Oct 9, 2018

Berikan Cukup Waktu_13


Maylin toleh sebelah sekilas bersama nafas berat yang dihembus perlahan. Melihat sahabat yang banyak diam sejak bertolak tadi buat dia resah sendiri. Jeslina bukanlah seorang yang pendiam. Selalunya, banyak yang akan dikongsikan kepadanya setiap kali berjumpa.

“Beb, are you okey?”

Jeslina balas pandang bersama senyum tawar.

I’m not, May. Apa aku nak jawab dengan adik-adik aku nanti?” luahnya akan resah hati yang ditanggung sejak akhir-akhir itu. Lagi sejam adik-adik dan ibunya akan tiba ke tanah air. Sengaja dia dan Maylin tiba awal daripada waktu yang dijanjikan. Tak mahu adik dan ibunya ternanti-nanti.

“Jess… Aku rasa adik-adik kau faham. Bukan dia orang tak tahu keadaan kau sebelum ni.”

“Aku kesiankan adik-adik aku, May. Dia orang mengharap sangat nak duduk dengan aku.” Luah Jeslina lagi bersama nafas berat. Dia tak tahu alasan apa yang perlu diberi kalau pasangan kembar itu tanya tentang ayah. Ayahnya langsung tak cakap apa-apa dan dia sendiri tak berani nak tanya.

“Kau tak tanya Fakri? Fakri pun rapat dengan adik-adik kau kan?”

“Aku dah tanya. Ayah aku tak pernah sebut pun pasal ibu dengan adik-adik aku nak balik.”

Maylin tak balas. Hanya tangan dipautkan ke bahu sahabatnya itu dan digosok perlahan. Cuba meminjamkan kekuatan agar Jeslina terus sabar dengan apa yang berlaku.

“Jess, banyak masa lagi ni. Apa kata kita pergi makan dulu. Kau cakap tak sempat nak lunch tadi kan?” ujarnya kemudian seraya menggenggam jemari runcing Jeslina untuk meninggalkan ruang menunggu itu.

Jeslina tak jawab. Sebaliknya kaki hanya menuruti langkah Maylin yang memimpinnya dengan fikiran yang melayang entah ke mana.

“Ouch!” Tubuhnya hampir terpusing bila bahunya terlanggar sesuatu. Laju matanya cari sasaran.

Hey you! You tak nampak ke kawan I ni? Jalan luas, kawan I yang you langgar! You takde mata ke?” Maylin terus sembur lelaki tegap berkaca mata yang kembali mendekati mereka.

Excuse me. Kawan you yang tak nampak I. I ikut jalan I. Dia yang langgar I.”

“Kalau dia tak nampak, you boleh elak kan?”

Why I yang kena elak? Sepatutnya kawan you yang kena elak. You pun nampak I bawak luggage ni.”

Jeslina dah ketap bibir. Mata dipicingkan mengadap lelaki yang cuba menahan senyum itu.

“May, jomlah! You jangan layan orang gila macam ni.” Ujarnya tertahan seraya menarik lengan Maylin agar terus beredar namun sahabatnya itu keraskan badan. Langsung tak berganjak.

“Dia yang langgar you tahu tak? Takkan nak biar macam tu aje? Say sorry pun tak.” Balas Maylin agak tak puas hati.

“I tak buat salah, kenapa I nak mintak maaf. Dari jauh lagi I nampak kawan you ni yang buat-buat macam tak nampak I. I yang besar ni pun dia tak nampak. Ke… kawan you ni yang takde mata. Atau… tengah berangan?”

Ada senyum sinis terlakar di bibir lelaki itu menyebabkan Maylin makin sakit hati.

“You ni… Memang biadab kan?”

“May… Dahlah tu… Orang tengoklah May. Hal kecik aje kan?” sampuk Jeslina mahu menamatkan perbalahan itu segera.

Maylin lepas rengus geram.

“Kalau takde orang dekat sini, mesti kawan you ni dah belasah I cukup-cukup macam lelaki hari tu kan?”

What the… You cakap apa ni? Mana you tahu pasal…” Maylin menoleh ke arah Jeslina. Dia perasan wajah sahabatnya itu mula berubah tegang. “Jess… You kenal ke dia ni?”

Jeslina ketap bibir kuat. Direnung tajam lelaki di depannya itu.

“Apa masalah awak sebenarnya? Apa yang awak nak dari saya?” ujarnya tertahan.

“Saya nak awak.”

Maylin dah tercengang. Jeslina lepas rengus seraya menarik tangan sahabatnya itu sebelum terus berlalu.

“Punyalah besar tempat ni, kenapa aku boleh jumpa dia!” rungut Jeslina geram. Ikut rasa sakit hati, memang dah dilayangkan penumbuknya ke muka lelaki tadi. Sedar memang dia yang salah sebab langsung tak perasan kewujudan Hadi tadi hinggakan bahunya melanggar tubuh tegap itu.

“Jess, please explain.” Maylin matikan langkah. Ditarik tangan Jeslina ke tepi agar tak mengganggu laluan. Dia yakin ada sesuatu yang disorokkan sahabatnya itu.

Jeslina lepas keluh panjang. Pandangan ditebarkan ke sekitar ruangan menunggu yang tak pernah lengang.

No comments: