Jul 3, 2012

Mengharap kasih_short_part 4



“Abang, subuh.” kejut Azila sekali lagi setelah dia selesai bersolat subuh sendiri.

“Abang…” panggil Azila lagi sambil menggoncang perlahan bahu Afrizal.

“Hm..” terlalu perlahan suara Afrizal hingga tidak kedengaran.

“Abang, bangun subuh. Terlewat nanti abang pergi kerja.” kata Azila lagi apabila perasan ada riak kecil di wajah suaminya.

“Abang.. bukaklah mata tu.. habis nanti waktu subuh bang..” tutur Azila lembut sambil melipat kain telekung yang dipakai tadi.

“Ila..” jawab Afrizal perlahan. Suaranya seperti terkepung di kerongkong sahaja.

“Abang… bangunlah… lambat nanti abang pergi kerja.” Omel Azila lagi seraya mendapatkan Afrizal yang masih terbaring di katil.

“Ila..” panggil Afrizal lagi sekuat hati tetapi dirasakan suaranya tetap sama.

“Abang… kenapa ni?” tanya Azila yang mula tidak sedap hati melihat keadaan suaminya yang berpeluh-peluh. Tangannya terus menggenggam tangan Afrizal. Sejuk!

“Ila.. abang sakit kepala.” Kata Afrizal lemah dengan mata masih terpejam.

“Abang, kita pergi klinik ya?” balas Azila yang mula resah melihat keadaan suaminya begitu. Belum pernah keadaan suaminya begitu teruk apabila sakit kepala.

Afrizal hanya menggeleng.

“Ambik ubat abang.” Katanya lagi. Kepalanya terasa berdenyut-denyut seperti mahu pecah.

Tanpa menanti lama. Azila terus keluar bilik mengambil segelas air dan ubat yang dimaksudkan.

“Abang, jomlah Ila hantar pergi klinik. Risau Ila tengok abang macam ni.” Kata Azila lagi yang tidak senang melihat keadaan suaminya begitu. Gelas yang dibawa tadi disuakan kepada Afrizal setelah membantu lelaki itu untuk menegakkan tubuh.

“Ila, tolong abang bangun. Abang nak solat.” Kata Afrizal selepas menelan ubat yang diberikan oleh isterinya.

“Abang tak payahlah solat kalau abang tak larat.” Balas Azila yang tidak sampai hati melihat suaminya agak susah untuk menegakkan tubuh.

“Abang boleh.” kata Afrizal yang cuba turun dari katil sendiri. Kedua tangannya mencengkam kuat tepi katil untuk berdiri namun gagal. Terasa tenaganya seperti hilang semuanya. Dia menjadi langsung tidak berdaya. Kepala yang terasa berdenyut pun seperti tidak mampu lagi ditegakkan.

“Abang boleh ke ni?” tanya Azila yang sedaya upaya membantu Afrizal berdiri dengan betul.

“Ya Allah..” itu sahaja yang terluah di bibirnya apabila Afrizal rebah kembali ke katil. Memang kudrat wanitanya tidak mampu menampung berat Afrizal walaupun tubuh itu semakin kurus.

“Abang…” Azila kelam-kabut membantu suaminya itu untuk bangun kembali.

“Ila..” tutur Afrizal dengan mata terpejam.

“Abang… Ila tak sengaja..” kata Azila yang serba salah membuatkan suaminya itu rebah kembali. Mujur hanya di atas katil. Jika di atas lantai tadi, pasti lain pula yang akan terjadi kepada suaminya itu.

“Abang tunggu aja sini. Biar Ila bawak air ke sini.” Lanjut Azila sebaik membetulkan semula kedudukan Afrizal di atas katil.

Dia terus bergegas keluar bilik untuk mengambil bekas besar bagi memudahkan suaminya itu mengambil wuduk. Kemudian Azila kembali semula dengan satu baldi yang berisi air dan satu bekas plastik besar. Dia juga turut menyediakan kelengkapan untuk suaminya itu mencuci muka terlebih dahulu. Afrizal disandarkan ke kepala katil kerana lelaki itu langsung tidak berdaya untuk menegakkan tubuh sendiri tanpa bersandar. Berus gigi dihulurkan kepada lelaki itu namun tidak bersambut.

“Abang… berus gigi dulu.” kata Azila sambil meletakkan berus gigi itu di tangan Afrizal. Rupa-rupanya suaminya itu terlena.

Afrizal cuba mengangkat berus gigi yang diberi oleh isterinya tadi, namun berus gigi itu tiba-tiba terlepas dari tangannya. Dirasakan tenaga untuk memegang berus gigi itu juga turut hilang.

“Abang..” tutur Azila perlahan seperti ingin menangis melihat keadaan suaminya yang tidak bertenaga itu.

“Ila…” kata Afrizal seperti berbisik.

“Abang tidurlah dulu. Tak payah solat.” putus Azila akhirnya. Melihat keadaan suaminya begitu, dia tahu Afrizal tidak mampu untuk bersolat.

Azila tiada pilihan. Dia terus membantu Afrizal untuk berbaring semula. Hampir sahaja airmatanya menitis melihat Afrizal yang terus lena tidak berkutik sebaik kepalanya mencecah bantal.

‘Ya Allah… Ujian apa yang cuba Engkau turunkan kepadaku..” desis hatinya sebelum keluar membawa baldi dan bekas air tadi.

***********

“Ila… Rizal dah bangun?” tanya Puan Sahara saat menanti menantunya itu menyediakan makan tengah hari.

“Belum mak. Kejap lagi Ila kejutkan dia makan tengah hari sekali.” Jawab Azila sambil menatang dulang berisi lauk-pauk untuk diletakkan di atas meja makan.

“Along dengan adik mana?” tanya Puan Sahara lagi yang terasa sunyi jika tidak mendengar suara kedua orang cucunya yang rajin melayannya bercakap semenjak dia tinggal di rumah itu.

Perasaan bersalahnya kepada Azila masih terkepung di dada. Tidak menyangka menantu yang dibenci itulah yang sanggup menjaga makan pakainya. Segala keperluan diri, menantu itu jugalah yang menguruskannya.

“Ada dekat depan tu mak. Masing-masing kenyang lagi tu baru lepas minum susu. Mak makanlah dulu.” jawab Azila lembut sambil menyendukkan nasi dan lauk masuk ke dalam pinggan. Dia bersyukur kerana segala apa yang dimasak, ibu mertuanya itu terima seadanya. Tiada lagi rungutan yang didengari.

“Erm..Ila.. Rizal macam mana? Mak risau tengok dia macam tu aja. Dah tiga hari dia macam tu Ila.” Luah Puan Sahara mengenai anak bongsunya. Afrizal tidak lagi keluar dari bilik sejak tiga hari lalu. Masanya banyak dihabiskan dengan tidur sahaja. Terjaga hanya bila mahu ke tandas dan kemudiannya akan menyambung lenanya semula.

“Ila dah tak tahu mak… Ila nak bawak dia pergi klinik, tapi dia tak nak.” Balas Azila yang sudah melabuhkan duduk di hadapan ibu mertuanya. Sedia untuk menyuapkan makanan kepada ibu mertuanya itu memandangkan kedua belah tangannya masih belum cukup kuat untuk memegang barang. Apabila memegang sudu untuk menyuap nasi, pasti sudu itu akan terlepas dari tangan akhirnya. Azila yang tidak sampai hati melihat keadaan itu, dia sendiri akan membantu untuk menyuapkan nasi.

“Ila… Ila jangan dengar cakap dia. Bawak ajalah dia pergi klinik. Mintak tolong pada Shafiq. Ila nak angkat sorang tak kuat. Mak yang dah tak guna ni pun tak boleh nak tolong Ila. Menyusahkan Ila lagi ada la..” tutur Puan Sahara yang tidak mahu Azila menanggung dua orang sakit di rumah itu dalam suatu masa. Sudahlah dia dibuang anak-anak yang lain. Anak dan menantunya langsung tidak menjengahnya semenjak dia beransur pulih.

“Jangan cakap macam tu mak. Mak kan mak Ila jugak. Takda yang susahnya.” Balas Azila yang sedikit tersentuh mendengar kata-kata ibu mertuanya. Selama ini dia ikhlas untuk melakukan semuanya.

Puan Sahara tersenyum tawar. Entah kenapa ketulusan menantunya yang seorang itu tidak dapat dilihat sebelum ini. Hanya keburukan sahaja yang memenuhi ruang matanya.

“Ila…” tutur Puan Sahara perlahan seraya tangannya menyentuh tangan Azila.

“Mak..” lantas Azila menggenggam erat tangan ibu mertuanya itu.

“Ila baik sangat pada mak. Dulu mak..” kata-kata Puan Sahara terhenti apabila berasakan airmatanya mula mengalir. Tidak dapat menahan sebak di dada kerana kesungguhan Azila menjaganya sepanjang dia sakit.

“Jangan cakap lagi benda dah jadi mak. Ila tak kisah pun. Ila pun dah dapat mak Ila balik.” Balas Azila tulus lalu membawa tangan ibu mertuanya itu sekilas ke bibir. Bergenang juga airmatanya apabila teringat kembali apa yang pernah berlaku. Dia percaya hukum Allah. Segala yang berlaku semuanya ada hikmah. Itu janjiNya.

“Ila janji dengan mak, Ila tak tinggalkan mak boleh?” tutur Puan Sahara dalam linangan airmata.

“Ila nak pergi mana tinggalkan mak? Ila akan selalu dengan mak selagi ada nyawa Ila. Ila janji.” Jawab Azila lalu memeluk erat tubuh tua itu.

“Mak makan dulu ya… lepas ni Ila nak kejutkan Abang Rizal pulak.” Sambung Azila seraya meleraikan pelukan. Wajah tua yang dibasahi airmata itu disapu lembut dengan tapak tangannya.

Puan Sahara hanya menganggukkan kepala. Tidak akan sesekali dia ingkari segala kata-kata menantunya itu kerana dia tahu apa yang dilakukan semua demi kebaikan dirinya sendiri.

*********

“Kak, kalau lepas ni Abang Rizal kena duduk hospital, boleh tak tolong Ila jagakan anak-anak Ila?” tanya Azila lirih ketika mereka duduk di ruangan menunggu hospital. Dia sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan tentang penyakit suaminya itu.

Pagi semalam dia berkeras juga mahu menghantar Afrizal ke klinik walaupun lelaki itu tidak mahu. Mujur ada abang iparnya yang sanggup membantu dan memujuk.  Tetapi selepas tiba di klinik, Afrizal terpaksa dirujuk ke hospital pula kerana ubat yang selama ini dibekalkan oleh klinik tersebut tidak lagi memberi kesan kepada tubuh Afrizal. Dan pagi itu dengan temujanji yang telah dibuat, dia membawa Afrizal untuk bertemu dengan seorang doktor pakar yang akan menjalankan pemeriksaan dalam memastikan penyakit suaminya selama ini. Mujur ada kakak dan abang iparnya yang sanggup membantu. Hal itu ada dimaklumkan kepada adik-beradik suaminya yang lain. Namun, tiada seorang pun yang datang menziarah dan membantu. Akhirnya, dia terpaksa memohon bantuan kakak dan abang iparnya.

“Janganlah risau Ila. Mak dengan ayah kan ada. Kak Jaja pun ada. Dia orang boleh tolong tengokkan anak-anak Ila. Cuma… macam mana dengan mak Rizal?” balas Amira kakak kedua Azila. Aniza yang dipanggil Jaja pula merupakan kakak sulung mereka.

Azila mengeluh perlahan. Hal itulah yang menambah kekusutan di kepalanya. Dia serba-salah untuk memberitahu dengan ibu mertuanya itu. Mungkin selepas ini dia tidak mampu untuk menjaga keduanya jika Afrizal berterusan begitu.

“Ila tak sampai hati nak biar orang lain jaga mak Kak Mira. Ila tak tahu sekarang ni macam mana.” Jawab Azila dengan wajah yang keruh. Kini memang pelbagai ujian sedang menimpa dirinya. Dengan keadaan suaminya yang semakin tidak sihat. Ditambah pula dengan kesempitan wang untuk menampung semua perbelanjaan. Simpanan suaminya selama ini mula menyusut kerana digunakan untuk perubatan ibu mertuanya. Dan kini, dia tidak mampu menampung sendiri jika ditakdirkan suaminya tidak lagi bekerja. Dengan upah menjahit yang dilakukan belum cukup untuk menampung semua keperluan harian.

“Kan adik-beradik Rizal ada. Ila suruh ajalah anak perempuan dia tu ambik mak dia. Takkan Ila nak jaga semua. Dah la dengan Rizal macam tu. Mak Rizal lagi… Macam mana kau nak jaga nanti.” Balas Amira yang sejak awal lagi kurang bersetuju apabila Azila ingin menjaga ibu Afrizal selepas dia mengetahui apa yang berlaku dalam keluarga itu selama ini.

“Betul tu Ila. Adik-beradik Rizal ada. Dah jadi tanggungjawab anak-anak jaga mak dia kan..” sokong Shafiq pula yang dari tadi hanya diam. Dia sebenarnya berdebar menanti keputusan pemeriksaan yang sedang dilakukan terhadap kawan baiknya itu. Hampir lima jam mereka di hospital itu menguruskan prosedur untuk menjalankan pemeriksaan terhadap Afrizal. Dan kini mereka sedang menanti keputusannya.

Azila mengeluh lagi. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. Memang dia tiada pilihan andai ditakdirkan suaminya sakit terlantar begitu selepas ini. Namun, dalam hatinya sentiasa berdoa agar tiada apa yang buruk berlaku ke atas diri Afrizal.

*************

“Abang..” seru Azila perlahan saat Afrizal mengangkat kelopak mata.

“Ila..” tutur Afrizal perlahan sebaik melihat seraut wajah yang terlalu disayangi itu tetap setia di sisi.

Sudah seminggu dia terlantar di hospital kerana tubuh yang terlalu lemah dan kekurangan air di dalam badan. Dan hari itu dia terasa sedikit bertenaga untuk bercakap berbanding seminggu lalu. Sepanjang hari dia akan tidur berjam-jam lamanya. Dan paling menyenangkan hatinya apabila wajah mulus itu yang akan ditatap dahulu sebaik kelopak mata dibuka.

“Macam mana hari ni?” tanya Azila lembut beserta senyuman manis di bibirnya buat si suami.

“Sihat.” Jawab Afrizal sepatah. Bibir ditarik untuk mengukir senyum buat isterinya.

Selepas pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas suaminya selama seminggu itu, doktor gagal mengesan sebarang penyakit yang berbahaya menyerang suaminya. Azila dan keluarganya begitu hairan dengan keputusan yang diberikan oleh doktor yang merawat. Malah, mengesyorkan pula untuk mencuba perubatan alternatif sekiranya perkara yang sama berulang kembali.

“Abang nak makan?” tanya Azila lembut. Sejak awal pagi lagi dia sudah tiba untuk melihat suaminya itu memandangkan pihak hospital tidak membenarkan ahli keluarga bermalam di situ.

Afrizal hanya menggelengkan kepala.

“Along dengan adik tak datang?” soal Afrizal lagi apabila teringat kepada dua anaknya yang masih kecil. Terasa lama benar dia tidak bertemu dengan kedua anaknya itu.

“Kan budak-budak tak boleh naik sini. Nanti, abang sihat sikit, Ila bawak abang jumpa anak-anak dekat bawah.” Jawab Azila sambil mengambil tuala bersih dari dalam beg untuk mencuci muka dan mengelap tubuh Afrizal seperti yang selalu dilakukan pada awal pagi.

“Siapa jaga anak-anak?” tanya Afrizal lagi. Baru hari itu dia berkesempatan untuk bertanya panjang mengenai semua perkara.

“Kak Jaja…” jawab Azila sebelum berlalu ke singki yang disediakan di dalam bilik wad itu untuk membasahkan tuala yang dibawa tadi.

“Mak?” tanya Afrizal lagi yang hanya memerhati gerak-geri isterinya.

“Mak ada dekat rumah. Sementara ni, ayah dengan mak Ila ada dekat rumah kita.” Jelas Azila berkenaan ibu mertuanya. Dia masih belum membuat keputusan untuk menghantar ibu mertuanya itu ke rumah ipar-ipar yang lain.

Sepanjang suaminya dimasukkan ke dalam wad, tiada seorang pun adik-beradik Afrizal yang datang. Masing-masing hanya bertanya khabar melalui telefon walaupun rumah masing-masing tidak jauh dari hospital. Itu pun hanya sekali ketika hari pertama Afrizal dimasukkan ke dalam wad. Semuanya memberi alasan sibuk dengan kerja masing-masing menyebabkan tidak sempat untuk datang ziarah.

Dia agak kecewa dengan apa yang berlaku. Namun, dia tidak mampu untuk berbuat apa. Hanya mampu bersabar dan menanggung segala-galanya sendirian. Mujur ahli keluarganya sendiri ada sama-sama sanggup membantu. Walaupun mereka tidak mampu untuk membantu dari segi kewangan, tetapi dengan adanya sokongan menyebabkan dia menjadi lebih tabah untuk menghadapi semuanya.

“Abang dengan kakak abang tak datang?” soal Afrizal bernada lirih.

Azila yang sedang mengelap tubuh Afrizal terhenti. Matanya terarah ke wajah suaminya yang masih cengkung. Bibir mengukir senyum tawar. Serba-salah untuk memberitahu kerana sepanjang suaminya itu sakit, hanya ahli keluarganya sahaja yang datang. Malah Amira dan Shafiq yang akan datang hari-hari untuk menjenguk suaminya itu. Kadang-kadang pula, pasangan itu sanggup menggantikan tempatnya jika dia ingin pulang ke rumah untuk melihat ibu mertuanya.

Dia yang sebelum ini sudah lama tidak memandu, terpaksa memberanikan diri memandu semula demi Afrizal yang sakit. Kini dia yang mengambil alih semua tugasan Afrizal sebagai ketua keluarga. Hanya, buat masa itu dia tidak mampu untuk bekerja lain selain mengambil upah menjahit. Segala keperluan rumah masih bergantung kepada wang simpanan suaminya yang masih berbaki dan juga dari upah dia menjahit selain bantuan daripada jiran tetangga serta ahli keluarganya.

“Semua sibuk bang.. Tak sempat datang tengok abang.” Jawab Azila lambat seraya menyambung kerjanya tadi. Tidak sampai hati melihat wajah hampa suaminya.

“Semua tak ingat pada abang..” tutur Afrizal lemah. Hampir sahaja dia menitiskan airmata apabila mengenangkan perangai adik-beradiknya yang lain. Dia malu dengan keluarga isterinya yang terlalu baik melayan dan bersusah-payah hanya kerana dirinya.

“Takpalah bang. Adik-beradik Ila kan ada. Adik-beradik Ila, adik-beradik abang jugak kan?” balas Azila yang cuba menceriakan suasana. Dia tahu suaminya itu terasa hati dengan adik-beradiknya yang langsung tidak mempedulikan keadaan dirinya.

“Sampai hati dia orang buat abang macam ni..” tutur Afrizal perlahan.

Azila menggenggam erat tangan Afrizal persis memberi kekuatan. Dia sudah tidak peduli akan keadaan keluarga suaminya itu. Semuanya mementingkan diri sendiri dan pandai mengambil kesempatan. Apabila keadaan keluarganya ditimpa kesusahan, tiada seorang pun yang mahu menghulurkan bantuan. Bukanlah dia mengharap balasan. Namun, sebagai ahli keluarga, harus sedar akan tanggungjawab sendiri terhadap ahli keluarga yang lain. Dia tidak hairan andai tiada seorang pun adik-beradik suaminya datang membantu mahupun menziarah. Sedangkan ibu yang sakit pun tiada siapa yang sanggup menjaga, apatah lagi ingin mempedulikan suaminya.

********

“Ila nak bawak abang pergi mana ni?” tanya Afrizal yang lemah di sisi Azila. Isterinya itu tetap tenang memandu.

“Balik kampung Ila la. Dah lama kita tak balik kampung Ila kan…” jawab Azila lembut walaupun soalan itu sudah ditanya lebih daripada tiga kali dalam perjalanan itu.

Disebabkan itulah, dia mengikut saranan doktor untuk mencuba perubatan alternatif apabila perkara yang sama berulang walaupun baharu dua minggu keluar dari hospital. Apabila kali kedua perkara yang sama menimpa, suaminya itu semakin lemah hingga doktor tidak mampu lagi berbuat apa melainkan memasukkan cecair ke dalam tubuh itu kerana Afrizal tidak berselera makan. Segala tenaganya hilang menyebabkan Afrizal kini tidak mampu lagi berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Dia hanya mampu berusaha. Allah yang menentukan segala-galanya. Tanpa pengetahuan Afrizal, dia sudah membuat temujanji dengan seorang ustaz yang dikenali di kampungnya. Dia sekadar hanya mahu mencuba jika benar penyakit yang dialami oleh suaminya itu melibat sebarang gangguan lain yang tidak tercapai dengan pandangan mata kasar manusia.

Kini sudah lebih sebulan suaminya itu tidak bekerja dan telah pun berhenti kerja atas nasihat doktor kerana daya ingatannya semakin lemah disebabkan sakit yang dialami. Majikan suaminya itu sendiri sudah memberi notis kepada Afrizal sekiranya penyakit yang dialami masih juga belum sembuh, Afrizal dinasihatkan agar berhenti kerja sahaja. Suaminya itu memang tidak punya pilihan. Dengan keadaan tubuh yang semakin lemah, dia sendiri tidak dapat memberi jaminan bila suaminya itu akan sembuh seperti sediakala.

Segala perbelanjaan kini bergantung kepada baki wang simpanan yang ada dan juga dari upahnya menjahit serta membantu jirannya membuat kuih-muih untuk berniaga. Azila terpaksa melakukan kerja-kerja yang akan memudahkannya menjaga Afrizal di rumah. Bukan dia tidak mampu mendapatkan kerja yang lebih baik. Malah majikannya dahulu ada menghubunginya jika dia mahu bekerja semula. Tetapi disebabkan jarak tempat kerjanya yang agak jauh untuk berulang-alik, dia tidak mampu. Pada masa yang sama dia risau akan keadaan suaminya di rumah bersama anak-anak walaupun ada jiran tetangga yang akan membantu. Dia sanggup melakukan banyak kerja dari perlu membiarkan tanggungjawabnya kepada keluarga terabai.

Semenjak ibu mertuanya tinggal bersama kakak sulung Afrizal, bebannya sedikit berkurangan walaupun sebenarnya dia tidak rasa dengan menjaga ibu mertuanya sebagai beban. Dengan kudrat yang ada, dia yang tidak mampu untuk menguruskan dua orang sakit dalam satu masa. Dia masih perlu keluar bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga. Risau sekiranya dia tidak mampu menguruskan keduanya dengan baik menyebabkan dia terpaksa membuat keputusan yang agak berat. Dia teringat lagi wajah sedih ibu mertuanya apabila diberitahu dia tidak mampu untuk menguruskan keduanya. Dia terpaksa berbuat demikian demi kebaikan bersama. Dia sanggup berjanji dengan ibu mertuanya sekiranya Afrizal kembali sembuh seperti sediakala, dia akan menjemput semula ibu mertuanya itu dari rumah kakak sulung Afrizal. Dia menganggap semua yang berlaku itu hanyalah sementara.
………

Azila mengambil tempat di hadapan Puan Sahara di meja makan. Pinggan yang berisi nasi dan lauk sudah pun diletakkan di hadapan ibu mertuanya.

“Mak… Ila nak mintak maaf banyak-banyak dengan mak..” tutur Azila memulakan kata. Dalam hatinya cuba menahan sebak.

“Kenapa Ila nak mintak maaf? Ila tak buat salah pun dengan mak.” Balas Puan Sahara ikhlas.

“Ila tak dapat jaga mak lagi lepas ni…” kata Azila lagi dengan air jernih yang mula bertakung di tubir mata.

“Sebab tu Ila mintak maaf dengan mak?” soal Puan Sahara dengan senyuman kecil di bibir tuanya. Terharu melihat wajah menantunya yang sudah banyak berkorban sepanjang dia sakit. Dan kini dia terpaksa menerima hakikat yang Azila tidak lagi akan menjaganya.
Azila tidak menjawab.

“Ila jangan rasa bersalah dengan apa yang Ila buat sekarang ni. Rizal lagi penting buat masa ni. Mak faham Ila kenapa Ila tak boleh jaga mak. Mak ni dah banyak susahkan Ila dengan Rizal. Ila dah banyak bersusah-payah untuk jaga mak. Lepas ni Ila jagalah Rizal baik-baik. Rizal tu muda lagi. Mak ni takpa Ila. Dah tak lama lagi. Ila dengan anak-anak perlukan Rizal. Bukan mak.” Tutur Puan Sahara tenang sambil menggenggam erat jemari Azila di atas meja.

Azila saat itu sudah pun mengalirkan airmata. Selama ini dia tidak pernah rasa terbeban untuk menjaga ibu mertuanya. Malah apa yang dilakukan, ikhlas untuk memastikan ibu mertuanya itu sihat kembali.

“Apa yang Ila dah buat selama ni, dah cukup baik pada mak. Mak tak tahu nak balas macam mana Ila.” sambung Puan Sahara yang mula menahan sebak. Perasaan menyesal di dalam hatinya tidak pernah surut apabila mengenang kembali apa yang pernah dilakukan kepada menantunya itu.

“Jangan cakap macam tu mak. Dah jadi tanggungjawab Ila jaga mak. Ila tak pernah mintak mak balas dari apa yang Ila dah buat pada mak.” Balas Azila dengan wajah yang sudah lencun dek airmata.

“Kalau macam tu, Ila janganlah menangis macam ni… Ila boleh datang tengok mak. Ila janganlah sampai lupakan mak ya…? Jangan jadi macam anak-anak mak yang lain..” pujuk Puan Sahara lalu menarik tubuh Azila untuk mendakapnya. Malam nanti anak sulungnya akan menjemputnya dan dia akan tidak lagi akan tinggal bersama Azila kerana tidak mahu membebankan wanita yang sudah banyak berkorban demi dirinya selama ini.

Azila tidak menolak. Sebaliknya memeluk erat tubuh itu dengan airmata yang semakin laju menuruni pipi.

“Ila janji dengan mak. Kalau Abang Rizal sihat balik, Ila ambik mak tinggal dengan Ila lagi..” tutur Azila dalam esak tangisnya.

Puan Sahara tidak membalas. Hanya airmatanya sahaja yang tetap mengalir dengan perpisahan yang berlaku. Dia yakin selepas ini mungkin layanan yang akan diterima tidak sesempurna Azila menjaganya.

*******

Afrizal dibaringkan seperti yang diarahkan oleh Ustaz Zaid. Dengan ditemani ibubapanya, Azila hanya memerhati dan menanti dengan sabar apa yang akan dilakukan oleh Ustaz Zaid untuk merawat suaminya. Dia amat berharap apa yang dilakukan ini memberi perubahan yang positif kepada Afrizal mahupun dia perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menampung kos perubatannya nanti. Sebelum rawatan dimulakan lagi Ustaz Zaid sudah memberitahu prosedur yang perlu dilakukan dan yang bakal ditanggung untuk merawat suaminya.

Pada pertemuan pertama mereka, Ustaz Zaid sudah memaklumkan yang suaminya itu mempunyai masalah yang agak berat hingga dia terpaksa memanggil dua orang lagi sahabatnya yang turut mengamalkan perubatan secara islam. Segala kos yang diminta itu hanyalah untuk ubat yang akan digunakan nanti. Dengan menyatakan persetujuan, proses rawatan itu dilakukan demi memastikan suaminya itu sembuh seperti sediakala. Dia sanggup menanggung segala perbelanjaannya nanti.

Apabila bacaan ayat suci al-Quran dimulakan, Azila sudah berasa kurang enak apabila melihat keadaan tubuh suaminya yang mula bergetar dan peluh merenik banyak ke seluruh tubuh. Hampir sahaja dia menitiskan airmata apabila melihat Afrizal yang sedang terpejam seperti menanggung kesakitan yang teramat apabila kepalanya disentuh oleh salah seorang daripada ustaz yang ada. Sesekali terdengar juga Afrizal seperti menjerit menyebut perkataan Allah serta ayat suci Al-quran apabila disuruh. Namun suaranya seperti tenggelam timbul. Hinggalah lebih daripada satu jam proses rawatan dilakukan, Afrizal kembali tenang dan seperti sedang lena.

Selesai proses rawatan yang dilakukan, Ustaz Zaid menghampiri. Dia perasan ada ada percikan peluh di dahi Ustaz Zaid dan lelaki yang hampir sebaya dengan ayahnya itu mengeluarkan sehelai sapu tangan dari dalam poket seluarnya. Debar hatinya menanti apa yang akan disampaikan.

“Alhamdulillah… Semuanya sudah selesai. Cuma yang belum selesai, ahli keluarganya aja. Saya nak mintak tolong, kalau boleh tolong kumpulkan semua ahli keluarganya untuk saya pastikan lepas ni tiada lagi gangguan pada Rizal.” Ustaz Zaid menuturkannya dengan tenang.

“Er..Ustaz, sebenarnya apa yang dah jadi dengan menantu saya tu?” soal Encik Hamid mengenai menantunya.

“Macam ni… Saya sendiri sebenarnya tak berani nak tuduh siapa-siapa. Apa-apa pun, semuanya memang berkaitan dengan syaitan dan jin yang dilaknat Allah. Kita ni manusia biasa aja. Memang tak sedar syaitan tu sentiasa mengikut ke mana aja kita pergi. Apa yang boleh saya cakap dekat sini, syaitan suka duduk dalam tiga bahagian utama dalam tubuh kita ni. Sama ada dalam darah, jantung, ataupun otak kita. Masalah Rizal ni, ‘benda’ tu dah duduk terlalu lama dalam kepala dia. ‘Benda’ tu dah jadikan kepala Rizal macam tandas. Terlalu banyak benda kotor. Itu yang agak susah sikit selagi kita tak selesaikan dengan keluarga dia sendiri.” Jelas Ustaz Zaid tenang.

Azila yang tekun mendengar seperti tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Ustaz Zaid. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh ‘benda’ oleh Ustaz Zaid itu. Jika begitu buruk keadaan suaminya, memang perkara itu telah lama berlaku sebelum dia berkahwin dengan Afrizal lagi. Suaminya itu sendiri pernah memberitahu yang dia kerap mengalami sakit kepala sejak dia mula bekerja hinggalah kini. Dia percaya tentang kewujudan jin dan syaitan. Cuma ada di antara kita telah menggunakan perkhidmatan ‘mereka’ itu sebagai jalan mudah dalam kehidupan. Terutamanya orang zaman dahulu yang masih lemah tentang hukum hakam agama.

“Kalau macam tu Ustaz, apa yang saya kena buat sekarang ni?” tanya Azila dengan suara yang bergetar.

“Kita tawakallah sama-sama. Banyakkan berdoa. Saya dah berusaha mana yang mampu. Dia yang menentukan segala-galanya. Cuma satu ajalah yang saya mintak tadi. Tolong kumpulkan semua ahli keluarganya untuk kita selesaikan semua masalah yang sebenarnya. Itu aja yang saya mintak. Lagi satu, tolonglah amalkan surah-surah yang saya dah tulis pada kertas ni. Bukan untuk sesiapa. Tapi sekadar pelindungan diri. Suruh juga Rizal amalkan kalau dia boleh baca semuanya.” Kata Ustaz Zaid mengingatkan lalu mengambil sehelai kertas dari atas rak berhampiran.

“Dan lagi satu sebelum saya terlupa, kamu boleh bawak Rizal pergi hospital untuk periksa apa yang patut. Untuk pastikan semuanya baik. Saya dah buat apa yang termampu. Tentang sakit-sakit lain yang boleh dirawat dengan pandangan mata kasar, bukanlah tugas saya. Doktor lebih ariflah dengan tu semua.” Lanjut Ustaz Zaid lagi dengan bibir mengoyak senyum nipis.

Azila tidak mampu berkata apa lagi selain berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa. Dia sendiri tidak mampu untuk berbuat apa melainkan berusaha dan berdoa. Dia telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Cuma tugasnya yang terakhir adalah mengumpulkan semua ahli keluarga suaminya untuk rawatan yang terakhir. Dengan hubungan baik yang sudah terjalin dengan ibu mertuanya, dia yakin wanita tua itu dapat membantunya untuk mengumpulkan semua adik-beradik Afrizal. Masalah sebenar masih belum terungkai selagi semua ahli keluarga mertuanya itu belum berkumpul.

8 comments:

Anor said...

cepat sambung n3 baru ye nak tau
cerita selanjutnya. Sungguh tabah
betul Azila menharungi setiap dugaan
yg diterima.

mizz acu said...

hermm.. kna buatan adik bradik sendiri ka.. haihhh.. ksian rizal ksian jugak ilaa.. cepat2 sembuh ek..

arsha, byk lagi bab ke ni.. :)

mizz acu said...

hermm.. kna buatan adik bradik sendiri ka.. haihhh.. ksian rizal ksian jugak ilaa.. cepat2 sembuh ek..

arsha, byk lagi bab ke ni.. :)

arsha wangi said...

satu bab aja lagi :)

sue said...

ni mesti kerja keluarga Rizal kan.... Nasib baik keluarga Azila bertimbang rasa.... sabar ya Azila dan Rizal....

sentebale-hk said...

mistik ni..lari sikit dr jiwang2..hehe

eim yunus said...

wahhh sakit misteri rupanya..xsabor nk taw sape punye krja..

MaY_LiN said...

nape la jaman moden cenggini ade gak yang buat bende camtu..
aish..
smg ila tabah n rizal cepat sembuh..
arsha..nape cam separuh je..
part.."..suruh rizal amalkan kalau."
cam tergantung ja..