“Abang, boleh tak kalau Ila nak
ambik mak duduk dengan kita?” tanya Azila di suatu petang ketika mereka duduk
di kerusi rehat memerhati anak-anak bermain di padang.
Afrizal yang sudah hampir sihat
memandang ke wajah isterinya dengan kerutan di dahi. Seperti tidak percaya
dengan apa yang didengarinya. Hampir sebulan dia duduk di rumah, terasa
tubuhnya semakin bertenaga sebaik pulang dari hospital. Hanya kakinya sahaja
belum begitu kuat untuk berjalan sendiri. Masih memerlukan bantuan. Semua yang
berlaku ke atas dirinya kini atas usaha keras isterinya.
“Tak payahlah Ila. Biarlah mak
duduk dengan Kak Long. Selama ni pun Ila dah banyak bersusah-payah sebab mak.
Kali ni, biarlah adik-beradik abang lain yang jaga. Dia orang sihat lagi. Semua
orang senang belaka. Abang tak nak Ila susah-susah lagi. Abang ni pun dah
banyak susahkan Ila.” Balas Afrizal lambat dengan wajah dipalingkan ke tengah
padang memerhati anak-anaknya. Dia cukup terasa hati dengan apa yang dilakulan
oleh adik-beradiknya sepanjang dia terlantar sakit.
“Kenapa?” tanya Azila yang tidak
faham. Sebelum ini dia pernah menyatakan hasrat untuk mengambil semula ibu
mertuanya ketika lelaki itu sakit. Tetapi entah kenapa lain pula jawapan yang
diberi oleh Afrizal selepas sihat semula.
“Abang rasa, Ila dah cukup
berkorban demi keluarga abang. Abang rasa dah tak payah lagi. Biarlah mak
dengan Kak Long.” Jawab Afrizal tenang. Dia masih tetap dengan keputusannya.
Azila terdiam. Dirasakan Afrizal
kini bukan seperti Afrizal yang dikenali sebelum jatuh sakit beberapa bulan lalu.
Walaupun kata-katanya masih lembut, namun jelas ketegasan.
“Abang bukan nak jadi anak
derhaka Ila. Tapi cukup rasanya apa yang Ila dah buat selama ni. Adik-beradik
abang tu pun bukan pedulikan abang lagi. Kalau Ila nak pergi tengok mak, abang
izinkan. Tapi untuk jaga mak macam dulu, abang tak izinkan.” Lanjut Afrizal
dengan keluhan panjang. Dia benar-benar kecewa di atas apa yang berlaku sebelum
ini. Mungkin kerana dia terlalu baik dan berlembut hati selama ini menyebabkan
semuanya berani lepas tangan. Semua ingin meletakkan tanggungjawab kepada
dirinya seorang. Dan yang menjadi mangsa keadaan adalah isterinya. Isterinya
begitu tabah melalui semua dugaan yang berlaku.
Azila masih juga mendiamkan diri.
Tidak berani lagi untuk menjawab lebih. Dia cukup faham apabila Afrizal sudah
membuat suatu keputusan, pasti akan sukar dibantah lagi. Dia terpaksa akur.
Janji-janjinya bersama ibu mertuanya itu juga terpaksa dikuburkan.
“Erm..abang, esok kita balik
kampung Ila ya? Ayah nak buat kenduri doa selamat sikit untuk abang.” kata
Azila terus menukar topik perbualan mereka setelah masing-masing hanya
mendiamkan diri.
“Buat susah-susah aja Ila. Cakap
dengan ayah tak payahlah buat. Abang dah sihat ni, syukur Alhamdulillah.” Balas
Afrizal sambil memandang ke wajah isterinya yang tersenyum manis.
“Apa yang susahnya abang… Ayah
nak buat kenduri tahlil arwah atuk dengan nenek sekali. Lagi satu, kita kan dah
nak dekat puasa. Kenduri sambut bulan puasa sekali la…” Jelas Azila mengenai
tujuan asal tentang kenduri yang akan dilakukan oleh ayahnya di kampung.
Afrizal tersenyum tawar. Sebenarnya
dia berasa malu dengan keluarga Azila yang terlalu baik melayannya berbanding
ahli keluarga sendiri.
“Sayang, panggil anak-anak balik.
Dah lewat ni.” ujar Afrizal lambat. Dia tidak mahu berlamaan di tepi padang itu
hingga hampir ke maghrib kerana itu jugalah yang dipesan oleh Ustaz Zaid
sebelum ini. Waktu senjalah merupakan waktu berpesta bagi jin dan syaitan. Pada
saat itulah keupayaan mereka di tahap yang paling maksima dalam menyesatkan
anak Adam. Di antara waktu matahari semakin menyembunyikan diri sebelum
kegelapan malam mengambil tempat.
Azila tanpa banyak soal, terus
sahaja menggamit anak-anaknya agar pulang.
*********
“Sayang banyak lagi ke?” tanya
Afrizal saat melihat Azila yang bersekang mata untuk menyiapkan tempahan kuih
raya.
Sepanjang bulan puasa itu,
isterinya menerima tempahan membuat kuih raya daripada jiran-jiran dan juga
sahabat yang mengenali kerana semasa bujang, isterinya itu memang rajin membuat
kuih raya semata-mata untuk mendapatkan pendapatan lebih. Tetapi kali ini, apa
yang dilakukan semata-mata untuk menanggung perbelanjaan mereka sekeluarga.
“Abang, kenapa bangun? Sahur
lambat lagi.” Jawab Azila sambil mengeluarkan dulang kuih dari tempat pembakar.
Sedikit terkejut dengan teguran suaminya yang tiba-tiba itu. Mata sempat
menoleh ke arah jam bulat yang tersangkut di dinding batu hadapannya. Hampir 3
pagi.
“Banyak lagi ke? Nak abang
tolong?” tanya Afrizal sebelum duduk di kerusi meja makan. Dia kini sudah mampu
berjalan sendiri tetapi memerlukan tongkat kerana kakinya masih belum cukup.
Satu tanggungjawab isterinya sudah diringankan. Azila tidak lagi perlu
menguruskan dirinya. Segalanya dia mampu lakukan sendiri kini.
“Takpalah abang. Sikit aja lagi.
Abang pergilah tidur. Ila boleh buat sendiri.” Balas Azila dengan senyuman.
Suaminya itu sejak dahulu memang rajin membantunya jika tempahan yang diterima
terlalu banyak. Afrizal sanggup sama-sama bersekang mata kerana ingin menemaninya.
Afrizal tidak membalas. Hanya
matanya sahaja tetap terhala ke wajah Azila yang semakin cengkung dan tubuh itu
semakin kurus sejak menjaganya. Dia tahu Azila bukan sahaja menjaganya, tetapi
sibuk bekerja, menguruskan anak-anak serta kerperluan rumah juga. Semuanya
dilakukan demi memastikan kehidupan mereka sekeluarga lebih selesa.
“Ila..”
“Abang nak air ke? Ila boleh
buatkan?” tutur Azila lembut.
Afrizal pula hanya menggelengkan
kepala perlahan. Ada perkara lain yang ingin diperkatakan kepada isterinya itu.
“Ila…” tuturnya perlahan dengan
helaan nafas yang berat.
Azila masih dengan senyuman manis
di bibir sambil tangannya menyusun kuih yang siap dibakar masuk ke dalam
balang.
Afrizal diam. Cuba membina
ayat-ayat yang sesuai untuk dituturkan kepada isterinya.
“Abang ada apa-apa nak cakap
dengan Ila ke?” soal Azila pula dengan tangan terhenti dari menyusun kuih tadi
apabila Afrizal mendiamkan diri. Mata terhala ke wajah Afrizal yang mula berisi.
Kembali seperti sebelum ini namun hilang serinya. Dia tahu ada sesuatu yang
dipendam oleh suaminya itu menyebabkan Afrizal banyak termenung sejak keluar
dari hospital.
Afrizal mengukir senyum tawar
sebelum menjawab.
“Terima kasih.” Tutur Afrizal
lambat.
Azila mengerutkan dahi. Tidak
faham.
“Untuk apa?”
“Sebab Ila dah susah-susah jaga
abang selama ni.” Balas Afrizal dengan air jernih mula bertakung di hujung
mata. Memang sejak akhir-akhir ini airmata lelakinya begitu murah untuk
menunjukkan diri. Terutamanya apabila teringat akan pengorbanan yang dilakukan
oleh Azila kepada dirinya. Wanita itu tidak pernah berungut dengan apa yang
dilakukan.
Azila tersenyum manis lagi.
“Kalau Ila sakit, abang pun akan
buat benda yang sama pada Ila kan…” tutur Azila lambat.
Afrizal menarik senyum tawar. Dia
tidak yakin dia akan jadi setabah isterinya itu.
“Abang pergilah masuk tidur
balik. Kejap lagi Ila masuk. Dah nak habis ni.” lanjut Azila lembut.
Afrizal hanya mendiamkan diri
tetapi tetap juga menurut kata-kata Azila. Dia bangun lalu mengucup ubun-ubun
Azila sekilas.
“Abang masuk dulu sayang.”
ucapnya lembut sebelum berlalu masuk.
Azila hanya tersenyum senang.
Tidak henti hatinya berdoa yang suaminya itu sihat seperti sediakala. Dia rindu pada
Afrizal yang dikenali dahulu.
***********
“Abang, kita nak balik mana ni?”
tanya Azila saat mengemaskan baju untuk dimasukkan ke dalam beg pakaian.
Lagi dua hari mereka akan
menyambut Hari Raya. Namun suaminya dilihat langsung tiada riak gembira.
Sepanjang bulan puasa itu Afrizal dapat berpuasa dengan baik walaupun dia
melarang kerana keadaan diri belum benar-benar pulih. Namun lelaki itu tetap
juga berkeras.
“Balik kampung Ila la..” jawab
Afrizal selamba yang saat itu sedang mengeluarkan bajunya dari almari pakaian
untuk dilipat oleh isterinya. Baharu dua minggu dia boleh berjalan tanpa
menggunakan tongkat. Hanya memandu dia masih belum cuba lagi. Ke mana sahaja
mereka pergi, isterinya itu yang akan memandu.
Azila sudah mengerutkan dahi.
Seperti tahun-tahun sudah, mereka akan pulang ke kampung Afrizal. Hanya selepas
pagi raya sahaja mereka akan pulang ke rumahnya pula kerana kampung mereka
tidak jauh. Masih di dalam satu negeri juga.
“Erm…bukan kita balik kampung
abang ke?” tanya Azila inginkan kepastian dari apa yang didengarinya.
“Takdalah. Kita balik kampung Ila
tahun ni. Abang mana ada kampung.” Jawab Afrizal tanpa perasaan seraya
melabuhkan duduk di birai katil di sisi isterinya.
“Erm.. kalau tak balik kampung
pun, mak kan dekat rumah Kak Long. Kita datang rumah Kak Long ajalah bang..”
ujar Azila lagi.
“Tak payahlah. Nanti kita singgah
rumah Kak Long sekejap tengok mak. Lepas tu kita terus balik kampung Ila. Abang
dah janji dengan ayah nak tolong buat lemang tahun ni. Abang teringin nak
makan. Sebab tahun lepas abang tak sempat rasa, lemang dah habis.” Balas
Afrizal yang lebih teruja untuk pulang ke kampung keluarga mertuanya berbanding
kampung sendiri. Hatinya benar-benar tawar dengan ahli keluarga sendiri. Dia
tahu, jika dia tidak pulang pun, tidak akan memberi kesan apa-apa ke atas
keluarganya.
“Abang sure ke tak nak beraya dengan mak tahun ni?” tanya Azila lagi.
“Abang pasti sayang. Dia orang
bukannya kisah pun abang ada ke tak. Tiap-tiap tahun pun dia orang semua sibuk
balik rumah mertua masing-masing. Sebelum ni asyik kita aja yang balik beraya
dengan mak kan. Tahun ni, abang nak beraya rumah ayah pulak. Abang tak pernah
beraya rumah ayah. Abang nak pergi sembahyang raya dengan ayah tahun ni.” Jawab
Afrizal penuh yakin. Dia sudah merebahkan tubuh ke katil dengan mata terhala
pada kipas siling yang berputar ligat.
“Hm… Habis tu mak macam mana?
Kalau Kak Long balik kampung mertua dia, mak nak duduk dengan siapa?” tanya
Azila lagi yang tidak sampai hati membiarkan ibu mertuanya.
Kelmarin dia ada bertemu dengan
sepupu Afrizal di bazaar ramadhan. Sepupunya itu ada memberitahu akan keadaan
ibu mertuanya yang tidak sihat sejak akhir-akhir ini. Semenjak dia menerima
tempahan membuat kuih raya, dia tidak lagi berkesempatan untuk menziarahi ibu
mertuanya. Tambahan pula kedatangannya sering disambut dingin oleh kakak sulung
Afrizal itu. Dia hanya mampu bercakap melalui telefon sahaja untuk bertanya
khabar. Semalam dia ada menghubungi ibu mertuanya. Namun apabila ditanya
keadaan diri, ibu mertuanya itu hanya menjawab sihat seperti selalu sahaja.
Tetapi apabila mendengar nada suara wanita tua itu, jelas ibu mertuanya tidak
sihat.
“Pandai-pandailah Kak Long.
Diakan orang terpandai sekali. Pandailah dia nak buat macam mana dengan mak.”
Jawab Afrizal selamba yang mula memejam mata. Terasa berat kelopak matanya saat
itu dan minta ditutup sebentar memandangkan mereka akan bertolak selepas Asar
nanti.
“Sayang, abang mengantuk sangat.
Abang nak tidur kejap. Nanti azan Asar kejutkan abang. Kita balik lepas Asar.”
Lanjut Afrizal sambil membetulkan posisi tubuh.
“Iyalah.” balas Azila pendek tanpa bersoal
panjang. Dia tahu keadaan suaminya itu belum benar-benar cukup pulih
sepenuhnya. Waktu tidur suaminya itupun tidak menentu. Adakalanya hanya tidur 3
jam sahaja dalam satu hari. Pada lain waktu pula, lebih dari lapan jam dia
tidur. Dia tidak pasti sama ada ianya kesan daripada ubat yang dimakan atau
kesan dari pembedahan yang dilakukan. Sekarang ini dia sedang menanti keputusan
daripada pemeriksaan kesihatan yang dilakukan beberapa hari lepas untuk memastikan
suaminya boleh melalui rawatan kimoterapi yang harus dilalui oleh setiap
penyakit kanser. Ianya bertujuan untuk melawan dan memusnahkan sel-sel kanser
yang masih ada dalam badan dengan lebih cepat kerana tidak dapat dibuang
melalui pembedahan.
“Abang sayang Ila. Abang sayang
along dengan adik.” Kata Afrizal dengan suara yang perlahan.
Azila menguntum senyum manis
walaupun Afrizal tidak perasan senyuman yang terukir di bibirnya kerana lelaki
itu sudah pun memejamkan mata.
……………….
“Abang, dah Asar ni. Bangunlah.
Nanti kita terlambat balik. Kan nak singgah tengok mak dulu.” kata Azila tanpa
menoleh ke wajah suaminya yang sedang lena di atas katil. Ketika itu dia sedang
memasukkan baju anak-anaknya pula ke dalam beg.
Azila kemudiannya menoleh ke
wajah suaminya yang masih lena. Begitu tenang wajah itu. Azila mengukir senyum.
Wajah tenang itulah yang selalu menjadi hiasan mimpi malamnya. Dia menghampiri
tubuh Afrizal untuk mengejutkan suaminya.
“Abang, bangunlah. Dah Asar ni.”
Kata Azila lagi sambil menyentuh lembut pipi Afrizal dan menepuk perlahan agar
suaminya itu terjaga.
“Abang..” panggil Azila lagi
apabila dirasakan langsung tiada riaksi dari suaminya. Hati mula dijentik debar
halus. Selalunya Afrizal mudah terjaga apabila dia menyentuh tubuh itu.
“Abang..” panggilnya lagi sambil
menaikkan sedikit ton suaranya agar lebih jelas didengari oleh Afrizal. Hatinya
semakin berdebar kencang. Tangannya cepat memeriksa nadi di pergelangan tangan
Afrizal. Masih ada!
Digoncang pula tubuh itu.
“Abang. Bangunlah Abang.
Janganlah takutkan Ila.” Katanya lagi dengan debar yang semakin menggila di
hati. Apabila sudah berkali-kali dicuba Afrizal tidak juga bangun, Azila terus
mancapai telefon bimbit di meja kecil sisi katil untuk menghubungi Shafiq. Mereka
telah berjanji untuk pulang bersama-sama ke kampung tadi.
“Abang Shafiq, tolong Ila. Abang
Rizal tak nak bangun. Tolong Ila bang.” Katanya cepat sebaik panggilan
bersambung.
“Ila.. akak ni, Abang Shafiq
tertinggal phone. Dia keluar isi
minyak kereta kejap. Kenapa dengan Rizal?” suara kakaknya di hujung sana.
“Akak, Abang Rizal tak nak bangun
kak. Ila dah kejut, tapi dia tak nak bangun. Tolong Ila kak..” kata Azila lagi
sambil sebelah tangannya menyentuh pipi Afrizal yang sedikit sejuk.
“Abang Shafiq dah balik, kejap
lagi akak sampai.” kata suara itu lagi lalu memutuskan talian.
Azila terus meletakkan telefon
bimbit tadi dan pergi ke bilik anak-anaknya yang juga lena. Terus dia
mengejutkan anak sulungnya untuk menemani Afrizal sementara dia pergi memanggil
jirannya. Dia risau jika ada perkara buruk yang menimpa Afrizal.
………………..
“Abang…” panggil Azila perlahan
saat melihat ada gerakan di wajah Afrizal.
Afrizal baharu sahaja sedarkan
diri sejak pengsan dari petang semalam. Atas bantuan Shafiq dan jirannya,
Afrizal segera dihantar ke hospital. Dan sejak semalam dia menanti di situ
semata-mata mahu melihat Afrizal sedar.
“Ila… kenapa abang ada dekat
sini. Bukan ke kita dah balik kampung?” tanya Afrizal dengan suara yang serak.
Kepalanya terasa berat untuk diangkat. Dia sedar di mana kini dia berada.
“Abang tidur lama sangat… Kita
belum balik kampung lagi.” Jawab Azila dengan suara yang tertahan. Sedaya upaya
dia cuba mengawal daripada airmatanya jatuh.
Doktor Kamal yang merawat
suaminya dahulu tiada kini. Doktor muda bernama Syafikah yang merawat suaminya
sejak semalam. Sekali lagi dia terpaksa melalui dugaan yang amat berat apabila
daripada pemeriksaan yang dijalankan, sel kanser sudah pun merebak ke bahagian
otak sebelah kiri Afrizal. Pihak hospital tidak dapat melakukan rawatan
kimoterapi seperti yang sudah dijadualkan gara-gara tahap kesihatan Afrizal
yang tiba-tiba menurun dengan menadadak. Tekanan darah lelaki itu tidak stabil.
Terpaksa menanti keadaan suaminya itu benar-benar sihat.
“Tidur lama sangat? Kenapa sayang
tak kejutkan abang?” balas Afrizal sambil memegang kepalanya.
“Sayang, kenapa kepala abang ni?
Sakit sangat.” sambung Afrizal perlahan.
“Abang tak payahlah cakap
banyak-banyak. Abang tidurlah dulu… Biar Ila picitkan kepala abang ya..” balas
Azila sambil menolak perlahan tangan Afrizal yang sedang memicit kepala
sendiri.
Air jernih yang mula bertakung di
hujung mata cepat diseka untuk mengelakkan dari terlihat oleh Afrizal. Dia mahu
menjadi sumber kekuatan kepada suaminya itu. Tetapi dengan semangat yang semakin
hilang sebaik mengetahui keadaan suaminya, kini dia perlu bersedia menerima apa
jua ketentuan Allah kepadanya. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dengan
keadaan Afrizal begitu.
Afrizal pula sudah memejam mata
semula. Mula tenang sebaik tangan Azila memicit lembut kepalanya.
“Abang sayang Ila. Abang sayang
Along dengan Adik..” tutur Afrizal seperti berbisik.
Azila tidak mampu lagi menahan sebak
di dada sebaik mendengar kata-kata yang terluah dari bibir suaminya itu.
Dalam masa yang sama, pintu bilik
wad terkuak dari luar. Wajah ibu dan ayahnya memenuhi ruang mata. Serentak itu
juga airmatanya laju menuruni pipi. Anak-anak ada bersama kakaknya dan Shafiq
yang menanti si rumah kerana ibubapanya itu sejak semalam bermalam di rumahnya.
Segala kelengkapan untuk menyambut hari raya dibawa ke rumahnya apabila semua
adik-beradiknya sudah membuat keputusan akan pulang ke rumahnya semata-mata
kerana Afrizal. Doktor juga ada menasihati yang Afrizal boleh dibawa pulang.
Kini Afrizal hanya bergantung kepada ubat yang dibekalkan untuk mengurangkan
sakit yang dialami.
“Sabarlah Ila. Semua ni kehendak
Dia. Banyakkan bersabar.” Pujuk Puan Nazimah yang memeluk erat bahu anak
ketiganya itu. Dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang
kembali di saat umat Islam bakal meraikan hari kebesaran setelah sebulan
berpuasa.
Azila tidak mampu menjawab. Hanya
tangisannya sahaja yang mula kedengaran. Afrizal saat itu sudah kembali lena.
“Adik-beradik dia semua dah
tahu?” tanya Encik Hamid dengan suara yang tertahan kerana tidak mahu menganggu
lena menantunya itu.
“Dah ayah.” Jawab Azila pendek.
Tangannya memicit perlahan kepala Afrizal.
“Dah ada yang datang?” tanya
Encik Hamid lagi sekadar ingin mengetahui.
“Semua dah balik kampung keluarga
mertua yah.. Takda siapa yang ada. Kak Long pun balik kampung Abang Long. Bawak
mak sekali semalam.” Jawab Azila dalam linangan airmata.
Keadaan adik-beradik Afrizal yang
langsung tidak mempedulikan suaminya itu menambah kesedihan di hati. Bukan
mengharap sebarang bantuan. Tetapi sekadar mengambil tahu akan keadaan suaminya
itu. Dia tahu Afrizal memendam perasaan sedih sendiri kerana melihat perangai
setiap adik-beradiknya yang langsung tidak mengambil peduli akan diri. Dia tahu
suaminya itu benar-benar kecewa.
“Astaghfirullahal’azim..”
terdengar ayahnya beristighfar perlahan.
“Hm.. ayah tak tahu nak cakap
macam mana lagi Ila.. Ayah kesian betul dengan Rizal ni.” Kata Encik Hamid
dengan keluhan panjang. Tidak menyangka begitu teruk keadaan keluarga
menantunya itu. Antara menantu yang dia miliki, dia memang sejak awal lagi
lebih rapat dengan Afrizal kerana keberanian lelaki itu bertemu dengannya untuk
berkawan dengan Azila. Malah dengan berani juga menyuarakan hasrat hati untuk
memperisterikan anaknya itu.
Azila tidak menjawab. Hanya
airmatanya sahaja masih tetap mengalir apabila mengenangkan nasib suaminya yang
dahaga kasih sayang keluarga sendiri. Dia
sendiri kecewa di atas apa yang berlaku. Sikap tidak ambil peduli
ipar-iparnya memang menghampakan. Ketika dia memaklumkan keadaan Afrizal kepada
ibu mertuanya, terdengar suara ibu tua itu menangis. Dia tahu ibu Afrizal
terlalu berharap untuk bertemu dengan suaminya. Namun, apakan daya. Dengan
keadaan yang tidak mengizinkan dan terpaksa mengikut kata Azniza, ibu mertuanya
itu tidak mampu berbuat apa.
***********
Syahdu kedengaran takbir raya
yang bergema dari masjid kawasan perumahan berhampiran dengan hospital di subuh
Hari Raya itu. Di situ ada tiga lagi ahli keluarga pesakit yang sama-sama tidur
di surau paling hampir dengan wad suaminya. Tiada seorang pun keluarga pesakit
yang dibenarkan untuk bermalam di dalam wad kerana ada jururawat yang sentiasa
memantau keadaan pesakit.
Lama dia berteleku di atas tikar sejadah
itu sambil bibir perlahan menuruti bait-bait takbir yang kedengaran. Terasa
hatinya dipagut rasa sayu apabila mengenangkan keadaan diri. Tidak menyangka
persiapan yang dilakukan untuk menyambut Hari Raya dalam seminggu itu
sebenarnya sia-sia. Segala keperluan disediakan menggunakan hasil usaha
kerasnya dalam sebulan itu untuk memastikan tiada yang kurang. Sama sepertimana
yang dilakukan oleh Afrizal dalam tahun-tahun lepas.
Airmata yang tidak ditahan sejak
tadi mengalir lesu apabila teringat kepada adik-beradik suaminya yang langsung
tidak datang menziarah. Afrizal langsung tidak dihiraukan malah seperti sudah
dibuang keluarga. Entah di mana silap suaminya menyebabkan semua ahli keluarga
bersikap dingin dengan mereka. Dalam keadaan Afrizal begitu, dia tahu sokongan
keluarga adalah yang paling penting. Namun, apalah dayanya jika semua
adik-beradik Afrizal tetap sedemikian rupa. Kini, dia hanya mengharapkan
sokongan daripada keluarga di sebelahnya sahaja untuk memberi kekuatan dan
semangat kepada Afrizal agar terus bertahan demi dirinya dan anak-anak. Dia
masih memerlukan Afrizal dalam hidupnya. Anak-anaknya juga amat memerlukan
Afrizal sebagai ayah mereka.
“Kak..” tegur satu suara yang
begitu hampir di sisinya membuatkan Azila menoleh.
Seorang gadis yang masih muda
serta turut bermalam di surau itu kerana menjaga adiknya yang menghidapi
penyakit leukimia.
“Kenapa Zana?” tanya perlahan
seraya menyeka pantas airmata yang membasahi pipi. Dia cuba memaniskan wajah
kepada gadis itu.
“Er…saya rasa suami akak tadi…”
“Kenapa?” potong Azila pantas
dengan debaran di dada yang tiba-tiba hadir apabila Zana menyebut tentang bilik
suaminya.
“Er... ada doktor masuk bilik
suami akak tadi. Erm.. macam ada problem
kak sebab nurse keluar masuk dari
bilik tu tadi.” jelas Zana yang kebetulan pergi ke bilik air dan melewati wad
yang menempatkan Afrizal.
Azila yang mendengar perkhabaran
itu terasa tangkai jantungnya disentap kuat. Kemudian cepat dia menanggalkan
kain telekung yang dipakai dan terus mencapai kain tudung di sisi. Terburu-buru
dia keluar dari surau untuk melihat sendiri apa yang diperkatakan oleh Zana
tadi.
Kaki semakin deras dihayun
merapati kaunter berhampiran untuk bertanya kepada jururawat yang bertugas
tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku ke atas diri suaminya. Hatinya
semakin berdebar hebat saat ternampak kelibat Doktor Kamal melangkah laju terus
masuk ke dalam bilik suaminya. Tidak sempat dia menahan.
“Er..Nurse, kenapa dengan suami saya?” tanya Azila dengan suara yang
sedikit bergetar. Dalam hati tidak henti dia berdoa agar tiada apa-apa yang buruk
berlaku ke atas diri suaminya.
“Maaf Puan. Encik Afrizal sesak
nafas tiba-tiba. Saya harap Puan bersabar. Doktor tengah barusaha untuk bantu
Encik Afrizal.” Jawab jururawat yang bertugas membuatkan Azila sedikit
terpempan. Berdegup kencang jantungnya mendengar keadaan Afrizal. Risau
menggunung tinggi di dalam hatinya. Tangan dan kakinya mulai terasa sejuk saat
itu.
Telefon bimbit yang memang
sentiasa ada bersamanya dikeluarkan untuk menghubungi ayahnya. Dia memang amat
memerlukan ayahnya saat itu kerana berasa takut yang teramat jika ada sesuatu
yang buruk berlaku nanti. Airmatanya merembes laju membasahi pipi apabila dalam
kepalanya sudah membayangkan yang bukan-bukan mengenai Afrizal. Hingga
kepalanya tergeleng-geleng sendiri kerana cuba membuang jauh terjahan negatif
yang datang. Dia perlu terus berdoa agar suaminya akan dalam keadaan yang baik
sentiasa.
Sebentar kemudian telefon
bimbitnya yang sentiasa dalam mode
senyap bergetar. Pantas Azila menekan butang hijau apabila ternampak sebaris
nama tertera di skrin kecil yang berkelip itu.
“Assalamualaikum akak.” ucapnya lemah.
“Ila ada dekat luar bilik ni.” katanya
lagi dengan suara yang bergetar. Airmatanya bila-bila masa sahaja akan turun
semula.
“Okey kak. Terima kasih..”
balasnya perlahan dengan linangan airmata yang mula menuruni pipi. Kakak
sulungnya sudah menanti di lobi hospital bersama anak-anaknya sementara waktu
melawat tiba. Kebetulan Hari Raya itu jatuh pada hari Ahad. Maka waktu melawat
sedikit panjang berbanding hari biasa.
Beberapa ketika menanti, pintu
bilik Afrizal terkuak dari dalam. Dilihat wajah Doktor Kamal memenuhi ruang
mata. Azila hanya mampu memerhati doktor lelaki itu menghampiri tempat
duduknya. Airmata yang membasahi wajah cepat diseka.
“Selamat Hari Raya Puan.” Ucap Doktor
Kamal dengan senyuman kecil di bibir.
Azila hanya membalas dengan
senyuman yang sama. Dia perasan senyuman kecil yang terukir di bibir Doktor
Kamal tidak semanis biasa.
Kemudian terdengar pula keluhan
halus dari bibir doktor lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Nampak tenang.
Namun masih jelas garisan kerisauan.
“Doktor, saya dah sedia dengar.
Doktor cakap ajalah apa yang doktor nak cakap dengan saya.” Tutur Azila tenang sambil
mengawal nada suaranya. Dia redha andai ajal yang memisahkan dia dan suaminya
semakin menghampiri.
Doktor Kamal mengukir senyum lagi
sebelum menjawab.
“Puan, saya rasa hari ni Puan
boleh bawak Encik Afrizal balik. Buat masa ni memang takda apa-apa rawatan yang
boleh saya buat dengan keadaan kesihatannya yang macam tu. Cuma saya boleh bagi
ubat untuk tahan sakit aja buat masa ni Puan.” Kata Doktor Kamal dengan tenang.
Azila cepat menyeka air jernih
dari turun ke pipinya sebaik mendengar kata-kata Doktor Kamal. Bibirnya tetap
mengukir senyum walaupun pahit.
“Terima kasih doktor.” Ucapnya dengan
suara yang tertahan. “Er.. kenapa dengan suami saya tadi?” soalnya kemudian.
“Suami Puan sesak nafas sikit
tadi. Alhamdulillah.. sekarang dah stabil.” Jawab Doktor Kamal dalam nada yang
sama.
“Puan, saya mintak maaf sebab
buat masa ni memang saya tak dapat nak tolong. Badan dia memang tak kuat untuk
buat kimoterapi tu. Saya harap sangat dia cepat sihat semula. Lepas tu kita
boleh buat rawatan kimo tu secepat mungkin. Bagilah dia semangat puan.” Kata
Doktor Kamal yang sedia membantu sedaya upayanya untuk menyelamatkan pesakit
yang berada di dalam pemantauannya.
Azila sudah mengalirkan airmata.
Dia sendiri berharap agar suaminya cepat sembuh dan kembali sihat seperti
dahulu lagi. Dia dan keluarga memang tidak henti memberi sokongan serta
semangat kepada Afrizal. Cuma keluarga lelaki itu sahaja yang dilihatnya
semakin menyisihkan Afrizal dari hidup masing-masing. Afrizal diperlakukan
seperti tidak wujud lagi dalam dunia mereka.
“Terima kasih doktor.” Ucap Azila
perlahan yang sudah menundukkan wajah. Malu kerana menangis di hadapan lelaki
yang sudah berusia itu.
“Sama-sama. Kalau ada apa-apa,
Puan boleh cari saya atau Doktor Syafikah.” ujar Doktor Kamal sebelum bingkas
bangun. Masih ada kerja lain yang masih menantinya.
Azila hanya menganggukkan kepala
sebagai jawapan.
“Saya pergi dulu.
Assalamualaikum.” Kata Doktor Kamal yang terus meninggalkan Azila sendirian di
situ.
Sebaik hilang sahaja kelibat
Doktor Kamal meninggalkannya di situ, Azila terus bangun untuk melihat keadaan
suaminya di dalam bilik. Luruh lagi airmatanya melihat wajah suami yang pucat.
Tidak seperti saat dia tinggalkan malam tadi.
*************
“Kak, terima kasih datang.” Ucap Azila
dengan senyuman saat bersalaman dengan salah seorang jiran yang datang menziarahi
suaminya.
Semenjak keluar dari hospital
seminggu lalu, Afrizal tidak lagi bercakap mahupun bangun seperti sebelum ini. Lelaki
itu hanya terlantar diam dan lebih banyak tidur. Dilihat suaminya langsung
tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah tahap kesihatannya semakin merosot.
Tubuh itu kembali menyusut kerana Afrizal kini hanya bergantung kepada susu.
Tidak lagi makan makanan berat.
Jiran-jiran tidak henti datang menziarah dan tidak kurang
juga ada yang sedekahkan surah yassin buat suaminya itu. Dia sendiri tidak
henti mengalunkan bacaan yassin.
“Ila, kamu dah telefon adik-beradik
Rizal?” tanya Encik Hamid saat tetamu yang berkunjung tadi semuanya pulang.
“Dah ayah. Tapi Ila tak tahulah
datang ke tak.” Jawab Azila lemah dengan wajah keruh.
Sudah seminggu hari raya, seorang
pun adik-beradik Afrizal tiada yang datang. Dia ada menghubungi semuanya, namun
masing-masing memberi jawapan yang hampir sama setiap kali dia menghubungi.
Hanya keluarganya sahaja yang tidak jemu-jemu datang menziarah. Malah
ibubapanya sendiri sudah seminggu tinggal di rumahnya hanya kerana tidak mahu
meninggalkan Afrizal begitu. Adik-beradiknya juga hampir setiap hari datang ke
rumahnya hanya kerana Afrizal. Masing-masing tidak sampai hati melihat keadaan
Afrizal yang jelas kelihatan semakin lemah. Doktor Kamal sendiri ada datang
untuk melihat keadaan Afrizal. Namun tiada apa yang dapat dilakukan.
Terdengar suara ayahnya mengeluh.
“Ayah nak keluar kejap ni nak
beli barang dapur dengan mak. Ila ada apa-apa nak pesan?” tanya Encik Hamid yang
sudah menjadikan rumah anak menantunya itu seperti rumah sendiri. Segalanya dipastikan
cukup lengkap.
“Ayah tolong belikan pampers
Along dengan Rizal sekali ya ayah. Tunggu kejap Ila ambik duit.” Jawab Azila
sebelum bangun dari duduk di sisi suaminya yang terbaring di ruang tamu.
“Tak payahlah Ila. Duit yang kamu
bagi hari tu pun ada lagi. Ayah pakai duit tu ajalah.” Jawab Encik Hamid
menolak. Sebenarnya dia tidak sampai hati untuk mengambil duit pemberian
anaknya itu kerana tahu yang Azila memang amat memerlukan. Dia sendiri
mempunyai simpanan dan masih cukup untuk membantu meringankan beban anak
perempuannya itu.
“Cukup ke yah?” tanya Azila
kembali.
“Tak cukup ayah tambahlah nanti.
Kamu tu jangan pergi jauh-jauh dari Rizal. Tunggu dia dekat situ sampai ayah
dengan mak balik.” Ujar Encik Hamid yang sebenarnya merasakan sedikit berat
hati untuk meninggalkan rumah itu walau seketika. Seperti ada sesuatu yang akan
berlaku, namun hatinya cuba menafikan.
“Along dengan adik ayah bawak
sekali ni.” Kata Encik Hamid lagi sebelum terus keluar dan memimpin kedua
anaknya.
“Iyalah ayah.” Jawab Azila
ringkas. Matanya sempat singgah ke wajah tenang suaminya yang sedang lena.
Encik Hamid terus menapak keluar
untuk menghidupkan enjin kereta sementara menanti isterinya keluar.
“Mak pergi dulu Ila. Kamu jangan
nak buat apa-apa. Jangan nak tinggalkan Rizal tu. Semua mak dah siapkan. Kalau ada
orang datang, tu mak dah siapkan air atas meja tu.” Ujar Puan Nazimah pula
sebelum menapak ke luar rumah. Dia juga turut mengingatkan akan perkara yang
sama setelah suaminya menyuarakan rasa hati yang kurang enak kepadanya mengenai
Afrizal. Mujur kedai yang mereka pergi tidak jauh dari kawasan perumahan itu.
Hanya lima belas minit perjalanan sahaja.
“Iya mak.” Jawab Azila sama
seperti tadi.
Dia memang setia menanti siang
malam di sisi suaminya itu. Semenjak keluar dari hospital seminggu lalu,
Afrizal hanya dibiarkan terbaring di ruang tamu itu beralaskan tilam bujang kerana
lebih mudah andai orang datang menziarah. Dia sendiri akan tidur di situ
bersama anak-anak hanya kerana tidak mahu membiarkan Afrizal keseorangan. Dia
akan pastikan suaminya itu berteman.
Sebaik ayah dan ibunya
meninggalkan rumah, Azila bangun untuk mengambil tuala basah. Setiap petang dia
akan mengelap tubuh Afrizal agar lelaki itu agar lebih selesa untuk tidur.
Apabila tuala yang siap
dibasahkan mengena kulit wajah Afrizal, dia perasan ada gerakan di wajah itu.
“Abang..” panggil Azila lembut
dengan harapan Afrizal akan menjawab. Dari seminggu lalu dia akan sentiasa
berbual-bual dengan Afrizal walaupun lelaki itu hanya memejamkan mata.
“Abang, ayah dengan mak keluar
beli barang kejap. Bawak anak-anak
sekali.” Kata Azila bercerita sambil tangannya mengelap tubuh Afrizal dengan
lembut. Tidak mahu suaminya itu berasa sakit jika dia memberi tekanan kuat.
Mata Afrizal memandang ke arahnya
namun masih tidak menjawab.
“Abang cakaplah dengan Ila. Ila
rindu nak dengar suara abang.” Kata Azila dengan suara yang mula bergetar.
Begitulah selalunya jika dia
berbual dengan Afrizal. Pasti airmatanya ingin menitis melihat keadaan Afrizal
seperti tidak lagi bermaya dan hilang kemampuan untuk berbual seperti dahulu
lagi.
“Abang tak kesiankan Ila ke?
Abang cakaplah. Sikit pun takpa. Ila nak dengar.” Tutur Azila lembut. Kali terakhir
dia mendengar suaminya berkata-kata ketika Afrizal sedar dari pengsan. Hari
kedua di hospital iaitu sehari sebelum hari raya.
‘Abang sayang Ila. Abang sayang
Along dengan Adik.’ Itulah ayat terakhir yang didengarinya daripada Afrizal
sebelum lelaki itu sesak nafas pada pagi 1 syawal.
“Ila.”
Sepatah perkataan keluar dari
bibir Afrizal membuatkan tangan Azila terhenti dari mengelap tubuh suaminya.
Mata terhala ke wajah Afrizal dengan rasa tidak percaya. Walaupun tidak sekuat
mana, namun masih jelas di pendengarannya. Kemudian, cepat-cepat dia merapati
wajah suaminya yang masih memandang ke arahnya itu. Renungan lembut itu sudah
lama tidak dilihatnya. Sama seperti kali pertama mereka bertemu dahulu.
“Abang..” tutur Azila perlahan
sambil mengusap perlahan wajah Afrizal yang terasa sejuk itu.
“Sayang…” terlalu perlahan suara
itu didengarinya.
Azila mengucup lembut dahi
Afrizal dengan linangan airmata. Harapannya tertunai untuk mendengar suara
suaminya itu lagi.
“Allah…”
Satu kalimah yang terbit dari
bibir itu beserta dada yang sedikit berombak membuatkan Azila mula berasa tidak
sedap hati. Tangannya mengurut perlahan dada yang berombak. Serentak itu
kalimah Allah disebut berulang kali ke telinga Afrizal.
“Allah..”
Hanya itu sahaja yang kedengaran
di bibir Afrizal.
“Abang…” Azila mula menangis
teresak-esak. Dia dapat merasakan yang waktu Afrizal sudah pun tiba.
“Allah…” suara itu semakin
perlahan dan hampir tidak kedengaran bersama dada yang semakin reda dari
berombak. Hanya nafas yang dilepaskan oleh Afrizal sesekali kedengaran amat
berat.
“Ya Allah.. kuatkanlah hati aku ya
Allah..” bisik Azila perlahan dalam linangan airmata. Tangannya tidak lepas
menggenggam erat jemari Afrizal yang terasa sejuk. Sesekali genggamannya
berbalas. Dan sesekali pula terlepas tidak berbalas.
Dalam masa yang sama, dia
terdengar ada suara memberi salam di luar rumah. Cepat dijawab.
“Abang… Tolong Ila bang..” kata
Azila tanpa bergerak jauh dari Afrizal apabila melihat susuk tubuh Shafiq masuk
diikuti kakaknya.
“Allahu akbar.” Shafiq terus
sahaja meluru mendapatkan Afrizal dan Azila. Begitu juga dengan Amira.
“Kak..” Azila sudah menangis
teresak-esak.
Amira terus sahaja mendapatkan
Azila dan memeluk erat tubuh itu. Dia sendiri mula menahan sebak sebaik melihat
keadaan Afrizal yang sesekali kelihatan melepaskan nafas berat.
Azila melepaskan tangan Afrizal
yang tidak lagi membalas genggaman tangannya. Kini Shafiq mengambil alih
tempatnya.
“Kita baca yassin Ila.. Kita baca
yassin untuk Rizal.” Kata Amira yang mula memerah mata melihat keadaan Afrizal
yang jelas nazak. Azila pula seperti tidak lagi mampu bangun. Duduk lemah di
hujung kepala Afrizal manakala suaminya sudah memangku Afrizal yang sesekali
bernafas kencang.
“Call ayah cepat sayang!” Arah Shafiq yang turut sama sudah memerah
mata. Tadi ayah mertuanya yang mengarahkan dia datang ke situ tadi untuk
menemani adik iparnya itu. Tidak menyangka keresahan yang diluahkan oleh ayah
mertuanya tadi memberi petanda.
Tanpa banyak soal, Amira hanya
menurut. Dengan tangan yang sedikit menggigil dia menyambut huluran telefon
bimbit dari suaminya.
Saat itu Shafiq tidak henti-henti
melafazkan kalimah Allah di telinga Afrizal. Dilihat adik iparnya itu semakin
lemah. Malas nafasnya juga semakin lama, kian menghilang. Mata itu juga tidak
lagi terbuka seperti tadi. Sudah terkatup rapat.
Selepas menghubungi ayahnya,
Amira terus menarik Azila untuk bangun dan berwuduk. Dia perlu memaksa adiknya
itu menjadi lebih kuat menghadapi ujian yang sedang datang melanda. Mereka
tidak mampu melawan takdir yang telah ditetapkan oleh yang Maha Esa.
“Kau kena kuat Ila. Kau jangan
macam ni!” marah Amira apabila Azila yang dipimpin untuk bilik air di ruang
dapur terjelepuk di pintu bilik air sambil teresak-esak menangis.
“Abang Rizal nak tinggalkan Ila kak.
Siapa nak jaga Ila. Siapa nak jaga anak-anak Ila…” rintih Azila seperti orang
yang hilang semangat. Dia tidak dapat berfikir dengan baik saat itu. Di
fikirannya hanyalah Afrizal. Suami yang akan meninggalkannya pada bila-bila
masa sahaja.
“Ila… janganlah macam ni Ila.
Semua ni kehendak Dia. Dia lagi sayangkan Rizal Ila. Lepaskan Rizal. Biar dia
tenang dekat sana…” tutur Amira yang sudah sama-sama mengalirkan airmata untuk
memujuk adiknya itu agar tabah melalui dugaan hidup. Terutamanya di saat
genting begitu.
Azila tetap teresak-esak menangis
sambil memeluk kedua lututnya. Hatinya benar-benar luluh saat itu. Tambahan
pula memikirkan keadaan keluarga Afrizal yang langsung tidak mengambil tahu
akan keadaan dirinya sekeluarga.
“Bangun Ila. Kita baca yassin
Ila. Kesian Rizal. Jangan buat macam ni Ila.” Pujuk Amira lagi yang tidak mahu
Azila berterusan begitu.
“Kenapa Abang Rizal nak tinggalkan
Ila kak... Macam mana Ila dengan anak-anak nanti.” luah Azila dalam tangisan.
“Ila..” Amira tidak mampu lagi
berkata apa. Dia terus sahaja memeluk erat tubuh adiknya itu. Dia tahu susah
untuk menjadi setabah adiknya itu.
“Sayang…” suara Shafiq kedengaran
di belakang mereka.
Amira menoleh.
Melihat wajah suaminya yang sudah
menitiskan airmata dan menggelengkan kepala beberapa kali dia tahu Afrizal
sudah pun pergi meninggalkan mereka.
Dalam masa yang sama, Azila turut
memandang ke arah yang sama. Serentak itu semakin lebat airmatanya menuruni
pipi.
“Abang…” rintihnya sayu
menyebabkan Amira semakin erat memeluk tubuhnya. Dia juga semakin kejap memeluk
tubuh kakaknya itu. Kini dia memang benar-benar memerlukan kekuatan untuk
berdiri semula. Pemergian suaminya dalam keadaan penuh mengharap kasih dari
keluarga sendiri menambah kesedihan di hati yang teramat.
‘Aku redha ya Allah.. aku redha
ya Allah..aku redha ya Allah. Berilah aku kekuatan lagi ya Allah…’ bisiknya
berkali-kali untuk mententeramkan hati sendiri.
Tiada lagi kata yang mampu
diucap. Apa yang dijangkakan sudah benar-benar berlaku. Terlerai sudah ikatan
perkahwinannya kerana Afrizal sudah pun pergi dijemput yang maha Esa.
Tinggallah dia dan anak-anak untuk meneruskan liku hidup tanpa seorang lelaki
yang bergelar suami dan ayah. Hilanglah sumber kekuatan dan semangatnya selama
ini. Hanya anak-anak kini yang menjadi nadi penguat untuk dia meneruskan hidup.
22 comments:
so sad..
akak da rasa mcmana kehilangan org tersayamg dan tak kan kembali lg
menyayat hati, bagaikan terkenang masa lalu lebih kurang berlaku pada diri saya sendiri bezanya keluarga mentua saya ada disaat akhir arwah suami saya
:'(
feel sorry to both of u. :'(
maaf.
touching .... :'(
memang perit bila rasa kehilangan..
Alfatihah pada yang dah kembali ke rahmatullah... moga ditempatkan di kalangan orang2 beriman. Amin..
sedih nyer..kesian azila..tp ini lah hakikat hidup.
Sedihnye bace sampai meleleh air mata ni laling betul2 menyayat hati sungguh...short story yg best jadikan kisah ini sebagai peringatan untuk kita saling mempererat silaturahim antara keluarga...ambil yg baik buang yang jahat...god job arsha laling...~dewi~
tacin r..
u make me cry.. wuwuwuwuwwu..
sdh lh..huhu
sdih sngat cite nie.mmang sdih smpai ke saat kematian rizal pn xde kluarga dia yang datang menjenguk.
nangis... T_T
tp best.. huhu :(
arsha...sooooo sad..
hope ade spesel n3..
nak tau gak pasal famili rizal tu
typo:
sediakal~sediakala
macm~macam
Alaaa, sedih lah pengakhiran mcm ni. In a way rasa kecewa sgt. Knp sedih sgt ?? Menitik air mata sy baca. Yg plg terkilan akhirnya mak dia still xdpt jumpa anak dia kan. Jd mangsa keadaan. But congrats writer. One great job I can say
sgt menyentuh perasaan...sy sbg pembc rsa seolah2 sy lah azila..sgt2 sdih...
sedihnye....
sedih sngt....
tahniah kpda penulis sbb mampu hasil kn karya yang mnyentuh jiwa pembaca.. saya harap awk akn terus berkarya dalam pelbagai genre ...amin
Sungguh sedih... kak Sue yang baca pun dah mengalirkan air mata ... apa lagi bagi orang yang menghadapi pada diri sendiri....
Azila biarlah Afrizal pergi dengan tenang dari tengok dia sakit dan terseksa lebih sakit rasanya.... semoga tabah....
TAHNIAH.......SEBUAH CERITA YANG SANGAT-SANGAT MENYENTUH HATI. KISAH HIDUP MASYARAKAT YANG SERING TERJADI TAPI JARANG TERPANDANG DI MATA KITA. SEMOGA MENJADI IKTIBAR PADA KITA SEMUA.
SEDIHNYA CERITA NI....BACA SAMBIL MENGALIR AIR MATA...
kesudahan yg ditakdirkan..walau sakit, yakinlah kita tidak akan keseorangan
cerita ni syahdu....
Sedihnya. ?. T_T
Sedihnyer.....meleleh air mata i..huhuhu
Post a Comment