Zam..” Shahimi mula tidak senang dengan kata-kata sahabatnya itu.

Azam pula mengeluh perlahan.

“Erm.. Zam, aku nak keluar kejap. Kau makanlah sup ni dulu. Kejap lagi aku datang balik.” ujar Shahimi serba salah. Dia tidak sampai hati mahu menghampakan permintaan Azam.

Azam saat itu pula hanya mampu memandang Shahimi keluar dari bilik wadnya. Mangkuk sup di hadapannya dipandang kosong. Tangan mencapai sudu yang turut disediakan oleh Shahimi tadi. Sup yang masih mengeluarkan asap nipis itu dikacau perlahan.

“Shah, aku lupa nak cakap terima kasih pada kau tadi. Terima kasihlah sebab susah-susah bawak sup ni untuk aku. Nanti kau kirim salam pada Aunty. Cakap terima kasih sebab masakkan aku sup ni.” kata Azam saat telinganya dapat menangkap bunyi pintu bilik wadnya dibuka dari luar. Namun dia tidak mengangkat wajah kerana tahu Shahimi yang masuk kembali.

“Ehem..” Ada berdaham beberapa kali apabila dirasakan Azam seperti tidak sedar dengan kehadirannya. Lelaki itu leka memandang sup yang sedang dikacau.

Memandangkan Azam ditempatkan bilik khas, dia membuat keputusan untuk menanti sahaja di luar tadi sementara abangnya masuk ke dalam. Tambahan pula, dia terasa malu untuk berhadapan dengan Azam. Tapi apabila abangnya menyatakan yang Azam sendiri ingin bertemu dengannya, tidak sampai hati dia mahu menolak. Tiada lain yang lebih penting selain kata maaf darinya masih lagi bertangguh menyebabkan dia terpaksa juga bersemuka dengan Azam. Dengan keadaan lelaki itu yang tidak stabil, dia mahu menyelesaikan segala-galanya sebelum terlambat.

“Er..Ada..” Sudu yang hampir mendekati mulut terus diletakkan kembali sebaik dia mengangkat wajahnya.

Ada menarik senyum serba tidak kena sebaik matanya berlaga dengan mata Azam. Kelu lidah untuk menutur kata diiringi debar tidak menentu di dalam dada.

“Er.. Duduklah.” pelawa Azam yang turut sama serba tidak kena kerana terkejut dengan kehadiran gadis yang mula menjadi idaman hati. Yakin yang gadis itu sebenarnya datang bersama-sama sahabatnya tadi.
Ada pula menurut tanpa sebarang kata dan dia kini benar-benar hampir dengan Azam yang duduk di atas katil. Kedua-dua tangannya sudah bersatu bermain sesama sendiri. Hilang bertebaran ayat-ayat yang telah di susun untuk dituturkan sebelum dia masuk ke situ tadi.

Azam juga seperti tidak tahu untuk berkata-kata sedangkan sebelum ini ada sahaja yang ingin diperkatakan hingga mampu menyakitkan hati gadis di hadapannya itu.

“Saya mintak maaf..”

“Saya mintak maaf..”

Hampir serentak kedua-duanya memulakan kata membuatkan sekali lagi mata mereka berlaga sebelum masing-masing membuang pandang ke arah lain.

“Saya mintak maaf kalau sebab saya awak jadi macam ni..” tutur Ada perlahan setelah masing-masing mendiamkan diri.

Azam yang sudah bersandar di kepala katil hanya memandang wajah Ada yang menunduk. Terharu dengan apa yang terucap di bibir gadis itu.

“Saya takda niat nak buat awak jadi macam ni..” tambah Ada lagi seraya menegakkan wajah. Menentang pandangan mata Azam yang sedikit kuyu.

Azam menarik senyum tepi. Dia tidak membalas. Sebaliknya hanya mahu mendengar apa sahaja yang ingin diucapkan oleh Ada kerana dia perasan sepasang mata cantik milik gadis itu mula berkaca-kaca. Entah apa yang menyebabkan Ada seemosi begitu. Padahal, dia yang lebih banyak menyakitkan hati gadis itu sebelum ini.

“Saya mintak maaf apa yang pernah saya cakap dengan awak sebelum ni.. Saya tak tahu awak ambik serius setiap apa yang saya kata hari tu.” sambung Ada lagi dalam nada yang semakin mengendur. Wajahnya kembali ditundukkan untuk menyembunyikan airmata yang mula bertakung.

“Ada.. Awak takda salah pun dengan saya..” balas Azam perlahan.

Tidak sampai hati melihat keadaan Ada terus beremosi begitu sekaligus tidak mahu gadis itu terasa bersalah atas apa yang menimpa dirinya. Apa yang berlaku sebelum ini memang sengaja dilakukan semata-mata mahu menarik perhatian gadis itu. Namun dia tidak menyangka akhirnya membawa padah kepada tubuhnya sendiri.

“Tak.. Saya yang sebabkan muka awak jadi macam orang dah tak betul sebelum awak pergi Labuan hari tu.. Sebab abang kata hari-hari awak makan instant food.. Awak langsung tak makan pun apa yang saya masak. Lepas tu, awak terus demam sampai hari ni.. Kalau saya tak cakap macam-macam hari tu, mesti awak tak sakit macam ni kan.. Teruk macam ni..” jawab Ada lirih yang sedaya upaya cuba menahan airmatanya dari jatuh di hadapan lelaki itu kerana perasaan bersalah di dalam hatinya.

Azam menarik senyum tepi. Teringat lagi kali terakhir dia bertemu dengan Ada. Gadis itu ada bertanya tentang keadaan dirinya yang kusut masai seperti tidak bermaya. ‘Muka buruk’ seperti yang digelarkan oleh Ada dalam SMS yang dihantar. Hingga ke hari ini dia masih lagi menyimpan SMS gadis itu.

“Ada..” panggilnya perlahan.

Ada mengangkat wajah.

“Apa yang jadi dengan saya hari ni bukan salah awak.. Awak jangan rasa bersalah dengan apa yang jadi pada saya ni. Anggap aja ni hukum tuhan dari apa yang saya pernah buat pada awak sebelum ni.. Saya yang banyak buat salah pada awak. Memang patut Allah bagi saya sakit macam ni.. Saya terima apa juga yang akan jadi lepas ni..” tambahnya perlahan. Dia mula reda dengan ketentuan Allah. Tahu apa yang berlaku ke atas dirinya saat itu bersebab. Dan dia perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan yang akan berlaku.
“Awak jangan cakap macam tu.. Dia maha adil pada hambaNya. Awak kena kuat.. Saya tahu awak akan sihat balik nanti. Saya doakan awak cepat-cepat sembuh.” balas Ada ikhlas yang tidak menyenangi dengan apa yang diperkatakan oleh Azam.

Azam menarik senyum tawar. Tersentuh hatinya dengan apa yang dititipkan oleh Ada buatnya. Tetapi saat itu, hanya Allah sahaja tahu apa yang dirasakan. Mahu mengangkat sudu pun tangannya terasa menggigil. Seperti segala kudratnya yang ada sebelum ini sudah ditarik semuanya. Ikutkan hatinya, untuk duduk bersandar begitu pun dia rasa tidak mampu. Terasa sakit seluruh anggota tubuhnya.

“Ada..” Azam kembali mencari sepasang mata Ada.

Ada cuba memaniskan roman wajah.

“Saya mintak maaf banyak-banyak dengan awak atas apa yang saya pernah buat, apa yang saya pernah kata pada awak sebelum ni. Halalkan apa juga yang pernah masuk dalam perut saya dari apa yang awak masak sebelum ni..” tuturnya perlahan. Memang hal itu yang ingin diucapkan kepada gadis itu sebelum ini.

“Saya dah lama maafkan awak. Saya dah halalkan apa jugak yang saya pernah masak sebelum ni..” balas Ada sama perlahan seraya menyeka airmata yang mula menunjukkan diri.

Azam pula memalingkan wajah. Tidak mahu melihat wajah Ada yang sudah berairmata kerana dia sendiri mula terasa sebak. Namun dalam pada masa yang sama dia berasa lega dengan apa yang terucap di bibir gadis itu. Kesalahannya sudah pun dimaafkan.

Terdengar pintu terkuak dari luar, Ada segera mengeringkan sisa airmatanya.

“Zam, kau tak makan lagi? Dah sejuk sup ni.” ujar Shahimi selamba seperti tiada apa yang berlaku di antara Ada dan sahabatnya itu.

Dirasakan sudah cukup waktu yang diberi kepada pasangan di hadapannya itu untuk berbincang apa yang terbuku di hati masing-masing.

“Iyalah.. Aku nak makanlah ni.” jawab Azam lambat. Matanya sempat singgah ke wajah Ada sebelum mencapai semula sudu di dalam mangkuk sup tadi. Dia cuba mengawal rasa gigil yang terasa saat mengangkat sudu besi itu.

Shahimi yang perasan akan pergerakan tangan Azam hampir menghamburkan tawa.

Ada pula sempat menjeling abangnya yang sembunyi senyum. Dia sendiri perasan akan tangan Azam yang sedikit bergetar saat mengangkat sudu.

“Zam.. Cakaplah kau nak aku suap.” ujar Shahimi dengan sengihan seraya mengambil sudu dari tangan Azam. Tidak sampai hati melihat Azam begitu perlahan menyuap sup masuk ke dalam mulut.

“Iyalah.. Kau gelakkanlah aku Shah..” balas Azam seperti berjauh hati.

“Alah.. Aku gurau ajalah. Tu pun nak touching. Macam budak hingus tu.” Giat Shahimi sengaja ingin menukar suasana yang sedikit murung itu. Dia tidak mahu Azam berterusan terasa lemah dalam keadaan tidak stabil begitu.

Ada sudah menjuihkan bibir.

Azam pula sempat mengukir garisan manis di bibir. Tercuit dengan gelaran yang diberi oleh Shahimi buat Ada.

‘Budak hingus pun aku suka bro..’ bisik hatinya yang paling dalam saat mata singgah ke wajah Ada yang mula memerah.

“Makanlah cepat Zam. Aku nak kau cepat-cepat sihat. Tengok muka kau yang dah hilang macho tu, macam aku pulak yang dah sama-sama sakit.” kata Shahimi lagi memberi semangat. Dia memang memaksudkan yang terucap di bibirnya. Melihat keadaan Azam yang tidak bermaya itu membuatkan hatinya tidak senang. Azam sudah dianggap seperti adik-beradiknya sendiri.

“Nah. Bukak mulut tu.” ujar Shahimi sambil merapatkan sudu ke mulut Azam. Namun lelaki itu tidak pun membuka mulut. Sebaliknya mengambil sudu dari tangannya.

“Aku boleh makan sendirilah.” Kata Azam yang tidak begitu selesa apabila Shahimi melayannya seperti anak kecil di hadapan Ada. Gadis itu sejak tadi hanya memerhatikannya hingga membuatkannya sedikit kekok.

Shahimi menghamburkan tawa.

“Kau tak payahlah nak malu depan budak ni. Biar aku suap.” Shahimi mengambil semula sudu dari tangan Azam.

Ada ketap bibir geram. Hingga tidak terlihat wajah Azam di hadapannya itu. Dia tahu Azam malu diperlakukan begitu oleh abangnya.

“Ada tunggu dekat luarlah bang.” putusnya terus seraya bingkas bangun. Mahu memberi peluang kepada Azam.  Dengan kehadirannya di situ, dia tidak mahu Azam sukar untuk makan sedangkan lelaki itu memang perlu makan untuk menambah tenaga. Dia berharap sup ketam yang dimakan itu sedikit sebanyak dapat membantu menambah bilangan platelet dalam badan Azam walaupun dia sendiri tidak pasti akan keberkesanan sup yang dicadangkan oleh mamanya tadi.

“Gilalah kau ni bro.. Malu aku..” ujar Azam sebaik kelibat Ada hilang disebalik pintu yang tertutup.

“Tak payahlah kau nak malu sangat depan adik aku tu. Sebelum ni kau selamba aja.. Takda pun nak malu-malu.” Balas Shahimi yang menghamburkan tawa.

“Sebelum ni lain.. Sekarang dah lain..” jawab Azam sebelum menyuap masuk sup ke dalam mulutnya walaupun masih jelas ketar tangannya. Namun digagahkan juga.

“Sekarang dah lain? Lain macam mana tu?” giat Shahimi lagi dalam sisa tawanya.

“Sudahlah kau! Malas aku layan. Bagi sinilah mangkuk tu. Aku nak makan.” putus Azam ingin menamatkan sahaja perbualan yang melibatkan Ada. Rahsia hatinya masih lagi tersimpan rapi dan tidak mungkin akan didedahkan dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan begitu. Apa yang lebih penting saat itu, dia akan terus berdoa dan berharap agar Allah beri lagi dia kesempatan untuk melaksanakan segala tanggungjawabnya yang masih belum terlaksana.

“Suka cakap suka Zam. Tak suka cakap tak suka. Biar di sana tidak terpinga-pinga.” balas Shahimi penuh makna menceriakan suasana.

“Elok-elok aku makan sup, ada jugak tangan yang hilang nanti..” gertak Azam dengan wajah yang mula terasa kebas diusik Shahimi begitu. Dia cukup faham dengan kata-kata kiasan yang diberi oleh Shahimi.

Shahimi berterusan ketawa. Namun di dalam hati dia tetap berdoa agar Azam cepat sembuh.

***********
“Dik, kau masak apa lagi ni?” muncul Shahimi di ruang dapur apabila dilihat Ada masih memasak walaupun makanan tengah hari sudah siap terhidang di atas meja.

“Sup ketam la.” jawab Ada ringkas sambil mengacau sup yang sedang menggelegak.

“Nak buat apa lagi sup ketam?” soal Shahimi dalam senyuman penuh makna tersungging di bibirnya.

Hampir seminggu Azam di hospital, setiap hari dia akan menghantar sup ketam kepada lelaki itu apabila tubuh Azam memberi tindak balas positif selepas makan sup yang diberi. Bukan disebabkan sup sahaja, Azam tidak henti minum air kosong semata-mata mahu mengurangkan panas badan yang dialami. Tidak lupa juga, dengan keizinan Allah dan doa mereka sekeluarga diperkenan agar Azam kembali sihat seperti sediakala.

“Buat apa abang tanya? Apa punya pelik soalan kau ni bang?” Ada mengembalikan soalan kepada Shahimi semula dengan kerutan di wajah sebelum mematikan api dapur.

“Iyalah.. Kan Azam dah nak balik hari ni. Nak kena makan sup ketam lagi ke?” ujar Shahimi yang hampir menghamburkan tawa.

Dia tahu sepanjang Azam di hospital, adiknya itulah orang yang paling risau. Walaupun tidak pergi melawat ke hospital lagi, setiap hari dia menjadi kaunter pertanyaan gadis itu untuk mengetahui akan keadaan Azam. Tidak cukup dengan sup, setiap hari Ada akan pastikan Azam minum air yang dimasak dan sanggup pula membekalkan berbotol-botol air masak buat lelaki itu.

“Hah? Uncle Zakuan tak cakap apa-apa pun dengan Ada?” Ada sedikit terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Shahimi.

“Uncle Zakuan pun tak tahu Azam dah boleh keluar hari ni. Masa Uncle sampai hospital aja doktor baru bagitahu Azam boleh keluar.” Jawab Shahimi sambil menjengah sup ketam yang baharu dimasak oleh Ada.

“Iya ke dah sihat? Atau abang saja aja nak kenakan Ada ni..” kata Ada bernada curiga apabila melihat abangnya tersenyum-senyum sejak tadi.

Semenjak dia sudah mengisytiharkan perjanjian pendamaian dengan Azam beberapa hari lalu, dia sering menjadi bahan usikan abangnya itu. Sebelum ini dia pernah diusik abangnya hingga kelam-kabut dia mahu ke rumah Azam selepas diberitahu yang lelaki itu sudah pun pulang ke rumah. Padahal, Shahimi memang sengaja mahu mengenakannya.

“Tak percaya sudah. Azam sendiri call abang. Tak percaya tanyalah dia sendiri.” Balas Shahimi sebelum berlalu meninggalkan Ada keseorangan di situ.

Ada pula hanya memandang kelibat abangnya hilang. Dia masih ragu-ragu dengan apa yang diberitahu oleh abangnya tadi. Tanpa menunggu lama, dia terus mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas kebinet. Namun, sebaik sebaris nama sudah terpapar di atas skrin, dia berkira-kira pula untuk menghubungi kerana selepas bertemu dengan lelaki itu di hospital beberapa hari lalu, dia tidak pernah bertanya secara terus kepada Azam.

Tiada pilihan lain, SMS juga terpaksa dihantar. Mengelak dari mereka bercakap setelah masing-masing meminta maaf atas apa yang berlaku sebelum ini.

+ Awak dah sihat ke? Dah boleh balik hari ni?

Tidak sampai seminit SMSnya berbalas.

+ Tak sabar nak jumpa sayalah tu. :P

Ada terbatuk-batuk apabila air suam yang sedang diminum masuk ke rongga pernafasan. Terkejut dengan SMS yang diterima.

‘Dia dah mula balik dah..’ omelnya dalam hati dengan SMS yang dibaca. Azam yang dikenali memang suka mengusik. Dan disebabkan usikan jugalah dia dan lelaki itu bergaduh besar.

+ Jangan perasan! Saya dah masak sup ketam. Ingatkan awak tak keluar hospital lagi.

Terus sahaja dia berterus terang. Malas melayan usikan Azam yang mampu menggetarkan hati wanitanya.

+ Susah-susah aja. Takpa, nanti awak boleh hantar dekat rumah saya. Saya boleh makan sup ketam sedap awak tu. :D

Ada mengulum senyum. Tiba-tiba terasa pijar wajahnya menerima pujian daripada Azam. Memang sejak dari awal sup yang dimakan oleh Azam adalah dari air tangannya sendiri.

“Dik!” panggil Shahimi yang kembali ke ruang dapur.

Senyuman yang terukir di bibir Ada terus terpadam. Telefon bimbitnya disorokkan ke belakang walaupun sudah terlambat. Apa yang dilakukan, sudah dilihat oleh abangnya.

“Ayah kata, nanti kita ajak sekali Azam dengan Uncle Zakuan makan tengah hari dekat sini.” kata Shahimi yang sudah sembunyi senyum.

“Er.. Yalah..” jawab Ada sedikit kalut dengan senyuman kelatnya. Serba tidak kena. Semakin terasa pula debaran yang mengetuk ruang dadanya saat itu apabila sebentar nanti dia akan bertemu dengan Azam selepas mereka mengisytiharkan perang dingin yang berlaku tamat beberapa hari lalu.

“Hm.. Abang rasa, eloklah kita naik pelamin sama-sama bulan depan. Jimat belanja. Amacam?” usik Shahimi dengan dua keningnya terangkat memandang Ada.

Ada ketap bibir rapat. Pijar lagi wajahnya diusik Shahimi. Bukan dia tidak faham apa yang dimaksudkan dan memang sejak dia berbaik dengan Azam, abangnya tidak henti mengusik. Hinggakan Encik Zakuan sendiri ada bertanya tentang hubungannya dengan Azam. Malu tidak terkata apabila ibubapanya juga menyokong andai dia bersatu dengan lelaki itu. Dia tidak dapat membayangkan jika perkara itu sampai ke pengetahuan Azam. Entah di mana wajahnya harus disorokkan.

“Diam tandanya setuju.” giat Shahimi sebelum menghamburkan tawa.

Ada menjeling tajam. Kain lap yang berlipat di atas kebinet segera dilemparkan kepada Shahimi. Geram kerana lelaki itu akan terus mengambil peluang mengusiknya.

----------------------
sila betulkan jika fakta saya salah :)

8 comments:

Kak Sue said...

... Untungnya pagi ni sarapan pagi sup ketam.... hehehe...
.. Azam kalau suka terus terang ja masa makan tengahari kt rumah Ada nanti...
..Dula kata kalau berkenan dengan jirankan nak masuk meminang sendiri ... ada berani....hehehe
.. Bagi Ada x tentu arah sikit... kan Azam suka buat Ada jadi comel..
.. Arsha x sabar nak baca sambungannya....

Anonymous said...

BEST.. LEPAS NI DAPAT LA ADA DAN AZAM NAIK SEKALI PELAMIN DENGAN ABANG ADA...

TAK SABAR NAK TUNGGU

Atty Ismail said...

Alahai....comel sungguh Azam & Ada

hk said...

alaaa....sooooo sweeeettttttt!!!!

Ruunna Qizbal said...

best sangat2

MaY_LiN said...

sedap nye sup ketam!!
yum yum..
nak gak..
hikhikhik..
suka nya


ka arah~ke arah
hukum~hukuman
kebinet~kabinet

Anonymous said...

Sekali je la nek pelaminnyer... Kan besh! ;)
~acu~

Anonymous said...

Yup betul tu acu, sekali ler yer ada naik pelamin ngan abang die...best..best... Xsabo tunggu next n3 tawww... Dewi