Dec 14, 2011

TDK_bab 4

Seperti biasa, Nur Imanina menunggu kedatangan setiap murid di pintu pagar. Sekaligus dengan begitu dia dapat mengenali ibubapa anak-anak kecil yang dihantar ke situ.

“Assalamualaikum Mama Iman.” Sapa satu suara yang amat dikenalinya.

“Waalaikumussalam sayang.” Tangannya dikucup seperti selalu dan Nur Imanina membalas dengan kucupan hangat di kedua belah pipi. Nur Imanina tidak perasan siapa yang menghantar si kecil itu kerana leka beramah mesra dengan beberapa orang ibubapa yang turut sama menghantar anak-anak mereka.

“Siapa hantar Zarif hari ni?” tanya Nur Imanina sambil matanya meninjau ke sekitar.

“Mama…” balas Zarif ceria. Nur Imanina menghela nafas lega kerana dia tidak perlu berjumpa dengan lelaki yang semakin kerap muncul dalam mimpinya saban malam. Padahal belum lagi sampai lima kali mereka bertemu.

“Zarif masuk dulu okay? Mama Iman nak tunggu kawan-kawan lain lagi.” Ujar Nur Imanina lembut.

“Mama Iman…” panggil Zarif Aimin seraya menarik hujung baju Nur Imanina. Nur Imanina memandang semula ke arah Zarif Aimin yang sedang mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya.

“Zarif cari apa?” Nur Imanina hanya melihat perlakuan si kecil itu.

“Mama, nah..” Zarif Aimin menghulurkan sekuntum ros merah beserta sekeping kad kecil yang comel. Nur Imanina menyambut huluran bunga itu. Dia mendekatkan ros merah itu rapat ke hidung.

“Thanks Zarif. Susah-susah aja anak mama ni bagi bunga.” Ujar Nur Imanina seraya tersenyum manis.

“Welcome mama. Papa Iman busy. Dia tak dapat hantar Zarif hari ni.” Terang si kecil.

“Eh, kenapa cerita pasal Papa Iman pulak ni? Mama tak tanya pun.” Nur Imanina tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh si kecil itu.

“Flower ni Papa Iman bagi.” Jawab Zarif Aimin jujur. “Bye Mama Iman!” Kata Zarif Aimin lagi sebelum terus berlari masuk ke dalam kelas. Kanak-kanak sekecil Zarif Aimin, tentu sahaja tidak memahami apa-apa.

Nur Imanina pula diam tidak terkata apa bila si kecil itu menyebut nama pengirim sebenar bunga itu. ‘Dah pandai kirim bungalah pulak mamat tu. Hish!’

“Cikgu Iman…” sapa satu suara membuatkan Nur Imanina pantas menoleh. “Hai, pagi-pagi lagi boyfriend dah bagi bunga…” usik Zulaikha yang baru sahaja tiba menghantar si kecil Nur Afifi. Ibu muda itu ramah menegurnya.

“Mana ada boyfriend Kak Zu.” Akui Nur Imanina jujur. Dia senang berbual dengan ibu muda itu. Seperti mereka telah lama mengenali antara satu sama lain.

“Yalah tu. Orang cantik macam Iman ni takkan takda boyfriend. Akak tak percayalah.” Giat Zulaikha lagi. Wajah ayu yang mula memerah dihadapannya itu dipandang lama.

“Ada-ada aja akak ni. Takdalah kak. Siapalah nak Iman ni. Iman takda apa kak...” Nur Imanina merendah diri. Dia perlu menerima hakikat yang satu itu. Tidak ada lelaki yang sanggup menerima wanita seperti dirinya. Serba kekurangan. Tidak seperti wanita yang di luar sana. Kecantikan yang dimiliki tidak lagi bermakna.

“Mengadalah Iman ni. Entah-entah dah ada. Saja nak sorok dari akak kan. Tu yang dapat bunga pagi-pagi tu, takkanlah Kak Ema yang bagi…” usik Zulaikha lagi.

“Apalah akak ni. Mana ada boyfriend kak. Zarif yang bagi.” Jelas Nur Imanina. Sengaja dia tidak mahu berterus-terang akan gerangan si pengirim yang sebenar. Risau menjadi gosip pula dia ada hubungan sulit dengan anak pemilik taska itu. Bukan itu sahaja, kedudukan Iman Faliq dengannya seperti enggang dan pipit. Tidak mungkin si pipit boleh seiring dengan si enggang. Terbang sekali mungkin boleh. Tapi untuk bersatu, pelik benar bunyinya.

“Amboi! Kecik-kecik lagi dah pandai bagi bunga? Bukan main lagi.” Ujar Zulaikha yang sudah ketawa kecil mendengar penjelasan Nur Imanina. Macamlah dia hendak percaya si kecil Zarif Aimin itu yang memberi.
‘Abang, tak lama lagi adik abang ni berkeluarga nampaknya.’ Omelnya dalam hati. Gembira melihat perkembangan terbaru itu. Tidak sabar untuk bercerita dengan suaminya nanti.

“Biasalah kak budak sekarang. Semuanya dah advance.” Sokong Nur Imanina pula mengiyakan kata-kata Zulaikha.

“Yalah tu Iman. Macamlah akak nak percaya cakap Iman tadi.” Usik Zulaikha lagi membuatkan gadis di hadapannya itu serba tidak kena. “Okaylah Iman. Kalau ada masa nanti, boleh kita borak lagi. Akak dah lambat ni. Tengokkan anak akak tu ya.” Lanjut Zulaikha sebelum masuk semula ke dalam kereta.

“Yalah kak. InshaAllah.” Balas Nur Imanina seadanya seraya melambaikan tangan.

Hilang sahaja kelibat Honda Civic di hujung jalan, Nur Imanina kembali menatap sekuntum bunga yang diterima tadi. Siap dengan sekeping kad comel terlekat di batang bunga itu.


Dear Mama Iman,
Zarif berjalan berhati-hati,
Salam perkenalan suci dari hati.

Nur Imanina hampir tergelak membaca pantun dua rangkap yang tertulis dengan tulisan hampir sama dengan tulisan Zarif Aimin. ‘Gila apa mamat ni sampai nak berkenalan pulak.’ Omel Nur Imanina dalam senyuman.
Pintu hatinya tidak pernah terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki selama ini. Bukan tidak ada yang cuba menghulurkan salam perkenalan. Dia yang kerap kali menolak salam perkenalan itu. Baginya, sukar bagi seorang lelaki dan seorang wanita menjadi sahabat. Pastinya ada perasaan lain yang akan hadir walaupun pada mulanya ianya berlandaskan sahabat. Dan dia yakin, setiap lelaki yang cuba mendekati dirinya bukan hanya sekadar ingin bersahabat. Semua mengharapkan suatu hubungan yang istimewa darinya. Tetapi, dia tidak dapat tunaikan hubungan yang satu itu. Akhirnya bila dia sendiri menolak, lelaki yang pada mulanya berjanji ingin bersahabat dengannya, terus menjauhkan diri. Jelas menunjukkan mereka itu bukan sekadar ingin bersahabat dengannya.

Kali ini lelaki bernama Iman Faliq Mohd Radzi pula mencuba nasib. Nur Imanina tersenyum lagi. Entah sampai bila pula Iman Faliq ini bertahan pun, dia tidak dapat pastikan. Apa yang dia tahu, lelaki itu pasti tidak dapat bertahan lama melayan kerenahnya. Dia pasti itu. Dan kali ini, dia ingin lihat sejauh mana kesungguhan lelaki itu untuk meraih salam persahabatan darinya. Nur Imanina mencium sekilas bunga ros itu sebelum melangkah ke dalam kelas.
………

“Zarif, lambatnya Pak Hashim datang. Mama nak balik dah ni. Fifi pun dah balik. Teacher Ema pun nak balik dah tu.” Ujar Nur Imanina yang mendapatkan Zarif Aimin duduk di buaian. Seperti biasa wajah si kecil akan masam mencuka sekiranya dia dijemput lewat.

“Semua busy…” rungut Zarif Aimin dengan wajah yang memuncung. Hari ini si kecil itu bukan main riang lagi di dalam kelas. Tapi kini masam mencuka wajahnya.

“Mummy pesan siapa ambik Zarif hari ni? Tanya Nur Imanina yang kasihan melihat wajah yang masam mencuka itu. Hari ini, tidak pula Farihin Iman berpesan kepadanya untuk menghantar si kecil itu pulang ke rumah.

“Tak tahu…” rengek Zarif Aimin. Rambut si kecil itu yang berceracak awal pagi tadi sudah kusut masai.
Mesti kerana marah dirinya lewat dijemput, habis rambutnya yang menjadi mangsa. Jika tidak, si kecil itu cukup pantang andai rambutnya disentuh. Si kecil itu sudah pandai bergaya dan ingin sentiasa kelihatan kemas.

“Iman, Datin Farah baharu call. Dia suruh kamu hantar Zarif balik. Hari ni dia ada hal kat luar. Pak Hashim tak sempat nak ambik dia.” teriak Kak Ema yang berdiri di muka pintu.

“Yalah kak.” Jawab Nur Imanina sambil menjeling ke arah Zarif Aimin yang turut sama memandang Kak Ema.

“Semua tak sayang Zarif.” Rungut si kecl itu tiba-tiba.

“Mama Iman sayang Zarif tau.” Sahut Nur Imanina memujuk si kecil yang sudah berpeluk tubuh. Comel Zarif Aimin dilihatnya begitu. Dengan mulut yang memuncung dan pipi yang munggil. Zarif Aimin diam tidak menjawab.

“Jomlah, Mama Iman hantar Zarif okay?” ajak Nur Imanina sambil menarik tangan si kecil itu agar mengikutinya. Dia tidak hairan kenapa Zarif Aimin boleh rapat dengannya. Keadaan keluarga yang sentiasa sibuk menyebabkan si kecil dilihat lebih selesa dengan dirinya. Baginya, kanak-kanak seusia Zarif Aimin memerlukan perhatian dan kasih sayang yang cukup dari kedua ibubapanya.

Zarif Aimin hanya mendiamkan diri di dalam kereta. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut comel itu. Barangkali sudah letih. Nur Imanina mengilas jam di dashboard kereta. Hampir pukul dua.

“Zarif, kita makan dulu nak?” pancing Nur Imanina agar si kecil itu bersuara. Zarif Aimin hanya menggelengkan kepala.

“Ala… Kalau Zarif tak nak makan, Zarif teman mama makan boleh?” giat Nur Imanina lagi. Zarif Aimin menganggukan kepala pula. Nur Imanina tersenyum. Si kecil itu perlu kena cara pujuknya baharu akan mendengar kata.

“Erm… Mama Iman rasa nak makan ayam goreng la…” kata Nur Imanina sendirian. Dia tahu kegemaran Zarif Aimin yang satu itu. Si kecil menoleh ke arahnya dengan senyuman dan mata yang mula bersinar.
‘Sukalah tu!’ bisik hati Nur Imanina. Umpan dia mengena. Tidak sukar memujuk Zarif Aimin yang manja itu. Dia cukup faham dengan perangai si kecil. Andai segala kemahuannya tidak diikutkan, mengamuklah dia nanti. Mulalah mulut comel itu terkatup rapat. Paling dia suka lihat apabila si kecil itu gemar sekali menjeling sekiranya sedang marah. Comel! Tetapi, berulang-kali juga dia mengingatkan si kecil itu agar tidak menjeling.

“Eh, tadi bukan main masam lagi muka tu. Sekarang dah senyum-senyum pulak.” Usik Nur Imanina.

“Zarif nak drumstick mama.” Ujar Zarif sambil tersengih-sengih hingga menampakkan lekuk sebelah pipi kirinya. Iman Faliq! Lelaki itu juga memiliki lekuk yang sama tetapi di sebelah kanan.

“Amboi! Kita belum pun sampai, Zarif dah order?” giat Nur Imanina yang sudah membulatkan matanya menoleh ke arah Zarif Aimin.

“Zarif nak dua mama.” Jawab Si kecil itu lagi. Nur Imanina pula sudah menggelengkan kepala.

Nur Imanina memilih untuk ke restoren makanan segera yang terdapat di dalam pusat membeli-belah terhampir. Mudah untuk dia menghantar si kecil itu nanti. Sebelum turun dari kereta, Nur Imanina sempat menghubungi Datin Farah untuk memberitahu dia membawa si kecil itu makan terlebih dahulu.

“Okay jom.” Ajak Nur Imanina sambil membuka pintu kereta di sebelah tempat duduk Zarif Aimin. Dia memimpin si kecil itu masuk ke pusat membeli-belah itu dan terus ke zon medan selera. Di situlah terdapat pelbagai jenis restoren makanan segera. Nur Imanina memilih meja yang paling hampir dengan kaunter pembayaran.

“Zarif tunggu sini tau. Jangan pergi mana-mana. Mama Iman pergi beli. Kalau jumpa orang tak kenal mama ajar apa?” tanya Nur Imanina mengingatkan si kecil.

“Jerit kuat-kuat.” Balas si kecil itu penuh yakin.

“Good. Ingat, jangan pergi mana-mana. Tunggu sampai mama datang.” Pesan Nur Imanina sebelum berlalu ke kaunter pembayaran. Dari situ dia mudah memerhatikan Zarif Aimin. Perasaan risau tetap ada walaupun dia tahu si kecil tidak akan ingkar dengan arahannya.

Tidak sampai sepuluh minit Nur Imanina sudah kembali ke meja. Dia mengajak Zarif Aimin ke meja lain yang lebih selesa dan tidak terlalu hampir dengan tempat pejalan kaki.

Nur Imanina hanya membeli set ayam goreng beserta air milo buat Zarif Aimin. Manakala dia hanya memilih set kentang goreng.

“Jom kita cuci tangan dulu.” Ujar Nur Imanina setelah meletakkan dulang makanan di atas meja. Dia membawa Zarif Aimin ke singki.

“Okay, baca doa dulu baharu makan.” Peringat Nur Imanina setelah meletakkan pinggan yang berisi dua ketul ayam bahagian peha seperti yang diminta si kecil itu tadi di hadapan Zarif Aimin.

“Okay mama.” Jawab Zarif Aimin riang. Si kecil itu menadah tangan dan membaca doa makan.

“Makan elok-elok.” Pesan Nur Imanina apabila si kecil itu mula mengambil seketul ayam. Si kecil itu hanya tersengih menunjukkan barisan giginya yang putih bersih. Nur Imanina leka memandang si kecil itu makan dengan penuh berselera. Sesekali matanya memandang ke sekitar restoren yang sudah agak lengang memandangkan waktu makan tengah hari telah pun tamat. Jus oren di hadapannya disedut perlahan. Sesekali tangannya mengelap mulut Zarif Aimin yang comot.

“Mama Iman, nah!” Zarif Aimin menyuap secebis ayam kepada Nur Imanina. Jika dilihat pemandangan itu saling tidak tumpah seperti anak dan ibu. Nur Imanina sabar melayani kerenah Zarif Aimin. Sesekali tawa si kecil itu pecah apabila Nur Imanina mengusiknya.

“Zarif, nak air lagi ke?” tanya Nur Imanina apabila melihat cawan kertas yang tadinya penuh telah pun kosong.

“Nak.” Balas Zarif Aimin yang sentiasa tersengih. Cepat benar hilang rajuknya tadi apabila mendapat apa yang disukainya.

“Zarif tunggu sini, Mama Iman pergi beli tau. Makan elok-elok kat sini. Kalau ada apa-apa, Zarif datang kat mama okay?” pesan Nur Imanina sebelum berlalu.

“Okay mama!” Zarif Aimin sudah mengambil ketul ayam yang kedua. Leka dia mengunyah.

Elok sahaja ayam goreng bahagian peha itu sudah kelihatan tulang, Nur Imanina kembali dengan secawan lagi air milo buat Zarif Aimin. Sisa ayam di tepi mulut si kecil itu dilap lembut. Nur Imanina menghabiskan pula beberapa potongan wedges kentang goreng yang masih berbaki.

“Papa Iman!” jerit si kecil tiba-tiba membuatkan Nur Imanina yang sedang menyedut jus oren tersedak.

“Apa Zarif ni jerit-jerit.” Tegur Nur Imanina sambil mengelap mulutnya. Mujur juga air yang diminum tidak tersembur ke wajah si kecil itu.

“Tu! Papa Iman.” Tunjuk Zarif Aimin seraya turun dari kerusi mendapatkan lelaki yang dimaksudkan itu.
Nur Imanina pantas menoleh kerana dia duduk membelakangkan pintu masuk restoren itu. Dilihat lelaki itu berjalan bersama seorang gadis cantik berkebaya sendat melewati depan restoren itu. Nur Imanina hanya diam memerhati dari jauh Zarif Aimin menegur sendiri bapa saudaranya itu. Kali ini dilihat mata Iman Faliq mencari kelibatnya apabila Zarif Aimin sudah pun berada dalam dukungan. Nur Imanina cepat melarikan matanya apabila pandangan matanya bertembung dengan Iman Faliq. Kini, lelaki itu menghampirinya pula.

“Hai Mama Iman!” tegur Iman Faliq dengan senyuman di bibir.

“Err… hai!” Nur Imanina cuba memaniskan wajahnya. Tidak selesa bertemu dengan lelaki itu. Ditambah pula gadis yang berdiri di sisi lelaki itu memandang sinis kepadanya.

“Papa, duduklah sini.” Pinta si kecil yang menarik tangan Iman Faliq agar duduk di sebelahnya.

“Tak bolehlah sayang. Papa dengan Aunty Lana ada meeting lepas ni. Zarif makan aja dengan Mama Iman okay.” Lembut Iman Faliq menolak permintaan anak saudaranya itu.

Nur Imanina hanya diam memandang keduanya itu berbual mesra. Sesekali matanya singgah ke wajah Iman Faliq yang bersih itu. Lelaki yang masih lengkap dengan pakaian kerja itu tidak lokek dengan senyuman. Gadis yang bersama-sama Iman Faliq tadi pula sudah menunggu di luar. Dia perasan sesekali gadis itu menjeling tajam ke arahnya namun dia buat tidak nampak.

“Err…Encik Iman, thanks for that flower.” Ucap Nur Imanina teragak-agak. ‘Dasar lelaki. Dah ada pilihan hati, ada niat berkenalan dengan perempuan lain pula!’ umpat hatinya. Dia pasti Iman Faliq mempunyai hubungan yang istimewa dengan gadis yang bersamanya tadi. Jika tidak, masakan gadis itu memandang sinis kepadanya. Pasti tidak menyenangi dirinya bersama Iman Faliq.

“Kasih diterima.” Balas lelaki dengan senyuman lebar. “Maknanya sekarang kita bolehlah berkawan kan?” tanya Iman Faliq dengan kening sebelah yang terjungkit.

“Err.. Encik Iman, saya rasa girlfriend Encik tu dah penat tunggu kat luar sana tu.” Nur Imanina sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan Iman Faliq sebaliknya mengingatkan tentang gadis yang datang bersama dengannya tadi.

“Ya Allah. Lupa pulak.” Lelaki itu menepuk dahinya sendiri. “Saya sebenarnya nak cepat ni. Next time kita jumpa lagi. Zarif, Papa Iman nak balik office ni. Jangan nakal-nakal. Jaga Mama Iman untuk papa.” Sambung Iman Faliq lantas berdiri.

“Okay papa.” Balas si kecil.

“Okay? Papa Iman ajar cakap apa kalau kita buat promise?”

“InshaAllah papa.” Perbetul si kecil itu.

“Okay. Good! Kita jumpa kat rumah nanti okay!” balas Iman Faliq seraya menghadiahkan kucupan ke pipi munggil Zarif Aimin. “Mama Iman, nice to meet you. And I hope, kita boleh jumpa lagi lepas ni.” Ujar Iman Faliq mesra.

 “Err.. InshaAllah…” Balas Nur Imanina berjanji. Dia tidak mempunyai pilihan. Takkan dia mahu menjawab ‘tak boleh’. Dikatakan sombong pula nanti. Apatah lagi dia sendiri bekerja dengan ibu lelaki itu.

“Drive carefully…” pesan lelaki itu lagi sebelum berlalu. Nur Imanina pula hanya membalas dengan senyuman tawar.
………….

“Siapa perempuan tu?” tanya Zetty Hirlana dingin selepas lelaki di sisinya hanya diam membisu ketika masuk ke dalam kereta tadi. Lelaki itu tetap tenang memandu seperti selalu.

“None your business.” Jawab Iman Faliq selamba. Sedikit pun dia tidak menoleh ke sisi. Zetty Hirlana merengus kasar.

“Perempuan tu takda kena mengena dengan you. So, you tak payah nak sibuk ambik tahu.” Sambung Iman Faliq lagi faham benar dengan perangai wanita di sisinya itu.

“I tanya aja pun tak boleh ke?” tanya Zetty Hirlana lagi tidak puas hati. Dia perasan mata Iman Faliq ketika memandang perempuan yang dipanggil Mama Iman tadi. Bukan main mesra lagi dilihatnya.

“I rasa takda perlunya you tahu masalah peribadi I.” jawab Iman Faliq yang tidak suka orang lain masuk campur hal peribadinya.

“Okay! Fine! Huh!” Zettey Hirlana mendengus lagi. Geram dengan Iman Faliq yang tidak mahu berterus-terang.

Iman Faliq menjeling sekilas tetapi tetap beriak selamba. Bukan dia tidak tahu wanita di sisinya itu pantang melihatnya menegur wanita lain. Mulalah tidak senang duduknya. Ada sahaja yang akan ditanya dan disoal. Macam polis pencen gayanya.

Dec 7, 2011

TDK_bab 3

“Iman…” tegur Datin Farah lalu duduk di sisi anak lelakinya.

Lama dia memerhati kelakuan anak lelakinya itu selepas makan malam tadi. Duduk bersendirian di taman orkid mini miliknya. Farihin Iman bermalam di rumah keluarga mertuanya hujung minggu itu membuatkan rumahnya sunyi dari gelak tawa Zarif Aimin. Jika tidak, kecoh rumah itu apabila Iman Faliq suka benar menyakat si kecil sehingga menangis.

Iman Faliq yang leka merenung ke dada langit dipenuhi gemerlapan bintang, menoleh sekilas ke wajah mamanya dengan senyuman tawar.

“Jauh menung… Lepas balik hari tu, mama tengok Iman banyak sangat termenung. Kenapa? Dah jumpa ke apa yang dicari?” tanya Datin Farah yang begitu perihatin hal anak-anak.

“Belum ma..” balas Iman Faliq beserta keluhan halus.

“Hmm… banyakkan bersabar lagi Iman. InshaAllah Iman akan jumpa.” Pujuk Datin Farah yang faham pencarian Iman Faliq selama ini.

“Ma, macam mana kalau Iman tak sempat nak tebus balik dosa-dosa Iman pada dia.” Keluh Iman Faliq. Dosa lalu begitu menyesakkan dada. Lena malamnya sering sahaja dihantui dosa yang pernah dilakukan dahulu.

“Iman janganlah cakap macam ni. Tu semua kuasa Dia. Kalau dah ditakdirkan memang Iman tak dapat jumpa dia lagi, apa yang kita boleh buat. Iman dah usaha kan? Iman banyakkan berdoa. InshaAllah… Dia akan sentiasa bantu umatNya yang sentiasa taat pada perintah Dia…” lembut Datin Farah memujuk.

“Tapi ma… Iman tak tenang selagi tak dapat jumpa dia.” Adu Iman Faliq seraya meraup wajahnya beberapa kali.

“Hmm.. Macam ni. Kalau Iman yakin yang dia masih ada lagi, Iman banyakkan bersabar, banyakkan berdoa. InshaAllah. Dia akan sentiasa bantu kita Iman. Bantuan Dia sentiasa dekat dengan kita kan?” ujar Datin Farah menenangkan hati.

“Ma… Kalau Iman jumpa dengan dia, Iman sanggup kahwin dengan dia ma. Iman akan tanggung apa yang Iman dah pernah buat pada dia dulu.” Sahut Iman Faliq berjanji.

“Buatlah apa yang Iman rasa baik untuk diri Iman. Mama tak pernah nak halang. Arwah papa dulu pun memang suruh Iman bertanggungjawab atas apa yang dah berlaku kan. Cuma masa tu…”

“Iman yang degil. Sebab Iman, papa tinggalkan kita kan ma… Sebab Iman tak nak dengar kata papa dulu. Kalau tak, mesti papa tak..”

“Jodoh pertemuan, ajal maut semua kat tangan Dia. Siapa kita nak lawan Iman. Mama redha. Allah lebih sayangkan papa.” Potong Datin Farah. Ada air jernih bertakung di tubir mata dua beranak itu apabila mengingat kembali peristiwa pahit yang pernah berlaku.

“Maafkan Iman ma…” ucap Iman Faliq seraya memeluk erat Datin Farah. Dia tidak henti menyalahkan dirinya atas pemergian papa tersayang. Kerana dirinya, papa meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya. Mama terpaksa melalui hari-hari mendatang keseorangan. Tanpa kasih sayang seorang lelaki bernama suami.

“Sudahlah tu Iman. Yang dah berlaku tu, sudahlah. Mama dah tak nak ingat semua tu lagi. Cuma sekarang ni, mama nak anak-anak mama hidup bahagia. Lebih-lebih lagi Iman.” Ujar Datin Farah seraya meleraikan pelukan. Air jernih yang menuruni pipi anaknya itu diseka lembut. “Iman sekarang dah 32 tahun. Umur bukan makin muda lagi. Kalau boleh, mama nak sangat tengok Iman hidup bahagia dengan orang yang Iman sayang. Yang boleh jaga makan pakai Iman. Lahirkan anak-anak Iman.” Tambah Datin Farah lagi yang begitu mengharap dia dapat melihat anak sulungnya itu menamatkan zaman bujang sebelum dia menutup mata. Tapi dia tahu, impiannya itu sukar digapai kerana anaknya itu mempunyai impian yang lebih penting. Namun, dia tetap mendoakan apa yang dicari oleh Iman Faliq selama ini akan berakhir.

“Mama tahu kan selagi Iman tak jumpa dia, Iman tak dapat nak buat semua tu…” Iman Faliq tahu harapan mamanya yang satu itu.

“Yalah… mama faham. Mama takkan paksa Iman. Mama cuma nak anak mama ni hidup bahagia nanti kalau pun mama dah takda lagi.” Ujar Datin Farah sayu. Dia menyapu perlahan air mata yang menuruni pipi.

“Ma, jangan cakap macam tu ma. Bagilah Iman sikit lagi masa ma. Lepas ni Iman nak cari dia betul-betul. Mama doakanlah Iman ma.” Pujuk Iman Faliq yang tidak sampai hati melihat mamanya menangis kerana dirinya lagi. Cukup dia telah mengecewakan arwah papanya dahulu. Dia tidak akan mengecewakan mamanya pula.

“Mama selalu doakan Iman.” Balas Datin Farah seraya memeluk erat tubuh Iman Faliq. Tanpa segan silu, air mata Iman Faliq menitis lagi di hadapan mamanya. Mamanya begitu banyak berkorban demi kebahagiaan dirinya. Menjadi penguat kejayaan yang diraih selama ini.

“Iman…” panggil Datin Farah selepas keduanya tenang kembali. Dua beranak itu menikmati panorama langit malam. Beribu-ribu bintang yang berataburan tak terkira nilainya. Ada yang begitu terang memancarkan cahaya dan ada pula yang mula hilang sinarnya.

“Hmm…” gumam Iman Faliq. Matanya masih tetap ke dada langit. Fikirannya jauh menerawang dan sesekali wajah ayu Nur Imanina melintas di ruang mata bersilih ganti dengan wajah yang dicari selama ini. Ada persamaann di kedua wajah namun dia tidak dapat untuk pastikan itu.

“Kalau ditakdirkan orang yang Iman cari tu dah takda atau sudah pun kahwin dengan orang lain, nak tak Iman terima pilihan mama?” Duga Datin Farah. Spontan itu juga Iman Faliq menoleh.

“Mama dah ada calon untuk Iman?” tanya Iman Faliq. Dia mengerutkan kening mendengar kata-kata unjuran mamanya. Datin Farah tersenyum kecil.

“Ada. Dah lama mama suka kat dia. Tapi, yalah… Mama tahu Iman takkan terima selagi apa yang Iman cari tak jumpa.” Jawab Datin Farah dengan keluhan halus.

“Hmm… Boleh Iman tahu siapa calon mama tu?” tanya Iman Faliq lemah. Matanya sudah kembali ke dada langit.

“Nur Imanina.” Balas Datin Farah sepatah.

“What?” Iman Faliq separa terkejut mendengar sepotong nama yang meniti bibir mamanya. Mama ni macam tahu-tahu aja aku fikir pasal siapa. Bisik hatinya. Iman Faliq turut sama mengukir senyum kecil apabila melihat segaris senyuman meniti bibir Datin Farah. Dia tidak pasti apa yang dirasakan saat itu. Sama ada suka atau tidak dengan nama yang meniti bibir mamanya. Apa yang pasti, pertemuan kedua membuatkannya berasa sesuatu di dalam hatinya.

“Kenapa Nur Imanina ma?” sengaja Iman Faliq menduga hati tua Datin Farah. Dia ingin mendengar pendapat mamanya tentang seorang gadis yang berjaya mencuri hati wanita itu. Naluri seorang ibu biasanya tidak salah menilai.

“Erm,… Macam-macam yang mama suka pasal Iman. Kecantikan yang dia miliki tu bonus bagi mama. Tapi yang paling penting, mama suka cara dia bawa diri dia. Nampak ayu, tapi tegas. Pandai hormatkan orang tua, sukakan budak-budak. Silap hari bulan, hebat bersilat di dapur tu.” Jelas Datin Farah memuji Nur Imanina.

“Amboi! Mama ni macam nak melobi Iman aja ni? Baik sangat ke dia ma?” duga Iman Faliq lagi.

“Sebab baiklah mama cakap. Kalau tak, sorry. Kalau takda ciri-ciri tu, jangan haraplah nak jadi calon menantu mama.” Balas Datin Farah masih dalam senyuman.

“Demand betul mama ni.” Getus Iman Faliq yang turut sama tersenyum. Apa sahaja kemahuan mamanya akan diturutkan demi melihat senyuman sentiasa bergayutan dibibir mamanya.

Dia sendiri seperti mula menyukai gadis bernama Nur Imanina itu. Gadis itu ada ‘sesuatu’. Jika sebelum ini liat benar dia membiarkan hati untuk memberi sekeping perasaan istimewa kepada mana-mana wanita yang sentiasa meraih perhatiannya. Tetapi, dengan gadis bernama Nur Imanina ini lain benar tarikannya. Wajah itu cukup mendamaikan hatinya walaupun gadis itu dilihat agak sukar memandang ke wajahnya ketika makan di meja yang sama minggu lalu. Dia yang terpaksa tertoleh-toleh mencuri pandang ke wajah gadis itu. Ketika menghantar Zarif pula, mata itu lebih gemar memandang kasut dari wajahnya.

“Yalah… kalau tak demand, nanti anak mama ni tak teruruslah. Sampai bila Mak Som dengan mama nak jaga makan pakai Iman. Kan lebih baik tangan isteri yang uruskan tu semua untuk Iman.” Ujar Datin Farah seraya memeluk bahu anak lelakinya itu. Sedaya upaya dia akan cuba memujuk Iman Faliq sekiranya apa yang dicari selama ini telah menemui jalan buntu. Dia tidak akan membiarkan Iman Faliq hidup keseorangan selepas ketiadaannya nanti. Dia teringin sekali melihat anak lelakinya itu hidup berumahtangga.

“Hmm… InshaAllah ma. Iman takkan menolak siapa pun calon mama. Tapi, biarlah Iman selesaikan dulu masalah Iman okay?” balas Iman Faliq cuba bertolak-ansur. Dia akan menyelesaikan masalahnya secepat mungkin demi tidak menghampakan harapan mamanya itu. “Ada jodoh tak ke mana kan ma?” lanjut Iman Faliq.

Datin Farah tetap dengan senyuman. Jawapan Iman Faliq cukup menyenangkan hatinya. Cukup yakin dengan percaturan Allah pada setiap hambaNya. Dia juga tidak akan sesekali memaksa anaknya itu mengikut segala kemahuan dirinya tanpa memikirkan kebahagiaan sendiri.

“Iman dah betul-betul cari ke kat kampung dia?” ujar Datin Farah setelah masing-masing mendiamkan diri.

“Iman dah cari ma. Tapi rumah tu dah kosong. Iman ada tanya rumah yang dekat-dekat situ. Dia orang kata tuan rumah dah pindah.” Jawab Iman Faliq lemah. “Hmm… salah Iman ma. Dengan nama dia pun Iman tak tahu. Gambar apatah lagi. Dah lapan tahun ma. Agaknya rupa pun dah banyak berubah.” Keluh Iman Faliq. Wajah sendu seorang gadis terlayar di ruang mata.

“Hmm..Bukan ke Iman pernah kata abang dia pernah satu kampus dengan Iman dulu?” tanya Datin Farah lagi.

“Ada ma. Iqbal. Dulu Iman kenal-kenal macam tu aja ma. Tapi baru tadi kawan Iman cakap dia dah jumpa tempat kerja Iqbal tu. Iman ingat minggu depan Iman nak jumpa dia sendiri.” Terang Iman Faliq.

“Alhamdulillah… See? Dia bantu permudahkan urusan Iman kan? Syukur Alhamdulillah…” ucap Datin Farah apabila berasakan pencarian anaknya itu mempunyai sinar baharu.

“Tapi kalau…” Iman Faliq tidak jadi menghabiskan ayatnya. Dalam kepala sudah memikirkan perkara yang mengecewakan hatinya sendiri.

“Iman dah berusaha yang terbaik kan. Tawakal. Bersabar. Kalau pun budak tu dah jadi milik orang atau dah takda sekalipun, Iman dah menyesal dengan apa yang Iman buat sebelum ni. Dia Maha Pengampun Iman. InshaAllah. Iman jangan risau okay? Mama doakan usaha Iman kali ni, biarlah yang terakhir. InshaAllah…” Balas Datin Farah menenangkan. Terlepas lagi keluhan halus dari bibir Iman Faliq.

“Err… Ma, boleh tak Iman tanya sikit pasal Iman?” tanya Iman Faliq mengukir senyum.

“Tanya ajalah apa yang Iman nak tahu pasal calon menantu mama tu.” Jawab Datin Farah seraya tersengih apabila Iman Faliq berminat juga ingin mengetahui tentang Nur Imanina.

“Amboi mama. Dah iktiraf jadi calon menantu terus.” Kata Iman Faliq. Datin Farah hanya tersengih.

“Dia dah lama kerja dengan mama kan? Tapi, kenapa baharu hari tu Iman jumpa dia? Sebelum ni tak pernah nampak pun. Kak Ema aja yang Iman pernah jumpa.” Tanya Iman Faliq tanpa berselindung lagi.

“Memang dah lama dia kerja kat taska tu. Iman aja yang tak pernah nak ambik tahu pasal taska mama tu. Iman tu busy sangat dengan hal Iman. Sejak Zarif masuk sana, Iman selalu hantar Zarif balik. Tapi, tak pernah terserempak pun dengan Iman. Hari masa Iman balik tu, yang makan sekali dengan dia tu, itulah kali pertama Iman masuk rumah kita. Sebelum ni mama ada ajak. Tapi dah banyak kali dia menolak. Tapi tak sangka pulak hari tu boleh terserempak dengan Iman. Agaknya dia memang jodoh Iman kot…” usik Datin Farah tetapi Iman Faliq mengerutkan keningnya pula.

“Ma, dekat 10 kali mama sebut nama Iman. Sampai Iman tak faham.” Balas Iman Faliq sebelum tersengih. Sempat dia mengira jumlah nama Iman yang digunakan. Datin Farah menampar peha Iman Faliq perlahan. Tahu anak lelakinya itu mengusiknya semula.

“Kita panggil dia Mama Iman lah ma. Macam best aja.” Sambung Iman Faliq lagi yang tersengih-sengih.

“See? Macam mana mama tak kata dia jodoh kamu. Sorang Papa Iman, sorang Mama Iman. Dah kenalah tu.” Usik Datin Farah lagi.

“Ada-ada aja mama ni lah… Entah-entah dia dah ada boyfriend ma. Mama aja yang sibuk nak kenenkan Iman dengan dia.” Balas Iman Faliq. Padanya, dia bukan mudah untuk sukakan seorang wanita selepas dosa yang dilakukan dahulu selagi ianya tidak ditebus. Ramai staf wanita di syarikatnya yang cuba merapati. Tetapi dia sedikit pun tidak tergoda walaupun sedaya upaya mereka itu menarik perhatiannya. Tetapi tidak pada Nur Imanina yang baharu ditemui dua kali. Ada sesuatu yang begitu menarik perhatiannya untuk mengenali wanita itu dengan lebih dekat.

“Sebab dia takda boyfriendlah mama berani promote dia pada Iman.” Ujar Datin Farah lagi.

“Ya ke takda? Macam tak percaya aja. Takkanlah muka cantik macam tu takda boyfriend. Iman tak percayalah ma. Perempuan sekarang ni bukan macam perempuan dulu-dulu. Sekarang ni, bukan lelaki yang cari perempuan. Perempuan sekarang yang sibuk cari lelaki ma.” Balas Iman Faliq yang agak meragui kata-kata Datin Farah.

“Betullah mama cakap. Dia sendiri yang cakap dengan mama dia takda yang special. Mak Som pun dengar. Kalau tak percaya, Iman tanya Mak Som. Bila mama kata nak kenalkan dia dengan someone, dia terus menolak.” Jelas Datin Farah lagi.

“Ha, dia tolak tu maknanya dah ada la tu ma…”

“Bukan sebab dia dah ada. Dia kata tak sedia nak kahwin lagi.” Nafi Datin Farah.

“Hmm… Agaknya dia tak jumpa lagi macam yang dia nak kot..” Iman Faliq membuat jangkaan. “Tadi mama kata mama nak kenalkan dia dengan someone. Siapa someone yang mama nak kenalkan tu?” tanya Iman Faliq tiba-tiba. Dilihat Datin Farah sudah tersenyum-senyum. Sengaja membuat anak lelakinya itu ternanti-nanti.

“Senyum pulak mama ni. Tahulah senyuman mama tu yang buat papa sayang dengan mama. Siapa yang mama nak kenalkan tu?” desak Iman Faliq. Terasa ingin tahu siapakah gerangan lelaki yang dimaksudkan oleh mamanya buat Nur Imanina. Rasa sedikit tercabar pula hatinya tiba-tiba. Nur Imanina seperti mengelak dari bertemu muka dengannya. Gadis itu kerap kali cuba mengelak dari memandang wajahnya. Mata itu lebih banyak menunduk dari singgah ke wajahnya. ‘Tak cukup hensem agaknya aku ni.’

“Tak payahlah Iman tahu. Mama pun tak cakap lagi dengan dia.” Balas Datin Farah masih ingin berteka-teki dengan Iman Faliq.

“Ala… Bagitahu ajalah ma. Iman nak tahu jugak. Hensem ke tidak orang tu. Lagi hensem dari anak mama ni ke. Lagi baik dari anak mama ni ke.” Balas Iman Faliq dengan senyuman. Dia cukup yakin dengan dirinya selama ini. Jika dia tidak mempunyai ciri-ciri seorang lelaki idaman wanita, masakan staf wanita di pejabatnya itu berusaha sedaya upaya mendekati dirinya.

“Lain kalilah mama bagitahu. Jomlah kita masuk. Mama dah sejuk duduk lama-lama kat luar ni.” Ujar Datin Farah seraya bangun menarik sama tangan anak lelakinya. Sengaja dia membiarkan anaknya itu tertanya-tanya sendiri. Lambat pula otak anaknya itu berfungsi mala mini. Datin Farah tersenyum lagi.

“Ala ma…” rungut Iman Faliq namun Datin Farah tetap tidak mahu menjawab.
……..

“Zarif, jangan lupa tau bagi pada Mama Iman.” kata Iman Faliq mengingatkan anak saudaranya itu entah untuk ke berapa kali pun dia sendiri tidak pasti.

“Okay papa.” Balas Zarif Aimin tidak lokek dengan senyuman yang sentiasa terhias di bibir kecil itu.

“Jangan lupa pesan papa.” Pesan Iman Faliq lagi dengan suara yang perlahan kerana takut di dengari oleh ahli keluarga lain walaupun hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik itu.

Awal pagi lagi dia sudah bangun untuk menyiapkan Zarif Aimin pergi ke sekolah sehingga Farihin Iman sendiri pelik. Iman Faliq mengambil keputusan untuk merapati Nur Imanina selepas beberapa hari lalu mamanya memberitahu akan memperkenalkan calon suami yang sesuai buat gadis itu. Walaupun tidak pasti lagi akan perasaannya sendiri dan status sebenar diri gadis itu, tidak salah rasanya untuk dia menghulur salam persahabatan. Lagi pula, Nur Imanina merupakan pekerja mamanya.

“Okay…” balas si kecil itu lagi.

Dari hujung rambut, sehinggalah ke hujung kaki tubuh kecil itu, Iman Faliq sediakan walaupun Zarif Aimin sudah mampu untuk melakukannya sendiri.

“Kalau Mama Iman tanya siapa yang bagi, Zarif jawab apa?” duga Iman Faliq sambil menyapu gel rambut di kepala anak saudaranya itu.

“Papa Iman bagi.” Jawab si kecil jujur.

“Okay. Good! Hmm… dah siap dah rambut anak papa ni. Hensem dah. Hensem macam siapa ya anak papa ni?” soal Iman Faliq kepada si kecil yang tersenyum.

“Papa Iman!” sorak Zarif Aimin beserta senyuman lebar. Iman Faliq pula sudah terkekeh ketawa. Anak kecil itu sentiasa disogokkan dengan kata-kata manis sehingga Farihin Iman dan suaminya cemburu dengan dirinya. Segala permintaan si kecil itu akan diturutkan. Datin Farah juga sering memarahinya kerana terlalu manjakan anak saudaranya yang seorang itu.

“Anak papa ni memang hensem macam papa.” Balas Iman Faliq yang lebih memuji dirinya sendiri. Anak kecil itu masih tidak memahami apa-apa pun. Iman Faliq tersenyum sendiri. “Okay, jom turun. Breakfast dulu. Hari ni mama Zarif hantar Zarif tau. Papa Iman busy pagi ni.” Ujar Iman Faliq sambil mendukung si kecil menuruni tangga.

“Okay papa.” Jawab si kecil itu akur.

“Amboi cucu Nek Wan pagi ni. Wangi sangat hari ni.” Sapa Datin Farah selepas mengucup pipi gebu Zarif Aimin yang duduk di sebelah Iman Faliq. “Ada apa-apa ke Iman?” tanya Datin Farah pula apabila melihat Iman Faliq yang hanya tersengih. Kenal benar dengan bauan yang dipakai oleh si kecil itu merupakan wangian yang sama digunakan oleh Iman Faliq.

“Hmm… adalah tu yang diumpannya anak E’in ni ma.” Sahut Farihin Iman yang muncul dari ruang dapur membawa semangkuk nasi goreng. “Sayang, Papa Iman suruh sayang buat apa hari ni?” tanya Farihin Iman kepada anak terunanya yang seorang itu.

“Rahsia kan Zarif. Mana boleh bagitahu.” Sampuk Iman Faliq pula. Zarif Aimin tersengih lagi.

“Abang ni manjakan sangat anak E’in ni.” Kata Farihin Iman lagi. Dia tidak dapat nafikan hubungan anaknya dan abangnya itu memang erat. Ke mana sahaja akan dibawa si kecil itu sehingga ada yang menyatakan Zarif Aimin adalah anak Iman Faliq kerana wajah mereka yang mempunyai persamaan. Keduanya mempunyai satu lekuk di pipi masing-masing. Kata mama masa mengandung dahulu terkenan dengan Iman Faliq agaknya. Disebabkan itu hubungan mereka lebih akrab.

“Ala… biarlah. Bukan abang buat apa pun. Kan Zarif?” jawab Iman Faliq selamba. Si kecil itu pula hanya tersengih. Farihin Iman pula sudah tidak mampu untuk berkata apa. Sudah banyak kali dia mengingati abangnya itu namun tetap juga begitu. Sehingga perangai si kecil itu juga terikut-ikut dengan Iman Faliq

“Abang jangan nak ajar anak E’in yang bukan-bukan…”Farihin Iman memberi amaran.

“Alah. E’in ni… macamlah tak percayakan abang.. Jangan risau okay? Abang takkanlah nak ajar yang bukan-bukan pada anak buah kesayangan abang ni,..” balas Iman Faliq sambil menyambut secawan teh yang dihulurkan oleh Farihin Iman.

Nov 30, 2011

TDK_bab 2

“Assalamualaikum Mama Iman!” jerit si kecil Zarif Aimin berlari mendapatkan Nur Imanina yang sedia menanti di pintu pagar.

“Waalaikumussalam Zarif. Cerianya anak mama hari ni.” Balas Nur Imanina seraya menyambut huluran salam si kecil dan menghadiahkan kucupan manja ke kedua pipi gebu itu. Teringat kes si kecil itu merajuk minggu lalu, Nur Imanina akan memastikan dia tidak lupa akan rutin yang satu itu.

“Thank you Mama Iman.” Ucap si kecil selepas dia pula menghadiahkan ciuman kepada Nur Imanina.

“Most welcome dear.” Balas Nur Imanina lembut. Dalam pada itu dia perasan kereta yang menghantar Zarif Aimin pagi itu berbeza dari kebiasaannya. Mini Cooper S warna hitam metalik berhenti di luar pagar.

“Siapa hantar Zarif hari ni?” tanya Nur Imanina seraya membuang pandang ke arah kereta yang masih lagi berhenti di hadapannya itu. Cermin kereta yang agak gelap itu menyukarkan padangannya untuk melihat wajah si pemandu.

“Papa Iman.” Balas si kecil pendek. Dia juga masih setia berdiri di sisi Nur Imanina memerhati. Serentak itu si pemandu kereta menunjukkan diri. Cermin kereta dari sebelah pemandu diturunkan.

“Hai Mama Iman!” sapa Iman Faliq dengan senyuman bergayutan di bibirnya. Entah kenapa pagi itu dia menawarkan diri untuk menghantar si kecil Zarif ke taska mamanya itu. Rutin yang belum pernah dia buat sebelum ini. Awal pagi lagi dia telah bangun semata-mata ingin menghantar Zarif Aimin ke taska. 

Kebiasaanya, selepas sahaja solat subuh dia akan berlingkar semula di atas katil. Hampir pukul sepuluh baharu dia akan bangun semula dan bersiap ke pejabat. Terngiang-ngiang usikan ahli keluraganya  awal pagi tadi.

“Aik! Sejak bila Cik Abang kita ni masuk pejabat pukul 8 ma?” tegur Farihin Iman yang melabuhkan duduk di hadapan Iman Faliq. Si kecil Zarif Aimin pula duduk di sebelah bapa saudaranya itu.

“Entah. Mama pun tak tahu. Tiba-tiba aja dah ada.” Balas Datin Farah sambil meratakan jem strawberi pada sekeping roti bakar.

“Zarif, hari ni papa hantar Zarif ya?” ujar Iman Faliq yang tidak mengendahkan usikan satu-satunya adik perempuan yang dia miliki. Kedua wanita di hadapannya itu berpandangan antara satu sama lain.

“Okay papa!” jawab Zarif Aimin riang sambil menyambut huluran roti bakar daripada Datin Farah.

“Ai! Sejak bila pulak jadi rajin nak hantar anak E’in ni?” Tanya Farihin Iman apabila mendengar kata-kata abangnya itu.

“Nak hantar Zarif ke, nak tengok Cikgu Zarif ni?” usik Datin Farah pula.

“Kenapa dengan Cikgu Zarif ma?” celah Mohd Firaz ayah kepada Zarif Aimin yang baru sahaja tiba di ruang makan itu.

“Takda apa-apa. Ni Cik Abang kita hari ni nak hantar anak teruna abang pergi sekolah.” Jawab Farihin Iman seraya menuangkan air milo ke dalam cawan kosong untuk suaminya.

“Eh, are you okay Abang Iman?” tanya Mohd Firaz dengan senyuman. Walaupun jarak umur mereka hanya setahun, tetapi Mohd Firaz tetap menghormati Zarif Aimin sebagai abang sulung di dalam rumah itu.

“Okay je.” Balas lelaki itu pendek. Senyuman manis terukir dibibir berkumis nipis dan janggut yang dipotong kemas di bawah dagunya itu. Surat khabar sudah diletakkan di sisi.

“Hmm… tak lama lagi mama dapat menantu barulah.” Giat Farihin Iman lagi.

“Ada-ada aja kamu ni E’in nak mengusik Abang Iman kamu ni. Tapi, apa salahnyakan. Mama pun teringin juga nak menantu perempuan.” Jawab Datin Farah yang sama menyokong kata-kata Farihin Iman.

“Apa-apa ajalah ma.” Balas Iman Faliq malas. “Dah, jom Zarif. Nanti lambat pulak.” Ujar Iman Faliq yang sengaja ingin mengelak dari terus diusik di situ.

“Relaxlah bang. Takkan lari gunung yang dikejar.” Farihin Iman terus menerus mengusik abangnya itu membuatkan suami dan mamanya sudah tergelak. Tambahan pula wajah Iman Faliq yang sudah merona merah kerana diusik begitu.

“Err… Encik Iman Faliq.” Jawab Nur Imanina tergagap-gagap. Entah kenapa dirasakan canggung apabila berhadapan dengan Iman Faliq. Padahal mereka baru dua kali bertemu. Pandangan mata itu sahaja sudah cukup meresahkan hatinya.

“Amboi,.. nama panjang saya awak sebut. Panggil aja saya Iman.” Balas Iman Faliq yang tidak lokek dengan senyuman. Dia ingin ketawa melihat wajah Nur Imanina yang serba tidak kena itu tetapi ditahankan. Seraut wajah itu seperti wajah wanita yang sering datang dalam mimpinya. Tetapi, Nur Imanina yang berdiri di hadapannya kini mempunyai seraut wajah yang lebih matang, bersemangat dan ayu. Namun, seperti ada ketegasan di sebalik wajah ayu yang dimiliki.

“Zarif, nanti balik Papa Iman ambik ya?” ujar Iman Faliq pada si kecil yang tersengih-sengih itu.

“Okay papa!” jawab si kecil riang sebelum berlari masuk ke dalam kelas. Taska yang merupakan ubahsuaian dari rumah semi-D itu cukup selesa dan telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Nur Imanina hanya memerhati.

“Saya pergi kerja dulu. Assalamualaikum.” Ucap Iman Faliq pula apabila melihat Nur Imanina hanya mendiamkan diri.

“Err.. waalaikumussalam.” Balas Nur Imanina sebelum terus menapak masuk ke dalam rumah semi-D itu tanpa menunggu lama. Tidak selesa menjadi tatapan lelaki yang berkaca mata hitam itu. Nak pergi kerja, pergi ajalah. Itu pun sibuk nak bagitahu! Omel Nur Imanina sendiri.

“Assalamualaikum Cikgu Iman!” sapa satu suara di belakangnya. Nur Imanina pantas menoleh dan dilihat kelibat kereta Iman Faliq sudah menghilang. Kini berdiri seorang wanita hampir sebaya dengan Kak Ema berdiri di pintu pagar.

“Waalaikumussalam Kak Zu.” Jawab Nur Imanina mesra. Dia mendapatkan Zulaikha di pintu pagar.

“Maaf, akak lambat sikit hari ni. Suami akak outstation. Tu yang kelam-kabut hantar abang Fifi ke sekolah dulu.” Ujar Zulaikha sambil menyerahkan anak gadis comelnya kepada Nur Imanina. Gadis cilik itu sebaya dengan Zarif Aimin. Kerana Nur Afifi, Zarif Aimin merajuk dengannya minggu lepas.

“Takpa kak.” Balas Nur Imanina seraya tersenyum manis.

“Sayang, ibu pergi kerja dulu. Jangan nakal-nakal. Ingat pesan ayah. Fifi kena baik dengan Cikgu Iman.” Ujar Zulaikha kepada anak bongsunya itu. Gadis yang berdiri di hadapannya itu dipandang sekilas. Cantiknyalah dia ni... puji Zulaikha dalam hati. Baharu seminggu dia memindahkan anak bongsunya ke situ seperti yang diarahkan suaminya. Dia belum dapat lagi untuk berbual panjang dengan gadis muda yang ayu bertudung itu.

“Okay ibu!” balas si kecil riang sebelum masuk ke dalam kelas.

“Iman, kalau anak akak tu buat salah, marahlah.” Ujar Zulaikha yang sudah kembali semula ke Honda Civicnya.

“Budak-budak kak. Biasalah tu.” Balas Nur Imanina senang. Anak-anak kecil di situ semua sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri.

“Terima kasih Iman. Akak pergi dulu ya. Assalamualaikum..” ucap Zulaikha sebelum meloloskan diri ke dalam kereta.

“Waalaikumussalam..” balas Nur Imanina perlahan. Nur Imanina hanya memandang ke arah kereta yang mula bergerak perlahan itu. Dia begitu meminati kereta Honda tersebut sehinggakan dia berangan-angan suatu hari nanti dia pasti memiliki kereta itu. Jika kereta yang dipandu oleh Zulaikha berwarna putih mutiara, dia lebih suka andai kereta idamannya itu berwarna maroon.

“Mama Iman…” panggil Zarif Aimin yang sudah berdiri di muka pintu sekaligus memusnahkan khayalannya sebentar tadi. Nur Imanina terkocoh-kocoh melangkah kerana sewajarnya kelas membaca dan mengeja telah bermula.
………

“Zarif, semua kawan-kawan Zarif dah balik. Mana papa Zarif ni?” tanya Nur Imanina yang duduk di buaian kosong sebelah Zarif Aimin. Si kecil itu sudah masam mencuka wajahnya tetapi kelibat Iman Faliq masih juga belum kelihatan. Zarif Aimin hanya mendiamkan diri.

“Mama, I’m tired.” Rengek si kecil terus turun daripada buaian dan mendapatkan Nur Imanina. Si kecil itu memang manja.

“Jom, kita masuk dalam dulu. Mama buat air untuk Zarif. Fifi pun ada dalam tu tengah tunggu ibu dia.” Ajak Nur Imanina sambil memimpin tangan Zarif Aimin. Gadis comel itu sememangnya menjadi murid yang paling akhir balik kerana Zulaikha agak lewat menjemputnya.

“Mama, Zarif nak balik.” Rengek si kecil itu lagi. Kedua tangannya sudah memegang erat tangan Nur Imanina.

“Erm,… kita tunggu sekejap lagi. Agaknya papa Zarif ni busy. Tu yang lambat. Lagipun, tadi kan Papa Iman janji nak ambik Zarif? Kalau mama hantar Zarif sekarang, lepas tu Papa Iman sampai sini cari Zarif takda macam mana? Nanti dia mesti marah Mama Iman.” Nur Imanina cuba memujuk si kecil.

“Tak nak. Jomlah balik ma…” rengek si kecil itu lagi. Barangkali si kecil itu sudah kepenatan.

“Hantar ajalah dia balik Iman. Dah dekat satu jam Zarif tunggu. Dah penat agaknya dia… Dekat pukul satu ni.” sampuk Kak Ema yang datang dari tingkat atas. Si kecil Fifi dilihat sedang leka mewarna buku warnanya ditemani Zura. Hanim pula sibuk mengemaskan alat pengajaran dan pembelajaran yang digunakan tadi.

“Bukan saya tak nak kak. Nanti apa pula kata Encik Iman tu. Tak pasal-pasal saya kena marah pulak.” Balas Nur Imanina berasas.

“Takpa. Kamu hantar dia dulu. Nanti akak telefon datin bagitahu Iman hantar Zarif.” Ujar Kak Ema lembut. Fifi tu nanti kamu jangan risau. Zura dengan Hanim ada.

“Ma, jomlah kita balik…” rengek si kecil itu lagi sambil menarik tangan Nur Imanina.

“Yalah…yalah…” Nur Imanina sempat mengerling sekilas jam tangannya. Hampir pukul satu petang sedangkan waktu sekolah telah tamat jam 12 tengah hari tadi.

“Kak, saya balik terus tau. Nanti akak tumpangkan Hanim dengan Zura sekali ya.” Ujar Nur Imanina seraya mengambil beg tangannya. Dia menyewa sebuah rumah bersebelahan rumah Kak Ema bersama Zura dan Hanim. Pada mulanya dia tinggal bersama Kak Ema tetapi selepas wanita itu berumahtangga, dia mengambil keputusan untuk hidup berdikari dan tidak mahu mengganggu pasangan kelamin itu. Kebetulan pada waktu itu juga jiran Kak Ema ingin berpindah. Dia mengambil keputusan untuk menyewa sahaja rumah itu dan kini ditemani Zura dan Hanim.

“Yalah. Hati-hati drive tu.” Pesan Kak Ema sebelum dia berlalu.
Di dalam kereta Zarif Aimin banyak mendiamkan diri. Si kecil itu masam mencuka wajahnya tidak seperti awal pagi tadi.

“Zarif penat ya tunggu papa?” Nur Imanina cuba berbual dengan kanak-kanak bijak itu. Zarif Aimin hanya menggelengkan kepala tanda menjawab pertanyaan Nur Imanina.

“Zarif dah takda mulut?” duga Nur Imanina yang cukup tidak suka seandainya pertanyaannya tidak berjawab dan beranggapan ianya sedikit kurang sopan. “Lupa ya yang Mama Iman pesan kalau orang tanya kita kena buat apa?” lanjut Nur Imanina lagi. Dia sering mengingatkan anak-anak asuhannya agar menjawab setiap pertanyaan orang dengan sungguhpun tidak tahu menjawab setiap persoalan yang diberi. Zarif Aimin mengangguk perlahan.

“Anak mama ni tak hensem tau buat muka macam tu.” Nur Imanina cuba memujuk si kecil yang dari tadi hanya menunduk. “Zarif marah Papa Iman ke?”

“Tak.” Mulut kecil itu menjawab.

“So, kenapa Zarif diam aja ni?” tanya Nur Imanina lagi. Dia memandang sekilas ke wajah si kecil yang sedikit berpeluh walaupun penghawa dingin sedia terpasang. Nur Imanina meraba dahi yang mula merenik peluh. 

“Zarif tak sihat ya?” tanya Nur Imanina lagi sambil memanjangkan leher untuk mencari tempat untuk memberhentikan kereta.

“Zarif kenapa ni?” tanya Nur Imanina mula risau. Dia nampak si kecil itu memegang perut.

“Sakit perut.” Jawab Zarif Aimin dengan wajah yang berkerut.

“La… Kenapa Zarif tak cakap awal-awal dengan mama. Kita terus pergi klinik ya?” ujar Nur Imanina memujuk. Zarif Aimin menggelengkan kepala.

“Kenapa tak nak? Nanti Nek Wan marah Mama Iman tau sebab tak jaga Zarif.” Balas Nur Imanina. Sudah menjadi tanggungjawab dia memastikan anak kecil di bawah jagaannya sentiasa dalam keadaan baik. Terutamanya Zarif Aimin yang cukup rapat dengannya. “Kita terus pergi klinik daddy Zarif ya?”

“Jangan ma…” rengek si kecil.

“Tak boleh macam tu. Kita pergi jumpa daddy Zarif dulu ya. Nanti daddy Zarif boleh bagi ubat.” Pujuk Nur Imanina lembut.

“Tak nak ma.. Nanti daddy cucuk Zarif…” rengek si kecil itu lagi.

“Daddy tak cucuk Zarif. Kalau tak pergi nanti lagi daddy marah Zarif. Daddy marah mama. Nek Wan marah mama. Mama Zarif marah Mama Iman. Zarif tak sayang mama ke?” pujuk Nur Imanina lagi.

“I love you...” Balas si kecil hampir menangis.

“If you love me, Zarif kena ikut cakap mama okay. Kita jumpa daddy Zarif.” Tegas Nur Imanina akhirnya.
……..

“Eh, tu kan kereta Papa Iman?” tanya Nur Imanina ketika sampai di hadapan rumah banglo dua tingkat itu. “Zarif tak nak turun? Kita dah sampai rumah Nek Wan.” Ujar Nur Imanina lembut apabila melihat si kecil Zarif masih tidak bergerak walaupun pintu tempat duduknya sudah terbuka.

“Zarif tak larat nak jalan ya? Nak mama dukung?” tanya Nur Imanina lembut memujuk. Pintu pagar automatik itu sudah terbuka dan Iman Faliq sedia menanti di muka pintu. ‘Ada pulak dia ni kat rumah?’ desis hatinya apabila melihat susuk tubuh itu mendekati.

Zarif Aimin mendepangkan tangannya kepada Nur Imanina minta didukung. Nur Imanina hanya menuruti mendukung tubuh Zarif Aimin yang agak berisi itu.

“Eh, kenapa pulak Mama Iman kena dukung Zarif ni?” sapa Iman Faliq yang masih berpakaian kerja itu. Cuma lengan baju kemejanya sudah dilipat hingga ke siku.

“Dia tak sihat.” Balas Nur Imanina mendatar.

“Anak papa tak sihat?” soal Iman Faliq tiba-tiba cemas. Dia terus berdiri rapat di sisi Nur Imanina sambil meletakkan tangan di dahi Zarif Aimin namun si kecil itu menepis.

“Zarif tak nak kawan dengan Papa Iman.” Ujar si kecil dengan wajah memuncung. Kepalanya dolentokkan ke bahu Nur Imanina.

Tadi ketika sampai di klinik si kecil itu menangis-nangis tidak mahu berjumpa dengan ayanya kerana takut disuntik. Mujur juga ayahnya bijak memujuk. Si kecil itu terlalu banyak makan sate semalam menyebabkan dia sakit perut.

“Sorry la Zarif. Tadi papa busy sangat. Lupa ambik Zarif.” Pujuk Iman Faliq sambil cuba mengambil tubuh Zarif dari dukungan Nur Imanina. Kesian pula apabila melihat Nur Imanina terpaksa mendukung tubuh montel anak saudaranya itu.

“Tak naklah papa…” Zarif Aimin menolak tangan Iman Faliq.

“Takpa Encik Iman. Biar saya dukung dia.” Balas Nur Imanina akhirnya. Datin Farah juga sudah menanti di muka pintu.

“Yalah… Zarif dah tak sayang papa. Zarif sayang Mama Iman aja.” Iman Faliq buat-buat merajuk untuk meraih simpati si kecil.

“Salah kamu. Mama dah ingatkan banyak kali tadi. Menyusahkan Iman aja hari ni.” Celah Datin Farah pula.

“Alah mama. Meeting Iman tadi habis lambatlah ma. Sampai lupa.” Jawab Iman Faliq yang sudah tersengih apabila ditegur begitu di hadapan wanita yang masih menjadi persoalan di dalam benaknya sejak akhir-akhir ini.

“Itulah kamu. Lain kali jangan nak gatal-gatal berjanji.” Tegur Datin Farah lagi. “Jom Zarif. Kita makan dulu, lepas tu makan ubat.” Pujuk Datin Farah sambil mengambil Zarif dari dukungan Nur Imanina.

“Datin, saya balik dulu ya. Semua ubat Zarif ada dalam beg tu.” Ujar Nur Imanina selepas Zarif berpindah tangan.

“Eh, kamu masuklah dulu Iman. Makan sekali.” Balas Datin Farah mesra.

“Ha’ah. Saya pun belum makan ni. Jomlah sekali.” Ajak Iman Faliq ramah dengan senyuman lebar. Dia perasan mamanya menjeling tajam kepadanya tadi. ‘Thanks mama!’ ucapnya dalam hati.

“Err… takpalah Datin. Lain kali aja. Terima kasih.” Balas Nur Imanina sopan. Dia sebenarnya tidak selesa ada bersama-sama dengan lelaki itu. Pandangan lelaki cukup meresahkan hatinya sejak seminggu lalu. Pada waktu itu Datin Farah sudah pun berlalu masuk ke dalam rumah.

“Janganlah macam tu. Penat mama saya masak tau. Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari.” pujuk Iman Faliq yang dari tadi tidak lekang dengan senyuman.

“Err… takpalah Encik Iman. Saya ada hal lagi ni. Lain kali aja ya.” Balas Nur Imanina yang cuba memaniskan wajah. Matanya tidak berani menentang lama mata Iman Faliq. Cepat benar matanya dilarikan ke arah lain.

“Janganlah macam tu.” Iman Faliq spontan meraih tangan Nur Imanina yang ingin berlalu.

“Maaf!” ucap Iman Faliq apabila Nur Imanina cepat menarik tangannya semula. Iman Faliq tidak sedar tindakan yang melampaui batas itu.

“Saya balik dulu.” Ucap Nur Imanina pantas dan terus berlalu. Sentuhan umpama besi panas itu membuatkan dia pantas menarik tangannya semula. Dia tidak akan mengizinkan mana-mana lelaki menyentuh tubuhnya dengan sewenang-wenangnya. Cukup sekali sentuhan yang pernah dia diterima telah memusnahkan suluruh hidupnya. Panggilan Iman Faliq tidak diendahkan dan dia terus masuk ke dalam kereta serta meninggalkan kawasan perumahan elit itu.

Nov 26, 2011

TDK_bab 1

“Jumpa lagi esok!” ucap Nur Imanina ceria sambil melambaikan tangan kepada anak-anak kecil yang berlari-lari mendapatkan ibubapa masing-masing yang sudah sedia menunggu diluar pagar.

“Terima kasih cikgu.” Ucap beberapa orang ibubapa yang melambai mesra kepadanya. Dia melemparkan senyuman manis kepada ibubapa yang ramah menegurnya.

“Iman, ni anak kesayangan Iman yang sorang ni tak mahu keluar.” Panggil Kak Ema yang berdiri di muka pintu taska. Dia menutup pintu pagar selepas semua anak muridnya pulang dengan ibubapa masing-masing. Dia kembali semula ke dalam kelas.

“Eh, Zarif tak nak balik ke? Semua kawan-kawan Zarif dah balik.” Pujuk Nur Imanina lembut kepada si kecil yang memang manja dengannya. Muka anak kecil itu masam mencuka.

“Zarif marah Pak Hashim tak ambik Zarif hari ni ya?” tanya Nur Imanina lembut. Dia tahu melayan anak kecil bukanlah dengan kekerasan. Selepas tamat SPM dia sudah bekerja di situ sehinggalah kini dia berumur 25 tahun. Pelbagai ragam anak kecil yang telah dia jumpai. Bermula dengan pembantu dan akhirnya pemilik taska itu memberi peluang kepadanya untuk menjadi salah seorang pengasuh merangkap tenaga pengajar kepada anak-anak kecil di situ.

Taska Ilham Kasih itu dimiliki oleh Datin Farah. Nenek kepada si kecil Zarif Aimin. Tidak setiap hari Datin Farah akan datang ke situ. Hanya sekali dalam seminggu untuk memastikan segala urusan pusat asuhan itu berjalan lancar. Segala urusan di situ akan diuruskan oleh Kak Ema, dirinya sendiri serta dua orang lagi pembantu Hanim dan Zura.

Si kecil itu masih mendiamkan diri malah mukanya semakin dimasamkan. “Jom Mama Iman hantar nak?” pujuk Nur Imanina lagi tanpa jemu. Panggilan itu sudah sebati dibibir si kecil. Hanya Zarif Aimin yang memanggilnya begitu sejak hari pertama dia didaftarkan.

Teringat lagi pada hari pertama Zarif Aimin dihantar ke situ, dia menangis tidak henti malah memencilkan diri serta tidak mahu bermain dengan anak-anak kecil yang lain. Datin Farah juga gagal memujuk cucunya itu selepas anaknya, Farihin meninggalkan Zarif Aimin di situ. Dialah yang terpaksa memujuk si kecil itu selepas diumpan dengan pelbagai cara. Dalam tangis itu dia memanggil Nur Imanina mama kekal sehingga hari ini.

Farihin Iman merupakan anak bongsu Datin Farah iaitu seorang wanita yang sentiasa sibuk kerana menguruskan pusat kecantikannya. Setiap pagi dia yang akan menghantar Zarif Aimin ke situ sebelum ke tempat kerja.

Anak kecil itu hanya menggelengkan kepala. Dia memalingkan wajahnya dari memandang wajah Nur Imanina. Entah kenapa hari itu Zarif Aimin membuat perangai. Sejak dari pagi tadi si kecil itu banyak mendiamkan diri. Hanya bercakap bila perlu. Jika tidak, mulut si kecil itulah yang paling ramah antara rakan-rakan yang lain. Gelak tawanya sentiasa menghiburkan hati.

“Zarif kenapa ni? Jomlah mama Iman hantar.” Nur Imanina cuba menarik tangan si kecil agar bangun tapi si kecil itu tetap membatukan diri. Kebiasaannya Zarif Aimin akan dijemput oleh pemandu Datin Farah, Pak Hashim yang telah lebih sepuluh tahun berkhidmat dengan keluarga itu.

“Akak, hari ni dia ada bergaduh dengan siapa-siapa ke?” tanya Nur Imanina kepada Kak Ema yang sudah beranak dua itu. Wanita itulah memperkenalkannya kepada Datin Farah.

“Rasanya takda. Hari ni dia banyak diam. Jadi budak baik dia hari ni. Akak pun tak tahu kenapa. Erm, pagi tadi masa mama dia hantar takda cakap apa-apa dengan Iman ke?” tanya Kak Ema kembali.

“Takda pulak. Cuma dia kata hari ni Pak Hashim tak dapat ambik sebab jemput abangnya balik umrah. Dia pesan kalau daddy dia tak ambik, saya yang hantar.” Balas Nur Imanina yang sudah duduk melutut di sisi Zarif Aimin.

“Jomlah Mama Iman hantar naik kereta cute mama tu.” Pujuk Nur Imanina cuba menarik hati si kecil.

“Tak nak! Mama Iman tak sayang Zarif.” Bentak si kecil.

“Siapa kata Mama Iman tak sayang Zarif? Cuba Zarif tanya Teacher Ema. Mama Iman sayang Zarif banyak-banyak tau.” Pujuk Nur Imanina dengan sabar.

“Mama Iman tipu.” Balas mulut si kecil yang petah berkata-kata itu.

“Mana ada Mama Iman tipu.” Balas Nur Imanina lembut.

Why are you not kiss me today? Mama love baby baru.” jawab si kecil dengan wajah yang memuncung.
Tergelak Nur Imanina dan Kak Ema mendengar omelan Zarif Aimin. Baru dia teringat ketika si kecil itu tiba, dia tidak sempat menghadiahkan ciuman di kedua belah pipi seperti biasa memandangkan ada seorang lagi anak kecil yang baru masuk ke situ. Sepanjang hari dia sibuk melayan anak kecil baru itu agar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru sehingga terlupa kepada Zarif Aimin.

“Sorry sayang. Mama Iman lupa hari ni. Mari sini Mama Iman kiss. Tapi Zarif kena janji dengan Mama Iman something.” Ujar Nur Imanina dalam sisa tawanya.

“Janji.” Zarif Aimin menghulurkan jari kelengkengnya kepada Nur Imanina sebagai ikat janji apabila anak jarinya itu bersatu dengan anak jari Nur Imanina.

“Jangan merajuk-merajuk macam ni lagi. Tak hensem kalau anak Mama Iman ni buat muka macam ni tau.” Nur Imanina menyangkutkan anak jarinya dengan jari si kecil.

“Orait ma!” balas Zarif Aimin yang mula tersenyum. Serentak itu Nur Imanina menghadiahkan ciuman ke dua belah pipi Zarif Aimin yang gebu.

“Okay dah. Jom Mama Iman hantar balik.” Ajak Nur Imanina seraya mencapai beg tangannya yang diletakkan di tempat khas.

Zarif Aimin yang berumur empat tahun itu memang banyak celotehnya. Ada saja yang dibualkan sepanjang perjalanan. Seperti berbual dengan orang sudah dewasa.

“Zarif, Pak Hashim ambik siapa kat KLIA hari ni.” Sengaja Nur Imanina bertanya akan perihal keluarga si kecil itu. Sudah beberapa kali dia menghantar Zarif Aimin ke rumah, tetapi belum pernah lagi dia bersua muka dengan anak sulung Datin Farah itu. Kata Datin Farah, anak sulungnya itu sentiasa sibuk selepas mengambil alih syarikat arwah ayahnya. Orang terpenting syarikat takkan pula duduk goyang kaki sahaja. Pasti ada sahaja kerja yang harus dilakukan.

“Ambik Papa Iman.” Balas si kecil itu jujur.

“Papa Iman?” Nur Imanina terkejut dengan nama panggilan yang disebut oleh Zarif Aimin. “Siapa Papa Iman?” tanya Nur Imanina kembali.

“Uncle.” Jawab Zarif Aimin dengan senyuman.

“Oh..” itu saja yang terluah di bibir Nur Imanina. ‘Papa Iman, Mama Iman? Hmm… Samalah pulak.’ Bisiknya sendiri.

“Apa ma?” tanya si kecil yang terdengar bisikan itu.

“Errr… takda apalah.” Nur Imanina termalu sendiri. Dia mengulum senyum. Si kecil itu terdengar omelannya.

“Mama, nanti Mama Iman makan dengan Zarif ya?” lembut kata-kata Zarif Aimin mempelawanya. Sungguh dia sudah jatuh sayang dengan Zarif Aimin Mohd Firaz yang comel dan bijak itu. Ibunya seorang usahawan yang berjaya manakala ayahnya pula seorang doktor. Tidak hairanlah memiliki anak secomel dan sebijak Zarif Aimin.

“Eh, malulah Mama Iman. Kan Nek Wan ada temankan Zarif. Kejap lagi Papa Iman pun sampai, boleh temankan Zarif.” Balas Nur Imanina yang tidak selesa apabila bersama-sama dengan keluarga itu. Keluarga Datin Farah memang baik kepadanya. Malah, sudah beberapa kali juga dia dijemput oleh Datin Farah untuk makan bersama. Dia terpaksa menolak kerana risau seandainya ada yang mengatakan dia ingin mengambil kesempatan terhadap keluarga berada itu.

“Ala...” Rengek si kecil itu.

“Tak bolehlah Zarif. Lepas ni Mama Iman kena balik sekolah. Kesian kat Teacher Ema.” Dalih Nur Imanina. Padahal selepas menghantar Zarif Aimin dia terus pulang ke rumah sewanya.

“Ala… Zarif tak naklah kawan dengan Mama Iman.” Si kecil itu sudah memasamkan wajahnya. Nur Imanina sudah berasa serba salah. Kereta Kelisanya diberhentikan betul-betul di hadapan pintu pagar besar itu. Zarif pula terus keluar untuk menekan loceng rumah tanpa sempat Nur Imanina berkata apa. Seketika kemudian pintu automatik itu terbuka. Dilihat Datin Farah sedia menunggu di hadapan pintu utama. Zarif Aimin terus berlari mendapatkan neneknya. Melihat rumah banglo besar dua tingkat itu merasakan dirinya terlalu kerdil untuk berdampingan dengan keluarga Datin Farah. Dia keluar dari kereta apabila ternampak Datin Farah melambai ke arahnya. Dalam keterpaksaan dia melangkah masuk ke kawasan rumah mendapatkan Datin Farah buat pertama kalinya.

“Nek Wan, jangan kawan dengan Mama Iman.” Adu si kecil yang sedang membuka kasutnya.

“Kenapa jangan kawan dengan Mama Iman?” tanya Datin Farah seraya memandang ke arah Nur Imanina yang ayu bertudung itu berjalan mendapatkannya.

“Mama Iman tak nak makan dengan Zarif.” Adu si kecil itu lagi seraya memegang tangan Datin Farah. Wajahnya masih masam mencuka seperti tadi.

“Datin,..” sapa Nur Imanina seraya menyalami dan mencium tangan wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Dalam perkiraannya, umur Datin Farah sebaya dengan arwah ibunya. Terkenangkan ibu yang sudah lama pergi meninggalkannya, dia sedih sendiri. Alangkah bahagianya jika ibunya masih ada. Jika pulang ke rumah, ada yang menanti. Sungguh dia rindu pelukan hangat ibunya yang sering memberi semangat dan dorongan kepadanya. Tapi apakan daya. Takdir Ilahi telah memisahkan kasih sayang mereka.

“Jom masuk dulu Iman.” Pelawa Datin Farah mesra. Wanita itu tidak pernah lokek dengan senyuman.

“Err… takpalah Datin. Saya ada banyak kerja lagi.” Dalih Nur Imanina.

“Alah sekejap Iman. Teman Zarif ni makan. Takda siapa yang ada pun Iman. Kita bertiga aja.” Pujuk Datin Farah lagi serentak menarik masuk tangan Nur Imanina agar masuk ke dalam rumah. “Jom masuk!”
Zarif Aimin sudah bersorak riang apabila melihat Nur Imanina masuk mengekorinya. “Zarif nak kawan dengan Mama Imanlah!” ucap si kecil itu riang.

“Zarif nak makan ma.” Ajak si kecil itu seraya menarik tangan Nur Imanina agar mengikutinya ke ruang makan yang luas itu. Meja besar yang membunyai lapan kerusi itu begitu cantik pada penglihatannya. Sempat juga matanya menjeling sekilas ke segenap ruang rumah. Segalanya dihiasi perabot mewah. Susun aturnya yang kemas membuatkan sejuk mata yang memandang.

Dilihat pembantu rumah sedang menghidangkan pelbagai jenis makan di atas meja. Datin Farah juga sudah masuk ke dapur untuk membantu.

“Duduk dulu Iman.” Pelawa Mak Som isteri kepada Pak Hashim. Wanita yang sudah berusia itu telah beberapa kali dia jumpa ketika menghantar Zarif Aimin.

“Duduk Iman. Jangan malu-malu.” Ujar Datin Farah pula yang kembali dengan mangkuk nasi.

“Err.. .Biar saya tolong Datin.” Balas Nur Imanina seraya mengekori Datin Farah kembali ke dapur. Teringat pesan arwah ibunya supaya pandai membawa diri jika bertandang ke rumah orang. Dia yang berasa serba salah dengan layanan Datin Farah, tidak betah hanya duduk dan menunggu di ruang makan itu. Zarif Aimin pula sudah duduk di salah satu kerusi.

“La... Iman, kenapa masuk kat sini. Mak Som boleh buat semua ni.” Larang Mak Som apabila melihat Nur Imanina mengangkat mangkuk yang sudah berisi dengan kuah asam pedas.

“Biarlah Som. Macam tu lah kalau nak jadi calon menantu saya.” Seloroh Datin Farah yang mengundang tawa kecil Mak Som. Sesungguhnya dia memang sudah lama berkenan dengan gadis perahsia itu. Tidak banyak yang diketahui tentang gadis itu semenjak bekerja di taskanya. Apa yang dia tahu, gadis itu berasal dari kampung yang sudah kematian ibubapa. Kali pertama dia diperkenalkan oleh pembantunya Ema, hati tuanya terus terpaut dengan wajah yang putih bersih itu.

“Ada-ada aja Datin ni. Dulu masa kat kampung, saya dah biasa buat ni semua datin.” Balas Nur Imanina yang tahu Datin Farah sering mengusiknya.

“Beruntunglah siapa yang dapat kahwin dengan Iman ni Som. Pandai serba-serbi. Jaga budak pun pandai. Kira memang cukup pakejlah.” Puji Datin Farah ikhlas.

“Takdalah Datin. Saya ni orang kampung aja Datin. Siapalah nak saya ni.” Nur Imanina merendah diri. Agenda untuk berumahtangga tidak pernah langsung tercatat dalam kamus hidupnya sejak peristiwa hitam lalu. Pintu hatinya telah ditutup serapat-rapatnya untuk menerima cinta insan bernama lelaki. Kepercayaan tidak pernah wujud untuk insan itu. Seorang ayah yang terlalu disayangi. Harapan dan kepercayaan yang pernah disandarkan pada seorang lelaki yang sewajarnya menjadi pelindung diri, musnah sama sekali. Maka sebab itu tiada lagi rasa percaya untuk insan bernama lelaki dalam hidupnya. Hanya satu-satunya lelaki yang dipercayai sehingga kini iaitu arwah ayahnya.

“Kita ni dijadikan berpasang-pasangan Iman. Kalau ada yang nak Iman, Iman nak ke?” duga Datin Farah. Dalam kepalanya sudah terpampang satu wajah yang dirasakan amat sesuai dengan wanita itu.

“Ada ke yang nak saya ni Datin?” tanya Nur Imanina kembali yang sudah duduk di sebelah Zarif Aimin. Si kecil itu hanya diam tidak menyampuk.

“Ada. Kalau Iman setuju, saya boleh kenalkan.” Balas Datin Farah ceria. Dia berharap benar Nur Imanina menerima cadangannya.

“Eh… err.. saya gurau aja Datin. Saya tak sedia lagi Datin nak kahwin.” Dalih Nur Imanina apabila merasakan Datin Farah serius dengan kata-katanya.

“Apa pulak tak sedianya Cik Iman. Umur 25 tahun. Sedang eloklah tu. Umur dah banyak susah dapat anak Iman.” Celah Mak Som yang sedang menuang jus oren ke dalam gelas.

“Assalamualaikum…” ucap satu suara di muka pintu membuatkan semua yang ada di meja makan membuang pandang ke arah suara yang memberi salam.

“Papa Iman!” jerit Zarif Aimin sambil berlari mendapatkan satu-satu bapa saudara sebelah ibunya. Dipeluk dan dicium wajah lelaki mengenakan jubah putih dan berkaca mata hitam itu. Nur Imanina hanya memandang kemesraan keduanya.

“Iman dah sampai pun Datin.” Ujar Mak Som pula yang terus masuk ke ruang dapur untuk mengambil satu lagi pinggan kosong dan diletakkan setentang dengan tempat duduk Nur Imanina. Sekali lagi Nur Imanina terkejut dengan gelaran yang digunakan oleh Mak Som.

“Iman?” Bisiknya perlahan.

“Mama sihat?” tanya Iman Faliq yang mendapatkan ibunya di ruang makan. Dikucup mesra kedua pipi wanita yang masih nampak bergaya itu.

“Alhamdulillah. Mama sihat. Iman macam mana kat sana? Baik semuanya?” tanya Datin Farah pula seraya meleraikan pelukan erat lelaki itu.

“Alhamdulillah ma. Semua okay.” Balas Iman Faliq seraya memandang sekilas ke wajah gadis yang hanya diam membisu.

“Iman nak makan dulu atau rehat dulu?” Tanya Datin Farah lagi. Tetapi Iman Faliq sudah pun duduk di kerusi hadapan Nur Imanina yang menunduk. Sesekali dia melayan Zarif Aimin yang sudah kembali duduk di sisinya. Sedikit pun dia tidak berani memandang ke wajah lelaki yang duduk di hadapannya itu. Suara lelaki itu mengingatkannya kepada seseorang. Namun, otaknya gagal memproses dan merungkai persoalan yang berlegar-legar di benaknya.

“Makan dululah ma. Rindu sangat dah dengan masakan mama ni.” Jawab Iman Faliq yang sudah melipat lengan baju jubahnya. Cermin mata hitam yang dipakai tadi sudah diletak tepi. Sesekali matanya singgah ke wajah ayu di hadapannya itu.

“Papa Iman, sedap Nek Wan masak.” Celah si kecil yang sudah tersengih itu.

“Nek Wan kan belajar masak dengan Chef Wan. Tu yang sedap tu. Ni yang papa tak sabar nak makan ni.” Balas Iman Faliq sengaja mengusik mamanya. Setiap hari dia sanggup pulang makan tengah hari ke rumah kerana masakan mamanya.

“Pandailah kamu tu nak bodek mama.” Datin Farah mengerling sekilas ke wajah Nur Imanina yang diam dari tadi. Datin Farah sudah duduk di kepala meja. Di situlah tempat duduk kesukaan suaminya dulu.

“Eh, mama lupa nak kenalkan. Ni Nur Imanina. Dialah cikgu sekolah Zarif kat Taska mama tu.” Kata Datin Farah memperkenalkan wanita ayu itu kepada Iman Faliq.

“Bukan cikgulah Nek Wan. Mama Iman.” Sampuk si kecil yang sedang mengunyah seketul ayam tempura kegemarannya.

“Mama Iman?” kata Iman Faliq seraya tersenyum. ‘Dah kenalah tu Iman. Ambik kau. Seorang Papa Iman, seorang Mama Iman.’ Desis hatinya. Wajah wanita ayu itu seperti pernah dilihat sebelum ini tetapi dia tidak dapat mengingati dengan jelas.

“Dia Mama Iman Zariflah papa.” Celoteh si kecil itu lagi. Nur Imanina hanya tersenyum kecil mendengar kata-kata Zarif Aimin.

“Iman.” Panggil Datin Farah menyebabkan Nur Imanina dan Iman Faliq serentak memandangnya. Si kecil yang melihat sudah terkekeh-kekeh ketawa. Datin Farah dan Mak Som yang sedang menyendukkan nasi turut sama ketawa.

“Eh, lupa. Ada dua orang Iman kat sini.” Kata Datin Farah dalam sisa tawa. Pada waktu itu juga mata Iman Faliq dan Nur Imanina bertemu. Keduanya menguntum senyum tapi hanya sebentar apabila Nur Imanina cepat sahaja melarikan matanya semula ke arah Datin Farah.

“Saya nak kenalkan Iman dengan anak sulung saya ni. Iman Faliq.” Ujar Datin Farah akhirnya. Nur Imanina hanya tersenyum kecil. Jantungnya berdegup kencang ketika matanya bertemu pandang dengan Iman Faliq sebentar tadi.

“Makan dululah Datin. Dekat sejuk dah lauk ni.” Kata Mak Som kemudian.

“Yalah Som. Lupa pula.” Balas Datin Farah.

“Zarif dah baca doa makan ke? Tu Zarif dah makan dulu.” Tegur Iman Faliq apabila melihat anak kecil itu leka mengunyah seketul ayam tempura yang dipegangnya. Anak saudaranya itu terlalu gemarkan lauk ayam. Tidak kiralah ayam itu dimasak apa. Memang ligatlah dia makan.

“Dahlah papa.” Jawab si kecil itu pendek.

“Eh, mama tak dengar pun?” celah Nur Imanina yang duduk di sebelahnya. Sengaja dia berkata begitu untuk membuang rasa debar di hati. Dia perasan mata lelaki di hadapannya tajam menikam wajahnya membuatkan dia kurang selesa di situ.

“Zarif letak ayam tu dulu. Papa baca doa makan.” Ujar Iman Faliq tegas sambil menadah tangan. Zarif Aimin hanya akur mengikut kata bapa saudaranya itu. Nur Imanina melakukan perkara yang sama. Begitu juga dengan Datin Farah dan Mak Som yang masih berdiri di situ.

“Aminn…” jawab mereka hampir serentak.

“Makan Iman, jangan segan-segan.” Tutur Datin Farah kepada Nur Imanina.

“Apa pulak nak segan ma. Macamlah Iman baru sehari duduk sini.” Jawab Iman Faliq selamba.

“Eh, bila masa mama cakap dengan kamu. Mama cakap dengan Iman ni.” Tunjuk Datin Farah kepada Nur Imanina yang tersenyum manis kepadanya. “Ish! Asyik salah faham aja. Nama dah dekat sama. Macam ada jodoh pulak.”  Kata Datin Farah membuatkan keduanya tersedak dengan tiba-tiba. Sekali lagi Zarif Aimin terkekeh ketawa apabila melihat pasangan di hadapannya itu tersedak serentak.

“Amboi cucu Nek Wan ni. Bukan main suka lagi.” Tegur Datin Farah yang sembunyi senyum. Geli hati melihat pasangan di hadapannya itu.

“Apalah mama ni. Malu Mama Iman kita ni ma.” Balas Iman Faliq selepas meletakkan gelas jus oren bagi melegakan tekaknya. Perit tekaknya kerana pedas daripada kuah asam pedas kegemarannya itu.

“Sorry lah Mama Iman, mama saya ni memang macam ni. Ada saja yang dia nak usik saya.” Tutur Iman Faliq ramah tetapi Nur Imanina hanya diam.

Wajah di Nur Imanina merona merah. Apa yang dirasakan, punggungnya semakin panas duduk lama di situ. Seperti duduk di atas bara. Ada saja yang menjadi usikan Datin Farah. Dalam hati dia berdoa agar masa cepatlah berlalu. Dia tidak betah berlama di situ. Sepasang mata dihadapannya itu cukup meresahkan hatinya.

Jul 31, 2011

Salam Ramadhan :)

Assalamualaikum.

Terima kasih atas kesudian membaca. 



Salam Ramadhan untuk semua. Agar Ramadhan kali ini lebih bermakna selagi masih diberi kesempatan waktu. InshaAllah.

Apr 19, 2011

BAJP bab_10


“Pia…” panggil Afeef lemah kepada adiknya itu.

”Abang...” balas Afia sambil mendekati Afeef dan si comel yang lena dalam pelukan papanya. Belum lagi hilang rasa hati yang masih terkejut akan kepulangan Afeef, sekali lagi dia dikejutkan dengan kewujudan si comel di dalam pelukan abangnya. Di usap pipi mulus si comel. ’SubhanaAllah, comelnya dia’. Desis hati Afia. Jatuh kasih apabila melihat wajah mulus si comel yang sedang lena itu. Satu yang jelas terlihat di wajah mulus itu adalah ada iras abangnya. Afia memandang abangnya dengan penuh tanda tanya.

”Abang, bagi Pia bawak baby ni.” pinta Afia tiba-tiba apabila abangnya hanya mendiamkan diri sahaja. Terus sahaja Afia mengambil si comel dari pelukan Afeef dan di bawa masuk ke rumah.

Afwan pula dari tadi sudah menunggu di muka pintu. Niatnya tadi ingin membantu Afeef mengangkat beg yang dibawa. Tetapi, dia terpegun apabila melihat Afia mengendong si kecil yang sedang lena tidur. Baru sahaja dia ingin bertanya, Afia menunjukkan isyarat senyap kepada Afwan dan memuncungkan mulutnya ke arah Afeef yang sedang berjalan mengekori di belakangnya sambil menarik sebuah beg dan sebuah lagi beg kecil di tangannya. Terlalu banyak tanda soal di dalam kepalanya apabila melihat kewujudan si comel yang tidak dikenalinya itu.

”Pia, anak siapa pulak Pia ambik ni?” tanya Hajah Zubaidah apabila Afia masuk ke rumah dan duduk di hadapannya sambil memangku anak kecil.

”Pia...” panggil Haji Ramlee pula apabila Afia leka mengusap rambut si kecil dipangkuannya.
Afia membalas pandangan kedua orang tuanya lalu menunjuk ke arah Afeef yang sudah berdiri di tepinya. Afwan pula sudah duduk di sebelah Afia kerana dia juga cukup teruja melihat si comel yang sedang lena itu. Sungguh memang dari dulu lagi dia inginkan cahaya mata tetapi tidak kesampaian.

”Pia, kasi akak pegang baby ni.” pinta Afwan pula apabila dia terasa ingin memeluk dan mencium si kecil itu. Terlalu menggebu naluri keibuannya apabila melihat wajah mulus itu. Hajah Zubaidah hanya memerhati kedua anak perempuannya yang begitu asyik dengan si kecil. Terganggu sedikit tidur si kecil apabila Afwan mengambilnya daripada pangkuan Afia.

”Feef, anything you want to explain?” Tanya Haji Ramlee lembut apabila melihat Afeef hanya tunduk seperti pesalah. Memang pun dia dah buat salah apabila menjalin cinta dengan Damia Hani semasa di bumi asing itu tanpa pengetahuan mama dan ayahnya. Juga kepada wanita yang telah banyak berkorban demi dirinya. Iffat Hamani.

”Yah, ma.. I can explain. But, give me chance to find my wife first ma…” lirih Afeef menuturkan kata apabila melihat ayah dan mamanya mempamer riak wajah yang jelas menunjukkan tanda tanya kepadanya.

“Feef…apa lagi yang Afeef dah buat ni..?” Tanya Hajah Zubaidah lembut. Sebenarnya dia memang terkejut dengan kehadiran si kecil itu. Tapi apa yang dia pasti, si kecil itu mesti ada pertalian darah dengannya apabila melihat kening lebat si kecil cantik terbentuk seperti Afeef dan anak-anaknya yang lain. Satu ciri yang diwarisi daripada suaminya.

Haji Ramlee hanya diam tanpa kata untuk memberi ruang kepada anak lelakinya itu menerangkan perkara yang sepatutnya diterangkan kepada semua ahli keluarga yang menantinya selama ini.

“Ayah, mama…ni sebenarnya anak Afeef dengan Damia...” Jawab Afeef lemah. Hampir menitis air matanya apabila menyebut nama Damia. Satu-satunya perempuan yang dicintai sepenuh hati sehingga dia sendiri lupa akan keluarganya dan seorang wanita yang bergelar isteri.

”Astaghfirullah...” beristighfar Hajah Zubaidah apabila mendengar nama Damia menitir di bibir Afeef. Haji Ramlee hanya diam mendengar.

”Ma, jangan salah faham ma. Kami..sebenarnya... nikah kat sana ma..” jawab Afeef lemah melihat riak terkejut mamanya apabila dia menyebut nama Damia. Kerana dia tahu, memang sejak dulu lagi Hajah Zubaidah tidak berkenan jika dia bernikah dengan Damia. Cadangannya untuk bernikah dengan Damia demi memenuhi permintaan mamanya dulu, ditolak oleh Hajah Zubaidah kerana kurang menyenangi sikap wanita itu yang dilihat sedikit liar. Ia jelas daripada cara pemakaian Damia yang seksi dan cara bercakap yang manja melampau. Sungguh Hajah Zubaidah tidak berkenan menyebabkan Afeef mengambil keputusan untuk bernikah dengan Iffat yang juga sahabat baiknya.

”Astagfirullah...Afeef..” sekali lagi terdengar mamanya beristighfar untuk menangkan hati dengan pengakuan Afeef. Dilihat ayahnya hanya menggelengkan kepala. Sungguh kecewa hati si ibu apabila anak yang amat disayanginya bernikah dengan wanita yang tidak disenanginya tanpa pengetahuan keluarga. Bergenang air jernih di tubir mata Hajah Zubaidah kerana kecewa dengan apa yang telah Afeef lakukan.

”Idah, sabarlah.. semuanya dah terjadi..takda apa lagi yang perlu dipersoalkan...” Haji Ramlee membuka mulut menenangkan isterinya yang sudah mula mengesat air mata. Sungguh terguris hati si ibu diperlakukan oleh Afeef.

”Ma.. maafkan Afeef ma..” Afeef sudah melutut di hadapan mamanya yang mula tersedu-sedu menangis. Hajah Zubaidah hanya mendiamkan diri. Memang hatinya begitu terasa dengan apa yang telah dilakukan oleh Afeef.

’Kesian Iffat’ desis hati tuanya apabila teringatkan menantu yang seorang itu. Teringatkan nasib Iffat yang membuatkan Hajah Zubaidah bertambah sedih. Hajah Zubaidah memegang kepala Afeef dan menegakkan muka yang menunduk di hadapannya itu. Dia mengucup lembut wajah Afeef lalu mendakapnya erat. Diusap bahu si anak perlahan. Sungguh dia terlalu sayang dan merindui anak itu. ”Afeef tak kesian ke dengan Iffat” bisik lembut Hajah Zubaidah ke telinga Afeef. Sengaja ingin menyedarkan Afeef akan kewujudan seorang wanita yang menunggunya saban hari.

Terasa begitu menusuk di hati Afeef apabila mamanya menyebut nama Iffat. Ya, sungguh dia memang rasa bersalah yang teramat dengan wanita itu dan melanggar janji yang telah ditabur kepada Iffat dahulu.

”Maafkan Afeef sekali lagi ma..” balas Afeef lembut seraya meleraikan pelukan. Dikucup lembut wajah mamanya itu.

”Sudahlah Feef...benda dah jadi Afeef...yang sudah tu, sudahlah..” kata Haji Ramlee pula apabila melihat dua beranak itu sudah tenang. Haji Ramlee memang bukan jenis yang suka memarahi anak-anak apatah lagi memusuhi mereka sejak dulu lagi. Sikap yang satu ini menyebabkan dia rapat dengan anak-anaknya malah ramai kenalannya juga begitu menghormatinya kerana sikap yang satu itu. Wajah itu sentiasa tenang. Afwan dan Afia hanya mendiamkan diri dari tadi dan tidak mengambil sikap campur tangan akan permasalahan yang dihadapi oleh Afeef kerana mereka tahu bahawa Afeef pasti akan menerangkan perkara sebenar apa yang telah berlaku menyebabkan dia langsung tidak mengirim khabar kepada keluarganya dalam 3 tahun itu.

Hajah Zubaidah mengalih pandang ke si kecil yang lena di pangkuan Afwan. ’Comelnya cucu mama ni Feef’ desis hati tuanya melihat si kecil itu. Dalam diam dia menerima kehadiran si kecil itu kerana dia tahu, memang tiada salahnya wajah mulus itu. Kenapa tidak dia menerima baik kehadirannya. Darahnya juga turut mengalir di dalam tubuh kecil itu. Malangnya, si ibu bayi itu bukan pilihan hatinya. Apa lagi yang ingin dikesalkan. Semuanya telah berlaku. Dia berjanji akan menerima baik kehadiran Damia dalam keluarganya. Cuma, masalahnya sekarang adalah Iffat. Dapatkah wanita itu menerima keadaan Afeef yang kini telah banyak berubah. Malah telah bergelar ’papa’ kepada sekecil itu tanpa pengetahuannya.

”Feef, mana Damia.” tanya Haji Ramlee apabila dari tadi persoalan akan ibu kepada si kecil itu sentiasa berlegar-legar di dalam kepalanya.

”Err..sebenarnya kami dah bercerai ayah,..bulan lepas..” terang Afeef perlahan. Dia hanya melihat si kecil yang sedang lena itu telah bertukar ke pangkuan mamanya. Dalam hatinya memanjat rasa syukur yang teramat kepada Allah apabila si kecil itu diterima baik dalam keluarganya.

”Laa..abang.. kenapa pulak?” tanya Afia yang dari tadi hanya diam, menyampuk dengan tiba-tiba. Matanya tidak lepas memandang wajah si comel itu.

”Feef, siapa nama cucu mama ni?” belum sempat Afeef menjawab soalan Afia, mamanya telah menyampuk bertanya akan nama si kecil itu.

”Muhammad Aqil Irfan ma...”jawab Afeef seraya tersenyum melihat kakaknya yang asyik mengusap rambut anaknya yang sedang lena itu.

”Ermm.. Pia, mama, ayah.. Afeef akan cerita kemudianlah hal tu. Buat masa ni, Afeef ingat, Afeef nak cari Iffat dulu. Banyak perkara yang Afeef kena bincang dengan dia.” sambung Afeef lagi.

”Hmm.. yela..ayah tak kisah Feef. Benda dah berlalu kan. Sekarang ni, hal Iffat. Hope Afeef dapat selesaikan secepat mungkin. Ayah taknak Afeef seksa Iffat terikat macam tu. Kalau Afeef memang taknak dia, lepaskan cara baik. Jangan diseksa anak orang tu.” balas Haji Ramlee sengaja ingin menguji kesungguhan Afeef kepada menantunya itu. Dia tahu yang Iffat memang sayang dan cintakan Afeef dengan ikhlas. Ianya jelas apabila kesungguhan Iffat yang sentiasa mengambil berat akan keadaan keluarganya dan sering bertanya akan perihal Afeef kepadanya. Jelas kelihatan sinar cinta yang suci di mata menantunya itu. Teringat juga dia akan wajah Iffat yang cukup berseri pada pandangannya semasa hari pernikahan 3 tahun lalu.

Tersentap hatinya apabila mendengar perkataan ’lepaskan’ dari mulut ayahnya. Sungguh langsung tiada niat untuk melepaskan Iffat. Kepulangannya ini pun ingin menunaikan semua janji-janji yang pernah ditabur kepada Iffat dulu. Dia ingin menebus semula kesalahannya yang lalu. Itu tekadnya untuk berjumpa dengan Iffat.

”Ayah, tiada niat pun Afeef nak lepaskan dia. Afeef nak dia kekal jadi isteri Afeef.” jelas Afeef lirih apabila dia sedikit terasa dengan kata-kata ayahnya itu. Hajah Zubaidah dan yang lain-lain hanya diam mendengar pengakuan Afeef itu.

”Bang, kesian Kak Hamani.” sampuk Afia pula sengaja memancing perhatian abangnya itu.

”Hmm..” hanya keluhan yang terdengar dibibir Afeef. Sungguh rasa bersalah begitu menggunung di dalam hatinya apabila teringatkan wajah wanita itu.

”Feef, biar mama call Iffat kejap bagitahu Afeef dah balik ya.” kata mamanya seraya menyerahkan si kecil itu ke pangkuan Haji Ramlee. Haji Ramlee menyambut lalu mencium pipi mulus si kecil itu. ’Cucu atuk’ desis hati lelakinya melihat si kecil dalam pangkuannya lena tidak berkutik langsung apabila Hajah Zubaidah menyerahkan kepadanya. Penat sungguh agaknya.

Hajah Zubaidah sudah melangkah ke tempat telefon dan Afeef tidak pula menghalang. Seberapa ketika, Hajah Zubaidah kembali ke tempat duduknya.

”Feef, Iffat kata lusa baru dia balik. 2 malam reunion dia orang.” terang Hajah Zubaidah memahami akan pandangan mata Afeef yang penuh berharap untuk mengetahui akan keadaan menantunya itu.

”Err..Afeef ingat Afeef nak pergi sana ajalah malam ni.” balas Afeef perkalahan. Sesungguhnya dia tidak dapat lagi menanggung rasa bersalah di dalam hati dan ingin segera diluahkan kepada Iffat. Empat pasang mata tertumpu kepadanya apabila dia menyuarakan keinginannya untuk berjumpa dengan Iffat pada malam itu juga.
”Boy ni biar betul. Dah pukul berapa ni. Tak penat ke?” tegur Afwan akan hasrat Afeef itu.

”Err.. takdalah penat sangat. Bukan jauh pun Teluk Batik tu. Afeef larat lagi nak drive.” balas Afeef bersungguh.

”Ala abang ni. Tunggu ajalah Kak Hamani balik Ahad ni. Abang bukan nak balik UK semula kan..?” kata Afia pula apabila abangnya hendak buat kerja gila malam-malam macam tu. Terkejut beruk pulak kakak ipar nya itu nanti apabila tiba-tiba melihat Afeef muncul dihadapannya.

”Ikut Afeef lah. Ayah dengan mama tak halang. Kalau Afeef rasa itu yang perlu Afeef buat, Afeef buatlah. Cuma satu aja ayah pesan, jangan nak bergaduh pulak kalau dah jumpa Iffat tu nanti. Cakap elok-elok dengan dia. Kalau dah dua-dua berangin nanti, satu pun tak jadi apa.” pesan Haji Ramlee tegas akan keputusan yang dibuat oleh Afeef. Dia tidak menghalang keputusan anak lelakinya itu kerana tahu yang Afeef takkan mengubah sebarang keputusan yang telah dibuat. Sikap yang satu itu memang tidak pernah berubah dari dulu lagi.

”Afeef, malam ni mama bawak Aqil tidur dengan mama ajalah ya. Afeef tidur sana kan nanti?” kata Hajah Zubaidah pula. Sebenarnya dia dah jatuh sayang dengan si kecil itu. Afwan dan Afia serentak memandang mamanya.

”Alaa..mama.. baru ingat nak bawak Aqil tidur dengan Afwan.” rungut Afwan apabila mama dan ayahnya sudah tersengeh-sengeh. Afeef hanya tergelak memandang Afwan dan Afia yang sudah memuncung.

”Alaa.. Pia pun..” tambah Afia pula yang turut kecewa.

”Alah.. kau orang bukan tahu jaga baby. Biar malam ni ayah dengan mama yang jaga.” gurau Haji Ramlee pula sengaja mengusik kedua wanita itu. Hajah Zubaidah hanya tersenyum mendengar kata-kata suaminya. Afia hanya mencebikkan bibirnya bila mendengar usikan dari ayahnya. Memang pun dia tak tahu menjaga budak-budak. Dia geram melihat pipi montok Aqil yang sedang lena itu.

”Pia, malam ni Pia teman abang pergi sana nak tak?” pinta Afeef apabila melihat wajah Afia yang sudah masam mencuka itu.

”Hah! Kenapa pula Pia kena teman. Tadi bukan ke abang kata abang larat lagi nak drive?” sindir adiknya. Sengaja ingin mengusik abangnya itu.

”Alaa.. boleh la.. manalah tahu kalau abang tertidur ke masa drive nanti. Dah Aqil jadi anak yatim pulak..esok kan hari Sabtu. Tak kerja kan..” kata Afeef lemah sengaja ingin menagih kesian dari adiknya itu. Dia tahu kelemahan Afia yang satu itu. Dia tak boleh kalau ada orang buat suara dan muka kesian depannya. Pasti akan diturutkan juga. ’Hehe..gelak Afeef dalam hatinya apabila Afia bersetuju menemaninya ke Teluk Batik.
..............................

Di dalam kereta, Afeef hanya mendiamkan diri. Dia duduk di sebelah Afia yang tenang memandu. Tadi bukan dia tidak mahu memandu, tetapi Afia yang berkeras ingin memandu. Katanya risau kalau Afeef yang memandu, pasti seperti nyawa dihujung tanduk. Bukan dia tak tahu yang abangnya itu memang ’terlebih’ berhemah kalau memandu. Sebelum bertolak tadi, Afeef telah menghubungi Luqman sahabat lamanya yang turut menyertai reunion itu. Telah dikhabarkan kepada Luqman yang dia akan datang ke situ. Cuma tidak diberitahu akan datang pada malam itu juga.

Setelah satu jam perjalanan, Afeef di sisi bersuara. ”Pia, pinjam phone jap. Abang nak call Kak Hamani lah.” Afia tanpa banyak soal menyerahkan telefon bimbitnya kepada Afeef kerana dia tahu abangnya itu memang tidak sabar-sabar lagi ingin berjumpa dengan kakak iparnya.

Beberapa ketika menunggu panggilan berjawab, Afeef memandang wajah Afia yang tenang memandu. ”Pia, kenapa kakak kesayangan Pia ni letak telefon dengar suara abang?” tanya Afeef pelik apabila mendengar suara halus Iffat menjawab salamnya kemudian tiba-tiba terputus.

”hahaha..mana dia tak letak. Mestilah dia cam tu bukan suara Pia.” balas Afia dalam gelaknya.

Afeef hanya menjeling geram melihat Afia menggelakkannya. Dia tahu yang Iffat pasti terkejut mendengar suaranya. Hatinya berdetak kuat apabila mendengar suara lembut itu menjawab salamnya tadi. Tanpa membuang masa, dia mencuba pula dengan menghantar SMS kepada Iffat. Malangnya, langsung tidak berbalas. Hatinya terlebih pasti yang Iffat memang memarahinya. ’Maafkan aku Fat’ bisiknya kepada diri sendiri.
Afeef memperlahankan bunyi radio yang hanya berkumandang di sepanjang perjalanannya. Afia menoleh sekilas Afeef di sisi. ”Laa.. kenapa abang slow kan radio tu?” tanya Afia melihat tingkalaku abangnya itu.

”Ni, abang nak tanya sikit dengan Pia ni pasal Kak Iffat tu” balas Afeef ringkas.

”Apa dia?” jawab Afia pendek beri peluang abangnya meneruskan kata.

”Kenapa Kak Iffat tak guna kereta abang ni?” tanya Afeef perihal kereta Toyota Vios yang dinaikinya itu. Memang kereta itu kepunyaannya tetapi telah menyuruh Iffat menggunakannya sepanjang dia di sana. Sengaja tadi dia berkeras juga ingin menaiki kereta kesayangannya itu walaupun dibantah oleh Afia yang ingin menaiki kereta myVnya sahaja. Dia terpandangkan keretanya ini terletak elok di bawah garaj di hadapan rumahnya. Jika dilihat, memang tiada siapa yang menggunakan keretanya itu.

”Entah. Pia pun tak tahu. Dulu lepas hantar abang kat airport, Kak Hamani terus pulangkan kereta ni. Dia kata dia tak selesa nak guna barang yang bukan miliknya.” terang Afia.

Afeef sedikit terasa dengan penerangan Afia akan perihal kereta itu. ”Pia, ceritalah ka abang apa yang dah berlaku sepanjang abang takda kat sini.” pinta Afeef seterusnya kerana di hatinya begitu membuak perasaan ingin tahu akan perihal Iffat wanita yang telah dilukainya. Sungguh getaran halus sentiasa hadir di hatinya apabila tiap kali bibir itu menyebut nama wanita itu. Tetapi langsung tidak diambil peduli. Apa yang dia tahu, Iffat adalah sahabat yang paling baik dia ada. Sanggup berkorban demi masa depannya.

Afeef hanya menjadi pendengar setia di sepanjang perjalanan. Sesekali hati lelakinya merintih pedih apabila mendengar semua perihal Iffat yang setia menunggu kepulangannya dan keperihatinan wanita itu menziarahi kedua orang tuanya saban minggu. ’Arghh... kau memang lelaki tak guna Afeef!’ jerit hatinya mengutuk akan kebodohan diri.