Oct 5, 2018

Berikan Cukup Waktu_8


Jeslina kesat peluh yang membasahi dahi sebelum membelek dua tangannya mula terasa sengal dek terlalu lama menumbuk punching bag tanpa menggunakan glove seperti kebiasaannya. Balutan di jemari runcingnya dibuka bersama hela nafas berat yang terlepas.

Hari itu sengaja dia tiba awal ke gim. Mahu melepaskan rasa geram dan marah yang terbuku sejak malam tadi. Dia betul-betul tak suka apa yang berlaku. Dia yakin lelaki bernama Hadi Zafri itu akan terus mencarinya selepas ini.

“Assalamualaikum.”

Jeslina hala pandang ke arah pantulan cermin di depan. Jeling terlempar buat susuk tubuh tegap yang kian menghampiri. Lambat-lambat bibir jawab salam.

“Jom kita breakfast. Aku ada beli favourite sandwich kau.”

Jeslina tak jawab. Sebaliknya dia terus meninggalkan Fakri untuk masuk ke bilik persalinan. Cuma selepas setengah jam baru bayangnya kembali muncul. Dengan wajah tak beriak, cawan air kopi ais terus disedut laju.

“Kalau kau belum puas belasah punching bag tu, kau boleh belasah aku.” ujar Fakri sebelum sedut latte kegemarannya. Dia tahu kalau Jeslina marah, pastinya gadis itu akan tiba awal pagi di gim sedangkan gim hanya akan mula beroperasi jam 3 petang.

“Aku tak suka apa yang kau cakap dengan lelaki yang aku tak nak kenal malam tadi tu.” Balas Jeslina dingin.

Fakri senyum nipis.

“Yang mana satu kau tak suka? Banyak yang aku cakap dengan dia malam tadi.” Senyum bertukar sengih.

Jeslina jegil mata.

“Kalau dia datang sini cari aku, kau jangan salahkan aku kalau aku halau dia.” Dia terus bagi amaran.

“Hesy! Tak baik kau buat macam tu. Niat dia baik nak kenal dengan kau. Tu aje.”

“Nak kenal kunun!” Jeslina tarik senyum sinis. “Lepas kenal nak buat apa? Ajak couple? Lepas tu? Kahwin?” Rengus dilepaskan.

Why not? Ayah dapat menantu. Lepas tu dapat cucu.” Sengaja Fakri menggiat.

Jeslina terus picing mata.

“Kau ingat kelakar ke?”

Fakri sengih lagi.

“Aku gurau ajelah. Cuba kau sangka baik, doa baik-baik. Jadilah baik. Kalau selalu sangka buruk, yang jadi pun buruk-buruklah.”

“Zaman sekarang, nak sangka baik pun kena pilih tempat, bro. Kau ingat, muka nampak baik tak boleh ada niat jahat?” tingkah Jeslina tetap susah nak percaya pada mana-mana lelaki yang mahu berkawan dengannya.

“Jess… Hadi tu bersungguh nak kenal dengan kau.”

Sekali lagi Jeslina lempar senyum sinis.

“Kau cakap dengan dia, pergi check mata betul-batul. Dah ada mata empat pun takkan rabun lagi? Dia tak nampak ke aku macam mana? Banyak lagi perempuan dekat luar tu kalau dia nak kawan.”

“Masalahnya dia nak kawan dengan kau. Kalau dia nak kawan dengan perempuan lain, dia tak cari kau tahu tak?”

Jeslina lepas cebik pula.

“Sah dia memang ada masalah mata! Tak pun sakit otak!” tempelaknya selamba.

Fakri hembus keluh perlahan bersama gelengan.

“Jess, kau tak pernah fikir ke masa depan kau?”

“Masa depan aku cuma ada gim, ayah dengan kau.” Tegas Jeslina.

Fakri geleng lagi bersama senyum.

“Macam mana dengan ibu dengan adik-adik kau? Dia orang bukan masa depan kau?” duganya sengaja.

Jeslina hala pandang. Tajam renungnya.

“Adik-adik kau ada bagi tahu pasal dia orang nak pindah balik sini bulan depan.” Sambung Fakri. “Aina kata dia nak duduk dengan kau. Betul ke? Ayah dah tahu ke belum hal ni?” tambahnya bila gadis di depan cuma diam.

“Entahlah. Aku pun tak tahu ayah dah tahu ke belum. Tapi kalau dia tahu pun, aku tak rasa dia nak cakap.” balas Jeslina lambat bersama hela berat yang dilepaskan.

“Takkanlah ayah langsung tak cakap apa-apa?”

“Nak cakap apa kalau dari semalam aku langsung tak jumpa dia? Tadi aku keluar awal pun, dia ada dalam bilik lagi. Tak perasan aku keluar.” Luah Jeslina perlahan.

“Kalau kau susah sangat nak cakap dengan ayah, biar aku cakapkan. Hari ni pun, aku memang kena jumpa ayah dekat gim Shah Alam.”

“Kau tak payahlah cakap apa-apa pada dia. Biar ajelah. Dia pun sibuk sekarang ni. Aku tak nak dia kusut-kusut fikir hal lain.”

Fakri lepas nafas perlahan. Sedar dia tak berhak pun nak masuk campur hal keluarga gadis itu.

“Sebelum aku terlupa…” Dikeluarkan sehelai tisu warna putih dari dalam saku seluar lalu diletakkan di atas meja kopi di depan.

Jeslina kembali picing mata. Jelas di matanya angka dan aksara yang tercacat di atas cop rasmi kafe dari seberang jalan.

“Aku cuma sampaikan amanah. Kau nak buang atau nak bakar tisu tu, terpulang. Amanah dia aku dah tunaikan.” Balas Fakri senang bersama senyum sebelum dia bingkas.

“Kau nak pergi mana? Hal malam tadi, aku belum settle lagi dengan kau.”

Sorry my dear. Aku dah cakap tadi nak kena jumpa ayah dekat Shah Alam hari ni. Aku tak nak sampai lambat. Kau tahu jalan dekat KL ni tak pernah lengang kan? So, aku tak nak ayah yang kena tunggu aku.”

Jeslina lepas cebik.

“Kau takut sangat dengan ayah kan?”

“Bukan takut. Tapi hormat. Dia majikan aku, ketua aku dan dia aku dah anggap macam ayah aku sendiri. So, aku memang wajib hormat dia selayaknya sebagai seorang ketua dan ayah.” Fakri senyum senang.

Jeslina cebik lagi.

“Patutlah ayah memang selalu lebihkan kau dari aku. Sikit-sikit Fakri. Sampai anak sendiri pun Fakri yang kena jaga. Macamlah aku budak kecik sampai orang lain kena jaga.” Rungutnya.

Fakri cuma lepas gelak perlahan sebelum terus berlalu. Baru saja sebelah kaki melepasi muka pintu bilik pantri, dia menoleh kembali.

“Lagi satu… Semalam aku ada bagi nombor telefon ayah pada Hadi. Aku cakap, kalau nak nombor telefon kau, kena mintak sendiri pada ayah.”

What?” Bulat mata Jeslina.

Fakri tayang sengih lebar sebelum cepat-cepat meninggalkan ruang itu.


No comments: