Dec 19, 2011

Tertulisnya begitu_part 1 - short story :D




Short story_part 1_memang takdirNya

-ahaha. Superb beb entry kau ni. Keep it up! –terpuji pulak. Tapi kau takda rasa riak kan? Buang jauh-jauh penyakit hati tu beb. :D

p/s- weh, aku ada hot story. Dan aku tahu mesti kau dah panas punggung nak tahu kan? Kau kan wartawan pencen pisang goreng… :P

Itulah komen yang diterima daripada ‘Kakashi’ di ruang komen blog. Seorang sahabat kenalan dari ruangan sosial Yahoo Massager tiga tahun lalu. Setelah tiga tahun bersahabat di alam maya, hubungan semakin akrab walaupun sejak akhir-akhir ini masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Raiqah tersenyum sendiri membaca komen yang telah pun dihantar oleh ‘Kakashi’ seminggu lalu. Baru hari ini dia berkesempatan melihat perkembangan blognya semenjak broadbandnya disita oleh syarikat telekomunikasi setelah tidak menjelaskan bil yang tertunggak. Abang Razi punya pasallah ni!

Kedatangannya ke perpustakaan awam di kampungnya itu adalah semata-mata ingin menggunakan komputer secara percuma memandangkan pusat komputer yang ada sentiasa dipenuhi oleh pelajar sekolah. Terutamanya waktu cuti sekolah itu. Game sokmo! Bising!

Seperti biasa setelah membaca komen dari ‘Kakashi’, Raiqah akan terus menghantar email. Dengan cara itu sahaja mereka berhubung. Sepanjang berkenalan, Raiqah tak pernah melihat sekalipun gambar ‘Kakashi’. Hanya ‘Kakashi’ sahaja pernah melihat gambarnya. Itupun hanya gambar ketika bersekolah menengah yang diletak di dalam blog. ‘Chubby’ komen ‘Kakashi’ walaupun Raiqah tidak menyuruh pun dia komen.

Sejak mengenali ‘Kakashi’lah Raiqah telah banyak berubah. Jika sebelum ini dia yang banyak ‘mengelat’ dalam hal urusan agama walaupun keluarganya sedikit pun tidak lupa mendidik ilmu agama kepadanya. Tetapi bak kata ‘Kakashi’, islam hari ini banyak hanya pada nama di dalam kad pengenalan. Tapi amalannya tidak sama dengan nama yang dibawa. Memang sebijiklah terkena batang hidung Raiqah. Dia sendiri tidak menitik beratkan hubungannya dengan tuhan. Sambil lewa. Aci boleh aja.

Selama itu jugalah Raiqah semakin selesa bersahabat dengan ‘Kakashi’ atau nama sebenarnya Ilman. Sepotong perkataan itupun diketahui apabila terbaca sahabat-sahabat lelaki itu meninggalkan komen di blog dan termasuk namanya sekali. ‘Kakashi’ banyak mengingatkannya semula akan hukum hakam dalam agama. ‘Kakashi’ juga pendorong dia kembali ke jalan yang sebenar-benarnya. Menghayati apa sebenarnya islam dan kepentingannya dalam hidup seorang muslim.

Habis sahaja menaip, Raiqah bingkas sahaja bangun dan meninggalkan perpustakaan awam itu memandangkan dia telah berjanji dengan ibunya untuk memasak hari ini. Seawal jam 8 dia keluar semata-mata ingin melihat blognya. Tapi hari ini dia tidak sempat untuk mengepos apa-apa perkongsian ilmu di blognya sendiri kerana terlalu banyak dia menaip untuk bertanyakan ‘hot story’ kepada ‘Kakashi’. Entah bila dia dapat membaca balasan email daripada ‘Kakashi’ kerana selepas ini dia akan sibuk menguruskan proses permohonan mastersnya. Kunci skuter merah di dalam seluar track bottom dicapai dan terus dimasukkan ke tempat kunci.

……..

Sebulan yang lalu….

“Raiqah, macam mana kamu dengan Amar ni? Jadi ke tidak?” tanya Hajah Ramlah akan perihal pertunangan satu-satunya anak perempuan yang dia miliki.

“Jadi apa…?” tanya Raiqah malas. Pertunangan yang dirancang oleh ahli keluarganya langsung tidak diambil peduli. Amar Rafiq lelaki yang langsung tidak pernah dikenali sebelum ini telah menjadi tunangannya selama hampir 4 tahun. Amar Rafiq anak kepada teman ayahnya satu universiti dahulu. Dia tidak dapat membantah ketika pertunangan itu dijalankan dahulu. Waktu itu dia masih mentah dan hanya mengikut sahaja pilihan keluarga.

Sepanjang mengenali Amar, dia sudah tahu yang lelaki itu telah pun mempunyai kekasih hati sebelum pertunangan mereka dijalankan. Sehingga kini, mereka lebih selesa melakukan hal masing-masing kerana dia cukup yakin yang Amar Rafiq sendiri terpaksa mengikut kata ayahnya. Kedua-duanya langsung tidak mengharap akan ada penyatuan di antara mereka. Amar sendiri telah mengaku yang dia hanya menganggap Raiqah seperti adiknya sendiri apabila jarak umur mereka lebih dari 5 tahun.

“Berapa lama lagi kamu berdua nak tangguh untuk nikah? Tahun depan dah tahun ke lima. Apa lagi yang kamu tunggu ni?” bebel Hajah Ramlah yang cukup risau dengan pertunangan anaknya itu. Bukan dia tidak tahu Raiqah sebenarnya tidak bersetuju dengan ikatan yang terjalin.

“Tengoklah dulu macam mana…” jawab Raiqah tidak bersemangat.

“Apa yang nak kamu tengok lagi?” celah Haji Ahmad Fuad yang duduk di sisi isterinya.

“Ayah tanyalah Amar sendiri.” Balas Raiqah seraya bangun dan masuk ke bilik. Malas mendengar leteran yang sama tiap kali dia duduk di hadapan tv. Tidak senang!

Sudah beberapa malam dia melakukan solat istikharah seperti yang diajarkan oleh ‘Kakashi’. Dan kini dia mula pasti akan petunjuk dan tindakan yang harus dilakukan demi kebahagiaan dirinya. Pada masa yang sama juga, dia cukup yakin yang Amar akan bersetuju dengan rancangannya. Telefon bimbit di atas meja solek dicapai dan mencari nama Amar.

***

“Qaid, kau okay ke tak ni? Lain benar aku tengok kau sekarang. Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya Irfan teman serumah yang dikenali sejak dia bekerja di sebuah syarikat kewangan swasta ibu kota.

“Hmm… tak berapa nak okay.” Balas Qaid seraya menghirup baki air milo di dalam mug. Tv yang terpasang sedikit pun tidak menarik perhatiannya. Dalam kepalanya hanya terbayang wajah seorang gadis ayu yang masih belum mampu dimiliki kerana syarat-syarat yang telah diletakkan oleh ahli keluarga. Penyatuan mereka hanya dapat dilakukan setelah gadis itu menamatkan pelajarannya.

“Pasal Zahra ke?” teka Irfan. Segala rahsia lelaki itu dia tahu. Qaid sentiasa akan berkongsi segala permasalahan dengannya. Termasuklah soal hati. Sahabat yang sememangnya sedang menanti sang bunga untuk dijadikan peneman hidup. Dia sendiri tidak lama lagi akan menamatkan zaman bujang bersama kekasih hati yang telah pun menjadi tunangannya bulan lalu.

“Hmm..” gumam Qaid.

“Kenapa dengan dia? Dia balik lagi dua minggu kan…?” tanya Irfan lagi.

“Ha’ah..”

“Dah tu, apa masalahnya?”

“Dia balik nak kahwin beb.” Balas Qaid lemah.

“Baguslah tu. Tahniah bro! Kan korang memang dah janji nak nikah lepas dia balik sini kan…?” Irfan sudah tersenyum.

“Memanglah bagus kahwin tu. Yang tak bagusnya dia, bukan aku pengantin lelakinya..” jawab Qaid sambil melurut perlahan rambut yang sudah pun berselerak.

“Hah!?” Irfan terkejut.

“Sepanjang dia duduk sana, dia rapat dengan sorang classmate dia.” Jelas Qaid.

“Maknanya yang kau tunggu dekat empat tahun ni kerja apa?” tanya Irfan yang masih tidak percaya dengan berita yang disampaikan.

“Kerja bodoh…” jawab Qaid sebelum dia beristighfar di dalam hati akan keterlanjuran kata-katanya. Sememangnya dia tidak mempunyai jodoh dengan gadis bernama Siti Zahrah itu. Teringat lagi wajah ayu itu sentiasa tersenyum manis. Ibunya sendiri sudah berkenan dengan Siti Zahrah yang ingin dibuat menantu.

Speechless aku beb.. Bukan ke selama ni kau dengan dia baik-baik aja?” Irfan masih tidak lagi puas hati.

“Memanglah baik. Aku pun tak sangka pulak nak jadi macam ni.” Terang Qaid beserta keluhan halus. 

“Bukan jodoh aku lagi nampaknya Fan.” Lanjut Qaid persis kecewa benar bunyinya.

“Hmm… aku tak tahulah Qaid nak kata apa. Cuma aku rasa, kau mesti tahu nak buat apa kan lepas ni. Takkan kau nak jadi murung macam ni semata-mata sebab sorang perempuan kan. Banyak lagi perempuan dekat luar tu Qaid. Manalah kita tahu percaturan Allah ni. Pastinya ada yang lebih baik yang dikurniakan untuk kau nanti. InshaAllah.” Pujuk Irfan yang kasihan dengan nasib yang menimpa sahabatnya itu.

“Yalah Fan.. Aku tahu tu. Tu yang sekarang ni aku redha aja. Kalau tak sebab aku ingat lagi diri aku ni, aku rasa mahu aku jadi sewel. Nak tak nak, aku kena juga sabar terima ujian ni.” Qaid cuba mengukir senyum untuk menenangkan hatinya sendiri.

“Aku doakan yang terbaik untuk kau sahabat.” Kata Irfan seraya menepuk perlahan bahu sahabatnya itu.

Thanks beb.” Balas Qaid dengan nada masih seperti tadi.
……….

Ilman tersenyum sendiri membaca email yang diterima daripada ‘Rnaf’ nama samaran Raiqah. Baharu sebulan lalu dia mengetahui nama ‘Rnaf’ adalah Raiqah kerana ‘Rnaf’ memberi alamat email rasmi yang biasa digunakan dan bukannya alamat email yang diguna ketika mereka bersembang di alam maya.

Seperti yang dijangka, dia pasti akan menerima email dari ‘wartawan pisang goreng’ itu walaupun lewat seminggu. Keselesaan bersahabat dengan Raiqah mengingatkan dia kepada seorang sahabat pada waktu kecil ketika tinggal di New Zealand. Jirannya dahulu sewaktu ibunya menyambung pelajaran di sana.

Dengan ‘Rnaf’lah dia banyak mencurah rasa dan perkongsian sebarang masalah. Selesa begitu walaupun hatinya membuak-buak ingin mengetahui paras rupa sebenar ‘Rnaf’. Hampir semua perihal ‘Rnaf’ dia ketahui.  Enam tahun jarak umur mereka.

Qaid menaip perlahan di ruang email untuk membalas segala pertanyaan ‘Rnaf’. Dia menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya dan kekasih hati. ‘Rnaf’ adalah sahabat yang banyak memberi kata-kata semangat dan selalu menyokong apa yang dia lakukan ketika ingin mengenali si kekasih. Banyak perkara-perkara yang melibatkan kaum Hawa dan soal hati dikongsikan bersama ‘Rnaf’. Hampir menitis air matanya ketika menaip tentang dirinya. Namun kuat ditahan kerana dia tidak mahu terlalu sedih akan perancangan Allah yang sememangnya ujian kepada diri. Dia tidak akan sesekali mengeluh dan mempertikai apa yang telah tertulis. Keredhaan yang tinggi perlu ditanamkan ke dalam diri.

Di akhir ayat, sempat dia titipkan suatu pesanan memandangkan hampir tiga minggu tidak mengetahui segala perkembangan gadis itu. Dia sendiri agak sibuk akhir-akhir ini dan sering bekerja di luar kawasan sehingga berhari-hari. Tidak lupa juga dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan nombor telefon kepada ‘Rnaf’ memandangkan lebih mudah untuk mereka berhubung.

-p/s- beb, kau apa citer sekarang? Semuanya ok? Nak sambung study macam mana?

Ilman terus menekan butang ‘send’ setelah membaca semula apa yang ditaip sekali lalu. Hanya ‘Rnaf’ yang memahami masalahnya walaupun pendapat mereka selalu sahaja bercanggah. Qaid tersenyum lagi. Agak lucu memikirkan dirinya dengan ‘Rnaf’. Entah macam mana mereka boleh seakrab itu sehingga dia berani menceritakan segala rahsia hati yang sebelum ini akan sentiasa kemas dalam lipatan ruang hati yang paling dalam dan kalau boleh tidak akan dibuka untuk diketahui umum. Tapi kini, ‘Rnaf’ menjadi orang kepercayaannya.

………….

Sebulan lamanya Raiqah baru dapat membaca balasan email daripada ‘Kakashi’ apabila dia sibuk menguruskan proses permohonan sambung belajar dan membantu adik bongsunya menguruskan hal pendaftaran ke politeknik. Ditambah pula perbincangan yang dilakukan dengan Amar yang kini telah sah pun menjadi bekas tunang kepada dirinya. 

Dalam sebulan itu juga ibu dan ayahnya agak dingin apabila dia mengambil keputusan untuk memutuskan tali pertunangan. Seperti yang diharapkan, Amar juga bersetuju dengan keputusannya dan lelaki itu telah pun bersedia mengahwini pilihan hati hujung bulan ini tanpa ikatan pertunangan dan sebagainya. Dia tahu ibu dan ayahnya kecewa dengan apa yang berlaku. Mujur ada Abang Razi yang sentiasa menyokong segala tindakannya.

Email daripada ‘Kakashi’ telah habis dibaca. Dan kini gilirannya untuk membalas dan menceritakan apa jua yang berlaku terhadap diri. Dia sendiri terkejut membaca berita yang dibawa oleh ‘Kakashi’. Tetapi pada yang sama rasa lega bertandang di hati membaca berita itu. Namun, cepat-cepat dia beristighfar kerana tidak patut ujudnya perasaan lega itu apabila melihat sahabat yang tidak dapat mencapai impian untuk berumahtangga bersama orang yang tersayang.

Dia akui di sudut hatinya yang paling dalam, dia mula menyimpan rasa suka terhadap ‘Kakashi’ walaupun rasa itu sentiasa dinafikan di hujung lidah. Teringat lagi pesanan ‘Kakashi’ agar jangan menaruh hati dan perasaan terhadapnya kerana katanya;

‘hubungan perasaan yang hanya melibatkan hati tanpa melihat wajah dan fizikal seseorang, lagi maha hebat daripada hubungan perasaan kepada orang yang ada di depan mata.' 

Itu pendapatnya dan seperti biasa Raiqah yang akan menafi sekeras-kerasnya pendapat itu. Dia sendiri juga sudah berjanji dan berkata dengan cukup yakin di awal perkenalan mereka yang dia tidak akan menaruh secebis pun rasa suka pada diri ‘Kakashi’ walaupun beberapa kali ‘Kakashi’ pernah menebak soalan sama ada dia menyukai dirinya ataupun tidak. Tiada jawapan lain yang sesuai melainkan perkataan tidak kepada soalan yang diberi.

Akhir ayatnya, Raiqah tersenyum kecil apabila dia juga menitipkan nombor telefon buat ‘Kakashi’. Kerana dengan cara itu lebih mudah dia berhubung dengan ‘Kakashi’. Seorang sahabat yang mula mendapat tempat di hati namun tidak mampu untuk diluahkan kerana janji yang dibuat atas nama persahabatan. Dia tahu rupa paras tidak penting lagi padanya. Apa yang pasti, dia dapat mengagak rupa paras ‘Kakashi’ memandangkan dia pernah melihat wajah kekasih hati lelaki itu yang cantik dan ayu. Pastilah mereka merupakan pasangan yang sangat sepadan. ‘Kakashi’ sendiri pernah menunjukkan gambar ketika dia bermain bola. Semua pemain di dalam gambar itu mempunyai wajah yang mampu menarik hati mana-mana wanita.

Selesai sahaja menekan butang send, dia terus menutup ruangan email dan beralih pula kepada ruangan blog. Dia ingin melihat sebarang ‘update’ daripada rakan-rakan blog lain termasuklah ‘Kakashi’. Dia sendiri ingin membuat ‘entry’ baru di dalam blognya. Sejak dari rumah lagi dia sudah merangka ayat-ayat yang sesuai untuk dituliskan di dalam blognya yang bertajuk ‘Memang takdirNya’. Dia bercerita serba ringkas tentang maha hebatnya Allah merancang sesuatu dan diselitkan juga perihal pertunangannya yang putus sebagai contoh situasi. Selesai sahaja menaip, baru dia menjengah blog ‘Kakashi’.

Dia tersenyum lagi apabila membaca ayat-ayat yang ditulis oleh ‘Kakashi’. Hampir sama dengan topik yang ditulis di blognya. Samalah pulak… Dia tahu apa yang ‘Kakashi’ rasa. Lelaki itu pasti sedih kerana hubungan kasihnya yang diharap dapat diakhiri dengan lafaz ijab dan qabul tidak kesampaian. Dia meletakkan komen di bawah ‘entry’ ‘Kakashi’. Ucapan yang berbaur semangat dan agar tidak putus asa sahaja yang mampu diberi. Dia tahu ‘Kakakshi’ bukanlah seorang yang lemah.

Selesai sahaja menutup beberapa buah blog lagi, Raiqah mengilas jam di pergelangan tangan. Hampir pukul 12 tengah hari. Sudah hampir tiga jam rupanya dia mengadap skrin 14 inci itu. Kunci skuter merahnya yang diletak di sisi komputer dicapai. Memang kena bebel la bila sampai rumah nanti…

Baru sahaja ingin menghidupkan enjin skuter merahnya, terdengar bunyi telefon dari dalam bottom track yang dipakai. Membulat matanya apabila membaca nama yang tertulis di skrin tidak berwarna itu. Baru tadi dia menyimpan nama yang tertera itu di dalam memori telefonnya. Rasa debar pula berkunjung tiba untuk membaca SMS yang diterima dari empunya badan. Cepat betul dia ni…

=Beb, salam J

Hujung jemarinya sedikit sejuk untuk menekan butang-butang di papan kekunci. Entah kenapa. Dia membalas juga akhirnya ucap salam daripada ‘Kakashi’.

-waalaikumussalam. Cepatnya.. :P

Tidak sampai dua minit, SMSnya berbalas. Raiqah tersenyum pula kali ini walaupun rasa debar masih ada. Tidak pernah dia rasa berdebar begitu apabila berhubung dengan ‘Kakashi’. Mungkin kerana perhubungan melalui telefon dirasakan seperti empunya diri ada di hadapannya.

=ko tu yang lambat sangat macam siput sedut apsal? Sebulan kot aku tunggu. Aku ingat ko dan tak bernafas dah.. :P

Raiqah kertap bibir. Lelaki ni memang suka cakap lepas dengannya. Gurau ikut suka kepala dia aja.

-Gurau kasar nampak… grrr..

Raiqah menoleh lagi jam di pergelangan tangan seraya dia menepuk dahinya sendiri. Sedar akan kelewatannya. Dia ni punya pasallah aku dah lambat! Raiqah terus menyimpan semula telefon bimbit ke dalam poket seluar. Enjin skuter merahnya dihidupkan dan terus meninggalkan perkarangan perpustakaan awam itu.

Sampai sahaja di rumah, Hajah Ramlah sudah berdiri di ambang pintu dengan bercekak pinggang. Kereta abah pula sudah tidak kelihatan.

“Tadi kata sekejap. Ni sampai tengah hari baru nampak batang hidung.” Kata Hajah Ramlah sinis. Raiqah hanya tersengih. Panaslah telinganya hari ini dileter ibu.

Tangannya menyeluk poket bottom track untuk mengeluarkan telefon bimbitnya. Sudah beberapa kali bunyi ‘bip’ menandakan ada SMS ataupun call yang masih tidak dilihat sepanjang dia di atas skuter merahnya tadi. Cepat-cepat dia masuk ke dalam rumah apabila ibu ingin memulakan leterannya. Telefon masih ditangan tapi dia terus melangkah ke ruang dapur untuk membantu kerja masak-memasak yang belum disiapkan. Dilihat di atas meja sudah terhidang makanan. Ibu yang sudah berdiri di belakang dipandang sekilas dengan senyuman orang bersalah.

“Rajin betul anak ibu hari ni.” Kata Hajah Ramlah dituju khas untuk anak dara tunggalnya itu.

Sorry bu. Tadi tak perasan. Esok Angah janji, angah yang masak. Hee..” kata Raiqah dengan senyuman lebar di bibir beserta wajah kesian dia.

“Yalah tu.” Balas Hajah Ramlah seraya berlalu. Faham benar dengan perangai anak daranya itu.

Raiqah juga berlalu ke dalam bilik memandangkan kerja memasak telah pun diuruskan oleh ibu sepenuhnya. Dia menanggalkan tudung yang tersarung di kepala. Tubuh dihempas ke tengah katil. Itulah istimewanya dia apabila tiada adik-beradik perempuan yang lain. Tidak perlu berkongsi. Abang dan adiknya pula sebelum ini berkongsi bilik. Tetapi setelah Abangnya ingin berumahtangga hujung tahun ini, Adik berpindah ke bilik baru. Bilik itu baru sahaja ditambah oleh ayah bulan lalu. Mujur rumah kampung. Hendak buat apa di tanah sendiri tiada siapa yang halang.

Telefon bimbit ditangan dibelek semula. Melihat pada skrin kecil itu. Lima SMS. Dia membuka dan membaca satu persatu. Dia tahu SMS tu pasti dari ‘Kakashi’.

=mana ada kasar. Paling lembut la tu. :P

=oi! Merajuk ke? Aku main-main je la..

=eleh.. takkan nak touching kot. Aku mana ada kasi ayat touching.

=sejak bila jadi sensitive ni? Ko ni macam tak biasa plak. Dah la rupanya tunang orang selama ni tak bagitau aku.

=oi. Dol, apa ke lembap sangat siput sedut ko ni. :P

Raiqah kertap bibir membaca satu persatu SMS yang diterima. Geram dengan keceluparan mulut si ‘Kakashi’. Ada saja yang ingin dikenakannya. Wajib serang balas ni! Jemari cepat menekan papan kekunci telefon bimbit yang sudah pun berusia lebih 5 tahun itu. Agaknya kalau jual pun dah tak laku. Dia aja yang sibuk pakai lagi. Adiknya siap pernah kutuk lagi telefon yang dipakai. “Angah ni ketinggalan zaman betul!” ejek adik bongsunya suatu hari.

-banyaklah ko punya siput sedut. Kalau siput sedut boleh masak gulai!

Raiqah menekan butang ‘send’. Selang beberapa minit SMS berbalas.

=Ada lagi. Aku ingat dah takda tadi. Ahaha. :D

Ciss! Sedap betul mulut orang tua ni mengutuk orang. Raiqah kertap bibir lagi. Geram! Perangai tak macam orang umur 30 tahun. Sama macam budak sekolah belum baligh!.

-mulut ko ni dah lama tak kene cili ke weh!

Raiqah buat serangan balas.

=oi, nanti malam la aku SMS ko lagi. Aku dalam meeting ni. :D

Mata Raiqah membulat. Apa punya gila orang tua ni tengah meeting SMS aku. Dia terus tidak jadi membalas. 

2 comments:

y@t said...

senyum smpi ke telinga....

Anonymous said...

nice..interesting........