Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_1


Bab 1
“Abang, siapa tu?” Mulut comel Sofia tunjuk ke arah susuk tubuh gadis yang sedang berdiri di tepi kereta Myvi ungu di luar pagar sebaik membuka pintu.

Aqif pandang arah yang dimaksudkan. Keningnya yang hitam pekat hampir bercantum.

“Kakak cantik. Kenapa kakak cantik yang bawak kereta Mama Lela?” Dia berdiri sambil membetulkan beg sekolah yang dipikul.

Sofia angkat dua bahunya.

“Ummi! Ada Kakak cantik!” Jeritnya tiba-tiba hingga mengejutkan Aneera yang leka membelek telefon. Terangkat kepala dia seketika ke arah pintu pagar hitam yang masih terkatup di depan. Baru dia perasan ada dua anak comel yang sedang menanti di dalam. Dengan senyum manis yang terpamer, tangan melambai ke arah si comel.

“Kakak cantik mana yang datang pagi-pagi ni?” Hajah Suhara tala pandang ke luar pagar.

“Tu…” sahut Sofia sambil menunjuk ke arah luar pagar.

Hajah Suhara berkerut.

“Assalamualaikum. Auntie Suhara?” Aneera terus menyapa mahu memperkenalkan diri memandangkan itu kali pertama dia ke situ menggantikan abahnya yang perlu menghantar mamanya ke tempat kursus. Dua beradik yang dah jadi tanggungjawab abah sejak dua tahun lalu.

“Panggil aje Auntie Sara. Anak Halim?” balas Hajah Suhara sedikit ragu sebaik tiba di pintu pagar. Abdul Halim ada memaklumkan kepadanya semalam. Dua beradik yang mengekor di belakang leka merenung atas bawah gadis manis bertudung bawal di depannya.

“Saya anak Abdul Halim, Auntie. Aneera.” Aneera hulur tangan.

“Ya Allah… Auntie langsung tak cam. Dulu jumpa, masa Aneera kecik lagi. Sekarang dah besar panjang rupanya. Tak sangka abah Neera suruh anak dia sendiri yang datang.” balas Hajah Suhara kelegaan. Hilang rasa ragunya untuk melepaskan dua anak kecilnya itu ke sekolah bersama orang yang tak dikenali.

Aneera lempar senyum manis. Dia sendiri sebenarnya tak begitu ingat tentang keluarga sahabat baik abah dan mamanya itu.

“Abah kata saya kena jemput, hantar dua little angels ni hari ni aje.” Dicuit pipi gebu Sofia yang tersengih-sengih merenungnya sejak tadi. Tapi tak pula pada si abang yang merenungnya tajam.

“Abah Aneera dah bagi tahu awal-awal yang hari ni dia takde. Tapi tu la… Memang takde siapa yang nak hantar budak-budak ni. Memang harapkan abah Aneera tu ajelah.”

“Ohh…” Aneera sempat kerling Honda Civic warna putih yang terparkir di dalam. Manakala ada sebuah lagi kereta yang berselubung di sebelahnya. Rasa macam pelik alasan yang meniti bibir wanita di depannya itu. Tapi hatinya tetap nak bersangka baik.

“Terkejut jugak tadi bila budak-budak berdua ni kata ada kakak cantik datang. Auntie ingat kakak cantik manalah nak datang awal-awal pagi macam ni.” Hajah Suhara usap kepala kedua-dua si comelnya.

Aneera labuhkan senyum lagi.

“Ummi, Kakak cantik ni ke nak hantar Abang dengan Fia pergi school?” Terpacul soalan dari mulut comel Aqif. Langsung tak lepas matanya sejak tadi menilik wajah Aneera.

“Ye sayang. Kakak cantik ni yang hantar Abang dengan Fia pergi school hari ni. Dah pergi cepat masuk kereta. Nanti lambat sampai sekolah.” Hajah Suhara terus sahaja hulur tangan.

“Ummi, kan Acu kata jangan ikut dengan orang yang kita tak kenal? Abang tak kenallah kakak cantik ni. Abang nak Tuk Lim.” Aqif terus silang tangan ke dada. Tidak pun menyambut tangan Hajah Suhara.

“Kakak cantik ni baiklah. Mana ada kakak cantik jahat. Kan kakak?” Sahut si adik sebaik dia menyambut tangan Hajah Suhara dan dikucup seperti selalu.

Aneera senyum bersama anggukan. Tercuit hati mendengar gelaran yang diberi.

“Mula-mula memanglah tak kenal. Kan kali pertama kakak cantik ni datang sini. Dia datang pun sebab Tuk Lim takde. Tuk Lim kena hantar Mama Lela pergi kerja jauh hari ni. Sebab tu, kakak cantik ni yang datang ganti Tuk Lim. Lagi pun, kakak cantik ni anak Tuk Lim. Tuk Lim kan baik. Anak dia pun mesti baik.” Sabar Hajah Suhara melayan kerenah si abang yang agak sukar mempercayai orang luar itu.

Aqif berdecit kecil. Masam mencuka mukanya.

“Esok, Tuk Lim ada tak ummi?” Soalan lain pula diajukan.

“Esok, insya-Allah Tuk Lim ada. Kak Neera ganti hari ni aje.” Sahut Aneera lembut. Sedaya upaya memaniskan wajah di depan dua anak kecil itu terutamanya buat si abang.

“Kakak cantik, jomlah! Nanti lambat Fia sampai school.” Sofia terus capai tangan Aneera.

“Okey. Jom! Erm… Abang nak pergi school tak? Kita dah lewat ni.” Aneera cuba pancing si abang.

“Nama kita bukan Abanglah! Nama kita Aqif!” balas Aqif dingin.

Aneera tahan tawa.

“Kakak sorry… Okey Aqif? Jom, kita dah lambat.”

Aqif lempar jeling. Dalam tak mahu, tangan Hajah Suhara dicapai dan dicium. Wajahnya serta-merta manis. “Ummi, Abang pergi dulu. Assalamualaikum.” Lembut ucapannya bersama senyuman.

“Waalaikumussalam. Hati-hati. Jaga adik.” balas Hajah Suhara turut membalas senyum.

“Insya-Allah!” Aqif senyum lagi. “Fia, Abang bawak beg Fia.” Ditarik beg yang dipikul Sofia sebelum dibawa masuk ke dalam kereta.

Aneera yang memerhati tak lekang dengan senyum. Sungguh dia senang melihat tingkah Aqif yang tak seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya. Ada rasa tanggungjawab di situ.

“Er… Auntie, saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Gilirannya pula menyalami tangan Hajah Suhara sebelum membawa masuk si kecil Sofia.

“Siapa yang ambil budak-budak tu? Mana Uncle Halim?”

Hajah Suhara toleh sebelah. Si anak sulung berdiri di sisinya sambil membetulkan tali leher.

“Ada hal. Tu anak dia yang datang jemput.” balasnya seraya berpusing masuk ke dalam rumah sebaik bayang kereta ungu tadi hilang daripada pandangan.

Azhan berkerut. Anak? Risau menjentik hati. Tapi berjaya disembunyikan. Langkah dibawa ke dalam terus ke meja makan.

“Kenapa pergi lambat hari ni? Kalau ummi tahu, Han pun boleh hantar budak-budak tu ke sekolah. Teringin sangat budak-budak tu nak Han yang hantar. Tak payah susahkan anak Uncle Halim tu ambil jemput budak berdua tu hari ni.” ujar Hajah Suhara sambil menuangkan air kopi pekat kesukaan si sulung setiap kali sebelum ke tempat kerja.

“Tak payah nak manjakan sangat budak-budak tulah mi. Apa guna Han bayar Uncle Halim setiap bulan kalau nak pergi sekolah Han yang kena hantar?” balas Azhan acuh tak acuh bila melibatkan dua anak kecil yang dah dua tahun di bawah tanggungannya.

Hajah Suhara lepas nafas halus.

“Apa salahnya Han? Bukan Han tak lalu depan sekolah budak-budak tu. Kan adik-adik Han juga tu?” Lembut Hajah Suhara luahkan.

No ummi!” Tegas. “Siapa kata dia orang adik-adik Han? Dia orang bukan adik-adik Han! Adik Han cuma ada seorang.” Muka dihalakan ke arah Azhan Idris yang baru sahaja menuruni tangga. Terhenti langkah adiknya di situ sebaik bertembung dengan muka serius abangnya.

“Han pergi dulu. Malam ni tak payah tunggu Han. Han balik lambat.” Azhan hirup sekali kopinya sebelum bangkit. Tangan Hajah Suhara dicapai dan dikucup sekilas sebelum terus berlalu ke muka pintu.

Sekali lagi Hajah Suhara lepas nafas bersama gelengan.

“Lain kali, ummi jangan cakap apa-apa pasal budak berdua tu depan Along. Ummi tahukan angin Along tu macam mana?” tegur Idris yang terus melabuhkan duduk di meja makan.

“Sampai bila dia nak macam tu, Id? Apalah dosa budak-budak tu? Dah dua tahun budak-budak tu duduk dengan kita. Budak-budak tu dah takde siapa-siapa Id.” Sayu suara Hajah Suhara meluahkan.

“Siapa kata budak-budak tu takde siapa-siapa? Id dengan ummi kan ada? Id sayang budak-budak tu. Ummi janganlah risau. Along tu sebenarnya sayang dengan budak-budak tu. Cuma dia tak nak tunjuk. Ummi percayalah cakap Id ni. Ummi jangan risau okey? Nampak aje dia garang dengan budak-budak tu. Kita sama-sama doa Along berubah satu hari nanti. Hmm?” Pujuk Idris cuba menenangkan umminya.

Hajah Suhara cuma mampu lepas hela perlahan.

******
Jam di tangan dikerling sekilas sebelum mata dihalakan ke arah pintu pagar sekolah yang masih bertutup. Bila-bila masa sesi pembelajaran akan tamat. Memang sengaja dia keluar dari pejabat tengah hari itu untuk tengok sendiri siapa yang menggantikan Uncle Abdul Halim. Mata dihalakan ke arah gadis berkemeja biru muda yang bersandar di tepi kereta bersama sekaki payung, leka dengan telefon. Satu tabiat yang dia cukup tak suka bila seseorang itu terus leka tanpa sedar keadaan sekeliling.

Renung tajam dilemparkan di sebalik kaca mata hitam yang dipakai. Rahang diketap kuat. Bahang di hati mula terasa. Sama bahang panas terik matahari yang membakar di luar. Mata kembali terhala ke pintu pagar sekolah yang sedang dibuka pengawal keselamatan. Tajam matanya menangkap susuk tubuh genit Sofia bersama anak kecil lain yang baru sahaja keluar dari kelas paling hujung. Agak jauh dari pintu pagar utama. Mata kembali ditalakan pada si kemeja biru muda yang tetap leka dengan telefon di tangan.

“Dia ni memang nak kena dengan aku!” Tangan dah memegang daun pintu. Bersedia untuk menolak jika gadis tadi masih tak bergerak. Satu saat, dua saat, tiga saat…

Pintu kereta ditolak. Sofia tak boleh kena panas! Itu yang ada dalam kepalanya. Dan disebabkan itu juga dia sanggup keluar dari pejabat semata-mata nak pastikan keselamatan Sofia terjamin! Laju langkah dibawa ke tepi kereta milik Auntie Lela. Tanpa kata, sekaki payung yang dipegang si gadis direntap lalu dibawa mendapatkan Sofia yang terkial-kial membawa beg sekolah dengan muka merah padam. Si gebu yang seorang itu memang cukup sensitif dengan terik panas matahari sejak hari pertama menjejakkan kaki ke rumahnya.

“Along!”

Terkelip-kelip mata bulat Sofia dengan sengih lebar tapi Azhan buat-buat tak nampak. Membalas pun tak. Mukanya tegang macam selalu. Beg Sofia dipikul ke bahu kiri sebelum tubuh genit itu terus didukung.

Si kecil Sofia kunci mulut. Padam senyum lebarnya tadi. Dia dah faham muka garang Azhan. Hanya lengan kecilnya dililitkan ke leher Azhan.

Sementara Aneera yang terkejut dengan kemunculan lelaki berkemeja hijau muda secara tiba-tiba itu terus kaku di tempat dia berdiri tadi. Seinci pun tak berganjak.

“Kau tahu sebab apa aku sediakan payung ni untuk Uncle Halim?” Sergah Azhan saat langkah kaki berhenti depan Aneera. Garang.

“Err…” Terkebil-kebil Aneera nak jawab bila tak ada satu pun perkataan yang mampu diproses.

“Kau tahu tak kerja kau ni libatkan amanah orang?” Tembak Azhan lagi. “Kalau jadi apa-apa pada Sofia ni, kau boleh ganti balik?” Nada suaranya naik satu tangga tapi masih terkawal. “Kau nak kerja, buat cara kerja! Jangan masa kerja pun sibuk nak main telefon!” Keras nadanya.

Aneera tertunduk. Akui salah sendiri. Tak berani dia nak tentang muka tegang lelaki di depannya ini. Melihat kereta yang terpakir tidak jauh dari kereta mamanya, dia sedar dengan siapa dia berhadapan kini. Kalau tak, dia mesti tak kena sembur macam tu. Mata sempat kerling Sofia dalam dukungan. Sofia kenyit mata sebelah. Bibir spontan tarik senyum.

“Kau tunggu apa lagi ni? Bukalah pintu tu! Kau nak biar sampai kulit budak ni terbakar baru nak buka?” Sekali lagi Azhan menyergah. Mati senyum Aneera. Terkocoh-kocoh dia buka pintu kereta. Azhan terus masukkan Sofia.

“Kalau kau tak boleh buat kerja senang macam ni, lain kali bagi tahu awal-awal! Aku sendiri boleh cari orang ganti!” Hambur Azhan masih tak puas hati dengan apa yang baru saja berlaku. Payung dihulurkan. Mata sempat kerling muka Sofia yang mula memerah. “Kau tengok apa jadi dengan muka dia! Uncle Halim tak bagi tahu kau ke?”

Aneera pandang Sofia yang melemparkan senyum.

“Er… Maaf Encik. Saya…” Aneera kelu lidah. Azhan tujah renung tajam di sebalik kaca mata yang dipakai.

“Lain kali kau tak payah ganti Uncle Halim. Kalau dia ada hal, aku boleh cari orang lain ganti dia.” Pintas Azhan tegas.

“Along!” Sayup ada suara lain memanggil. Masing-masing menoleh. Aqif berlari melepasi pintu pagar sekolah.

“Along?” Spontan meluncur dari bibir Aneera. Sekali lagi Azhan jeling tajam. Aneera cuba senyum. Tapi pahit!

 “Aku tahu budak-budak sampai rumah macam biasa. Kalau aku call ummi aku, budak-budak ni tak sampai lagi… Aku tak teragak-agak bagi tahu Uncle Halim apa yang kau dah buat tadi.” Azhan terus bagi amaran.

“Along buat apa dekat sini? Along nak ambik Abang dengan Fia ke?” tanya Aqif teruja sebaik tiba.

“Siapa kata aku nak ambil kau? Pergi balik dengan kakak ni. Jangan nak singgah ke mana-mana pulak!” Dingin seperti selalu. “Tunggu apa lagi ni? Masuk!” tambahnya garang. Berubah terus muka comel Aqif.

Aneera cepat-cepat angkat tubuh Aqif untuk masuk ke dalam kereta. Rasa dah tak sanggup nak dengar lagi tiap perkataan yang meniti bibir lelaki yang dipanggil Along tu. Dah macam samseng mintak hutang lagaknya. Berkasar dengan budak-budak, buat dia rasa tak senang hati.

“Ingat apa aku cakap tadi! Terus balik!” Sekali lagi Azhan bersuara tegas sebaik pintu kereta ditutup Aneera.

“Ye. Saya tahu kerja saya Encik Along!” tingkah Aneera berani sebelum masuk ke ruang pemandu. Naik menyampah dia tengok muka ketat berkaca mata hitam itu. Memang dah macam samseng Ah Long mintak hutang!

Azhan ketap rahang. Ditahan hati daripada terus menghamburkan rasa marah tak tentu pasal. Dia masih waras lagi. Jalan terbaik, dia cuma perlu adukan kepada Uncle Abdul Halim terus.

No comments: