Oct 3, 2018

Yang Sebenarnya Aku Tetap Sayang_8


Bab 8
Laila pandang sekilas wajah si bongsu yang memejamkan mata sebaik masuk ke dalam kereta. Kepala menggeleng. Tak sampai dua minggu, anak bongsunya itu dah balik semula.

“Tadi dalam bas tak tidur ke?” Dia menyoal. Ada kerisauan melanda memandangkan anaknya itu akan memandu pulang sendiri sebaik dia tiba di tempat kerja nanti.

“Tak boleh tidur ma… Pakcik tu bawak laju sangat. Bergegar bas macam nak roboh.” balas Aneera sambil membetulkan letak duduknya agar lebih selesa walaupun langsung tak membuka mata.

Laila lepas keluh berat.

“Itulah yang mama risau setiap kali Neera balik. Ni tak sampai pun dua minggu dah balik lagi, kenapa? Senang pulak dapat cuti?”

Aneera angkat kelopak mata.

“Mama tanya ni, mama tak suka ke Neera balik?”

Sekali lagi Laila lepas keluh dalam tenang dia memandu.

“Ada ke mama cakap tak suka hmm?” Dipandang sekilas wajah si anak.

“Biasa mama tak tanya pun.” Aneera alih muka ke depan. Memandang keadaan jalan yang mula sibuk awal pagi itu.

“Ke situ pulak dia. Neera tahu tak, Neera tu ajelah satu-satunya anak manja mama yang tinggal. Kalau boleh, mama nak Neera duduk aje dengan mama. Tak payah kerja jauh-jauh. Mama ni dekat rumah, dah tinggal berdua aje dengan abah.” balas Laila memujuk kerana tahu anak bongsunya itu memang cepat merajuk meskipun dah besar panjang.

“Kalau macam tu, Neera berhenti ajelah kerja. Neera cari kerja dekat sini.” tingkah Neera laju.

“Hesy! Kalau abah dengar Neera cakap macam ni, mesti dia marah. Dah elok-elok kerja, Neera nak berhenti. Ingat senang ke nak cari kerja sekarang ni? Orang lain susah nak cari kerja, Neera senang-senang nak berhenti kerja.”

Aneera hela nafas panjang.

“Habis tu… Jauh sangatlah ma. Penat nak berulang macam ni. Nak mintak tukar dahlah susah. Kalau Neera kahwin pun, belum tentu dapat tukar.” rungutnya.

Laila senyum.

“Anak mama ni dah ada calon ke? Hmm?” Sengaja dia nak mengusik.

Aneera sekali lagi tarik muka.

“Neera cakap ajelah!”

“Manalah tahu dalam diam kan… Sebab tu sibuk sangat nak kerja dekat sini kan? Dah ada buah hati dekat sini kan?” usik Laila lagi.

“Kalau ada, memang Neera dah berhenti kerja ma. Baik Neera duduk sini. Tak payah susah-susah nak mintak cuti selalu.” jawab Aneera selamba. Sememangnya dia mula tawar hati kerja di negeri orang biarpun belum cecah 3 tahun. Bukan kerana kerja yang dilakukan. Tetapi disebabkan kekangan jarak. Jauh dari keluarga.

“Amboi! Sebenarnya nak balik duduk sini sebab buah hatilah? Bukan sebab mama dengan abah?” Laila jeling sekilas.

“Bukanlah ma! Hesy! Neera manalah ada calon. Neera terperuk duduk dalam rumah pemulihan tu menghadap semua budak-budak perempuan. Kawan kerja pun tak ramai lelaki. Kalau ada pun, semua dah jadi suami oranglah ma. Dah tua pulak tu. Kalau ada bujang pun, Pak Guard. Tu pun susah nak jumpa.” jelas Aneera separuh geram.

Laila lepas gelak kecil.

“Mama gurau ajelah. Tapi kalau ada apa salahnya. Mama okey aje. Asalkan orang tu boleh jaga anak manja mama sorang ni.” giatnya lagi.

“Mama doa-doakanlah. Asalkan bukan macam Along Samseng tu…” Ayat yang terakhir cukup perlahan diluahkan Aneera. Tapi masih sampai di pendengaran Laila.

“Ah Long Samseng? Ah Long Samseng mana pulak yang Neera kenal ni? Neera ada pinjam duit Ah Long ke?”

“Hesy! Mama ni… Bukan Ah Long tu la. Ni Along Samseng anak Auntie Sara tu la. Anak arwah Uncle Ibrahim.” jelas Aneera. Entah kenapa dia boleh petik nama lelaki itu tadi. Padahal dia tak kenal mana pun.

“Oh… Azhan.”

Aneera juling mata.

“Azhan tu baik aje mama tengok.”

Aneera cebik.

“Baik apa kalau dengan budak-budak bukan main kasar lagi. Macam samseng! Dengan adik sendiri pulak tu. Lelaki macam tu, tak layak jadi bapak budak pun ma. Kasar! Berlagak! Muka tak mesra alam!” balasnya agak tak puas hati bila teringat muka tegang Azhan.

Laila cuma senyum. Malas nak ulas. Dia tahu apa yang jadi pada keluarga Azhan. Azhan berubah sedemikian rupa pun bersebab.

“Ni, Neera boleh ke nak drive balik? Kalau tak boleh, mama bagi tahu abah jemput Neera dekat hospital aje.” Topik tadi terus ditukar.

“Abah kan hantar budak-budak ma?”

“Lepas hantar budak-budaklah. Ni pun awal lagi. Kita boleh sarapan dulu sementara tunggu abah datang.” balas Laila sambil kerling jam di tangannya. Lagi 10 minit pukul 7.30 pagi. Belum pun masuk waktu kerjanya memandangkan tadi dia memang sengaja keluar awal demi mengelakkan kesesakan.

“Neera ikut ajelah ma. Nanti duduk dekat kafe, bolehlah cuci mata sekejap.” Aneera dah senyum penuh makna.

Sekali lagi Laila jeling.

“Ada hati nak bagi mama menantu doktor pulak ke?” Kening sebelahnya diangkat tinggi.

“Kalau mama okey, Neera lagi okey sangat!” Neera tayang sengih lebar.

Laila cebik.

“Jangan nak perasan! Susah nak jaga doktor ni. Sibuk selalu. Nanti anak manja mama ni mesti selalu kena tinggal. Sebab tu dulu mama pilih abah Neera tu. Senang!” Dia pula senyum penuh makna. Myvi yang dipandu selamat masuk ke tempat parkir khasnya.

“Memanglah senang. Sebab balai abah, sebelah pagar ni aje. Nak dating, jumpa dekat tepi pagar ajekan?” Aneera pula mengusik sebelum menolak daun pintu.

“Tahu takpe!” Selamba Laila jawab.

Aneera lepas gelak.

********
“Han!”

Menoleh. Lelaki lengkap berbaju Melayu hijau gelap datang mendekat.

“Kau dari mana ni? Bukan kau kata takde kelas ke tadi?” Soal Azhan seraya menolak daun pintu biliknya.

“Yang kau tu? Bukan kau kata kelas hari ni sampai pukul dua belas? Ni baru pukul sebelas.” balas Wafi. Sahabat yang dikenali ketika sama-sama menghadiri temu duga jawatan sebagai tenaga pengajar muda di institusi pengajian itu tiga tahun lalu.

“Aku ada hal sikit hari ni. Kejap lagi nak terus keluar ni.” balas Azhan sambil mengemaskan meja kerjanya seadanya.

“Kau nak pergi mana?”

“Sekolah.” jelas Azhan ringkas. Takde hati nak bercerita lanjut meskipun sahabatnya itu sedia maklum keadaan keluarganya.

Kau nak pergi sekolah Aqif kan?” Wafi senyum penuh makna.

“Kalau bukan sebab ummi aku demam hari ni, aku takkan pergi bro.” balas Azhan acuh tak acuh.

“Kalau kau pergi pun apa salahnya? Memang dah jadi tanggungjawab kau kan?”

“Aku cuma pegang amanah. Kau ingat, aku suka ke buat semua ni? Kalau arwah ayah aku tak kahwin dengan mak budak-budak tu dulu, mungkin aku boleh terima.” jawab Azhan tak berperasaan.

Wafi dah menggeleng. Dari awal memang dia tak setuju dengan prinsip yang dipegang sahabatnya itu sejak awal lagi.

“Aku tak tahu sampai bila kau nak jadi macam ni, Han. Kau kena ingat, satu hari nanti, kau akan jadi ayah, ada anak-anak. Tak mungkin kau nak layan anak-anak kau macam mana kau layan Aqif dengan Fia sekarang ni.” Tak jemu dia menasihati sahabatnya yang seorang ini.

Azhan lepas hela panjang. Tersandar seketika di kerusi kerjanya. Tipulah andai dia kata tak terkesan dengan apa yang terucap di bibir sahabatnya itu. Demi Allah, dia terkesan. Namun, luka di hatinya masih berbekas.

“Han… Kita hidup ni, belum tentu sampai ke tua. Kau bukannya budak-budak lagi sampai tak boleh fikir mana baik mana buruk. Kau golongan terpelajar, Han. Sekarang ni dah jadi pendidik. Dah jadi role model pada student. Dan paling penting sekali, jadi contoh pada adik-adik kau.” Nasihat Wafi lagi.

Azhan raup wajahnya. Sekali lagi nafas berat dilepaskan.

“Aku ni, dah tak tahu nak cakap macam mana dengan kau lagi Han. Aku bukan nak masuk campur urusan peribadi kau. Aku tahu, siapa-siapa dekat tempat kau pun mesti marah dengan apa yang jadi. Tapi sampai bila? Aku cuma kesiankan budak-budak tu. Kau fikirlah baik-baik Han…”

Azhan tegakkan tubuh. Rambut dilurut sekali sebelum mencapai songkok di tepi komputer lalu diletakkan di atas kepala.

“Aku bukan tak pernah cuba terima budak-budak tu, Wafi. Aku dah cuba. Tapi setiap kali aku tengok muka budak-budak tu, aku mesti teringat apa yang dah jadi dulu. Bila teringat, aku jadi marah, Wafi.” luahnya perlahan.

“Kau cuba terima budak-budak tu, tapi kau tak belajar terima hakikat, qada dan qadar Dia. Sebab tu kau susah nak lupa apa yang dah jadi.” balas Wafi tenang.

Terlepas lagi nafas panjang di bibir Azhan.

“Kita ni manusia biasa, Han. Tapi kita ada Tuhan yang Satu. Kau jangan lupa tu. Jangan sampai kita lupa, kita hidup ni berpegang pada tiang agama, rukun islam yang lima, rukun iman yang enam. Jangan kita pulak yang cabar hukum Tuhan.” Penuh makna Wafi luahkan demi kebaikan sahabatnya itu.

“Aku sedar semua tu Wafi. Aku tahu aku cuba menidakkan apa yang dah jadi. Dan memang aku tak boleh terima pun apa yang dah jadi dulu.” Akui Azhan cukup perlahan.

“Banyakkan mengucap, Han. Kau jangan biar hati kau yang sakit tu, kawal akal yang cukup sempurna Allah dah bagi. Ikut hati binasa kau, Han. Kalau kau terus macam ni, sampai bila-bila kau takkan rasa bahagia.”

“Aku tak tahulah Wafi… Aku…” Bibir dikemam kuat. Mati katanya.

“Belajar terima hakikat Han. Bagi peluang pada hati kau tu. Bagi ruang yang sepatutnya untuk budak-budak tu. Tak payah banyak Han, sikit pun jadilah. Itu pun dah cukup baik. Insya-Allah yang lain-lain tu akan datang kemudian.”

Azhan raup lagi mukanya. Cuba dipahat apa yang diucapkan sahabatnya itu ke dalam hati.

“Sudahlah tu. Kau kata nak pergi sekolah Aqif. Takut lambat pulak. Jumpa lepas solat Jumaat nanti.” Wafi terus bingkas. Langkah dihalakan ke pintu.

“Wafi.”

Wafi kembali menoleh.

Thanks bro.”

Wafi lempar senyum.

“Hujung bulan ni teman aku pergi memancing. Kau belanja.” Kedua-dua keningnya terangkat-angkat sebelum terus meninggalkan Azhan dengan muka yang terkebil-kebil. Memang sengaja dia mengenakan sahabatnya itu memandangkan memancing antara perkara yang dibenci Azhan.

*********
“Abah, takpe ke abah yang datang ni?”

Mata Aneera meliar ke pintu pagar sekolah dan tempat parkir mencari bayang Azhan. Risau bayang lelaki itu tiba-tiba muncul.

“Takpelah. Hari tu, Azhan sendiri ada suruh abah datang. Auntie Sara pun tak sihat hari ni. Siapa lagi yang nak datang? Id ada kelas sampai petang katanya. Auntie Sara sendiri tak tahu Azhan nak datang ke tak hari ni.” jelas Abdul Halim yang tenang menanti giliran untuk bertemu dengan guru kelas Aqif untuk menandatangani buku laporan peperiksaan pertengahan tahun.

“Ei… Dengan adik sendiri pun nak berkira! Datang sign aje kut. Tu pun susah ke?” rungut Aneera bila teringat muka tegang Azhan.

“Dia sibuk Neera. Kita tak tahu kerja dia macam mana.”

“Mak bapak orang lain pun sibuk jugak abah. Tengok tu…” Aneera hala muncung mulutnya ke arah satu pasangan yang baru saja tiba. Si lelaki dalam uniform polis. Manakala yang perempuan dalam uniform jururawat. Sama macam abah dan mamanya dulu. “Orang lain pun kerja jugak. Lagi sibuk dari dia pun, sempat aje datang!”

Abdul Halim dah menggeleng. Malas dia nak layan celoteh si anak yang sibuk nak mengikutnya tadi.

“Abah, Neera pergi tengok Fialah. Dia dah nak keluar ni. Nanti Neera terus bawak dia datang sini.”

“Iyelah. Ambil payung dekat dalam kereta dulu.” balas Abdul Halim sambil menghulurkan segugus kunci.  

Kunci berpindah tangan. Laju Aneera bawa langkah ke kereta abahnya untuk mengambil payung. Takkan dia lupa macam mana Azhan memarahinya beberapa minggu lalu hanya kerana Sofia terkena panas.

Sebaik sahaja dia membuka payung, sebuah kereta putih masuk parkir kosong di sebelah. Hampir saja terlanggar kakinya. Mujur laju dia mengundur hingga tersandar di kereta abahnya.

“Siapa yang biadab sangat bawak kereta ni? Buta ke apa!” Rungutnya sebelum mata menangkap satu susuk tubuh berbaju Melayu biru kundang keluar dari ruang pemandu.

“Assalamualaikum Encik!” Laju mulutnya memanggil.

“Waalaikumussalam.”

Berpaling. Cermin mata gelap dilurutkan.

“Awak?”

Azhan angkat tinggi sebelah keningnya.

“Hidup lagi kau ni?”

Aneera ketap bibir kuat.

“Cis bedebah betul mulut dia ni!” gumamnya tak terdengar.

“Apa hal kau panggil aku ni?” Azhan tujah pandang tajam.

“Mulut tu kalau bercakap, boleh tak jangan biadab sangat? Kalau saya report dengan abah, baru tahu! Kalau awak terlanggar saya tadi macam mana? Awak boleh ganti balik ke kaki saya?” hambur Aneera tertahan memandangkan mereka di tempat awam.

Azhan senyum tepi. Sikit pun tak tergugat dengan ugutan tersebut. Malah dengan berani langkah dibawa mendekati gadis berbaju kurung moden itu.

“Sekarang ni, sikit pun kereta aku tak kena kau kan?”

“K-A-L-A-U kena tadi macam mana?” Tekan Aneera garang.

Sekali lagi Azhan senyum tepi. Cukup sinis. Dengan selamba sekaki payung di tangan Aneera dirampas.

“Kau nak cerita pasal K-A-L-A-U dengan aku, lain kali ajelah! Aku sibuk hari ni!” ujarnya selamba sebelum terus membawa langkah ke arah bangunan di seberang tapak parkir staf.

“Dia ni kan…” Dengan rasa tak puas hati yang makin membuak, laju Aneera membuntuti langkah Azhan ke arah yang sama. “Awak! Saya tak habis lagi cakap dengan awak!” Dia cuba memanggil. Namun Azhan sikit pun tak berpaling.

“Awak!”

Sekali lagi Aneera memanggil dan kali ini dengan agak kuat menyebabkan langkah Azhan terhenti. Betul-betul di tengah tapak parkir dengan matahari hampir terpacak atas kepala. Mujur dia berpayung.

“Kau nak tumpang payung ke?” ucap Azhan tenang lalu mendekati Aneera. Payung yang agak besar itu cukup memuatkan mereka berdua. “Sekarang dah tak panas kan? Jom!” Selamba dia sambung lalu memaut lengan Aneera yang berlapik menyebabkan menonong gadis itu menuruti langkahnya hingga tiba di bangunan kelas Sofia.

Aneera ketap rahang kuat seraya menarik lengannya kembali. Gila ke apa dia ni? Cemuhnya dalam hati. 

“Along!”

Dua pasang mata dihalakan ke pintu kelas. Tubuh genit Sofia muncul dengan senyum yang cukup lebar. Berlari dia mendapatkan Azhan. Dua batang kaki Azhan dipeluk erat.

“Along datang ambik Fia dengan Abang kan?”

“Hmm…” Itu yang kedengaran di bibir Azhan. Dingin seperti selalu. Lupa terus apa yang diucapkan sahabatnya tadi.

“Yeay!” Ceria Sofia bersorak sebelum matanya jatuh pada gadis di sisi Azhan. “Kakak Cantik!” Dipaut pula batang kaki Aneera yang cuma jadi pemerhati sejak tadi.

Azhan senyum sinis dengar panggilan di mulut comel Sofia.

“Cantik ke?” Selama mulutnya menyindir menyebabkan hampir saja mulut Aneera terlopong. Kembali membuak rasa geram dalam dadanya.

“Mulut awak ni kan…”

Azhan angkat kening sebelah. Cabar.

Aneera ketap bibir lagi. Kuat!

“Dah jom! Banyak lagi hal aku.” Selamba Azhan tarik tangan Sofia sebelum tubuh genit itu terus didukung. Tergamam si kecil itu seketika namun wajahnya tetap ceria. Tangan kecilnya sempat melambai ke arah Aneera yang terus pegun.

“Aku boleh darah tinggi kalau dengan dia ni!” Rungut Aneera geram sebelum kaki turut mengorak langkah ke arah yang sama. Bangunan kelas Aqif dituju. Tempat di mana abahnya menanti tadi.

“Uncle.”

“Han! Uncle ingat Han tak datang. Uncle baru nak masuk.”

Salam bertukar. Abdul Halim sempat kerling ke arah si anak yang beberapa langkah di belakang Azhan. Melihat muka cemberut Aneera, dia cukup yakin ada sesuatu yang dah jadi.

“Along!” Aqif muncul di muka pintu kelas dengan wajah yang ceria. Tidak seperti tadi bila ternampak kelibat Abdul Halim dan Aneera yang menanti di situ. Digenggam kemas tangan Azhan sebelum beriringan masuk ke dalam kelas.

Abdul Halim memerhati dalam senyum. Syukur dipanjatkan buat Pencipta. Mengharap ini menjadi titik permulaan Azhan menerima kehadiran Aqif dan Sofia.

“Abah, jomlah balik!” Lengannya ditarik Aneera tiba-tiba.

“Kejaplah…” Mata Abdul Halim tak lepas dari memandang Azhan yang tenang berhadapan dengan guru kelas Aqif. Dan hati tuanya cukup senang bila perasan riak ceria yang terpamer di wajah comel Aqif dan Sofia yang duduk di sisi Azhan. Dua beradik yang terlalu mengharapkan secebis kasih Azhan selama ini.

“Abah nak tunggu apa lagi ni? Jomlah balik. Along Samseng tu dah datang kan? Budak-budak semua balik dengan parent sendiri kan? Nak buat apa tunggu lagi?” rungut Aneera separuh geram bila teringat mulut celopar Azhan melayannya tadi.

“Hesy! Yelah! Tu yang abah malas nak bagi Neera ikut tadi.” balas Abdul Halim seraya berpaling. Langkah dibuka.

Muka Aneera yang dah sedia kelat bertambah kelat.

Jangan cakap dengan abah, Neera bertekak dengan Azhan tadi.” tebak Abdul Halim sebaik tiba di tempat parkir.

“Dia yang mulakan dulu!” balas Aneera sambil jeling kereta putih di sebelah. Rasa nak digores dengan batu badan kereta putih berkilat itu biar tuannya rasa apa yang dirasakan saat ini.

Abdul Halim cuma menggeleng. Dia malas nak ikut campur. Bukan dia tak tahu sikap kebudak-budakan anak bongsunya itu. Hal kecil pun, boleh diperbesar-besarkan.


No comments: