Dec 7, 2011

TDK_bab 3

“Iman…” tegur Datin Farah lalu duduk di sisi anak lelakinya.

Lama dia memerhati kelakuan anak lelakinya itu selepas makan malam tadi. Duduk bersendirian di taman orkid mini miliknya. Farihin Iman bermalam di rumah keluarga mertuanya hujung minggu itu membuatkan rumahnya sunyi dari gelak tawa Zarif Aimin. Jika tidak, kecoh rumah itu apabila Iman Faliq suka benar menyakat si kecil sehingga menangis.

Iman Faliq yang leka merenung ke dada langit dipenuhi gemerlapan bintang, menoleh sekilas ke wajah mamanya dengan senyuman tawar.

“Jauh menung… Lepas balik hari tu, mama tengok Iman banyak sangat termenung. Kenapa? Dah jumpa ke apa yang dicari?” tanya Datin Farah yang begitu perihatin hal anak-anak.

“Belum ma..” balas Iman Faliq beserta keluhan halus.

“Hmm… banyakkan bersabar lagi Iman. InshaAllah Iman akan jumpa.” Pujuk Datin Farah yang faham pencarian Iman Faliq selama ini.

“Ma, macam mana kalau Iman tak sempat nak tebus balik dosa-dosa Iman pada dia.” Keluh Iman Faliq. Dosa lalu begitu menyesakkan dada. Lena malamnya sering sahaja dihantui dosa yang pernah dilakukan dahulu.

“Iman janganlah cakap macam ni. Tu semua kuasa Dia. Kalau dah ditakdirkan memang Iman tak dapat jumpa dia lagi, apa yang kita boleh buat. Iman dah usaha kan? Iman banyakkan berdoa. InshaAllah… Dia akan sentiasa bantu umatNya yang sentiasa taat pada perintah Dia…” lembut Datin Farah memujuk.

“Tapi ma… Iman tak tenang selagi tak dapat jumpa dia.” Adu Iman Faliq seraya meraup wajahnya beberapa kali.

“Hmm.. Macam ni. Kalau Iman yakin yang dia masih ada lagi, Iman banyakkan bersabar, banyakkan berdoa. InshaAllah. Dia akan sentiasa bantu kita Iman. Bantuan Dia sentiasa dekat dengan kita kan?” ujar Datin Farah menenangkan hati.

“Ma… Kalau Iman jumpa dengan dia, Iman sanggup kahwin dengan dia ma. Iman akan tanggung apa yang Iman dah pernah buat pada dia dulu.” Sahut Iman Faliq berjanji.

“Buatlah apa yang Iman rasa baik untuk diri Iman. Mama tak pernah nak halang. Arwah papa dulu pun memang suruh Iman bertanggungjawab atas apa yang dah berlaku kan. Cuma masa tu…”

“Iman yang degil. Sebab Iman, papa tinggalkan kita kan ma… Sebab Iman tak nak dengar kata papa dulu. Kalau tak, mesti papa tak..”

“Jodoh pertemuan, ajal maut semua kat tangan Dia. Siapa kita nak lawan Iman. Mama redha. Allah lebih sayangkan papa.” Potong Datin Farah. Ada air jernih bertakung di tubir mata dua beranak itu apabila mengingat kembali peristiwa pahit yang pernah berlaku.

“Maafkan Iman ma…” ucap Iman Faliq seraya memeluk erat Datin Farah. Dia tidak henti menyalahkan dirinya atas pemergian papa tersayang. Kerana dirinya, papa meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya. Mama terpaksa melalui hari-hari mendatang keseorangan. Tanpa kasih sayang seorang lelaki bernama suami.

“Sudahlah tu Iman. Yang dah berlaku tu, sudahlah. Mama dah tak nak ingat semua tu lagi. Cuma sekarang ni, mama nak anak-anak mama hidup bahagia. Lebih-lebih lagi Iman.” Ujar Datin Farah seraya meleraikan pelukan. Air jernih yang menuruni pipi anaknya itu diseka lembut. “Iman sekarang dah 32 tahun. Umur bukan makin muda lagi. Kalau boleh, mama nak sangat tengok Iman hidup bahagia dengan orang yang Iman sayang. Yang boleh jaga makan pakai Iman. Lahirkan anak-anak Iman.” Tambah Datin Farah lagi yang begitu mengharap dia dapat melihat anak sulungnya itu menamatkan zaman bujang sebelum dia menutup mata. Tapi dia tahu, impiannya itu sukar digapai kerana anaknya itu mempunyai impian yang lebih penting. Namun, dia tetap mendoakan apa yang dicari oleh Iman Faliq selama ini akan berakhir.

“Mama tahu kan selagi Iman tak jumpa dia, Iman tak dapat nak buat semua tu…” Iman Faliq tahu harapan mamanya yang satu itu.

“Yalah… mama faham. Mama takkan paksa Iman. Mama cuma nak anak mama ni hidup bahagia nanti kalau pun mama dah takda lagi.” Ujar Datin Farah sayu. Dia menyapu perlahan air mata yang menuruni pipi.

“Ma, jangan cakap macam tu ma. Bagilah Iman sikit lagi masa ma. Lepas ni Iman nak cari dia betul-betul. Mama doakanlah Iman ma.” Pujuk Iman Faliq yang tidak sampai hati melihat mamanya menangis kerana dirinya lagi. Cukup dia telah mengecewakan arwah papanya dahulu. Dia tidak akan mengecewakan mamanya pula.

“Mama selalu doakan Iman.” Balas Datin Farah seraya memeluk erat tubuh Iman Faliq. Tanpa segan silu, air mata Iman Faliq menitis lagi di hadapan mamanya. Mamanya begitu banyak berkorban demi kebahagiaan dirinya. Menjadi penguat kejayaan yang diraih selama ini.

“Iman…” panggil Datin Farah selepas keduanya tenang kembali. Dua beranak itu menikmati panorama langit malam. Beribu-ribu bintang yang berataburan tak terkira nilainya. Ada yang begitu terang memancarkan cahaya dan ada pula yang mula hilang sinarnya.

“Hmm…” gumam Iman Faliq. Matanya masih tetap ke dada langit. Fikirannya jauh menerawang dan sesekali wajah ayu Nur Imanina melintas di ruang mata bersilih ganti dengan wajah yang dicari selama ini. Ada persamaann di kedua wajah namun dia tidak dapat untuk pastikan itu.

“Kalau ditakdirkan orang yang Iman cari tu dah takda atau sudah pun kahwin dengan orang lain, nak tak Iman terima pilihan mama?” Duga Datin Farah. Spontan itu juga Iman Faliq menoleh.

“Mama dah ada calon untuk Iman?” tanya Iman Faliq. Dia mengerutkan kening mendengar kata-kata unjuran mamanya. Datin Farah tersenyum kecil.

“Ada. Dah lama mama suka kat dia. Tapi, yalah… Mama tahu Iman takkan terima selagi apa yang Iman cari tak jumpa.” Jawab Datin Farah dengan keluhan halus.

“Hmm… Boleh Iman tahu siapa calon mama tu?” tanya Iman Faliq lemah. Matanya sudah kembali ke dada langit.

“Nur Imanina.” Balas Datin Farah sepatah.

“What?” Iman Faliq separa terkejut mendengar sepotong nama yang meniti bibir mamanya. Mama ni macam tahu-tahu aja aku fikir pasal siapa. Bisik hatinya. Iman Faliq turut sama mengukir senyum kecil apabila melihat segaris senyuman meniti bibir Datin Farah. Dia tidak pasti apa yang dirasakan saat itu. Sama ada suka atau tidak dengan nama yang meniti bibir mamanya. Apa yang pasti, pertemuan kedua membuatkannya berasa sesuatu di dalam hatinya.

“Kenapa Nur Imanina ma?” sengaja Iman Faliq menduga hati tua Datin Farah. Dia ingin mendengar pendapat mamanya tentang seorang gadis yang berjaya mencuri hati wanita itu. Naluri seorang ibu biasanya tidak salah menilai.

“Erm,… Macam-macam yang mama suka pasal Iman. Kecantikan yang dia miliki tu bonus bagi mama. Tapi yang paling penting, mama suka cara dia bawa diri dia. Nampak ayu, tapi tegas. Pandai hormatkan orang tua, sukakan budak-budak. Silap hari bulan, hebat bersilat di dapur tu.” Jelas Datin Farah memuji Nur Imanina.

“Amboi! Mama ni macam nak melobi Iman aja ni? Baik sangat ke dia ma?” duga Iman Faliq lagi.

“Sebab baiklah mama cakap. Kalau tak, sorry. Kalau takda ciri-ciri tu, jangan haraplah nak jadi calon menantu mama.” Balas Datin Farah masih dalam senyuman.

“Demand betul mama ni.” Getus Iman Faliq yang turut sama tersenyum. Apa sahaja kemahuan mamanya akan diturutkan demi melihat senyuman sentiasa bergayutan dibibir mamanya.

Dia sendiri seperti mula menyukai gadis bernama Nur Imanina itu. Gadis itu ada ‘sesuatu’. Jika sebelum ini liat benar dia membiarkan hati untuk memberi sekeping perasaan istimewa kepada mana-mana wanita yang sentiasa meraih perhatiannya. Tetapi, dengan gadis bernama Nur Imanina ini lain benar tarikannya. Wajah itu cukup mendamaikan hatinya walaupun gadis itu dilihat agak sukar memandang ke wajahnya ketika makan di meja yang sama minggu lalu. Dia yang terpaksa tertoleh-toleh mencuri pandang ke wajah gadis itu. Ketika menghantar Zarif pula, mata itu lebih gemar memandang kasut dari wajahnya.

“Yalah… kalau tak demand, nanti anak mama ni tak teruruslah. Sampai bila Mak Som dengan mama nak jaga makan pakai Iman. Kan lebih baik tangan isteri yang uruskan tu semua untuk Iman.” Ujar Datin Farah seraya memeluk bahu anak lelakinya itu. Sedaya upaya dia akan cuba memujuk Iman Faliq sekiranya apa yang dicari selama ini telah menemui jalan buntu. Dia tidak akan membiarkan Iman Faliq hidup keseorangan selepas ketiadaannya nanti. Dia teringin sekali melihat anak lelakinya itu hidup berumahtangga.

“Hmm… InshaAllah ma. Iman takkan menolak siapa pun calon mama. Tapi, biarlah Iman selesaikan dulu masalah Iman okay?” balas Iman Faliq cuba bertolak-ansur. Dia akan menyelesaikan masalahnya secepat mungkin demi tidak menghampakan harapan mamanya itu. “Ada jodoh tak ke mana kan ma?” lanjut Iman Faliq.

Datin Farah tetap dengan senyuman. Jawapan Iman Faliq cukup menyenangkan hatinya. Cukup yakin dengan percaturan Allah pada setiap hambaNya. Dia juga tidak akan sesekali memaksa anaknya itu mengikut segala kemahuan dirinya tanpa memikirkan kebahagiaan sendiri.

“Iman dah betul-betul cari ke kat kampung dia?” ujar Datin Farah setelah masing-masing mendiamkan diri.

“Iman dah cari ma. Tapi rumah tu dah kosong. Iman ada tanya rumah yang dekat-dekat situ. Dia orang kata tuan rumah dah pindah.” Jawab Iman Faliq lemah. “Hmm… salah Iman ma. Dengan nama dia pun Iman tak tahu. Gambar apatah lagi. Dah lapan tahun ma. Agaknya rupa pun dah banyak berubah.” Keluh Iman Faliq. Wajah sendu seorang gadis terlayar di ruang mata.

“Hmm..Bukan ke Iman pernah kata abang dia pernah satu kampus dengan Iman dulu?” tanya Datin Farah lagi.

“Ada ma. Iqbal. Dulu Iman kenal-kenal macam tu aja ma. Tapi baru tadi kawan Iman cakap dia dah jumpa tempat kerja Iqbal tu. Iman ingat minggu depan Iman nak jumpa dia sendiri.” Terang Iman Faliq.

“Alhamdulillah… See? Dia bantu permudahkan urusan Iman kan? Syukur Alhamdulillah…” ucap Datin Farah apabila berasakan pencarian anaknya itu mempunyai sinar baharu.

“Tapi kalau…” Iman Faliq tidak jadi menghabiskan ayatnya. Dalam kepala sudah memikirkan perkara yang mengecewakan hatinya sendiri.

“Iman dah berusaha yang terbaik kan. Tawakal. Bersabar. Kalau pun budak tu dah jadi milik orang atau dah takda sekalipun, Iman dah menyesal dengan apa yang Iman buat sebelum ni. Dia Maha Pengampun Iman. InshaAllah. Iman jangan risau okay? Mama doakan usaha Iman kali ni, biarlah yang terakhir. InshaAllah…” Balas Datin Farah menenangkan. Terlepas lagi keluhan halus dari bibir Iman Faliq.

“Err… Ma, boleh tak Iman tanya sikit pasal Iman?” tanya Iman Faliq mengukir senyum.

“Tanya ajalah apa yang Iman nak tahu pasal calon menantu mama tu.” Jawab Datin Farah seraya tersengih apabila Iman Faliq berminat juga ingin mengetahui tentang Nur Imanina.

“Amboi mama. Dah iktiraf jadi calon menantu terus.” Kata Iman Faliq. Datin Farah hanya tersengih.

“Dia dah lama kerja dengan mama kan? Tapi, kenapa baharu hari tu Iman jumpa dia? Sebelum ni tak pernah nampak pun. Kak Ema aja yang Iman pernah jumpa.” Tanya Iman Faliq tanpa berselindung lagi.

“Memang dah lama dia kerja kat taska tu. Iman aja yang tak pernah nak ambik tahu pasal taska mama tu. Iman tu busy sangat dengan hal Iman. Sejak Zarif masuk sana, Iman selalu hantar Zarif balik. Tapi, tak pernah terserempak pun dengan Iman. Hari masa Iman balik tu, yang makan sekali dengan dia tu, itulah kali pertama Iman masuk rumah kita. Sebelum ni mama ada ajak. Tapi dah banyak kali dia menolak. Tapi tak sangka pulak hari tu boleh terserempak dengan Iman. Agaknya dia memang jodoh Iman kot…” usik Datin Farah tetapi Iman Faliq mengerutkan keningnya pula.

“Ma, dekat 10 kali mama sebut nama Iman. Sampai Iman tak faham.” Balas Iman Faliq sebelum tersengih. Sempat dia mengira jumlah nama Iman yang digunakan. Datin Farah menampar peha Iman Faliq perlahan. Tahu anak lelakinya itu mengusiknya semula.

“Kita panggil dia Mama Iman lah ma. Macam best aja.” Sambung Iman Faliq lagi yang tersengih-sengih.

“See? Macam mana mama tak kata dia jodoh kamu. Sorang Papa Iman, sorang Mama Iman. Dah kenalah tu.” Usik Datin Farah lagi.

“Ada-ada aja mama ni lah… Entah-entah dia dah ada boyfriend ma. Mama aja yang sibuk nak kenenkan Iman dengan dia.” Balas Iman Faliq. Padanya, dia bukan mudah untuk sukakan seorang wanita selepas dosa yang dilakukan dahulu selagi ianya tidak ditebus. Ramai staf wanita di syarikatnya yang cuba merapati. Tetapi dia sedikit pun tidak tergoda walaupun sedaya upaya mereka itu menarik perhatiannya. Tetapi tidak pada Nur Imanina yang baharu ditemui dua kali. Ada sesuatu yang begitu menarik perhatiannya untuk mengenali wanita itu dengan lebih dekat.

“Sebab dia takda boyfriendlah mama berani promote dia pada Iman.” Ujar Datin Farah lagi.

“Ya ke takda? Macam tak percaya aja. Takkanlah muka cantik macam tu takda boyfriend. Iman tak percayalah ma. Perempuan sekarang ni bukan macam perempuan dulu-dulu. Sekarang ni, bukan lelaki yang cari perempuan. Perempuan sekarang yang sibuk cari lelaki ma.” Balas Iman Faliq yang agak meragui kata-kata Datin Farah.

“Betullah mama cakap. Dia sendiri yang cakap dengan mama dia takda yang special. Mak Som pun dengar. Kalau tak percaya, Iman tanya Mak Som. Bila mama kata nak kenalkan dia dengan someone, dia terus menolak.” Jelas Datin Farah lagi.

“Ha, dia tolak tu maknanya dah ada la tu ma…”

“Bukan sebab dia dah ada. Dia kata tak sedia nak kahwin lagi.” Nafi Datin Farah.

“Hmm… Agaknya dia tak jumpa lagi macam yang dia nak kot..” Iman Faliq membuat jangkaan. “Tadi mama kata mama nak kenalkan dia dengan someone. Siapa someone yang mama nak kenalkan tu?” tanya Iman Faliq tiba-tiba. Dilihat Datin Farah sudah tersenyum-senyum. Sengaja membuat anak lelakinya itu ternanti-nanti.

“Senyum pulak mama ni. Tahulah senyuman mama tu yang buat papa sayang dengan mama. Siapa yang mama nak kenalkan tu?” desak Iman Faliq. Terasa ingin tahu siapakah gerangan lelaki yang dimaksudkan oleh mamanya buat Nur Imanina. Rasa sedikit tercabar pula hatinya tiba-tiba. Nur Imanina seperti mengelak dari bertemu muka dengannya. Gadis itu kerap kali cuba mengelak dari memandang wajahnya. Mata itu lebih banyak menunduk dari singgah ke wajahnya. ‘Tak cukup hensem agaknya aku ni.’

“Tak payahlah Iman tahu. Mama pun tak cakap lagi dengan dia.” Balas Datin Farah masih ingin berteka-teki dengan Iman Faliq.

“Ala… Bagitahu ajalah ma. Iman nak tahu jugak. Hensem ke tidak orang tu. Lagi hensem dari anak mama ni ke. Lagi baik dari anak mama ni ke.” Balas Iman Faliq dengan senyuman. Dia cukup yakin dengan dirinya selama ini. Jika dia tidak mempunyai ciri-ciri seorang lelaki idaman wanita, masakan staf wanita di pejabatnya itu berusaha sedaya upaya mendekati dirinya.

“Lain kalilah mama bagitahu. Jomlah kita masuk. Mama dah sejuk duduk lama-lama kat luar ni.” Ujar Datin Farah seraya bangun menarik sama tangan anak lelakinya. Sengaja dia membiarkan anaknya itu tertanya-tanya sendiri. Lambat pula otak anaknya itu berfungsi mala mini. Datin Farah tersenyum lagi.

“Ala ma…” rungut Iman Faliq namun Datin Farah tetap tidak mahu menjawab.
……..

“Zarif, jangan lupa tau bagi pada Mama Iman.” kata Iman Faliq mengingatkan anak saudaranya itu entah untuk ke berapa kali pun dia sendiri tidak pasti.

“Okay papa.” Balas Zarif Aimin tidak lokek dengan senyuman yang sentiasa terhias di bibir kecil itu.

“Jangan lupa pesan papa.” Pesan Iman Faliq lagi dengan suara yang perlahan kerana takut di dengari oleh ahli keluarga lain walaupun hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik itu.

Awal pagi lagi dia sudah bangun untuk menyiapkan Zarif Aimin pergi ke sekolah sehingga Farihin Iman sendiri pelik. Iman Faliq mengambil keputusan untuk merapati Nur Imanina selepas beberapa hari lalu mamanya memberitahu akan memperkenalkan calon suami yang sesuai buat gadis itu. Walaupun tidak pasti lagi akan perasaannya sendiri dan status sebenar diri gadis itu, tidak salah rasanya untuk dia menghulur salam persahabatan. Lagi pula, Nur Imanina merupakan pekerja mamanya.

“Okay…” balas si kecil itu lagi.

Dari hujung rambut, sehinggalah ke hujung kaki tubuh kecil itu, Iman Faliq sediakan walaupun Zarif Aimin sudah mampu untuk melakukannya sendiri.

“Kalau Mama Iman tanya siapa yang bagi, Zarif jawab apa?” duga Iman Faliq sambil menyapu gel rambut di kepala anak saudaranya itu.

“Papa Iman bagi.” Jawab si kecil jujur.

“Okay. Good! Hmm… dah siap dah rambut anak papa ni. Hensem dah. Hensem macam siapa ya anak papa ni?” soal Iman Faliq kepada si kecil yang tersenyum.

“Papa Iman!” sorak Zarif Aimin beserta senyuman lebar. Iman Faliq pula sudah terkekeh ketawa. Anak kecil itu sentiasa disogokkan dengan kata-kata manis sehingga Farihin Iman dan suaminya cemburu dengan dirinya. Segala permintaan si kecil itu akan diturutkan. Datin Farah juga sering memarahinya kerana terlalu manjakan anak saudaranya yang seorang itu.

“Anak papa ni memang hensem macam papa.” Balas Iman Faliq yang lebih memuji dirinya sendiri. Anak kecil itu masih tidak memahami apa-apa pun. Iman Faliq tersenyum sendiri. “Okay, jom turun. Breakfast dulu. Hari ni mama Zarif hantar Zarif tau. Papa Iman busy pagi ni.” Ujar Iman Faliq sambil mendukung si kecil menuruni tangga.

“Okay papa.” Jawab si kecil itu akur.

“Amboi cucu Nek Wan pagi ni. Wangi sangat hari ni.” Sapa Datin Farah selepas mengucup pipi gebu Zarif Aimin yang duduk di sebelah Iman Faliq. “Ada apa-apa ke Iman?” tanya Datin Farah pula apabila melihat Iman Faliq yang hanya tersengih. Kenal benar dengan bauan yang dipakai oleh si kecil itu merupakan wangian yang sama digunakan oleh Iman Faliq.

“Hmm… adalah tu yang diumpannya anak E’in ni ma.” Sahut Farihin Iman yang muncul dari ruang dapur membawa semangkuk nasi goreng. “Sayang, Papa Iman suruh sayang buat apa hari ni?” tanya Farihin Iman kepada anak terunanya yang seorang itu.

“Rahsia kan Zarif. Mana boleh bagitahu.” Sampuk Iman Faliq pula. Zarif Aimin tersengih lagi.

“Abang ni manjakan sangat anak E’in ni.” Kata Farihin Iman lagi. Dia tidak dapat nafikan hubungan anaknya dan abangnya itu memang erat. Ke mana sahaja akan dibawa si kecil itu sehingga ada yang menyatakan Zarif Aimin adalah anak Iman Faliq kerana wajah mereka yang mempunyai persamaan. Keduanya mempunyai satu lekuk di pipi masing-masing. Kata mama masa mengandung dahulu terkenan dengan Iman Faliq agaknya. Disebabkan itu hubungan mereka lebih akrab.

“Ala… biarlah. Bukan abang buat apa pun. Kan Zarif?” jawab Iman Faliq selamba. Si kecil itu pula hanya tersengih. Farihin Iman pula sudah tidak mampu untuk berkata apa. Sudah banyak kali dia mengingati abangnya itu namun tetap juga begitu. Sehingga perangai si kecil itu juga terikut-ikut dengan Iman Faliq

“Abang jangan nak ajar anak E’in yang bukan-bukan…”Farihin Iman memberi amaran.

“Alah. E’in ni… macamlah tak percayakan abang.. Jangan risau okay? Abang takkanlah nak ajar yang bukan-bukan pada anak buah kesayangan abang ni,..” balas Iman Faliq sambil menyambut secawan teh yang dihulurkan oleh Farihin Iman.

6 comments:

Wawa said...

yeay!!! suka part Iman Faliq dengan anak buah dia tu... comel betul ^__^

Anonymous said...

Best........!!!

Anonymous said...

bestnya ada new n3........rindu la kat iman.thanks cik arsha........

Anor said...

best nak lagi...

MaY_LiN said...

ape papa iman da buat..??
pandai papa iman gula2kan zarif

Atty Ismail said...

Amboi Papa Iman...Bodek tahap dewa 2...