“Abang, subuh.” kejut Azila
sekali lagi setelah dia selesai bersolat subuh sendiri.
“Abang…” panggil Azila lagi
sambil menggoncang perlahan bahu Afrizal.
“Hm..” terlalu perlahan suara
Afrizal hingga tidak kedengaran.
“Abang, bangun subuh. Terlewat
nanti abang pergi kerja.” kata Azila lagi apabila perasan ada riak kecil di
wajah suaminya.
“Abang.. bukaklah mata tu.. habis
nanti waktu subuh bang..” tutur Azila lembut sambil melipat kain telekung yang
dipakai tadi.
“Ila..” jawab Afrizal perlahan.
Suaranya seperti terkepung di kerongkong sahaja.
“Abang… bangunlah… lambat nanti
abang pergi kerja.” Omel Azila lagi seraya mendapatkan Afrizal yang masih
terbaring di katil.
“Ila..” panggil Afrizal lagi
sekuat hati tetapi dirasakan suaranya tetap sama.
“Abang… kenapa ni?” tanya Azila
yang mula tidak sedap hati melihat keadaan suaminya yang berpeluh-peluh.
Tangannya terus menggenggam tangan Afrizal. Sejuk!
“Ila.. abang sakit kepala.” Kata
Afrizal lemah dengan mata masih terpejam.
“Abang, kita pergi klinik ya?”
balas Azila yang mula resah melihat keadaan suaminya begitu. Belum pernah
keadaan suaminya begitu teruk apabila sakit kepala.
Afrizal hanya menggeleng.
“Ambik ubat abang.” Katanya lagi.
Kepalanya terasa berdenyut-denyut seperti mahu pecah.
Tanpa menanti lama. Azila terus
keluar bilik mengambil segelas air dan ubat yang dimaksudkan.
“Abang, jomlah Ila hantar pergi
klinik. Risau Ila tengok abang macam ni.” Kata Azila lagi yang tidak senang
melihat keadaan suaminya begitu. Gelas yang dibawa tadi disuakan kepada Afrizal
setelah membantu lelaki itu untuk menegakkan tubuh.
“Ila, tolong abang bangun. Abang
nak solat.” Kata Afrizal selepas menelan ubat yang diberikan oleh isterinya.
“Abang tak payahlah solat kalau
abang tak larat.” Balas Azila yang tidak sampai hati melihat suaminya agak
susah untuk menegakkan tubuh.
“Abang boleh.” kata Afrizal yang
cuba turun dari katil sendiri. Kedua tangannya mencengkam kuat tepi katil untuk
berdiri namun gagal. Terasa tenaganya seperti hilang semuanya. Dia menjadi
langsung tidak berdaya. Kepala yang terasa berdenyut pun seperti tidak mampu
lagi ditegakkan.
“Abang boleh ke ni?” tanya Azila
yang sedaya upaya membantu Afrizal berdiri dengan betul.
“Ya Allah..” itu sahaja yang
terluah di bibirnya apabila Afrizal rebah kembali ke katil. Memang kudrat
wanitanya tidak mampu menampung berat Afrizal walaupun tubuh itu semakin kurus.
“Abang…” Azila kelam-kabut
membantu suaminya itu untuk bangun kembali.
“Ila..” tutur Afrizal dengan mata
terpejam.
“Abang… Ila tak sengaja..” kata
Azila yang serba salah membuatkan suaminya itu rebah kembali. Mujur hanya di
atas katil. Jika di atas lantai tadi, pasti lain pula yang akan terjadi kepada
suaminya itu.
“Abang tunggu aja sini. Biar Ila
bawak air ke sini.” Lanjut Azila sebaik membetulkan semula kedudukan Afrizal di
atas katil.
Dia terus bergegas keluar bilik
untuk mengambil bekas besar bagi memudahkan suaminya itu mengambil wuduk.
Kemudian Azila kembali semula dengan satu baldi yang berisi air dan satu bekas
plastik besar. Dia juga turut menyediakan kelengkapan untuk suaminya itu
mencuci muka terlebih dahulu. Afrizal disandarkan ke kepala katil kerana lelaki
itu langsung tidak berdaya untuk menegakkan tubuh sendiri tanpa bersandar.
Berus gigi dihulurkan kepada lelaki itu namun tidak bersambut.
“Abang… berus gigi dulu.” kata
Azila sambil meletakkan berus gigi itu di tangan Afrizal. Rupa-rupanya suaminya
itu terlena.
Afrizal cuba mengangkat berus
gigi yang diberi oleh isterinya tadi, namun berus gigi itu tiba-tiba terlepas
dari tangannya. Dirasakan tenaga untuk memegang berus gigi itu juga turut
hilang.
“Abang..” tutur Azila perlahan seperti
ingin menangis melihat keadaan suaminya yang tidak bertenaga itu.
“Ila…” kata Afrizal seperti
berbisik.
“Abang tidurlah dulu. Tak payah
solat.” putus Azila akhirnya. Melihat keadaan suaminya begitu, dia tahu Afrizal
tidak mampu untuk bersolat.
Azila tiada pilihan. Dia terus
membantu Afrizal untuk berbaring semula. Hampir sahaja airmatanya menitis
melihat Afrizal yang terus lena tidak berkutik sebaik kepalanya mencecah
bantal.
‘Ya Allah… Ujian apa yang cuba
Engkau turunkan kepadaku..” desis hatinya sebelum keluar membawa baldi dan
bekas air tadi.
***********
“Ila… Rizal dah bangun?” tanya
Puan Sahara saat menanti menantunya itu menyediakan makan tengah hari.
“Belum mak. Kejap lagi Ila
kejutkan dia makan tengah hari sekali.” Jawab Azila sambil menatang dulang
berisi lauk-pauk untuk diletakkan di atas meja makan.
“Along dengan adik mana?” tanya
Puan Sahara lagi yang terasa sunyi jika tidak mendengar suara kedua orang
cucunya yang rajin melayannya bercakap semenjak dia tinggal di rumah itu.
Perasaan bersalahnya kepada Azila
masih terkepung di dada. Tidak menyangka menantu yang dibenci itulah yang
sanggup menjaga makan pakainya. Segala keperluan diri, menantu itu jugalah yang
menguruskannya.
“Ada dekat depan tu mak.
Masing-masing kenyang lagi tu baru lepas minum susu. Mak makanlah dulu.” jawab
Azila lembut sambil menyendukkan nasi dan lauk masuk ke dalam pinggan. Dia
bersyukur kerana segala apa yang dimasak, ibu mertuanya itu terima seadanya.
Tiada lagi rungutan yang didengari.
“Erm..Ila.. Rizal macam mana? Mak
risau tengok dia macam tu aja. Dah tiga hari dia macam tu Ila.” Luah Puan
Sahara mengenai anak bongsunya. Afrizal tidak lagi keluar dari bilik sejak tiga
hari lalu. Masanya banyak dihabiskan dengan tidur sahaja. Terjaga hanya bila
mahu ke tandas dan kemudiannya akan menyambung lenanya semula.
“Ila dah tak tahu mak… Ila nak
bawak dia pergi klinik, tapi dia tak nak.” Balas Azila yang sudah melabuhkan
duduk di hadapan ibu mertuanya. Sedia untuk menyuapkan makanan kepada ibu
mertuanya itu memandangkan kedua belah tangannya masih belum cukup kuat untuk
memegang barang. Apabila memegang sudu untuk menyuap nasi, pasti sudu itu akan
terlepas dari tangan akhirnya. Azila yang tidak sampai hati melihat keadaan
itu, dia sendiri akan membantu untuk menyuapkan nasi.
“Ila… Ila jangan dengar cakap
dia. Bawak ajalah dia pergi klinik. Mintak tolong pada Shafiq. Ila nak angkat
sorang tak kuat. Mak yang dah tak guna ni pun tak boleh nak tolong Ila.
Menyusahkan Ila lagi ada la..” tutur Puan Sahara yang tidak mahu Azila
menanggung dua orang sakit di rumah itu dalam suatu masa. Sudahlah dia dibuang
anak-anak yang lain. Anak dan menantunya langsung tidak menjengahnya semenjak
dia beransur pulih.
“Jangan cakap macam tu mak. Mak
kan mak Ila jugak. Takda yang susahnya.” Balas Azila yang sedikit tersentuh
mendengar kata-kata ibu mertuanya. Selama ini dia ikhlas untuk melakukan
semuanya.
Puan Sahara tersenyum tawar.
Entah kenapa ketulusan menantunya yang seorang itu tidak dapat dilihat sebelum
ini. Hanya keburukan sahaja yang memenuhi ruang matanya.
“Ila…” tutur Puan Sahara perlahan
seraya tangannya menyentuh tangan Azila.
“Mak..” lantas Azila menggenggam
erat tangan ibu mertuanya itu.
“Ila baik sangat pada mak. Dulu
mak..” kata-kata Puan Sahara terhenti apabila berasakan airmatanya mula mengalir.
Tidak dapat menahan sebak di dada kerana kesungguhan Azila menjaganya sepanjang
dia sakit.
“Jangan cakap lagi benda dah jadi
mak. Ila tak kisah pun. Ila pun dah dapat mak Ila balik.” Balas Azila tulus
lalu membawa tangan ibu mertuanya itu sekilas ke bibir. Bergenang juga
airmatanya apabila teringat kembali apa yang pernah berlaku. Dia percaya hukum
Allah. Segala yang berlaku semuanya ada hikmah. Itu janjiNya.
“Ila janji dengan mak, Ila tak
tinggalkan mak boleh?” tutur Puan Sahara dalam linangan airmata.
“Ila nak pergi mana tinggalkan
mak? Ila akan selalu dengan mak selagi ada nyawa Ila. Ila janji.” Jawab Azila
lalu memeluk erat tubuh tua itu.
“Mak makan dulu ya… lepas ni Ila
nak kejutkan Abang Rizal pulak.” Sambung Azila seraya meleraikan pelukan. Wajah
tua yang dibasahi airmata itu disapu lembut dengan tapak tangannya.
Puan Sahara hanya menganggukkan
kepala. Tidak akan sesekali dia ingkari segala kata-kata menantunya itu kerana
dia tahu apa yang dilakukan semua demi kebaikan dirinya sendiri.
*********
“Kak, kalau lepas ni Abang Rizal
kena duduk hospital, boleh tak tolong Ila jagakan anak-anak Ila?” tanya Azila lirih
ketika mereka duduk di ruangan menunggu hospital. Dia sudah bersedia untuk
menghadapi sebarang kemungkinan tentang penyakit suaminya itu.
Pagi semalam dia berkeras juga
mahu menghantar Afrizal ke klinik walaupun lelaki itu tidak mahu. Mujur ada
abang iparnya yang sanggup membantu dan memujuk. Tetapi selepas tiba di klinik, Afrizal
terpaksa dirujuk ke hospital pula kerana ubat yang selama ini dibekalkan oleh
klinik tersebut tidak lagi memberi kesan kepada tubuh Afrizal. Dan pagi itu
dengan temujanji yang telah dibuat, dia membawa Afrizal untuk bertemu dengan
seorang doktor pakar yang akan menjalankan pemeriksaan dalam memastikan
penyakit suaminya selama ini. Mujur ada kakak dan abang iparnya yang sanggup
membantu. Hal itu ada dimaklumkan kepada adik-beradik suaminya yang lain.
Namun, tiada seorang pun yang datang menziarah dan membantu. Akhirnya, dia
terpaksa memohon bantuan kakak dan abang iparnya.
“Janganlah risau Ila. Mak dengan
ayah kan ada. Kak Jaja pun ada. Dia orang boleh tolong tengokkan anak-anak Ila.
Cuma… macam mana dengan mak Rizal?” balas Amira kakak kedua Azila. Aniza yang
dipanggil Jaja pula merupakan kakak sulung mereka.
Azila mengeluh perlahan. Hal
itulah yang menambah kekusutan di kepalanya. Dia serba-salah untuk memberitahu
dengan ibu mertuanya itu. Mungkin selepas ini dia tidak mampu untuk menjaga
keduanya jika Afrizal berterusan begitu.
“Ila tak sampai hati nak biar
orang lain jaga mak Kak Mira. Ila tak tahu sekarang ni macam mana.” Jawab Azila
dengan wajah yang keruh. Kini memang pelbagai ujian sedang menimpa dirinya.
Dengan keadaan suaminya yang semakin tidak sihat. Ditambah pula dengan
kesempitan wang untuk menampung semua perbelanjaan. Simpanan suaminya selama
ini mula menyusut kerana digunakan untuk perubatan ibu mertuanya. Dan kini, dia
tidak mampu menampung sendiri jika ditakdirkan suaminya tidak lagi bekerja.
Dengan upah menjahit yang dilakukan belum cukup untuk menampung semua keperluan
harian.
“Kan adik-beradik Rizal ada. Ila
suruh ajalah anak perempuan dia tu ambik mak dia. Takkan Ila nak jaga semua.
Dah la dengan Rizal macam tu. Mak Rizal lagi… Macam mana kau nak jaga nanti.”
Balas Amira yang sejak awal lagi kurang bersetuju apabila Azila ingin menjaga
ibu Afrizal selepas dia mengetahui apa yang berlaku dalam keluarga itu selama
ini.
“Betul tu Ila. Adik-beradik Rizal
ada. Dah jadi tanggungjawab anak-anak jaga mak dia kan..” sokong Shafiq pula
yang dari tadi hanya diam. Dia sebenarnya berdebar menanti keputusan
pemeriksaan yang sedang dilakukan terhadap kawan baiknya itu. Hampir lima jam
mereka di hospital itu menguruskan prosedur untuk menjalankan pemeriksaan
terhadap Afrizal. Dan kini mereka sedang menanti keputusannya.
Azila mengeluh lagi. Tidak tahu
apa yang harus diperkatakan lagi. Memang dia tiada pilihan andai ditakdirkan
suaminya sakit terlantar begitu selepas ini. Namun, dalam hatinya sentiasa
berdoa agar tiada apa yang buruk berlaku ke atas diri Afrizal.
*************
“Abang..” seru Azila perlahan
saat Afrizal mengangkat kelopak mata.
“Ila..” tutur Afrizal perlahan
sebaik melihat seraut wajah yang terlalu disayangi itu tetap setia di sisi.
Sudah seminggu dia terlantar di
hospital kerana tubuh yang terlalu lemah dan kekurangan air di dalam badan. Dan
hari itu dia terasa sedikit bertenaga untuk bercakap berbanding seminggu lalu.
Sepanjang hari dia akan tidur berjam-jam lamanya. Dan paling menyenangkan
hatinya apabila wajah mulus itu yang akan ditatap dahulu sebaik kelopak mata
dibuka.
“Macam mana hari ni?” tanya Azila
lembut beserta senyuman manis di bibirnya buat si suami.
“Sihat.” Jawab Afrizal sepatah.
Bibir ditarik untuk mengukir senyum buat isterinya.
Selepas pemeriksaan lanjut
dijalankan ke atas suaminya selama seminggu itu, doktor gagal mengesan sebarang
penyakit yang berbahaya menyerang suaminya. Azila dan keluarganya begitu hairan
dengan keputusan yang diberikan oleh doktor yang merawat. Malah, mengesyorkan
pula untuk mencuba perubatan alternatif sekiranya perkara yang sama berulang
kembali.
“Abang nak makan?” tanya Azila
lembut. Sejak awal pagi lagi dia sudah tiba untuk melihat suaminya itu
memandangkan pihak hospital tidak membenarkan ahli keluarga bermalam di situ.
Afrizal hanya menggelengkan
kepala.
“Along dengan adik tak datang?”
soal Afrizal lagi apabila teringat kepada dua anaknya yang masih kecil. Terasa
lama benar dia tidak bertemu dengan kedua anaknya itu.
“Kan budak-budak tak boleh naik
sini. Nanti, abang sihat sikit, Ila bawak abang jumpa anak-anak dekat bawah.”
Jawab Azila sambil mengambil tuala bersih dari dalam beg untuk mencuci muka dan
mengelap tubuh Afrizal seperti yang selalu dilakukan pada awal pagi.
“Siapa jaga anak-anak?” tanya Afrizal
lagi. Baru hari itu dia berkesempatan untuk bertanya panjang mengenai semua
perkara.
“Kak Jaja…” jawab Azila sebelum
berlalu ke singki yang disediakan di dalam bilik wad itu untuk membasahkan
tuala yang dibawa tadi.
“Mak?” tanya Afrizal lagi yang hanya
memerhati gerak-geri isterinya.
“Mak ada dekat rumah. Sementara
ni, ayah dengan mak Ila ada dekat rumah kita.” Jelas Azila berkenaan ibu
mertuanya. Dia masih belum membuat keputusan untuk menghantar ibu mertuanya itu
ke rumah ipar-ipar yang lain.
Sepanjang suaminya dimasukkan ke
dalam wad, tiada seorang pun adik-beradik Afrizal yang datang. Masing-masing
hanya bertanya khabar melalui telefon walaupun rumah masing-masing tidak jauh
dari hospital. Itu pun hanya sekali ketika hari pertama Afrizal dimasukkan ke
dalam wad. Semuanya memberi alasan sibuk dengan kerja masing-masing menyebabkan
tidak sempat untuk datang ziarah.
Dia agak kecewa dengan apa yang
berlaku. Namun, dia tidak mampu untuk berbuat apa. Hanya mampu bersabar dan
menanggung segala-galanya sendirian. Mujur ahli keluarganya sendiri ada
sama-sama sanggup membantu. Walaupun mereka tidak mampu untuk membantu dari
segi kewangan, tetapi dengan adanya sokongan menyebabkan dia menjadi lebih
tabah untuk menghadapi semuanya.
“Abang dengan kakak abang tak
datang?” soal Afrizal bernada lirih.
Azila yang sedang mengelap tubuh
Afrizal terhenti. Matanya terarah ke wajah suaminya yang masih cengkung. Bibir
mengukir senyum tawar. Serba-salah untuk memberitahu kerana sepanjang suaminya
itu sakit, hanya ahli keluarganya sahaja yang datang. Malah Amira dan Shafiq
yang akan datang hari-hari untuk menjenguk suaminya itu. Kadang-kadang pula,
pasangan itu sanggup menggantikan tempatnya jika dia ingin pulang ke rumah
untuk melihat ibu mertuanya.
Dia yang sebelum ini sudah lama
tidak memandu, terpaksa memberanikan diri memandu semula demi Afrizal yang
sakit. Kini dia yang mengambil alih semua tugasan Afrizal sebagai ketua
keluarga. Hanya, buat masa itu dia tidak mampu untuk bekerja lain selain
mengambil upah menjahit. Segala keperluan rumah masih bergantung kepada wang
simpanan suaminya yang masih berbaki dan juga dari upah dia menjahit selain
bantuan daripada jiran tetangga serta ahli keluarganya.
“Semua sibuk bang.. Tak sempat
datang tengok abang.” Jawab Azila lambat seraya menyambung kerjanya tadi. Tidak
sampai hati melihat wajah hampa suaminya.
“Semua tak ingat pada abang..”
tutur Afrizal lemah. Hampir sahaja dia menitiskan airmata apabila mengenangkan
perangai adik-beradiknya yang lain. Dia malu dengan keluarga isterinya yang
terlalu baik melayan dan bersusah-payah hanya kerana dirinya.
“Takpalah bang. Adik-beradik Ila
kan ada. Adik-beradik Ila, adik-beradik abang jugak kan?” balas Azila yang cuba
menceriakan suasana. Dia tahu suaminya itu terasa hati dengan adik-beradiknya
yang langsung tidak mempedulikan keadaan dirinya.
“Sampai hati dia orang buat abang
macam ni..” tutur Afrizal perlahan.
Azila menggenggam erat tangan
Afrizal persis memberi kekuatan. Dia sudah tidak peduli akan keadaan keluarga
suaminya itu. Semuanya mementingkan diri sendiri dan pandai mengambil
kesempatan. Apabila keadaan keluarganya ditimpa kesusahan, tiada seorang pun
yang mahu menghulurkan bantuan. Bukanlah dia mengharap balasan. Namun, sebagai
ahli keluarga, harus sedar akan tanggungjawab sendiri terhadap ahli keluarga
yang lain. Dia tidak hairan andai tiada seorang pun adik-beradik suaminya
datang membantu mahupun menziarah. Sedangkan ibu yang sakit pun tiada siapa
yang sanggup menjaga, apatah lagi ingin mempedulikan suaminya.
********
“Ila nak bawak abang pergi mana
ni?” tanya Afrizal yang lemah di sisi Azila. Isterinya itu tetap tenang
memandu.
“Balik kampung Ila la. Dah lama
kita tak balik kampung Ila kan…” jawab Azila lembut walaupun soalan itu sudah
ditanya lebih daripada tiga kali dalam perjalanan itu.
Disebabkan itulah, dia mengikut
saranan doktor untuk mencuba perubatan alternatif apabila perkara yang sama
berulang walaupun baharu dua minggu keluar dari hospital. Apabila kali kedua
perkara yang sama menimpa, suaminya itu semakin lemah hingga doktor tidak mampu
lagi berbuat apa melainkan memasukkan cecair ke dalam tubuh itu kerana Afrizal
tidak berselera makan. Segala tenaganya hilang menyebabkan Afrizal kini tidak
mampu lagi berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Dia hanya mampu berusaha. Allah
yang menentukan segala-galanya. Tanpa pengetahuan Afrizal, dia sudah membuat
temujanji dengan seorang ustaz yang dikenali di kampungnya. Dia sekadar hanya
mahu mencuba jika benar penyakit yang dialami oleh suaminya itu melibat
sebarang gangguan lain yang tidak tercapai dengan pandangan mata kasar manusia.
Kini sudah lebih sebulan suaminya
itu tidak bekerja dan telah pun berhenti kerja atas nasihat doktor kerana daya
ingatannya semakin lemah disebabkan sakit yang dialami. Majikan suaminya itu
sendiri sudah memberi notis kepada Afrizal sekiranya penyakit yang dialami
masih juga belum sembuh, Afrizal dinasihatkan agar berhenti kerja sahaja.
Suaminya itu memang tidak punya pilihan. Dengan keadaan tubuh yang semakin lemah,
dia sendiri tidak dapat memberi jaminan bila suaminya itu akan sembuh seperti
sediakala.
Segala perbelanjaan kini
bergantung kepada baki wang simpanan yang ada dan juga dari upahnya menjahit
serta membantu jirannya membuat kuih-muih untuk berniaga. Azila terpaksa
melakukan kerja-kerja yang akan memudahkannya menjaga Afrizal di rumah. Bukan
dia tidak mampu mendapatkan kerja yang lebih baik. Malah majikannya dahulu ada
menghubunginya jika dia mahu bekerja semula. Tetapi disebabkan jarak tempat
kerjanya yang agak jauh untuk berulang-alik, dia tidak mampu. Pada masa yang
sama dia risau akan keadaan suaminya di rumah bersama anak-anak walaupun ada
jiran tetangga yang akan membantu. Dia sanggup melakukan banyak kerja dari
perlu membiarkan tanggungjawabnya kepada keluarga terabai.
Semenjak ibu mertuanya tinggal
bersama kakak sulung Afrizal, bebannya sedikit berkurangan walaupun sebenarnya
dia tidak rasa dengan menjaga ibu mertuanya sebagai beban. Dengan kudrat yang
ada, dia yang tidak mampu untuk menguruskan dua orang sakit dalam satu masa.
Dia masih perlu keluar bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga. Risau
sekiranya dia tidak mampu menguruskan keduanya dengan baik menyebabkan dia
terpaksa membuat keputusan yang agak berat. Dia teringat lagi wajah sedih ibu
mertuanya apabila diberitahu dia tidak mampu untuk menguruskan keduanya. Dia
terpaksa berbuat demikian demi kebaikan bersama. Dia sanggup berjanji dengan
ibu mertuanya sekiranya Afrizal kembali sembuh seperti sediakala, dia akan
menjemput semula ibu mertuanya itu dari rumah kakak sulung Afrizal. Dia
menganggap semua yang berlaku itu hanyalah sementara.
………
Azila mengambil tempat di hadapan
Puan Sahara di meja makan. Pinggan yang berisi nasi dan lauk sudah pun
diletakkan di hadapan ibu mertuanya.
“Mak… Ila nak mintak maaf
banyak-banyak dengan mak..” tutur Azila memulakan kata. Dalam hatinya cuba
menahan sebak.
“Kenapa Ila nak mintak maaf? Ila
tak buat salah pun dengan mak.” Balas Puan Sahara ikhlas.
“Ila tak dapat jaga mak lagi
lepas ni…” kata Azila lagi dengan air jernih yang mula bertakung di tubir mata.
“Sebab tu Ila mintak maaf dengan
mak?” soal Puan Sahara dengan senyuman kecil di bibir tuanya. Terharu melihat
wajah menantunya yang sudah banyak berkorban sepanjang dia sakit. Dan kini dia
terpaksa menerima hakikat yang Azila tidak lagi akan menjaganya.
Azila tidak menjawab.
“Ila jangan rasa bersalah dengan apa
yang Ila buat sekarang ni. Rizal lagi penting buat masa ni. Mak faham Ila
kenapa Ila tak boleh jaga mak. Mak ni dah banyak susahkan Ila dengan Rizal. Ila
dah banyak bersusah-payah untuk jaga mak. Lepas ni Ila jagalah Rizal baik-baik.
Rizal tu muda lagi. Mak ni takpa Ila. Dah tak lama lagi. Ila dengan anak-anak
perlukan Rizal. Bukan mak.” Tutur Puan Sahara tenang sambil menggenggam erat
jemari Azila di atas meja.
Azila saat itu sudah pun
mengalirkan airmata. Selama ini dia tidak pernah rasa terbeban untuk menjaga
ibu mertuanya. Malah apa yang dilakukan, ikhlas untuk memastikan ibu mertuanya
itu sihat kembali.
“Apa yang Ila dah buat selama ni,
dah cukup baik pada mak. Mak tak tahu nak balas macam mana Ila.” sambung Puan
Sahara yang mula menahan sebak. Perasaan menyesal di dalam hatinya tidak pernah
surut apabila mengenang kembali apa yang pernah dilakukan kepada menantunya
itu.
“Jangan cakap macam tu mak. Dah
jadi tanggungjawab Ila jaga mak. Ila tak pernah mintak mak balas dari apa yang
Ila dah buat pada mak.” Balas Azila dengan wajah yang sudah lencun dek airmata.
“Kalau macam tu, Ila janganlah
menangis macam ni… Ila boleh datang tengok mak. Ila janganlah sampai lupakan
mak ya…? Jangan jadi macam anak-anak mak yang lain..” pujuk Puan Sahara lalu
menarik tubuh Azila untuk mendakapnya. Malam nanti anak sulungnya akan
menjemputnya dan dia akan tidak lagi akan tinggal bersama Azila kerana tidak
mahu membebankan wanita yang sudah banyak berkorban demi dirinya selama ini.
Azila tidak menolak. Sebaliknya
memeluk erat tubuh itu dengan airmata yang semakin laju menuruni pipi.
“Ila janji dengan mak. Kalau
Abang Rizal sihat balik, Ila ambik mak tinggal dengan Ila lagi..” tutur Azila
dalam esak tangisnya.
Puan Sahara tidak membalas. Hanya
airmatanya sahaja yang tetap mengalir dengan perpisahan yang berlaku. Dia yakin
selepas ini mungkin layanan yang akan diterima tidak sesempurna Azila
menjaganya.
*******
Afrizal dibaringkan seperti yang
diarahkan oleh Ustaz Zaid. Dengan ditemani ibubapanya, Azila hanya memerhati dan
menanti dengan sabar apa yang akan dilakukan oleh Ustaz Zaid untuk merawat
suaminya. Dia amat berharap apa yang dilakukan ini memberi perubahan yang
positif kepada Afrizal mahupun dia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk
menampung kos perubatannya nanti. Sebelum rawatan dimulakan lagi Ustaz Zaid
sudah memberitahu prosedur yang perlu dilakukan dan yang bakal ditanggung untuk
merawat suaminya.
Pada pertemuan pertama mereka,
Ustaz Zaid sudah memaklumkan yang suaminya itu mempunyai masalah yang agak
berat hingga dia terpaksa memanggil dua orang lagi sahabatnya yang turut
mengamalkan perubatan secara islam. Segala kos yang diminta itu hanyalah untuk
ubat yang akan digunakan nanti. Dengan menyatakan persetujuan, proses rawatan
itu dilakukan demi memastikan suaminya itu sembuh seperti sediakala. Dia
sanggup menanggung segala perbelanjaannya nanti.
Apabila bacaan ayat suci al-Quran
dimulakan, Azila sudah berasa kurang enak apabila melihat keadaan tubuh
suaminya yang mula bergetar dan peluh merenik banyak ke seluruh tubuh. Hampir
sahaja dia menitiskan airmata apabila melihat Afrizal yang sedang terpejam
seperti menanggung kesakitan yang teramat apabila kepalanya disentuh oleh salah
seorang daripada ustaz yang ada. Sesekali terdengar juga Afrizal seperti
menjerit menyebut perkataan Allah serta ayat suci Al-quran apabila disuruh. Namun
suaranya seperti tenggelam timbul. Hinggalah lebih daripada satu jam proses
rawatan dilakukan, Afrizal kembali tenang dan seperti sedang lena.
Selesai proses rawatan yang
dilakukan, Ustaz Zaid menghampiri. Dia perasan ada ada percikan peluh di dahi
Ustaz Zaid dan lelaki yang hampir sebaya dengan ayahnya itu mengeluarkan
sehelai sapu tangan dari dalam poket seluarnya. Debar hatinya menanti apa yang akan
disampaikan.
“Alhamdulillah… Semuanya sudah selesai.
Cuma yang belum selesai, ahli keluarganya aja. Saya nak mintak tolong, kalau
boleh tolong kumpulkan semua ahli keluarganya untuk saya pastikan lepas ni tiada
lagi gangguan pada Rizal.” Ustaz Zaid menuturkannya dengan tenang.
“Er..Ustaz, sebenarnya apa yang
dah jadi dengan menantu saya tu?” soal Encik Hamid mengenai menantunya.
“Macam ni… Saya sendiri
sebenarnya tak berani nak tuduh siapa-siapa. Apa-apa pun, semuanya memang
berkaitan dengan syaitan dan jin yang dilaknat Allah. Kita ni manusia biasa aja.
Memang tak sedar syaitan tu sentiasa mengikut ke mana aja kita pergi. Apa yang
boleh saya cakap dekat sini, syaitan suka duduk dalam tiga bahagian utama dalam
tubuh kita ni. Sama ada dalam darah, jantung, ataupun otak kita. Masalah Rizal
ni, ‘benda’ tu dah duduk terlalu lama dalam kepala dia. ‘Benda’ tu dah jadikan
kepala Rizal macam tandas. Terlalu banyak benda kotor. Itu yang agak susah
sikit selagi kita tak selesaikan dengan keluarga dia sendiri.” Jelas Ustaz Zaid
tenang.
Azila yang tekun mendengar
seperti tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Ustaz Zaid. Dia faham
apa yang dimaksudkan oleh ‘benda’ oleh Ustaz Zaid itu. Jika begitu buruk
keadaan suaminya, memang perkara itu telah lama berlaku sebelum dia berkahwin
dengan Afrizal lagi. Suaminya itu sendiri pernah memberitahu yang dia kerap
mengalami sakit kepala sejak dia mula bekerja hinggalah kini. Dia percaya tentang
kewujudan jin dan syaitan. Cuma ada di antara kita telah menggunakan
perkhidmatan ‘mereka’ itu sebagai jalan mudah dalam kehidupan. Terutamanya orang
zaman dahulu yang masih lemah tentang hukum hakam agama.
“Kalau macam tu Ustaz, apa yang
saya kena buat sekarang ni?” tanya Azila dengan suara yang bergetar.
“Kita tawakallah sama-sama.
Banyakkan berdoa. Saya dah berusaha mana yang mampu. Dia yang menentukan
segala-galanya. Cuma satu ajalah yang saya mintak tadi. Tolong kumpulkan semua
ahli keluarganya untuk kita selesaikan semua masalah yang sebenarnya. Itu aja
yang saya mintak. Lagi satu, tolonglah amalkan surah-surah yang saya dah tulis
pada kertas ni. Bukan untuk sesiapa. Tapi sekadar pelindungan diri. Suruh juga Rizal
amalkan kalau dia boleh baca semuanya.” Kata Ustaz Zaid mengingatkan lalu mengambil sehelai kertas dari
atas rak berhampiran.
“Dan lagi satu sebelum saya
terlupa, kamu boleh bawak Rizal pergi hospital untuk periksa apa yang patut. Untuk
pastikan semuanya baik. Saya dah buat apa yang termampu. Tentang sakit-sakit
lain yang boleh dirawat dengan pandangan mata kasar, bukanlah tugas saya.
Doktor lebih ariflah dengan tu semua.” Lanjut Ustaz Zaid lagi dengan bibir
mengoyak senyum nipis.
Azila tidak mampu berkata apa
lagi selain berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa. Dia sendiri tidak mampu
untuk berbuat apa melainkan berusaha dan berdoa. Dia telah bersedia untuk
menghadapi sebarang kemungkinan. Cuma tugasnya yang terakhir adalah mengumpulkan
semua ahli keluarga suaminya untuk rawatan yang terakhir. Dengan hubungan baik
yang sudah terjalin dengan ibu mertuanya, dia yakin wanita tua itu dapat
membantunya untuk mengumpulkan semua adik-beradik Afrizal. Masalah sebenar
masih belum terungkai selagi semua ahli keluarga mertuanya itu belum berkumpul.
8 comments:
cepat sambung n3 baru ye nak tau
cerita selanjutnya. Sungguh tabah
betul Azila menharungi setiap dugaan
yg diterima.
hermm.. kna buatan adik bradik sendiri ka.. haihhh.. ksian rizal ksian jugak ilaa.. cepat2 sembuh ek..
arsha, byk lagi bab ke ni.. :)
hermm.. kna buatan adik bradik sendiri ka.. haihhh.. ksian rizal ksian jugak ilaa.. cepat2 sembuh ek..
arsha, byk lagi bab ke ni.. :)
satu bab aja lagi :)
ni mesti kerja keluarga Rizal kan.... Nasib baik keluarga Azila bertimbang rasa.... sabar ya Azila dan Rizal....
mistik ni..lari sikit dr jiwang2..hehe
wahhh sakit misteri rupanya..xsabor nk taw sape punye krja..
nape la jaman moden cenggini ade gak yang buat bende camtu..
aish..
smg ila tabah n rizal cepat sembuh..
arsha..nape cam separuh je..
part.."..suruh rizal amalkan kalau."
cam tergantung ja..
Post a Comment