Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_10


Bab 10
Keluh terlepas lagi di bibir Aneera yang bercalit pelembap. Duduk dibetulkan beberapa kali sebelum dia kembali bersandar selesa di dinding batu ruang solat itu. Mata menelusuri barisan susuk tubuh dengan persalinan putih di depannya. Telinga dapat menangkap suara halus Ustazah Mahira yang sedang membaca surah Al-Fatihah sebagai imam buat rakaat kedua untuk solat Asar petang itu. Mata kerling jam di pergelangan. Tak sampai 2 jam lagi waktu kerjanya akan tamat. Mata kembali terhala ke depan.

Melihat barisan jemaah yang ada, akal kembali menjengah peristiwa di rumah ‘Along Samseng’ bulan lepas. Sakit hatinya bila teringat wajah sendu Auntie Suhara selepas solat Zuhur yang diimamkan abahnya.

“Auntie, Neera mintak maaf kalau sebab Neera, Auntie dengan anak Auntie bergaduh. Anak Auntie tak buat apa-apa pun pada Neera. Neera aje yang lebih-lebih. Neera mintak maaf Auntie.” ucapnya dengan rasa bersalah menggunung.

“Takpe Neera. Neera tak salah pun. Auntie tahu, dia mesti ada cakap benda yang sakitkan hati Neera kan? Kalau tak, Neera mesti tak menangis tadi…”

Bibir dikemam rapat. Mata dihalakan ke arah mama dan abahnya yang jadi pemerhati.

“Er… Sorry Auntie.” ucapnya perlahan.

Hajah Suhara berusaha memaniskan senyum. Diseka air jernih yang bersisa di hujung mata sebelum menepuk lembut pahanya.

“Auntie tak salahkan Neera. Kalau bukan sebab Neera pun, Auntie dengan dia memang selalu macam ni, Neera. Dah selalu sangat jadi macam ni.” Payau senyum yang bergayut di bibir tua Hajah Suhara bersama air jernih yang kembali menitis.

Seorang ibu menitiskan air mata hanya kerana ego seorang anak. Sehingga ke hari ini, dia susah nak lupa apa yang dah jadi. Dia tak sangka, seorang terpelajar seperti Azhan sanggup melakukan sedemikian rupa hanya kerana kenangan lalu. Dia tak faham hingga kini, atas sebab apa Azhan terlalu dingin sedangkan keputusan yang dibuat dulu atas persetujuan Auntie Suhara sendiri.

“Neera.”

Muka diangkat. Lupus terus khayalannya tadi. Bibir lorek senyum nipis.

“Jauh menung? Teringatkan rumahlah tu. Tahulah kau nak balik malam ni.” usik Dania yang baru saja melabuhkan duduk di sisinya.

Senyumnya melebar.

“Memang pun. Tak sabar nak balik malam ni.” balasnya senang. Seperti selalu, setiap hujung bulan jika berkesempatan dia akan balik. Jika tidak, tiga bulan sekali baru dia dapat balik. Itu pun bergantung pada cuti rakan-rakan lain.

Mereka yang bekerja sebagai pembantu pembangunan masyarakat atau pun dikenali juga dengan nama pekerja kes di sekolah pemulihan itu, terpaksa bergilir-gilir memohon cuti memandangkan semua pelajar perlu dipantau selama 24 jam. Dan jika bernasib baik, baru dia dapat bercuti panjang.

“Budak-budak dah nak habis solat. Kau pergilah solat dulu. Budak-budak kau, nanti aku tengokkan.” tambah Dania sebelum bingkas.

“Okey! Thanks Nia!” balas Aneera turut bingkas. Sempat mata mencari wajah-wajah pelajar seliaannya sekilas sebelum terus berlalu.

Berurusan dengan remaja bermasalah, bukanlah semudah kata-kata. Ada amanah yang cukup besar tergalas di bahunya. Segala yang berkaitan dengan 8 orang pelajar di bawah seliaannya, adalah tanggungjawabnya. Termasuklah bertindak sebagai perantara antara pelajar dengan keluarga. Dalam erti kata lain, daripada A hingga ke Z tentang pelajar tersebut, dia wajib tahu.

*******
Sebaik melangkah masuk, pintu utama langsung ditutup. Melilau mata Azhan cari kelibat ahli keluarganya. Kosong. Langsung tak kedengaran sebarang suara mahupun bunyi walaupun keadaan rumah masih terang benderang. Sebelum masuk tadi, dia perasan kereta arwah ayahnya tiada. Tahu yang Idris masih belum balik dan hanya akan tiba jam 11 malam pada setiap hari Jumaat kerana sibuk dengan kelas dari pagi.

Langkah dihalakan ke ruang dapur pula. Juga kosong. Mata kilas jam di pergelangan. Baru jam 9. Kebiasaannya, ummi masih duduk di depan TV bersama Aqif dan Sofia. Takkan dah tidur? Hati berbisik sendiri sebelum kaki dibawa ke tangga. Mahu terus naik ke bilik memandangkan saban malam dia sengaja pulang lewat hanya kerana perselisihan faham sebulan yang lalu. Dia masih dingin dengan umminya sendiri. Menjawab hanya bila perlu demi mengelak perselisihan yang makin kerap.  
Sebaik tiba di ruang atas, langkahnya mati bila perasan pintu biliknya renggang dengan lampu terpasang. Kening berkerut. Setahunya, dia tak pernah biarkan lampu terpasang sebelum keluar. Telinga menangkap suara-suara halus sedang bercakap diselang-seli dengan tawa kecil. Bibir diketap. Tanpa tunggu lama, pintu yang renggang dituju.

“Korang buat apa dalam bilik aku ni?” sergahnya tertahan dengan muka yang mula menegang. Melihat keadaan lantai yang bersepah dengan segala jenis alat tulis dan buku, terasa darah makin menyirap. Hati membahang. Kaki dibawa ke meja kerjanya memandangkan dua beradik itu terkebil-kebil di situ. “Kau buat apa dengan komputer aku ni?” Suaranya naik satu tangga bila perasan akan paparan aplikasi permainan yang terpampang.

Sofia yang dah mula memucat, berlindung di sebalik tubuh Aqif. Tangan abangnya itu digenggam kemas. Cukup takut dia memandang wajah Azhan yang menyinga.

“Aku tanya ni! Apa yang korang buat dalam bilik aku? Siapa yang suruh kau pandai-pandai masuk bilik aku ni?” tekan Azhan dengan marah yang bergumpal bila kedua-duanya itu cuma menikus sejak tadi.

“Er… A-Air cond dekat bilik rosak. Erm… A-Abang dengan Fia nak buat homework.” Takut-takut Aqif jawab dengan pandangan jatuh ke lantai. Tak berani nak tentang wajah garang Azhan.

“Buat homework kau kata? Buat homework apa dekat meja aku ni!” Naik satu lagi tangga suara Azhan dengan dada yang mula berombak.

Sofia dah tercebik-cebik hampir menangis. Makin kejap tangannya memaut lengan Aqif.

“Ni kau tunggu apa lagi? Kau nak aku buang semua buku yang bersepah-sepah dekat lantai tu baru nak keluar?” Tengking Azhan lagi hingga terhenjut bahu dua beradik itu dek rasa terkejut.

Sofia mula menangis tanpa bunyi. Aqif pula cepat-cepat tarik tangan si adik menjauhi Azhan.

“Fia pergi masuk bilik. Abang kemaskan buku Fia.” tutur Aqif seraya tolak tubuh kecil Sofia ke pintu sebelum dia melutut mengutip semua buku dan alat tulis yang bersepah-sepah.

“Sekali lagi aku nampak korang masuk bilik ni, aku hantar korang…”

“Han nak hantar budak-budak ni ke mana?” Muncul Hajah Suhara dengan bertelekung di depan muka pintu yang ternganga.

Azhan ketap bibir kuat.

“Ummi tengok apa yang dia orang dah buat dalam bilik Han ni?” balasnya tertahan.

“Buat apa?”

Rengus dilepaskan.

“Jangan sampai sekali lagi Han nampak budak-budak ni masuk bilik Han.” jawabnya dengan marah tertahan.

“Kalau nampak, apa Han nak buat? Han nak hantar budak-budak ni ke rumah anak-anak yatim?” tingkah Hajah Suhara cukup tenang.

“Jangan paksa Han buat macam tu satu hari nanti, ummi.” balas Azhan tanpa pandang wajah Hajah Suhara meskipun sedar kata-kata tersebut hanya menambah duka di hati wanita itu.

“Han langkah mayat ummi dulu kalau nak hantar budak-budak ni pergi rumah anak yatim!” jawab Hajah Suhara seraya menarik tangan Aqif sebelum terus berlalu.

Sekali lagi Azhan hempas nafas. Kasar. Tubuh dihenyakkan ke katil. Wajah diraup bersama istighfar di bibir. Terasa sakit dadanya bila dengar apa yang terluah di bibir ummi. Hakikat yang tak mampu ditolak lagi bila Aqif dan Sofia jadi cukup penting dalam rumah itu.

“Along.”

Muka diangkat. Mata terhala ke muka pintu yang masih tak bertutup. Mata kerling jam di pergelangan sekilas.

“Awal balik hari ni?” Soalnya tak bernada pada Idris yang baru tiba.

“Kelas tadi batal.” Ringkas. Idris hala mata ke arah dua helai kertas A4 yang berconteng-conteng terdampar di lantai. Dari bawah tadi dia dengar suara ummi dan abangnya itu bersilih ganti. Dia cukup yakin ada kena mengena dengan Aqif dan Sofia. “Apa yang dah jadi?”

“Apa lagi kalau bukan sebab budak berdua tu.” jelas Azhan sebelum bingkas. Dikutip dua helai kertas yang terdampar lalu direnyukkan dengan rasa geram yang tak terluah. Kertas yang tak bersalah menjadi mangsa.

“Dia orang buat apa pulak kali ni?”

“Kau nampak game dekat PC aku tu?” Azhan tunjuk ke arah komputernya yang terpasang.

“Setakat main game aje pun Along marah ke?”

“Bukan setakat main game aje yang buat aku marah. Apa-apa yang berkaitan dengan barang aku, aku tak suka budak-budak tu pegang sikit pun.” jelas Azhan tak berselindung.

Idris lepas nafas panjang. Menggeleng dia seketika.

“Hal kecil macam tu pun takkan sampai Along nak bergaduh dengan ummi?”

“Sebab ummi manjakan sangat budak-budak tu!”

“Ummi takkan marah kalau Along tak mulakan.”

Azhan yang dah duduk di kerusi meja kerjanya, lepas renung tajam ke arah si adik yang setia berdiri di muka pintu.

“Kau cakap aku yang mulakan?”

Sekali lagi Idris buang nafas panjang.

“Maksud Id, kalau Along tak marah budak-budak tu ummi takkan marah Along.”

“Kau ingat, aku suka-suka nak marah kalau bukan sebab budak-budak tu yang cari pasal dulu?” tingkah Azhan bela diri bila kata-kata Idris berbaur tuduhan dan jelas berpihak kepada umminya tadi.

“Dia orang tu budak-budak lagi Along…”

“Sebab budak-budaklah kena ajar!”

“Tapi bukan dengan marah-marah macam ni.”

“Habis tu, kau nak aku cakap baik-baik dengan dia orang tu? Sebab ummi cakap baik-baiklah budak-budak tu boleh pijak kepala!” tingkah Azhan yang mula panas hati.

“Dari awal budak-budak tu duduk dengan kita, ada Along nampak dia orang pernah kurang ajar pada ummi, pada Id? Ada?”

Azhan lepas rengus lagi.

“Kalau dia orang kurang ajar pun, kau ingat aku nampak ke? Bukan aku tak tahu ummi dah terlampau manjakan sangat budak-budak tu.” balasnya selamba.

“Kalau bukan ummi yang manjakan budak-budak tu, siapa lagi? Along?” Idris lepas senyum tepi. Cukup sinis. “Id rasa, memang kempunanlah budak-budak tu kalau nak harapkan Along.”

“Kau tak payahlah nak sindir-sindir aku, Id. Kau sendiri tahu sebab apa aku tak boleh terima budak-budak tu.” jawab Azhan tenang walaupun jauh di sudut hati cukup terkesan dengan apa yang diluahkan adiknya itu.

“Sebab Along berdendam! Along berdendam dengan arwah ayah, dengan arwah mummy budak-budak tu!” sembur Idris selamba.

Azhan ketap rahang. Dipandang tajam wajah tenang adiknya macam nak ditelan.

“Kalau bukan sebab dendam, Along takkan jadi macam sekarang!” tambah Idris.

Azhan lempar senyum sinis.

“Kau boleh cakap apa yang kau nak Id. Sebab yang kena lempang dengan arwah ayah dulu tu, aku. Bukan kau. Kau cakaplah apa yang kau nak.” jawabnya yang berusaha tenang sebelum bingkas. Tuala di tempat penyidai dicapai sebelum berlalu masuk ke dalam bilik air meninggalkan Idris sendiri. Itu lebih baik dari dia terus bersoal jawab dan hanya akan menambah sakit hati yang ada. Cukuplah dia rasa cukup tersisih dalam rumah itu sejak kehadiran Aqif dan Sofia. Dan seperti biasa, dia juga yang akan memujuk hati sendiri.  

*******

Kepada yang mahu mendapatkan ebook ini dengan harga RM 10 sahaja, boleh whatsapp nombor ni 0126385574 atau pm facebook saya. Terima kasih :)


No comments: