Jul 11, 2012

Mengharap kasih_final part ~habis!



“Abang, boleh tak kalau Ila nak ambik mak duduk dengan kita?” tanya Azila di suatu petang ketika mereka duduk di kerusi rehat memerhati anak-anak bermain di padang.

Afrizal yang sudah hampir sihat memandang ke wajah isterinya dengan kerutan di dahi. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Hampir sebulan dia duduk di rumah, terasa tubuhnya semakin bertenaga sebaik pulang dari hospital. Hanya kakinya sahaja belum begitu kuat untuk berjalan sendiri. Masih memerlukan bantuan. Semua yang berlaku ke atas dirinya kini atas usaha keras isterinya.

“Tak payahlah Ila. Biarlah mak duduk dengan Kak Long. Selama ni pun Ila dah banyak bersusah-payah sebab mak. Kali ni, biarlah adik-beradik abang lain yang jaga. Dia orang sihat lagi. Semua orang senang belaka. Abang tak nak Ila susah-susah lagi. Abang ni pun dah banyak susahkan Ila.” Balas Afrizal lambat dengan wajah dipalingkan ke tengah padang memerhati anak-anaknya. Dia cukup terasa hati dengan apa yang dilakulan oleh adik-beradiknya sepanjang dia terlantar sakit.

“Kenapa?” tanya Azila yang tidak faham. Sebelum ini dia pernah menyatakan hasrat untuk mengambil semula ibu mertuanya ketika lelaki itu sakit. Tetapi entah kenapa lain pula jawapan yang diberi oleh Afrizal selepas sihat semula.

“Abang rasa, Ila dah cukup berkorban demi keluarga abang. Abang rasa dah tak payah lagi. Biarlah mak dengan Kak Long.” Jawab Afrizal tenang. Dia masih tetap dengan keputusannya.

Azila terdiam. Dirasakan Afrizal kini bukan seperti Afrizal yang dikenali sebelum jatuh sakit beberapa bulan lalu. Walaupun kata-katanya masih lembut, namun jelas ketegasan.

“Abang bukan nak jadi anak derhaka Ila. Tapi cukup rasanya apa yang Ila dah buat selama ni. Adik-beradik abang tu pun bukan pedulikan abang lagi. Kalau Ila nak pergi tengok mak, abang izinkan. Tapi untuk jaga mak macam dulu, abang tak izinkan.” Lanjut Afrizal dengan keluhan panjang. Dia benar-benar kecewa di atas apa yang berlaku sebelum ini. Mungkin kerana dia terlalu baik dan berlembut hati selama ini menyebabkan semuanya berani lepas tangan. Semua ingin meletakkan tanggungjawab kepada dirinya seorang. Dan yang menjadi mangsa keadaan adalah isterinya. Isterinya begitu tabah melalui semua dugaan yang berlaku.

Azila masih juga mendiamkan diri. Tidak berani lagi untuk menjawab lebih. Dia cukup faham apabila Afrizal sudah membuat suatu keputusan, pasti akan sukar dibantah lagi. Dia terpaksa akur. Janji-janjinya bersama ibu mertuanya itu juga terpaksa dikuburkan.

“Erm..abang, esok kita balik kampung Ila ya? Ayah nak buat kenduri doa selamat sikit untuk abang.” kata Azila terus menukar topik perbualan mereka setelah masing-masing hanya mendiamkan diri.

“Buat susah-susah aja Ila. Cakap dengan ayah tak payahlah buat. Abang dah sihat ni, syukur Alhamdulillah.” Balas Afrizal sambil memandang ke wajah isterinya yang tersenyum manis.

“Apa yang susahnya abang… Ayah nak buat kenduri tahlil arwah atuk dengan nenek sekali. Lagi satu, kita kan dah nak dekat puasa. Kenduri sambut bulan puasa sekali la…” Jelas Azila mengenai tujuan asal tentang kenduri yang akan dilakukan oleh ayahnya di kampung.

Afrizal tersenyum tawar. Sebenarnya dia berasa malu dengan keluarga Azila yang terlalu baik melayannya berbanding ahli keluarga sendiri.

“Sayang, panggil anak-anak balik. Dah lewat ni.” ujar Afrizal lambat. Dia tidak mahu berlamaan di tepi padang itu hingga hampir ke maghrib kerana itu jugalah yang dipesan oleh Ustaz Zaid sebelum ini. Waktu senjalah merupakan waktu berpesta bagi jin dan syaitan. Pada saat itulah keupayaan mereka di tahap yang paling maksima dalam menyesatkan anak Adam. Di antara waktu matahari semakin menyembunyikan diri sebelum kegelapan malam mengambil tempat.

Azila tanpa banyak soal, terus sahaja menggamit anak-anaknya agar pulang.

*********

“Sayang banyak lagi ke?” tanya Afrizal saat melihat Azila yang bersekang mata untuk menyiapkan tempahan kuih raya.

Sepanjang bulan puasa itu, isterinya menerima tempahan membuat kuih raya daripada jiran-jiran dan juga sahabat yang mengenali kerana semasa bujang, isterinya itu memang rajin membuat kuih raya semata-mata untuk mendapatkan pendapatan lebih. Tetapi kali ini, apa yang dilakukan semata-mata untuk menanggung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Abang, kenapa bangun? Sahur lambat lagi.” Jawab Azila sambil mengeluarkan dulang kuih dari tempat pembakar. Sedikit terkejut dengan teguran suaminya yang tiba-tiba itu. Mata sempat menoleh ke arah jam bulat yang tersangkut di dinding batu hadapannya. Hampir 3 pagi.

“Banyak lagi ke? Nak abang tolong?” tanya Afrizal sebelum duduk di kerusi meja makan. Dia kini sudah mampu berjalan sendiri tetapi memerlukan tongkat kerana kakinya masih belum cukup. Satu tanggungjawab isterinya sudah diringankan. Azila tidak lagi perlu menguruskan dirinya. Segalanya dia mampu lakukan sendiri kini.

“Takpalah abang. Sikit aja lagi. Abang pergilah tidur. Ila boleh buat sendiri.” Balas Azila dengan senyuman. Suaminya itu sejak dahulu memang rajin membantunya jika tempahan yang diterima terlalu banyak. Afrizal sanggup sama-sama bersekang mata kerana ingin menemaninya.

Afrizal tidak membalas. Hanya matanya sahaja tetap terhala ke wajah Azila yang semakin cengkung dan tubuh itu semakin kurus sejak menjaganya. Dia tahu Azila bukan sahaja menjaganya, tetapi sibuk bekerja, menguruskan anak-anak serta kerperluan rumah juga. Semuanya dilakukan demi memastikan kehidupan mereka sekeluarga lebih selesa.

“Ila..”

“Abang nak air ke? Ila boleh buatkan?” tutur Azila lembut.

Afrizal pula hanya menggelengkan kepala perlahan. Ada perkara lain yang ingin diperkatakan kepada isterinya itu.

“Ila…” tuturnya perlahan dengan helaan nafas yang berat.

Azila masih dengan senyuman manis di bibir sambil tangannya menyusun kuih yang siap dibakar masuk ke dalam balang.

Afrizal diam. Cuba membina ayat-ayat yang sesuai untuk dituturkan kepada isterinya.

“Abang ada apa-apa nak cakap dengan Ila ke?” soal Azila pula dengan tangan terhenti dari menyusun kuih tadi apabila Afrizal mendiamkan diri. Mata terhala ke wajah Afrizal yang mula berisi. Kembali seperti sebelum ini namun hilang serinya. Dia tahu ada sesuatu yang dipendam oleh suaminya itu menyebabkan Afrizal banyak termenung sejak keluar dari hospital.

Afrizal mengukir senyum tawar sebelum menjawab.

“Terima kasih.” Tutur Afrizal lambat.

Azila mengerutkan dahi. Tidak faham.

“Untuk apa?”

“Sebab Ila dah susah-susah jaga abang selama ni.” Balas Afrizal dengan air jernih mula bertakung di hujung mata. Memang sejak akhir-akhir ini airmata lelakinya begitu murah untuk menunjukkan diri. Terutamanya apabila teringat akan pengorbanan yang dilakukan oleh Azila kepada dirinya. Wanita itu tidak pernah berungut dengan apa yang dilakukan.

Azila tersenyum manis lagi.

“Kalau Ila sakit, abang pun akan buat benda yang sama pada Ila kan…” tutur Azila lambat.

Afrizal menarik senyum tawar. Dia tidak yakin dia akan jadi setabah isterinya itu.

“Abang pergilah masuk tidur balik. Kejap lagi Ila masuk. Dah nak habis ni.” lanjut Azila lembut.

Afrizal hanya mendiamkan diri tetapi tetap juga menurut kata-kata Azila. Dia bangun lalu mengucup ubun-ubun Azila sekilas.

“Abang masuk dulu sayang.” ucapnya lembut sebelum berlalu masuk.

Azila hanya tersenyum senang. Tidak henti hatinya berdoa yang suaminya itu sihat seperti sediakala. Dia rindu pada Afrizal yang dikenali dahulu.

***********

“Abang, kita nak balik mana ni?” tanya Azila saat mengemaskan baju untuk dimasukkan ke dalam beg pakaian.

Lagi dua hari mereka akan menyambut Hari Raya. Namun suaminya dilihat langsung tiada riak gembira. Sepanjang bulan puasa itu Afrizal dapat berpuasa dengan baik walaupun dia melarang kerana keadaan diri belum benar-benar pulih. Namun lelaki itu tetap juga berkeras.

“Balik kampung Ila la..” jawab Afrizal selamba yang saat itu sedang mengeluarkan bajunya dari almari pakaian untuk dilipat oleh isterinya. Baharu dua minggu dia boleh berjalan tanpa menggunakan tongkat. Hanya memandu dia masih belum cuba lagi. Ke mana sahaja mereka pergi, isterinya itu yang akan memandu.

Azila sudah mengerutkan dahi. Seperti tahun-tahun sudah, mereka akan pulang ke kampung Afrizal. Hanya selepas pagi raya sahaja mereka akan pulang ke rumahnya pula kerana kampung mereka tidak jauh. Masih di dalam satu negeri juga.

“Erm…bukan kita balik kampung abang ke?” tanya Azila inginkan kepastian dari apa yang didengarinya.

“Takdalah. Kita balik kampung Ila tahun ni. Abang mana ada kampung.” Jawab Afrizal tanpa perasaan seraya melabuhkan duduk di birai katil di sisi isterinya.

“Erm.. kalau tak balik kampung pun, mak kan dekat rumah Kak Long. Kita datang rumah Kak Long ajalah bang..” ujar Azila lagi.

“Tak payahlah. Nanti kita singgah rumah Kak Long sekejap tengok mak. Lepas tu kita terus balik kampung Ila. Abang dah janji dengan ayah nak tolong buat lemang tahun ni. Abang teringin nak makan. Sebab tahun lepas abang tak sempat rasa, lemang dah habis.” Balas Afrizal yang lebih teruja untuk pulang ke kampung keluarga mertuanya berbanding kampung sendiri. Hatinya benar-benar tawar dengan ahli keluarga sendiri. Dia tahu, jika dia tidak pulang pun, tidak akan memberi kesan apa-apa ke atas keluarganya.

“Abang sure ke tak nak beraya dengan mak tahun ni?” tanya Azila lagi.

“Abang pasti sayang. Dia orang bukannya kisah pun abang ada ke tak. Tiap-tiap tahun pun dia orang semua sibuk balik rumah mertua masing-masing. Sebelum ni asyik kita aja yang balik beraya dengan mak kan. Tahun ni, abang nak beraya rumah ayah pulak. Abang tak pernah beraya rumah ayah. Abang nak pergi sembahyang raya dengan ayah tahun ni.” Jawab Afrizal penuh yakin. Dia sudah merebahkan tubuh ke katil dengan mata terhala pada kipas siling yang berputar ligat.

“Hm… Habis tu mak macam mana? Kalau Kak Long balik kampung mertua dia, mak nak duduk dengan siapa?” tanya Azila lagi yang tidak sampai hati membiarkan ibu mertuanya.

Kelmarin dia ada bertemu dengan sepupu Afrizal di bazaar ramadhan. Sepupunya itu ada memberitahu akan keadaan ibu mertuanya yang tidak sihat sejak akhir-akhir ini. Semenjak dia menerima tempahan membuat kuih raya, dia tidak lagi berkesempatan untuk menziarahi ibu mertuanya. Tambahan pula kedatangannya sering disambut dingin oleh kakak sulung Afrizal itu. Dia hanya mampu bercakap melalui telefon sahaja untuk bertanya khabar. Semalam dia ada menghubungi ibu mertuanya. Namun apabila ditanya keadaan diri, ibu mertuanya itu hanya menjawab sihat seperti selalu sahaja. Tetapi apabila mendengar nada suara wanita tua itu, jelas ibu mertuanya tidak sihat.

“Pandai-pandailah Kak Long. Diakan orang terpandai sekali. Pandailah dia nak buat macam mana dengan mak.” Jawab Afrizal selamba yang mula memejam mata. Terasa berat kelopak matanya saat itu dan minta ditutup sebentar memandangkan mereka akan bertolak selepas Asar nanti.

“Sayang, abang mengantuk sangat. Abang nak tidur kejap. Nanti azan Asar kejutkan abang. Kita balik lepas Asar.” Lanjut Afrizal sambil membetulkan posisi tubuh.

“Iyalah.” balas Azila pendek tanpa bersoal panjang. Dia tahu keadaan suaminya itu belum benar-benar cukup pulih sepenuhnya. Waktu tidur suaminya itupun tidak menentu. Adakalanya hanya tidur 3 jam sahaja dalam satu hari. Pada lain waktu pula, lebih dari lapan jam dia tidur. Dia tidak pasti sama ada ianya kesan daripada ubat yang dimakan atau kesan dari pembedahan yang dilakukan. Sekarang ini dia sedang menanti keputusan daripada pemeriksaan kesihatan yang dilakukan beberapa hari lepas untuk memastikan suaminya boleh melalui rawatan kimoterapi yang harus dilalui oleh setiap penyakit kanser. Ianya bertujuan untuk melawan dan memusnahkan sel-sel kanser yang masih ada dalam badan dengan lebih cepat kerana tidak dapat dibuang melalui pembedahan.

“Abang sayang Ila. Abang sayang along dengan adik.” Kata Afrizal dengan suara yang perlahan.

Azila menguntum senyum manis walaupun Afrizal tidak perasan senyuman yang terukir di bibirnya kerana lelaki itu sudah pun memejamkan mata.

……………….

“Abang, dah Asar ni. Bangunlah. Nanti kita terlambat balik. Kan nak singgah tengok mak dulu.” kata Azila tanpa menoleh ke wajah suaminya yang sedang lena di atas katil. Ketika itu dia sedang memasukkan baju anak-anaknya pula ke dalam beg.

Azila kemudiannya menoleh ke wajah suaminya yang masih lena. Begitu tenang wajah itu. Azila mengukir senyum. Wajah tenang itulah yang selalu menjadi hiasan mimpi malamnya. Dia menghampiri tubuh Afrizal untuk mengejutkan suaminya.

“Abang, bangunlah. Dah Asar ni.” Kata Azila lagi sambil menyentuh lembut pipi Afrizal dan menepuk perlahan agar suaminya itu terjaga.

“Abang..” panggil Azila lagi apabila dirasakan langsung tiada riaksi dari suaminya. Hati mula dijentik debar halus. Selalunya Afrizal mudah terjaga apabila dia menyentuh tubuh itu.

“Abang..” panggilnya lagi sambil menaikkan sedikit ton suaranya agar lebih jelas didengari oleh Afrizal. Hatinya semakin berdebar kencang. Tangannya cepat memeriksa nadi di pergelangan tangan Afrizal. Masih ada!

Digoncang pula tubuh itu.

“Abang. Bangunlah Abang. Janganlah takutkan Ila.” Katanya lagi dengan debar yang semakin menggila di hati. Apabila sudah berkali-kali dicuba Afrizal tidak juga bangun, Azila terus mancapai telefon bimbit di meja kecil sisi katil untuk menghubungi Shafiq. Mereka telah berjanji untuk pulang bersama-sama ke kampung tadi.

“Abang Shafiq, tolong Ila. Abang Rizal tak nak bangun. Tolong Ila bang.” Katanya cepat sebaik panggilan bersambung.

“Ila.. akak ni, Abang Shafiq tertinggal phone. Dia keluar isi minyak kereta kejap. Kenapa dengan Rizal?” suara kakaknya di hujung sana.

“Akak, Abang Rizal tak nak bangun kak. Ila dah kejut, tapi dia tak nak bangun. Tolong Ila kak..” kata Azila lagi sambil sebelah tangannya menyentuh pipi Afrizal yang sedikit sejuk.

“Abang Shafiq dah balik, kejap lagi akak sampai.” kata suara itu lagi lalu memutuskan talian.

Azila terus meletakkan telefon bimbit tadi dan pergi ke bilik anak-anaknya yang juga lena. Terus dia mengejutkan anak sulungnya untuk menemani Afrizal sementara dia pergi memanggil jirannya. Dia risau jika ada perkara buruk yang menimpa Afrizal.
………………..

“Abang…” panggil Azila perlahan saat melihat ada gerakan di wajah Afrizal.

Afrizal baharu sahaja sedarkan diri sejak pengsan dari petang semalam. Atas bantuan Shafiq dan jirannya, Afrizal segera dihantar ke hospital. Dan sejak semalam dia menanti di situ semata-mata mahu melihat Afrizal sedar.

“Ila… kenapa abang ada dekat sini. Bukan ke kita dah balik kampung?” tanya Afrizal dengan suara yang serak. Kepalanya terasa berat untuk diangkat. Dia sedar di mana kini dia berada.

“Abang tidur lama sangat… Kita belum balik kampung lagi.” Jawab Azila dengan suara yang tertahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal daripada airmatanya jatuh.

Doktor Kamal yang merawat suaminya dahulu tiada kini. Doktor muda bernama Syafikah yang merawat suaminya sejak semalam. Sekali lagi dia terpaksa melalui dugaan yang amat berat apabila daripada pemeriksaan yang dijalankan, sel kanser sudah pun merebak ke bahagian otak sebelah kiri Afrizal. Pihak hospital tidak dapat melakukan rawatan kimoterapi seperti yang sudah dijadualkan gara-gara tahap kesihatan Afrizal yang tiba-tiba menurun dengan menadadak. Tekanan darah lelaki itu tidak stabil. Terpaksa menanti keadaan suaminya itu benar-benar sihat.

“Tidur lama sangat? Kenapa sayang tak kejutkan abang?” balas Afrizal sambil memegang kepalanya.

“Sayang, kenapa kepala abang ni? Sakit sangat.” sambung Afrizal perlahan.

“Abang tak payahlah cakap banyak-banyak. Abang tidurlah dulu… Biar Ila picitkan kepala abang ya..” balas Azila sambil menolak perlahan tangan Afrizal yang sedang memicit kepala sendiri.

Air jernih yang mula bertakung di hujung mata cepat diseka untuk mengelakkan dari terlihat oleh Afrizal. Dia mahu menjadi sumber kekuatan kepada suaminya itu. Tetapi dengan semangat yang semakin hilang sebaik mengetahui keadaan suaminya, kini dia perlu bersedia menerima apa jua ketentuan Allah kepadanya. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dengan keadaan Afrizal begitu.

Afrizal pula sudah memejam mata semula. Mula tenang sebaik tangan Azila memicit lembut kepalanya.

“Abang sayang Ila. Abang sayang Along dengan Adik..” tutur Afrizal seperti berbisik.

Azila tidak mampu lagi menahan sebak di dada sebaik mendengar kata-kata yang terluah dari bibir suaminya itu.

Dalam masa yang sama, pintu bilik wad terkuak dari luar. Wajah ibu dan ayahnya memenuhi ruang mata. Serentak itu juga airmatanya laju menuruni pipi. Anak-anak ada bersama kakaknya dan Shafiq yang menanti si rumah kerana ibubapanya itu sejak semalam bermalam di rumahnya. Segala kelengkapan untuk menyambut hari raya dibawa ke rumahnya apabila semua adik-beradiknya sudah membuat keputusan akan pulang ke rumahnya semata-mata kerana Afrizal. Doktor juga ada menasihati yang Afrizal boleh dibawa pulang. Kini Afrizal hanya bergantung kepada ubat yang dibekalkan untuk mengurangkan sakit yang dialami.

“Sabarlah Ila. Semua ni kehendak Dia. Banyakkan bersabar.” Pujuk Puan Nazimah yang memeluk erat bahu anak ketiganya itu. Dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang kembali di saat umat Islam bakal meraikan hari kebesaran setelah sebulan berpuasa.

Azila tidak mampu menjawab. Hanya tangisannya sahaja yang mula kedengaran. Afrizal saat itu sudah kembali lena.

“Adik-beradik dia semua dah tahu?” tanya Encik Hamid dengan suara yang tertahan kerana tidak mahu menganggu lena menantunya itu.

“Dah ayah.” Jawab Azila pendek. Tangannya memicit perlahan kepala Afrizal.

“Dah ada yang datang?” tanya Encik Hamid lagi sekadar ingin mengetahui.

“Semua dah balik kampung keluarga mertua yah.. Takda siapa yang ada. Kak Long pun balik kampung Abang Long. Bawak mak sekali semalam.” Jawab Azila dalam linangan airmata.

Keadaan adik-beradik Afrizal yang langsung tidak mempedulikan suaminya itu menambah kesedihan di hati. Bukan mengharap sebarang bantuan. Tetapi sekadar mengambil tahu akan keadaan suaminya itu. Dia tahu Afrizal memendam perasaan sedih sendiri kerana melihat perangai setiap adik-beradiknya yang langsung tidak mengambil peduli akan diri. Dia tahu suaminya itu benar-benar kecewa.

“Astaghfirullahal’azim..” terdengar ayahnya beristighfar perlahan.

“Hm.. ayah tak tahu nak cakap macam mana lagi Ila.. Ayah kesian betul dengan Rizal ni.” Kata Encik Hamid dengan keluhan panjang. Tidak menyangka begitu teruk keadaan keluarga menantunya itu. Antara menantu yang dia miliki, dia memang sejak awal lagi lebih rapat dengan Afrizal kerana keberanian lelaki itu bertemu dengannya untuk berkawan dengan Azila. Malah dengan berani juga menyuarakan hasrat hati untuk memperisterikan anaknya itu.

Azila tidak menjawab. Hanya airmatanya sahaja masih tetap mengalir apabila mengenangkan nasib suaminya yang dahaga kasih sayang keluarga sendiri. Dia  sendiri kecewa di atas apa yang berlaku. Sikap tidak ambil peduli ipar-iparnya memang menghampakan. Ketika dia memaklumkan keadaan Afrizal kepada ibu mertuanya, terdengar suara ibu tua itu menangis. Dia tahu ibu Afrizal terlalu berharap untuk bertemu dengan suaminya. Namun, apakan daya. Dengan keadaan yang tidak mengizinkan dan terpaksa mengikut kata Azniza, ibu mertuanya itu tidak mampu berbuat apa.

***********

Syahdu kedengaran takbir raya yang bergema dari masjid kawasan perumahan berhampiran dengan hospital di subuh Hari Raya itu. Di situ ada tiga lagi ahli keluarga pesakit yang sama-sama tidur di surau paling hampir dengan wad suaminya. Tiada seorang pun keluarga pesakit yang dibenarkan untuk bermalam di dalam wad kerana ada jururawat yang sentiasa memantau keadaan pesakit.

Lama dia berteleku di atas tikar sejadah itu sambil bibir perlahan menuruti bait-bait takbir yang kedengaran. Terasa hatinya dipagut rasa sayu apabila mengenangkan keadaan diri. Tidak menyangka persiapan yang dilakukan untuk menyambut Hari Raya dalam seminggu itu sebenarnya sia-sia. Segala keperluan disediakan menggunakan hasil usaha kerasnya dalam sebulan itu untuk memastikan tiada yang kurang. Sama sepertimana yang dilakukan oleh Afrizal dalam tahun-tahun lepas.

Airmata yang tidak ditahan sejak tadi mengalir lesu apabila teringat kepada adik-beradik suaminya yang langsung tidak datang menziarah. Afrizal langsung tidak dihiraukan malah seperti sudah dibuang keluarga. Entah di mana silap suaminya menyebabkan semua ahli keluarga bersikap dingin dengan mereka. Dalam keadaan Afrizal begitu, dia tahu sokongan keluarga adalah yang paling penting. Namun, apalah dayanya jika semua adik-beradik Afrizal tetap sedemikian rupa. Kini, dia hanya mengharapkan sokongan daripada keluarga di sebelahnya sahaja untuk memberi kekuatan dan semangat kepada Afrizal agar terus bertahan demi dirinya dan anak-anak. Dia masih memerlukan Afrizal dalam hidupnya. Anak-anaknya juga amat memerlukan Afrizal sebagai ayah mereka.

“Kak..” tegur satu suara yang begitu hampir di sisinya membuatkan Azila menoleh.

Seorang gadis yang masih muda serta turut bermalam di surau itu kerana menjaga adiknya yang menghidapi penyakit leukimia.

“Kenapa Zana?” tanya perlahan seraya menyeka pantas airmata yang membasahi pipi. Dia cuba memaniskan wajah kepada gadis itu.

“Er…saya rasa suami akak tadi…”

“Kenapa?” potong Azila pantas dengan debaran di dada yang tiba-tiba hadir apabila Zana menyebut tentang bilik suaminya.

“Er... ada doktor masuk bilik suami akak tadi. Erm.. macam ada problem kak sebab nurse keluar masuk dari bilik tu tadi.” jelas Zana yang kebetulan pergi ke bilik air dan melewati wad yang menempatkan Afrizal.

Azila yang mendengar perkhabaran itu terasa tangkai jantungnya disentap kuat. Kemudian cepat dia menanggalkan kain telekung yang dipakai dan terus mencapai kain tudung di sisi. Terburu-buru dia keluar dari surau untuk melihat sendiri apa yang diperkatakan oleh Zana tadi.

Kaki semakin deras dihayun merapati kaunter berhampiran untuk bertanya kepada jururawat yang bertugas tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku ke atas diri suaminya. Hatinya semakin berdebar hebat saat ternampak kelibat Doktor Kamal melangkah laju terus masuk ke dalam bilik suaminya. Tidak sempat dia menahan.

“Er..Nurse, kenapa dengan suami saya?” tanya Azila dengan suara yang sedikit bergetar. Dalam hati tidak henti dia berdoa agar tiada apa-apa yang buruk berlaku ke atas diri suaminya.

“Maaf Puan. Encik Afrizal sesak nafas tiba-tiba. Saya harap Puan bersabar. Doktor tengah barusaha untuk bantu Encik Afrizal.” Jawab jururawat yang bertugas membuatkan Azila sedikit terpempan. Berdegup kencang jantungnya mendengar keadaan Afrizal. Risau menggunung tinggi di dalam hatinya. Tangan dan kakinya mulai terasa sejuk saat itu.

Telefon bimbit yang memang sentiasa ada bersamanya dikeluarkan untuk menghubungi ayahnya. Dia memang amat memerlukan ayahnya saat itu kerana berasa takut yang teramat jika ada sesuatu yang buruk berlaku nanti. Airmatanya merembes laju membasahi pipi apabila dalam kepalanya sudah membayangkan yang bukan-bukan mengenai Afrizal. Hingga kepalanya tergeleng-geleng sendiri kerana cuba membuang jauh terjahan negatif yang datang. Dia perlu terus berdoa agar suaminya akan dalam keadaan yang baik sentiasa.
Sebentar kemudian telefon bimbitnya yang sentiasa dalam mode senyap bergetar. Pantas Azila menekan butang hijau apabila ternampak sebaris nama tertera di skrin kecil yang berkelip itu.

“Assalamualaikum akak.” ucapnya lemah.

“Ila ada dekat luar bilik ni.” katanya lagi dengan suara yang bergetar. Airmatanya bila-bila masa sahaja akan turun semula.

“Okey kak. Terima kasih..” balasnya perlahan dengan linangan airmata yang mula menuruni pipi. Kakak sulungnya sudah menanti di lobi hospital bersama anak-anaknya sementara waktu melawat tiba. Kebetulan Hari Raya itu jatuh pada hari Ahad. Maka waktu melawat sedikit panjang berbanding hari biasa.

Beberapa ketika menanti, pintu bilik Afrizal terkuak dari dalam. Dilihat wajah Doktor Kamal memenuhi ruang mata. Azila hanya mampu memerhati doktor lelaki itu menghampiri tempat duduknya. Airmata yang membasahi wajah cepat diseka.

“Selamat Hari Raya Puan.” Ucap Doktor Kamal dengan senyuman kecil di bibir.

Azila hanya membalas dengan senyuman yang sama. Dia perasan senyuman kecil yang terukir di bibir Doktor Kamal tidak semanis biasa.

Kemudian terdengar pula keluhan halus dari bibir doktor lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Nampak tenang. Namun masih jelas garisan kerisauan.

“Doktor, saya dah sedia dengar. Doktor cakap ajalah apa yang doktor nak cakap dengan saya.” Tutur Azila tenang sambil mengawal nada suaranya. Dia redha andai ajal yang memisahkan dia dan suaminya semakin menghampiri.

Doktor Kamal mengukir senyum lagi sebelum menjawab.

“Puan, saya rasa hari ni Puan boleh bawak Encik Afrizal balik. Buat masa ni memang takda apa-apa rawatan yang boleh saya buat dengan keadaan kesihatannya yang macam tu. Cuma saya boleh bagi ubat untuk tahan sakit aja buat masa ni Puan.” Kata Doktor Kamal dengan tenang.

Azila cepat menyeka air jernih dari turun ke pipinya sebaik mendengar kata-kata Doktor Kamal. Bibirnya tetap mengukir senyum walaupun pahit.

“Terima kasih doktor.” Ucapnya dengan suara yang tertahan. “Er.. kenapa dengan suami saya tadi?” soalnya kemudian.

“Suami Puan sesak nafas sikit tadi. Alhamdulillah.. sekarang dah stabil.” Jawab Doktor Kamal dalam nada yang sama.

“Puan, saya mintak maaf sebab buat masa ni memang saya tak dapat nak tolong. Badan dia memang tak kuat untuk buat kimoterapi tu. Saya harap sangat dia cepat sihat semula. Lepas tu kita boleh buat rawatan kimo tu secepat mungkin. Bagilah dia semangat puan.” Kata Doktor Kamal yang sedia membantu sedaya upayanya untuk menyelamatkan pesakit yang berada di dalam pemantauannya.

Azila sudah mengalirkan airmata. Dia sendiri berharap agar suaminya cepat sembuh dan kembali sihat seperti dahulu lagi. Dia dan keluarga memang tidak henti memberi sokongan serta semangat kepada Afrizal. Cuma keluarga lelaki itu sahaja yang dilihatnya semakin menyisihkan Afrizal dari hidup masing-masing. Afrizal diperlakukan seperti tidak wujud lagi dalam dunia mereka.

“Terima kasih doktor.” Ucap Azila perlahan yang sudah menundukkan wajah. Malu kerana menangis di hadapan lelaki yang sudah berusia itu.

“Sama-sama. Kalau ada apa-apa, Puan boleh cari saya atau Doktor Syafikah.” ujar Doktor Kamal sebelum bingkas bangun. Masih ada kerja lain yang masih menantinya.

Azila hanya menganggukkan kepala sebagai jawapan.

“Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Kata Doktor Kamal yang terus meninggalkan Azila sendirian di situ.

Sebaik hilang sahaja kelibat Doktor Kamal meninggalkannya di situ, Azila terus bangun untuk melihat keadaan suaminya di dalam bilik. Luruh lagi airmatanya melihat wajah suami yang pucat. Tidak seperti saat dia tinggalkan malam tadi.

*************

“Kak, terima kasih datang.” Ucap Azila dengan senyuman saat bersalaman dengan salah seorang jiran yang datang menziarahi suaminya.

Semenjak keluar dari hospital seminggu lalu, Afrizal tidak lagi bercakap mahupun bangun seperti sebelum ini. Lelaki itu hanya terlantar diam dan lebih banyak tidur. Dilihat suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah tahap kesihatannya semakin merosot. Tubuh itu kembali menyusut kerana Afrizal kini hanya bergantung kepada susu. Tidak lagi makan makanan berat.

Jiran-jiran tidak henti datang menziarah dan tidak kurang juga ada yang sedekahkan surah yassin buat suaminya itu. Dia sendiri tidak henti mengalunkan bacaan yassin.

“Ila, kamu dah telefon adik-beradik Rizal?” tanya Encik Hamid saat tetamu yang berkunjung tadi semuanya pulang.

“Dah ayah. Tapi Ila tak tahulah datang ke tak.” Jawab Azila lemah dengan wajah keruh.

Sudah seminggu hari raya, seorang pun adik-beradik Afrizal tiada yang datang. Dia ada menghubungi semuanya, namun masing-masing memberi jawapan yang hampir sama setiap kali dia menghubungi. Hanya keluarganya sahaja yang tidak jemu-jemu datang menziarah. Malah ibubapanya sendiri sudah seminggu tinggal di rumahnya hanya kerana tidak mahu meninggalkan Afrizal begitu. Adik-beradiknya juga hampir setiap hari datang ke rumahnya hanya kerana Afrizal. Masing-masing tidak sampai hati melihat keadaan Afrizal yang jelas kelihatan semakin lemah. Doktor Kamal sendiri ada datang untuk melihat keadaan Afrizal. Namun tiada apa yang dapat dilakukan.

 Terdengar suara ayahnya mengeluh.

“Ayah nak keluar kejap ni nak beli barang dapur dengan mak. Ila ada apa-apa nak pesan?” tanya Encik Hamid yang sudah menjadikan rumah anak menantunya itu seperti rumah sendiri. Segalanya dipastikan cukup lengkap.

“Ayah tolong belikan pampers Along dengan Rizal sekali ya ayah. Tunggu kejap Ila ambik duit.” Jawab Azila sebelum bangun dari duduk di sisi suaminya yang terbaring di ruang tamu.

“Tak payahlah Ila. Duit yang kamu bagi hari tu pun ada lagi. Ayah pakai duit tu ajalah.” Jawab Encik Hamid menolak. Sebenarnya dia tidak sampai hati untuk mengambil duit pemberian anaknya itu kerana tahu yang Azila memang amat memerlukan. Dia sendiri mempunyai simpanan dan masih cukup untuk membantu meringankan beban anak perempuannya itu.

“Cukup ke yah?” tanya Azila kembali.

“Tak cukup ayah tambahlah nanti. Kamu tu jangan pergi jauh-jauh dari Rizal. Tunggu dia dekat situ sampai ayah dengan mak balik.” Ujar Encik Hamid yang sebenarnya merasakan sedikit berat hati untuk meninggalkan rumah itu walau seketika. Seperti ada sesuatu yang akan berlaku, namun hatinya cuba menafikan.

“Along dengan adik ayah bawak sekali ni.” Kata Encik Hamid lagi sebelum terus keluar dan memimpin kedua anaknya.

“Iyalah ayah.” Jawab Azila ringkas. Matanya sempat singgah ke wajah tenang suaminya yang sedang lena.

Encik Hamid terus menapak keluar untuk menghidupkan enjin kereta sementara menanti isterinya keluar.

“Mak pergi dulu Ila. Kamu jangan nak buat apa-apa. Jangan nak tinggalkan Rizal tu. Semua mak dah siapkan. Kalau ada orang datang, tu mak dah siapkan air atas meja tu.” Ujar Puan Nazimah pula sebelum menapak ke luar rumah. Dia juga turut mengingatkan akan perkara yang sama setelah suaminya menyuarakan rasa hati yang kurang enak kepadanya mengenai Afrizal. Mujur kedai yang mereka pergi tidak jauh dari kawasan perumahan itu. Hanya lima belas minit perjalanan sahaja.

“Iya mak.” Jawab Azila sama seperti tadi.

Dia memang setia menanti siang malam di sisi suaminya itu. Semenjak keluar dari hospital seminggu lalu, Afrizal hanya dibiarkan terbaring di ruang tamu itu beralaskan tilam bujang kerana lebih mudah andai orang datang menziarah. Dia sendiri akan tidur di situ bersama anak-anak hanya kerana tidak mahu membiarkan Afrizal keseorangan. Dia akan pastikan suaminya itu berteman.

Sebaik ayah dan ibunya meninggalkan rumah, Azila bangun untuk mengambil tuala basah. Setiap petang dia akan mengelap tubuh Afrizal agar lelaki itu agar lebih selesa untuk tidur.

Apabila tuala yang siap dibasahkan mengena kulit wajah Afrizal, dia perasan ada gerakan di wajah itu.

“Abang..” panggil Azila lembut dengan harapan Afrizal akan menjawab. Dari seminggu lalu dia akan sentiasa berbual-bual dengan Afrizal walaupun lelaki itu hanya memejamkan mata.

“Abang, ayah dengan mak keluar beli barang kejap.  Bawak anak-anak sekali.” Kata Azila bercerita sambil tangannya mengelap tubuh Afrizal dengan lembut. Tidak mahu suaminya itu berasa sakit jika dia memberi tekanan kuat.

Mata Afrizal memandang ke arahnya namun masih tidak menjawab.

“Abang cakaplah dengan Ila. Ila rindu nak dengar suara abang.” Kata Azila dengan suara yang mula bergetar.

Begitulah selalunya jika dia berbual dengan Afrizal. Pasti airmatanya ingin menitis melihat keadaan Afrizal seperti tidak lagi bermaya dan hilang kemampuan untuk berbual seperti dahulu lagi.

“Abang tak kesiankan Ila ke? Abang cakaplah. Sikit pun takpa. Ila nak dengar.” Tutur Azila lembut. Kali terakhir dia mendengar suaminya berkata-kata ketika Afrizal sedar dari pengsan. Hari kedua di hospital iaitu sehari sebelum hari raya.

‘Abang sayang Ila. Abang sayang Along dengan Adik.’ Itulah ayat terakhir yang didengarinya daripada Afrizal sebelum lelaki itu sesak nafas pada pagi 1 syawal.

“Ila.”

Sepatah perkataan keluar dari bibir Afrizal membuatkan tangan Azila terhenti dari mengelap tubuh suaminya. Mata terhala ke wajah Afrizal dengan rasa tidak percaya. Walaupun tidak sekuat mana, namun masih jelas di pendengarannya. Kemudian, cepat-cepat dia merapati wajah suaminya yang masih memandang ke arahnya itu. Renungan lembut itu sudah lama tidak dilihatnya. Sama seperti kali pertama mereka bertemu dahulu.

“Abang..” tutur Azila perlahan sambil mengusap perlahan wajah Afrizal yang terasa sejuk itu.

“Sayang…” terlalu perlahan suara itu didengarinya.

Azila mengucup lembut dahi Afrizal dengan linangan airmata. Harapannya tertunai untuk mendengar suara suaminya itu lagi.

“Allah…”

Satu kalimah yang terbit dari bibir itu beserta dada yang sedikit berombak membuatkan Azila mula berasa tidak sedap hati. Tangannya mengurut perlahan dada yang berombak. Serentak itu kalimah Allah disebut berulang kali ke telinga Afrizal.

“Allah..”

Hanya itu sahaja yang kedengaran di bibir Afrizal.

“Abang…” Azila mula menangis teresak-esak. Dia dapat merasakan yang waktu Afrizal sudah pun tiba.

“Allah…” suara itu semakin perlahan dan hampir tidak kedengaran bersama dada yang semakin reda dari berombak. Hanya nafas yang dilepaskan oleh Afrizal sesekali kedengaran amat berat.

“Ya Allah.. kuatkanlah hati aku ya Allah..” bisik Azila perlahan dalam linangan airmata. Tangannya tidak lepas menggenggam erat jemari Afrizal yang terasa sejuk. Sesekali genggamannya berbalas. Dan sesekali pula terlepas tidak berbalas.

Dalam masa yang sama, dia terdengar ada suara memberi salam di luar rumah. Cepat dijawab.

“Abang… Tolong Ila bang..” kata Azila tanpa bergerak jauh dari Afrizal apabila melihat susuk tubuh Shafiq masuk diikuti kakaknya.

“Allahu akbar.” Shafiq terus sahaja meluru mendapatkan Afrizal dan Azila. Begitu juga dengan Amira.

“Kak..” Azila sudah menangis teresak-esak.

Amira terus sahaja mendapatkan Azila dan memeluk erat tubuh itu. Dia sendiri mula menahan sebak sebaik melihat keadaan Afrizal yang sesekali kelihatan melepaskan nafas berat.

Azila melepaskan tangan Afrizal yang tidak lagi membalas genggaman tangannya. Kini Shafiq mengambil alih tempatnya.

“Kita baca yassin Ila.. Kita baca yassin untuk Rizal.” Kata Amira yang mula memerah mata melihat keadaan Afrizal yang jelas nazak. Azila pula seperti tidak lagi mampu bangun. Duduk lemah di hujung kepala Afrizal manakala suaminya sudah memangku Afrizal yang sesekali bernafas kencang.

Call ayah cepat sayang!” Arah Shafiq yang turut sama sudah memerah mata. Tadi ayah mertuanya yang mengarahkan dia datang ke situ tadi untuk menemani adik iparnya itu. Tidak menyangka keresahan yang diluahkan oleh ayah mertuanya tadi memberi petanda.

Tanpa banyak soal, Amira hanya menurut. Dengan tangan yang sedikit menggigil dia menyambut huluran telefon bimbit dari suaminya.

Saat itu Shafiq tidak henti-henti melafazkan kalimah Allah di telinga Afrizal. Dilihat adik iparnya itu semakin lemah. Malas nafasnya juga semakin lama, kian menghilang. Mata itu juga tidak lagi terbuka seperti tadi. Sudah terkatup rapat.

Selepas menghubungi ayahnya, Amira terus menarik Azila untuk bangun dan berwuduk. Dia perlu memaksa adiknya itu menjadi lebih kuat menghadapi ujian yang sedang datang melanda. Mereka tidak mampu melawan takdir yang telah ditetapkan oleh yang Maha Esa.

“Kau kena kuat Ila. Kau jangan macam ni!” marah Amira apabila Azila yang dipimpin untuk bilik air di ruang dapur terjelepuk di pintu bilik air sambil teresak-esak menangis.

“Abang Rizal nak tinggalkan Ila kak. Siapa nak jaga Ila. Siapa nak jaga anak-anak Ila…” rintih Azila seperti orang yang hilang semangat. Dia tidak dapat berfikir dengan baik saat itu. Di fikirannya hanyalah Afrizal. Suami yang akan meninggalkannya pada bila-bila masa sahaja.

“Ila… janganlah macam ni Ila. Semua ni kehendak Dia. Dia lagi sayangkan Rizal Ila. Lepaskan Rizal. Biar dia tenang dekat sana…” tutur Amira yang sudah sama-sama mengalirkan airmata untuk memujuk adiknya itu agar tabah melalui dugaan hidup. Terutamanya di saat genting begitu.

Azila tetap teresak-esak menangis sambil memeluk kedua lututnya. Hatinya benar-benar luluh saat itu. Tambahan pula memikirkan keadaan keluarga Afrizal yang langsung tidak mengambil tahu akan keadaan dirinya sekeluarga.

“Bangun Ila. Kita baca yassin Ila. Kesian Rizal. Jangan buat macam ni Ila.” Pujuk Amira lagi yang tidak mahu Azila berterusan begitu.

“Kenapa Abang Rizal nak tinggalkan Ila kak... Macam mana Ila dengan anak-anak nanti.” luah Azila dalam tangisan.

“Ila..” Amira tidak mampu lagi berkata apa. Dia terus sahaja memeluk erat tubuh adiknya itu. Dia tahu susah untuk menjadi setabah adiknya itu.

“Sayang…” suara Shafiq kedengaran di belakang mereka.
Amira menoleh.

Melihat wajah suaminya yang sudah menitiskan airmata dan menggelengkan kepala beberapa kali dia tahu Afrizal sudah pun pergi meninggalkan mereka.

Dalam masa yang sama, Azila turut memandang ke arah yang sama. Serentak itu semakin lebat airmatanya menuruni pipi.

“Abang…” rintihnya sayu menyebabkan Amira semakin erat memeluk tubuhnya. Dia juga semakin kejap memeluk tubuh kakaknya itu. Kini dia memang benar-benar memerlukan kekuatan untuk berdiri semula. Pemergian suaminya dalam keadaan penuh mengharap kasih dari keluarga sendiri menambah kesedihan di hati yang teramat.

‘Aku redha ya Allah.. aku redha ya Allah..aku redha ya Allah. Berilah aku kekuatan lagi ya Allah…’ bisiknya berkali-kali untuk mententeramkan hati sendiri.

Tiada lagi kata yang mampu diucap. Apa yang dijangkakan sudah benar-benar berlaku. Terlerai sudah ikatan perkahwinannya kerana Afrizal sudah pun pergi dijemput yang maha Esa. Tinggallah dia dan anak-anak untuk meneruskan liku hidup tanpa seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah. Hilanglah sumber kekuatan dan semangatnya selama ini. Hanya anak-anak kini yang menjadi nadi penguat untuk dia meneruskan hidup.


**********
terima kasih kepada yang mengikuti kisah ni. :)
~sama2 untuk ingatan diri sendiri dan masa depan. :') 

22 comments:

kak na said...

so sad..
akak da rasa mcmana kehilangan org tersayamg dan tak kan kembali lg

sara said...

menyayat hati, bagaikan terkenang masa lalu lebih kurang berlaku pada diri saya sendiri bezanya keluarga mentua saya ada disaat akhir arwah suami saya

arsha wangi said...

:'(

feel sorry to both of u. :'(

maaf.

yad'z said...

touching .... :'(


memang perit bila rasa kehilangan..
Alfatihah pada yang dah kembali ke rahmatullah... moga ditempatkan di kalangan orang2 beriman. Amin..

mia said...

sedih nyer..kesian azila..tp ini lah hakikat hidup.

Anonymous said...

Sedihnye bace sampai meleleh air mata ni laling betul2 menyayat hati sungguh...short story yg best jadikan kisah ini sebagai peringatan untuk kita saling mempererat silaturahim antara keluarga...ambil yg baik buang yang jahat...god job arsha laling...~dewi~

mizz acu said...

tacin r..
u make me cry.. wuwuwuwuwwu..

Anonymous said...

sdh lh..huhu

ciknie said...

sdih sngat cite nie.mmang sdih smpai ke saat kematian rizal pn xde kluarga dia yang datang menjenguk.

Anonymous said...

nangis... T_T
tp best.. huhu :(

MaY_LiN said...

arsha...sooooo sad..
hope ade spesel n3..
nak tau gak pasal famili rizal tu

typo:
sediakal~sediakala
macm~macam

Anonymous said...

Alaaa, sedih lah pengakhiran mcm ni. In a way rasa kecewa sgt. Knp sedih sgt ?? Menitik air mata sy baca. Yg plg terkilan akhirnya mak dia still xdpt jumpa anak dia kan. Jd mangsa keadaan. But congrats writer. One great job I can say

azliana azif said...

sgt menyentuh perasaan...sy sbg pembc rsa seolah2 sy lah azila..sgt2 sdih...

nzlyna'im said...

sedihnye....

arin sayuthi said...

sedih sngt....
tahniah kpda penulis sbb mampu hasil kn karya yang mnyentuh jiwa pembaca.. saya harap awk akn terus berkarya dalam pelbagai genre ...amin

sue said...

Sungguh sedih... kak Sue yang baca pun dah mengalirkan air mata ... apa lagi bagi orang yang menghadapi pada diri sendiri....
Azila biarlah Afrizal pergi dengan tenang dari tengok dia sakit dan terseksa lebih sakit rasanya.... semoga tabah....

DNE said...

TAHNIAH.......SEBUAH CERITA YANG SANGAT-SANGAT MENYENTUH HATI. KISAH HIDUP MASYARAKAT YANG SERING TERJADI TAPI JARANG TERPANDANG DI MATA KITA. SEMOGA MENJADI IKTIBAR PADA KITA SEMUA.

lizawati said...

SEDIHNYA CERITA NI....BACA SAMBIL MENGALIR AIR MATA...

Anonymous said...

kesudahan yg ditakdirkan..walau sakit, yakinlah kita tidak akan keseorangan

noor sabarina said...

cerita ni syahdu....

Anonymous said...

Sedihnya. ?. T_T

Lela Jai said...

Sedihnyer.....meleleh air mata i..huhuhu