Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_6


Bab 6
“Ummi!” Berlari Sofia dapatkan Hajah Suhara depan pintu sebaik turun daripada kereta.

“Lamanya anak ummi ni keluar dengan Along.” balas Suhara seraya membawa tubuh kecil itu dalam pelukan. “Best keluar dengan Along?” soalnya sebaik pelukan dileraikan.

Best! Along beli buku Fia.” jawab si comel Sofia dengan senyum lebarnya.

“Iye ke?” Hajah Suhara hala pandang pada wajah tak berperasaan si anak yang baru turun dari kereta.

“Lain kali kalau nak beli apa-apa, ummi bawaklah budak-budak ni. Han boleh bagi duit, ummi belilah apa pun asalkan jangan suruh Han. Serabutlah dengan budak-budak ni!” ujar Azhan sebaik tiba di muka pintu.

“Kenapa? Apa yang budak-budak ni dah buat?”

Azhan tak jawab. Sebaliknya dia terus beredar naik ke bilik.

Hajah Suhara lepas nafas perlahan. Dibuang pandang pada Aqif yang datang mendekat.

“Abang…” Diusap pipi Aqif lembut. “Cuba cakap dengan ummi apa yang Abang dah buat pada Along. Abang dengan Fia dah buat Along marah ya? Kan ummi dah pesan tadi, jangan buat Along marah. Abang dengan Fia kena behave. Abang nak Along selalu marah Abang dengan Fia?” Soalnya risau.

“Tak ummi. Abang tak buat Along marah. Fia ni…” Afiq tunjuk ke arah si adik.

“Fia… Ummi pesan apa tadi?”

Si comel Sofia cuma terkelip-kelip.

“Cuba Abang cakap dengan ummi, apa yang Fia dah buat.”

Si abang hala pandang ke arah si adik. Helaan halus terlepas sebelum dipandang sayang wajah Hajah Suhara.

“Fia nak pergi toilet. Along tak boleh hantar.” jelas Aqif.

“Habis tu, Along tak bawak Fia pergi toiletlah?” Mata Suhara membesar.

“Bukan Along yang bawak Fia, ummi.” balas Aqif bersama gelengan.

“Habis tu?”

“Kak Farah.”

“Kak Farah? Siapa Kak Farah?

“Kawan Along.”

Hajah Suhara hembus nafas lega.

“Abang dengan Fia dah makan?” soalnya lagi.

Dua beradik itu menggeleng serentak. Hajah Suhara beristighfar perlahan.

“Jom kita masuk. Ummi ada beli mushroom soup tadi. Fia dengan Abang tukar baju dulu, lepas tu turun ya? Ummi masakkan kejap.” Arahnya lembut dan kedua-duanya cuma akur.

Melewati tangga, dia bertembung dengan Idris.

“Id, Along mana?”

“Dia solat.” jawab Idris ringkas sebelum terus menuruti langkah umminya ke ruang dapur. “Kenapa mi? Budak-budak tu ada cakap apa-apa ke?” soalnya pula sebelum labuhkan duduk di kerusi meja makan.

Sekali lagi Hajah Suhara lepas keluh halus.

“Along tak bawak budak-budak tu pergi makan lagi, Id. Ummi kan tak masak hari ni. Kesian budak-budak tu belum makan, Id.” adunya.

Idris geleng bersama keluh perlahan.

“Sebab tu ummi nak masak mushroom soup tu?” tanya Idris lagi bila nampak umminya keluarkan satu tin sup cendawan segera dari dalam kabinet.

“Ni aje yang paling cepat, Id. Kesian budak-budak tu nak tunggu lama ummi masak nanti.”

“Tak payah masaklah mi. Id call pizza aje. Id naik atas ambil telefon kejap.” Idris bingkas dari kerusi seraya terus berlalu.

Seketika, bayang Idris bertukar dengan bayang Azhan yang dah pun menukar pakaian yang lain.

“Mi, Han nak keluar kejap.” ujar Azhan seraya membuka peti sejuk. Botol jus delima dicapai sebelum dituangkan ke dalam gelas.

“Kenapa Han tak bawak budak-budak tu pergi makan? Han tahukan ummi tak masak hari ni? Kesian budak-budak tu, Han. Dah sampai pukul dua ni belum makan lagi.” Itu terpacul di bibir Hajah Suhara bersama keluh kecewa.

Tak jadi Azhan teguk air yang baru dituang.

“Han pun belum makan mi.” jawabnya tak bernada.

“Tapi Abang dengan Fia tu budak lagi, Han. Bukan macam Han. Han tak kesian ke budak-budak tu lapar? Dari pagi tadi keluar langsung tak makan apa-apa sebab suka sangat bila Han yang nak bawak keluar.”

Azhan hempas nafas berat. Hatinya sedikit terusik. Digenggam kemas gelas di tangan dengan pelbagai rasa yang terbuku.

“Han ni tak tahu jaga budak-budak, ummi. Kalau ummi rasa Han ni kejam sebab tak bawak budak-budak tu pergi makan, lain kali jangan suruh Han bawak budak-budak tu keluar.” ucapnya tertahan sebelum terus berlalu. Ditinggalkan terus gelas jus yang dituang tadi tanpa berusik.

“Han!” Beberapa kali Hajah Suhara cuba memanggil tapi Azhan langsung dah tak berpaling.

“Along, kau nak pergi mana?” Idris pula menegur bila bertembung dengan abangnya yang melewati tangga. Namun Azhan tetap juga tak menoleh. Dibawa langkah terus ke muka pintu sebelum deru enjin kereta kedengaran meninggalkan rumah. “Kenapa tu mi?” Soalan diajukan buat umminya yang dah turut sama berdiri di depan tangga.

Hajah Suhara lepas keluh panjang. Pelupuk matanya hangat. Ada sesal bertamu dalam hati. Sesal kerana luahkan perkara yang tak sepatutnya sedangkan dia tahu Azhan tak pernah sekali pun uruskan Aqif dan Sofia selama ini. Dia dapat rasa anak sulungnya itu berjauh hati dengan apa yang diucapkan sebentar tadi.

*******
Abdul Halim letakkan dua biji muk di depan anak muda yang dah dianggap seperti anak kandungnya sendiri selama ini.

“Jemput minum Han. Air bujang aje. Tahu ajelah Auntie kalau dapat cuti macam ni, memang ada aje program dia bila anak menantu balik.” ujarnya sebaik labuhkan duduk di kerusi rotan tepi rumah itu.

“Terima kasih Uncle. Buatt susah-susah aje.” balas Azhan seraya capai muk berisi jus anggur dan diteguk perlahan. Sememangnya tekak terasa kering sejak dari rumah tadi.

Abdul Halim senyum. Tak lepas dia pandang seraut wajah Azhan yang jelas tak setenang biasa. Kehadiran Azhan yang tiba-tiba itu juga dah cukup beri petanda ada sesuatu yang tak kena. Dan memang begitulah setiap kali yang terjadi andai Azhan punya masalah. Dialah yang dicari dulu sejak hubungan dengan arwah sahabatnya renggang.

“Han bergaduh lagi dengan ummi Han?” tebaknya tenang.

Azhan hempas nafas pendek. Diraup wajahnya sekali.

“Dah banyak dosa Han ni pada ummi, Uncle.” luahnya perlahan.

“Kali ni apa yang dah jadi?” soal Abdul Halim lagi. Dia teringat apa yang jadi minggu lalu. Aqif ada mengadu yang dia dan Sofia ditengking hanya kerana Sofia jatuhkan gelas susu.

“Sebab apa lagi Uncle? Sebab budak berdua tu la…” Sekali lagi Azhan lepas keluh.

Abdul Halim senyum. Seperti yang dijangka. Dan sejak akhir-akhir itu makin kerap Azhan dan umminya berselisih faham hanya kerana Aqif dan Sofia.

“Cuba Han cerita apa yang Han tak puas hati kali ni.” soalnya tenang seperti selalu.

Azhan buka mulut dan mula meluahkan rasa tak puas hati pada umminya yang terlalu mengambil berat akan Aqif dan Sofia.

“Uncle dah tak tahu nak cakap macam mana, Han. Selagi kamu tak boleh terima budak-budak tu, selagi tulah kamu ada masalah dengan ummi kamu.”

“Susah Uncle. Han takkan lupa apa yang dah jadi dulu. Cuma ummi tu aje yang baik sangat. Terima aje apa yang orang buat. Sampaikan kawan sendiri tipu pun tak sedar!” luah Azhan dengan dada yang sedikit berombak bila teringat kembali apa yang menjadi titik permulaan hubungan kekeluargaannya mendingin.

“Han kena terima qada dan qadar Dia.”

“Tu Han tahu, Uncle.”

“Habis tu? Apa lagi yang Han tak puas hati? Dah lebih lima tahun Han… Sampai bila nak macam ni? Kalau terus macam ni, sampai bila-bila Han takkan baik dengan ummi Han macam dulu.” Nasihat yang sentiasa diulang tanpa jemu demi kebaikan anak sahabatnya itu.

Azhan senyum nipis. Tak berperisa.

“Kalau baik pun, takkan jadi macam dulu balik, Uncle. Kalau arwah ayah tak kahwin lain, semua ni takkan jadi…” luahnya perlahan.

Abdul Halim menggeleng. Senyum terlakar lagi di bibir tuanya.

“Han jangan lupa kita hidup berpegang pada rukun iman yang enam. Kalau yang enam ni Han tak percaya, apa maknanya?” ucapnya penuh makna.

Azhan lepas keluh panjang. Dibuang pandang ke halaman mini yang cantik dihiasi air terjun buatan. Bunyi deru air yang keluar dari celah batu cukup mendamaikan. Tapi bukan hatinya kala ini. Berbolak-balik dengan perasaan sendiri.

“Han… Hidup kita tak panjang kalau dalam hati ni penuh rasa benci, rasa dendam. Hilang nikmat hidup kita yang sementara ni. Apa yang dah jadi semua bersebab Han. Ada hikmah yang kita tak tahu. Han tahu tak, betapa besarnya pahala jaga anak yatim ni? Budak-budak tu kecil lagi, Han. Kalau ummi Han takde nanti, siapa yang nak jaga budak-budak tu kalau bukan Han dengan Id. Darah yang mengalir dalam badan budak-budak tu, darah arwah ayah Han, darah Han juga. Bila Sofia dah besar nanti, siapa lagi yang nak jadi wali kalau bukan Han? Budak-budak tu adik-adik Han juga tahu tak? Bukannya orang lain.” Panjang lebar Abdul Halim menyambung.

Azhan diam lagi.

“Ingat Han. Budak-budak tu amanah, Han. Nak atau tak nak, budak-budak tu tetap tanggungjawab Han. Han sanggup ke biar budak-budak tu hidup merempat, membesar dekat rumah anak yatim sedangkan dia orang ada lagi adik-beradik yang mampu? Belajarlah terima takdir Dia walaupun susah. Uncle yakin, apa yang Dia dah tentukan adalah yang terbaik untuk Han. Dia takkan jadikan sesuatu yang mendatangkan keburukan pada hamba-Nya. Han ingat tu. Hikmah rahsia Dia. Insya-Allah semuanya yang terbaik Han. Takkan ada yang buruk melainkan tangan kita sendiri yang jadikannya buruk.” tambah Abdul Halim lagi.

“Han tak tahu nak cakap macam mana, Uncle. Setiap kali Han tengok budak-budak tu, Han mesti teringat apa yang dah jadi dulu. Han tak boleh lupa macam mana ummi sakit dekat hospital. Tapi ayah…” Azhan raup wajahnya sekali. Helaan berat dilepaskan. Memori pahit yang menggamit cukup memilukan hati.

“Kalau ummi Han boleh reda dengan semua yang jadi, kenapa Han tak boleh buat benda yang sama? Arwah ayah Han pun dah takde. Kenapa mesti Han simpan dendam sampai macam ni sekali? Hati Han takkan tenang sampai bila-bila kalau Han terus macam ni. Percayalah cakap Uncle ni Han…”

Azhan geleng perlahan. Sebelah tapak tangan dilekapkan ke pipi kiri. Diusap perlahan. Perit ditampar arwah ayahnya dulu memang dah hilang. Namun perit di hati, tetap berbekas dan belum mampu dilenyapkan begitu saja.  

*******
“Han…”

Langkah Azhan mati tatkala sebelah kakinya memijak anak tangga pertama.

“Han dah makan?” Lembut Hajah Suhara menyoal.

“Ummi tak payah susah hati risaukan Han. Han dah besar ummi. Kalau Han tak makan pun, Han boleh tahan lagi.” jawab Azhan tak bernada tanpa berpaling.

“Han…” Hajah Suhara tahan sebak. Terusik hati tuanya dengan apa yang terluah di bibir si anak. Sedar yang anak sulungnya itu masih berjauh hati dengan apa yang jadi siang tadi.

Azhan menoleh. Nafas panjangnya terlepas.

“Han tahu, Han ni bukan anak yang baik, ummi. Han selalu sakitkan hati ummi, Han banyak dosa dengan ummi. Tapi apa yang Han buat selama ni, semuanya sebab ummi. Han tak pernah lupa apa yang ayah dah buat pada ummi dulu. Han takkan lupa. Sebab tu, sampai sekarang Han tak boleh terima budak-budak tu dalam hidup kita.” luahnya perlahan.

“Budak-budak tu tak salah Han…”

“Ye. Han tahu budak-budak tu tak salah, tak berdosa. Tapi setiap kali Han pandang budak-budak tu, Han tak boleh lupa apa yang dah jadi dulu!” tingkah Azhan.

“Tapi Han…”

“Tolong jangan paksa-paksa Han, mi. Cukuplah apa yang Han dah buat dalam dua tahun ni semata-mata sebab wasiat ayah. Han dah ikut apa yang arwah ayah pernah pesan. Cukup setakat tu ummi. Han tak sedia lagi nak terima budak-budak tu dalam hidup Han.” tegas Azhan sebelum kembali berpaling mahu menyambung langkah. Namun lengannya tiba-tiba disambar. Mata jatuh pada lengan sekilas sebelum terhala ke wajah umminya.

“Han bagi tahu ummi apa yang ummi kena buat supaya Han boleh terima budak-budak tu.” lancar Hajah Suhara luahkan. Dia sanggup buat apa saja demi Aqif dan Sofia.

“Ummi tak perlu buat apa-apa. Sebab Han takkan senang-senang terima budak-budak tu macam mana ummi dengan Id buat. Han tak boleh!” Azhan tetap dengan pendiriannya.

“Han…” Sayu.

Azhan geleng perlahan.

Please ummi… Cukuplah budak-budak tu dah buat Han rasa jauh dengan ummi selama ni. Jangan sebab budak-budak tu, Han terus hilang ummi.” luahnya perlahan sebelum terus menyambung langkah. Pilu hatinya bila mengenangkan hubungan mereka yang kian renggang. Dah tak semesra dulu.

Sementara Hajah Suhara yang masih setia di depan tangga, tak mampu lagi menahan air matanya. Rasa sedih dah kecewa bergumpal di dalam dada dengan ketegasan Azhan.

“Ummi…”

Muka diangkat. Bayang Azhan berganti dengan bayang Idris.

“Id…” Lirih.

Idris mendekat. Dibawa tubuh umminya dalam pelukan.

“Berapa kali Id cakap dengan ummi… Jangan paksa-paksa Along tu. Ummi cakaplah apa pun, dia takkan dengar. Tapi ummi percayalah cakap Id. Dalam benci dia pada budak-budak tu, tetap ada rasa sayang. Ummi percayalah…” Idris cuba menenangkan.

“Tapi Id… Ummi tak sanggup tengok budak-budak tu selalu kena marah, selalu kena tengking. Kesian budak-budak tu, Id…”

Idris lepas keluh berat. Pelukan dileraikan. Digenggam erat jemari umminya.

“Budak-budak tu dah faham dengan perangai Along, mi. Along buatlah apa pun, budak-budak tu tak pernah jemu nak bermanja dengan dia. Ummi sendiri tengok macam mana perangai Fia sekarang kan? Lagi Along tolak dia jauh, makin dekat Fia datang. Dia dah lali dengan Along tu, mi.” tuturnya lambat demi membuang gusar di hati umminya itu.

“Ummi bukan apa, Id… Ummi takut satu hari nanti Along naik tangan pada budak-budak tu. Kalau ummi dah takde nanti, entah apa yang dia buat. Ummi takut, Id. Ummi tahu, apa yang Along buat sekarang ni cuma terpaksa. Terpaksa ikut semua wasiat arwah ayah.” luah Hajah Suhara lagi.

“Ummi…” Idris lekapkan dua tapak tangan ke wajah umminya. Diseka air mata yang bersisa. “Dengar sini apa Id cakap. Selagi nyawa Id ada, selagi tu Id takkan biar Along apa-apakan budak-budak tu. Kalau ummi tak boleh percayakan Along, ummi percayalah pada Id. Insya-Allah, budak-budak tu takkan apa-apa.” Sekali lagi dia cuba membuang gundah gulana di hati si ibu.

“Terima kasih, Id…” Hajah Suhara kembali dakap tubuh anak bongsunya itu erat. Tangisnya kembali dihamburkan meskipun perasaan lega sedikit pun tak menjengah hati.

No comments: