Dec 14, 2011

TDK_bab 4

Seperti biasa, Nur Imanina menunggu kedatangan setiap murid di pintu pagar. Sekaligus dengan begitu dia dapat mengenali ibubapa anak-anak kecil yang dihantar ke situ.

“Assalamualaikum Mama Iman.” Sapa satu suara yang amat dikenalinya.

“Waalaikumussalam sayang.” Tangannya dikucup seperti selalu dan Nur Imanina membalas dengan kucupan hangat di kedua belah pipi. Nur Imanina tidak perasan siapa yang menghantar si kecil itu kerana leka beramah mesra dengan beberapa orang ibubapa yang turut sama menghantar anak-anak mereka.

“Siapa hantar Zarif hari ni?” tanya Nur Imanina sambil matanya meninjau ke sekitar.

“Mama…” balas Zarif ceria. Nur Imanina menghela nafas lega kerana dia tidak perlu berjumpa dengan lelaki yang semakin kerap muncul dalam mimpinya saban malam. Padahal belum lagi sampai lima kali mereka bertemu.

“Zarif masuk dulu okay? Mama Iman nak tunggu kawan-kawan lain lagi.” Ujar Nur Imanina lembut.

“Mama Iman…” panggil Zarif Aimin seraya menarik hujung baju Nur Imanina. Nur Imanina memandang semula ke arah Zarif Aimin yang sedang mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya.

“Zarif cari apa?” Nur Imanina hanya melihat perlakuan si kecil itu.

“Mama, nah..” Zarif Aimin menghulurkan sekuntum ros merah beserta sekeping kad kecil yang comel. Nur Imanina menyambut huluran bunga itu. Dia mendekatkan ros merah itu rapat ke hidung.

“Thanks Zarif. Susah-susah aja anak mama ni bagi bunga.” Ujar Nur Imanina seraya tersenyum manis.

“Welcome mama. Papa Iman busy. Dia tak dapat hantar Zarif hari ni.” Terang si kecil.

“Eh, kenapa cerita pasal Papa Iman pulak ni? Mama tak tanya pun.” Nur Imanina tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh si kecil itu.

“Flower ni Papa Iman bagi.” Jawab Zarif Aimin jujur. “Bye Mama Iman!” Kata Zarif Aimin lagi sebelum terus berlari masuk ke dalam kelas. Kanak-kanak sekecil Zarif Aimin, tentu sahaja tidak memahami apa-apa.

Nur Imanina pula diam tidak terkata apa bila si kecil itu menyebut nama pengirim sebenar bunga itu. ‘Dah pandai kirim bungalah pulak mamat tu. Hish!’

“Cikgu Iman…” sapa satu suara membuatkan Nur Imanina pantas menoleh. “Hai, pagi-pagi lagi boyfriend dah bagi bunga…” usik Zulaikha yang baru sahaja tiba menghantar si kecil Nur Afifi. Ibu muda itu ramah menegurnya.

“Mana ada boyfriend Kak Zu.” Akui Nur Imanina jujur. Dia senang berbual dengan ibu muda itu. Seperti mereka telah lama mengenali antara satu sama lain.

“Yalah tu. Orang cantik macam Iman ni takkan takda boyfriend. Akak tak percayalah.” Giat Zulaikha lagi. Wajah ayu yang mula memerah dihadapannya itu dipandang lama.

“Ada-ada aja akak ni. Takdalah kak. Siapalah nak Iman ni. Iman takda apa kak...” Nur Imanina merendah diri. Dia perlu menerima hakikat yang satu itu. Tidak ada lelaki yang sanggup menerima wanita seperti dirinya. Serba kekurangan. Tidak seperti wanita yang di luar sana. Kecantikan yang dimiliki tidak lagi bermakna.

“Mengadalah Iman ni. Entah-entah dah ada. Saja nak sorok dari akak kan. Tu yang dapat bunga pagi-pagi tu, takkanlah Kak Ema yang bagi…” usik Zulaikha lagi.

“Apalah akak ni. Mana ada boyfriend kak. Zarif yang bagi.” Jelas Nur Imanina. Sengaja dia tidak mahu berterus-terang akan gerangan si pengirim yang sebenar. Risau menjadi gosip pula dia ada hubungan sulit dengan anak pemilik taska itu. Bukan itu sahaja, kedudukan Iman Faliq dengannya seperti enggang dan pipit. Tidak mungkin si pipit boleh seiring dengan si enggang. Terbang sekali mungkin boleh. Tapi untuk bersatu, pelik benar bunyinya.

“Amboi! Kecik-kecik lagi dah pandai bagi bunga? Bukan main lagi.” Ujar Zulaikha yang sudah ketawa kecil mendengar penjelasan Nur Imanina. Macamlah dia hendak percaya si kecil Zarif Aimin itu yang memberi.
‘Abang, tak lama lagi adik abang ni berkeluarga nampaknya.’ Omelnya dalam hati. Gembira melihat perkembangan terbaru itu. Tidak sabar untuk bercerita dengan suaminya nanti.

“Biasalah kak budak sekarang. Semuanya dah advance.” Sokong Nur Imanina pula mengiyakan kata-kata Zulaikha.

“Yalah tu Iman. Macamlah akak nak percaya cakap Iman tadi.” Usik Zulaikha lagi membuatkan gadis di hadapannya itu serba tidak kena. “Okaylah Iman. Kalau ada masa nanti, boleh kita borak lagi. Akak dah lambat ni. Tengokkan anak akak tu ya.” Lanjut Zulaikha sebelum masuk semula ke dalam kereta.

“Yalah kak. InshaAllah.” Balas Nur Imanina seadanya seraya melambaikan tangan.

Hilang sahaja kelibat Honda Civic di hujung jalan, Nur Imanina kembali menatap sekuntum bunga yang diterima tadi. Siap dengan sekeping kad comel terlekat di batang bunga itu.


Dear Mama Iman,
Zarif berjalan berhati-hati,
Salam perkenalan suci dari hati.

Nur Imanina hampir tergelak membaca pantun dua rangkap yang tertulis dengan tulisan hampir sama dengan tulisan Zarif Aimin. ‘Gila apa mamat ni sampai nak berkenalan pulak.’ Omel Nur Imanina dalam senyuman.
Pintu hatinya tidak pernah terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki selama ini. Bukan tidak ada yang cuba menghulurkan salam perkenalan. Dia yang kerap kali menolak salam perkenalan itu. Baginya, sukar bagi seorang lelaki dan seorang wanita menjadi sahabat. Pastinya ada perasaan lain yang akan hadir walaupun pada mulanya ianya berlandaskan sahabat. Dan dia yakin, setiap lelaki yang cuba mendekati dirinya bukan hanya sekadar ingin bersahabat. Semua mengharapkan suatu hubungan yang istimewa darinya. Tetapi, dia tidak dapat tunaikan hubungan yang satu itu. Akhirnya bila dia sendiri menolak, lelaki yang pada mulanya berjanji ingin bersahabat dengannya, terus menjauhkan diri. Jelas menunjukkan mereka itu bukan sekadar ingin bersahabat dengannya.

Kali ini lelaki bernama Iman Faliq Mohd Radzi pula mencuba nasib. Nur Imanina tersenyum lagi. Entah sampai bila pula Iman Faliq ini bertahan pun, dia tidak dapat pastikan. Apa yang dia tahu, lelaki itu pasti tidak dapat bertahan lama melayan kerenahnya. Dia pasti itu. Dan kali ini, dia ingin lihat sejauh mana kesungguhan lelaki itu untuk meraih salam persahabatan darinya. Nur Imanina mencium sekilas bunga ros itu sebelum melangkah ke dalam kelas.
………

“Zarif, lambatnya Pak Hashim datang. Mama nak balik dah ni. Fifi pun dah balik. Teacher Ema pun nak balik dah tu.” Ujar Nur Imanina yang mendapatkan Zarif Aimin duduk di buaian. Seperti biasa wajah si kecil akan masam mencuka sekiranya dia dijemput lewat.

“Semua busy…” rungut Zarif Aimin dengan wajah yang memuncung. Hari ini si kecil itu bukan main riang lagi di dalam kelas. Tapi kini masam mencuka wajahnya.

“Mummy pesan siapa ambik Zarif hari ni? Tanya Nur Imanina yang kasihan melihat wajah yang masam mencuka itu. Hari ini, tidak pula Farihin Iman berpesan kepadanya untuk menghantar si kecil itu pulang ke rumah.

“Tak tahu…” rengek Zarif Aimin. Rambut si kecil itu yang berceracak awal pagi tadi sudah kusut masai.
Mesti kerana marah dirinya lewat dijemput, habis rambutnya yang menjadi mangsa. Jika tidak, si kecil itu cukup pantang andai rambutnya disentuh. Si kecil itu sudah pandai bergaya dan ingin sentiasa kelihatan kemas.

“Iman, Datin Farah baharu call. Dia suruh kamu hantar Zarif balik. Hari ni dia ada hal kat luar. Pak Hashim tak sempat nak ambik dia.” teriak Kak Ema yang berdiri di muka pintu.

“Yalah kak.” Jawab Nur Imanina sambil menjeling ke arah Zarif Aimin yang turut sama memandang Kak Ema.

“Semua tak sayang Zarif.” Rungut si kecl itu tiba-tiba.

“Mama Iman sayang Zarif tau.” Sahut Nur Imanina memujuk si kecil yang sudah berpeluk tubuh. Comel Zarif Aimin dilihatnya begitu. Dengan mulut yang memuncung dan pipi yang munggil. Zarif Aimin diam tidak menjawab.

“Jomlah, Mama Iman hantar Zarif okay?” ajak Nur Imanina sambil menarik tangan si kecil itu agar mengikutinya. Dia tidak hairan kenapa Zarif Aimin boleh rapat dengannya. Keadaan keluarga yang sentiasa sibuk menyebabkan si kecil dilihat lebih selesa dengan dirinya. Baginya, kanak-kanak seusia Zarif Aimin memerlukan perhatian dan kasih sayang yang cukup dari kedua ibubapanya.

Zarif Aimin hanya mendiamkan diri di dalam kereta. Sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut comel itu. Barangkali sudah letih. Nur Imanina mengilas jam di dashboard kereta. Hampir pukul dua.

“Zarif, kita makan dulu nak?” pancing Nur Imanina agar si kecil itu bersuara. Zarif Aimin hanya menggelengkan kepala.

“Ala… Kalau Zarif tak nak makan, Zarif teman mama makan boleh?” giat Nur Imanina lagi. Zarif Aimin menganggukan kepala pula. Nur Imanina tersenyum. Si kecil itu perlu kena cara pujuknya baharu akan mendengar kata.

“Erm… Mama Iman rasa nak makan ayam goreng la…” kata Nur Imanina sendirian. Dia tahu kegemaran Zarif Aimin yang satu itu. Si kecil menoleh ke arahnya dengan senyuman dan mata yang mula bersinar.
‘Sukalah tu!’ bisik hati Nur Imanina. Umpan dia mengena. Tidak sukar memujuk Zarif Aimin yang manja itu. Dia cukup faham dengan perangai si kecil. Andai segala kemahuannya tidak diikutkan, mengamuklah dia nanti. Mulalah mulut comel itu terkatup rapat. Paling dia suka lihat apabila si kecil itu gemar sekali menjeling sekiranya sedang marah. Comel! Tetapi, berulang-kali juga dia mengingatkan si kecil itu agar tidak menjeling.

“Eh, tadi bukan main masam lagi muka tu. Sekarang dah senyum-senyum pulak.” Usik Nur Imanina.

“Zarif nak drumstick mama.” Ujar Zarif sambil tersengih-sengih hingga menampakkan lekuk sebelah pipi kirinya. Iman Faliq! Lelaki itu juga memiliki lekuk yang sama tetapi di sebelah kanan.

“Amboi! Kita belum pun sampai, Zarif dah order?” giat Nur Imanina yang sudah membulatkan matanya menoleh ke arah Zarif Aimin.

“Zarif nak dua mama.” Jawab Si kecil itu lagi. Nur Imanina pula sudah menggelengkan kepala.

Nur Imanina memilih untuk ke restoren makanan segera yang terdapat di dalam pusat membeli-belah terhampir. Mudah untuk dia menghantar si kecil itu nanti. Sebelum turun dari kereta, Nur Imanina sempat menghubungi Datin Farah untuk memberitahu dia membawa si kecil itu makan terlebih dahulu.

“Okay jom.” Ajak Nur Imanina sambil membuka pintu kereta di sebelah tempat duduk Zarif Aimin. Dia memimpin si kecil itu masuk ke pusat membeli-belah itu dan terus ke zon medan selera. Di situlah terdapat pelbagai jenis restoren makanan segera. Nur Imanina memilih meja yang paling hampir dengan kaunter pembayaran.

“Zarif tunggu sini tau. Jangan pergi mana-mana. Mama Iman pergi beli. Kalau jumpa orang tak kenal mama ajar apa?” tanya Nur Imanina mengingatkan si kecil.

“Jerit kuat-kuat.” Balas si kecil itu penuh yakin.

“Good. Ingat, jangan pergi mana-mana. Tunggu sampai mama datang.” Pesan Nur Imanina sebelum berlalu ke kaunter pembayaran. Dari situ dia mudah memerhatikan Zarif Aimin. Perasaan risau tetap ada walaupun dia tahu si kecil tidak akan ingkar dengan arahannya.

Tidak sampai sepuluh minit Nur Imanina sudah kembali ke meja. Dia mengajak Zarif Aimin ke meja lain yang lebih selesa dan tidak terlalu hampir dengan tempat pejalan kaki.

Nur Imanina hanya membeli set ayam goreng beserta air milo buat Zarif Aimin. Manakala dia hanya memilih set kentang goreng.

“Jom kita cuci tangan dulu.” Ujar Nur Imanina setelah meletakkan dulang makanan di atas meja. Dia membawa Zarif Aimin ke singki.

“Okay, baca doa dulu baharu makan.” Peringat Nur Imanina setelah meletakkan pinggan yang berisi dua ketul ayam bahagian peha seperti yang diminta si kecil itu tadi di hadapan Zarif Aimin.

“Okay mama.” Jawab Zarif Aimin riang. Si kecil itu menadah tangan dan membaca doa makan.

“Makan elok-elok.” Pesan Nur Imanina apabila si kecil itu mula mengambil seketul ayam. Si kecil itu hanya tersengih menunjukkan barisan giginya yang putih bersih. Nur Imanina leka memandang si kecil itu makan dengan penuh berselera. Sesekali matanya memandang ke sekitar restoren yang sudah agak lengang memandangkan waktu makan tengah hari telah pun tamat. Jus oren di hadapannya disedut perlahan. Sesekali tangannya mengelap mulut Zarif Aimin yang comot.

“Mama Iman, nah!” Zarif Aimin menyuap secebis ayam kepada Nur Imanina. Jika dilihat pemandangan itu saling tidak tumpah seperti anak dan ibu. Nur Imanina sabar melayani kerenah Zarif Aimin. Sesekali tawa si kecil itu pecah apabila Nur Imanina mengusiknya.

“Zarif, nak air lagi ke?” tanya Nur Imanina apabila melihat cawan kertas yang tadinya penuh telah pun kosong.

“Nak.” Balas Zarif Aimin yang sentiasa tersengih. Cepat benar hilang rajuknya tadi apabila mendapat apa yang disukainya.

“Zarif tunggu sini, Mama Iman pergi beli tau. Makan elok-elok kat sini. Kalau ada apa-apa, Zarif datang kat mama okay?” pesan Nur Imanina sebelum berlalu.

“Okay mama!” Zarif Aimin sudah mengambil ketul ayam yang kedua. Leka dia mengunyah.

Elok sahaja ayam goreng bahagian peha itu sudah kelihatan tulang, Nur Imanina kembali dengan secawan lagi air milo buat Zarif Aimin. Sisa ayam di tepi mulut si kecil itu dilap lembut. Nur Imanina menghabiskan pula beberapa potongan wedges kentang goreng yang masih berbaki.

“Papa Iman!” jerit si kecil tiba-tiba membuatkan Nur Imanina yang sedang menyedut jus oren tersedak.

“Apa Zarif ni jerit-jerit.” Tegur Nur Imanina sambil mengelap mulutnya. Mujur juga air yang diminum tidak tersembur ke wajah si kecil itu.

“Tu! Papa Iman.” Tunjuk Zarif Aimin seraya turun dari kerusi mendapatkan lelaki yang dimaksudkan itu.
Nur Imanina pantas menoleh kerana dia duduk membelakangkan pintu masuk restoren itu. Dilihat lelaki itu berjalan bersama seorang gadis cantik berkebaya sendat melewati depan restoren itu. Nur Imanina hanya diam memerhati dari jauh Zarif Aimin menegur sendiri bapa saudaranya itu. Kali ini dilihat mata Iman Faliq mencari kelibatnya apabila Zarif Aimin sudah pun berada dalam dukungan. Nur Imanina cepat melarikan matanya apabila pandangan matanya bertembung dengan Iman Faliq. Kini, lelaki itu menghampirinya pula.

“Hai Mama Iman!” tegur Iman Faliq dengan senyuman di bibir.

“Err… hai!” Nur Imanina cuba memaniskan wajahnya. Tidak selesa bertemu dengan lelaki itu. Ditambah pula gadis yang berdiri di sisi lelaki itu memandang sinis kepadanya.

“Papa, duduklah sini.” Pinta si kecil yang menarik tangan Iman Faliq agar duduk di sebelahnya.

“Tak bolehlah sayang. Papa dengan Aunty Lana ada meeting lepas ni. Zarif makan aja dengan Mama Iman okay.” Lembut Iman Faliq menolak permintaan anak saudaranya itu.

Nur Imanina hanya diam memandang keduanya itu berbual mesra. Sesekali matanya singgah ke wajah Iman Faliq yang bersih itu. Lelaki yang masih lengkap dengan pakaian kerja itu tidak lokek dengan senyuman. Gadis yang bersama-sama Iman Faliq tadi pula sudah menunggu di luar. Dia perasan sesekali gadis itu menjeling tajam ke arahnya namun dia buat tidak nampak.

“Err…Encik Iman, thanks for that flower.” Ucap Nur Imanina teragak-agak. ‘Dasar lelaki. Dah ada pilihan hati, ada niat berkenalan dengan perempuan lain pula!’ umpat hatinya. Dia pasti Iman Faliq mempunyai hubungan yang istimewa dengan gadis yang bersamanya tadi. Jika tidak, masakan gadis itu memandang sinis kepadanya. Pasti tidak menyenangi dirinya bersama Iman Faliq.

“Kasih diterima.” Balas lelaki dengan senyuman lebar. “Maknanya sekarang kita bolehlah berkawan kan?” tanya Iman Faliq dengan kening sebelah yang terjungkit.

“Err.. Encik Iman, saya rasa girlfriend Encik tu dah penat tunggu kat luar sana tu.” Nur Imanina sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan Iman Faliq sebaliknya mengingatkan tentang gadis yang datang bersama dengannya tadi.

“Ya Allah. Lupa pulak.” Lelaki itu menepuk dahinya sendiri. “Saya sebenarnya nak cepat ni. Next time kita jumpa lagi. Zarif, Papa Iman nak balik office ni. Jangan nakal-nakal. Jaga Mama Iman untuk papa.” Sambung Iman Faliq lantas berdiri.

“Okay papa.” Balas si kecil.

“Okay? Papa Iman ajar cakap apa kalau kita buat promise?”

“InshaAllah papa.” Perbetul si kecil itu.

“Okay. Good! Kita jumpa kat rumah nanti okay!” balas Iman Faliq seraya menghadiahkan kucupan ke pipi munggil Zarif Aimin. “Mama Iman, nice to meet you. And I hope, kita boleh jumpa lagi lepas ni.” Ujar Iman Faliq mesra.

 “Err.. InshaAllah…” Balas Nur Imanina berjanji. Dia tidak mempunyai pilihan. Takkan dia mahu menjawab ‘tak boleh’. Dikatakan sombong pula nanti. Apatah lagi dia sendiri bekerja dengan ibu lelaki itu.

“Drive carefully…” pesan lelaki itu lagi sebelum berlalu. Nur Imanina pula hanya membalas dengan senyuman tawar.
………….

“Siapa perempuan tu?” tanya Zetty Hirlana dingin selepas lelaki di sisinya hanya diam membisu ketika masuk ke dalam kereta tadi. Lelaki itu tetap tenang memandu seperti selalu.

“None your business.” Jawab Iman Faliq selamba. Sedikit pun dia tidak menoleh ke sisi. Zetty Hirlana merengus kasar.

“Perempuan tu takda kena mengena dengan you. So, you tak payah nak sibuk ambik tahu.” Sambung Iman Faliq lagi faham benar dengan perangai wanita di sisinya itu.

“I tanya aja pun tak boleh ke?” tanya Zetty Hirlana lagi tidak puas hati. Dia perasan mata Iman Faliq ketika memandang perempuan yang dipanggil Mama Iman tadi. Bukan main mesra lagi dilihatnya.

“I rasa takda perlunya you tahu masalah peribadi I.” jawab Iman Faliq yang tidak suka orang lain masuk campur hal peribadinya.

“Okay! Fine! Huh!” Zettey Hirlana mendengus lagi. Geram dengan Iman Faliq yang tidak mahu berterus-terang.

Iman Faliq menjeling sekilas tetapi tetap beriak selamba. Bukan dia tidak tahu wanita di sisinya itu pantang melihatnya menegur wanita lain. Mulalah tidak senang duduknya. Ada sahaja yang akan ditanya dan disoal. Macam polis pencen gayanya.

6 comments:

Anonymous said...

cemburu dah..uhuhuhu...best nyer...sambung lg...hehhehe

MaY_LiN said...

isk..xlejadi ni..
da ade pesaing..

Anonymous said...

kasih diterima yea en. iman... :)

Ehem said...

hee...

mizz acu said...

oh yaaa... now i remember!! zetty hirlana.. heheheh.. perahsantan cm papa iman dia punya jer.. :P

erm, zarif.. auntie like drumstick too ;)

Atty Ismail said...

Oh pantun 2 kerat yang comel...hahahahhahahha