Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_2


Bab 2
Mata menangkap susuk tubuh tegap yang tercegat di muka pintu. Keluh panjang terlepas di bibir.

“Ni mesti si samseng tu dah report pada abah…” Aneera merungut sendiri sebaik kereta berhenti. Enjin dimatikan sebelum dia keluar. Muka abah dipandang dengan sengih lebar yang dibuat-buat.

“Abah… Assalamualaikum.” Tangan dihulur. Tangan abah dicium seperti selalu.

“Waalaikumussalam.” Tegas bunyinya.

Aneera cepat-cepat tanggalkan sneakers yang dipakai. Dia nak cepat-cepat masuk untuk mengelak daripada disoal siasat. Baru sahaja sebelah kaki melangkah, laluannya dihalang tubuh tegap abah. Muka diangkat.

“Apa yang Neera dah buat tadi?” Dalam nada yang sama Abdul Halim kembali bersuara. Tajam matanya menikam ke dalam mata si anak. Marah sungguh dia dengan apa yang diadukan Azhan tadi.

“Ni mesti Encik Along tu dah bagi tahu abah kan? Abah janganlah percaya cakap dia. Neera tak buat salah apa pun. Dia tu aje yang marah Neera tak tentu pasal. Sofia pun tak apa-apa.” tebak Aneera terus. Langsung tak berselindung.

“Dia takkan marah kalau Neera tak buat salah!” tingkah Abdul Halim geram.

“Neera…”

“Jangan nak bagi alasan! Abah dah ingatkan Neera semalam pasal Sofia kan?”

“Neera dah sampai awallah tadi. Neera tahulah apa yang Neera buat. Neera belum sempat pun nampak Sofia, tiba-tiba aje dia datang. Kalau tahu dia datang, baik Neera tak payah datang tadi. Buat penat aje.” jawab Aneera cuba menegakkan benang yang basah.

“Bukan pasal Neera datang lambat ke awal, dia datang ke tidak. Masalahnya sekarang ni, Neera tu leka sangat dengan telefon! Berapa kali abah cakap? Jangan leka, jangan leka.”

Aneera lepas nafas panjang. Muka abah dipandang.

“Iyelah iyelah! Memang Neera yang salah! Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Dah salah tetap salah!” Sekali lagi Abdul Halim meningkah. Sekali lagi juga Aneera lepas nafas panjang. Terus mulut dikunci daripada menjawab. Tapi dalam hati, dah berbakul rasa marah terhumban buat lelaki muka kejang yang dipanggil Along dua beradik comel tadi.

“Abah tahu esok, pagi-pagi ikut abah pergi rumah budak berdua tu!”

“Alah… Nak buat apa? Tadi Neera dah kena marah, dahlah. Bukannya masalah besar pun. Hal kecil ajekan?”

Abdul Halim geleng.

“Orang buat salah, kena mintak maaf. Ada Neera mintak maaf pada mak ayah budak-budak tu? Takde kan?”

“Tapi tadi Neera dah cakap dengan…”

Abdul Halim angkat tapak tangan. Ditegakkan depan muka si bongsunya itu.

“Abah kata ikut, ikut! Jangan nak bangun lambat esok!”

“Tapi bah…”

Abdul Halim terus bagi isyarat geleng sebelum terus berpusing masuk ke dalam rumah. Panggilan si bongsu langsung tak dihiraukan.

Nafas berat terlepas lagi di bibir Aneera. Nak tak nak dia kena ikut esok. Terpaksa berhadapan dengan ‘Si Along’ samseng pengutip hutang. Sebal!

*****
Langkah kaki terhenti di hujung anak tangga sebaik mata menangkap susuk tubuh asing di ruang tamu. Tajam matanya merenung seketika sebelum dia menyambung langkah ke meja makan. Tak dihiraukan gadis yang leka membelek telefon.

“Han, pergilah ajak Aneera tu. Boleh sarapan sekali.” Muncul Hajah Suhara dari ruang dapur sambil menatang seteko air kopi.

Aneera di ruang tamu mengangkat kepala sebaik terdengar suara Hajah Suhara. Kelam-kabut dia simpan telefon bila mata menangkap susuk tubuh yang membelakangkannya di meja makan. Liur ditelan payau. Hanya kerana abah dia terpaksa berhadapan lagi dengan si samseng berkemeja tu.

“Buat apa dia datang pagi-pagi dekat sini? Bukan Fia dengan Aqif dah pergi sekolah?” Soalan juga terpacul di bibir Azhan. Dia nampak dari tingkap bilik tadi Uncle Halim dah pun menjemput Fia dan Aqif. Cuma dia tak perasan bila masa pula si gadis yang kena marah semalam turut sama ada.

“Memanglah budak berdua tu dah pergi sekolah. Aneera kata dia ada hal nak cakap dengan Han. Sebab tu Uncle Halim tinggalkan dia dekat sini sekejap. Lepas hantar budak-budak, Uncle Halim singgah sini jemput dia balik.” jelas Hajah Suhara yang sedia maklum apa yang dah jadi semalam selepas diberitahu Aqif. Aneera sendiri dah mengaku padanya tadi.

“Hal apa pulak pagi-pagi ni? Rasanya Han tak ada hutang apa-apa dengan dia.” jawab Azhan selamba. Langsung tak dipandang si gadis di belakang.

Hajah Suhara menggeleng. Malas nak bersoal jawab lagi, dia yang memanggil Aneera. Lambat-lambat Aneera bangun walaupun pada awalnya tadi dia dah menolak untuk bersarapan bersama. Dia segan. Lebih-lebih lagi kini terpaksa mengadap Encik Along.

“Aneera cakaplah dengan Han. Auntie nak naik kejutkan anak Auntie yang seorang lagi. Takut dia terlambat bangun nak ke kelas. Aneera duduk sarapan sekali ye?” ujar Hajah Suhara.

Aneera senyum kelat. Dah terlambat dia nak menolak.

“Han…” Dipandang si anak. Isyarat mata diberi agar melayan Aneera sebelum dia terus panjat tangga ke atas.

Azhan lepas keluh berat. Muka manis di depannya itu dipandang sekilas sebelum tangan laju menyenduk mihun goreng ke dalam dua pinggan kosong. Air kopi dituang dalam dua cawan.

“Aku tak suka bercakap dengan tiang. Duduk!” Tegas dia bersuara tanpa pandang si gadis dipanggil Aneera oleh umminya tadi.

Aneera sedikit tersentak. Lambat-lambat dia labuhkan duduk. Sesekali mata curi pandang muka tak berperasaan di depannya ini. Pagi-pagi dah menegang semacam. Entah apa yang tak kena.

“Jemput makan.” Tak bernada. Azhan hulur sudu garfu. Aneera sambut tanpa ragu. Berlaga mata seketika sebelum masing-masing menunduk.

Aneera telan liur dalam diam. Sepasang mata coklat di depannya ini punya aura yang tersendiri. Hilang rentak di dalam dadanya seketika. Semalam, sepasang mata tu terlindung di sebalik cermin gelap yang dipakai. Hari ni… Tak sangka si samseng yang dipanggil Han oleh Hajah Suhara ni ada sepasang mata yang cukup memikat.

“Ada hal apa kau nak cakap dengan aku pagi-pagi ni? Aku rasa aku tak ada hutang apa-apa dengan kau.” Azhan memulakan kata selepas beberapa suap mihun selamat masuk ke dalam perut. Air kopi di sisi kanannya disisip perlahan tanpa pandang muka si tetamu.

Aneera angkat muka seketika. Garfu yang dipegang terus diletakkan ke tepi pinggan. Dia berdeham beberapa kali cuba membuang gentar rasa yang ditahan sejak tiba tadi. Mata kembali dihalakan ke depan. Pada si muka tegang yang banyak menunduk.

“Saya nak mintak maaf pasal semalam.” Lancar. Tenang.

“Tu je kau nak cakap sampai sanggup buang masa datang rumah orang pagi-pagi ni?” Senyum sinis meniti bibir Azhan.

Aneera tahan hati. Rasa geram mula mengusik.

“Kau mesti datang sebab Uncle Halim kan? Kalau tak, aku rasa kau tak datang sini.” sambung Azhan dengan renung tajam menyebabkan Aneera kembali rendahkan mata. Kebenaran yang tak mampu nak dinafikan. Memang dia datang ke situ semata-mata sebab abah.

“Kalau kau tak cukup ikhlas, baik kau tak payah datang mintak maaf dengan aku. Buang masa kau aje.” Azhan menambah lagi sebelum terus menghabiskan baki mihun di dalam pinggan. Kopi diteguk laju walaupun masih terasa hangat. “Kau tak kerja ke hari ni? Tak mungkin kau cuti semata-mata nak jumpa aku kan?” Lanjutnya tetap berbaur sinis. Mahu segera menamatkan perbualan.

Aneera senyum tawar. “Memang cuti.” Nak tak nak dia jawab dalam rasa sakit hati disindir lelaki tu.

Azhan tak bercakap lagi. Diangkat pinggan dan cawan yang dah pun kosong ke dapur. Beg laptop dicapai sebelum terus berlalu ke pintu. Langsung dia dah tak pedulikan gadis berblaus biru tua yang terkebil-kebil memerhatinya.
“Han!” Hajah Suhara baru sahaja menuruni tangga. Sempat dipandang sekilas muka Aneera sebelum dia mendapatkan si sulung di muka pintu utama.

“Dah habis cakap dengan Aneera ke?” soalnya terus.

“Dah mi. Han pergi dulu. Dah lambat ni. Assalamualaikum.” Tangan Hajah Suhara disalam dan dicium seperti selalu. Mata sempat mengerling Aneera di meja makan sekilas sebelum dia terus berlalu ke luar.

Manakala Aneera di meja makan menahan sakit hati sendiri. Dia dah dapat jangka apa yang jadi dan sepatutnya dia tak setuju dengan kata-kata abahnya semalam. Rasa menyesal bertimbun di dalam hati.
*****
Sesekali jari mengetuk stereng kereta. Mata terhala ke arah deretan kereta di parkir khas buat staf. Daripada satu kereta ke satu kereta dipandang. Melihat akan barisan kereta yang agak mewah, ada rasa kagum di dalam hati. Bukan senang nak senang. Kemewahan yang ada takkan datang bergolek tanpa usaha. Setimpal dengan kerja yang dilakukan. Mereka bekerja seperti di ladang pahala. Memberi bakti pada manusia lain.

Tangan mengilas jam tangan. Ada lagi 5 minit sebelum waktu pejabat habis. Dan memang sengaja dia datang lebih awal tadi demi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak macam tu. Maklumlah dia bukannya hari-hari menjemput mama dari tempat kerja. Jika pulang bercuti baru berpeluang ke situ. Selalunya abah yang jemput.

Baru sahaja tangan ingin menolak pintu kereta, tingkahnya terhenti bila ada sebuah kereta putih masuk parkir kosong di sebelah. Cukup rapat hingga terasa ruang bukaan pintu keretanya cukup terhad. Bibir diketap, muka diangkat. Mencari bayang si pemandu kereta putih.

“Dia ni…” Bibir diketap. Bergumpal bahang di hati sebaik ternampak seraut wajah berkaca mata hitam keluar daripada ruang pemandu. Cermin kereta diturunkan.

Excuse me Encik Along!” Laungnya menahan geram.

Azhan menoleh. Kening berkerut. Diangkat cermin mata yang tersangkut.

“Kau? Apa hal?” Tegang, sinis. Sama seperti mana pagi tadi.

“Boleh tak lain kali buka mata tu besar-besar sikit? Awak nampak tak apa yang awak dah buat? Tahu bawa kereta ke tak?” sembur Aneera selamba.

Excuse me? Kau nak cakap aku tak tahu bawak kereta?” Azhan mendekati depan kereta Myvi ungu Aneera. “Kau cakap baik-baik sikit. Cuba kau keluar sini. Kau tengok siapa yang tak tahu bawa kereta sekarang ni.”

Sekali lagi Aneera ketap bibir. Terpaksa dia keluar dari pintu penumpang sebelah kirinya. Dia mendapatkan Azhan.

“Kau tengok line tu!” Azhan tunjuk garisan putih petak parkir.

Aneera telan liur. Muka kebas. Baru sedar dia yang salah. Langsung tak perasan pada garisan parkir yang dah pudar. Dipandang muka lelaki di sebelah. Dia nampak sebelah kening lelaki itu terangkat tinggi.

“Lain kali, jangan nak pakai tuduh kalau takde bukti! Lainlah macam semalam. Dah jelas-jelas buat salah, tu pun tak nak mengaku! Dah kena paksa baru nak mintak maaf!” Sedas Azhan bagi sebelum berlalu ke kaki lima hospital.

Aneera panas telinga. Dipandang geram langkah kaki Azhan yang kian menjauh sebelum kakinya juga turut melangkah laju. Ada rasa tak puas hati yang terpendam dan tunggu masa nak dihamburkan.

“Awak!”

Azhan mematikan langkah. Tubuh dipusingkan.

“Apa lagi ni?”

“Pagi tadi saya dah cakap yang saya…” Ayat Aneera terhenti bila nampak susuk tubuh mamanya keluar dari pintu wad lelaki di depan.

“Neera.”

“Auntie.” Serta-merta muka Azhan bertukar manis. Cermin mata ditanggalkan.

“Dah sampai pun Han. Tu, student Han dah tunggu dari tadi dekat dalam. Tak sabar nak balik dia kata.” ujar Laila dalam senyum.

“Iyelah Auntie. Saya masuk dulu.” Azhan sempat lempar senyum sinis buat Aneera sebelum beredar. Senang hati bila dia tak payah hadap muka kelat gadis dipanggil Neera oleh Auntie Laila tadi.

Aneera tahan panas hati yang kian membuak. Rasa nak dikunyah Azhan hidup-hidup. Sakit betul hatinya bila tak sempat luahkan rasa tak puas hati yang terbuku.

No comments: