Oct 3, 2018

Berikan Cukup Waktu_5


“Mama!”

Panggil Zara sebaik turut dari kereta. Laju dia mendapatkan Hajah Haida yang sedang membaja pokok orkid di tepi rumah. 

“Mama nak tahu satu cerita tak? Ni dah kali kedua abang kacau anak dara orang, ma.” Selamba Zara bagi tahu apa yang berlaku di taman tadi.

Hajah Haida cari wajah anak sulungnya yang tenang keluar dari kereta.

“Dua kali? Kali pertama jumpa dekat mana?” soalnya tanpa kalih mata daripada Hadi yang melabuhkan duduk di kerusi batu di depannya.

“Alah… Masa yang abang ajak Zara keluar tengah malam tu, ma. Perempuan yang sama pulak tu.” Jelas Zara tak berdalih. Memang sengaja dihamburkan semuanya bila dicabar ketika dalam perjalanan tadi.

“Sejak bila Hadi padai kacau anak dara orang ni? Sebelum ni, bila mama bising suruh cari calon, banyak alasan yang Hadi bagi.” Hajah Haida turut labuhkan duduk.

Hadi lepas senyum senang.

“Masa tu, takde calon ma. Sekarang, mungkin Hadi dah jumpa calon yang sesuai.”

“Betul ke ni?”

“Insya-Allah.” Yakin Hadi jawab bersama senyum yang melebar.

“Siapa nama dia? Orang mana?”

“Tu belum tahu lagi, ma. Soon. Insya-Allah.”

Hajah Haida terus berkerut. Dihalakan mata ke arah si bongsu yang dah lepas gelak.

“Ada ke tidak sebenarnya ni?” Dia dah rasa pelik.

“Insya-Allah ada, ma. Tapi buat masa sekarang ni, belumlah.”

Bertambah kerut di wajah Hajah Haida.

“Hadi naik dululah. Nak mandi.” Hadi bingkas. Dia perasan akan wajah mamanya yang bingung.

“Ma… Anak bujang mama tu, belum dapat tackle pun perempuan yang dia nak tu. Nama pun dia tak tahu ma…” Terang Zara dalam sisa tawa.

“Laa ila haillallah… Mama ingat betul dah ada. Ni nama pun tak tahu, calon apa macam tu?”

“Entah abang tu. Dia kata, dah tiga kali dia jumpa perempuan tu tak sengaja. Mungkin tu jodoh dia cakap.”

Hajah Haida lepas keluh panjang bersama gelengan.

“Pelik-pelik ajelah perangai abang Zara tu. Lain yang orang suruh buat, lain yang dibuatnya.” Rungutnya sebelum kembali bingkas. Sambung kerja yang tertangguh. “Zara kenal tak siapa yang abang kacau tu?” sambungnya ingin tahu.

“Zara tak kenal pun. Tadi pun, Zara tengok dari jauh aje. Ingatkan abang main-main. Tapi dia betul-betul pergi jumpa perempuan tu tadi.”

“Cuba Zara cakap dengan mama, macam mana perempuan yang abang Zara tu beria-ia sangat nak kenal?”

“Erm…” Zara garu pelipis. Cuba mengingati seraut wajah yang joging bersama seorang lelaki di taman tadi. “Kalau Zara cakap, mama jangan terkejut pulak.” Sambungnya sedikit risau.

Hajah Haida berpaling. Sekali lagi wajahnya berkerut.

“Kenapa Zara cakap macam tu?”

“Erm… Zara bukan nak judge. Tapi ni apa yang Zara nampak dengan mata Zara.”

“Hesy! Cakap ajelah!” gesa Hajah Haida kurang sabar.

“Zara rasa, dia lain dari yang lain. Bukan perempuan biasa-biasa bak kata abang. Zara nampak muka dia macam garang, tegas. Tinggi macam abang. Tapi tadi Zara nampak dia joging dengan seorang lelaki. Tak tahulah lelaki tu siapa. Zara risau akak tu dah kahwin aje. Tapi bila tengok gaya dia, macam belum.” ulas Zara jujur.

“Mama tak kisah pun abang tu nak kawan dengan siapa, Zara. Siapa pun pilihan abang, mama dengan abah akan terima. Cuma satu aje mama harap… Janganlah sampai rampas hak orang. Tu mama tak suka. Biarlah apa pun status dia, asalkan bukannya hak orang.” Balas Hajah Haida tegas.

“Buat masa ni, Zara memang tak tahu. Tapi mama jangan risau. Kalau betul akak tu dah jadi hak orang, abang takkan berani nak kacau. Betul tak?”

Hajah Haida lepas lagi keluh perlahan. Dalam hati tak lekang dia memohon agar anak-anaknya dijauhkan daripada perkara-perkara yang tidak baik. Terutamanya Hadi. Memang sebelum ini dia ada menggesa anak sulungnya berumahtangga. Namun dia tak mahu Hadi pula membuat keputusan terburu-buru dalam mencari calon isteri tanpa menyelidik latar belakang mahupun asal-usul terlebih dahulu.

No comments: