Oct 11, 2018

Berikan Cukup Waktu_16


“Jess pergi mana hari ni? Ayah datang tadi, Fakri kata Jess dah keluar dengan May.”

Jeslina berselisih dengan ayahnya saat singgah ke ruang dapur.

Airport.” Jawabnya jujur. Dia rasa tak perlu nak berselindung akan kepulangan ibu dan adik-adiknya. Dan dia yakin ayahnya sedia tahu akan hal tersebut cuma tak mahu memaklumkan kepadanya.

“Buat apa?”

Jeslina yang sedang meneguk air kosong laju hala pandang.

“Ayah sebenarnya tahu Jess jemput siapa kan?”

Saif lepas nafas perlahan.

“Ayah tahu ibu dengan adik-adik nak balik sini?” sambung Jeslina bersama rasa geram yang tak terluah selama ini.

“Tahu.” Balas Saif tenang.

“Kalau ayah dah tahu, kenapa ayah tanya Jess lagi? Ayah nak tahu macam mana rupa anak-anak bongsu ayah tu? Atau ayah nak tahu pasal ibu? Macam mana ibu terima Jess?” hambur Jeslina tak tertahan.

Saif diam.

“Kalau ayah nak tahu… Adik-adik Jess tu cantik sangat. Lagi cantik dari Jess. Ibu pun makin cantik. Cuma ibu bukan macam ibu Jess yang dulu. Jess ni macam bukan anak dia. Pandang Jess pun macam tak sudi, nak bercakap jauh sekali. Marah ibu pada Jess tak pernah hilang kan ayah?” Tambah Jeslina mengendur. Sedih kembali mengusik bila terkenang akan pertemuan pertama dengan ibunya tadi selepas lebih 10 tahun.

Sekali lagi Saif lepas nafas perlahan.

“Jess naik dulu.” Jeslina kembali bersuara bila tiada tanda-tanda ayahnya mahu membalas. Tapi baru sebelah kaki memijak anak tangga pertama, dia kembali berpusing. “Jess rasa, Jess tak payah bagi tahu dekat mana ibu dengan adik-adik duduk. Ayah mesti tahu kan?” ujarnya sebelum terus memanjat tangga. Dan seperti tadi, Saif langsung tak membalas. Hanya keluh berterusan meniti bibir tuanya.