Oct 8, 2018

Berikan Cukup Waktu_12


Hadi lepas senyum sebaik baca pesanan berbaur amaran yang baru saja diterima. Telefon selebar tapak tangan itu ditolak ke tengah meja.

“Garang betul dia kan?” ulasnya sebelum hirup air kopi yang sudah pun suam.

“Jangan cakap aku tak ingatkan. Dia memang lain sikit. Kalau kau nak dekat dengan dia, memang kena usaha lebih. Sebab tu takde mana-mana lelaki yang berani nak dekat dengan dia. Silap hari bulan, kau lunyai macam penagih yang kau nampak kena belasah hari tu.” Balas Fakri dalam senyum. Sengaja dia jumpa Hadi lewat malam itu mahu bertanya tentang pertemuan bersama ayah Jeslina tengah hari tadi.

“Kau cakap, dia lagi banyak kawan lelaki daripada perempuan. Tapi kenapa dia susah sangat nak kawan dengan aku?”

“Kau lain, bro. Kau kena tahu siapa kawan-kawan dia. Semua kawan lelaki dia, ayah dia kenal. Kau tahu dengan siapa dia berkawan?”

Hadi angkat dua bahunya.

“Semua budak-budak gim dengan kelab aje. Tak lebih dari tu. Semua tu ayah dia kenal. Cuma belum ada yang berani nak jumpa ayah dia semata-mata nak mintak izin berkenalan dengan anak dara dia macam kau.” Jelas Fakri.

Hadi senyum nipis. Sikit sebanyak dia bangga kerana dah cuba buktikan yang dia tak berniat jahat biarpun gadis itu langsung tak hargai usahanya.

“Lagi sekali aku nak ingatkan, dia bukan macam perempuan lain.” Tambah Fakri meskipun hal itu sudah diberitahu pada pertemuan awal mereka. Sekadar mahu mengingatkan. “Tapi kalau kau ada niat nak main-mainkan dia, ni…” Tangan menepuk dadanya beberapa kali. “Sebelum dia yang pecahkan muka kau, biar abang dia ni yang pecahkan dulu muka handsome kau tu.”

Hadi lepas gelak.

“Kau rasa aku main-main ke nak kenal dengan dia?” balasnya dalam sisa tawa.

Fakri pula angkat dua bahunya sekali.

“Niat dalam hati orang ni, kita tak boleh nak baca, bro. Kau manusia, aku manusia. Hati kita ni sifatnya berubah-ubah betul tak?”

Hadi angguk kecil. Tak mampu menafikan fitrah yang satu itu. Hati manusia sifatnya berbolak-balik. Bila-bila masa boleh berubah.

“Aku bukan tak nak percaya kau. Kalau aku tak percaya, awal-awal lagi aku dah warning kau. Tapi aku tak sangka kau betul-betul jumpa ayah dia semata-mata nak mintak nombor telefon dengan mintak izin sekali.” Tambah Fakri lagi.

“Fakri… For your informatioan, aku bukan senang-senang nak kawan dengan mana-mana perempuan. Kalau tak, aku rasa sekarang ni aku dah ada family sendiri. Tak payah aku susah-susah nak kenal dengan dia.” Akui Hadi jujur.

So, kenapa sampai sekarang tak kahwin lagi? Sebab kau memilih? Aku rasa, ramai aje perempuan yang lagi cantik dari Jess tu. Kau kerja pun boleh tahan bagus.”

Hadi senyum lagi. Tenang.

“Aku kerja makan gaji aje. Apa yang bagusnya? Jess tu anak bos. Lagi bagus dari aku. Agaknya sebab tu dia tak nak kawan dengan aku kut…” Dia merendah diri. Sedar dia cuma bekerja di kilang.

“Hesy! Takdelah! Jess bukan macam tu.”

“Yeke? Aku rasa yang datang gim bukannya orang susah. Betul tak?”

Fakri cuma senyum. Tak mahu menyangkal hakikat yang satu itu.

“Fakri, kau rasa aku tak layak ke kawan dengan dia?” sambung Hadi tenang.

“Siapa kata tak layak? Selama ni, dia kawan dengan budak-budak kelab, tak pernah pun dia peduli background dia orang. Pada dia, semua sama. Tak pernah pun dia beza-bezakan.”

“Atau sebab aku ni nampak sangat macam terdesak? Sebab tiba-tiba aje aku nak kawan dengan dia. Mesti dia susah nak percaya aku kan?”

“Tu memang satu hal. Aku sendiri pelik kenapa kau beria-ia sangat nak kawan dengan dia. Tapi untuk aku yang baru berapa hari kenal kau, mula-mula hari tu aku sendiri tak percaya. Tapi bila dah berborak dengan kau, aku rasa selesa. Aku tak rasa kau nak main-main.”

“Terima kasih sebab percayakan aku. Aku pun selesa berborak dengan kau, bro. Memang nampak macam abang-abang walaupun kita beza setahun aje.” Ucap Hadi ikhlas.

Fakri lepas senyum senang.

“Cuba kau cakap dengan aku, apa sebenarnya yang kau nampak pada Jess sampai kau nak kenal dengan dia?” Dia mula serius kembali ke topik asal dia bertemu lelaki itu.

“Dia kuat.” Hadi senyum meleret. Dia masih ingat lagi macam mana tangkasnya Jeslina menepis serangan tak tentu hala si peragut yang separuh nyawa kena belasah.

“Ni ada yang mandi air kopi kejap lagi.” Fakri terus bagi amaran bila perasan senyum lain macam yang bergayut di bibir lelaki di depannya itu.

Sorry, bro. Aku betul tak boleh lupa macam mana dia boleh belasah peragut tu. Tak sempat aku nak tolong pun, dah lembik dia kerjakan. Sebab tu aku cakap dia kuat.”

“Tu satu lagi salah besar yang kau dah buat masa dekat taman hari tu. Yang kau ugut dia nak report polis apa hal? Kau ingat dia takut ke? Sikit pun tak, bro. Dia lagi takut ayah dia tahu yang dia dah belasah orang hari tu. Tu bukan kali pertama tahu tak? Sebelum-sebelum ni pun dia pernah belasah orang sampai separuh nak mati. Tapi yang kena belasah tu semuanya lelaki yang cuba ambil kesempatan pada perempuan. Memang malanglah kalau terjumpa dengan dia. Dan sampai sekarang pun, ayah dia tak pernah tahu. Sebab tu aku ingatkan kau jangan cakap apa-apa pasal tu depan ayah dia.” Balas Fakri.

“Kalau uncle tahu, apa jadi? Dia marah Jeslina?”

“Bukan setakat marah. Silap hari bulan, dia orang takkan bercakap lagi lepas ni. Sekarang ni pun, jarang-jarang dia orang bercakap lepas Jess injured dulu.”

Hadi lepas hela perlahan. Dia mula dapat rasa ketegangan hubungan Jeslina dan Saif. Dan halangan yang bakal ditempuh untuk mendekati kedua-duanya kelak.

“Bro, lain kali kau jangan pakai terjah aje. Apa yang kau buat dekat taman hari tu, cuma buat dia lagi marah dengan kau. Jess tu lain. Bukan semua perempuan ni sama. Kau kena faham tu.” Sambung Fakri lagi.

“Okey. Tu memang aku mengaku aku silap. So, sekarang ni macam mana? Kau rasa, aku kena buat apa?”

Fakri geleng bersama sengih.

“Aku dah tolong apa yang patut. Selebihnya kau kena usaha sendiri, bro. Aku tak boleh nak cakap lebih-lebih. Apa yang patut kau tahu, aku dah bagi tahu. Ayah dia pun dah cakap apa yang kau nak tahu kan? Sekarang ni, terpulang pada kau.”

Hadi lurut rambutnya ke belakang bersama keluh panjang yang terlepas. Mata kembali tatap pesanan yang diterima daripada Jeslina sebentar tadi.

No comments: