Oct 10, 2018

Berikan Cukup Waktu_14


Zara kerling jam di pergelangan bersama keluh berat. Dipandang abang kesayangan yang sibuk memanjangkan leher sejak tadi.

“Abang, dah dekat dua jam kita duduk sini macam orang gila tahu tak? Tak puas lagi ke nak tengok? Tadi dah jumpa kan? Siap terlanggar lagi. Nombor telefon pun dah ada. Nanti call ajak jumpalah.” Rungut si adik yang dah naik bosan menanti sejak tadi. Sepatutnya dia cuma datang jemput abangnya yang baru balik dari Jepun atas lawatan kerja hampir dua minggu.

“Kalau dia nak jumpa abang dari awal, tak payah abang terintai-intai macam ni tahu tak?” jawab Hadi yang tak lepas pandang ke arah Jeslina dan gadis berbangsa cina yang memarahinya tadi.

Dia betul-betul tak sangka yang Jeslina langsung tak perasan kewujudannya hinggakan tubuhnya yang tegap dilanggar. Padahal dari jauh dia dah perasan gadis itu tadi. Cuma pertemuan hari itu memang kebetulan yang tak pernah dipinta. Selepas Jeslina menghantar pesanan amaran beberapa minggu lalu, memang dia berhenti dari ganggu gadis itu kerana perlu bersedia dengan lawatan kerjanya.

“Jomlah balik... Zara penatlah baru balik dari kursus. Kalau tahu abang nak balik lambat tadi, Zara terus balik rumah tahu tak? Abang baliklah naik Grab ke Uber.” Rungut Zara lagi mula bengang.

“Kejaplah! Abang nak tengok dia datang jemput siapa.” Balas Hadi masih tak lepas pandang pada Jeslina yang nampak resah memandang ke arah pintu balai ketibaan. Sekejap-sekejap gadis itu ramas tangan. Sekejap-sekejap ikatan rambut diperbetulkan. Serba tak kena.

“Zara bagi abang sepuluh minit aje lagi. Lepas sepuluh minit, kalau abang tak nak gerak, Zara terus balik. Abang pandai-pandailah balik sendiri.” Putus Zara tegas.

“Okey okey. Sepuluh minit.” Hadi kilas jam tangannya sekali sebelum kembali terhala ke arah Jeslina di hujung sana. Seketika, matanya membulat bila ada dua gadis berwajah serupa meluru ke arah Jeslina dan memeluk erat. Keningnya terus berkerut. Fakri langsung tak cerita tenang kelurga Jeslina sebelum ini. Dia cuma diberitahu Jeslina tinggal dengan Saif sejak berumur 15 tahun lagi. Lebih 10 tahun ibu dan ayahnya dah berpisah.

“Dua orang muka sama tu adik-adik dia ke?” Soal Zara di sebelah turut memerhati ke arah yang sama.

Hadi cuma angkat dua bahunya tanda tak tahu. Mata terus meneliti ke satu wajah yang berdiri tak jauh dan hanya menjadi pemerhati. Nampak anggun bergaya walaupun dah berusia.

“Yang cantik tu siapa pulak? Kakak dia?” Zara bersuara lagi.

“Hesy! Manalah abang tahu. Banyak benda yang abang tak tahu lagi pasal dia.”

“Eh, abang dah kawan dengan dia takkan tahu?”

Hadi toleh ke wajah adiknya.

“Tadi bukan Zara yang sibuk ajak balik ke? Sekarang ni dia yang sibuk lebih-lebih apa hal?”

Zara sengih.

“Dah. Jom balik. Sesi jaga tepi kain orang dah habis.” Hadi bingkas. Beg sandang yang diletakkan atas lantai terus disangkutkan ke bahu. Sebelah tangan lagi capai bagasi.

“Belum lagi sepuluh minit, takkan dah nak balik?”

“Tak payah tunggu sepuluh minit. Dah jomlah balik!” Hadi terus buka langkah. Mahu segera tiba di rumah agar dia boleh keluar semula nanti. Dia perlu bertemu dengan Fakri. Mahu mengetahui akan status hubungan pasangan kembar bersama seorang wanita anggun yang dia nampak dengan Jeslina sebentar tadi.

No comments: