Sep 10, 2013

AWRA bab 12

AWRA 12

“Kau buat apa dengan dia?” Soal Faidh sedikit keras. Tali leher yang kemas terikat di lehernya ditarik kasar. Dia cuba menenangkan hatinya saat itu. Keletihan yang masih terasa pada tubuh kerana tergesa-gesa pulang dari Melaka langsung tidak diendahkan. Tempoh kursus yang masih berbaki tiga hari terpaksa dilupakan. Mujur tunangnya ada untuk membantu menguruskan pusat tuisyennya yang tidak lagi diuruskan oleh Awra hampir seminggu itu.

“Mana ada aku buat apa-apa dengan dia.” Balas Faiq cuba berdalih. Air teh yang baru sahaja dihantar oleh pembantunya tadi dihirup perlahan untuk menenangkan hatinya sendiri. Tidak menyangka adik kembarnya itu akan datang ke tempat kerjanya mengejut begitu.

“Kalau kau tak buat apa-apa, takdanya aku datang tempat kerja kau macam ni. Aku ni penat tahu Faiq. Kursus aku tak habis lagi dekat Melaka tu. Nasib baiklah Ana nak tolong aku uruskan tuisyen tu.” Jawab Faidh sedikit tenang berbanding tadi. Ada beberapa kali dia cuba menghubungi Awra namun satu pun panggilannya tidak bersambung menyebabkan dia terus mengambil keputusan untuk menemui abangnya di situ.

Faiq tidak membalas. Dia masih mampu bertenang sambil meneliti beberapa resipi baru yang diserahkan oleh pembantunya awal pagi tadi.

“Baik kau cakap betul-betul dengan aku apa yang dah jadi Faiq. Aku susahlah macam ni. Budak-budak dah baik dengan dia.” Sambung Faidh lagi yang tetap cuba bertenang kerana tidak mahu timbul pertelingkahan di tempat kerja kembarnya itu.

“Kau cari ajelah orang lain.” Jawab Faiq selamba.

Hotak kau! Kau ingat senang-senang ke aku nak cari pengganti dia dengan kelam-kabut macam ni.” Faidh sedikit bengang dengan jawapan yang diterima dari abangnya.

“Habis tu kau nak aku buat apa? Takkan aku nak ganti tempat budak tu pulak?” Balas Faiq sambil memandang wajah adiknya yang sedikit kusut. Sedar yang dia sudah melibatkan adiknya itu atas masalah yang dihadapi bersama Awra.

“Aku tak kira Faiq. Aku tak kisahlah apa pun masalah kau dengan dia. Aku tahu kau settlekan. Aku tahu, dia kerja balik dengan aku minggu depan. Kalau tak settle jugak, aku sendiri pergi jumpa dia nanti.” Faidh bertegas. “Eh, aku rasa memang patut aku pergi jumpa dia terus. Aku dah tak nak terlibat dengan dosa menipu dia. Problem kau, lantak kaulah. Elok-elok dia dah kerja dengan aku, kau sibuk buat hal.” Lanjutnya menghamburkan apa yang dirasai.

Faiq membuang pandang lagi ke wajah lelaki di hadapannya itu. Dia yakin Faidh serius dengan apa yang diluahkan sebentar tadi. Sememangnya dia bersalah dengan apa yang berlaku kini. Segala-galanya berpunca darinya.

“Dah la Faiq. Aku tunggu sini pun problem aku takkan settle kan? Aku nak pergi terus rumah dia. Lagi bagus!” Ujar Faidh seraya bingkas. Malas lagi menanti di situ dan dia tekad untuk melakukannya demi kebaikan pusat tuisyennya. Dalam masa yang sama, dia memang sengaja mahu menduga abangnya itu kerana dia tahu Faiq tidak akan mendiamkan diri. Lelaki itu seorang yang bertanggungjawab.

“Kejap Faidh!” Faiq kembali bersuara saat adiknya sudah tiba di muka pintu. Terasa tercabar dengan apa yang terucap di bibir adik kembarnya itu.

Faidh sembunyi senyum sebelum dia berpaling. “Apa lagi?” Soalnya pura-pura dingin.

“Biar aku settlekan masalah aku dengan dia. Kau tak payah nak masuk campur.” Ujar Faiq tanpa memandang wajah adiknya.

“Aku bukan nak masuk campur problem kau dengan dia. Aku nak kau settlekan problem yang kau dah libatkan aku ni. Aku nak dia kerja balik dengan aku.” Faidh tetap juga dengan keputusannya.

“Aku tak boleh nak janji dia akan kerja dengan kau balik.” Balas Faiq dengan nada yang masih mampu dikawal.

“Tu aku tak nak tahu. Apa yang aku tahu, dia kerja dengan aku balik. Itu aje. Yang lain-lain kau settlekan sendiri kalau kau tak nak aku masuk campur problem kau dengan dia.” Faidh tetap juga bertegas.

Faiq ketap bibir. Dia mula buntu kini.

“Kau nak settlekan ke tak ni? Kalau tak, aku nak terus pergi rumah dia ni.” Provok Faidh. Sengaja mendesak agar abangnya itu membuat keputusan. Dengan cara itu sahaja masalahnya dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

“Okey-okey! Aku settlekan. Bagi aku masa sampai minggu depan.” Jawab Faiq terpaksa mengalah. Terpaksa direndahkan egonya untuk memujuk Awra agar kembali bekerja. Semuanya semata-mata kerana Faidh. Dia tidak mahu hubungan akrab mereka selama ini terjejas gara-gara masalah yang dicetuskannya sendiri.

“Okey. Bagus! Maknanya aku tak payah terus pergi rumah dia sekarang ni kan..” Faidh sekadar inginkan kepastian.

“Ya..” Jawab Faiq diiringi keluhan berat. Tidak terpandang wajah adiknya yang sedang tersenyum lebar saat itu.

“Okey! Settle masalah aku.” Balas Faidh dengan senyuman yang kian melebar. “Okeylah. Hati pun dah senang. Aku nak balik. Aku penat sangat ni. Minggu depan, aku tahu problem tu dah settle.” Ujarnya kemudian sambil menjungkitkan kedua-dua keningnya ke arah Faiq. Dia perasan wajah lelaki itu mula menegang. “Okey my lovely brother. See you next week okey!” Sambungnya sebelum terus berlalu keluar. Tidak mahu lagi dia mengganggu ketenteraman abangnya itu.

Sementara Faiq yang memerhati bayang adik kembarnya kian menghilang, terus menghela nafas panjang. Terasa berat benar apa yang dipikul kini. Untuk berhadapan dengan Awra dalam masa terdekat itu bukanlah dalam perancangannya. Dia perlu fikirkan baik buruk untuk bertemu dengan Awra kerana ia juga turut melibatkan keluarga gadis itu. Baru semalam dia bertemu dengan Firdaus dan lelaki itu ada memaklumkan hubungan dingin yang tercetus dari apa yang berlaku di restorannya minggu lalu. Hal itu juga menyebabkan dia tidak begitu selesa sepanjang hari. Ada sahaja yang tidak kena.

*****
“Jemput minum Faiq.” Pelawa Shukor sebaik isterinya meletakkan seteko air teh dan sepinggan roti jala bersama kuah durian.

“Terima kasih pakcik.” Jawab Faiq mesra. Namun cawan yang sudah pun terisi dengan air teh masih tidak disentuh. Dia sebenarnya serba salah berada di situ. Tidak tahu akan kewajarannya bertandang ke rumah keluarga Awra petang Sabtu itu.

“Kamu datang ni ada hajat ke Faiq?” Soal Faridah berserta senyuman yang turut sama melabuhkan duduk di pondok kayu tepi rumahnya. Dia dan suaminya agak terkejut dengan kehadiran lelaki di hadapan mereka itu sebentar tadi.

“Er.. Ha’ah makcik.” Serba salah Faiq mengakui. Dia sebenarnya tidak tahu dari mana harus dimulakan untuk menyampaikan hajatnya bertandang ke situ. Kini, apa yang dilakukan semata-mata kerana adiknya. Jika tidak kerana Faidh sudah mendesaknya agar menyelesaikan masalah yang dihadapi secepat mungkin, pastinya dia tidak duduk di hadapan orang tua Awra kini.

Serentak itu juga kereta Grand Livina milik Shukor masuk ke perkarangan rumah membuatkan matanya laju mencari kelibat seseorang yang dinanti sejak tadi.

“Eh, Abang Faiq pun ada.” Mesra Alya menegur sebaik keluar dari perut kereta. Senyuman manis dilemparkan. Namun sebaliknya pula bagi Afza. Masam mencuka wajah gadis itu.

“Kenapa tu?” Soal Faiq apabila melihat Afza sedang berkata sesuatu kepada si pemandu.

“Angah tak bagi Kak Jaja beli novel tadi. Tu yang dia bengang dengan Angah.” Jawab Alya sambil melabuhkan duduk di sisi ibunya.

“Nak exam, buat cara nak exam!” Terdengar suara Awra memarahi Afza yang sedang mengeluarkan barang dari bonet kereta.

“Budak-budak ni kan.. Memang tak boleh jumpa.” Ujar Shukor sambil menggelengkan kepala melihat anak-anak perempuannya yang dua orang itu. Awra dan Afza sering berselisih pendapat hingga mencetuskan perbalahan antara kedua-duanya.

“Budak berdua tu memang..” Tambah Faridah pula.

Faiq menarik senyum nipis. Melihat Awra yang turut sama mengeluarkan barang dari bonet kereta, dia yakin gadis itu masih tidak menyedari kehadirannya di situ. Tambahan pula hari itu dia meminjam kereta teman serumahnya. Keretanya dihantar ke pusat servis hari itu.

“Abah, baja ni nak letak dekat mana?” Laung Awra sambil mengangkat salah satu beg plastik. Dan sebaik dia ternampak kelibat seorang lelaki yang duduk bersama-sama abah dan ibunya di situ perbuatannya terhenti. Niatnya tadi mahu meletakkan baja ke pondok kayu itu terus termati. Cepat-cepat dia mengambil segala barang yang dibeli di pekan tadi sebelum terus berlalu ke dalam rumah. Hatinya yang sedikit berbahang gara-gara bertekak dengan salah seorang adiknya tadi kini bertambah hangat sebaik terlihat wajah Faiq. Wajah yang sering menghantuinya sejak akhir-akhir itu.

“Kedekut betul Angah tu bah!” Adu Afza sebaik duduk di sisi Shukor.

“Buat apa beli novel? Kan elok beli buku exercise. Lagi tiga bulan aje nak periksa kan? Minggu depan dah mula puasa. Lepas tu cuti raya, tinggal berapa hari aje lagi nak periksa tu.” Balas Shukor cukup tenang menasihati.

“Alah bah… Jaja tahulah. Baca novel sehari aje bah.. Bukan sampai sebulan.” Jawab Afza dengan wajah tidak puas hatinya.

“Ada-ada ajelah kamu ni Jaja. Sudah tu, pergi angkat barang tu semua bawak masuk. Jangan lupa ayam dengan ikan tu masukkan dalam peti sejuk.” Faridah pula bersuara mahu menamatkan sahaja rungutan anak gadisnya itu.

“Iyalah.” Afza mengalah dengan wajah yang memuncung. “Yaya, kau hantar barang Angah tu. Malas aku nak bawak.” Ujarnya kemudian sambil menghulurkan plastik warna putih berisi bahan-bahan kek.

“Yaya pulak kena hantar. Kan Kak Jaja nak ke dapur. Bawaklah sekali.” Alya pula merungut.

“Ish! Budak berdua ni. Dua-dua pergi masuk. Tak malu ke Abang Faiq tengok drama kamu berdua dari tadi?” Kata Faridah sedikit geram melihat pasangan kembar itu.

Faiq hanya tersenyum nipis. Terhibur hatinya melihat kerenah pasangan kembar itu. Ia juga mengingatkannya pada Faidh. Tidak boleh tidak, dia perlu menyelesaikan masalahnya hari itu juga. Tidak mahu lagi bertangguh memandangkan masa semakin suntuk. Tempoh seminggu yang diminta akan berakhir esok.

Afza saat itu terus sahaja berlalu ke dalam rumah tanpa menghiraukan bebelan Alya.

Tanpa banyak soal lagi, Alya turut bingkas untuk menghantar beg plastik tadi.

“Yaya, nanti cakap dengan Angah sekali abah suruh turun.” Ujar Shukor sempat berpesan.

“Okey bah!” Jawab Alya senang sebelum gadis itu berlalu.

Faiq yang sedang menghirup perlahan air teh hampir sahaja tersedak mendengar sebaris nama itu.

“Kalau bukan sebab dia, kamu takda susah-susah datang sini kan?” Ujar Shukor dengan senyuman penuh makna dilemparkan.

Faiq tersenyum kelat. Tidak perlu lagi dia berterus terang, orang tua yang sebaya dengan ayahnya itu sedia memahami tujuannya ke situ.

“Abah, Angah kata malas. Dia sibuk.” Terdengar suara Alya di muka pintu dapur.

“Apa yang disibukkannya tu?” Sahut Faridah sebelum bingkas. Dia sendiri mahu memanggil Awra.

“Kalau dia tak nak jumpa saya, takpa makcik.” Celah Faiq serba tidak kena. Sejak awal lagi dia sudah menjangka hal itu akan berlaku.

“Alah. Dia bukan buat apa-apa pun.” Balas Faridah sebelum berlalu.

Faiq tidak mampu lagi menghalang apabila wanita itu sudah pun berlalu meninggalkannya di situ bersama Shukor.

“Pakcik, saya mintak maaf banyak-banyak dengan pakcik sebab dah susahkan Awra, susahkan pakcik. Kalau bukan sebab saya, Awra tak berhenti kerja hari itu. Dia pun tak gaduh dengan Firdaus.” Ujar Faiq diiringi helaan panjang. Perasaan bersalah yang terkepung di hatinya semakin sarat. Ego yang diagungkan sebelum ini terpaksa ditolak tepi demi mengembalikan keceriaan di wajah Awra dan semua ahli keluarganya.

“Takpalah Faiq. Pakcik tak nak masuk campur. Kamu dengan dia dah besar. Boleh fikir mana yang baik mana yang buruk. Pakcik pun tak kisah Awra tak kerja. Ada jugak teman pakcik bila dekat kebun tu. Tapi tu la.. Orang lain yang sibuk bila dia tak kerja. Kadang-kadang sampai dia jarang nak keluar rumah. Sebab orang sibuk aje tanya fasal kerja pada dia.” Jawab Shukor senang. Sememangnya antara anak-anaknya, dia lebih rapat dengan Awra walaupun tahu nasib anaknya itu tidak sebaik orang lain. Punya kelayakan, namun tidak berpeluang mendapatkan tempat di pasaran kerja. Dia reda dan tidak rasa terbeban jika Awra terus tinggal dengannya di kampung itu.

Faiq melepaskan keluhan berat. Sama berat dengan apa yang dirasai saat itu.

“Tu Awra dah turun. Kamu cakaplah baik-baik dengan dia.” Ujar Shukor selanjutnya sebelum bingkas. Dia mahu memberi peluang kepada kedua-duanya berbincang.

Faiq menalakan bola matanya ke arah empunya diri. Wajah kelat Awra terlayar di ruang mata. Dia tahu gadis itu rasa terpaksa bertemu dengannya.

“Macam manalah abah aku boleh percayakan kau duduk dengan aku dekat sini.” Sinis dan kasar kata-kata yang terluah di bibirnya sebaik melabuhkan duduk di hujung pondok. Pandangan mata dibuang ke tengah halaman. Tidak sudi untuk memandang wajah lelaki yang telah menyakiti hatinya itu.

“Aku datang sini bukan nak cari gaduh dengan kau.” Balas Faiq yang cuba tahan hati. Sedar yang dia kini berhadapan dengan gadis yang telah dilukai. Sedangkan gadis itu juga yang mula menggamit lena malamnya.

Awra tersenyum sinis. ‘Tak nak gaduh konon. Selama ni bukan kita baik pun!’ Hamburnya dalam hati. “Aku ada hutang apa-apa ke dengan kau? Takda rasanya.. Aku berhenti ngam-ngam hujung bulan. Gaji pun aku dah dapat.” Katanya masih dalam nada yang sama. Dia masih lagi mampu mengawal perasaan marah yang mula menjengah hati. Jika tidak kerana ibunya yang memujuk tadi, jangan harap dia duduk di situ.

Faiq ketap bibir. Tetap cuba disabarkan hatinya. Belum lagi dia menyampaikan hajatnya ke situ, Awra telah menyerangnya terlebih dahulu. “Memanglah kau takda hutang apa-apa dengan aku. Adik aku pun takda hutang apa-apa dengan kau. Tapi dia nak kau kerja balik dengan dia. Takda siapa yang nak tolong dia.” Ujarnya mendatar sekali gus menerangkan keadaan yang sebenar.

Awra mengerutkan dahi. Bola matanya ditalakan ke wajah Faiq. Dia agak keliru dengan apa yang diucapkan oleh lelaki itu. “Kau cakap apa ni?”

“Selama ni kau bukan kerja dengan aku. Kau kerja dengan Faidh Fiasal. Adik kembar aku.” Balas Faiq cukup tenang menjelaskan kebenaran yang dirahsiakan sepanjang mengenali gadis itu.

“Kau jangan nak buat aku confuse boleh tak? Tak cukup lagi ke kau buat aku confuse selama ni?” Tingkah Awra dengan wajah yang mula memerah. Ada suatu perasaan kurang enak mula bercambah di hatinya. Dia cuba menidakkan apa yang terlintas di fikirannya saat itu.

“Aku takda masa la nak buat kau confuse. Kau tu yang tak perasan selama ni.” Faiq cuba meletakkan kesalahan ke bahu Awra pula.

Awra ketap rapat bibirnya. Ada air jernih mula bertakung di hujung mata namun sedaya upaya ditahan. “Siapa lagi yang tahu kau ada kembar?” Soalnya dengan suara yang mula bergetar. Tidak hairanlah kini kenapa dia terasa pelik setiap kali bertemu dengan lelaki itu.

Kini giliran Faiq pula memanahkan pandangan matanya ke arah Awra. Dia mula perasan sepasang mata bundar itu berkaca-kaca. Terasa semakin sarat perasaan bersalah yang ditanggung apabila melihat wajah keruh yang mula berairmata itu.

“Kau aje yang tak tahu..” Balas Faiq mengendur. Tidak mampu lagi dia memandang ke wajah Awra yang kian keruh.

“Sebenarnya apa tujuan kau buat aku macam ni?” Soal Awra sambil menyeka kasar air mata yang mula menuruni pipinya.

“Kau lupa apa yang aku cakap depan toilet hari tu?” Faiq mengembalikan soalan juga.

Awra menarik senyum sinis. Tidak mungkin dia dapat melupakan kata-kata yang begitu mengguris hatinya minggu lalu. “Memang patut pun kau rasa menyesal sebab suka aku.. Sebab aku pun akan rasa menyesal kalau aku suka dengan penipu macam kau!” Hamburnya dengan dada yang sedikit berombak. Tajam matanya menikam ke dalam mata Faiq yang lebih tenang sejak tadi. Ketenangan itu juga membuatkan hatinya bertambah sakit. Dia terus bingkas membelakangkan Faiq. Air mata yang semakin laju menuruni pipi tidak lagi dihiraukan. “Kau macam orang tak bersalahkan.. Kau memang suka aku nampak bodoh depan mata kau, depan semua mata family aku.. Apa sebenarnya salah aku dengan kau Faiq Faisal..” Luahnya dengan suara yang mengendur. Hatinya benar-benar terluka saat itu.

Faiq melepaskan keluhan berat. Dia tidak tahu bagaimana harus menerangkan hakikat yang sebenar. Sememangnya dia menyukai gadis itu. Namun apa yang berlaku kini tidak seperti yang dirancangkan. Tidak menyangka perselisihan mereka melarat hingga ke saat itu dan akhirnya ada hati yang terluka. “Awra!” Panggilnya apabila gadis itu mula melangkah dan mahu meninggalkannya.

“Kau doalah banyak-banyak aku terbuka hati nak kerja balik dengan adik kau tu!” Ujar Awra dingin tanpa berpaling lagi. Dia terus sahaja masuk ke dalam rumah.

******
“Dik.” Firdaus mengambil tempat di sisi Awra yang leka menonton tv.

Sejak dia tiba tadi, sekalipun adiknya itu tidak menegur. Dan sejak pertelingkahan kecil yang berlaku, adiknya itu tidak lagi mesra dengannya. Sering sahaja mengelak apabila diajak berbual.

“Dik.” Firdaus cuba lagi menarik perhatian. Petang tadi dia sempat bertemu dengan Faiq yang datang ke rumahnya dan dia tahu apa yang telah berlaku. Bukan dia tidak perasan wajah itu sedikit sembap tadi.

“Kau nak tengok tv, tengok ajelah. Tak payahlah bising-bising.” Balas Awra seraya menjarakkan diri. Terus sahaja dia berpindah tempat duduk.

“Sampai bila kau nak boikot aku ni?” Soal Firdaus yang terpaksa memujuk kembali hati adiknya yang merajuk. Pelbagai cara telah dilakukan, namun satu pun tidak berkesan. Belum pernah lagi Awra merajuk dengannya sebegitu sebelum ini.

Awra mendiamkan diri walaupun fokusnya untuk menonton tv sudah terganggu. Mahu sahaja dihamburkan kemarahan yang dipendam kepada abangnya itu sejak seminggu lalu. Namun dia masih mampu mengawal. Tidak mahu menambah kedinginan yang ada.

“Dik..” Firdaus tidak berputus asa. Dia sedar akan kelancangannya bercakap hingga mengguris hati adik kesayangannya itu.

“Dik dik.. Kau kan ada dua adik aje. Kau pergilah cari dia orang.” Selamba Awra menyindir tanpa sedikit pun menoleh.

“Ala.. Kau janganlah macam ni. Kau tak takut ke dosa? Lebih tiga hari kita tak bertegur dah berdosa tahu tak?” Firdaus cuba memancing. Sememangnya dia tidak mahu mereka terus bermasam muka begitu.

“Habis tu, kau sakitkan hati aku, tak berdosa la?” Tingkah Awra sedikit geram. Bukan dia tidak tahu hukum. Berdosa kepada hamba-Nya yang memutuskan tali silaturahim. Jatuh berdosa kepada mereka yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Namun di hatinya masih punya perasaan marah kerana kata-kata yang dilemparkan oleh Firdaus seminggu yang lalu.

“Takdalah.. Bukan macam tu.. Aku..”

“Sudahlah bang. Aku malaslah cakap dengan kau. Dah la semua orang tipu aku. Kau pun sama aje dengan si Faiq tu.” Potong Awra sebelum bingkas. Apa yang berlaku petang tadi menambah sakit hatinya. Dia benar-benar berkecil hati dengan semua ahli keluarganya.

“Fasal tu aku takda kena mengena eh. Si Faiq tu yang suruh rahsiakan. Manalah aku tahu sampai korang gaduh teruk macam ni. Aku ingat, bila rahsiakan, boleh sampai korang couple.” Jawab Firdaus membuatkan langkah Awra terhenti. Dia berpaling semula.

Couple kau kata? Tak hingin aku dengan dia! Badan aje besar. Otak kecik! Kau pun sama! Kalau dia suruh masuk longkang, kau pun masuk longkanglah. Macam tu? Baguslah tu.. Kau dengan dia duduk dalam longkang sama-sama. Dua-dua tak betul! Korang memang saja nak kenakan aku kan?” Hambur Awra yang mula panas hati. Namun ada air jernih pula yang bertakung di hujung matanya.

“Dik, kau cakap baik sikit.. Aku takdalah sampai..”

“Sampai apa?” Pintas Awra lagi dengan perasaan marah yang mula menguasai. “Lepas ni kau jangan haraplah aku nak percaya pada kau bang.. Jangan harap! Semua orang sama ajelah!” Bentaknya dengan air mata yang hampir tertumpah. Keliru kenapa perlu dia bersedih lagi selepas menghamburkan perasaan marah yang berbuku. Langkah kemudiannya terus sahaja diatur masuk ke dalam bilik.

Firdaus yang masih duduk di ruang tamu ketap bibir rapat sebaik kelibat adiknya hilang. Berdentum pintu bilik dihempas gadis itu.

“Kenapa ni?” Muncul Shukor di muka pintu yang baru pulang dari kenduri kesyukuran bersama isterinya.

“Ada orang mengamuk bah.” Jawab Firdaus yang tahan hati. Kesabarannya rasa tercabar dengan kedinginan adik kesayangannya itu.

“Dah tahu angin dia tak baik, yang kamu pergi usik kenapa?” Balas Shukor sambil melabuhkan duduk.

“Nasib tak runtuh rumah ni bah. Angah hempas pintu bukan main kuat lagi.” Muncul pula Afza dan Alya yang sejak tadi duduk di dalam bilik menyudahkan kerja sekolah ditemani kakak iparnya. Dari dalam bilik lagi mereka terdengar pertengkaran Awra bersama abang sulungnya.

“Abang buat apa dengan Awra?” Suara Athirah mencelah sebaik melabuhkan duduk di sisi suaminya.

“Mana ada buat apa. Dia yang emo tak tentu fasal siapa suruh.” Jawab Firdaus selamba. Padahal dia yang mulakannya dahulu tadi.

“Sudah tu.. Kamu jangan usik dia. Minggu depan dia start kerja balik, kamu jangan bising-bising lagi.” Shukor mencelah kembali.

“Ha.. Dia dah okeylah tu kan bah.. Nanti dia boleh duduk dengan kita balik.” Sahut Athirah ceria akan berita yang disampaikan oleh bapa mentuanya. Saat bertemu dengan Faiq tadi, tidak pula lelaki itu memberitahu yang adik iparnya akan kembali bekerja.

“Dia tak nak duduk rumah kamu. Dia kata nak berulang dari sini.” Faridah pula menambah.

“Eh, tak jauh ke? Pukul berapa nak sampai rumah nanti?” Athirah sedikit terkejut.

“Entah. Biarkan dia. Nanti pandai-pandailah dia. Nanti kalau penat, tahulah dia cari kamu.” Balas Shukor senang sebelum bingkas. Dia mahu menukar pakaian. Begitu juga dengan Faridah.

“Abang.. Takkan nak biar Awra ulang-alik dari sini. Jauhlah bang. Nanti lambat dia sampai rumah.” Ujar Athirah sebaik kelibat kedua-dua mentuanya hilang.

“Biarlah dia. Dia kan dah besar. Dah boleh jaga diri sendiri.” Balas Firdaus dengan sengaja menaikkan nada suaranya agar dapat didengari oleh adiknya itu.

“Abang!” Athirah menampar lengan Firdaus sekali. Dia tahu suaminya itu masih mahu mencetuskan perbalahan.

Sementara Awra di dalam bilik sudah menghamburkan tangis. Hatinya benar-benar sakit apabila mengenangkan kembali apa yang telah berlaku. Dia gagal membezakan antara majikannya sendiri dengan Faiq. Padahal lebih setengah tahun dia bekerja dengan Faidh. Paling melukakan apabila ahli keluarganya sendiri menyembunyikan hal itu. Teringat kembali kemarahan yang dihamburkan kepada Faiq petang tadi. Dan dia sendiri akhirnya bersetuju untuk kembali bekerja setelah Faidh menghubunginya.

Sep 4, 2013

AWRA bab 11

AWRA 11

“Kau apasal dik? Dari rumah lagi kau tersengih-sengih.” Soal Firdaus yang sedikit pelik dengan Awra apabila melihat gadis itu tidak lekang dengan senyuman sejak mereka bertolak tadi.

“La.. Nak sengih pun tak boleh ke?” Awra mengajukan soalan juga.

“Entah Angah ni. Selalu kalau ajak datang sini, jangan haraplah nak ikut. Dia lagi sanggup makan maggie dekat rumah tu.” Celah Afza pula yang turut perasan akan perubahan di wajah kakaknya itu.

“Eleh..  Suka hati Angahlah nak ikut ke tak. Hari ni aje tiba-tiba terasa nak ikut. Biarlah. Lagipun Angah yang nak belanja hari ni kan..” Selamba Awra menjawab. Sedikit pun dia tidak mengambil hati akan sindiran yang ditujukan kepadanya.

Afza menjuihkan bibir. Malas lagi bersoal jawab kerana sedar akan pandangan mata abahnya.

“Kak Ti yang pregnant, tapi aku rasa kau yang terover malam ni kenapa dik?” Firdaus masih lagi mahu mengetahui apa yang menyebabkan adiknya itu kelihatan ceria benar. Setahunya, Awra cukup tidak suka bertandang ke restoran milik Faiq itu. Hanya dia dan ahli keluarga yang lain sahaja kerap ke situ.

“Alah kau ni bang.. Manusia boleh berubahkan? So, aku di antaranya la..” Jawab Awra senang yang masih tidak lekang dengan senyuman. Buku menu di hadapannya ditatap penuh minat. Pelbagai menu yang tersenarai begitu membuka seleranya.

“Angah, kalau Alya nak mixed grilled boleh?” Ujar Alya lembut penuh mengharap kerana itulah antara makanan Barat termahal di kedai Faiq.

“Boleh.” Jawab Awra senang dengan senyuman penuh makna di bibirnya.

Thanks Angah!” Ceria Alya membalas.

“Tapi dengan syarat.” Lanjut Awra kemudiannya diiringi senyum yang kian melebar.

Alya pula sudah mengerutkan wajahnya. “Nak belanja makan pun kena syarat ke? Apa dia?” Soalnya sedikit pelik.

Awra menganggukkan kepala beberapa kali. “Aku nak bawak balik koleksi DVD Harry Potter kau ke rumah abang.” Ujarnya dengan sebelah keningnya dijungkitkan kepada adiknya itu. Dia tahu itulah antara barang yang cukup disayangi oleh Alya dan Afza.

“Kenapa pulak? Angah kan dah tengok semua. Buat apa nak bawak balik?” Laju Afza mencelah. Seperti kurang bersetuju dengan syarat yang diletakkan kerana DVD tersebut merupakan hak milik bersama dengan kembarnya.

“Saja. Nak ulang tengok.” Jawab Awra selamba.

“Hish! Angah ni bukan boleh percaya. Dah pinjam barang orang, nanti mesti hilang.” Rungut Afza yang tetap kurang setuju dengan permintaan kakaknya itu.

“Alah.. Kau hilangkan DVD Barbie aku takpa pulak?” Balas Awra tidak mahu mengalah.

“Alah.. Mana ada. Tu Alya yang hilangkan. Bukan Jaja.” Afza sudah merenung adik kembarnya yang tersengih-sengih.

“Ahh.. Angah tak peduli. Angah pinjam jugak.” Jawab Awra selamba. Terasa kemenangan berada di pihaknya.

“Sudah tu Awra.. Bilanya nak order ni kalau asyik bercakap aje?” Shukor mula mencelah. Tidak mahu perbalahan kecil anak-anaknya itu berlanjutan.

“Entah korang ni. Sibuk aje dengan DVD. Kau pun sama dah macam budak-budak dik.” Tambah Firdaus pula.

Awra sudah menjuihkan bibir. Tidak terkesan langsung dengan kata-kata abangnya.

“Abang Faiq!”

Mendengar sebaris nama itu dipanggil, Awra mengangkat wajahnya. Laju dia mencari si pemilik nama. Hampir bercantum keningnya melihat susuk tubuh yang amat dikenali baru melangkah masuk ke restoran. Debar aneh mula mengusik hati melihat wajah tenang yang sedang tersenyum itu. Liur ditelan kesat. “Apa dia buat dekat sini?” Soalnya pada diri sendiri. Pelik dengan kemunculan Faiq sedangkan dia beranggapan hanya akan bertemu dengan lelaki itu dalam masa seminggu lagi. Baru petang tadi lelaki itu menghantar pesanan ringkas untuk memaklumkan kursus di Melaka terpaksa dilanjutkan dalam masa seminggu lagi. Disebabkan itu dia berani mengajak semua ahli keluarganya makan di situ.

“Assalamualaikum semua.” Ucap Faiq mesra seraya menyalami tangan Shukor sebelum berpindah kepada Firdaus. Hampir serentak yang ada di situ menjawab melainkan Awra yang tidak lepas memandangnya hingga dia sendiri terasa pelik. Dia yakin gadis itu terkejut dengan kemunculannya dan dia sendiri agak terkejut apabila ternampak kereta Shukor dan Firdaus di tempat parkir tadi.

“Awak buat apa dekat sini? Bukan awak dekat Melaka lagi seminggu ke?” Laju Awra menyoal.

Faiq mengerutkan dahi. “Er.. Balik sekejap.” Balasnya serba salah. Tidak terpandang akan wajah Shukor dan Faridah saat itu. Malu kerana dia masih lagi tidak berterus terang dengan Awra akan keadaan yang sebenar. ‘Yang kau tiba-tiba datang malam ni kenapa pulak?’ Sempat lagi hatinya bertanya.

“Faiq, boleh ambik order sekarang.” Celah Shukor terus, mahu menamatkan perbualan Awra apabila melihat anaknya itu ingin bertanya lanjut. Dia faham akan keadaan yang dialami oleh anak muda yang tersenyum payau itu.

“Er.. Boleh pakcik. Sekejap saya ambik kertas dengan pen.” Jawab Faiq sedikit tergagap-gagap sebelum dia beredar ke kaunter utama. Tidak sampai seminit dia kembali semula. “Pakcik nak order apa malam ni?” Soalnya penghabis mesra kerana tidak mahu kelihatan canggung. Dia tahu semua pasang mata yang ada di situ ralit memandang terutamanya Awra.

…………..

“Awak.” Panggil Awra dalam nada yang mendatar. Sengaja dia menanti Faiq keluar dari tandas sebaik ternampak kelibat lelaki itu di situ tadi. Mi hailam yang dipesan tadi pun belum sempat dijamahnya.

“Awak buat apa dekat sini?” Soal Faiq pula yang sedikit terkejut dengan kemunculan Awra di situ. Mujur kawasan tersebut sedikit terlindung dari pandangan ahli keluarga gadis itu.

“Petang tadi awak kata awak balik minggu depan. Kenapa malam ni awak ada dekat sini?” Soal Awra inginkan penjelasan. Terasa dirinya sedang dipermainkan apabila melihat semua ahli keluarganya serba tidak kena dengan kehadiran lelaki itu tadi. Yakin Faiq sudah sedia maklum dia dan keluarganya akan makan malam di situ.

“La.. Sebab tu aje ke sampai awak sanggup tunggu saya depan toilet ni? Kenapa awak tak masuk aje tunggu saya dekat dalam?” Selamba Faiq menjawab tanpa memandang wajah Awra yang merenungnya tajam. Langsung tidak dihiraukan apa yang diperkatakan kerana dia sendiri tidak tahu adiknya kembarnya masih di Melaka.

“Saya tunggu dekat sini bukan nak cari gaduh tahu tak? Jawab ajelah bila saya tanya.” Balas Awra yang cuba mengawal suaranya.

“Penting sangat ke awak nak tahu?” Faiq membalas dengan soalan juga. Sengaja mahu menduga tahap kesabaran gadis itu. Tambahan pula mereka sudah lama tidak bertemu.

Awra ketap bibir menahan geram. Rengusan dilepaskan sebelum dia melangkah mahu meninggalkan Faiq di situ. Terasa menyesal dia menunggu lelaki itu tadi.

“Saya peliklah awak ni. Apa yang awak tak puas hati dengan saya sebenarnya? Apa lagi yang saya dah sakitkan hati awak Cik Awra?” Sambung Faiq membuatkan langkah gadis itu terhenti.

“Awak tu yang pelik. Selalu buat saya confuse. Hari tu sebelum awak pergi Melaka, awak boleh buat muka selamba aje dengan saya. Macam takda apa-apa yang pernah jadi pun sebelum ni. Hari ni lain pulak. Kenapa awak macam buat-buat terkejut bila nampak saya tadi?” Laju Awra membalas. Meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Faiq ketap rapat bibirnya. Dia tahan hati. ‘Buat-buat terkejut kau kata? Aku memang terkejut la doww!’ Gerutunya dalam hati. Tidak berpuas hati dengan apa yang terucap di bibir gadis itu.

Apasal awak tak jawab?” Cabar Awra sedikit geram. “Awak sebenarnya saja nak malukan saya depan family saya kan?” Hamburnya lagi tanpa usul periksa. Bukan dia tidak tahu semua ahli keluarganya akan memihak kepada lelaki yang berdiri di hadapannya itu.

Faiq melepaskan nafas berat sebelum dia menjarakkan sedikit tubuhnya. Wajah ditalakan ke tengah restorannya yang mula dipenuhi pelanggan. “Awak pergilah makan. Nanti family awak cari pulak.” Ujarnya dengan suara yang tertahan sebelum melangkah. Tidak mahu memanjangkan perbalahan kecil itu. Dia terpaksa mengalah memandangkan keadaan yang tidak begitu sesuai.

“Saya tak suka awak buat-buat baik dengan family saya.” Tutur Awra lancar sebaik Faiq melangkah membuatkan lelaki itu terhenti dan berpaling semula.

“Awak kata saya buat-buat baik dengan family awak? Saya buat-buat baik dengan family awak?!” Balas Faiq dengan sengaja menekan setiap patah perkataan yang meniti bibirnya. Terusik hati lelakinya apabila dituduh begitu. Wajahnya terus dirapatkan ke wajah Awra.

“Menyesal betul aku suka perempuan mulut takda insurans macam kau ni. Memang patutlah aku undur diri dari terhegeh-hegeh kejarkan perempuan macam kau.. Tapi aku kesian dengan Khairi.. Perempuan yang dia suka langsung tak tahu nak hormatkan perasaan orang lain. Oh.. Aku terlupa. Perempuan kalau bercakap memang suka pakai emosi kan? Macam kaulah. Tuduh-tuduh orang ikut suka kau aje.  Boleh tak kau, kalau nak tuduh orang macam-macam biar ada bukti! Nasib baiklah aku tak suka kau lebih-lebih. Kau ni memang buang masa aku ajelah!” Luahnya lancar dengan perasaan marah yang berbuku sebelum kembali melangkah.

Awra terpanar. Tidak berkelip dia memandang belakang tubuh Faiq yang kian menjauh. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengarinya. Panas membahang wajahnya saat itu. Luahan Faiq yang kedengaran kasar begitu menusuk hingga ke dasar hatinya. Ada sebak memenuhi ruang dada hingga mengundang air jernih di tubir mata. Hati wanitanya terusik.

“Angah buat apa lama-lama dekat sini?” Muncul Alya di situ kerana sudah lama Awra ke tandas.

Awra cepat-cepat menyeka air mata yang bertakung sebelum dia terus masuk ke dalam tandas. Tidak dihiraukan pertanyaan adiknya. Dia mengunci diri. Dadanya sedikit berombak sebelum air mata tanpa dipaksa mengalir ke pipi. Bibir digigit kuat untuk menahan tangisnya dari kedengaran.

“Angah, kita orang semua dah nak habis makan. Abah dah panggil tu.” Ujar Alya di luar pintu yang merasa sedikit pelik melihat keadaan kakaknya itu.

“Kau pergilah dulu.. Kejap lagi Angah keluar.” Balas Awra yang cuba mengawal suaranya.

“Angah..”

“Kau pergilah dulu!” Pintasnya cepat kerana tidak mahu mendengar bebelan adik bongsunya itu lagi. Risau gadis itu sedar yang dia sedang menangis.

Alya yang setia menanti di luar mula membuat muka pelik. “Iyalah. Cepat sikit.” Balasnya kemudian sebelum berlalu.

Awra yang masih di dalam tandas terus menghamburkan tangis. Perasaan sedihnya tidak mampu lagi ditahan. Masih bergema lagi kata-kata lelaki itu di gegendang telinganya. Terasa sukar benar otaknya ingin mencerna setiap patah perkataan yang terbit di bibir Faiq tadi. Ada perasaan malu mula membelit dirinya dengan apa yang terjadi.

Sementara Faiq yang duduk di bahagian belakang restoran cuba menenangkan dirinya sendiri. Berombak kecil dadanya menahan perasaan marah dan geram yang bersisa. Tidak menyangka sabar yang ditahan selama ini tercalar juga hari itu gara-gara Awra. Gadis yang berjaya mencuit hati lelakinya. Sebatang rokok yang baru dinyalakan disedut panjang untuk meredakan hati yang membahang. Entah kenapa tiada kelegaan yang terasa walaupun dia sudah menghamburkan amarahnya tadi.

“Faiq..” Muncul Zaki yang juga merupakan salah seorang daripada rakan kongsi perniagaannya. “Kau okey ke?” Lanjutnya lagi apabila melihat wajah Faiq agak tegang. Sudah lama dia tidak melihat wajah sahabatnya tegang begitu selepas ditinggalkan kekasih dua tahun lalu.

“Masalah emosi kejap.” Jawab Faiq cuba berseloroh. Rokok yang sudah hampir ke pangkal terbakar, dilempar jauh sebelum dia mencapai kotak rokoknya pula. Dikeluarkan lagi sebatang rokok baru dan terus dinyalakan.

“Siapalah yang buat kawan aku marah ni..” Balas Zaki berserta senyuman nipis. Dia yakin Faiq cuba menyembunyikan sesuatu. Bukan dia tidak tahu perangai lelaki itu.

Faiq melemparkan senyum segaris sebelum menghembuskan asap putih ke ruang udara. Belum cukup tenang lagi hatinya walaupun hampir sahaja dua batang rokoknya habis dalam masa tidak sampai lima minit.

“Pakcik Shukor cari kau dekat depan tu.” Sambung Zaki apabila teringat akan tujuannya ke situ tadi.

Tanpa menunggu lama Faiq terus membuang batang rokok yang berbaki separuh itu sebelum bingkas ke ruang hadapan.

“Faiq, pakcik dah nak balik ni..” Ujar Shukor sebaik wajah Faiq muncul di hadapannya.

“Er.. Dah habis makan ke pakcik? Awalnya nak balik.” Balas Faiq sambil beriringan dengan Shukor untuk mendapatkan yang lain. Matanya curi-curi memandang ke arah Awra yang sudah pun berdiri di tepi kolam ikannya.

“Awra tu nak balik awal.” Jawab Shukor yang turut mengerling ke arah anak keduanya. Dia perasan akan kelainan di wajah itu sebaik Awra kembali semula ke meja tadi. Entah apa yang berlaku, belum dapat dipastikan lagi.

“Er.. Tu, dia belum makan pun..” Balasnya apabila perasan mi hailam yang dimasaknya sendiri tadi langsung tidak bercuit. Saat itu juga hatinya mula tidak senang.

“Sakit perut katanya tadi..” Ringkas Shukor membalas.

“Oh.. Iya ke..” Sedaya upaya dia cuba mengawal suaranya. Belakang tubuh Awra dipandang sekilas.

“Faiq, macam biasalah. Semua makanan dekat sini memang terbaik.” Celah Firdaus yang muncul dari sudut restoran bersama Athirah.

“Takdalah.. Biasa aje..” Faiq merendah diri. Semua tukang masak yang bekerja di restorannya itu adalah yang terlatih dan terbaik yang pernah dia miliki. Sesekali matanya akan mengerling ke arah Awra yang langsung tidak berpaling sejak tadi. Entah kenapa perlu ada perasaan risau di hatinya sedangkan dia yang memarahi gadis itu.

“Okeylah Faiq. Pakcik balik dulu. Makcik kamu dengan budak-budak tu dah tunggu dekat kereta.” Ucap Shukor sambil menepuk beberapa kali lengan Faiq sebelum lelaki itu menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Hati-hati bawak kereta pakcik.” Balas Faiq berbasa-basi.

“Inshaa Allah.. Assalamualaikum.” Ujar Shukor sebelum berlalu.

“Faiq.. Kau gaduh ke dengan Awra?” Soal Firdaus sebaik kelibat abahnya menghilang. Isterinya pula sudah menyertai Awra di tepi kolam ikan.

Faiq tersenyum nipis. Kalaulah Firdaus tahu apa yang telah diungkapkan kepada gadis itu, pasti dia dimarahi. “Takdalah. Biasalah kita orang. Mana boleh jumpa.” Balasnya sekadar alasan bersama sengihan payau.

“Faiq.. Dia menangislah Faiq.. Aku sebenarnya tak suka tengok dia macam tu.” Firdaus meluahkan rasa tidak senang hatinya apabila melihat wajah Awra yang sedikit sembap tadi. Bukan dia tidak tahu mata adiknya itu mudah sahaja bengkak jika menangis.

Faiq tidak membalas. Sebaliknya matanya ditalakan ke arah tubuh Awra yang masih membelakangi mereka. Dia tahu gadis itu tidak mungkin akan berpaling lagi kepadanya setelah apa yang diungkapkan tadi. Hubungan yang sedia keruh bertambah keruh.

“Okeylah Faiq. Dah lewat ni. Kita orang balik dululah. Ada masa kita lepak tempat biasa. Kau call aje aku.” Sambung Firdaus apabila tiada tanda-tanda lelaki di hadapannya itu mahu menjawab soalannya tadi. Dia sendiri tidak mahu ikut campur akan permasalahan Faiq bersama adiknya. Yakin kedua-duanya ada ego sendiri dan tidak mudah akan mengalah.

“Iyalah. Inshaa Allah.. Terima kasih bro sebab selalu datang kedai aku ni.” Balas Faiq seraya mereka berjabat tangan.

“Pastinya yang terbaik selalu menjadi pilihan kan?” Senang Firdaus membalas diiringi senyuman penuh makna terbit di bibirnya sebelum menepuk bahu kenalan barunya itu.

Faiq hanya membalas dengan senyuman tawar mengiringi langkah Firdaus dan Athirah. Manakala Awra sudah lebih awal berlalu meninggalkan restorannya. Bibir berhenti mengoyak senyum sebaik kelibat kedua-duanya hilang dari pandangan. Helaan nafas berat terlepas dari bibir. Kepalanya terasa kusut saat itu. Ada perasaan kesal mula bertapak di hati.

****
“Abang, kalau aku berhenti kerja, agak-agak abah marah tak?” Suara Awra memecah kesunyian malam sejak mereka bertolak dari restoran Faiq lima minit tadi.

Apasal kau nak berhenti pulak? Kan dah elok-elok kau kerja dekat situ.” Jawab Firdaus seperti kurang setuju dengan apa yang diucapkan oleh adiknya.

“Aku.. Aku tak nak la kerja situ lagi.” Jawab Awra kurang yakin dengan keputusan yang baru dibuat. Apa yang berlaku tadi menyebabkan dia mengambil keputusan drastik begitu.

“Awra.. Kenapa ni? Ada yang tak kena ke kerja dekat situ?” Lembut Athirah pula bertanya.

“Er.. Fir ingat nak duduk kampung ajelah. Nanti Fir cari kerja dekat-dekat dengan rumah aje.” Jawab Awra perlahan. Tidak terpandang akan wajah abangnya dari pantulan cermin pandang belakang.

“Laa.. Kenapa? Kan Awra dah lama kerja dekat situ.” Balas Athirah sambil memandang wajah suaminya yang sudah melepaskan keluhan berat.

Awra mendiamkan diri. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan lagi.

“Kau kalau tak bergaduh dengan si Faiq tu memang tak boleh ya? Sekarang sampai nak berhenti kerja pulak.” Celah Firdaus yang kembali bersuara. Dia cukup tidak setuju apabila Awra ingin berhenti kerja.

“Dah memang bukan rezeki aku kerja dekat situ.” Jawab Awra sambil membuang pandang ke luar tingkap. Dia mula yakin dengan keputusan yang dibuat. Dia tidak mahu lagi berurusan dengan lelaki bernama Faiq Faisal. Cukup dengan apa yang telah berlaku di antara mereka sebelum ini. Cukup yakin yang mereka tidak mungkin akan boleh berbaik.

“Senang aje kau jawab kan? Kau nak semua orang mengata kau lagi ke? Tak cukup dekat dua tahun kau duduk rumah dengan ijazah kau tu?” Hambur Firdaus sekadar mahu mengingatkan apa yang telah berlaku sepanjang adiknya itu jadi penganggur.

“Abang..” Athirah menyentuh lengan Firdaus agar suaminya itu berhenti. Dia tidak mahu Firdaus menambah kekeruhan yang ada di wajah adik iparnya.

Awra saat itu mula menahan sebak. Mana mungkin dia boleh melupakan kata-kata sindiran yang diterima daripada saudara mara sendiri saat dia jadi penganggur sebelum ini. Abangnya itu sendiri sering bergurau akan status yang disandang hingga dia terasa hati.

“Awra…” Lembut Athirah memanggil. Dia tidak mahu gadis itu terasa hati dengan kata-kata suaminya.

“Biarkan dia Ati. Lantaklah lepas ni dia nak buat apa pun. Elok-elok dah kerja, kau nak berhenti. Baik kau kahwin ajelah kalau kau dah tak nak kerja. Lagi senang. Orang pun tak mengata. Mak abah pun tak susah.” Selamba Firdaus menambah.

“Apa abang ni..” Tegur Athirah tidak senang sebelum menoleh ke arah Awra.

“Lepas ni aku takkan susahkan kau. Aku tahu selama aku kerja ni pun, aku duduk, makan free dekat rumah kau kan? Kau kena ambik, kena hantar aku tiap-tiap hari. Kau susah kalau aku duduk sama dengan kau kan? Lepas ni kau jangan risau. Kalau aku susahkan pun, aku susahkan mak dengan abah. Aku takkan susahkan kau dengan Kak Ati lagi.” Jawab Awra dengan linangan air mata. Terusik lagi hatinya dengan apa yang diucapkan oleh Firdaus. Hatinya benar-benar tawar untuk tinggal bersama pasangan itu lagi. Dia lebih sanggup tinggal di kampung bersama ibu dan abahnya walaupun terpaksa mendengar sindiran orang sekeliling nanti.

“Mana ada Awra susahkan kita orang.. Kan bang..” Sahut Athirah serba salah sambil mengerling suaminya di sisi.

“Memang susah pun.” Selamba Firdaus menjawab dengan perasaan geramnya.

Athirah terus menghadiahkan jelingan tajam kepada Firdaus. “Abang ni kenapa?” Soalnya geram.

Firdaus tidak membalas. Dia hanya tekun memandu.

“Awra, tak payah dengar cakap Abang Daus ni. Mulut dia memang macam tu. Awra kerja ajelah dulu sementara Awra dapat kerja lagi baik. Awra tak susahkan kita orang pun. Kalau lepas ni Abang Daus tak boleh hantar, tak boleh ambik Awra, takpa, akak boleh buat semua tu.” Ujar Athirah cuba memujuk. Tidak sampai hati dia melihat adik iparnya yang sedang menangis itu.

“Takpalah kak. Nanti ada orang kata Fir susahkan akak pulak. Akak kan tak sihat sangat sekarang ni..” Jawab Awra dalam getar suara. Kata-kata berbaur sindiran itu memang dituju khas buat abangnya.

“Kau tak payahlah nak sindir-sindir aku. Kau tu, kalau buat keputusan, memang tak fikir panjang. Ikut suka kau aje.” Sahut Firdaus geram sambil mengerling cermin pandang belakang. Dia perasan adiknya itu sudah menangis.

“Abang ni kenapa nak cari fasal malam-malam ni? Sudahlah tu..” Athirah terpaksa mencelah untuk meredakan ketegangan yang ada.

Awra terus mendiamkan diri. Hanya ditelan segala kata-kata abangnya. Tidak mahu lagi dia memanjangkan perbalahan kecil itu. Dalam pada itu, dia terus mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mahu memaklumkan hal peletakan jawatannya kepada Khairi. Keputusannya sudah muktamad.