Part 3
Nafas berat terlepas. Ditolak sehelai kertas yang
tercacat beberapa nombor telefon ke depan sebelum merenyukkannya sekuat hati
dan dilempar ke dalam tong sampah. Mata mengerling ke arah jam yang terlekat di
atas pintu. Waktu makan tengah hari yang dah pun tamat terasa disia-siakan
hanya kerana nak menghubungi beberapa nombor kenalan lamanya yang masih
berbaki. Tapi sudahnya, satu pun tak membuahkan hasil. Kebanyakan darinya dah
pun berumah tangga. Mana mungkin dia akan jadi perosak rumah tangga orang hanya
kerana kepentingan peribadi. Dia belum gila nak buat kerja tak semenggah macam
tu.
Teringatkan sahabatnya yang keluar makan
tengah hari dengan tunang tersayang, laju telefon dicapai. Belum pun nama Ain
sempat dicari, gajet yang dipegang mengeluarkan bunyi. Satu nombor asing
terpamer. Lambat-lambat dia menyambungkan talian.
“Assalamualaikum Cik Mardeena.”
Telefon hampir terlepas sebaik suara
garau tu menyapa gegendang telinga. Liur rasa tak tertelan.
“Er… Abang Nazz. Macam mana boleh dapat
nombor Deena ni?” Tergagap-gagap dia membalas.
“Deena, abang tak boleh lama ni. Abang saja try. Tak sangka Deena angkat. Jangan
lupa save nombor abang. Lepas ni dah
tak ada alasan tak boleh call abang
kan? Nanti abang call Deena lagi.
Abang ada patients ni. Assalamualaikum.”
Talian
terputus tanpa sempat Deena membalas sepatah pun.
“Dee!”
Terjengul Ain di muka pintu.
“Ain...”
rengeknya macam budak tak cukup umur sebaik terpandang muka si sahabat.
“Kenapa
pulak ni?”
“Abang
Nazz call aku! Macam mana ni Ain?”
“Macam
mana apa lagi? Dah elok sangatlah tu Dee. Kita dah boleh berhenti buat kerja
sia-sia cari calon menantu sulung Haji Zainal. Kau fokus aje pada Abang Nazz terover kacak tu. Habis cerita.” Ain
labuhkan senyum lebar.
Deena
berdecit kecil.
“Kau
ni tak fahamlah Ain…” keluhnya diiringi nafas panjang.
“Apa
yang aku tak faham? Kau malu pasal check-up hari tu kan?”
“Aku
tak bolehlah Ain…” keluh Deena lagi.
“Dee,
kau dengar sini ya.” Ain labuhkan duduk di depan meja si sahabat. “Aku bukan
tak nak tolong selesaikan masalah kau tu Dee. Aku dah tolong apa yang aku mampu
walaupun aku rasa kerja yang kita buat tu sia-sia belaka. Kali ni, kita cuba
cara lainlah Dee. Aku dah tak nak buat kerja gila tu. Afham pun marah bila
dapat tahu aku telefon entah mana-mana lelaki tu. Kalau kali ni pun tak boleh,
aku janji aku tolong kau cari jalan lain. Okey? Tak salah kan kalau kita cuba
dulu. Aku rasa, dialah satu-satunya harapan yang ada sekarang ni.” panjang
lebar dia menasihati.
Sekali
lagi Deena hela nafas panjang. Sungguh dia tak mahu hadam apa yang baru sahaja
meniti bibir Ain. Nazzri Imran. Takkan mungkin lelaki tu akan bersetuju dengan
cadangan gilanya sungguhpun tahu apa masalah yang dihadapi.
*****
“Dah kenapa muka
monyok ni? Kaklong tak sihat ke?” tegur Mak Dah sebaik Deena turun dari kereta.
“Taklah
Mak Dah. Kaklong okey. Cuma penat sikit.” Deena paksa bibir lorek senyum. “Mak
Dah…” Dia dapatkan Mak Dah yang leka menyiram pokok bunga.
Mak
Dah lempar senyum.
“Mesti
nak cakap pasal Nazz kan?” tebaknya.
“Mak
Dah bagi nombor telefon Kaklong pada Abang Nazz ke?” Tanpa berselindung Deena berterus-terang.
“Taklah.
Kan Mak Dah dah janji dengan Kaklong tak bagi ke dia. Nazz kata dia dapat
nombor Kalong dari kawan dia.”
Deena
hela nafas panjang. Hampir terlupa yang Jaja satu tempat kerja dengan Nazzri.
Cara lain, Nazzri boleh dapatkan maklumat peribadinya daripada rekod perubatan
yang ada.
“Mak
Dah, Kaklong malulah dengan Abang Nazz.” luahnya perlahan.
“Nak
malu apanya? Bukan dia buat apa-apa pada Kaklong kan? Nazz pun langsung tak
cerita apa-apa pasal hari tu. Dia doktor, Kaklong pesakit. Apa-apa jadi antara
dia dengan pesakit, semua jadi rahsia kan? Adik manja Mak Dah tu, sangat komited
dalam kerjanya, Kaklong.”
Sekali
lagi Deena lepas keluh panjang. Dipandang lagi muka Mak Dah. Cuba hadam apa
yang terucap.
“Mak
Dah…” Belum pun sempat menghabiskan ayatnya, telefon yang dipegang berbunyi. Sebaris
nama yang sedang disebut-sebut muncul di skrin nipis.
“Tengok
ni Mak Dah!” Ditayangkan sebaris nama tu depan mata Mak Dah. Mak Dah senyum.
“Agaknya
sebab dah lama sangat tak berborak dengan Kaklong. Sebab tu dia cari Kaklong”
balas Mak Dah lembut. Dalam tak mahu, Deena sambungkan juga talian.
“Hmm…
Abang Nazz. Nak apa ni?” Sedaya upaya Deena mengikhlaskan hati.
“Esok
Deena ikut balik kampung abang boleh? Sabtu Ahad Deena tak kerja kan? Abang pun
cuti. Pagi-pagi esok abang jemput Deena dekat rumah.”
“Balik
kampung?” Deena telan liur. Dipandang Mak Dah yang manis tersenyum.
“Er…
Tak tahu lagilah bang. Nanti Deena tanya abah dengan mummy dulu.” jawabnya cuba
mencari alasan untuk mengelak.
“Abah
dengan mummy Deena mesti bagi. Sebab abang balik dengan Kak Dah sekali. Kak Dah
pun dah lama tak balik kampung.”
“Er…
Nanti Deena tanya abah macam mana. Tapi Deena tak janji tau. Apa-apa hal nanti,
Deena call abang balik.
Assalamualaikum.” Cepat-cepat talian diputuskan seraya nafas lega dilepaskan. Getar
di dalam dada usah lagi dikata. Sejak dari pertemuan yang tak dirancang
beberapa minggu lalu, getaran yang ada tidak lagi sekata hinggakan ruang dada
terasa sendat.
“Mak
Dah tak cakap pun dengan Kaklong, Mak Dah nak balik kampung esok?” sambungnya
pada Mak Dah.
“Nak
bagi tahulah ni. Tapi sebab Nazz dah bagi tahu dulu, samalah juga kan?” Mak Dah
terus senyum-senyum.
“Maknanya,
mesti Mak Dah tahu yang Abang Nazz nak ajak Kaklong ikut sekali esok kan?”
tebak Deena.
“Mestilah
tahu. Takkan Mak Dah nak biarkan dia usung anak dara orang sesuka hati. Bawak
balik kampung pulak tu. Pagi tadi Mak Dah ada bagi tahu mummy dengan abah
Kaklong. Dia orang kata, terpulang pada Kaklong. Sebab esok pun, abah dengan
mummy kan ada majlis kahwin dekat Kluang. Dia orang tidur sana semalam katanya.
Kaklong mesti tak nak pergi kan? Zirah aje yang ikut nanti. Dari Kaklong
tinggal sorang, elok jugak ikut Mak Dah balik kampung. Insya-Allah selamat dari
duduk sorang-sorang dekat rumah ni.” Mak Dah senyum lagi. Mula dia melancarkan
kata pujuk kerana tahu Deena memang mudah dipujuk.
“Mak
Dah tu mulalah nak takutkan Kaklong.” Muka masamnya dah terpamer. “Tengoklah
macam mana nanti Mak Dah. Kaklong tak janji.” tambahnya sebelum terus masuk ke
dalam rumah. Malas nak fikir!
“Iyelah
tu tak janji.” omel Mak Dah dalam senyum. Tapi cuma seketika bila teringat
semula kata-kata adik bongsunya beberapa hari lalu.
“Kak Dah, Deena dah ada orang punya?”
Keningnya berkerut. “Kenapa tanya macam tu? Nazz
berkenan dengan Deena ke?”
Nazzri lirik senyum.
“Tak adalah. Manalah tahu kalau dah ada orang punya.”
“Kalau tak ada kenapa?”
“Kut-kutlah dia berkenan dengan Nazz ni.” Nazzri
lebarkan senyum. Tapi bertambah garisan di muka Mak Dah.
“Bukan hari tu Nazz kata kunci hati tu dah hilang
sampai malas Nazz nak cari?”
“Tiba-tiba rasa nak cari pulak sekarang ni.” Nazzri
menyengih.
“Iyelah tu. Bukan sebab Nazz dah tahu apa masalah dia
sekarang ni?”
Sengih di bibir Nazzri mengendur.
“Dia serius ke tengah cari calon sekarang ni Kak Dah?”
soalan juga terpacul di bibirnya.
“Katanya macam tu la… Tapi Kak Dah tak tahulah
sekarang ni betul-betul dia dah jumpa ke tak.”
“Kak Dah, agak-agak kalau Nazz offer diri, dia terima
tak?”
Soalan
yang tak mampu dijawab hingga ke hari ini. Dan dia tak tahu sejauh mana kesungguhan
hati Nazzri atau sebenarnya ada agenda lain yang disembunyikan daripadanya.
******
Deena pandang
tak berkelip rumah usang yang mula dipanjat pokok liar. Keliling rumah penuh
dengan semak samun setinggi pinggang.
“Er…
Mak Dah, kita nak tidur dekat sini ke?” Takut-takut dia tanya. Risau
mengecilkan hati wanita yang dah dianggap seperti darah dagingnya sendiri.
“Kalau
tidur sini kenapa? Tak sudi sebab rumah ni dah buruk?” Nazzri menyampuk.
Deena
diam. Dipandang sekilas Nazzri di sebelah. Malas dia nak jawab. Memang
sepanjang jalan tadi pun, dia banyak mendiamkan diri. Bercakap hanya bila perlu
memandangkan dia tak punya pilihan selain terpaksa ikut sama percutian tak
dirancang itu.
“Kaklong
dengarlah cakap Nazz tu. Kalau Mak Dah suruh dia tidur sini sorang-sorang pun
dia takkan nak punya.” Mak Dah mencelah.
Deena
hala pandang pada Nazzri lagi. Jeling dihadiahkan. Nazzri tayang sengih.
“Abang
saja test. Nak tengok Deena sanggup
atau tak hidup susah senang dengan abang bila dah kahwin nanti.” balas Nazzri
selamba. Sekali lagi Deena berpaling. Tajam renungannya. Keningnya berkerut.
“Siapa
yang nak kahwin dengan abang?”
“Deena
la. Siapa lagi?” Nazzri lirik senyum penuh makna.
“Bila
Deena cakap nak kahwin dengan abang?”
Nazzri
balas pandang. Senyum di bibir mati. Riak serius terpamer. Dalam-dalam dia
renung mata Deena. Muka didekatkan menyebabkan Deena tersandar ke kereta.
Membulat matanya merenung wajah Nazzri yang hanya berjarak beberapa inci. Bergendang
hebat dalam dadanya kini.
“Jangan
ingat abang tak tahu yang sekarang ni Deena sangat terdesak cari calon suami.”
ujarnya separa berbisik.
Deena
terus tolak kuat tubuh Nazzri untuk melepaskan diri. Naik sesak nafas dengan
apa yang baru sahaja meniti bibir lelaki itu. Laju kaki dihalakan ke arah Mak
Dah yang dah leka memetik buah limau kasturi yang begitu lebat di tepi rumah.
Nazzri
lepas gelak.
“Mak
Dah! Tengok Abang Nazz tu…” Muka Deena dah masam kelat.
Mak
Dah pandang muka Nazzri dengan Deena bersilih ganti.
“Kalau
tak mengusik, memang tak boleh ya Nazz?” Mak dah cekak pinggang. “Cuba elok
sikit perangai tu. Ini tak, macam budak-budak. Memang patutlah sampai sekarang
tak ada siapa nak!” tambahnya sedikit geram.
“Bukan
tak ada orang nak kak. Nazz belum jumpa yang sesuai lagi. Tapi sekarang, Nazz
rasa Nazz dah jumpa.” jawab Nazzri dengan senyum.
Deena
hadiahkan jeling.
“Perasan!
Siapa entah nak dia tu. Dahlah tua!” selamba Deena jawab.
Sekali
lagi Nazzri lepas gelak.
“Siapa
yang perasan sekarang ni? Rasanya abang tak ada sebut pun nama Deena.” Nazzri
angkat kening sebelah.
Deena
gigit bibir. Muka rasa pijar.
Mak
Dah dah menggeleng. Tak tahu nak kata apa lagi memandangkan kedua-duanya bukan
belia remaja lagi. Tapi perangai dah mengalahkan budak-budak tak cukup umur.
………..
“Nazz.”
Nazzri
angkat muka. Senyum berlabuh. Punggung diangkat untuk memberi ruang buat
kakaknya duduk di atas pangkin kayu yang sama.
“Deena
mana kak? Tidur lagi?” soalnya berbasa-basi.
Sejak
sampai di homestay yang disewanya itu, Deena langsung tak keluar bilik.
“Dia
tengah mandi.” jawab Mak Dah sambil tak lepas pandang wajah si adik.
Nazzri
dah kerut kening.
“Kenapa
akak pandang Nazz macam tu?”
“Nazz
ni sungguh-sungguh nakkan Deena ke, atau saja nak usik-usik dia?” Mak Dah
beriak serius.
Nazzri
hala pandang ke rumah. Nak pastikan Deena takkan dengar apa yang bakal keluar
dari bibirnya.
“Kak
Dah, Nazz sebenarnya nak tolong dia.”
“Maksud
Nazz?”
“Kak
Dah tahukan apa yang dah jadi pada dia sebelum ni?”
Mak
Dah angguk sekali.
“Peluang
untuk dia ada anak tak macam perempuan lain, Kak Dah. Sebab tu dia memang patut
kahwin cepat sebelum benda yang sama berulang.” jelas Nazzri.
Mak
Dah hela nafas panjang.
“Tapi
dia tetap ada peluang nak ada anak kan? Nikah kahwin ni bukan senang Nazz.”
ujarnya perlahan.
“Betul.
Peluang memang ada. Tapi kita tak boleh jangka apa jadi pada masa akan datang.
Kalau untuk perempuan yang dah ada anak, yang ada masalah sama macam dia,
biasanya doktor akan syorkan buang semua untuk elak benda yang sama berulang
kak. Tapi dia bujang. Sebab tu doktor akan syorkan dia kahwin cepat walaupun
kita tahu ajal, rezeki, maut, semua dekat tangan Dia. Kita tetap kena cuba, Kak
Dah.” tegas Nazzri.
Mak
Dah pandang lagi muka si adik bersama helaan panjang.
“Kak
Dah tak tahu nak cakap macam mana, Nazz. Kak Dah dah anggap Kaklong tu macam
anak Kak Dah sendiri. Kak Dah kesiankan dia. Sekarang ni pun, dia sibuk cari
calon. Sanggup telefon balik semua kawan-kawan lelaki yang pernah dia kenal
dulu. Mummy dengan abah dia langsung tak tahu dia sakit sebelum ni. Sampai
menyorok nak makan ubat. Pasal nak kahwin ni pun, abah dengan mummy dia tak
tahu. Padahal sebelum ni, dah berapa kali dia tolak ada orang nak masuk
meminang.” luah Mak Dah sedikit sebak.
Nazzri
pula lepas nafas panjang.
“Nazz…”
Mak Dah pegang tangan Nazzri yang terlekap di riba.
Nazzri
hala pandang.
“Nazz
bersungguh ke nakkan dia?”
Sekali
lagi Nazzri hela nafas.
“Kak
Dah… Nazz sebenarnya…” Terhenti. Keluh terlepas. Tak mampu nak diluahkan apa
yang bersarang di jiwa. Berkahwin tak tersenarai dalam agenda hidupnya kini
selepas dia terpaksa meninggalkan kekasih hati di bumi asing sana hanya kerana
perbezaan agama. Hatinya dah lama tertutup untuk mana-mana perempuan.
“Nazz…”
Mak Dah genggam kuat tangan Nazzri.
“Nazz
cuma nak tolong dia Kak Dah. Tak lebih dari tu.” jelas Nazzri jujur. Itu saja
yang terencana dalam kepalanya sebaik tahu akan keadaan Deena yang sebenar.
Mak
Dah terdiam. Dilepaskan tangan Nazzri.
“Kak
Dah bolehkan tolong Nazz? Tolong Nazz pujuk Deena terima Nazz. Dari dia kahwin
dengan orang yang dia tak kenal, lagi baik dia kahwin dengan Nazz kan?” tambah
Nazzri.
Mak
Dah toleh. Senyum tawarnya terlukis.
“Nazz
sedar tak apa yang Nazz cuba buat? Nazz cuma akan sakitkan hati dia. Berkahwin
ni bukan untuk sehari dua. Kalau Allah takdirkan Nazz dengan dia ada anak, Nazz
nak buat apa lepas tu? Nazz nak tinggalkan dia?” ujarnya tak senang hati.
“Nazz…”
Lidahnya kelu.
“Kak
Dah nak Nazz fikir baik-baik sebelum buat keputusan. Ni bukan hal main-main,
Nazz. Nazz tu lelaki, nak jadi suami. Anak, isteri… Tu amanah yang Nazz kena
pikul nanti. Nazz kena ingat, kahwin bukan untuk bercerai-berai.” Mak Dah
bertegas demi kebaikan masing-masing.
Nazzri
terdiam. Dia tak tahu apa yang dia cuba buat. Apa yang dia tahu, simpatinya dah
tumpah buat Deena.
“Kalau
tak ada sekelumit pun perasaan kasih dekat hati Nazz untuk dia, Nazz jangan nak
mimpi kahwin dengan dia walaupun cuma sebab kesian. Kak Dah takkan benarkan.”
tekan Mak Dah memberi peringatan sebelum terus bingkas.