Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_5


Bab 5
Mata mengerling jam di pergelangan. Hampir jam 11 malam. Bibir lepas keluh seraya sebelah tangan naik ke belakang tengkuk yang terasa menegang. Enjin kereta dimatikan sebelum pintu ditolak. Terhembus nafas berat sebelum dia menapak keluar. Beberapa kali dia memusingkan badan kiri dan kanan demi melegakan pinggang yang terasa sedikit tegang.

Dalam seminggu itu dia terpaksa pulang agak lewat kerana mengganti kelas yang ditangguhkan semasa demam. Tambahan pula minggu peperiksaan makin hampir. Dan selama seminggu itu juga, dia dapat rasa kedinginan layanan umminya disebabkan insiden minggu lalu. Tidak lagi semesra biasa.

Mata terhala ke arah tingkap bilik umminya yang masih terang. Keluh terlepas lagi sebelum lambat-lambat dia mengatur langkah ke pintu.

“Along!” Terjengul wajah comel Sofia sebaik pintu dibuka. Jemari kasarnya dicapai dan dicium sekilas walaupun tanpa disuruh. Batang kakinya dipeluk kejap. Terkedu dia seketika.

“Kenapa tak tidur lagi ni? Tak nampak jam dah pukul berapa?” Dingin seperti selalu.

“Acu kata, hari ni boleh tidur lambat.” jawab Sofia dalam senyum.

Azhan hala mata ke ruang rehat keluarga. Idris dan Aqif leka menonton TV di situ. Sesekali dia terdengar gelak tawa kedua-duanya. 

“Along, Acu kata esok Along nak bawak Fia pergi kedai buku. Betul ke Along?” ujar si kecil Sofia menarik perhatiannya kembali. Mata dihalakan ke arah tangan kecil yang memaut erat jemarinya.

“Takde. Aku takde janji nak pergi mana-mana pun. Aku penat.” selamba Azhan jawab seraya menarik jemarinya.

Wajah Sofia terus berubah keruh.

“Fia nak beli colouring book.” ujar si kecil itu dengan mulut yang dah memuncung. Dicapai kembali tangan Azhan.

“Acu yang janji. Aku tak janji apa-apa. Pergi tanya Acu.” jawab Azhan garang seraya menarik kembali jemarinya. Langkah terus dibawa ke ruang rehat keluarga.

“Kau janji apa dengan budak ni? Pandai-pandai kau cakap aku nak bawak pergi kedai buku esok.” ucapnya tertahan.

“Habis tu, siapa lagi nak bawak dia pergi kedai buku kalau bukan Along? Takkan Id pulak?” jawab Idris selamba.

“Jangan nak merepeklah Id! Selama ni, Id dengan ummi yang uruskan budak-budak ni.” tingkah Azhan kurang senang. Belum pernah lagi dia bawa dua beradik itu keluar. Segala yang berkaitan dengan mereka, ummi dan Idris yang uruskan sepenuhnya. Dia cuma perlu keluarkan duit belanja sahaja.

“Esok ummi ada appointment dengan doktor. Id teman ummi. Along bawak budak-budak ni.” jawab Idris tegas sebelum terus bingkas. Ditinggalkan dua beradik itu dengan Azhan.

Aqif dan Sofia dah berpandangan sebelum masing-masing tala pandang ke arah Azhan.

Azhan lepas nafas berat. Dipandang kedua-duanya dengan rasa tak puas hati.

“Tunggu apa lagi ni? Naik tidur!” sergahnya tanpa perasaan.

Aqif laju tarik tangan Sofia untuk beredar. Tapi si comel Sofia tepis tangan si abang dan dia mendapatkan Azhan yang dah labuhkan duduk di sofa yang ada.

“Nak apa lagi ni? Tak dengar apa yang aku cakap tadi?” Sekali lagi Azhan bersuara keras.

“Fia…” panggil Aqif takut-takut. Tapi Fia langsung tak peduli. Dengan berani dia labuhkan duduk di sebelah Azhan sebelum tubuh kekar itu didakap erat.

Good night Along!” ucap Sofia seraya mendaratkan bibir mongelnya ke pipi Azhan. Terpanar Azhan seketika.

Aqif yang jadi pemerhati, memberanikan diri mendekat. Tangan Azhan ditarik dan dicium sekilas.

“Assalamualaikum.” Aqif takut-takut ukir senyum sebelum ditarik tangan Sofia turun daripada sofa dan meninggalkan ruang rehat keluarga itu secepat mungkin. Cukup takut jika Azhan marah lagi.

Hilang sahaja bayang kedua-duanya, Azhan lepas keluh panjang. Muka diraup sekali. Bohong andai kata hati lelakinya tak terusik dengan apa yang baru saja berlaku. Tapi apabila mengenang kembali asal-usul kedua-duanya, rasa sakit hati dan kecewa yang terpendam selama ini membunuh segala benih bahagia yang ingin bercambah. Apa yang dah jadi, masih lagi berbekas dalam hatinya.

*******
“Duduk sini. Cari buku dekat sini aje. Jangan nak pandai-pandai pergi tempat lain. Faham tak?” tegas Azhan beri amaran.

Aqif di depannya terangguk-angguk tanda faham.

“Fia? Dengar tak apa aku cakap ni?”

“Okey Along! Fia tak pergi mana-mana. Fia duduk baca buku dekat sini aje.” jawab si comel itu senang sambil mata tak lepas dengan sebuah buku cerita yang dah diambil sejak tadi.

“Aqif jaga Fia.”

Sekali lagi Aqif mengangguk.

“Tadi janji nak beli berapa buku?” Soal Azhan lagi mengingatkan kembali apa yang disebut sebelum bertolak tadi.

“Tiga.” Aqif tegakkan tiga jarinya.

“Fia?”

Sofia angkat muka. Berkerut-kerut keningnya cuba mengingati semula apa yang diucapkan Azhan di rumah tadi.

“Erm… three!” Tiga jari comelnya ditegakkan.

Azhan yang membongkokkan tubuh kembali tegak sebaik berpuas hati memberi peringatan kepada dua beradik itu memandangkan dia juga mahu mencari beberapa buah buku rujukan. Sebaik dia memusingkan tubuh untuk ke rak buku yang dicari, jemarinya disambar. Kembali dia menoleh.

“Along tak tinggalkan Abang dengan Fia dekat sini kan?”

Soalan yang terluncur dari bibir Aqif sedikit menyentakkan hati. Tapi segera dikawal riak yang terpamer.

“Apa kau cakap ni? Aku dekat sana ajelah!” balasnya kasar. “Dahlah. Duduk sini jangan pergi mana-mana. Kejap lagi aku datang balik.” sambungnya sebelum terus berlalu. Pura-pura tak ambil tahu. Padahal hanya Allah yang tahu apa yang dirasai. Tak pernah terlintas pun dalam hatinya dia nak tinggalkan dua beradik itu meskipun rasa benci dan marah masih berbekas. Aqif Firqan dan Sofia Azahra adalah amanah! Satu-satunya amanah yang tergalas di bahunya tanpa dipinta.

Sesekali matanya curi pandang ke ruang buku kanak-kanak. Tempat di mana dia meninggalkan Aqif dan Sofia tadi. Walaupun dia agak terlindung dari pandangan kedua-duanya, dia masih mampu melihat tingkah dua beradik yang mula leka dengan buku masing-masing. Terjentik rasa lega di hati tapi diganti dengan rasa risau memandangkan keadaan kedai buku yang agak ramai dengan pengunjung. Sebuah buku yang baru dicapai di rak, diletakkan kembali bila teringat pelbagai kes penculikan yang makin berleluasa kini. Langkah dibawa kembali ke ruang buku kanak-kanak tadi.

“Along!” Ceria wajah Sofia sebaik dia kembali di situ.

“Dah dapat buku nak beli?” Soalnya tak bernada.

“Fia nak ni boleh tak Along?” Sofia bawa satu set buku cerita rasul-rasul.

“Fia kan belum pandai baca. Siapa yang nak baca ni?”

“Abang boleh baca!” Sahut Aqif dengan senyum.

“Cari buku lain! Banyak lagi buku.” balas Azhan tegas seraya meletakkan kembali buku dalam pelukan Sofia.

Air muka Sofia terus berubah.

“Fia ambil buku ni. Tadi Fia kata nak buku ni kan?” Aqif cuba memujuk adiknya. Sebuah buku ABC dihulurkan.

Azhan cuma memerhati tanpa perasaan. Sememangnya buku yang diambil Sofia tadi belum cukup sesuai untuk umur sepertinya.

“Tak nak! Fia nak buku tu!” Sofia tunjuk ke arah buku yang baru disusun Azhan.

“Jangan degil boleh tak? Pilih buku lain!” Sekali Azhan bersuara tegas.

Sofia terdiam. Mata bulatnya mula berkaca-kaca sambil pandang Azhan.

“Along… Boleh tak beli buku Fia? Abang tak nak buku. Along beli buku Fia aje.” Aqif bersuara takut-takut sambil letakkan kembali buku yang dah dipilih tadi.

Sekali lagi ayat yang meniti bibir Aqif menyentakkan hati Azhan. Tanpa sebarang kata, buku yang diletakkan tadi dicapai semula. Termasuklah buku-buku yang dah diletakkan Aqif tadi.

“Jom pergi bayar!” Dia bersuara tegas sebelum terus menapak ke kaunter pembayaran.

Aqif terus tarik tangan Sofia menuruti langkah Azhan ke kaunter tanpa sebarang kata.

“Fia kan dah janji nak behave? Kan Along dah marah Fia dengan Abang.” bisik Aqif di tepi telinga Sofia.

“Fia nak buku aje.” jawab si kecil itu polos sambil memerhatikan Azhan membayar semua buku yang diambil tadi.

“Dah. Jom balik! Aqif pegang tangan Fia.” arah Azhan tegas seperti biasa. Menonong dua beradik itu berpegangan tangan berjalan di depannya sebelum Sofia tiba-tiba berhenti dan mencapai jemarinya.

“Fia nak pegang tangan Along.” ujar si comel itu dengan muka yang kembali ceria.

Aqif hala pandang ke muka Azhan.

“Kau dah besar, boleh jalan sendiri kan?” Azhan bersuara mendatar tanpa menolak jemari halus yang mula menggenggam erat jemarinya. Tak sampai hati nak menolak kerana cukup faham dengan perangai Sofia yang manja. Cuma dia perasan si kecil itu makin berani nak bermanja dengannya sejak kebelakangan ini.

Aqif angguk yakin bersama senyum kecil yang berlabuh sebelum menyambung langkah di depan.

“Sir Azhan!”

Melingas mata Azhan cari punca suara sebelum terhenti ke arah seorang gadis bertudung merah di depan sebuah kedai kasut.

“Farah.” Senyum berlabuh. Pelajar yang sering cuba cari perhatiannya di dalam kelas dan agak menyerlah daripada yang lain.

“Sir sorang aje ke?” Ramah gadis itu menyapa sebaik mendekat.

“Awak tak nampak ke saya dengan siapa ni?” Azhan tunjuk ke arah dua beradik yang berdiri di sisinya.

“Siapa ni, Sir? Bukan anak kan?”

Azhan senyum lagi. Tiada hati nak jelaskan status dua beradik itu.

“Awak pulak dengan siapa? Sorang?”

“Along…” Belum pun sempat Farah jawab, Sofia goncang tangannya.

“Kenapa?”

“Along… Fia nak…” Sofia tarik lagi tangan Azhan agar merendahkan tubuh. Azhan yang tak ada pilihan terpaksa menurut. Direndahkan tubuhnya agar sama tinggi dengan si kecil Sofia.

Sofia terus mendekatkan bibirnya di cuping telinga Azhan.

“Kenapa Sir?” tanya gadis bertudung merah tadi bila terdengar Azhan lepaskan keluh panjang.

“Er… Dia nak pergi toilet.” jawab Azhan sambil garu kepalanya yang tak gatal. Serba tak kena dibuatnya.

“Oh… Kalau macam tu, Sir bawak ajelah. Biar saya tunggu dekat sini dengan yang handsome ni.” balas Farah sambil usap pipi Aqif yang murah dengan senyum sejak tadi.

“Erm…” Azhan garu pula belakang tengkuknya. Resah sendiri. Tak pernah lagi dia uruskan hal-hal sedemikian rupa walaupun sebenarnya perkara tersebut cukup mudah.

“Along… Cepatlah… Fia dah tak tahan…” Sofia tarik lagi tangan Azhan.

“Erm… Farah, boleh tolong saya tak?” Dia dah tak ada pilihan.

Anything Sir.” Farah dah senyum lebar. Dia seperti dapat baca apa yang bersarang dalam fikiran lelaki yang dah lama ditempatkan dalam hatinya itu.

“Awak tolong bawak budak ni, boleh? Awak faham kan?” ujar Azhan serba salah.

Farah tergelak kecil.

Small matter Sir. Come girl. Kak Farah hantar ya?” ujar Farah lembut.

Sofia hala pandang pada Azhan seketika sebelum dihalakan pada gadis tinggi lampai di depannya.

“Along…” Dia masih tak lepaskan tangan Azhan.

“Fia jangan takut dengan kakak ni. Dia tolong hantar Fia pergi toilet.” Azhan cuba memujuk.

Sofia geleng.

“Acu kata, jangan pergi dengan orang yang tak kenal.” jawab si kecil itu lurus.

Azhan hempas nafas berat. Mula buntu. Sememangnya Sofia tak mudah mesra dengan orang yang dia tak kenal.

“Fia, Kak Farah temankan Fia ya? Fia kan girl? Girl mesti dengan girl. Boy tak boleh masuk toilet girl. Girl aje boleh masuk.” Farah pula cuba pujuk.

Sofia diam. Mata tak lepas pandang gadis tinggi lampai itu.

“Fia, Abang dengan Along tunggu dekat sini. Tak pergi mana-mana pun. Kak Farah kawan Along. Kak Farah bukan orang jahat. Fia jangan takut okey?” Aqif pula mencelah.

“Jom.” Farah hulur tangan.

Sofia pandang lagi muka Azhan. Bila Azhan beri isyarat mata, lambat-lambat dia sambut tangan Farah sebelum kedua-duanya beriringan ke tandas yang tak jauh dari situ.

Azhan hela nafas lega. Rasa syukur tak terucap bila dia tak perlu hadap masalah yang takkan mampu diselesaikan.

…………
“Id, telefonlah Along. Ummi risaulah dengan budak-budak tu. Dari semalam lagi ummi dah cakap tak payah pergi dengan Along tu.” rungut Hajah Suhara bila anak bongsunya langsung tak hiraukan kerisauannya sejak keluar dari rumah awal pagi tadi.

“Tak payahlah telefon mi. Along tu bukan budak-budak. Tahulah dia jaga budak-budak tu.” jawab Idris senang yang tenang memandu.

“Budak-budak tu tak pernah sekalipun keluar dengan Along Id tu… Manalah ummi tak risau.” luah Hajah Suhara lagi.

“Apalah yang ummi nak risaukan? Along takkan berani nak buat apa-apa dengan budak-budak tu. Pandailah dia nanti. Dia tu dah boleh jadi bapak budak mi. Takkanlah budak dah besar macam Abang dengan Fia tu dia tak boleh nak jaga. Bukannya dia kena dukung, tukar pampers pun…”

Hajah Suhara lepas nafas panjang.

“Abang, ummi tak risau. Ummi risaukan Fia tu. Dibuatnya dia nak pergi bilik air macam mana Id?” keluhnya lagi.

Idris toleh sekilas ke wajah umminya bersama senyum nipis.

“Macam manalah Id nak tolong Along rapat dengan budak-budak tu kalau baru berapa jam dia orang keluar sama, ummi dah risau macam ni? Hari tu, ummi jugak yang mintak tolong Id kan?” ujarnya mengingatkan rancangan yang dibuat demi kebahagiaan mereka bersama.

Sekali lagi Hajah Suhara lepas keluh sebelum istighfar meniti bibir tuanya.

“Ummi tak yakin dengan Along tu Id… Ummi tahu, ummi faham sangat perangai Along tu. Kalau dia tak suka, sampai bila-bila pun dia tak suka, Id…” luahnya sedikit lirih.

“Ummi…” Idris capai jemari dingin umminya dan diramas lembut. “Along memang orang keras hati, degil, ego melangit. Tapi ummi percayalah… Along tu sebenarnya sayang pada budak-budak tu. Sayang sangat, ummi.” ucapnya cuba menenangkan.

Hajah Suhara menggeleng perlahan.

“Ummi susah nak percaya pada Along Id tu. Sampai hari ni dia tetap bencikan budak-budak tu…” balasnya dengan hujung mata yang mula hangat. “Ummi tak tahu apa akan jadi pada budak-budak tu kalau ummi tak ada nanti…” sambungnya cukup lirih.

“Jangan cakap macam tu mi… Id kan ada? Selagi Id ada, Id takkan biarkan budak-budak tu. Along takkan berani buat apa-apa pun.” dia cuba meyakinkan.

“Tapi Id…”

“Tak ada tapi-tapi ummi. Kalau ummi tak boleh percayakan Along, ummi boleh percayakan Id kan?”

Hajah Suhara hala pandang ke arah si anak. Dibalas genggaman tangan Idris seerat mungkin persis meminjam kekuatan. Sememangnya harapan penuh diletakkan ke bahu anak bongsunya itu andai ada sesuatu berlaku padanya kelak.


No comments: