Oct 4, 2018

Berikan Cukup Waktu_7


Hadi tekup mulut menahan kuap buat sekian kalinya sejak dia malabuhkan duduk di meja makan. Mihun goreng yang mencecah lidah seperti tiada rasanya bila kantuk lebih daripada segala-galanya.  Hampir jam 4 pagi dia sampai rumah selepas leka berbual dengan Fakri. Dia tak sangka, biar pun baru saja kenal, dia rasa serasi. Mungkin kerana perbezaan umur yang cuma setahun menyebabkan mereka selesa berbual.

“Lain kali, balik lagi lambat. Tu nanti nak bawak motor macam mana dengan mengantuk tu?” Bebel Hajah Haida yang membawa kuih karipap yang baru siap digoreng. “Dah tahu kerja, yang balik lambat-lambat siapa suruh?” tambahnya lagi.

“Bukan selalu ma…” jawab Hadi malas.

“Nasib baik abah tak tahu Hadi balik lambat. Kalau dia tahu, bising dia tahu tak?” Mujur suaminya yang bertindak sebagai imam di masjid taman perumahan mereka itu masih belum pulang.

“Mama janganlah bagi tahu. Lagipun bukannya hari-hari Hadi balik lambat.”

“Memanglah. Masalahnya, mama dengan abah ni risau. Kalau hari ni tak kerja, mama tak kesah. Hadi nak pergi kerja mengantuk ni macam mana?”

“Kopi pekat mama ni kan ada? Ubat mengantuk ni.” Hadi sengih.

“Biarkan dia ma… Cakap orang bukan nak dengar.” Celah Zara yang baru saja bersiap lepas tolong mamanya menyiapkan sarapan tadi. “Nasib baik Zara tak terjebak. Kalau tak, dia nak Zara temankan dia malam tadi, ma.” Sambungnya sebaik melabuhkan duduk.

“Eloklah Zara tak ikut. Kalau ada pun, mesti jadi penyibuk.” Sambut Hadi selamba.

Zara cebik.

“Mentang-mentanglah malam tadi dapat jumpa dengan buah hati tu kan?” tebaknya geram. Pukul 4 pagi Hadi mengejutkannya semata-mata mahu memberitahu hal tersebut.

Hajah Haida terus hala renung ke arah anak sulungnya. Keningnya berkerut.

“Sebenarnya Hadi pergi mana malam tadi?” soalnya ingin tahu.

“Nak jumpa calon menantu mamalah.”

“Takkan jumpa sampai subuh?”

“Ma… Dia kerja petang sampai malam. Terpaksalah Hadi jumpa dia lewat malam. Tapi malam tadi Hadi sempat cakap dengan dia dalam lima minit aje. Lepas tu dia terus balik.”

“Habis tu, yang balik sampai dekat pukul empat buat apa?”

“Hadi terjumpa abang dia sekali. Tu yang berborak sampai tak perasan jam.”

“Borak apa sampai tak sedar diri tu?” sampuk Zara.

“Ada laa…” Hadi senyum sengih lebar bila teringat kembali perbualannya dengan Fakri lewat malam tadi. Macam-macam yang dia tanya pasal Jeslina dan lelaki itu tenang menjawab. Tapi kata Fakri, nak tahu lebih lagi dia kena usaha sendiri kenal Jeslina. Dia tak boleh bergantung kepada Fakri semata-mata kerana itu hanya akan menambah kedinginan Jeslina.

No comments: