Terima kasih kepada mereka yang sudah pun mendapatkan TDK versi cetak. Alhamdulillah. Feedback anda amatlah saya hargai.
............
AWRA 15
“Kau, kalau datang sini aje muka
nak ketat dah kenapa? Aku tak suruh pun kau bayar kan?” Seperti biasa Firdaus
akan menyakat Awra walaupun hubungan mereka masih lagi dingin hanya kerana
perselisihan lalu.
Awra menjuihkan bibir seperti
biasa juga. Malas mahu membalas mahu pun menokok kerana ia hanya akan menambah
kekeruhan yang ada.
“Awra..” Shukor pula menegur
membuatkan dia terus menarik senyum paksa.
“Memang dekat sini yang paling
sedap ikan ke patin masak tempoyak tu?
Mak dah tak pandai masak eyh?”
Sengaja dia menduga ahli keluarganya yang cukup meminati masakan tersebut.
“Ha’ah Awra.. Mak ni dah tak
pandai masak dah..” Faridah yang duduk di sisi menyahut.
Awra tersengih. Sempat dia
mengangkat ibu jarinya ke arah pasangan kembar dan abangnya kerana yakin
adik-beradiknya itu dengar akan kata-kata ibunya sebentar tadi.
“Bukan tak sedap.. Dah ada orang
nak belanja, apa salahnya. Tak payah awak susah-susah masak Idah..” Balas
Shukor pula bersama senyuman. Mengambil hati.
“Eleh abah.. Saja nak beli jiwalah
tu.” Awra menjadi batu api pula.
“Diamlah Angah. Sibuk aje. Angah
makan ajelah nasi goreng kampung Angah tu nanti. Macamlah takda lauk lain Angah
nak makan kan? Nasi goreng yang Angah boleh masak sendiri tu pun, Angah order.” Afza mencelah.
Awra menjegilkan mata. Tersindir
dengan kata-kata adiknya itu. ‘Nasib baik dekat luar.. Kalau dekat rumah,
memang aku dah sekeh kepala dia ni..’ Gerutunya dalam hati. Geram melihat Afza
yang kerap benar mencari hal dengannya.
“Tak nampak pulak Faiq dari tadi.. Dia memang takda ke Daus?” Faridah tiba-tiba
bertanya sekali gus menamatkan topik tadi.
Selepas Faiq pengsan di rumahnya
sebulan lalu, dia tidak lagi bertemu dengan anak muda itu. Hanya khabarnya
sahaja yang diterima apabila Faiq ada menghubungi suaminya.
“Ada mak. Dia kata kejap lagi dia
datang. Ada function dekat hotel
katanya. Balik lambat hari ni.” Jawab Firdaus sambil mengerling ke arah Awra
yang duduk di hadapannya. Dia perasan wajah gadis itu mula serba tidak kena.
Malah sejak masuk ke restoren itu lagi Awra mula gelisah.
“Eh, yang kau cakap fasal Faiq,
kau pandang muka aku kenapa bang? Muka aku ada macam muka Faiq ke?” Ujar Awra
geram sambil menahan debar di dada. Melihat sengihan yang terbentuk di bibir
nipis abangnya itu sahaja dia sudah dapat meneka. Pasangan kembar di sisinya
itu juga sudah meletuskan tawa.
Sudah lama dia tidak bertemu
dengan Faiq selepas peristiwa lalu walaupun terasa lelaki itu begitu hampir
dengannya. Kerap bertemu dengan Faidh menyebabkan bayang lelaki itu tidak
pernah padam dalam kepalanya. Sentiasa mengekori ke mana sahaja langkahnya.
“Abang, sudahlah tu.. Makanan pun
dah sampai tu..” celah Athirah yang lebih banyak menjadi pemerhati sejak tadi.
“Tu Abang Faiq!” Alya tiba-tiba
bersuara sambil menunjuk ke arah pintu utama restoran. Masing-masing memandang
ke arah yang sama kecuali Awra. Matanya langsung tidak diangkat. Dalam debar
yang terkepung, dia cuba beriak selamba seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Cuba menidakkan kehadiran seorang lelaki yang terlalu ‘dekat’ dalam hidupnya
kini.
“Assalamualaikum semua.” Ramah
Faiq menyapa sebaik tiba di meja yang diduduki keluarga itu dan hampir serentak
pula mereka menjawab salamnya. Cuma seorang gadis yang langsung tidak menoleh
itu sahaja kelihatan seperti tidak menghiraukan kehadirannya.
“Sibuk sangat ke Faiq? Rasa macam
lama sangat makcik tak jumpa kamu. Macam mana? Sihat?” Faridah melemparkan
senyum ke arah anak muda yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri itu.
“Alhamdulillah makcik. Sihat
macam biasa. Cuma sibuk sikit makcik. Sekarang kan dah cuti sekolah, memang
macam-macam function dekat hotel tu. Wedding lagi..” Cerita Faiq senang.
Selebihnya dia mahu Awra tahu yang dia agak sibuk sebaik sembuh dari demam.
Langsung dia tidak punya masa melancarkan usaha untuk memikat gadis yang bakal
dijadikan suri hidupnya itu. Terpaksa dia mendahulukan kerja yang sedang
menanti.
“Kamu dah makan Faiq? Kalau
belum, jom makan sekali.” Mesra Shukor mempelawa pula.
“Memang belum makan ni.. Tadi tak
sempat makan dari tengah hari tadi pakcik. Tapi tak mengganggu ke nanti?” Faiq
berbahasa memandangkan gadis pilihan hati masih tidak ambil peduli akan
kehadirannya di situ. Menoleh pun tidak membuatkan hatinya sedikit geram.
“Mengganggu apa pulak kau ni Faiq. Macam tak biasalah pulak.” Sahut Firdaus sambil mata
mengerling ke arah Awra. Kaki di bawah meja pula sudah menolak kaki gadis itu
yang seperti leka dengan dunianya sendiri.
Awra angkat kepala. Berkerut
keningnya memandang wajah Firdaus. ‘Main kaki pulak..’ marahnya dalam hati. Tahu Firdaus sengaja mahu menarik
perhatiannya. Bukan dia tidak dengar apa yang sedang mereka bualkan.
“Jomlah Faiq makan sekali. Kamu
duduk sebelah Awra sana tu..” Sebaik habis Shukor menutur kata, anak keduanya itu
terus tersedak-sedak. Tersembur nasi goreng yang dikunyah hampir mengenai wajah
Firdaus di hadapannya.
Faiq tahan gelak. “Pakcik
makanlah dulu, saya nak masuk kejap. Nanti saya datang balik.” Ujarnya sebelum
terus beredar. Tidak mampu bertahan lama di situ melihat wajah Awra yang merah
padam. Risau tawanya pecah.
Firdaus bersama pasangan kembar
di situ sudah pun melepaskan tawa. Hinggakan Athirah juga tersenyum-senyum cuba
mengawal tawanya terhambur. “Awra..” Dia menghulurkan beberapa helai tisu
kepada adik iparnya itu.
“Thanks kak.” Awra memandang geram satu persatu wajah
adik-beradiknya di situ.
“Kamu kenapa Awra?” Shukor
menegur pura-pura tidak tahu kenapa anak gadisnya itu boleh tersedak.
“Abah tu la.. Banyak lagi meja
kosong dekat sini, kenapa abang ajak dia makan sekali dengan kita?” Selamba
Awra menjawab menyuarakan rasa tidak puas hati.
“Biarlah. Kerusi sebelah kamu tu
pun kosong. Apa salahnya.” Selamba juga Shukor menjawab sebelum dia mula
menyuap nasi.
Faridah yang memerhati sudah
menggeleng. “Kamu berdua, jangan nak gelak-gelak. Nanti ada yang kena cubit,
mak tak tahu.” Tegurnya pada pasangan kembar yang tidak henti ketawa lagi.
Awra ketap bibir. Terasa sakit
benar hatinya saat itu. Dia terus bingkas kerana mahu mencuci mulut yang
dirasakan agak comot di tandas.
“Sombongnya kau kan..” Teguran
dari suara garau yang tiba-tiba itu menyebabkan langkah kakinya terhenti. Laju
wajahnya diangkat mencari empunya suara. Debar di hati kembali bergema. Bibir
diketap rapat.
“Kalau aku sombong pun kenapa? Kau
sentap ke?” Selamba dia menjawab bersama senyuman tepi. Pura-pura tenang di
hadapan lelaki itu.
Faiq juga menguntum senyum. Namun
lebih manis bergula dari biasa sebelum menghampiri gadis itu. “Hati aku sentap
lebih dari biasa tahu tak..” Bisiknya lembut membuatkan gadis itu berundur
setapak ke belakang. Senyumnya dilebarkan. Lucu melihat wajah Awra yang mula
serba tidak kena. ‘Berlagak sangat kau dengan aku tadi kan!’ Gerutunya geram.
“Ada aku kisah hati kau nak
sentap. Huh!” Awra merengus. Laju dia mengatur langkah ke pintu tandas. Tidak
mahu lagi berlamaan di situ. Namun langkahnya sekali lagi terhenti apabila
lengannya dipaut. “Kau nak aku jerit ke?” Ugutnya geram apabila disentuh sesuka
hati begitu walaupun masih berlapik.
“Kalau berani, jeritlah. Jangan
salahkan aku kalau ada yang kena cium depan toilet
ni nanti.” Cabar Faiq yang semakin sengaja memegang kejap lengan berlapik baju
kurung itu.
Awra menjegilkan mata. “Kau nak
apa sebenarnya ni?!” Marahnya tertahan. Terpaksa mengalah. Cuba ditarik
lengannya tetapi gagal.
“Aku nak kau.” Selamba Faiq
menjawab dengan kening dijungkitkan beberapa kali.
Awra tersenyum sinis. “Lelaki
macam kau ni nakkan aku?” Sama sinis ayat yang meniti bibirnya. “Lelaki yang
nakkan aku, takkan sentuh aku sesuka hati sebelum jadi haknya lah!” Tambahnya
sambil menentang tajam renungan lembut di hadapannya itu.
“Okey!” Faiq terus melepaskan
lengan gadis itu.
Awra merengus lagi. Diurut
perlahan lengannya yang terasa sedikit sengal. “Kau memang suka nak sakitkan
hati aku kan?” Gumam Awra tertahan dengan genangan air mata. Entah kenapa ada
sebak tiba-tiba bertandang pula.
“Aku bukan suka-suka nak sakitkan
hati kau. Kau tu, berlagak sangat. Kau tahu aku sampai tadi. Tapi kau langsung
tak pandang muka aku. Dah la sebulan lebih aku tak jumpa kau. Aku call, langsung kau tak pernah nak jawab.
Teruk sangat ke aku sampai kau langsung tak sudi berkawan pun dengan aku?” Luah
Faiq akan rasa hati yang ditanggung lebih sebulan tidak bertemu dengan gadis
itu.
“Tapi tak payahlah sampai nak
pegang-pegang aku! Kau cakap elok-elok tak boleh ke?!” Tingkah Awra dengan air
mata yang hampir gugur.
“See.. Siapa yang tak cakap elok-elok sekarang ni?” Balas Faiq yang
mula dihimpit rasa bersalah akan perbuatannya tadi. Bukan dia tidak perasan
sepasang mata di hadapannya itu mula berkaca-kaca.
Awra terdiam. Wajahnya
dipalingkan ke arah lain apabila hujung jarinya mula menyeka air jernih yang
mula tumpah. “Kau pergilah cari perempuan lain Faiq yang boleh layan semua
perangai gila kau ni.” Ucapnya perlahan sebelum terus masuk ke dalam tandas.
Dia kini mula keliru dengan perasaannya sendiri. Perasaan benci yang ada dalam
hatinya selama ini kian pudar kerana dipadamkan oleh rasa kasih yang mula
bercambah tanpa dipaksa.
Sementara Faiq yang masih
tercegat di situ sudah berkali-kali menghempas nafas berat. Kesal bertimpa-timpa.
Sedar yang dia terlalu memaksa hingga menyebabkan Awra masih tidak mampu
menerimanya.
Seketika kemudian, tubuh gadis
itu muncul kembali tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
“Awra..” Dia memanggil selembut
mungkin.
Awra mematikan langkah. “Kau nak
apa lagi?” Soalnya tidak bernada tanpa berpaling.
“Aku tetap nak jadikan kau hak
aku yang sah.” Berani dan cukup yakin Faiq meluahkannya.
“Apa-apa ajelah.” Awra jawab
tanpa perasaan. Malas lagi bertingkah dengan lelaki itu. Terus sahaja kakinya
melangkah meninggalkan Faiq di situ.
……….
“Kamu pun nak balik Faiq?” Tegur
Shukor apabila mereka sama-sama ke tempat letak kereta.
“Ha’ah pakcik. Rasa penat sangat
hari ni.” Jawab Faiq senang sebelum dia membuka pintu kereta untuk menghidupkan
enjin. Kebetulan pula dia memakir kereta di sebelah kereta lelaki itu.
“Faiq, pakcik baru teringat.
Sabtu depan, jemput datang rumah. Pakcik ada buat kenduri arwah dengan doa
selamat sikit.” Ujar Shukor sebaik dia turut menghidupkan enjin kereta.
“Insya-Allah pakcik. Hari tu Daus
ada cakap jugak.” Balas Faiq sambil
matanya mencuri pandang ke wajah Awra yang membelakangkannya sedang bersandar
di tepi kereta sementara menanti ibu dan pasangan kembar ke tandas tadi.
“Nanti kamu jemput sekali kembar
kamu tu.” Tambah Shukor lagi sebelum membuka pintu kereta untuk menghidupkan
enjin kereta.
“Insya-Allah pakcik.” Ringkas
Faiq menjawab. Matanya masih tidak lepas mencari wajah si pujaan hati.
Awra saat itu pula terus
mengambil peluang untuk meloloskan diri.
“Awra kejap.” Faiq sempat menahan
membuatkan gadis itu menoleh. Kerutan di wajah dilemparkan.
Faiq pula terus mendapatkan
Shukor. “Pakcik, saya nak cakap dengan Awra kejap.” Dia memberanikan diri
meminta izin sementara pasangan kembar dan Faridah masih belum kembali. Firdaus
dan Athirah juga masih di dalam kedai menanti di sana.
“Kejap aje.” Balas Shukor bersama
senyuman sebelum masuk ke dalam kereta.
Awra ketap bibir. ‘Apa abah ni!’
gumamnya tidak puas hati. Terlalu mudah abahnya memberi kebenaran.
Faiq terus mengeluarkan beg kertas
warna biru tua dari dalam keretanya sebelum mendapatkan Awra yang kembali
bersandar di badan kereta. “Kau nak cakap apa lagi ni?” Soalnya tertahan tidak
mahu apa yang dibualkan bersama lelaki itu didengari abahnya.
“Ni.. Aku nak ganti balik handphone kau yang aku dah jatuhkan dulu
tu.” Faiq menghulurkan beg kertas yang dipegang.
Bertambah kerutan di wajah Awra.
“Nak buat apa? Aku tak suruh ganti pun. Aku dah ada handphone la.” Balasnya tidak senang. Risau akan tanggapan ahli
keluarga jika dia menerima pemberian daripada lelaki yang langsung tiada kena
mengena dalam hidupnya. Dan kala itu, dia yakin abahnya sedar yang sedang
dilakukan oleh Faiq.
“Kau sekarang pakai handphone lama abah kau kan? Ni memang aku
beli untuk kau sebab nak ganti yang hancur hari tu.” Faiq cuba memujuk.
“Tak naklah!” Awra tetap menolak.
Tiada sebab dia mahu menerima pemberian itu. Tambahan pula apabila melihat
jenama yang terpampang pada beg kertas tersebut, dia yakin ia bukan sesuatu
yang setaraf dengan telefon bimbit lamanya.
“Awra please…” Faiq tetap memujuk.
“Faiq..” Firdaus muncul bersama
Athirah. Diikuti dengan Faridah serta pasangan kembar.
“Fuyoo.. Ada orang dapat handphone
baru..” Cepat sahaja Afza mengusik. Alya di sisinya sudah tersengih-sengih.
Awra ketap bibir. Sememangnya
sudah dijangka reaksi adiknya yang seorang itu. “Kau simpanlah! Aku tak nak!”
Ucapnya dengan wajah yang masam mencuka sebelum terus sahaja masuk ke dalam
kereta.
Faridah yang memerhati keadaan
itu, menggeleng. Begitu juga dengan Athirah dan Firdaus.
“Faiq, makcik balik dulu.” Ucap
Faridah sebelum masuk ke dalam kereta.
Faiq hanya tersengih kelat
bersama anggukan kecil.
Shukor pula menurunkan cermin
tingkap. “Faiq.” Dia memanggil lelaki yang masih berdiri tercegat di tepi
keretanya.
Faiq merapati.
“Pakcik balik dulu..” Ucap Shukor
bersama senyuman penuh makna di bibir tuanya. Tangan menyambut salam anak muda
itu seadanya. “Assalamualaikum.” Tambahnya sebelum mula memandu.
“Waalaikumussalam.” Faiq
mengangkat tangan bersama sengihan yang sama. Terasa malu akan apa yang berlaku
sebentar tadi. Begitu mudah Awra menolak.
“Abang!” Afza masih ada di situ
bersama Athirah dan Firdaus. Manakala Alya menaiki kereta yang sama dengan Awra
tadi.
“Angah Jaja memang tak suka eyh kalau orang bagi hadiah pada dia?”
Soal Faiq pada gadis sunti di sisinya itu.
Afza tergelak. “Dia memang pelik
sikit bang. Susah nak terima kalau tak ada sebab.” Beritahu Afza akan perangai
kakaknya yang seorang itu.
Faiq menoleh ke wajah Firdaus
yang tersengih sejak tadi di sisinya.
“Kau, lain kali kalau nak buat
satu benda, tanya kita orang dulu. Jangan pakai buat aje. Kan dah malu..” Ujar
Firdaus diiringi tawa. Dia menepuk beberapa kali bahu sahabatnya itu.
Faiq garu kepalanya yang tidak
gatal. Agak pijar juga wajahnya saat itu.
“Entah abang ni. Kelakar ajelah.”
Tambah Afza pula sebelum masuk ke dalam kereta abangnya.
Athirah yang memerhati sejak
tadi, hanya tersenyum. Lucu melihat apa yang baru sahaja berlaku.
“Okeylah bro. Dah lewat ni. Aku nak balik. Ada masa jumpa lagi. Apa-apa hal,
call aje aku.” Ujar Firdaus mahu
beransur.
“Daus, kau tolong aku bagi handphone ni pada Awra boleh? Please.” Tanpa malu dia memohon bantuan
lelaki itu pula.
“Sorrylah weyh..” Firdaus
angkat dua tangannya tanda menolak.
“Alah.. Kau aje yang boleh tolong
aku Daus.” Faiq masih memujuk.
“La… Kau dengar apa yang Jaja
cakap tadi kan?” Firdaus mengingatkan. Dia sendiri cukup faham dengan adiknya
yang seorang itu. Malah abahnya juga sering mengingatkan jangan terlalu mudah
menerima pemberian orang apatah lagi yang tidak punya alasan cukup kukuh.
Faiq melepaskan keluhan. Hampa
hatinya apabila pemberiannya ditolak begitu sahaja.
“Okeylah weyh. Aku balik dulu.” Firdaus menghulurkan tangan untuk
bersalaman.
“Daus..” Faiq masih ingin
mencuba.
“Banyak lagi cara lain kau boleh
rompak hati adik aku tu.” Balas Firdaus seraya menepuk beberapa kali bahu Faiq
sebelum dia masuk ke dalam keretanya.
Faiq menarik senyum payau.
Terpaksa dia mengalah lagi buat masa ini. Dia cuba menimbal balik baik buruk
perbuatannya sebentar tadi.
……………..
+ Sampai hati kau tolak tadi. Malu aku.. :(
Awra mengerutkan dahi sewaktu
membaca sebaris ayat daripada Faiq. “Tak dapat call, kau hantar mesej pulak!”
rungutnya sendiri. Tiada hati mahu membalas, telefon bimbit dilempar ke tengah
katil sebelum dia ke almari pakaian. Mahu mengeluarkan kain tudung yang akan
dipakai esok. Dia sudah berjanji dengan sahabatnya untuk ke Mid Valley. Mahu
bertapa di MPH katanya.
Baru sahaja tangan ingin mencapai
blaus warna hitam, telefon yang dilemparkan tadi mengeluarkan bunyi. Segera dia
mendapatkannya kembali.
+ Kau tak suka eyh S4 tu? Aku tukar yang lain ya? Kau cakap aje nak
handphone apa, aku cari.
“Dia ni dah kenapa? Aku mintak
yang bukan-bukan nanti, baru kau tahu!” Rungutnya lagi apabila membaca SMS daripada
orang yang sama. Serentak itu jemari runcingnya bermain di papan kekunci.
+ Kau tak faham bahasa Melayu eyh? Kau nak aku cakap bahasa apa? Jawa?
Baru kau nak faham. Kau tak nampak ke dah malam ni? Dah la mesej orang tak bagi
salam dulu. Pakai terjah aje. Fius otak kau yang terbakar hari tu, belum betul
lagi ke?
Panjang lebar dia membalas. Geram
dengan Faiq yang tidak faham apa yang diperkatakannya tadi.
+ Kau tu.. Aku Cuma nak ganti handphone kau yang dah rosak tu aje.
Bukan suruh kau bayar pun.
Awra ketap bibir rapat membaca
balasan yang diterima. Dengan darah panas yang mula naik ke kepala, dia menekan
kuat papan kekunci telefon nokia 6380 itu.
+ Ada aku suruh kau beli ke? Tak ada kan? OI, lain kali kau jangan nak
pandai-pandai! Aku tak suka. Elok kau sedekah aje phone tu pada yang lebih
memerlukan!
+ OI? Apa tu? Oi ke? Or O+I????
+ OLEH ITU la! Tu pun kau tak tahu ke?!
Faliq menghamburkan tawa sebaik membaca
balasan dari gadis itu. Lucu benar dirasakan singkatan perkataan yang belum
pernah digunakan dalam seumur hidupnya.
+ My dear, biasa orang guna FYI, OMG, ASAP.. Belum pernah lagi aku guna
OI. OLEH ITU. Aku ingat, kau panggil aku oiii tadi. :P
Tidak henti lagi tawanya sebaik
menekan butang send hinggalah tawanya
reda sendiri apabila balasan yang dinanti tidak muncul tiba. “Benganglah tu!” Omelnya
sendiri dalam sengihan. Jemarinya kembali bermain di atas skrin iPhonenya.
+ Awra sayang.. Sorry okey? Aku betul tak tahu. Janganlah marah. Muka
kau kalau marah-marah, lagi buat aku geram. Please… Tak baik tau masam muka
dengan future husband. Aku mintak maaf sayang..
“Erghh!” Awra melepaskan rengusan
geram. Sakit hati membaca SMS yang diterima. “Aku balas salah, tak balas salah!”
Bebelnya tidak puas hati. Dengan sakit hati yang tidak hilang dia balas juga
akhirnya.
+ Laa.. Taqrabuzziinaa! Kau ingat Allah tak nampak ke apa yang kita
buat sekarang ni! Aku tak nak tambah dosa yang sedia ada. Assalamualaikum!
“Waalaikumussalam…” Lambat-lambat
Faiq menjawab salam di bibirnya. Keningnya hampir bertaut. “Laa..Taqrabuzziinaa…
Bila masa aku berzina pulak ni?” Dia garu kepalanya sendiri tanda tidak faham.
Otaknya ligat memikirkan SMS yang dihantar oleh gadis itu.