Dec 7, 2012

Jangan tak mungkin_part 8



“Dik kau kenapa?” tanya Shahimi apabila dilihat Ada hanya mendiamkan diri sejak mereka bertolak dari rumah tadi.

“Takda apalah.” Jawab Ada diiringi keluhan halus di bibirnya.

“Kau dari hari tu takda apa, takda apa. Tapi abang tengok kau sekarang macam lain aja.” ujar Shahimi yang perasan akan perubahan yang berlaku.

Ada tidak menjawab. Hanya pandangan mata sahaja ditalakan ke luar tingkap. Dia tidak perlu menjawab pertanyaan Shahimi kerana dia yakin abangnya itu sedia maklum apa yang sedang berlaku.

“Kalau dah rasa salah, said sorry aja. Kan senang. Apa yang susah sangat..” kata Shahimi lagi penuh makna sambil mengerling ke sisi.

Ada saat itu pula mula menahan sebak di dada yang bertandang. Dia cukup faham apa yang terucap di bibir abangnya.

“Azam yang abang kenal, cukup baik dik. Dia senang maafkan orang. Susah nak berdendam. Cuma mulut dia ajalah. Kau tahu kan..” Lanjut Shahimi lagi mengenai sahabat baiknya.

Ketika itu mereka dalam perjalanan ke hospital untuk melawat Azam yang disahkan menghidap demam denggi dan kini dalam keadaan yang agak kritikal. Selepas pulang dari Labuan, demam Azam berlanjutan hingga seminggu menyebabkan Uncle Zakuan terus menghantar lelaki itu ke hospital untuk membuat rawatan lanjut. Lenguh-lenguh badan yang dialami oleh Azam sebelum ini dianggap hanya kesan daripada kekurangan tidur dan terlalu sibuk dengan kerja. Tetap tidak menyangka ia sebenarnya memberi petanda lain pada kesihatan lelaki itu.

Ada diam lagi. Namun pelupuk matanya saat itu sudah terasa hangat.

“Janganlah menangis. Dia okey lagi..” tambah Shahimi yang perasan dengan riak wajah adiknya yang keruh.

“Macam mana kalau tak sempat..” luah Ada apa yang terpendam di hatinya sebaik diberitahu akan keadaan Azam tadi.

“Hish! Ada ke cakap macam tu. InshaAllah dia takda apa-apa.” balas Shahimi lebih positif.

Ada tidak membalas. Namun di dalam hati dia berdoa agar Azam segera sembuh. Dia amat risau jika dia tidak sempat untuk meminta maaf dengan lelaki itu. Perasaan bersalah di dalam dadanya tidak lagi tertanggung apabila mengenangkan keadaan lelaki itu berpunca dari dirinya sendiri.

“Dik..” Shahimi kembali bersuara setelah masing-masing mendiamkan diri.

Ada tidak menjawab tetapi wajahnya dipalingkan ke wajah Shahimi. Menanti apa yang ingin diperkatakan oleh abangnya.

“Kalau abang kata dia suka kau macam mana?” ujar Shahimi dengan senyuman yang bergayutan di bibirnya.
Ada pula sedikit tersentak mendengar kata-kata Shahimi. Wajahnya segera dipalingkan ke luar tingkap. Entah perasaan apa yang dirasakan mula menular di hatinya saat itu pun dia tidak pasti. Perasaan yang belum pernah dirasai sebelum ini.

“Dik, kau dengar tak apa abang cakap ni?” tambah Shahimi apabila Ada hanya mendiamkan diri.

“Abang jangan merepeklah.” Nafi Ada. Tidak pernah langsung terlintas di fikirannya yang Azam akan menaruh perasaan terhadapnya memandangkan hubungan mereka sebelum ini agak dingin.

“Merepek apa pulak.. Abang cakap dari apa yang abang nampak.” balas Shahimi yang teringat akan pandangan mata Azam ketika Ada menemaninya melawat lelaki itu di rumah dua minggu lalu. Dan sepanjang tempoh lelaki itu demam jugalah Ada yang memasakkan bubur setiap hari kerana Azam tidak berselera untuk makan nasi.

“Abang janganlah nak bergurau time-time macam ni. Ada takda mood lah nak bergurau dengan abang..” kata Ada yang cuba membuang jauh apa juga perasaan yang muncul di hatinya saat itu dari apa yang diperkatakan oleh Shahimi.

“Gurau apanya? Abang pun takda masa la nak gurau hal-hal macam ni.” Balas Shahimi cuba meyakin adiknya itu.

“Mana abang tahu dia suka Ada? Dia ada cakap dengan abang ke dia suka Ada?” soal Ada seperti tidak berminat mengetahui lanjut tentang apa yang diperkatakan oleh Shahimi. Dia tidak mahu melayan perasaan indah yang tiba-tiba hadir di hatinya saat itu kerana dirasakan perkara tersebut begitu jauh dari jangkauan akalnya.

“Dia takdalah cakap.. Tapi..”

See? Takda kan? So, baik abang jangan cakap. Dah la dia tengah tak sihat sekarang ni.” pintas Ada yang tidak mahu hal itu dilanjutkan lagi.

Apa yang penting baginya saat itu adalah tentang keadaan Azam. Dia amat berharap yang lelaki itu kembali sihat seperti sediakala. Dia lebih sanggup berhadapan dengan Azam yang bermulut lepas dari terpaksa melihat lelaki itu dalam keadaan yang tidak sihat.

Sebelum bertolak tadi, sempat dia membuat carian di internet untuk mengetahui lebih terperinci akan penyakit demam denggi yang dialami oleh Azam. Seperti yang diberitahu oleh abangnya, platelet Azam jatuh mendadak hingga ke 16 mikroliter (mcL) menyebabkan lelaki itu berada di tahap yang kritikal. Manusia normal mempunyai platelet sebanyak 150 mcL atau lebih. Perbezaan yang begitu ketara menyebabkan perasaan risaunya menggunung tinggi apabila memikirkan keadaan Azam. Tambahan pula, tiada ubat yang spesifik dapat menyembuhkan demam denggi selain minum air kosong dengan banyak untuk mengurangkan panas badan.

……………….

“Kau macam mana?” tanya Shahimi yang simpati melihat keadaan Azam yang tidak bermaya. Sebelah lengan lelaki itu bercucuk jarum dan bersambung dengan beg air yang tergantung. Diberitahu, sejak dimasukkan ke dalam wad, sudah berbeg-beg air yang dimasukkan tetapi keadaan Azam masih juga tidak berubah. Malah hari itu keadaan Azam bertambah buruk.

“Macam ni la Shah.. Apasal entah aku ni..” jawab Azam lemah.

“Kau sebenarnya dari mana bro?” soalnya pula apabila dilihat hanya Shahimi sahaja yang dilihat di situ sebaik terjaga dari tidur. Abahnya sudah pula pulang ke rumah sebelum dia terlena tadi.

“Aku dari rumah. Terkejut aku tadi bila Uncle cakap platelet kau mendadak turun hari ni. Kau tak minum air ke bro? Kan kau kena banyak minum air.” balas Shahimi yang sama risau melihat keadaan Azam. Wajah itu pucat dan agak cengkung. Dia dapat melihat ada bintik-bintik merah yang muncul pada kulit Azam yang putih.

“Aku minum bro. Lebih dua botol besar aku minum. Sampai aku dah tak larat dah nak pergi toilet. Tangan aku ni dah biru-biru sebab asyik nak ambik darah aja.. Tapi baiknya tak jugak.” kata Azam sambil menunjuk ka arah lengannya yang ada sedikit kesan kebiruan. Tubuhnya benar-benar terasa lemah. Hingga mahu ke tandas, kadang-kadang dia memerlukan bantuan.

“Jangan cakap macam tu Zam.. Ni semua kerja tuhan. Kau kena reda dengan semua ni. Kau tahu kan dengan penyakit ni la Allah hapuskan dosa-dosa kau.. Bersyukurlah Zam sebab kau mampu lagi nak beribadat pada Dia walaupun kau tengah sakit macam ni.. InshaAllah Zam kau boleh sihat balik.. Banyakkan doa, berserah pada Dia.” balas Shahimi yang simpati dengan sahabatnya itu. Dirasakan begitu besar dugaan yang diterima oleh Azam.

Nafas berat terlepas dari bibir Azam. Terkesan juga dengan apa yang diucapkan oleh Shahimi di hatinya. Dalam sakit begitu dia hampir terlupa akan hukum Allah. Lupa akan segala-gala yang berlaku ke atas dirinya kini adalah ketentuan dariNya.

“Astaghfirullahal’azim..” itu yang mula meniti bibirnya sebaik dia meraup wajahnya sekali.

“Sabarlah Zam.. InshaAllah.. Aku doakan kau cepat sembuh.” ucap Shahimi sambil menepuk perlahan bahu sahabatnya persis memberi sokongan.

“Kau dah makan belum ni?” soalnya kemudian seraya menukar topik perbualan. Dilihat bekas makanan yang dibekalkan oleh pihak hospital tidak pun bersentuh.

“Belum. Aku takda selera nak makan Shah. Tekak aku rasa pahit aja. Air kosong pun pahit.” jawab Azam seraya cuba menegakkan tubuh dan dibantu Shahimi.

“Erm.. Ni aku ada bawak sup ketam. Mama cakap orang demam denggi elok makan sup ketam. Trylah Zam. Manalah tahu Allah perkenan.” ujar Shahimi sambil mengeluarkan bekas makanan yang dibawa dari dalam beg kertas.

Azam hanya memandang Shahimi menuangkan sup tersebut ke dalam mangkuk. Apabila terpandangkan bekas makanan yang dibawa oleh Shahimi, dia teringat kepada Ada. Bekas makanan itu jugalah yang digunakan oleh Ada setiap kali gadis itu menghantar bubur kepadanya sepanjang dia demam.

“Mama dengan ayah aku kirim salam. Hari ni ayah dengan mama aku pergi hantar kad jemputan lagi. Petang-petang sikit baru datang sini.” kata Shahimi lagi tanpa perasan wajah Azam yang berubah.

Azam tidak lepas memandang bekas makanan yang masih terletak di hadapannya. Entah kenapa dia teringin benar mahu bertemu dengan Ada. Masih ada lagi urusannya dengan Ada yang belum selesai. Dia mahu meminta maaf dengan gadis itu atas apa yang telah berlaku di antara mereka sementara masih ada waktu. Risau yang dia tidak berkesempatan untuk bertemu dengan gadis itu lagi.

“Zam..” panggil Shahimi sambil menepuk bahu Azam yang dirasakan seperti khayal dalam dunianya sendiri.

“Kau okey ke?”

Shahimi sedikit pelik melihat keadaan sahabatnya itu. Meja mudah laras dirapatkan hingga di hadapan Azam agar mudah lelaki itu makan.

“Shah, kenapa kau tak bawak Ada?” Itu yang terluah di bibir Azam tanpa menjawab soalan Shahimi.

 Shahimi yang sedikit terkejut dengan pertanyaan Azam terus menghalakan pandangan ke dalam mata lelaki itu.

“Er.. Kenapa dengan Ada? Kau nak jumpa dia ke?” soal Shahimi kembali.

Azam mencerunkan pandangan ke arah mangkuk sup di hadapannya.

“Aku banyak buat salah dengan dia Shah..” luah Azam beserta keluhan panjang.

“Tu aja?” duga Shahimi yang mahu mengetahui apa sebenarnya yang dirasakan oleh Azam.

“Aku risau aku tak sempat nak mintak maaf pada dia..” tambah Azam pelupuk mata yang mula terasa hangat.

“Tak baik cakap macam tu Zam..” Shahimi mula tidak senang dengan kata-kata sahabatnya itu.

Azam pula mengeluh perlahan.

“Erm.. Zam, aku nak keluar kejap. Kau makanlah sup ni dulu. Kejap lagi aku datang balik.” ujar Shahimi serba salah. Dia tidak sampai hati mahu menghampakan permintaan Azam.

Azam saat itu pula hanya mampu memandang Shahimi keluar dari bilik wadnya. Mangkuk sup di hadapannya dipandang kosong. Tangan mencapai sudu yang turut disediakan oleh Shahimi tadi. Sup yang masih mengeluarkan asap nipis itu dikacau perlahan.

“Shah, aku lupa nak cakap terima kasih pada kau tadi. Terima kasihlah sebab susah-susah bawak sup ni untuk aku. Nanti kau kirim salam pada Aunty. Cakap terima kasih sebab masakkan aku sup ni.” kata Azam saat telinganya dapat menangkap bunyi pintu bilik wadnya dibuka dari luar. Namun dia tidak mengangkat wajah kerana tahu Shahimi yang masuk kembali.

“Ehem..” Ada berdaham beberapa kali apabila dirasakan Azam seperti tidak sedar dengan kehadirannya. Lelaki itu leka memandang sup yang sedang dikacau.

Memandangkan Azam ditempatkan bilik khas, dia membuat keputusan untuk menanti sahaja di luar tadi sementara abangnya masuk ke dalam. Tambahan pula, dia terasa malu untuk berhadapan dengan Azam. Tapi apabila abangnya menyatakan yang Azam sendiri ingin bertemu dengannya, tidak sampai hati dia mahu menolak. Tiada lain yang lebih penting selain kata maaf darinya masih lagi bertangguh menyebabkan dia terpaksa juga bersemuka dengan Azam. Dengan keadaan lelaki itu yang tidak stabil, dia mahu menyelesaikan segala-galanya sebelum terlambat.

“Er..Ada..” Sudu yang hampir mendekati mulut terus diletakkan kembali sebaik dia mengangkat wajahnya.

Ada menarik senyum serba tidak kena sebaik matanya berlaga dengan mata Azam. Kelu lidah untuk menutur kata diiringi debar tidak menentu di dalam dada.

“Er.. Duduklah.” pelawa Azam yang turut sama serba tidak kena kerana terkejut dengan kehadiran gadis yang mula menjadi idaman hati. Yakin yang gadis itu sebenarnya datang bersama-sama sahabatnya tadi.
Ada pula menurut tanpa sebarang kata dan dia kini benar-benar hampir dengan Azam yang duduk di atas katil. Kedua-dua tangannya sudah bersatu bermain sesama sendiri. Hilang bertebaran ayat-ayat yang telah di susun untuk dituturkan sebelum dia masuk ke situ tadi.

Azam juga seperti tidak tahu untuk berkata-kata sedangkan sebelum ini ada sahaja yang ingin diperkatakan hingga mampu menyakitkan hati gadis di hadapannya itu.

“Saya mintak maaf..”

“Saya mintak maaf..”

Hampir serentak kedua-duanya memulakan kata membuatkan sekali lagi mata mereka berlaga sebelum masing-masing membuang pandang ke arah lain.

“Saya mintak maaf kalau sebab saya awak jadi macam ni..” tutur Ada perlahan setelah masing-masing mendiamkan diri.

Azam yang sudah bersandar di kepala katil hanya memandang wajah Ada yang menunduk. Terharu dengan apa yang terucap di bibir gadis itu.

“Saya takda niat nak buat awak jadi macam ni..” tambah Ada lagi seraya menegakkan wajah. Menentang pandangan mata Azam yang sedikit kuyu.

Azam menarik senyum tepi. Dia tidak membalas. Sebaliknya hanya mahu mendengar apa sahaja yang ingin diucapkan oleh Ada kerana dia perasan sepasang mata cantik milik gadis itu mula berkaca-kaca. Entah apa yang menyebabkan Ada seemosi begitu. Padahal, dia yang lebih banyak menyakitkan hati gadis itu sebelum ini.

“Saya mintak maaf apa yang pernah saya cakap dengan awak sebelum ni.. Saya tak tahu awak ambik serius setiap apa yang saya kata hari tu.” sambung Ada lagi dalam nada yang semakin mengendur. Wajahnya kembali ditundukkan untuk menyembunyikan airmata yang mula bertakung.

“Ada.. Awak takda salah pun dengan saya..” balas Azam perlahan.

Tidak sampai hati melihat keadaan Ada terus beremosi begitu sekaligus tidak mahu gadis itu terasa bersalah atas apa yang menimpa dirinya. Apa yang berlaku sebelum ini memang sengaja dilakukan semata-mata mahu menarik perhatian gadis itu. Namun dia tidak menyangka akhirnya membawa padah kepada tubuhnya sendiri.

“Tak.. Saya yang sebabkan muka awak jadi macam orang dah tak betul sebelum awak pergi Labuan hari tu.. Sebab abang kata hari-hari awak makan instant food.. Awak langsung tak makan pun apa yang saya masak. Lepas tu, awak terus demam sampai hari ni.. Kalau saya tak cakap macam-macam hari tu, mesti awak tak sakit macam ni kan.. Teruk macam ni..” jawab Ada lirih yang sedaya upaya cuba menahan airmatanya dari jatuh di hadapan lelaki itu kerana perasaan bersalah di dalam hatinya.

Azam menarik senyum tepi. Teringat lagi kali terakhir dia bertemu dengan Ada. Gadis itu ada bertanya tentang keadaan dirinya yang kusut masai seperti tidak bermaya. ‘Muka buruk’ seperti yang digelarkan oleh Ada dalam SMS yang dihantar. Hingga ke hari ini dia masih lagi menyimpan SMS gadis itu.

“Ada..” panggilnya perlahan.

Ada mengangkat wajah.

“Apa yang jadi dengan saya hari ni bukan salah awak.. Awak jangan rasa bersalah dengan apa yang jadi pada saya ni. Anggap aja ni hukum tuhan dari apa yang saya pernah buat pada awak sebelum ni.. Saya yang banyak buat salah pada awak. Memang patut Allah bagi saya sakit macam ni.. Saya terima apa juga yang akan jadi lepas ni..” tambahnya perlahan. Dia mula reda dengan ketentuan Allah. Tahu apa yang berlaku ke atas dirinya saat itu bersebab. Dan dia perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan yang akan berlaku.
“Awak jangan cakap macam tu.. Dia maha adil pada hambaNya. Awak kena kuat.. Saya tahu awak akan sihat balik nanti. Saya doakan awak cepat-cepat sembuh.” balas Ada ikhlas yang tidak menyenangi dengan apa yang diperkatakan oleh Azam.

Azam menarik senyum tawar. Tersentuh hatinya dengan apa yang dititipkan oleh Ada buatnya. Tetapi saat itu, hanya Allah sahaja tahu apa yang dirasakan. Mahu mengangkat sudu pun tangannya terasa menggigil. Seperti segala kudratnya yang ada sebelum ini sudah ditarik semuanya. Ikutkan hatinya, untuk duduk bersandar begitu pun dia rasa tidak mampu. Terasa sakit seluruh anggota tubuhnya.

“Ada..” Azam kembali mencari sepasang mata Ada.

Ada cuba memaniskan roman wajah.

“Saya mintak maaf banyak-banyak dengan awak atas apa yang saya pernah buat, apa yang saya pernah kata pada awak sebelum ni. Halalkan apa juga yang pernah masuk dalam perut saya dari apa yang awak masak sebelum ni..” tuturnya perlahan. Memang hal itu yang ingin diucapkan kepada gadis itu sebelum ini.

“Saya dah lama maafkan awak. Saya dah halalkan apa jugak yang saya pernah masak sebelum ni..” balas Ada sama perlahan seraya menyeka airmata yang mula menunjukkan diri.

Azam pula memalingkan wajah. Tidak mahu melihat wajah Ada yang sudah berairmata kerana dia sendiri mula terasa sebak. Namun dalam pada masa yang sama dia berasa lega dengan apa yang terucap di bibir gadis itu. Kesalahannya sudah pun dimaafkan.

Terdengar pintu terkuak dari luar, Ada segera mengeringkan sisa airmatanya.

“Zam, kau tak makan lagi? Dah sejuk sup ni.” ujar Shahimi selamba seperti tiada apa yang berlaku di antara Ada dan sahabatnya itu.

Dirasakan sudah cukup waktu yang diberi kepada pasangan di hadapannya itu untuk berbincang apa yang terbuku di hati masing-masing.

“Iyalah.. Aku nak makanlah ni.” jawab Azam lambat. Matanya sempat singgah ke wajah Ada sebelum mencapai semula sudu di dalam mangkuk sup tadi. Dia cuba mengawal rasa gigil yang terasa saat mengangkat sudu besi itu.

Shahimi yang perasan akan pergerakan tangan Azam hampir menghamburkan tawa.

Ada pula sempat menjeling abangnya yang sembunyi senyum. Dia sendiri perasan akan tangan Azam yang sedikit bergetar saat mengangkat sudu.

“Zam.. Cakaplah kau nak aku suap.” ujar Shahimi dengan sengihan seraya mengambil sudu dari tangan Azam. Tidak sampai hati melihat Azam begitu perlahan menyuap sup masuk ke dalam mulut.

“Iyalah.. Kau gelakkanlah aku Shah..” balas Azam seperti berjauh hati.

“Alah.. Aku gurau ajalah. Tu pun nak touching. Macam budak hingus tu.” Giat Shahimi sengaja ingin menukar suasana yang sedikit murung itu. Dia tidak mahu Azam berterusan terasa lemah dalam keadaan tidak stabil begitu.

Ada sudah menjuihkan bibir.

Azam pula sempat mengukir garisan manis di bibir. Tercuit dengan gelaran yang diberi oleh Shahimi buat Ada.

‘Budak hingus pun aku suka bro..’ bisik hatinya yang paling dalam saat mata singgah ke wajah Ada yang mula memerah.

“Makanlah cepat Zam. Aku nak kau cepat-cepat sihat. Tengok muka kau yang dah hilang macho tu, macam aku pulak yang dah sama-sama sakit.” kata Shahimi lagi memberi semangat. Dia memang memaksudkan yang terucap di bibirnya. Melihat keadaan Azam yang tidak bermaya itu membuatkan hatinya tidak senang. Azam sudah dianggap seperti adik-beradiknya sendiri.

“Nah. Bukak mulut tu.” ujar Shahimi sambil merapatkan sudu ke mulut Azam. Namun lelaki itu tidak pun membuka mulut. Sebaliknya mengambil sudu dari tangannya.

“Aku boleh makan sendirilah.” Kata Azam yang tidak begitu selesa apabila Shahimi melayannya seperti anak kecil di hadapan Ada. Gadis itu sejak tadi hanya memerhatikannya hingga membuatkannya sedikit kekok.

Shahimi menghamburkan tawa.

“Kau tak payahlah nak malu depan budak ni. Biar aku suap.” Shahimi mengambil semula sudu dari tangan Azam.

Ada ketap bibir geram. Hingga tidak terlihat wajah Azam di hadapannya itu. Dia tahu Azam malu diperlakukan begitu oleh abangnya.

“Ada tunggu dekat luarlah bang.” putusnya terus seraya bingkas bangun. Mahu memberi peluang kepada Azam.  Dengan kehadirannya di situ, dia tidak mahu Azam sukar untuk makan sedangkan lelaki itu memang perlu makan untuk menambah tenaga. Dia berharap sup ketam yang dimakan itu sedikit sebanyak dapat membantu menambah bilangan platelet dalam badan Azam walaupun dia sendiri tidak pasti akan keberkesanan sup yang dicadangkan oleh mamanya tadi.

“Gilalah kau ni bro.. Malu aku..” ujar Azam sebaik kelibat Ada hilang disebalik pintu yang tertutup.

“Tak payahlah kau nak malu sangat depan adik aku tu. Sebelum ni kau selamba aja.. Takda pun nak malu-malu.” Balas Shahimi yang menghamburkan tawa.

“Sebelum ni lain.. Sekarang dah lain..” jawab Azam sebelum menyuap masuk sup ke dalam mulutnya walaupun masih jelas ketar tangannya. Namun digagahkan juga.

“Sekarang dah lain? Lain macam mana tu?” giat Shahimi lagi dalam sisa tawanya.

“Sudahlah kau! Malas aku layan. Bagi sinilah mangkuk tu. Aku nak makan.” putus Azam ingin menamatkan sahaja perbualan yang melibatkan Ada. Rahsia hatinya masih lagi tersimpan rapi dan tidak mungkin akan didedahkan dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan begitu. Apa yang lebih penting saat itu, dia akan terus berdoa dan berharap agar Allah beri lagi dia kesempatan untuk melaksanakan segala tanggungjawabnya yang masih belum terlaksana.

“Suka cakap suka Zam. Tak suka cakap tak suka. Biar di sana tidak terpinga-pinga.” balas Shahimi penuh makna menceriakan suasana.

“Elok-elok aku makan sup, ada jugak tangan yang hilang nanti..” gertak Azam dengan wajah yang mula terasa kebas diusik Shahimi begitu. Dia cukup faham dengan kata-kata kiasan yang diberi oleh Shahimi.

Shahimi berterusan ketawa. Namun di dalam hati dia tetap berdoa agar Azam cepat sembuh.

***********
“Dik, kau masak apa lagi ni?” muncul Shahimi di ruang dapur apabila dilihat Ada masih memasak walaupun makanan tengah hari sudah siap terhidang di atas meja.

“Sup ketam la.” jawab Ada ringkas sambil mengacau sup yang sedang menggelegak.

“Nak buat apa lagi sup ketam?” soal Shahimi dalam senyuman penuh makna tersungging di bibirnya.

Hampir seminggu Azam di hospital, setiap hari dia akan menghantar sup ketam kepada lelaki itu apabila tubuh Azam memberi tindak balas positif selepas makan sup yang diberi. Bukan disebabkan sup sahaja, Azam tidak henti minum air kosong semata-mata mahu mengurangkan panas badan yang dialami. Tidak lupa juga, dengan keizinan Allah dan doa mereka sekeluarga diperkenan agar Azam kembali sihat seperti sediakala.

“Buat apa abang tanya? Apa punya pelik soalan kau ni bang?” Ada mengembalikan soalan kepada Shahimi semula dengan kerutan di wajah sebelum mematikan api dapur.

“Iyalah.. Kan Azam dah nak balik hari ni. Nak kena makan sup ketam lagi ke?” ujar Shahimi yang hampir menghamburkan tawa.

Dia tahu sepanjang Azam di hospital, adiknya itulah orang yang paling risau. Walaupun tidak pergi melawat ke hospital lagi, setiap hari dia menjadi kaunter pertanyaan gadis itu untuk mengetahui akan keadaan Azam. Tidak cukup dengan sup, setiap hari Ada akan pastikan Azam minum air yang dimasak dan sanggup pula membekalkan berbotol-botol air masak buat lelaki itu.

“Hah? Uncle Zakuan tak cakap apa-apa pun dengan Ada?” Ada sedikit terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Shahimi.

“Uncle Zakuan pun tak tahu Azam dah boleh keluar hari ni. Masa Uncle sampai hospital aja doktor baru bagitahu Azam boleh keluar.” Jawab Shahimi sambil menjengah sup ketam yang baharu dimasak oleh Ada.

“Iya ke dah sihat? Atau abang saja aja nak kenakan Ada ni..” kata Ada bernada curiga apabila melihat abangnya tersenyum-senyum sejak tadi.

Semenjak dia sudah mengisytiharkan perjanjian pendamaian dengan Azam beberapa hari lalu, dia sering menjadi bahan usikan abangnya itu. Sebelum ini dia pernah diusik abangnya hingga kelam-kabut dia mahu ke rumah Azam selepas diberitahu yang lelaki itu sudah pun pulang ke rumah. Padahal, Shahimi memang sengaja mahu mengenakannya.

“Tak percaya sudah. Azam sendiri call abang. Tak percaya tanyalah dia sendiri.” Balas Shahimi sebelum berlalu meninggalkan Ada keseorangan di situ.

Ada pula hanya memandang kelibat abangnya hilang. Dia masih ragu-ragu dengan apa yang diberitahu oleh abangnya tadi. Tanpa menunggu lama, dia terus mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di atas kebinet. Namun, sebaik sebaris nama sudah terpapar di atas skrin, dia berkira-kira pula untuk menghubungi kerana selepas bertemu dengan lelaki itu di hospital beberapa hari lalu, dia tidak pernah bertanya secara terus kepada Azam.

Tiada pilihan lain, SMS juga terpaksa dihantar. Mengelak dari mereka bercakap setelah masing-masing meminta maaf atas apa yang berlaku sebelum ini.

+ Awak dah sihat ke? Dah boleh balik hari ni?

Tidak sampai seminit SMSnya berbalas.

+ Tak sabar nak jumpa sayalah tu. :P

Ada terbatuk-batuk apabila air suam yang sedang diminum masuk ke rongga pernafasan. Terkejut dengan SMS yang diterima.

‘Dia dah mula balik dah..’ omelnya dalam hati dengan SMS yang dibaca. Azam yang dikenali memang suka mengusik. Dan disebabkan usikan jugalah dia dan lelaki itu bergaduh besar.

+ Jangan perasan! Saya dah masak sup ketam. Ingatkan awak tak keluar hospital lagi.

Terus sahaja dia berterus terang. Malas melayan usikan Azam yang mampu menggetarkan hati wanitanya.

+ Susah-susah aja. Takpa, nanti awak boleh hantar dekat rumah saya. Saya boleh makan sup ketam sedap awak tu. :D

Ada mengulum senyum. Tiba-tiba terasa pijar wajahnya menerima pujian daripada Azam. Memang sejak dari awal sup yang dimakan oleh Azam adalah dari air tangannya sendiri.

“Dik!” panggil Shahimi yang kembali ke ruang dapur.

Senyuman yang terukir di bibir Ada terus terpadam. Telefon bimbitnya disorokkan ke belakang walaupun sudah terlambat. Apa yang dilakukan, sudah dilihat oleh abangnya.

“Ayah kata, nanti kita ajak sekali Azam dengan Uncle Zakuan makan tengah hari dekat sini.” kata Shahimi yang sudah sembunyi senyum.

“Er.. Yalah..” jawab Ada sedikit kalut dengan senyuman kelatnya. Serba tidak kena. Semakin terasa pula debaran yang mengetuk ruang dadanya saat itu apabila sebentar nanti dia akan bertemu dengan Azam selepas mereka mengisytiharkan perang dingin yang berlaku tamat beberapa hari lalu.

“Hm.. Abang rasa, eloklah kita naik pelamin sama-sama bulan depan. Jimat belanja. Amacam?” usik Shahimi dengan dua keningnya terangkat memandang Ada.

Ada ketap bibir rapat. Pijar lagi wajahnya diusik Shahimi. Bukan dia tidak faham apa yang dimaksudkan dan memang sejak dia berbaik dengan Azam, abangnya tidak henti mengusik. Hinggakan Encik Zakuan sendiri ada bertanya tentang hubungannya dengan Azam. Malu tidak terkata apabila ibubapanya juga menyokong andai dia bersatu dengan lelaki itu. Dia tidak dapat membayangkan jika perkara itu sampai ke pengetahuan Azam. Entah di mana wajahnya harus disorokkan.

“Diam tandanya setuju.” giat Shahimi sebelum menghamburkan tawa.

Ada menjeling tajam. Kain lap yang berlipat di atas kebinet segera dilemparkan kepada Shahimi. Geram kerana lelaki itu akan terus mengambil peluang mengusiknya.

----------------------
sila betulkan jika fakta saya salah :)

Nov 21, 2012

Jangan tak mungkin_part 7



“Cik Ada? Hello Cik Ada Syuhada Adlia Mohd Shukri!” Shahimi menguatkan suara seraya menepuk bahu adiknya duduk termenung diperhatikan sejak pulang dari kerja tadi. Tambahan pula Ada tidak memasak hari itu untuk keluarga Azam kerana Encik Zakuan tiada beberapa hari.

“Sakitlah! Apa abang ni!” Ada menyeringai kesakitan apabila bahunya terasa perit menerima tamparan dari tangan kasar abangnya.

“Yang kau tu termenung dari tadi siapa suruh. Naik tembus bumbung rumah Uncle Zakuan tu abang tengok.” kata Shahimi mengusik.

Dia perasan akan perubahan yang berlaku ke atas diri adiknya sejak Azam makan malam di rumahnya hampir sebulan lalu. Itulah kali terakhir dia bertemu dengan Azam kerana kini sahabatnya itu tiada di rumah dan sering bekerja di luar kawasan hingga sukar untuk mereka bertemu. Baharu semalam sahabatnya itu ada menghubunginya.

“Mana ada.” nafi Ada yang cuba menyembunyikan kebenaran.

“Sudahlah kau dik. Macamlah abang tak tahu. Hari tu yang kau sibuk tanya Azam tu apa kes pulak.” giat Shahimi lagi yang sudah tahu apa yang disembunyikan oleh adiknya itu.

“Tau apa? Mana ada apa-apa abang ni..” dia masih juga tetap berdalih.

“Cakap ajalah yang kau rindu nak jumpa Azam kan? Kalau tak, takdanya kau hari-hari tenung bumbung rumah tu.” giat Shahimi masih belum berpuas hati..

“Macamlah dah takda orang lain yang Ada nak rindu. Apa kes pulak nak rindu anak bujang orang.” balas Ada masih dalam riak yang sama walaupun sebenarnya dia tahu yang abangnya itu sedia maklum akan hubungan dinginnya dengan Azam sebelum ini.

“Manalah tahu. Abang teka aja..” usik Shahimi tidak henti.

Ada menjuihkan bibir.

“Esok pagi-pagi kau tak pergi mana kan dik?” soal Shahimi selepas masing-masing mendiamkan diri. Ada sebab lain dia mengganggu adiknya yang duduk keseorangan di bangku batu sudut halaman rumahnya petang Sabtu itu.

“Kenapa?” Ada mengajukan soalan juga.

“Esok kau ambik kawan abang dekat airport boleh?” ujar Shahimi dengan senyuman penuh makna.

Ada membuat riak pelik di wajahnya.

“Orang yang bawak lemosin semua mogok kerja ke esok sampai Ada pulak yang nak kena ambik kawan abang tu?” Ada pula mengajukan soalan.

“Bukanlah macam tu. Semalam memang abang dah janji dengan dia nak ambik. Tapi lupa pulak esok nak teman mama dengan ayah pergi hantar kad jemputan. Kau pun tak nak ikut kan?” Shahimi cuba memujuk juga agar adiknya itu memenuhi permintaannya.

“Suruh ajalah dia naik lemosin. Kan senang..” jawab Ada selamba.

“Dia demamlah. Tu yang suruh abang ambik dia. Biasanya ayah dia yang ambik.” balas Shahimi tetap cuba memujuk.

“Habis tu, suruh ajalah abah dia ambik.” Ada masih membalas dalam nada yang sama.

“Kalau abah dia ada, takdalah abang suruh kau ambik dia Cik Ada Syuhada Adlia oi..” jawab Shahimi yang sudah menyembunyikan senyum.

“Ee..abang ni.. banyak hal betul la.. kalau susah sangat suruh ajalah dia panggil ambulance. Boleh terus hantar pergi hospital.” Bentak Ada yang terasa berat mahu membantu Shahimi. Tambahan pula bukan semua sahabat abangnya itu dia kenal.

Shahimi menghamburkan tawa. Lucu dengan cadangan adiknya itu.

“Gelak pulak.” Gerutu Ada yang geram melihat Shahimi sedang ketawa.

“Apa punya cadanganlah kau ni dik..” kata Shahimi dalam sisa tawa.

“Habis tu? Kalau dah takda siapa nak ambik dia, terus pergi hospital ajalah. Kata demam kan..” Ada masih tetap dengan cadangannya tadi.

“Kejam betul kau ni dik. Dia demam biasa aja. Takdalah sampai nak masuk hospital.” Balas Shahimi yang masih mahu memujuk.

“Tak kiralah demam biasa ke demam luar biasa ke..” jawab Ada selamba.

“Alah.. tolonglah dik. Kesian dia..” pujuk Shahimi.

“Ee.. malaslah.. Ada dah la tak biasa nak drive. Abang suruh pulak pergi KLIA jemput entah siapa-siapa pulak tu. Tak pasal-pasal pulak nak kena buat sepanduk bagai..” Ada memberi alasan.

“Alah.. kau drivelah slow-slow esok. Tak kisahlah kau sampai pukul berapa pun. Dia mesti tunggu punya. Tak payah kau nak susah-susah buat sepanduk. Dia kenal kau.” Jelas Shahimi yang mula mengoyak senyum kemenangan. Sudah ada tanda-tanda yang adiknya itu akan akur dengan permintaannya.

Ada membuat muka peliknya sekali lagi. Setahunya dia hanya mengenali sahabat abangnya yang bekerja di pejabat. Selebih dari itu tiada satu pun yang dia kenal.

“Biar betul abang ni? Kalau dia nak buat jahat pada adik abang ni macam mana? Siapa nak jawab?” Ada mula berprasangka.

“Takdalah. Jangan risau. Dia baik. Ambik dia lepas tu terus hantar sampai rumah aja.” kata Shahimi lagi.

“Ee… tak naklah.” Ada masih tetap tidak bersetuju.

“Ala.. please… Bukan lama sangat pun. Dari rumah sampai KLIA tak sampai pun satu jam. Lepas hantar, baliklah. Bukan suruh dating ke apa..” Shahimi mula risau jika adiknya itu tetap berdegil.

“Alah abang ni.. leceh betullah.. orang baru nak bersenang-lenang esok. Ni ada pulak nak bagi kerja..” omel Ada yang masih keberatan.

Please please.. Ada ajalah adik yang abang ada.. Bukan selalu pun abang mintak tolong. Hal kecik aja nak mintak tolong. Bukan suruh kerja berat pun. Tak suruh keluar duit pun.. Nanti abang tanggunglah semua. Tu pun abang dah isi minyak penuh tadi.” Ujar Shahimi dengan suara yang mendayu-dayu sambil memuncungkan bibir menunjuk ke arah Inspira merah miliknya.

“Ee.. tengoklah macam mana..” putus Ada seperti tidak punya pilihan. Tidak sampai hati pula menghampakan permintaan abangnya.

Shahimi serta merta tersenyum lebar. Rancangannya berjaya.

“Macam tu la adik abang yang ku sayang..” kata Shahimi kemudiannya sebelum bingkas bangun.

“Eleh.. adikku sayang konon.. Tak payahlah nak bodek bang.. Ada tak cakap pun setuju.” Ada sengaja bermain tarik tali.

“Tak kiralah apa pun. Yang penting, esok Ada pergi KLIA sebelum pukul 3. Sebab member abang tu sampai dalam pukul 3.” Balas Shahimi selamba dengan senyuman yang bergayutan di bibirnya. Saat itu sempat dia menarik hujung rambut Ada yang bertocang dua sebelum dia terus menghilangkan diri ke dalam rumah.

“Jangan haraplah Ada nak pergi ambik esok!!” jerit Ada geram dengan tindakan Shahimi.

************

“Tak pasal-pasal aku pulak jadi pak pacak dekat sini. Dah la tak kenal.” Omel Ada dalam hati apabila sudah satu jam dia menanti, tiada seorang pun yang menghampirinya.

Mata mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Sudah pun pukul 4 petang. Saat pandangan kembali terhala ke arah pintu ketibaan, bola matanya terhenti pada seraut wajah yang berkaca mata hitam berdiri beberapa tapak di hadapannya.

“Dia? Takkanlah dia..” desisnya sendiri sebelum bibir bawahnya digigit lembut. Dia mula terasa sesuatu yang agak pelik berlaku. Teringat kembali kata-kata abangnya semalam.

“Ciss.. kau saja kenakan aku bang..” marahnya dalam hati apabila dia melihat lelaki itu semakin menghampiri. Bibir dikertap rapat.

“Kau parking kereta dekat mana?” soal lelaki itu tidak bernada sebaik tiba di hadapannya.

Ada tidak menjawab. Sebaliknya terus berpusing dan mengatur langkah ke tempat letak kereta. Sebentar kemudian dia mematikan langkah tiba-tiba membuatkan tubuh Azam berlaga dengan bahagian belakang tubuhnya. Hampir sahaja dia tersungkur namun cepat lengannya cepat disambar lelaki itu.

“Awak ni ikhlas ke tak, nak jemput saya sebenarnya?” ujar Azam seraya membuka cermin matanya. Mujur sahaja dia cepat mengimbangi tubuhnya sendiri untuk mengelak dari terpeluk tubuh kurus Ada.

Ada menjarakkan diri dengan wajah yang mula terasa kebas. Tidak berani dia mahu menentang wajah Azam saat itu.

“Er.. awak tunggu sini. Saya pergi ambik kereta.” kata Ada seraya terus berlalu. Terasa malu dengan apa yang baharu sahaja berlaku kerana mereka menjadi tumpuan mata-mata yang turut ada di situ.

Azam tidak sempat membalas apabila dilihat Ada laju mengatur langkah meninggalkannya. Kepala digeleng perlahan dengan senyuman kecil terukir di bibir. Tercuit hatinya melihat wajah merah padam Ada saat dia menyentuh lengan gadis itu tadi. Jika tidak kerana Shahimi, tidak mungkin dia akan bertemu dengan gadis itu hari ini. Lama benar dirasakan wajah itu tidak meniti ruang matanya. Hanya bayangnya sahaja yang muncul dalam mimpinya.

Hilang kelibat Ada dari pandangan, dia kemudiannya terus mengatur langkah ke pintu utama.

Sepuluh minit berlalu, dia mula resah di tempat berdirinya. Tertinjau-tinjau kepalanya cuba mencari kelibat kereta yang dipandu Ada.

“Dia ni terus balik ke apa..” bebelnya sendiri. Dia mula risau andai gadis itu terus meninggalkannya di situ.

Setelah lima belas minit menanti, dia baharu perasan kelibat kereta sahabatnya semakin menghampiri. Bibirnya dikertap rapat kerana terasa terlalu lama dia menanti di situ. Tambahan pula dengan keadaan kepalanya yang mula berdenyut dan agak pening.

“Awak pergi cuci kereta ke apa lama sangat.” omelnya apabila Ada keluar dari kereta untuk membantu memasukkan beg pakaiannya ke dalam bonet kereta.

Ada tidak menjawab. Tapi bibirnya sudah dijuihkan kerana rasa tersindir dengan kata-kata Azam.

Dia agak kalut memandu tadi selepas apa yang berlaku di antara mereka hingga menyebabkan dia tersalah  masuk laluan sehala.

“Er..awak, abang cakap awak tak sihat.” Kata Ada apabila dilihat Azam ingin mengambil tempat duduk pemandu.

“Bawak kereta pun mati-mati, bila masanya saya nak sampai rumah.” Balas Azam sebelum meloloskan diri ke dalam kereta.

Ada kertap bibir rapat. Sekali lagi dia disindir Azam. Dia tahu yang lelaki itu perasaan saat dia mahu memberhentikan kereta tadi, enjin keretanya terus termati.

“Tunggu apa lagi tu? Awak nak tidur sini ke? Dah nak hujan ni.” laung Azam seraya menurunkan cermin kereta di sebelah tempat duduk pemandu apabila Ada masih tidak bergerak.

“Iyalah iyalah.” kalut Ada membuka pintu kereta saat terdengar suara Azam memanggil.

Ada hanya mendiamkan diri setelah mengambil tempat di sisi Azam. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandang.

Azam pula tenang memandu tanpa sebarang kata. Dia tiada hati untuk berbual panjang memandangkan dalam kepalanya saat itu hanya memikirkan katil dan bantal di rumah. Dia mahu melelapkan mata kerana kepala yang terasa memberat. Sesekali sebelah tangannya akan melurut rambutnya yang masih belum sempat dipotong. Roma kasar di wajahnya juga dirasakan semakin tumbuh meliar tanpa dijaga dengan rapi. Dia terasa agak rimas namun sengaja dia kekalkan imej kusut begitu semata-mata mahu menguji gadis di sisinya. Kali terakhir mereka bertemu, Ada seperti tidak senang dengan penampilan barunya itu.

“Kalau tak sihat, cakap ajalah tak sihat. Tak payahlah buat-buat sihat.” Ujar Ada memecah kesunyian mereka apabila dia perasan dengan ekor matanya Azam seperti resah di tempat duduknya.

Azam mengerling sekilas ke sisi. Bibir sembunyi senyum. Senang hatinya Ada seperti risau akan keadaan dirinya. Namun, dia masih belum puas mahu menduga hati gadis itu walaupun apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini tidak lagi selesai.

“Badan saya yang tak sihat, bukan badan awak.” Balasnya selamba.

Ada menjeling tajam. Geram dengan jawapan yang didengari. Dia tahu Azam sengaja menyindirnya lagi atas apa berlaku di antara mereka sebelum ini.

“Suka hatilah! Saya tahu saya sampai rumah aja.” jawabnya terpaksa mengalah. Malas mahu menambah kesalahan di dalam hati. Apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini pun masih tiada penyelesaian. Dia sendiri belum lagi meminta maaf kerana menjadi penyebab lelaki itu berubah sedemikian rupa.

Azam tersenyum sinis meraikan kemenangan di pihaknya. Dia cuba bertahan walaupun keadaannya agak kurang baik.

Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya mendiamkan diri. Ada masih kekal dengan wajah kelatnya. Dan Azam pula dilihat lebih tenang. Tetapi apabila wajah itu mula merenik peluh, Ada yang menjadi tidak senang duduk. Dia perasan akan gerak-geri Azam yang sesekali mengurut belakang leher dan sesekali pula memicit kepalanya sendiri.

“Awak, lampu hijau la.” Kata Ada apabila dilihat Azam memejam mata saat lampu isyarat bertukar hijau.

Azam yang tersedar, kembali memandu. Namun kali ini pemanduannya agak perlahan membuatkan Ada bertambah risau.

‘Hish dia ni. Boleh ke tak ni..’ bisik hatinya apabila dilihat Azam memandu perlahan. Tidak seperti tadi yang agak lancar.

“Awak, berhenti tepi.” Arah Ada tegas.

“Nak buat apa?” soal Azam dengan kerutan di wajah.

“Saya kata berhenti, berhenti ajalah.” Balas Ada tidak mahu berkeras.

Azam tidak punya pilihan. Dia terus memberhentikan keretanya di bahu jalan.

Ada pula tanpa menunggu lama, terus sahaja keluar dari kereta.

“Awak duduk sana, biar saya drive.” Kata Ada dalam nada yang sama sebaik dia membuka pintu di sebelah tempat duduk Azam.

Azam yang sedikit terkejut dengan kata-kata Ada, tidak membantah. Terus sahaja menurut memandangkan denyutan di kepalanya saat itu semakin menjadi-jadi.

“Kan senang kalau dari tadi mengaku tak sihat.” Omel Ada sebaik dia mula memandu. Dia perasan wajah Azam yang kian memucat sejak tadi.

Azam yang sudah memejam mata hanya diam. Suara Ada dirasakan seperti tenggelam timbul menyapa deria pendengarannya.
…………………….

“Awak..” panggil Ada beberapa kali untuk mengejutkan Azam yang lena sepanjang perjalanan.

Azam tidak memberi reaksi.

“Awak.” Ada memberanikan diri untuk menyentuh bahu lelaki itu pula.

Saat itulah Azam baharu tersedar. Matanya terpisat-pisat dibuka dengan kerutan di wajah.

“Dekat mana pulak ni?” soal Azam sambil menggosok matanya beberapa kali. Terasa agak lama dia tertidur.

“Dekat klinik. Dah cepat turun.” Jawab Ada sebelum dia menolak daun pintu untuk keluar.

“Buat apa pulak pergi klinik? Saya nak balik rumahlah.” Balas Azam sambil memandang ke wajah Ada yang sudah membuka pintu di sebelahnya.

“Jangan nak mengada-ngadalah. Abang suruh saya hantar awak pergi klinik dulu sebelum balik rumah.” Kata Ada tidak bernada.

Dia memang ada menghubungi abangnya tadi ketika Azam sedang tidur dan abangnya yang suruh dia singgah ke klinik dahulu. Jika tidak disuruh oleh Shahimi pun, dia akan terus menghantar Azam ke klinik memandangkan dilihat keadaan lelaki itu agak teruk.

“Tak payahlah. Saya bukan sakit teruk pun.” Kata Azam yang tidak pun bergerak dari tempat duduknya. Dirasakan dia hanya demam biasa dan tidak perlu pun ke klinik.

Ada kertap bibir geram.

“Saya kata keluar, keluarlah. Nanti kalau dah sakit teruk, awak salahkan saya lagi sebab saya tak bagi awak makan.” luah Ada yang sememangnya risau melihat keadaan Azam. Perasaan bersalahnya pada lelaki itupun masih tidak surut, tidak pula dia mahu menambah rasa bersalah yang ada jika membiarkan Azam berterusan begitu.

Azam membuang pandang ke arah Ada tajam. Terusik hati lelakinya dengan apa yang terluah dari bibir gadis yang sudah berjaya mengetuk pintu hatinya itu.

“Saya kata tak payah, tak payahlah. Kalau saya sakit pun, badan saya, saya yang tanggung sendiri. Bukan awak yang tanggung. Takda kena mengena dengan awak pun.” kata Azam dengan nada yang mengendur seperti berjauh hati.

“Awak jangan degil boleh tak? Jangan nak jadi macam budak kecik. Jumpa doktor ambik ubat aja. Bukan suruh buat apa pun.” Balas Ada tidak puas hati dengan kedegilan Azam.

“Tak payah. Saya tak nak. Hantar aja saya balik.” Azam pula bersuara tegas. Jauh di sudut hati, sebenarnya dia masih mahu menduga kesabaran hati Ada melayan kerenahnya.

“Awak ni kan..” Ada kertap rapat bibirnya. Terasa mahu dipekikkan di telinga Azam yang dia sebenarnya tidak mahu lelaki itu sakit kerana dirinya. “Suka hati awaklah!” bentaknya geram sebelum menutup kasar pintu kereta di tempat duduk Azam. Kemudian dia terus kembali masuk ke tempat pemandu.

Dengan wajah yang masam mencuka, dia terus memandu pulang. Sepanjang perjalanan itu tiada satu pun perkataan yang keluar dari bibir kedua-duanya hingga mereka tiba ke destinasi.

“Th…”

Ada terus sahaja masuk ke dalam kereta semula sebaik mengeluarkan beg pakaian Azam dari dalam bonet kereta. Belum pun sempat Azam menghabiskan kata-katanya. Entah kenapa dia benar-benar sakit hati dengan kedegilan Azam tadi membuatkan dia tidak mahu memandang apatah lagi bercakap dengan lelaki itu.
Azam pula mengeluh berat. Hanya pandangan mata sahaja yang mampu menghantar kelibat Ada yang sedang memandu masuk kereta ke perkarangan rumah tanpa berpaling ke arahnya lagi. Dia tahu gadis itu begitu marah dengannya.

Laju sahaja Ada mengatur langkah masuk ke dalam rumah sebaik turun dari kereta. Melihat keadaan rumahnya yang masih berkunci dan ketiadaan kereta ayahnya, tahu yang ahli keluarganya masih belum pulang.

Masuk sahaja ke dalam rumah, dia terus melemparkan kunci kereta abangnya ke sofa. Tubuhnya dihenyakkan ke situ juga untuk membuang rasa hati yang membahang terhadap Azam. Bergunung perasaan bersalah yang dirasai di hatinya saat itu kerana gagal memujuk Azam pergi ke klinik tadi. Entah kenapa dia benar-benar terasa bertanggungjawab ke atas kesihatan lelaki itu kini. Semuanya kerana syarat yang dikenakannya dahulu membuatkan lelaki itu berubah begitu. Dia memejam mata sebentar untuk mententeramkan diri sendiri dengan apa yang baharu sahaja berlaku. Namun tidak sampai lima minit mata terpejam, kelopak matanya terangkat semula. Deringan dari telefon bimbit yang diletak di atas meja kopi hadapannya berdering minta diangkat.

“Hello.. Assalamulaikum dik.” Sapa suara garau di hujung sana.

“Waalaikumussalam. Abang nak apa? Kalau nak tanya kawan baik abang tu dah selamat sampai rumah ke tidak, dia dah selamat sampai dah. Agaknya tengah sedap tidur sekarang ni.” Sahut Ada panjang lebar yang dapat meneka akan tujuan abangnya itu menghubungi.

“Janganlah marah. Abang tak tanya apa pun kau terus aja serang abang.” Kata suara itu lagi diiringi tawa membuatkan hatinya kembali membahang.

“Apa abang nak ni?” soalnya malas. Tiada hati mahu berbual panjang.

“Tadi Uncle Zakuan call abang suruh Ada masakkan bubur untuk Azam. Dia balik dari Johor esok.” Jawab suara itu membuatkan Ada mengeluh berat. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberi.

“Dik, kau dengar tak ni apa abang cakap? Kau jangan tak masak pulak. Kesian Azam tak makan apa lagi hari ni.” Kata abangnya lagi apabila dia hanya mendiamkan diri.

“Iyalah iyalah!” bentaknya geram seraya terus memutuskan talian. Terpaksa akur lagi. Perasaan geram terhadap Azam masih lagi bersisa di hatinya. Tetapi kini terpaksa pula kembali berhadapan dengan lelaki itu. Dengan langkah yang berat, dia menapak naik ke bilik untuk bersolat Asar terlebih dahulu sebelum memasakkan bubur buat Azam.
……………….

+ Awak tunggu dekat bawah. Saya hantar bubur. Saya tak nak kena gosip pulak ‘anak dara Encik Shukri pergi goda anak bujang Encik Zakuan’.

Azam menarik senyum saat membaca SMS daripada gadis yang memarahinya tadi buat kali kelima. Bila-bila masa sahaja Ada akan tiba menghantar bubur buatnya. Tubuh yang hanya mengenakan baju-t putih bersama kain pelekat disandarkan ke sofa. Matanya pula dipejamkan dengan dua belah tangan meramas rambutnya sendiri untuk mengurangkan denyutan yang masih terasa.

“Assalamualaikum.” Terdengar suara memberi salam membuatkan dia mengangkat kelopak matanya semula. Mata terhala ke muka pintu yang sedia terbuka luas agar tidak menimbulkan fitnah kerana mereka berdua-duaan dalam satu rumah.

Ada melangkah masuk ke dalam rumah dan terus berlalu ke ruang dapur. Tanpa disuruh, dia mengeluarkan bubur yang dibawa itu dan dimasukkan ke dalam mangkuk untuk dihidangkan kepada Azam.

“Saya dah letakkan baki bubur ni dalam mangkuk dekat dapur tu. Kalau nak tambah, awak ambiklah sendiri.” Kata Ada sebaik meletakkan semangkuk bubur yang masih mengeluarkan asap nipis di atas meja hadapan Azam yang tidak lepas memadangnya sejak tadi.

Azam tidak membalas apa. Hanya matanya sahaja masih melekat ke wajah yang sedikit segar dan tidak pula semasam tadi.

Ada yang mula tidak selesa dengan pandangan mata Azam, ingin segera berlalu.

“Ada.” Azam memanggil apabila dilihat gadis itu ingin berlalu.

Ada pula mematikan langkah. Namun masih tidak berpaling. Terasa debar hatinya tiba-tiba apabila suara Azam menyapa gegendang telinga.

“Teman saya makan kejap..” meluncur laju dari bibirnya mahu gadis itu menemaninya. Dia masih belum berterima kasih di atas apa yang dilakukan oleh gadis itu tadi.

“Tak elok jiran-jiran nampak kita berdua macam ni. Saya balik dulu.” Balas Ada memberi alasan sebelum terus berlalu. Lagi pula alasannya itu berasas memandangkan waktu itu hampir sahaja masuk waktu maghrib dan ahli keluarganya juga akan pulang tidak lama lagi. Dia tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku di situ memandangkan masing-masing hanya manusia biasa. Masih ada nafsu yang harus dikawal dan dia risau andai masing-masing gagal mengawalnya jika ia tidak henti digoda oleh ‘orang ketiga’ di antara mereka.

Azam pula menghela nafas berat. Tidak mampu berkata apa apabila keliabat Ada sudah pun hilang dari pandangan.

Sementara Ada saat itu terasa ingin menitiskan airmata sebaik dia melangkah keluar meninggalkan rumah Azam. Terasa sarat di dadanya dengan perasaan bersalah apabila melihat keadaan Azam yang tidak sihat walaupun rasa geram dan marah dengan apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini masih bersisa.

“Dik.”

Tegur satu suara membuatkan dia segera menyeka hujung mata yang mula terasa hangat. Terleka dia melayan perasaan hingga tidak sedar ahli keluarganya yang baharu sahaja tiba. Cepat-cepat dia membuka pintu pagar untuk memberi laluan abangnya memandu kereta masuk ke perkarangan rumah.

“Dah hantar bubur?” soal Puan Shima sebaik turun dari kereta.

“Dah.” Jawab Ada dengan senyuman paksa terukir di bibir.

“Macam mana Azam?” tambah Encik Shukri pula.

“Tak tahulah yah. Okey kut.” Jawabnya serba tidak kena. Dia sendiri tidak pasti bagaimana keadaan Azam yang sebenar.

Dalam pada masa yang sama, matanya terhala ke arah abangnya mohon bantuan. Dia yakin selepas ini ayahnya akan bertanya semula.

“Tak tahu? Kenapa pulak tak tahu? Kan Ada yang pergi ambik dia tadi?” seperti yang dijangka, Encik Shukri akan terus bertanya.

Ada tersenyum kelat.

“Takpa yah. Nanti lepas maghrib, biar Shah pergi tengok dia kejap.” sahut Shahimi lambat yang faham akan makna pandangan mata adiknya.

“Hm.. Macam mana kamu ni Ada.” Kata Encik Shukri dengan gelengan di kepala sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Isterinya pula sudah mendahului.

“Kau sebenarnya kenapa ni?” soal Shahimi selepas kelibat ayahnya hilang ke dalam rumah.

“Takda apalah.” Jawab Ada seadanya.

“Kalau takda apa, lepas maghrib nanti ikut abang pergi jumpa Azam.” Putus Shahimi selamba sebelum dia pula melangkah masuk.

Ada tidak sempat menjawab apa. Hanya matanya sahaja terkebil-kebil memandang susuk tubuh abangnya yang menghilang. Terlepas keluhan panjang di bibir.

Nov 15, 2012

RALAT

ASSALAMUALAIKUM.

terima kasih kepada yang sudi menegur atas kesilapan yang berlaku.

mungkin saya tersalah dengar, salah baca, salah faham akan info menyebabkan kekeliruan berlaku.  saya mintak maaf banyak-banyak. :'(

terima kasih sekali lagi kepada yang sudi menegur kesilapan diri.

inshaAllah diperbaiki.

-------

i will stop BMJM for a while.

Nov 7, 2012

Jangan tak mungkin_part 6



“Hoi! Kau ni kenapa? Busy sangat ke sampai kusut macam ni aku tengok rupa kau. Dengan rambut dah panjang. Style baru ke apa rambut kau tu?” kata Shahimi sambil menepuk bahu Azam. Lelaki itu seperti khayal dalam dunianya sendiri hingga dia yang sudah tiba di situ hampir lima minit langsung tidak hiraukan.

“Takdalah busy sangat. Tapi aku baru balik dari Labuan. Dua minggu dekat sana.” jawab Azam dengan keluhan panjang.

Sebenarnya ada perkara lain yang merunsingkan kepala selain dari hal kerja. Hatinya tidak pernah tenteram hampir dua bulan itu.

“Aku rasa dah sebulan lebih aku tak jumpa kau.” kata Shahimi lagi selepas menyisip perlahan air teh yang baharu tiba.

Entah apa mimpi sahabatnya itu menghubunginya lewat petang tadi untuk berjumpa di restoren 24 jam yang sudah menjadi tempat mereka menghabiskan masa bersama jika berpeluang bertemu.

Azam tidak menjawab. Hanya keluhan berat sahaja yang terlepas di bibirnya. Dua belah tangannya meraup wajah yang tidak bermaya sekali.

“Kau ni kenapa sebenarnya Zam? Kau tak sihat ke?” soal Shahimi serius. Tidak senang melihat keadaan sahabatnya begitu. Seperti sedang menanggung masalah berat.

“Taklah..” jawab Azam sepatah. Jus tembikai yang dipesan tadi disedut perlahan.

“Habis tu?”

Azam diam lagi.

“Cuba kau cerita dengan aku apa sebenarnya dah jadi dengan kau ni? Nak kata kau tak makan, aku rasa adik aku dah jadi tukang masak tak rasmi kau balik. Kau takda makan mi segera hari-hari lagi kan?” ujar Shahimi cuba meneka masalah yang dihadapi oleh Azam.

Azam tersenyum kelat. Sesungguhnya dia begitu merindui akan masakan dari air tangan adik sahabatnya itu. Namun, apabila teringat kembali akan syarat yang diletakkan oleh gadis itu sebelum bersetuju kembali memasak makanan buat keluarganya membuatkan dia tidak bersemangat begitu. Setiap hari bayang gadis itu hadir dalam hidupnya.

“Aku still makan instant mi yang lemak berperisa dan disukai ramai tu lagi bro..” jawabnya lambat.

Shahimi kerut wajah. Kurang faham dengan apa yang diperkatakan.

“Apasal? Dah tak sedap ke adik aku masak?” soalnya pelik.

“Taklah. Semua yang adik kau masak, sama rasanya dengan arwah mama aku masak.” Jawab Azam lemah.

“Habis tu? Kenapa pulak kau makan mi yang disukai ramai tu?” tanya Shahimi lagi.

“Kan adik kau masak untuk abah dengan adik aku aja..” jawab Azam jujur. Baharu hari itu dia berkesempatan untuk bertemu dengan Shahimi kerana terlalu sibuk bekerja di luar kawasan. Dan masalah yang dihadapi juga baharu waktu itu diceritakan.

“Bila masanya pulak? Aku rasa dia masak macam biasa aja. Hantar lauk still dalam mangkuk tingkat yang sama. Aku rasa cukup untuk kau dengan family kau. Takkan tak cukup pulak.” Balas Shahimi.

“Mana ada aku makan lauk yang Ada masak. Kan aku kata tadi dia masak untuk adik dengan abah aku aja. Bukan untuk aku..” jelas Azam lagi.

Wajah Shahimi bertambah kerutan. Semakin tidak faham dengan apa yang diperkatakan oleh Azam.

“Aku tak faham apa yang kau cakap sebenarnya Zam.” Katanya lambat.

“Adik kau kan setuju masak untuk family aku balik semata-mata sebab abah aku. Apa yang dia masak pun memang untuk abah aku ajalah. Dia yang cakap dengan aku macam tu. Takkan aku nak makan jugak apa yang dia masak kalau dia tak halalkan.” Terang Azam beserta keluhan.

Entah kenapa dirasakan semangatnya benar-benar hilang selepas apa yang berlaku di antara dia dan Ada. Bukan abahnya tidak mengajak makan bersama setiap kali dia pulang dari kerja. Malah setiap lauk yang dihantar oleh Ada lebih dari cukup. Cuma apabila dia teringat kembali akan kata-kata Ada kepadanya sebelum ini, terpaksa dia matikan seleranya walaupun dia begitu rindu akan masakan gadis itu yang akan mengingatkannya pada arwah mama. Dia tahu gadis itu masih tidak memaafkannya lagi membuatkan dia tidak akan menyentuh apatah lagi merasai makanan yang dimasak. Dia tetap akan berpegang kepada kata-kata gadis itu sehingga dia benar-benar dimaafkan.

“Ada pulak macam tu.. Taklah bro.. Memang dia masak untuk kau dengan family kau. Kalau tak, takdalah dia selalu masak banyak-banyak hantar ke rumah kau.” Balas Shahimi seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

Azam hanya tersenyum tawar. Apa pun, dia tetap akan berpegang dengan kata-kata Ada kepadanya.

“Kau janganlah ambik hati sangat dengan apa yang Ada cakap. Dia memang macam tu bro. Kalau tengah marah, kau faham-faham ajalah. Lagi satu, mulut dia memang cakap pakai lepas aja. Tak tahu nak lapik-lapik sikit. Macamlah kau tak tahu..” Shahimi cuba membuang rasa tidak senang di hati sahabatnya itu tentang adiknya. Fahamlah kini kenapa sahabatnya itu kelihatan kusut sebegitu. Semua gara-gara adiknya.
Azam diam lagi.

“Erm.. Kau ni dah makan ke belum? Kalau belum jom ikut aku balik rumah nak? Aku tadi pun tak dinner lagi.” Ujar Shahimi cuba memujuk.

“Tak naklah. Nanti apa kata mama dengan ayah kau. Ada kan dah hantar lauk dekat rumah aku. Takkan pulak aku nak makan dekat rumah kau.” Balas Azam sambil membuang pandang ke luar restoren yang agak lengang.

“Alah.. kau tak payahlah risau. Hari ni pun bukan Ada yang masak semua lauk dekat rumah aku. Semenjak dia kerja, dia masak untuk family kau aja. Yang dekat rumah, semua mama aku yang masak. Jomlah. Kau pun dah lama tak datang rumah aku kan?” balas Shahimi yang tidak sampai hati melihat sahabatnya itu berterusan murung begitu. Dia terasa bersalah pula dengan apa yang dilakukan oleh adiknya.

“Jom.” kata Shahimi lagi apabila sahabatnya itu tidak membalas. Sekeping not lima ringgit dikeluarkan dari saku seluar dan diletakkan di atas meja sebelum dia bingkas bangun.

Azam terpaksa akur. Dia turut bangun dan terus membuntuti langkah Shahimi ke tempat letak kereta.

“Shah, tak payahlah.” Katanya sebaik mereka tiba di sisi kereta masing-masing yang diletak bersebelahan.

“Kau jangan nak mengada-ngadalah Zam. Macam tak biasa pulak kau datang rumah aku kan.. Dah tu. Cepat! Aku tahu kau sampai rumah aku. Kalau tak, aku bagitahu Ada yang kau..” balas Shahimi yang sengaja membiarkan ayatnya tergantung sebelum meloloskan diri ke dalam kereta. Dia tahu dengan ‘menjual’ nama adiknya sahaja Azam akan menurut segala kata-katanya.

Azam mengeluh berat. Terpaksa menurut hanya kerana ugutan yang tidak pasti sahabatnya itu. Namun dalam masa yang sama, dia yakin yang Shahimi akan bercerita tentang dirinya kepada Ada. Gadis yang berjaya membuatkan jiwanya kacau sejak kali pertama lagi mereka bertemu.

 ……………………..

“Apa abang buat ni! Kenapa abang ajak dia datang sini?!” marah Ada dengan suara tertahan kerana takut didengari Azam yang duduk di ruang tamu. Manakala saat itu dia berada di dapur kerana dipaksa oleh Shahimi untuk menyediakan makan malam lewat begitu. Mujur esok hari Ahad. Jika tidak, waktu begitu dia sudah berselimut di atas katil. Ayah dan mamanya pula sudah lebih awal masuk tidur kerana awal pagi esok akan bertolak ke Taiping untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sahabat mereka di sana.

“Kenapa? Tak boleh ke dia datang sini?” sengaja Shahimi bertanya kembali.

“Bukanlah tak boleh. Dah takda hari siang ke abang nak ajak dia datang sini? Perlu ke malam-malam macam ni datang rumah orang? Tak tahu ke orang nak tidur ke apa ke.. Siap ajak makan lagi. Kan tadi Ada dah hantar lauk dekat rumah dia. Takkan tak cukup.” balas Ada bernada geram. Namun tangannya tetap menjalankan kerja-kerja yang diminta oleh abangnya. Seteko air kopi panas siap dibancuh. Makanan juga sudah siap tersedia di atas meja makan di ruang dapur.

“Hish! Mulut tu kalau abang sumbat dengan cili yang Ada tanam dekat belakang tu, tahulah..” kata Shahimi yang turut sama mengawal suaranya. Dia tidak senang dengan apa yang terucap di bibir adiknya saat itu. Seperti benci benar dengan kehadiran Azam.

Ada hanya menjuihkan bibir. Sedikit pun tidak risau dengan ugutan abangnya.

“Kalau Ada tak nak tolong abang, tak payah tolong tadi. Ingat abang tak boleh buat sendiri ke semua kerja-kerja dapur ni? Dah pergilah naik. Abang tak sukalah kerja dengan orang yang suka berungut ni. Rahmat yang tetamu bawak pun boleh lari kalau macam ni la perangai tuan rumah.” tambah Shahimi penuh makna seraya mengambil pinggan-pinggan dari tangan adiknya.

Ada sedikit terkejut apabila pinggan yang dipegang sudah bertukar tangan. Dari nada kata-kata Shahimi, dia tahu yang abangnya itu seperti berjauh hati dengan kata-katanya tadi.

“Kalau dah Ada benci sangat nak jumpa dia, Ada pergi naik terus. Tak payah turun-turun lagi. Abang boleh kemas semuanya nanti.” lanjut Shahimi sebelum dia kelaur dari ruang dapur itu untuk memanggil Azam yang menanti keseorangan di ruang tamu.

Ada pula saat itu masih tetap diam. Melihat wajah abangnya yang sedikit tegang keluar dari ruang dapur itu membuatkan dia tidak berani menjawab apa.

“Hah. Kenapa tak naik lagi ni? Tadi bukan main tak sabar lagi nak naik bilik.” kata Shahimi yang kembali semula ke ruang dapur. Dan diikuti oleh Azam di belakangnya.

“Er..nak naiklah ni.” jawab Ada sedikit gagap apabila matanya singgah ke wajah Azam yang tersenyum tawar.

Jika tadi dia hanya ternampak bahagian belakang Azam sahaja yang duduk di ruang tamu. Kini dia sedikit terkejut melihat wajah lelaki itu. Jauh berbeza pada kali terakhir mereka bertemu. Wajah yang sememangnya kacak itu kelihatan sedikit cengkung seperti tidak terurus dan agak kusut. Dengan rambut yang panjang membuatkan matanya tidak senang melihat perubahan yang berlaku. Seperti bukan Azam yang dia kenali sebelum ini.

“Tunggu apa lagi tu? Nak teman kita orang makan ke?” kata Shahimi lagi yang perasan adiknya memandang ke arah Azam yang beriak selamba.

Ada terus mengatur langkah meninggalkan ruang dapur sebaik ditegur Shahimi begitu. Matanya sempat menjeling tajam ke arah abangnya yang tersenyum mengejek.

Tiba di bilik, tubuhnya terus dihempas ke tengah katil. Matanya terhala ke arah kipas siling berputar ligat. Entah kenapa hatinya kuat menyatakan yang Azam berubah sedemikian rupa ada kaitan dengan dirinya. Tubuh kemudiannya diiringkan ke tepi pula. Telefon bimbit dicapai. Walaupun hatinya masih bersisa marah kerana perbuatan lelaki itu terhadapnya beberapa bulan lalu, dalam diam dia masih menyimpan lagi semua SMS yang dihantar oleh lelaki itu. Termasuklah SMS terakhir yang diterima selepas dia mengaktifkan semula telefon bimbitnya pada malam dia menyatakan persetujuan untuk memasak semula buat keluarga lelaki itu.

+ Terima kasih sebab sudi masakkan untuk family saya balik. Takpa kalau awak bukan masak untuk saya. Dah cukup baik awak sudi masak untuk abah saya. Saya mintak maaf sekali lagi dengan awak atas apa yang dah jadi sebelum ni. Dan saya tahu awak takkan maafkan saya kan? It’s okey. Itu hak awak kan? Ni SMS last dari saya. Saya janji lepas ni saya takkan ganggu awak lagi. Sorry again sebab ganggu awak malam-malam ni. Assalamualaikum.

Ada melepaskan keluhan berat. Kini hatinya benar-benar yakin dengan perubahan yang berlaku ke atas diri Azam memang ada kaitan dengan dirinya. Jika tidak, masakan lelaki itu boleh bersetuju untuk makan malam bersama abangnya lewat begitu sedangkan lauk yang dihantar ke rumahnya petang tadi lebih dari cukup.

“Takkanlah selama ni dia tak makan apa yang aku masak..?” katanya sendirian dengan kerutan di dahi.

“Tapi apasal teruk sangat aku tengok muka dia tadi? Macam orang tak makan aja..” omel Ada lagi yang pelik dengan apa yang dilihat sebentar tadi.

Tubuh diiringkan ke tengah semula mengadap siling. Matanya terkelip-kelip memandang siling kosong tidak bercorak itu.

“Entah-entah frust dengan girlfriend kut..” katanya lagi demi menyedapkan hati sendiri. Perasaan bersalah mula meular di hatinya jika apa yang berlaku itu sememangnya berkaitan dengan dirinya.

Telefon bimbitnya tadi dicapai semula. Entah kenapa dia terasa ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku ke atas diri lelaki itu. Jemarinya sudah berkira-kira mahu menaip sesuatu di atas skrin nipis itu untuk bertanya sendiri kepada empunya badan. Itu sahaja cara yang ada untuk dia mengetahui akan keadaan Azam yang sebenar kerana dia tidak mahu menjadi bahan usikan jika dia bertanya kepada abangnya.

“Ahh. Lantaklah. Tanya ajalah.” Putus Ada akhirnya tidak bertangguh. Dia tidak mahu menanggung rasa serba salah seumur hidup jika betul apa yang disangka.

+ Assalamualaikum Tuan Azam. Teruk sangat ke apa yang saya masak sampai awak tak lalu nak makan? Awak jangan cakap dengan saya, yang rupa awak buruk macam tu sebab masakan saya tak sedap pulak.

Ada tersengih sendiri selepas membaca apa yang ditaip. Agak kasar bahasanya, namun begitu sahaja caranya agar Azam membalas. Dan dia cukup yakin yang Azam akan membalas SMSnya walaupun dirasakan tindakannya saat itu seperti ‘menjaga tepi kain orang’.

Sementara Azam yang sedang berselera makan bersama Shahimi seperti tidak mengendahkan telefon bimbitnya yang berbunyi dari dalam saku seluar.

“Bro.. tak nak tengok ke handphone kau?” tanya Shahimi yang sedar akan bunyi yang didengari.

“Nanti-nantilah aku tengok.” Balas Azam selamba sambil menambah sambal udang masuk ke dalam pinggannya. Apa yang terhidang di hadapannya saat itu benar-benar membuka selera. Terasa terlalu lama dia tidak makan masakan rumah seperti itu.

“Entah-entah abah kau cari.” Shahimi membuat telahan.

“Taklah. Abah aku tahu aku datang sini tadi.” Jawab Azam yang masih tidak hiraukan akan telefon bimbitnya.

“Kalau bukan abah kau, orang lainlah agaknya bro.. Kau ni.. manalah tahu urgent ke..” kata Shahimi lagi.

“Urgent urgent yang aku malas nak dengar tu..” balas Azam yang terpaksa juga mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam saku seluar. Risau jika benar seperti apa yang diperkatakan oleh sahabatnya.

Sebelah tangannya menyeluk saku seluar selepas meneguk air kosong yang dihulurkan oleh Shahimi tadi.

Namun, saat mata terhala ke arah skrin gajet yang sedang dipegang, air kosong yang belum habis ditelan, terhambur semula keluar.

“Hoi! Apahal kau!” Shahimi terkejut apabila dia yang sedang menyuap nasi, terasa percikan air. Mujur tidak banyak hingga masuk ke pinggan.

Azam tersengih kelat. Segera telefon bimbitnya diletak ke sisi. Kertas tisu ditarik dan dihulurkan kepada Shahimi.

Sorry beb. Aku tersedak.” kata Azam yang sedikit terbatuk-batuk kerana air yang ditelan tadi bukannya masuk ke perut. Tetapi termasuk pula ke rongga pernafasannya membuatkan hidungnya kini terasa perit.

“Siapa orang yang bertuah sangat SMS kau sampai kau tersedak?” tanya Shahimi sebelum sambung menyuap nasi.

“Er.. takda siapa.” Dalih Azam yang masih dengan senyuman tidak siapnya.

“Meh sini aku tengok handphone kau tu. Nak makan pun tak senang.” Kata Shahimi lagi yang ingin mencapai gajet di sebelah Azam. Namun sahabatnya itu pantas pula mencapai dahulu.

“Takda siapa la. Member office aku main-mainkan aku.” Bohong Azam yang terus menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam saku seluar.

Shahimi sudah kerut dahi. Tidak faham dengan Azam. Dirasakan seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh sahabatnya itu dari pengetahuannya.

“Kau dah ada girlfriend ke bro?” soalan itu terpacul di bibirnya membuatkan Azam sekali lagi tersedak.

Dia menghamburkan tawa seraya menuangkan air kosong ke dalam gelas Azam yang sedia kosong.

“Kau ni memang suka aku tersedak ke apa…” kata Azam yang sudah terbatuk-batuk kembali. Kali ini tekak dan rongga pernafasannya mula terasa perit dek kerana nasi yang dimakan agak pedas.

Sorry sorry.. Tak sengaja.” Jawab Shahimi dalam sisa tawa.

“Kau tu tengok handphone boleh tersedak. Agaknya girilfriend la mesej sampai boleh tersedak-sedak macam tu.” Shahimi mereka cerita.

“Kau jangan nak merepeklah.” Bidas Azam yang cuba mengawal suaranya. Tidak akan pula dia mahu memberitahu hal yang sebenar kepada lelaki itu.

“Suka hati kaulah Azam. Esok-esok dah ada girlfriend jangan nak main sorok-sorok pulak.” Shahimi mengalah. Tidak mahu memaksa sahabatnya itu bercerita.

Azam terus diam. Dia kembali semula menghabiskan nasi yang masih berbaki di dalam pinggan. Fikirannya saat itu pula sudah membayangkan wajah Ada. Terasa dia mahu segera meninggalkan rumah sahabatnya semata-mata mahu membalas SMS daripada gadis itu.

…………………….

“Boleh dia buat tak tahu aja SMS aku. Hish! Menyesal aku hantar mesej. Entah-entah sekarang dia sibuk tengah gelakkan aku sebab aku yang terhegeh-hegeh nak tahu hal dia.” Terkumat-kamit bibir Ada berprasangka buruk kepada Azam.

Dia yang sejak tadi menanti SMSnya berbalas, sudah tidak senang duduk. Hinggalah dia sanggup curi-curi dengar jika abangnya sudah masuk ke bilik. Jika Shahimi sudah masuk ke bilik, bermakna Azam pasti sudah pulang ke rumah.

Hampir setengah jam dia duduk bersila di belakang daun pintu biliknya semata-mata mahu memastikan yang abangnya sudah masuk ke bilik.

“Lamanya.. apa dia orang buat ni.” Bebelnya lagi tidak puas hati apabila dirasakan terlalu lama Azam mengambil masa untuk membalas SMSnya. Dia tahu yang lelaki itu tidak akan membalas SMSnya di hadapan Shahimi menyebabkan dia perlu bersabar menanti sehingga Azam pulang ke rumah.

“Hish! Penat aku bertapa depan pintu ni!” gerutunya lalu bingkas berdiri untuk naik ke katil.

Baharu sahaja dia meluruskan tangan dan kakinya yang terasa lenguh kerana duduk lama di situ, dia terdengar pintu bilik tertutup. Serentak itu dia membuka pintu biliknya untuk memastikan yang abangnya sudah masuk ke bilik. Melihat akan cahaya yang keluar dari bawah pintu bilik Shahimi, yakin yang abangnya itu sudah selamat di dalam bilik. Kemudian dia berlari-lari masuk semula ke dalam bilik untuk mengintai kelibat Azam kerana tahu yang lelaki itu juga pasti sudah pulang ke rumah.

Matanya membulat, bibirnya dikertap rapat saat matanya dapat menangkap kelibat Azam yang berdiri di hadapan pintu pagar rumah seberang jalan sedang melambaikan tangan kepadanya.

“Ciss! Aku yang terkena balik!” bebelnya sendirian. Dan saat itu jugalah telefon bimbitnya dari atas katil berbunyi apabila dia perasan yang Azam sedang melekapkan telefon ke cuping telinga.

Dalam tidak mahu dia terpaksa juga menyambungkan talian daripada Azam sebelum kembali semula ke tepi tingkap. Lelaki itu dilihatnya sudah duduk di tepi tembok hadapan rumah sambil memandang ke arahnya.

“Assalamualaikum Cik Ada Syuhada Adlia.” Sapa suara garau di hujung talian sebaik talian disambungkan. Dia mengertap bibir geram. Terasa mahu diputuskan terus talian itu apabila dirasakan nada Azam penuh sindiran.

“Tak jawab dosa.” Kata suara itu seperti sengaja menyakitkan hati apabila dia hanya menjawab salam lelaki itu di dalam hati.

“Waalaikumussalam Tuan Azamuddin Ashraf!” jawabnya geram. Sengaja dia menekankan nada suaranya.

“So, apa sebenarnya tujuan awak hantar SMS pada saya?” soal suara itu membuatkan dia gigit bibirnya sendiri. Terasa menyesal dengan tindakannya tadi.

“Saja.” Itu sahaja yang berjaya dijawab sebelum tangan menepuk dahinya sendiri. Jawapan yang diberi dirasakan kurang bijak untuk menipu lelaki itu.

“Saja? Saja ke rindu..” mendayu-dayu suara itu menyapa gegendang telinganya membuatkan tidak semena-mena darah menyerbu ke muka. Saat itu terus dia menarik kain langsir tingkapnya. Tidak sanggup memandang ke arah Azam walaupun lelaki itu tidak mampu melihat wajahnya.

“Er..Awak jangan nak perasan eh? Takda masa saya nak rindu awak.” Balasnya yang cuba mengawal suara agar tidak kedengaran kalut.

“Takpa. Kalau awak tak nak mengaku pun takpa. Saya faham. Siapalah saya. Okeylah. Sorry ganggu awak malam-malam ni. Assa....”

“Er..awak!” cepat dia menghalang apabila kedengaran suara Azam seperti berjauh hati dengannya.

“Kenapa? Ada apa-apa awak nak cakap ke?” soal suara itu serius membuatkan dia bertambah kalut. Hati memarahi mulutnya sendiri yang terlepas kata.

“Er.. saya mintak maaf kalau apa yang jadi pada awak ada kaitan dengan saya.” lambat dia bersuara dengan wajah yang terasa berbahang. Nada suaranya juga tidak setegang tadi.

Terdengar pula helaan berat di hujung talian membuatkan perasaan bersalahnya muncul kembali.

“Kenapa awak cakap macam tu? Awak terasa ke apa yang jadi pada saya ada kaitan dengan awak?” soal suara itu lagi membuatkan dia kematian kata.

“Awak?” suara garau itu menyapa lagi.

“Er.. ya..” jawabnya lambat.

“Okey ke?”

“Er..okey. Saya okey.” Jawab Ada yang cuba menenangkan dirinya sendiri. Entah kenapa dia tetap juga kalut walaupun lelaki itu tidak pun berbuat apa.

“Erm.. awak tak jawab lagi soalan saya.” kata suara itu membuatkan dia menggaru kepalanya sendiri. Cuba memikirkan semula soalan-soalan yang ditanya lelaki itu tadi.

“Er.. awak ada ke tanya soalan?” dia membalas dengan soalan juga.

Terdengar tawa halus di hujung talian menyebabkan dia gigit bibirnya sendiri menahan malu.

“Kan saya tanya tadi, awak terasa ke apa yang jadi dengan saya ada kena mengena dengan awak..” tutur lelaki itu dalam nada yang cukup tenang.

“Iyalah.. Dah muka awak tu buruk semacam aja saya tengok tadi. Macam orang tak makan sebulan. Padahal saya masak hari-hari untuk family awak. Sebelum ni awak takda pun jadi macam tu. Boboi awak lagi hensem dekat rumah tu.” Hamburnya berterus terang dengan lagak seperti biasa walaupun perasaan malu tidak lagi hilang.

“Padahal saya masak hari-hari untuk family awak.” Terdengar salah satu ayatnya diulang oleh lelaki itu dengan nada tanda tanya.

“Iyalah. Kan saya yang masak apa yang awak makan. Dah tak sedap ke saya masak? Atau awak yang tak makan?” soalnya lagi masih tidak berpuas hati selagi lelaki itu tidak berterus-terang dengannya. Dalam pada masa yang sama, hatinya sempat berdoa agar apa yang berlaku pada lelaki itu memang tiada kena mengena dengan dirinya langsung.

“Memang saya tak makan pun apa yang awak masak.”jawab suara itu dalam nada yang mengendur.

Ada berkerut dahi. Sedikit keliru dengan jawapan yang diberi oleh Azam. Hatinya mula rasa tidak senang.

What do you mean?” soalnya.

“Kan awak setuju masak sebab abah saya aja. Semata-mata untuk abah saya. Takkanlah saya nak makan makanan yang tak dihalalkan untuk saya makan.” jawab suara itu dalam nada yang sama membuatkan jantungnya hilang rentak. Bibir dikertap rapat dengan perasaan yang bercampur-campur di dalam hatinya.

“Er.. Habis tu, yang saya masak banyak-banyak setiap hari, awak hantar ke mana?” soalnya dengan suara yang mula bergetar.

“Entah. Saya dah tak pernah nampak mangkuk tingkat awak yang colorful tu ada dekat rumah kalau saya balik kerja.” Jawab suara itu yang kedengaran jujur.

Kini gilirannya pula yang menghempaskan helaan berat. Perasaan bersalahnya kian sarat di dada dengan apa yang pernah terucap sebelum ini kepada lelaki itu.

“Erm.. habis tu, awak selalu makan apa?” soalnya perlahan.

Instant mi.” balas suara itu ringkas.

“Hari-hari?”

“Takdalah hari-hari. Kadang-kadang kalau saya malas masak, saya takdalah makan. Sebab dah sampai rumah lambat.” jawab suara garau itu tetap tenang.

“Erm.. Uncle takda ajak awak makan ke?” soalnya lagi sekadar ingin tahu.

“Ada. Tapi sebab saya dah pegang janji saya dengan kata-kata awak hari tu. Saya tak makanlah.” Balas lelaki itu membuatkan pelupuk matanya terasa hangat. Tidak menyangka hingga begitu sekali Azam memandang serius akan kata-katanya yang lalu.

“Maknanya, memang sebab sayalah awak jadi macam tu?” soalnya dalam getar suara.

“Er.. takdalah. Saya sebenarnya sibuk sikit dengan kerja. Tu yang kadang-kadang tak sempat nak makan.” jawab suara itu seperti cuba menafikan kata-katanya.

“Tuan Azamuddin Ashraf, boleh tak awak jangan nak tipu saya. Just admit. Susah sangat ke? Awak tak payah nak sedapkan hati saya. Awak mengaku aja apa yang jadi pada awak ada kena mengena dengan saya!” balasnya yang mula geram kerana tidak mampu menerima alasan yang diberi. Dari kata-kata lelaki itu tadi sudah jelas menunjukkan yang dia penyebab lelaki itu menjadi kusut begitu.

“Er.. saya..” tergagap-gagap pula suara di hujung talian membuatkan dia terus memutuskan talian. Telefon bimbitnya dilempar ke tengah katil sebelum langkah diatur ke luar bilik. Dia mahu bertanya sendiri kepada sahabat baik lelaki itu untuk mendapatkan kepastian.

Sementara Azam yang masih duduk di atas tembok hadapan rumahnya sedikit terpinga-pinga apabila talian tiba-tiba putus. Pandangan mata dibuang ke arah tingkap rumah gadis yang dihubunginya tadi. Tidak faham apa sebenarnya yang berlaku menyebabkan gadis itu memutuskan talian.

“Dia pulak yang merajuk ke? Bukan ke sepatutnya aku yang merajuk?” dia menyoal dirinya sendiri yang masih keliru dengan apa yang berlaku. Dengan wajah yang berkerut, dia bingkas bangun dan menapak masuk ke dalam rumah. Tidak lagi dia mahu cuba menghubungi Ada kerana tidak mahu menambah kedinginan yang ada.