“Cik Ada? Hello Cik Ada Syuhada
Adlia Mohd Shukri!” Shahimi menguatkan suara seraya menepuk bahu adiknya duduk
termenung diperhatikan sejak pulang dari kerja tadi. Tambahan pula Ada tidak
memasak hari itu untuk keluarga Azam kerana Encik Zakuan tiada beberapa hari.
“Sakitlah! Apa abang ni!” Ada
menyeringai kesakitan apabila bahunya terasa perit menerima tamparan dari
tangan kasar abangnya.
“Yang kau tu termenung dari tadi
siapa suruh. Naik tembus bumbung rumah Uncle Zakuan tu abang tengok.” kata
Shahimi mengusik.
Dia perasan akan perubahan yang
berlaku ke atas diri adiknya sejak Azam makan malam di rumahnya hampir sebulan
lalu. Itulah kali terakhir dia bertemu dengan Azam kerana kini sahabatnya itu
tiada di rumah dan sering bekerja di luar kawasan hingga sukar untuk mereka
bertemu. Baharu semalam sahabatnya itu ada menghubunginya.
“Mana ada.” nafi Ada yang cuba
menyembunyikan kebenaran.
“Sudahlah kau dik. Macamlah abang
tak tahu. Hari tu yang kau sibuk tanya Azam tu apa kes pulak.” giat Shahimi
lagi yang sudah tahu apa yang disembunyikan oleh adiknya itu.
“Tau apa? Mana ada apa-apa abang
ni..” dia masih juga tetap berdalih.
“Cakap ajalah yang kau rindu nak
jumpa Azam kan? Kalau tak, takdanya kau hari-hari tenung bumbung rumah tu.” giat
Shahimi masih belum berpuas hati..
“Macamlah dah takda orang lain
yang Ada nak rindu. Apa kes pulak nak rindu anak bujang orang.” balas Ada masih
dalam riak yang sama walaupun sebenarnya dia tahu yang abangnya itu sedia
maklum akan hubungan dinginnya dengan Azam sebelum ini.
“Manalah tahu. Abang teka aja..” usik Shahimi
tidak henti.
Ada menjuihkan bibir.
“Esok pagi-pagi kau tak pergi
mana kan dik?” soal Shahimi selepas masing-masing mendiamkan diri. Ada sebab lain
dia mengganggu adiknya yang duduk keseorangan di bangku batu sudut halaman
rumahnya petang Sabtu itu.
“Kenapa?” Ada mengajukan soalan
juga.
“Esok kau ambik kawan abang dekat
airport boleh?” ujar Shahimi dengan
senyuman penuh makna.
Ada membuat riak pelik di
wajahnya.
“Orang yang bawak lemosin semua
mogok kerja ke esok sampai Ada pulak yang nak kena ambik kawan abang tu?” Ada
pula mengajukan soalan.
“Bukanlah macam tu. Semalam memang
abang dah janji dengan dia nak ambik. Tapi lupa pulak esok nak teman mama
dengan ayah pergi hantar kad jemputan. Kau pun tak nak ikut kan?” Shahimi cuba
memujuk juga agar adiknya itu memenuhi permintaannya.
“Suruh ajalah dia naik lemosin.
Kan senang..” jawab Ada selamba.
“Dia demamlah. Tu yang suruh
abang ambik dia. Biasanya ayah dia yang ambik.” balas Shahimi tetap cuba memujuk.
“Habis tu, suruh ajalah abah dia
ambik.” Ada masih membalas dalam nada yang sama.
“Kalau abah dia ada, takdalah
abang suruh kau ambik dia Cik Ada Syuhada Adlia oi..” jawab Shahimi yang sudah
menyembunyikan senyum.
“Ee..abang ni.. banyak hal betul
la.. kalau susah sangat suruh ajalah dia panggil ambulance. Boleh terus hantar pergi hospital.” Bentak Ada yang
terasa berat mahu membantu Shahimi. Tambahan pula bukan semua sahabat abangnya
itu dia kenal.
Shahimi menghamburkan tawa. Lucu
dengan cadangan adiknya itu.
“Gelak pulak.” Gerutu Ada yang
geram melihat Shahimi sedang ketawa.
“Apa punya cadanganlah kau ni
dik..” kata Shahimi dalam sisa tawa.
“Habis tu? Kalau dah takda siapa
nak ambik dia, terus pergi hospital ajalah. Kata demam kan..” Ada masih tetap dengan
cadangannya tadi.
“Kejam betul kau ni dik. Dia
demam biasa aja. Takdalah sampai nak masuk hospital.” Balas Shahimi yang masih
mahu memujuk.
“Tak kiralah demam biasa ke demam
luar biasa ke..” jawab Ada selamba.
“Alah.. tolonglah dik. Kesian
dia..” pujuk Shahimi.
“Ee.. malaslah.. Ada dah la tak
biasa nak drive. Abang suruh pulak
pergi KLIA jemput entah siapa-siapa pulak tu. Tak pasal-pasal pulak nak kena
buat sepanduk bagai..” Ada memberi alasan.
“Alah.. kau drivelah slow-slow esok.
Tak kisahlah kau sampai pukul berapa pun. Dia mesti tunggu punya. Tak payah kau
nak susah-susah buat sepanduk. Dia kenal kau.” Jelas Shahimi yang mula mengoyak
senyum kemenangan. Sudah ada tanda-tanda yang adiknya itu akan akur dengan
permintaannya.
Ada membuat muka peliknya sekali
lagi. Setahunya dia hanya mengenali sahabat abangnya yang bekerja di pejabat.
Selebih dari itu tiada satu pun yang dia kenal.
“Biar betul abang ni? Kalau dia
nak buat jahat pada adik abang ni macam mana? Siapa nak jawab?” Ada mula
berprasangka.
“Takdalah. Jangan risau. Dia
baik. Ambik dia lepas tu terus hantar sampai rumah aja.” kata Shahimi lagi.
“Ee… tak naklah.” Ada masih tetap
tidak bersetuju.
“Ala.. please… Bukan lama sangat pun. Dari rumah sampai KLIA tak sampai
pun satu jam. Lepas hantar, baliklah. Bukan suruh dating ke apa..” Shahimi mula risau jika adiknya itu tetap
berdegil.
“Alah abang ni.. leceh betullah..
orang baru nak bersenang-lenang esok. Ni ada pulak nak bagi kerja..” omel Ada
yang masih keberatan.
“Please please.. Ada ajalah adik yang abang ada.. Bukan selalu pun
abang mintak tolong. Hal kecik aja nak mintak tolong. Bukan suruh kerja berat
pun. Tak suruh keluar duit pun.. Nanti abang tanggunglah semua. Tu pun abang
dah isi minyak penuh tadi.” Ujar Shahimi dengan suara yang mendayu-dayu sambil
memuncungkan bibir menunjuk ke arah Inspira merah miliknya.
“Ee.. tengoklah macam mana..”
putus Ada seperti tidak punya pilihan. Tidak sampai hati pula menghampakan permintaan
abangnya.
Shahimi serta merta tersenyum
lebar. Rancangannya berjaya.
“Macam tu la adik abang yang ku
sayang..” kata Shahimi kemudiannya sebelum bingkas bangun.
“Eleh.. adikku sayang konon.. Tak
payahlah nak bodek bang.. Ada tak cakap pun setuju.” Ada sengaja bermain tarik
tali.
“Tak kiralah apa pun. Yang
penting, esok Ada pergi KLIA sebelum pukul 3. Sebab member abang tu sampai dalam pukul 3.” Balas Shahimi selamba dengan
senyuman yang bergayutan di bibirnya. Saat itu sempat dia menarik hujung rambut
Ada yang bertocang dua sebelum dia terus menghilangkan diri ke dalam rumah.
“Jangan haraplah Ada nak pergi
ambik esok!!” jerit Ada geram dengan tindakan Shahimi.
************
“Tak pasal-pasal aku pulak jadi
pak pacak dekat sini. Dah la tak kenal.” Omel Ada dalam hati apabila sudah satu
jam dia menanti, tiada seorang pun yang menghampirinya.
Mata mengerling ke arah jam di
pergelangan tangan. Sudah pun pukul 4 petang. Saat pandangan kembali terhala ke
arah pintu ketibaan, bola matanya terhenti pada seraut wajah yang berkaca mata
hitam berdiri beberapa tapak di hadapannya.
“Dia? Takkanlah dia..” desisnya
sendiri sebelum bibir bawahnya digigit lembut. Dia mula terasa sesuatu yang
agak pelik berlaku. Teringat kembali kata-kata abangnya semalam.
“Ciss.. kau saja kenakan aku
bang..” marahnya dalam hati apabila dia melihat lelaki itu semakin menghampiri.
Bibir dikertap rapat.
“Kau parking kereta dekat mana?” soal lelaki itu tidak bernada sebaik
tiba di hadapannya.
Ada tidak menjawab. Sebaliknya
terus berpusing dan mengatur langkah ke tempat letak kereta. Sebentar kemudian
dia mematikan langkah tiba-tiba membuatkan tubuh Azam berlaga dengan bahagian
belakang tubuhnya. Hampir sahaja dia tersungkur namun cepat lengannya cepat
disambar lelaki itu.
“Awak ni ikhlas ke tak, nak
jemput saya sebenarnya?” ujar Azam seraya membuka cermin matanya. Mujur sahaja
dia cepat mengimbangi tubuhnya sendiri untuk mengelak dari terpeluk tubuh kurus
Ada.
Ada menjarakkan diri dengan wajah
yang mula terasa kebas. Tidak berani dia mahu menentang wajah Azam saat itu.
“Er.. awak tunggu sini. Saya
pergi ambik kereta.” kata Ada seraya terus berlalu. Terasa malu dengan apa yang
baharu sahaja berlaku kerana mereka menjadi tumpuan mata-mata yang turut ada di
situ.
Azam tidak sempat membalas
apabila dilihat Ada laju mengatur langkah meninggalkannya. Kepala digeleng
perlahan dengan senyuman kecil terukir di bibir. Tercuit hatinya melihat wajah
merah padam Ada saat dia menyentuh lengan gadis itu tadi. Jika tidak kerana
Shahimi, tidak mungkin dia akan bertemu dengan gadis itu hari ini. Lama benar
dirasakan wajah itu tidak meniti ruang matanya. Hanya bayangnya sahaja yang
muncul dalam mimpinya.
Hilang kelibat Ada dari
pandangan, dia kemudiannya terus mengatur langkah ke pintu utama.
Sepuluh minit berlalu, dia mula
resah di tempat berdirinya. Tertinjau-tinjau kepalanya cuba mencari kelibat
kereta yang dipandu Ada.
“Dia ni terus balik ke apa..”
bebelnya sendiri. Dia mula risau andai gadis itu terus meninggalkannya di situ.
Setelah lima belas minit menanti,
dia baharu perasan kelibat kereta sahabatnya semakin menghampiri. Bibirnya
dikertap rapat kerana terasa terlalu lama dia menanti di situ. Tambahan pula
dengan keadaan kepalanya yang mula berdenyut dan agak pening.
“Awak pergi cuci kereta ke apa
lama sangat.” omelnya apabila Ada keluar dari kereta untuk membantu memasukkan
beg pakaiannya ke dalam bonet kereta.
Ada tidak menjawab. Tapi bibirnya
sudah dijuihkan kerana rasa tersindir dengan kata-kata Azam.
Dia agak kalut memandu tadi
selepas apa yang berlaku di antara mereka hingga menyebabkan dia tersalah masuk laluan sehala.
“Er..awak, abang cakap awak tak
sihat.” Kata Ada apabila dilihat Azam ingin mengambil tempat duduk pemandu.
“Bawak kereta pun mati-mati, bila
masanya saya nak sampai rumah.” Balas Azam sebelum meloloskan diri ke dalam
kereta.
Ada kertap bibir rapat. Sekali
lagi dia disindir Azam. Dia tahu yang lelaki itu perasaan saat dia mahu
memberhentikan kereta tadi, enjin keretanya terus termati.
“Tunggu apa lagi tu? Awak nak
tidur sini ke? Dah nak hujan ni.” laung Azam seraya menurunkan cermin kereta di
sebelah tempat duduk pemandu apabila Ada masih tidak bergerak.
“Iyalah iyalah.” kalut Ada
membuka pintu kereta saat terdengar suara Azam memanggil.
Ada hanya mendiamkan diri setelah
mengambil tempat di sisi Azam. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandang.
Azam pula tenang memandu tanpa
sebarang kata. Dia tiada hati untuk berbual panjang memandangkan dalam
kepalanya saat itu hanya memikirkan katil dan bantal di rumah. Dia mahu
melelapkan mata kerana kepala yang terasa memberat. Sesekali sebelah tangannya
akan melurut rambutnya yang masih belum sempat dipotong. Roma kasar di wajahnya
juga dirasakan semakin tumbuh meliar tanpa dijaga dengan rapi. Dia terasa agak
rimas namun sengaja dia kekalkan imej kusut begitu semata-mata mahu menguji
gadis di sisinya. Kali terakhir mereka bertemu, Ada seperti tidak senang dengan
penampilan barunya itu.
“Kalau tak sihat, cakap ajalah
tak sihat. Tak payahlah buat-buat sihat.” Ujar Ada memecah kesunyian mereka
apabila dia perasan dengan ekor matanya Azam seperti resah di tempat duduknya.
Azam mengerling sekilas ke sisi.
Bibir sembunyi senyum. Senang hatinya Ada seperti risau akan keadaan dirinya.
Namun, dia masih belum puas mahu menduga hati gadis itu walaupun apa yang
berlaku di antara mereka sebelum ini tidak lagi selesai.
“Badan saya yang tak sihat, bukan
badan awak.” Balasnya selamba.
Ada menjeling tajam. Geram dengan
jawapan yang didengari. Dia tahu Azam sengaja menyindirnya lagi atas apa
berlaku di antara mereka sebelum ini.
“Suka hatilah! Saya tahu saya
sampai rumah aja.” jawabnya terpaksa mengalah. Malas mahu menambah kesalahan di
dalam hati. Apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini pun masih tiada
penyelesaian. Dia sendiri belum lagi meminta maaf kerana menjadi penyebab
lelaki itu berubah sedemikian rupa.
Azam tersenyum sinis meraikan
kemenangan di pihaknya. Dia cuba bertahan walaupun keadaannya agak kurang baik.
Sepanjang perjalanan,
masing-masing hanya mendiamkan diri. Ada masih kekal dengan wajah kelatnya. Dan
Azam pula dilihat lebih tenang. Tetapi apabila wajah itu mula merenik peluh,
Ada yang menjadi tidak senang duduk. Dia perasan akan gerak-geri Azam yang
sesekali mengurut belakang leher dan sesekali pula memicit kepalanya sendiri.
“Awak, lampu hijau la.” Kata Ada
apabila dilihat Azam memejam mata saat lampu isyarat bertukar hijau.
Azam yang tersedar, kembali
memandu. Namun kali ini pemanduannya agak perlahan membuatkan Ada bertambah
risau.
‘Hish dia ni. Boleh ke tak ni..’
bisik hatinya apabila dilihat Azam memandu perlahan. Tidak seperti tadi yang
agak lancar.
“Awak, berhenti tepi.” Arah Ada
tegas.
“Nak buat apa?” soal Azam dengan
kerutan di wajah.
“Saya kata berhenti, berhenti
ajalah.” Balas Ada tidak mahu berkeras.
Azam tidak punya pilihan. Dia
terus memberhentikan keretanya di bahu jalan.
Ada pula tanpa menunggu lama,
terus sahaja keluar dari kereta.
“Awak duduk sana, biar saya drive.” Kata Ada dalam nada yang sama
sebaik dia membuka pintu di sebelah tempat duduk Azam.
Azam yang sedikit terkejut dengan
kata-kata Ada, tidak membantah. Terus sahaja menurut memandangkan denyutan di
kepalanya saat itu semakin menjadi-jadi.
“Kan senang kalau dari tadi
mengaku tak sihat.” Omel Ada sebaik dia mula memandu. Dia perasan wajah Azam
yang kian memucat sejak tadi.
Azam yang sudah memejam mata
hanya diam. Suara Ada dirasakan seperti tenggelam timbul menyapa deria pendengarannya.
…………………….
“Awak..” panggil Ada beberapa
kali untuk mengejutkan Azam yang lena sepanjang perjalanan.
Azam tidak memberi reaksi.
“Awak.” Ada memberanikan diri
untuk menyentuh bahu lelaki itu pula.
Saat itulah Azam baharu tersedar.
Matanya terpisat-pisat dibuka dengan kerutan di wajah.
“Dekat mana pulak ni?” soal Azam
sambil menggosok matanya beberapa kali. Terasa agak lama dia tertidur.
“Dekat klinik. Dah cepat turun.”
Jawab Ada sebelum dia menolak daun pintu untuk keluar.
“Buat apa pulak pergi klinik?
Saya nak balik rumahlah.” Balas Azam sambil memandang ke wajah Ada yang sudah
membuka pintu di sebelahnya.
“Jangan nak mengada-ngadalah.
Abang suruh saya hantar awak pergi klinik dulu sebelum balik rumah.” Kata Ada
tidak bernada.
Dia memang ada menghubungi
abangnya tadi ketika Azam sedang tidur dan abangnya yang suruh dia singgah ke
klinik dahulu. Jika tidak disuruh oleh Shahimi pun, dia akan terus menghantar
Azam ke klinik memandangkan dilihat keadaan lelaki itu agak teruk.
“Tak payahlah. Saya bukan sakit
teruk pun.” Kata Azam yang tidak pun bergerak dari tempat duduknya. Dirasakan
dia hanya demam biasa dan tidak perlu pun ke klinik.
Ada kertap bibir geram.
“Saya kata keluar, keluarlah.
Nanti kalau dah sakit teruk, awak salahkan saya lagi sebab saya tak bagi awak
makan.” luah Ada yang sememangnya risau melihat keadaan Azam. Perasaan
bersalahnya pada lelaki itupun masih tidak surut, tidak pula dia mahu menambah
rasa bersalah yang ada jika membiarkan Azam berterusan begitu.
Azam membuang pandang ke arah Ada
tajam. Terusik hati lelakinya dengan apa yang terluah dari bibir gadis yang
sudah berjaya mengetuk pintu hatinya itu.
“Saya kata tak payah, tak
payahlah. Kalau saya sakit pun, badan saya, saya yang tanggung sendiri. Bukan awak
yang tanggung. Takda kena mengena dengan awak pun.” kata Azam dengan nada yang
mengendur seperti berjauh hati.
“Awak jangan degil boleh tak?
Jangan nak jadi macam budak kecik. Jumpa doktor ambik ubat aja. Bukan suruh
buat apa pun.” Balas Ada tidak puas hati dengan kedegilan Azam.
“Tak payah. Saya tak nak. Hantar
aja saya balik.” Azam pula bersuara tegas. Jauh di sudut hati, sebenarnya dia
masih mahu menduga kesabaran hati Ada melayan kerenahnya.
“Awak ni kan..” Ada kertap rapat
bibirnya. Terasa mahu dipekikkan di telinga Azam yang dia sebenarnya tidak mahu
lelaki itu sakit kerana dirinya. “Suka hati awaklah!” bentaknya geram sebelum
menutup kasar pintu kereta di tempat duduk Azam. Kemudian dia terus kembali
masuk ke tempat pemandu.
Dengan wajah yang masam mencuka,
dia terus memandu pulang. Sepanjang perjalanan itu tiada satu pun perkataan
yang keluar dari bibir kedua-duanya hingga mereka tiba ke destinasi.
“Th…”
Ada terus sahaja masuk ke dalam
kereta semula sebaik mengeluarkan beg pakaian Azam dari dalam bonet kereta.
Belum pun sempat Azam menghabiskan kata-katanya. Entah kenapa dia benar-benar
sakit hati dengan kedegilan Azam tadi membuatkan dia tidak mahu memandang
apatah lagi bercakap dengan lelaki itu.
Azam pula mengeluh berat. Hanya
pandangan mata sahaja yang mampu menghantar kelibat Ada yang sedang memandu
masuk kereta ke perkarangan rumah tanpa berpaling ke arahnya lagi. Dia tahu
gadis itu begitu marah dengannya.
Laju sahaja Ada mengatur langkah
masuk ke dalam rumah sebaik turun dari kereta. Melihat keadaan rumahnya yang
masih berkunci dan ketiadaan kereta ayahnya, tahu yang ahli keluarganya masih
belum pulang.
Masuk sahaja ke dalam rumah, dia
terus melemparkan kunci kereta abangnya ke sofa. Tubuhnya dihenyakkan ke situ
juga untuk membuang rasa hati yang membahang terhadap Azam. Bergunung perasaan
bersalah yang dirasai di hatinya saat itu kerana gagal memujuk Azam pergi ke
klinik tadi. Entah kenapa dia benar-benar terasa bertanggungjawab ke atas
kesihatan lelaki itu kini. Semuanya kerana syarat yang dikenakannya dahulu
membuatkan lelaki itu berubah begitu. Dia memejam mata sebentar untuk
mententeramkan diri sendiri dengan apa yang baharu sahaja berlaku. Namun tidak
sampai lima minit mata terpejam, kelopak matanya terangkat semula. Deringan
dari telefon bimbit yang diletak di atas meja kopi hadapannya berdering minta
diangkat.
“Hello.. Assalamulaikum dik.”
Sapa suara garau di hujung sana.
“Waalaikumussalam. Abang nak apa?
Kalau nak tanya kawan baik abang tu dah selamat sampai rumah ke tidak, dia dah
selamat sampai dah. Agaknya tengah sedap tidur sekarang ni.” Sahut Ada panjang
lebar yang dapat meneka akan tujuan abangnya itu menghubungi.
“Janganlah marah. Abang tak tanya
apa pun kau terus aja serang abang.” Kata suara itu lagi diiringi tawa
membuatkan hatinya kembali membahang.
“Apa abang nak ni?” soalnya
malas. Tiada hati mahu berbual panjang.
“Tadi Uncle Zakuan call abang suruh Ada masakkan bubur
untuk Azam. Dia balik dari Johor esok.” Jawab suara itu membuatkan Ada mengeluh
berat. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberi.
“Dik, kau dengar tak ni apa abang
cakap? Kau jangan tak masak pulak. Kesian Azam tak makan apa lagi hari ni.”
Kata abangnya lagi apabila dia hanya mendiamkan diri.
“Iyalah iyalah!” bentaknya geram
seraya terus memutuskan talian. Terpaksa akur lagi. Perasaan geram terhadap
Azam masih lagi bersisa di hatinya. Tetapi kini terpaksa pula kembali
berhadapan dengan lelaki itu. Dengan langkah yang berat, dia menapak naik ke
bilik untuk bersolat Asar terlebih dahulu sebelum memasakkan bubur buat Azam.
……………….
+ Awak tunggu dekat bawah. Saya
hantar bubur. Saya tak nak kena gosip pulak ‘anak dara Encik Shukri pergi goda
anak bujang Encik Zakuan’.
Azam menarik senyum saat membaca
SMS daripada gadis yang memarahinya tadi buat kali kelima. Bila-bila masa
sahaja Ada akan tiba menghantar bubur buatnya. Tubuh yang hanya mengenakan
baju-t putih bersama kain pelekat disandarkan ke sofa. Matanya pula dipejamkan
dengan dua belah tangan meramas rambutnya sendiri untuk mengurangkan denyutan
yang masih terasa.
“Assalamualaikum.” Terdengar
suara memberi salam membuatkan dia mengangkat kelopak matanya semula. Mata
terhala ke muka pintu yang sedia terbuka luas agar tidak menimbulkan fitnah
kerana mereka berdua-duaan dalam satu rumah.
Ada melangkah masuk ke dalam rumah
dan terus berlalu ke ruang dapur. Tanpa disuruh, dia mengeluarkan bubur yang
dibawa itu dan dimasukkan ke dalam mangkuk untuk dihidangkan kepada Azam.
“Saya dah letakkan baki bubur ni
dalam mangkuk dekat dapur tu. Kalau nak tambah, awak ambiklah sendiri.” Kata
Ada sebaik meletakkan semangkuk bubur yang masih mengeluarkan asap nipis di
atas meja hadapan Azam yang tidak lepas memadangnya sejak tadi.
Azam tidak membalas apa. Hanya
matanya sahaja masih melekat ke wajah yang sedikit segar dan tidak pula semasam
tadi.
Ada yang mula tidak selesa dengan
pandangan mata Azam, ingin segera berlalu.
“Ada.” Azam memanggil apabila
dilihat gadis itu ingin berlalu.
Ada pula mematikan langkah. Namun
masih tidak berpaling. Terasa debar hatinya tiba-tiba apabila suara Azam
menyapa gegendang telinga.
“Teman saya makan kejap..”
meluncur laju dari bibirnya mahu gadis itu menemaninya. Dia masih belum
berterima kasih di atas apa yang dilakukan oleh gadis itu tadi.
“Tak elok jiran-jiran nampak kita
berdua macam ni. Saya balik dulu.” Balas Ada memberi alasan sebelum terus
berlalu. Lagi pula alasannya itu berasas memandangkan waktu itu hampir sahaja
masuk waktu maghrib dan ahli keluarganya juga akan pulang tidak lama lagi. Dia
tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku di situ memandangkan
masing-masing hanya manusia biasa. Masih ada nafsu yang harus dikawal dan dia
risau andai masing-masing gagal mengawalnya jika ia tidak henti digoda oleh
‘orang ketiga’ di antara mereka.
Azam pula menghela nafas berat.
Tidak mampu berkata apa apabila keliabat Ada sudah pun hilang dari pandangan.
Sementara Ada saat itu terasa
ingin menitiskan airmata sebaik dia melangkah keluar meninggalkan rumah Azam.
Terasa sarat di dadanya dengan perasaan bersalah apabila melihat keadaan Azam
yang tidak sihat walaupun rasa geram dan marah dengan apa yang berlaku di
antara mereka sebelum ini masih bersisa.
“Dik.”
Tegur satu suara membuatkan dia
segera menyeka hujung mata yang mula terasa hangat. Terleka dia melayan
perasaan hingga tidak sedar ahli keluarganya yang baharu sahaja tiba.
Cepat-cepat dia membuka pintu pagar untuk memberi laluan abangnya memandu
kereta masuk ke perkarangan rumah.
“Dah hantar bubur?” soal Puan
Shima sebaik turun dari kereta.
“Dah.” Jawab Ada dengan senyuman
paksa terukir di bibir.
“Macam mana Azam?” tambah Encik
Shukri pula.
“Tak tahulah yah. Okey kut.”
Jawabnya serba tidak kena. Dia sendiri tidak pasti bagaimana keadaan Azam yang
sebenar.
Dalam pada masa yang sama,
matanya terhala ke arah abangnya mohon bantuan. Dia yakin selepas ini ayahnya
akan bertanya semula.
“Tak tahu? Kenapa pulak tak tahu?
Kan Ada yang pergi ambik dia tadi?” seperti yang dijangka, Encik Shukri akan
terus bertanya.
Ada tersenyum kelat.
“Takpa yah. Nanti lepas maghrib,
biar Shah pergi tengok dia kejap.” sahut Shahimi lambat yang faham akan makna
pandangan mata adiknya.
“Hm.. Macam mana kamu ni Ada.”
Kata Encik Shukri dengan gelengan di kepala sebelum melangkah masuk ke dalam
rumah. Isterinya pula sudah mendahului.
“Kau sebenarnya kenapa ni?” soal
Shahimi selepas kelibat ayahnya hilang ke dalam rumah.
“Takda apalah.” Jawab Ada
seadanya.
“Kalau takda apa, lepas maghrib
nanti ikut abang pergi jumpa Azam.” Putus Shahimi selamba sebelum dia pula
melangkah masuk.
Ada tidak sempat menjawab apa.
Hanya matanya sahaja terkebil-kebil memandang susuk tubuh abangnya yang
menghilang. Terlepas keluhan panjang di bibir.