Sep 25, 2013

Mengharap kasih_edisi khas 2

Mengharap kasih_edisi khas 2

“Ummi.. Along dah lama tak jumpa Cik Zan..” Soal Aniq memecah kesunyian saat mereka dalam perjalanan ke rumah Amira. Hari minggu itu terpaksa dia menuruti segala kemahuan anak-anaknya yang ingin bertemu dengan anak-anak Amira dan Shafiq. Kakak dan abang iparnya begitu manja dengan anak-anaknya.

“Cik Zan sibuk.” Ringkas sahaja jawapan yang diberi oleh Azila dan jawapan itu jugalah yang akan diberi apabila setiap kali soalan yang sama diajukan. Matanya menjeling ke arah anak bongsunya yang duduk di belakang dari cermin pandang belakang. Si kecilnya itu juga sering bertanya tentang Ramzan. Namun sengaja dia mengelak untuk menjawab dan jawapan yang sama juga sering dimomokkan.

Sejak peristiwa malam raya  sebulan lalu, dia tidak lagi berhubung dengan Ramzan. Namun lelaki itu sering pula menghubungi ayahnya semata-mata mahu bercakap dengan anak-anaknya. Cuma tidak sekerap sebelum ini.

“Hari tu Cik Zan kata tak sibuk pun..” Balas Aniq selamba. Terkelip-kelip dia memandang Azila yang tenang memandu.

“Sibuk. Cik Zan sibuk. Sebab tu dia tak datang lagi jumpa Along.” Jawab Azila mencipta alasan.

“Ummi…” Mendayu-dayu suara Danish memanggil.

“Kenapa sayang. Adik pening ya.. Adik baring dulu. Kita dah nak sampai rumah Babah dengan ibu.” Ujar Azila lembut. Panggilan itu sudah sebati buat kakak dan abang iparnya.

“Ummi.. Cik Zan ada?” Ujar si kecil itu dalam nada yang sama.

Azila menoleh sekilas ke wajah dua anaknya sebelum dia melepaskan keluhan berat. Dia tahu anak-anaknya tidak mendapat kasih sayang seorang ayah yang cukup. Terutamanya Danish. Oleh sebab itu Danish lebih rapat Shafiq dan ayahnya. Dan sejak mengenali Ramzan pula, tidak henti dia menyebut nama lelaki itu. Tidak cukup Ramzan yang menghubungi, Danish akan merengek agar dia pula yang menghubungi jika beberapa hari tidak berbual dengan lelaki itu. Belum termasuk Ramzan datang menemui anak-anaknya tanpa pengetahuannya saat dia di tempat bekerja.

“Cik Zan tak boleh selalu cakap dengan Adik, cakap dengan Along. Cik Zan tak boleh nak selalu jumpa Adik dengan Along. Dia ada kerja dia. Along dengan Adik tak boleh kacau Cik Zan tengah kerja.” Azila cuba memujuk kedua-dua si kecilnya itu.

“Bolehlah ummi. Hari tu Cik Zan kata nak bawak Adik dengan Along mandi air terjun.” Balas Aniq yang lebih menyebelahi Ramzan.

“Bila Cik Zan cakap macam tu?” Soal Azila dengan kerutan di dahi.

“Hari tu la.. Masa.. Masa dia cakap dengan Along. Ummi takda masa tu. Kan Adik?” Balas si kecil itu senang.

Azila ketap bibir. Dia kurang senang dengan apa yang terucap di bibir Aniq. Cukup risau andai janji itu tidak ditunaikan oleh Ramzan. Yakin kedua-duanya akan merengek kepadanya nanti.

*******
“Nak buat apa bekas-bekas ni semua mak?” Soal Azila yang baru masuk ke ruang dapur apabila melihat ada beberapa bekas plastik di atas meja makan. Dia perasan ibunya itu lebih awal bangun tadi.

“Kan Azan nak datang ambik budak-budak itu pergi mandi air terjun hari ni. Tu yang mak nak siapkan bekal ni.” Jawab Salbiah sebelum menghidupkan api dapur. Dia mahu memasak sambal sardin untuk dibuat sandwich.

“Hah?” Azila agak terkejut dengan apa yang baru sahaja disampaikan oleh ibunya. “Kenapa Zila tak tahu pun?” Soalnya tidak senang.

“Macam mana kamu nak tahu kalau kamu langsung tak nak angkat telefon.” Balas Salbiah yang mula menumis bawang merah dan bawang putih yang siap dicincang halus tadi. Semerbak baunya memenuhi ruang dapur.

Azila tidak menjawab. Sebaliknya dia terus melabuhkan duduk di kepala meja. Bekas kosong yang diletakkan oleh ibunya tadi dibelek. Memang kini dia lebih banyak mengelak jika lelaki itu cuba menghubunginya. Kadang-kadang, dengan sengaja dia tidak mengaktifkan gajet tersebut kerana tahu Ramzan akan cuba menghubungi dan mahu berbual dengan anak-anaknya. Itu yang menyebabkan Ramzan kini lebih mudah menghubungi telefon bimbit ayahnya pula.

“Kamu pergi kejutkan budak-budak tu. Nanti takda si Ramzan tu tunggu lama. Senang bertolak awal-awal ni. Sejuk sikit.” Sambung Salbiah apabila anaknya itu mendiamkan diri.

“Erm.. Malam tadi takda pulak Along cakap dengan Zila nak pergi mana-mana pagi ni mak. Biasanya Along mesti cakap dengan Zila dulu.” Ujar Azila tanpa menghiraukan arahan ibunya. Dia mahu mempersoalkan tindakan Ramzan yang mahu membawa anak-anaknya hari itu tanpa izinnya terlebih dahulu.

“Budak-budak tu takut nak bagi tahu kamu. Bila tanya fasal Ramzan aje kamu kata si Ramzan tu sibuk memanjang. Kalau tak sibuk, lama-lama kamu marah budak-budak tu.” Jawab Salbiah yang jelas memihak kepada cucu-cucu kesayangannya.

Azila menghela nafas berat. Memang sejak akhir-akhir itu nama Ramzan sering meniti bibir kedua-dua anaknya hinggakan dia hilang sabar. Berkali-kali soalan yang sama diajukan hingga dia tidak mampu menerangkannya lagi. Untuk berterus terang tentang apa yang berlaku dia yakin anak-anak kecil itu masih belum memahami. Apa yang pasti, kedua-duanya hanya inginkan perhatian daripada seorang lelaki yang bergelar ayah. Yang mampu melayan segala kerenah kanak-kanak lelaki dan ia hanya dapat dipenuhi oleh seorang lelaki bergelar ayah.

“Zila.. Kamu dah kejutkan budak-budak tu? Ramzan dah dekat sampai tu. Dia baru telefon ayah.” Muncul Hamid di ruang itu membuatkan Azila berpaling. Sedar dia kini tidak punya pilihan selain terpaksa menurut akan segala yang telah dirancangkan oleh Ramzan. Tidak mungkin dia mampu menghampakan harapan anak-anaknya sedangkan hal itu pernah diucapkan oleh Aniq kepadanya hampir sebulan lalu. Cuma dia tidak menyangka Ramzan akan mengotakan janji yang telah lama dibuat.      

………….

Bibir mengoyak senyum tanpa sedar apabila melihat anak-anaknya bergelak ketawa apabila Ramzan mengusik. Begitu ceria ketiga-tiga wajah itu namun tidak seceria hatinya.

Sepanjang perjalanan ke taman rekreasi air terjun Hulu Bendul itu langsung tiada bicara dari bibirnya. Hanya terdengar suara Ramzan melayan pertanyaan anak-anaknya. Danish lebih-lebih lagi. Dia hanya menjawab bila perlu sahaja. Dia yang pada mulanya tidak mahu menyertai aktiviti hari itu, terpaksa menurut kerana belum pernah dia membenarkan anak-anaknya keluar dengan seseorang yang masih belum dikenali sepenuhnya. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu menyusahkan Ramzan kerana terpaksa melayan kerenah anak-anaknya walaupun sedar kedua-duanya begitu senang dengan lelaki itu.

Senyum di bibirnya terus termati apabila ketiga-tiga mereka kembali kepadanya yang menanti di pondok rehat tersedia.

“Ummi.. Nak air..” Ujar Aniq yang sudah basah kuyup kerana sejak tadi berendam di dalam air. Terus sahaja dia menuangkan air teh yang dibawa tadi.

“Ummi.. Cik Zan kata.. Air alam (dalam) tu.. veyi (very) cold..” Kata Danish pula yang menghampirinya. Manakala Ramzan yang turut kembali terus mencapai kain tuala untuk mengelap wajah dan tubuhnya yang turut basah melayan anak-anaknya mandi sejak tadi. Dia perasan mata lelaki itu sering singgah ke wajahnya namun sengaja dia tidak endahkan walaupun hatinya mula terasa bersalah berlaku dingin begitu.

“Azan..” Dia menghulurkan cawan yang berisi air yang sama kepada lelaki itu pula.

Ramzan melemparkan senyum segaris seraya menyambut huluran Azila. Ada perasaan lega menjalar dalam tubuhnya apabila Azila masih mahu menegurnya. “Tak nak mandi ke?” Soalnya berbasa-basi walaupun tahu yang Azila langsung tidak membawa baju lain.

Azila menggelengkan kepala perlahan berserta senyuman tawar. Tidak terpandang wajah Ramzan saat itu. Dengan baju yang basah melekap ke tubuh hingga menampakkan bentuk yang begitu sempurna di matanya.

“Ummi, Along nak pergi mandi lagi.” Kata Aniq sebelum berlalu. Dia kembali turun ke tempat dia mandi bersama Ramzan dan adiknya tadi.

“Aong.. Unggula (tunggula)..” Sahut Aniq pula lantas mengikuti langkah Aniq.

“Jangan main dekat tengah-tengah.” Sempat Azila berpesan sambil matanya memandang langkah dua anaknya masuk ke dalam air separas lututnya.

“Cik Zan! Tengok Adik ni!” Teriak Aniq apabila Danish memeluk tubuhnya tiba-tiba hingga menyebabkan masing-masing terbaring. Sememangnya tubuh Danish lebih berisi daripada Aniq menyebabkan tubuh kurus itu mudah sahaja terjatuh apabila si adik menarik.

Azila hanya menggelengkan kepala melihat kedua-dua heronya sudah bergelumang di dalam air apabila Danish tetap juga mahu memeluk tubuh Aniq.

Manakala Ramzan pula sudah bingkas. Berdiri di tebing batu itu untuk melihat kedua-duanya.

“Azan..”

Lelaki itu menoleh.

“Terima kasih.” Ucap Azila seraya membuang pandang ke arah lain apabila mata mereka bertemu beberapa ketika.

Ramzan mengoyak senyum sebelum dia kembali menghampiri Azila di bawah pondok. “Saya yang patut ucap terima kasih pada awak sebab awak izinkan saya jumpa anak-anak awak, bawak anak-anak awak datang sini dengan umminya sekali.” Ucapnya penuh makna. Dia tidak menyangka yang Azila akan menyertai mereka hari itu menyebabkan hatinya berbunga kembang sepanjang memandu ke situ tadi walaupun tiada bicara yang kedengaran.

Azila tersenyum tawar. “Saya bukan kejam.” Balasnya lambat. Bukan dia tidak tahu yang lelaki itu kini rapat dengan anak-anaknya. Hanya dia sahaja yang sering menghalang.

Razman menoleh sekilas ke wajah Azila sebelum dia membalas. “Saya mintak maaf fasal hari tu..” Ucapnya kemudian. Teringat akan malam raya yang lalu. Hanya kerana luahan hatinya, wanita itu dingin dengannya. Peluang yang ada kini tidak akan dilepaskan. Begitu susah, baru hari itu mereka berkesempatan untuk bertemu lagi.

“Benda dah lepas..” Balas Azila tidak bernada. Namun dalam hati hanya Allah yang tahu. Ada debar halus datang menyapa apabila teringat kembali luahan berani Ramzan.

“Memang dah lepas. Tapi saya tak pernah lupa Zila. Hati saya pun takkan berubah.” Jawab Ramzan tenang. Dia masih meletak harapan agar Azila dapat menerimanya.

“Azan..”

“Bagi saya peluang. Bagi peluang untuk anak-anak awak rasa apa yang dia orang tak dapat sebelum ni. Terutamanya Adik. Please Zila.” Pintas Ramzan seraya menoleh ke wajah Azila.

Azila mengeluh berat. Pandangan mata dibuang ke arah anak-anaknya yang masih bermain air. “Saya tak kenal awak Azan. Takkan semudah tu saya nak bagi peluang?” Jawabnya lemah.

Apa yang berlaku dalam hidupnya sudah cukup memberi peringatan agar lebih berhati-hati memilih pasangan hidup. Walaupun dia cukup bahagia berkahwin dengan arwah suaminya dahulu, namun keadaan diri yang tidak pernah diterima dalam ahli keluarga mentua sesuatu yang menyakitkan. Terutamanya apabila perkahwinan yang dibina tidak mendapat restu seorang ibu tanpa dia sedari.

“Kalau awak tak bagi peluang, macam mana awak nak kenal saya, macam mana saya nak tunjukkan yang saya mampu jaga awak dengan anak-anak?” Balas Ramzan lembut lebih memujuk.

“Awak tak faham keadaan saya Azan..” Lemah Azila menjawab.

“Awak sebenarnya takut apa yang pernah jadi dulu, akan jadi pada kita kan..” Tebak Ramzan yang sedia maklum akan keadaan Azila bersama arwah suami daripada Hamid. Lelaki itu ada menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku

“Tak mustahil Azan.. Awak bujang.. Saya ni..” Azila merendah diri. Terasa tidak layak untuk berdampingan dengan lelaki itu sungguhpun hatinya terusik setiap kali melihat kemesraan yang ditunjukkan saat melayan kerenah anak-anaknya.

“Orang bujang memang kena kahwin dengan bujang ke Zila?” Ramzan merenung wajah ayu bertudung itu tajam. Sungguh dia tidak suka apa yang meniti bibir Zila saat itu. Status dirinya dipersoalkan.

“Tu yang sepatutnya..” Jawab Zila perlahan. Tidak berani dia membalas pandangan Ramzan itu.

Ramzan melemparkan senyum nipis. Mata ditalakan ke arah dua anak kecil yang mula mendapat tempat di hatinya itu. “Jodoh bukan dekat tangan awak Zila.” Luahnya sama perlahan. Namun Azila sedar akan hakikat itu. Tidak semestinya yang berstatus bujang akan bertemu jodoh dengan pasangan berstatus yang sama. Dia yakin jodoh Allah dan reda andai jodohnya bersama wanita sudah beranak dua. Siapa dia untuk menolak jika itu sudah ketentuannya.

“Azan.. Please.. Jangan mulakan..” Azila tidak mahu hal itu terus menyebabkan dia berbalah. Baru sebentar tadi dia cuba untuk menerima kebaikan lelaki itu.

“Susah sangat ke Azila awak nak bagi saya peluang? Saya tak mintak lain. Tu aje yang saya nak. Hal family saya awak jangan risau. Yang tu saya akan uruskan nanti. Please..” Ramzan mula memujuk. Dia tidak akan berputus asa kerana dia tidak mampu membohongi dirinya lagi. Yakin akan kehendak hatinya saat itu.

“Azan…”

“Awak fikirkan dulu please..” Ramzan memotong. “Saya tunggu..” Lanjutnya penuh mengharap.

 Azila terdiam. Hanya hembusan nafas berat yang kedengaran.

********

“Ya Allah.. Hanya kepadaMu aku memohon.. Berilah aku petunjuk dalam membuat keputusan. Engkau tunjukkanlah aku jalan yang benar ya Allah.. Sesungguhnya Engkau yang maha mengetahui segala terbaik buatku dan anak-anakku.. Aku memohon ya Allah.. Aku memohon petunjukMu. Jika dia Engkau takdirkan untukku, jadikanlah ia milikku. Jika dia bukan jodohku, buanglah rasa cinta di hatinya buatku.. Berilah petunjuk kepadanya Ya Allah.. Aku mohon ya Allah..”

Kedengaran lagi esakan halus di subuh yang hening itu. Mata dihalakan ke wajah dua insan yang begitu disayangi sedang lena diulit mimpi. Keputusan yang dibuat kini bukan sahaja buat dirinya sendiri. Namun semata-mata buat anak-anaknya yang dahagakan kasih seorang ayah. Sedar dia sendiri memerlukan seseorang yang mampu melindunginya dan anak-anak.

Sudah lebih sebulan namun dia masih belum lagi memberi kata putus kepada Ramzan sungguhpun hubungan mereka tidak lagi dingin. Malah kini bertambah baik. Hubungan Ramzan bersama anak-anaknya juga semakin akrab. Dia sendiri tidak sampai hati untuk memisahkan hubungan yang terjalin.

Bola mata kemudiannya terhala pula ke meja kecil sisi katil apabila terdengar getaran yang dikeluarkan daripada telefon bimbitnya. Keningnya hampir bertaut sebelum dia bingkas bangun dari tikar sejadah yang diduduki. Segera dia mencapai gajet tersebut. Tidak boleh tidak, matanya membulat melihat sebaris nama yang terpampang. Sedikit ragu-ragu dia menekan butang hijau.

“Er.. Assalamualaikum..” Ucapnya perlahan.

“Waalaikumussalam. Awak tak tidur? Pukul berapa ni?” Tebak suara itu membuatkan matanya terus mencari jam loceng. Hampir 4.30 pagi.

“Er.. Awak kenapa call saya subuh-subuh ni? Awak tak tidur ke?”

Terdengar tawa kecil yang tercetus di sebelah sana. Dahinya berkerut.

“Saya baru lepas solat. Awak?”

“Er.. Saya..” Gugup dia tiba-tiba. Tidak menyangka mereka sedang melakukan perkara yang sama. Dia mula sedar akan petunjuk yang cuba ditunjukkan kepadanya kini. Mungkinkah…

“Sorry kalau saya ganggu.. Saya saja call. Tapi tak sangka awak angkat.” Sambung suara garau itu lagi.

Azila tersenyum payau walaupun Ramzan tidak dapat melihatnya. “Awak..”

“Hm..”

“Awak tak nak ubah keputusan awak.” Soalnya berani. Sengaja mahu menduga hati lelaki itu.

“No. Saya yakin dengan keputusan saya. Saya yakin dengan apa yang saya buat. Dan saya sangat yakin dengan petunjuk yang Allah dah bagi. Hati saya makin kuat untuk awak dengan anak-anak awak.” Sahut suara itu penuh yakin membuatkan jantungnya berdegup laju. Dia terpempan dengan air hangat yang mula bertakung di tubir mata.

“Zila.. Hello.. Zila.. Awak dah tidur ke?” Kedengaran suara garau itu memanggil.

“Er.. Ya.. Saya ada lagi..” Sahutnya dengan suara yang tertahan.

“Saya akan sabar tunggu keputusan dari awak Zila..” Ucap suara itu cukup tulus di pendengarannya buat ke sekian kali.

“Azan.. Er.. Saya..” Tidak mampu dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya saat itu. Sememangnya hatinya kini mula dapat menerima kehadiran lelaki itu tanpa dipaksa. Dia sendiri keliru bagaimana perasaan itu mula selesa mendapat tempat di hatinya.

“Azila.. Dengar sini.. Saya harap sangat saya dapat dengar berita baik dari awak. Tapi sekarang ni.. Saya reda kalau sememangnya awak tak dapat terima saya dalam hidup awak. Saya dah berusaha sebaiknya. Awak jangan risau Zila.. Saya takkan paksa awak. Tapi bolehkan kalau saya terus sayang anak-anak awak?” Cukup sayu suara Ramzan meluahkan membuatkan hati wanitanya terusik.

“Boleh.. Awak boleh sayang anak-anak saya.. Sampai bila-bila..” Jawabnya sedikit serak hingga terlepas esakan halus. Dia tidak mampu mengawal lagi rasa sebak yang mula mencengkam.

 “Azila..”

“Sudi ke awak sayang saya macam mana awak sayang anak-anak saya Azan..” Meluncur laju ayat itu dari bibirnya dalam esakan halus.

“Azan..” Panggilnya perlahan apabila langsung tiada bunyi di hujung talian.

“Er.. Ya.. Saya ada lagi.. Er.. Saya tak salah dengar ke Zila?” Ujar suara itu membuatkan semakin laju air matanya menuruni pipi.

“Saya harap saya tak salah buat keputusan.” Ujarnya lagi cuba meyakinkan lelaki itu.  Sedar yang dia perlu membuka peluang buat Ramzan. Jika tidak, mana mungkin dia mengetahui akan keupayaan Ramzan untuk menjaga dia anak-beranak.

“Inshaa Allah tak. Inshaa Allah.. Saya janji akan jadi yang terbaik untuk awak dengan anak-anak.” Balas suara itu cukup yakin membuatkan hatinya sedikit tenang. Dia cuba membina tembok kepercayaan buat Ramzan.

“Zila.. Kita jumpa boleh? Sekarang saya dekat Teluk Intan. Hujung minggu ni saya balik, saya datang jumpa awak dengan anak-anak ya?” Lanjut suara itu yang jelas bersemangat setelah dia memberi kata putus tadi.

“Inshaa Allah..” Itu sahaja yang mampu dibalas. Air mata yang masih bersisa, diseka lembut. Entah kenapa hatinya terasa cukup tenang saat itu.

“Awak jaga diri. Sampaikan salam peluk cium saya untuk Along dengan Adik. Dah lewat ni. Awak sambunglah tidur. Esok saya call lagi.” Tambah suara itu mahu menamatkan perbualan.

“Er.. Iyalah. Inshaa Allah. Er.. Awak pun jaga diri. Assalamualaikum.” Balasnya pula seadanya.

“Waalaikumussalam sayang..” Sahut suara itu sebelum talian terputus. Terasa payau air liur yang ditelan sebaik perkataan terakhir menyapa gegendang telinganya. Tidak semena-mena wajahnya kebas.

*****

“Setiap hari Ahad keluar, balik mesti tersenyum lebar? Ada apa-apa yang ibu tak tahu ke?” Tegur Ramlah apabila melihat anak bongsunya sejak tadi tidak lekang dengan senyuman.

“Hati senang…” Jawab Ramzan selamba dengan sengihan yang kian melebar.

Ramlah mengerutkan dahi. “Tak nak share ke dengan ibu?” Dia cuba memancing.

Ramzan menoleh ke wajah ibunya di sisi. Senyuman di bibir semakin dilebarkan sebelum dia memusingkan tubuh menghadap wanita itu. Sudah lebih tiga bulan dia berhubungan dengan Azila, kini sudah tiba masanya dia berterus terang akan hasrat hati. Tambahan pula, keluarga Azila menerima baik kehadirannya. Dia mahu menghalalkan hubungan yang sedia ada.

“Bu… Macam ni..” Ramzan menyentuh kedua-dua tangan ibunya.

Ramlah menanti dalam debar apa yang ingin diucapkan oleh anak kesayangannya itu.

“Azan nak kahwin.” Lancar Ramzan menuturkannya.

Wajah Ramlah semakin berkerut. Belum pernah lagi anak bongsunya itu berbicara tentang kahwin sebelum ini. “Ibu tak salah dengar ke?”

“Tak bu.. Azan serius nak kahwin bu. As soon as possible.” Ramzan cuba meyakinkan. Dia juga sudah berbincang dengan Azila dan wanita itu mengikut sahaja apa yang dirancang.

“Dengan siapa? Tiba-tiba aje ni?” Balas Ramlah tidak senang. Belum pernah ada mana-mana perempuan yang dibawa pulang untuk bertemu dengannya sebelum ini.

“Dulu ibu cakap, ibu tak kisah dengan siapa-siapa pun Azan nak kahwin kan?” Ramzan membalas dengan soalan juga. Dia mahu memastikan yang ibunya benar-benar terbuka dengan siapa pun pilihan hatinya.

“Iyalah.. Tapi siapa? Ibu nak tahu jugak siapa dia yang dah buatkan anak ibu ni senyum sampai telinga.” Balas Ramlah yang cuba mengawal debar di hatinya agar tidak kelihatan. Dia akan cuba sedaya upaya untuk menerima pilihan anak bongsunya itu nanti.

“Nama dia Azila bu.. Azan dah lama kenal dia. Dulu kita orang sama tempat kerja. Tapi lepas tu, kita orang lost contact.. Masa bulan puasa hari tu Azan baru terjumpa dengan dia balik.” Terang Ramzan serba sedikit. Dalam masa yang sama, dia mula risau akan penerimaan ibunya jika dia mendedahkan status Azila yang sebenar.

“Erm.. Azan pernah cerita fasal dia sebelum ni? Ibu macam tak pernah dengar pun nama dia.” Balas Ramlah yang masih juga dengan kerutan di wajahnya.

“Nanti Azan bawa balik jumpa dengan ibu. Dia baik sangat bu..” Tambah Ramzan lagi mengenai si kekasih hati menyebabkan senyuman di bibirnya kembali terukir lebar.

“Iya ke.. Oh.. Patutlah orang tu setiap hujung minggu tak pernah melekat dekat rumah sekarang ni.” Balas Ramlah dengan senyuman paksa di bibirnya. Perasaan ingin tahu membuak di hatinya untuk mengenali gerangan wanita yang dimaksudkan. “Azan ceritalah bakal menantu ummi tu lagi. Ibu nak tahu.” Lanjutnya lagi.

“Dia biasa-biasa aje bu.. Kecik aje orangnya. Muda tiga tahun dari Azan. Erm.. Paling Azan suka fasal dia sebab dia ada dua hero yang comel bu.” Luah Ramzan berterus terang. Dia tidak mahu menyembunyikan apa-apa pun dari wanita yang amat disayanginya itu.

Ramlah terdiam. Tidak faham akan penjelasan anaknya itu. “Dua hero? Maksud Azan?” Berdegup laju jantungnya saat itu.

“Dia single mother bu.. Husband dia dah meninggal dekat tiga tahun lepas. So, sekarang dia dah ada 2 orang anak lelaki. Azan sayang budak-budak tu bu..” Terang Ramzan lagi tanpa dapat mengesan riak resah di wajah ibunya.

Ramlah menarik senyum pahit mendengar status wanita yang meniti bibir Ramzan. Entah kenapa dia tidak boleh menerima status wanita yang berjaya menambah hati anak bujangnya itu. Tak boleh!

“Bu, kalau boleh, minggu depan Azan bawa dia datang rumah kita ni. Boleh kenal-kenal dengan ibu...”

“Jangan!”

Spontan Ramlah menjawab sebelum dia menarik tangannya yang setia dalam genggaman Ramzan. Segera dia bingkas.

“Ibu..” Ramzan sedikit terkejut reaksi Ramlah begitu. Mati senyuman yang bergayutan di bibirnya tadi. Tidak sempat dia menghalang, ibunya sudah menghilangkan diri ke dalam bilik. Dia mula bingung. Apa maksud reaksi ibunya itu?



6 comments:

Atty Ismail said...

Alahai sedih sungguh...

Eijan said...

Alahai kesian Azila....x sudah2 dibenci bakal mertua....yg paling kesian anak2nya yg baru nak dapat kasih Sayang seorg ayah...

MaY_LiN said...

sedih kan..?

nursys said...

Huhuhu...sedey

Anonymous said...

kesiannye...

Kak Sue said...

Sebenarnya inilah yang zila takutkan mertua x boleh terima status dia dia IBU TUNGGAL ....
Zam cuba bawa anak-anak Zila dulu jumpa ibu... mana tahu hati tua ibu boleh terbuka terima Zila pulak...
Kalau Ibu Zam x terima rasanya Zila pun x nak sebab takut menderita macam dulu... berilah Zila sedikit kebahagiaan...