Oct 3, 2018

Berikan Cukup Waktu_6


Akak!!!
Guess what? Ibu dah setuju nak balik terus! Tak sabar nak tunggu sampai hujung bulan depan. Puas kita orang pujuk ibu tau? Semua sebab akak. And akak… Jangan lupa pujuk ayah. We miss him so muchhh kak! Keep trying okey? Love you! Muahhh!

Jeslina lepas keluh sebaik baca emel yang baru dibuka daripada adiknya. Tubuh disandarkan ke badan kerusi. Pandangan dihalakan ke arah bangunan di seberang jalan bersama pelbagai rasa di dalam hati. Tak tahu dia perlu gembira ataupun sedih. Memang dia pernah janji nak satukan semula keluarga mereka. Namun dia tak nampak sebarang jalan untuk keluarga mereka bersatu kembali bila ayahnya sendiri tak pernah menyuarakan hasrat tersebut. Malah dia sendiri tak berpeluang untuk duduk berbual dengan ayah seperti dulu. Sejak dia tidak lagi terlibat dengan sukan muay Thai, masing-masing cuma sibuk dengan hal sendiri. Dia dapat rasa apa yang diharapkan selama ini takkan mungkin berlaku.

Mata kerling jam di pergelangan. Jam sudah pun menginjak 1 pagi. Hampir 2 jam dia menghabiskan masa di situ selepas meninggalkan gim. Sepanjang hari itu, dia langsung tak nampak bayang ayah. Sebelum keluar rumah tengah hari tadi pun dia tak terserempak dengan ayahnya. Sedar-sedar, kereta ayah dah tiada di tempatnya. Kata Fakri, ayah terlibat dengan Kursus Jurulatih Peribadi Muaythai yang bakal berlangsung minggu depan.

“Ehemm…”

Dehaman panjang mengganggu lamunan. Muka diangkat. Keningnya berkerut.

May I…”

Wajah dihalakan ke sisi bersama keluh halus.

“Diam tandanya setuju.” Suara garau di depan terus tarik kerusi di depan meskipun tak dipelawa.

Jeslina sedut kopi ais yang masih berbaki. Buku atas meja kembali dibuka dan dibaca. Cuma fokusnya dah melayang entah ke mana kerana emel yang baru dibaca dan juga lelaki tak tahu malu yang melabuhka duduk di depannya itu. Sungguh hatinya rasa terganggu.

“Awak…”

Jeslina langsung tak beriak. Mata kekal pada muka surat buku yang terbuka.

“Saya tahu awak tak baca buku tu.” Hadi cuba tarik perhatian tapi Jeslina kekal diam. “Awak… Saya takde niat jahat pun. Demi Allah saya cuma nak kenal, nak berkawan dengan awak. Lama saya tunggu awak tadi.” Hadi tak putus asa.

Jeslina angkat muka.

“Ada orang jahat mengaku jahat ke?” balasnya sinis. Tiada hati nak bermesra dengan lelaki sama yang dah mengganggunya tempoh hari.

Hadi tarik senyum tepi. Meskipun jawapan Jeslina bukanlah yang sedap didengar, dia dah rasa kembang hati. Dia lebih rela gadis itu bersuara berbanding terus keras seperti tugu negara.

“Dari tadi awak sorang-sorang dekat sini. Dah lewat ni, awak tak nak balik?” Ikhlas dia bertanya demi mencari rentak agar gadis itu terus bersuara.

“Awak kenapa tak nak faham apa yang saya dah cakap ya? Saya rasa, saya dah cakap bahasa yang mudah. Bahasa yang awak boleh faham. Kenapa mesti awak nak ganggu saya lagi? Mesti ke saya nak ulang benda yang sama banyak kali? Apa yang awak nak dari saya sebenarnya?” balas Jeslina tertahan.

Tenang Hadi kekal senyum.

“Saya pun rasanya dah cakap beberapa kali termasuk sekejap tadi. Demi Allah saya takde niat jahat nak kenal dengan awak.” Tapak tangan kanan ditegakkan persis mengangkat sumpah.

Sekali lagi Jeslina senyum tepi.

“Tapi saya tak nak kenal dengan awak.” Jawabnya selamba.

But why?

“Sebab saya tak berminat nak kenal dengan awak atau sesiapa pun.” Jeslina bertegas. 

“Walaupun sebagai kawan?”

“Saya tak nak ulang benda yang sama. Jawapan saya tetap sama.”

Hadi lepas keluh perlahan. Terhapus senyum di bibirnya.

“Cuba awak cakap dengan saya kenapa awak tak berminat nak kenal dengan saya atau mana-mana lelaki pun? Awak dah kahwin? Isteri orang? Atau awak tunang orang? Dah nak kahwin?”

“Apa pun status saya, saya tetap tak nak kawan dengan awak.” Jeslina tetap dengan pendiriannya. Buku yang dipegang terus dikatup. Dia bingkas mahu meletakkan ke rak semula.

“Jess!”

Dia menoleh. Fakri tiba. Dah jadi kebiasaan yang Fakri akan jadi orang terakhir keluar dari gim sebaik waktu beroperasi kerana kelab masih dibuka buat ahli yang mahu melakukan latihan.

“Hai… Fakri.” Mesra Fakri hulur tangan.

“Hadi Zafri.” Dua tangan bertaut. “Saya mintak maaf kalau saya dah kacau tunang atau isteri awak.” Sambung Hadi sebaik salam terlerai.

Fakri senyum nipis. Mata kerling ke arah Jeslina yang sedang mengemas beg sandang.

She’s my beloved sister. Hana Jeslina.” Jawabnya selamba menyebabkan Jeslina membesarkan mata. 

I see.” Hadi lempar senyum. Mata turut kerling ke arah wajah yang dah masam mencuka di sisi lelaki tegap di depannya.

“Aku nak balik dulu. Kalau kau nak terus borak, kau boraklah.” Jeslina bersuara dingin seraya terus berlalu.

Fakri geleng. Tak sempat dia nak cakap apa, bayang Jeslina sudah pun melepasi pintu cermin.

Sorry bro. Aku harap kau tak ambil hati. Dengan orang yang tak kenal memang dia macam tu.” Ucap Fakri mengharap lelaki di depannya itu tidak salah faham. Tambahan pula, entah kenapa dia rasa Hadi bukan berniat jahat. Sejak dari luar kafe lagi dia perasan Hadi cuba bercakap namun Jeslina kekal dengan riak dingin.

“Takpe. Aku faham. Mana-mana perempuan akan rasa yang sama. Betul tak?”

Fakri senyum segaris sebelum pelawa Hadi kembali duduk.

“Jeslina lain. Dia takkan sama dengan mana-mana perempuan.” Balasnya sebagai peringatan awal.

Hadi terdiam. Ada keluh perlahan dilepaskan. Disebabkan kelainan yang ada pada gadis itulah dia sanggup ke kafe tersebut sebaik habis waktu kerja tadi. Tubuh yang dah terasa melekit pun langsung tak dihiraukan. Yakin dengan cara itu saja dia akan bertemu dengan Jeslina. Tapi seperti mana yang dijangka, penerimaan Jeslina sedikit sebanyak mengecewakan hasrat hati. Namun dia tetap bersyukur dengan kehadiran seorang lelaki yang punya dua lekuk di pipi tiap kali bibir membentuk senyum. Allah hantar ‘bantuan’ tanpa disangka disaat dia memerlukan. Sekurang-kurangnya dia boleh bertanya apa yang sepatutnya dia tahu tentang Hana Jeslina.

No comments: