Oct 6, 2018

Berikan Cukup Waktu_10


Hadi tarik nafas dalam-dalam dan dihembuskan perlahan. Dah beberapa kali dia buat perkara yang sama sejak tiba tadi. Menahan debar mahu bertemu dengan seseorang yang mungkin sebagai jalan terakhir untuk dia mendekati Jeslina. Jalan paling berisiko yang pernah dia buat untuk mendekati seorang gadis. Dia tahu dengan kedinginan Jeslina, sampai ke sudah dia takkan mungkin dapat mendekati gadis itu. Biarpun dengan membuat keputusan untuk bertemu sendiri dengan ayah Jeslina bukanlah yang terbaik, dia tetap meletakkan harapan. Suara garau yang menyambut panggilannya semalam cukup mendebarkan hati. Hanya dengan dengar suara dia dapat rasa, lelaki itu lebih tegas dan dingin daripada Jeslina.

Mata kerling jam di pergelangan. Dia tiba seawal 15 minit daripada waktu yang dijanjikan. Debar yang ditanggung sejak tadi sedikit pun tak berkurangan dalam dadanya malah makin hebat bila waktu yang dijanjikan makin hampir. Tak putus doa yang dipanjatkan dalam hati agar apa yang dirancang dapat berjalan seperti mana yang diharapkan.

Baju kemeja yang dipakai diperbetul beberapa kali. Memastikan tiada sebarang kecacatan yang akan menyebabkan dia rasa tak selesa. Mata terhala ke arah muka pintu kafe yang terbuka dan tertutup setiap kali pelanggan masuk dan keluar. Ternanti-nanti seraut wajah tegas seperti mana gambar yang dihantar Fakri semalam.

Dicapai cawan kopi di depan dan dihirup perlahan seraya mata kembali terhala ke muka pintu. Saat terpandang akan seraut wajah yang dinanti, air kopi yang diminum hampir tersembur. Cepat-cepat tangan capai sehelai tisu sebelum dia bingkas bila lelaki berbaju-t warna biru tua itu tercegat di tengah kafe.

“Assalamulaikum Uncle Saif.” Dia dulu perkenalkan diri memandangkan lelaki itu tidak mengenalinya.

“Hadi?”

“Ya uncle. Saya Hadi.” Tangan dihulur. “Maaf kalau saya ganggu waktu uncle hari ni.” Sambungnya sebaik salam terlerai. Dari genggaman tangan sahaja dia mula dapat rasa aura ketegasan yang ada. “Jom ke sana, uncle.” Dia tunjukkan arah meja sebelum terus berlalu ke kaunter untuk membuat pesanan. Fakri awal-awal dah ingatkan akan kegemaran lelaki yang nampak tegap dan segak itu. Jus oren tanpa pemanis dipesan sebelum dia kembali ke meja.

“Kamu dah lama sampai?” Soal Saif sebaik Hadi melabuhkan duduk.

“Erm… Dalam 15 minit, uncle.” Hadi lepas senyum dalam serba tak kena. “Uncle dari mana? Gim? Saya mintak maaf kalau dah ganggu waktu uncle datang jumpa saya hari ni.” Dia masih tercari-cari tempo agar mereka boleh berbual dengan tenang.

“Takdelah sibuk mana. Kerja sendiri, Hadi. Takde siapa yang nak marah. Kamu? Tak kerja hari ni?” Saif tak lepas pandang wajah anak muda di depannya itu. Melihat baju kemeja yang dah siap berlipat hingga ke siku dalam waktu makan tengah hari itu, dia tak rasa Hadi akan kembali ke tempat kerja.

Half day hari ni, uncle.” Hadi senyum lagi. Dalam masa yang sama, jus oren yang dipesan tadi tiba. Diletakkan gelas jus oren dengan cermat. “Jemput minum, uncle.”

“Terima kasih.” Ada senyum nipis meniti bibir Saif sebelum disisip perlahan jus tersedia.

“Uncle…”

Saif hala pandang wajah yang mula merenik peluh walaupun di tempat berhawa dingin begitu. Senyum terus kekal bergayut di bibirnya. Dia dapat rasa lelaki muda di depannya itu agak gugup. Sebelah tangan menyeluk saku seluar. Dikeluarkan sekeping kad lalu ditolak ke tengah meja.

“Datang jumpa uncle sebab ni kan?”

Hadi terkedu. Mata tak lepas pandang ke arah kad warna putih di tangah meja. Ketika menghubungi lelaki itu beberapa hari lepas, dia belum pun menjelaskan tujuannya yang sebenar. Dia cuma memberitahu mahu meminta izin berkawan dengan Jeslina.

“Macam ni la Hadi. Biar uncle terus terang. Uncle setuju nak jumpa kamu ni pun sebab percayakan Fakri. Dia dah cerita semua pada uncle. Mula-mula tu uncle terkejut juga sebab belum pernah ada mana-mana lelaki yang nak jumpa uncle untuk mintak izin nak kenal dengan anak uncle tu.” Sambung Saif tak bertangguh lagi. “Uncle bagi peluang pada kamu kenal dengan anak uncle tu. Tapi bersyarat.” Kad warna putih itu ditolak lagi.

Hadi kekal diam. Sabar menanti apa yang bakal diluahkan lelaki di depannya itu.

“Uncle tak nak kamu paksa-paksa dia. Pada uncle, kalau niat cuma nak berkawan, tolong jaga batas kamu sebagai kawan. Jangan lebih dari yang sepatutnya. Kamu faham kan?”

Hadi masih diam. Cuba menghadam apa yang menyapa gegendang.

“Uncle sebenarnya takde masalah pun kalau ada mana-mana lelaki nak kawan dengan Jeslina. Sebab selama ni, kawan-kawan dia memang lagi ramai lelaki daripada perempuan. Tapi, cukup sebagai kawan. Tak lebih dari tu. Siapa yang dah kenal Jeslina, dia orang tahu dan faham. Uncle harap kamu pun macam tu jugak. Tahu batas yang kamu patut jaga sebagai seorang kawan.” Sambung Saif tenang namun cukup tegas.

“Erm… Uncle, kalau saya nak lebih dari kawan macam mana?” balas Hadi memberanikan diri kerana memang itulah tujuannya. Dia serius mahu mengenali Jeslina dengan lebih rapat lagi. Bukan hanya sebagai seorang kawan biasa. Tapi lebih daripada itu jika diizinkan Allah.

“Maksud kamu?”

Hadi tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan demi menenangkan segala rasa yang ada. Mengumpul keberanian yang ada untuk meluahkan hasrat yang terpendam dalam hatinya sejak akhir-akhir itu.

No comments: