Nov 21, 2012

Jangan tak mungkin_part 7



“Cik Ada? Hello Cik Ada Syuhada Adlia Mohd Shukri!” Shahimi menguatkan suara seraya menepuk bahu adiknya duduk termenung diperhatikan sejak pulang dari kerja tadi. Tambahan pula Ada tidak memasak hari itu untuk keluarga Azam kerana Encik Zakuan tiada beberapa hari.

“Sakitlah! Apa abang ni!” Ada menyeringai kesakitan apabila bahunya terasa perit menerima tamparan dari tangan kasar abangnya.

“Yang kau tu termenung dari tadi siapa suruh. Naik tembus bumbung rumah Uncle Zakuan tu abang tengok.” kata Shahimi mengusik.

Dia perasan akan perubahan yang berlaku ke atas diri adiknya sejak Azam makan malam di rumahnya hampir sebulan lalu. Itulah kali terakhir dia bertemu dengan Azam kerana kini sahabatnya itu tiada di rumah dan sering bekerja di luar kawasan hingga sukar untuk mereka bertemu. Baharu semalam sahabatnya itu ada menghubunginya.

“Mana ada.” nafi Ada yang cuba menyembunyikan kebenaran.

“Sudahlah kau dik. Macamlah abang tak tahu. Hari tu yang kau sibuk tanya Azam tu apa kes pulak.” giat Shahimi lagi yang sudah tahu apa yang disembunyikan oleh adiknya itu.

“Tau apa? Mana ada apa-apa abang ni..” dia masih juga tetap berdalih.

“Cakap ajalah yang kau rindu nak jumpa Azam kan? Kalau tak, takdanya kau hari-hari tenung bumbung rumah tu.” giat Shahimi masih belum berpuas hati..

“Macamlah dah takda orang lain yang Ada nak rindu. Apa kes pulak nak rindu anak bujang orang.” balas Ada masih dalam riak yang sama walaupun sebenarnya dia tahu yang abangnya itu sedia maklum akan hubungan dinginnya dengan Azam sebelum ini.

“Manalah tahu. Abang teka aja..” usik Shahimi tidak henti.

Ada menjuihkan bibir.

“Esok pagi-pagi kau tak pergi mana kan dik?” soal Shahimi selepas masing-masing mendiamkan diri. Ada sebab lain dia mengganggu adiknya yang duduk keseorangan di bangku batu sudut halaman rumahnya petang Sabtu itu.

“Kenapa?” Ada mengajukan soalan juga.

“Esok kau ambik kawan abang dekat airport boleh?” ujar Shahimi dengan senyuman penuh makna.

Ada membuat riak pelik di wajahnya.

“Orang yang bawak lemosin semua mogok kerja ke esok sampai Ada pulak yang nak kena ambik kawan abang tu?” Ada pula mengajukan soalan.

“Bukanlah macam tu. Semalam memang abang dah janji dengan dia nak ambik. Tapi lupa pulak esok nak teman mama dengan ayah pergi hantar kad jemputan. Kau pun tak nak ikut kan?” Shahimi cuba memujuk juga agar adiknya itu memenuhi permintaannya.

“Suruh ajalah dia naik lemosin. Kan senang..” jawab Ada selamba.

“Dia demamlah. Tu yang suruh abang ambik dia. Biasanya ayah dia yang ambik.” balas Shahimi tetap cuba memujuk.

“Habis tu, suruh ajalah abah dia ambik.” Ada masih membalas dalam nada yang sama.

“Kalau abah dia ada, takdalah abang suruh kau ambik dia Cik Ada Syuhada Adlia oi..” jawab Shahimi yang sudah menyembunyikan senyum.

“Ee..abang ni.. banyak hal betul la.. kalau susah sangat suruh ajalah dia panggil ambulance. Boleh terus hantar pergi hospital.” Bentak Ada yang terasa berat mahu membantu Shahimi. Tambahan pula bukan semua sahabat abangnya itu dia kenal.

Shahimi menghamburkan tawa. Lucu dengan cadangan adiknya itu.

“Gelak pulak.” Gerutu Ada yang geram melihat Shahimi sedang ketawa.

“Apa punya cadanganlah kau ni dik..” kata Shahimi dalam sisa tawa.

“Habis tu? Kalau dah takda siapa nak ambik dia, terus pergi hospital ajalah. Kata demam kan..” Ada masih tetap dengan cadangannya tadi.

“Kejam betul kau ni dik. Dia demam biasa aja. Takdalah sampai nak masuk hospital.” Balas Shahimi yang masih mahu memujuk.

“Tak kiralah demam biasa ke demam luar biasa ke..” jawab Ada selamba.

“Alah.. tolonglah dik. Kesian dia..” pujuk Shahimi.

“Ee.. malaslah.. Ada dah la tak biasa nak drive. Abang suruh pulak pergi KLIA jemput entah siapa-siapa pulak tu. Tak pasal-pasal pulak nak kena buat sepanduk bagai..” Ada memberi alasan.

“Alah.. kau drivelah slow-slow esok. Tak kisahlah kau sampai pukul berapa pun. Dia mesti tunggu punya. Tak payah kau nak susah-susah buat sepanduk. Dia kenal kau.” Jelas Shahimi yang mula mengoyak senyum kemenangan. Sudah ada tanda-tanda yang adiknya itu akan akur dengan permintaannya.

Ada membuat muka peliknya sekali lagi. Setahunya dia hanya mengenali sahabat abangnya yang bekerja di pejabat. Selebih dari itu tiada satu pun yang dia kenal.

“Biar betul abang ni? Kalau dia nak buat jahat pada adik abang ni macam mana? Siapa nak jawab?” Ada mula berprasangka.

“Takdalah. Jangan risau. Dia baik. Ambik dia lepas tu terus hantar sampai rumah aja.” kata Shahimi lagi.

“Ee… tak naklah.” Ada masih tetap tidak bersetuju.

“Ala.. please… Bukan lama sangat pun. Dari rumah sampai KLIA tak sampai pun satu jam. Lepas hantar, baliklah. Bukan suruh dating ke apa..” Shahimi mula risau jika adiknya itu tetap berdegil.

“Alah abang ni.. leceh betullah.. orang baru nak bersenang-lenang esok. Ni ada pulak nak bagi kerja..” omel Ada yang masih keberatan.

Please please.. Ada ajalah adik yang abang ada.. Bukan selalu pun abang mintak tolong. Hal kecik aja nak mintak tolong. Bukan suruh kerja berat pun. Tak suruh keluar duit pun.. Nanti abang tanggunglah semua. Tu pun abang dah isi minyak penuh tadi.” Ujar Shahimi dengan suara yang mendayu-dayu sambil memuncungkan bibir menunjuk ke arah Inspira merah miliknya.

“Ee.. tengoklah macam mana..” putus Ada seperti tidak punya pilihan. Tidak sampai hati pula menghampakan permintaan abangnya.

Shahimi serta merta tersenyum lebar. Rancangannya berjaya.

“Macam tu la adik abang yang ku sayang..” kata Shahimi kemudiannya sebelum bingkas bangun.

“Eleh.. adikku sayang konon.. Tak payahlah nak bodek bang.. Ada tak cakap pun setuju.” Ada sengaja bermain tarik tali.

“Tak kiralah apa pun. Yang penting, esok Ada pergi KLIA sebelum pukul 3. Sebab member abang tu sampai dalam pukul 3.” Balas Shahimi selamba dengan senyuman yang bergayutan di bibirnya. Saat itu sempat dia menarik hujung rambut Ada yang bertocang dua sebelum dia terus menghilangkan diri ke dalam rumah.

“Jangan haraplah Ada nak pergi ambik esok!!” jerit Ada geram dengan tindakan Shahimi.

************

“Tak pasal-pasal aku pulak jadi pak pacak dekat sini. Dah la tak kenal.” Omel Ada dalam hati apabila sudah satu jam dia menanti, tiada seorang pun yang menghampirinya.

Mata mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Sudah pun pukul 4 petang. Saat pandangan kembali terhala ke arah pintu ketibaan, bola matanya terhenti pada seraut wajah yang berkaca mata hitam berdiri beberapa tapak di hadapannya.

“Dia? Takkanlah dia..” desisnya sendiri sebelum bibir bawahnya digigit lembut. Dia mula terasa sesuatu yang agak pelik berlaku. Teringat kembali kata-kata abangnya semalam.

“Ciss.. kau saja kenakan aku bang..” marahnya dalam hati apabila dia melihat lelaki itu semakin menghampiri. Bibir dikertap rapat.

“Kau parking kereta dekat mana?” soal lelaki itu tidak bernada sebaik tiba di hadapannya.

Ada tidak menjawab. Sebaliknya terus berpusing dan mengatur langkah ke tempat letak kereta. Sebentar kemudian dia mematikan langkah tiba-tiba membuatkan tubuh Azam berlaga dengan bahagian belakang tubuhnya. Hampir sahaja dia tersungkur namun cepat lengannya cepat disambar lelaki itu.

“Awak ni ikhlas ke tak, nak jemput saya sebenarnya?” ujar Azam seraya membuka cermin matanya. Mujur sahaja dia cepat mengimbangi tubuhnya sendiri untuk mengelak dari terpeluk tubuh kurus Ada.

Ada menjarakkan diri dengan wajah yang mula terasa kebas. Tidak berani dia mahu menentang wajah Azam saat itu.

“Er.. awak tunggu sini. Saya pergi ambik kereta.” kata Ada seraya terus berlalu. Terasa malu dengan apa yang baharu sahaja berlaku kerana mereka menjadi tumpuan mata-mata yang turut ada di situ.

Azam tidak sempat membalas apabila dilihat Ada laju mengatur langkah meninggalkannya. Kepala digeleng perlahan dengan senyuman kecil terukir di bibir. Tercuit hatinya melihat wajah merah padam Ada saat dia menyentuh lengan gadis itu tadi. Jika tidak kerana Shahimi, tidak mungkin dia akan bertemu dengan gadis itu hari ini. Lama benar dirasakan wajah itu tidak meniti ruang matanya. Hanya bayangnya sahaja yang muncul dalam mimpinya.

Hilang kelibat Ada dari pandangan, dia kemudiannya terus mengatur langkah ke pintu utama.

Sepuluh minit berlalu, dia mula resah di tempat berdirinya. Tertinjau-tinjau kepalanya cuba mencari kelibat kereta yang dipandu Ada.

“Dia ni terus balik ke apa..” bebelnya sendiri. Dia mula risau andai gadis itu terus meninggalkannya di situ.

Setelah lima belas minit menanti, dia baharu perasan kelibat kereta sahabatnya semakin menghampiri. Bibirnya dikertap rapat kerana terasa terlalu lama dia menanti di situ. Tambahan pula dengan keadaan kepalanya yang mula berdenyut dan agak pening.

“Awak pergi cuci kereta ke apa lama sangat.” omelnya apabila Ada keluar dari kereta untuk membantu memasukkan beg pakaiannya ke dalam bonet kereta.

Ada tidak menjawab. Tapi bibirnya sudah dijuihkan kerana rasa tersindir dengan kata-kata Azam.

Dia agak kalut memandu tadi selepas apa yang berlaku di antara mereka hingga menyebabkan dia tersalah  masuk laluan sehala.

“Er..awak, abang cakap awak tak sihat.” Kata Ada apabila dilihat Azam ingin mengambil tempat duduk pemandu.

“Bawak kereta pun mati-mati, bila masanya saya nak sampai rumah.” Balas Azam sebelum meloloskan diri ke dalam kereta.

Ada kertap bibir rapat. Sekali lagi dia disindir Azam. Dia tahu yang lelaki itu perasaan saat dia mahu memberhentikan kereta tadi, enjin keretanya terus termati.

“Tunggu apa lagi tu? Awak nak tidur sini ke? Dah nak hujan ni.” laung Azam seraya menurunkan cermin kereta di sebelah tempat duduk pemandu apabila Ada masih tidak bergerak.

“Iyalah iyalah.” kalut Ada membuka pintu kereta saat terdengar suara Azam memanggil.

Ada hanya mendiamkan diri setelah mengambil tempat di sisi Azam. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandang.

Azam pula tenang memandu tanpa sebarang kata. Dia tiada hati untuk berbual panjang memandangkan dalam kepalanya saat itu hanya memikirkan katil dan bantal di rumah. Dia mahu melelapkan mata kerana kepala yang terasa memberat. Sesekali sebelah tangannya akan melurut rambutnya yang masih belum sempat dipotong. Roma kasar di wajahnya juga dirasakan semakin tumbuh meliar tanpa dijaga dengan rapi. Dia terasa agak rimas namun sengaja dia kekalkan imej kusut begitu semata-mata mahu menguji gadis di sisinya. Kali terakhir mereka bertemu, Ada seperti tidak senang dengan penampilan barunya itu.

“Kalau tak sihat, cakap ajalah tak sihat. Tak payahlah buat-buat sihat.” Ujar Ada memecah kesunyian mereka apabila dia perasan dengan ekor matanya Azam seperti resah di tempat duduknya.

Azam mengerling sekilas ke sisi. Bibir sembunyi senyum. Senang hatinya Ada seperti risau akan keadaan dirinya. Namun, dia masih belum puas mahu menduga hati gadis itu walaupun apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini tidak lagi selesai.

“Badan saya yang tak sihat, bukan badan awak.” Balasnya selamba.

Ada menjeling tajam. Geram dengan jawapan yang didengari. Dia tahu Azam sengaja menyindirnya lagi atas apa berlaku di antara mereka sebelum ini.

“Suka hatilah! Saya tahu saya sampai rumah aja.” jawabnya terpaksa mengalah. Malas mahu menambah kesalahan di dalam hati. Apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini pun masih tiada penyelesaian. Dia sendiri belum lagi meminta maaf kerana menjadi penyebab lelaki itu berubah sedemikian rupa.

Azam tersenyum sinis meraikan kemenangan di pihaknya. Dia cuba bertahan walaupun keadaannya agak kurang baik.

Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya mendiamkan diri. Ada masih kekal dengan wajah kelatnya. Dan Azam pula dilihat lebih tenang. Tetapi apabila wajah itu mula merenik peluh, Ada yang menjadi tidak senang duduk. Dia perasan akan gerak-geri Azam yang sesekali mengurut belakang leher dan sesekali pula memicit kepalanya sendiri.

“Awak, lampu hijau la.” Kata Ada apabila dilihat Azam memejam mata saat lampu isyarat bertukar hijau.

Azam yang tersedar, kembali memandu. Namun kali ini pemanduannya agak perlahan membuatkan Ada bertambah risau.

‘Hish dia ni. Boleh ke tak ni..’ bisik hatinya apabila dilihat Azam memandu perlahan. Tidak seperti tadi yang agak lancar.

“Awak, berhenti tepi.” Arah Ada tegas.

“Nak buat apa?” soal Azam dengan kerutan di wajah.

“Saya kata berhenti, berhenti ajalah.” Balas Ada tidak mahu berkeras.

Azam tidak punya pilihan. Dia terus memberhentikan keretanya di bahu jalan.

Ada pula tanpa menunggu lama, terus sahaja keluar dari kereta.

“Awak duduk sana, biar saya drive.” Kata Ada dalam nada yang sama sebaik dia membuka pintu di sebelah tempat duduk Azam.

Azam yang sedikit terkejut dengan kata-kata Ada, tidak membantah. Terus sahaja menurut memandangkan denyutan di kepalanya saat itu semakin menjadi-jadi.

“Kan senang kalau dari tadi mengaku tak sihat.” Omel Ada sebaik dia mula memandu. Dia perasan wajah Azam yang kian memucat sejak tadi.

Azam yang sudah memejam mata hanya diam. Suara Ada dirasakan seperti tenggelam timbul menyapa deria pendengarannya.
…………………….

“Awak..” panggil Ada beberapa kali untuk mengejutkan Azam yang lena sepanjang perjalanan.

Azam tidak memberi reaksi.

“Awak.” Ada memberanikan diri untuk menyentuh bahu lelaki itu pula.

Saat itulah Azam baharu tersedar. Matanya terpisat-pisat dibuka dengan kerutan di wajah.

“Dekat mana pulak ni?” soal Azam sambil menggosok matanya beberapa kali. Terasa agak lama dia tertidur.

“Dekat klinik. Dah cepat turun.” Jawab Ada sebelum dia menolak daun pintu untuk keluar.

“Buat apa pulak pergi klinik? Saya nak balik rumahlah.” Balas Azam sambil memandang ke wajah Ada yang sudah membuka pintu di sebelahnya.

“Jangan nak mengada-ngadalah. Abang suruh saya hantar awak pergi klinik dulu sebelum balik rumah.” Kata Ada tidak bernada.

Dia memang ada menghubungi abangnya tadi ketika Azam sedang tidur dan abangnya yang suruh dia singgah ke klinik dahulu. Jika tidak disuruh oleh Shahimi pun, dia akan terus menghantar Azam ke klinik memandangkan dilihat keadaan lelaki itu agak teruk.

“Tak payahlah. Saya bukan sakit teruk pun.” Kata Azam yang tidak pun bergerak dari tempat duduknya. Dirasakan dia hanya demam biasa dan tidak perlu pun ke klinik.

Ada kertap bibir geram.

“Saya kata keluar, keluarlah. Nanti kalau dah sakit teruk, awak salahkan saya lagi sebab saya tak bagi awak makan.” luah Ada yang sememangnya risau melihat keadaan Azam. Perasaan bersalahnya pada lelaki itupun masih tidak surut, tidak pula dia mahu menambah rasa bersalah yang ada jika membiarkan Azam berterusan begitu.

Azam membuang pandang ke arah Ada tajam. Terusik hati lelakinya dengan apa yang terluah dari bibir gadis yang sudah berjaya mengetuk pintu hatinya itu.

“Saya kata tak payah, tak payahlah. Kalau saya sakit pun, badan saya, saya yang tanggung sendiri. Bukan awak yang tanggung. Takda kena mengena dengan awak pun.” kata Azam dengan nada yang mengendur seperti berjauh hati.

“Awak jangan degil boleh tak? Jangan nak jadi macam budak kecik. Jumpa doktor ambik ubat aja. Bukan suruh buat apa pun.” Balas Ada tidak puas hati dengan kedegilan Azam.

“Tak payah. Saya tak nak. Hantar aja saya balik.” Azam pula bersuara tegas. Jauh di sudut hati, sebenarnya dia masih mahu menduga kesabaran hati Ada melayan kerenahnya.

“Awak ni kan..” Ada kertap rapat bibirnya. Terasa mahu dipekikkan di telinga Azam yang dia sebenarnya tidak mahu lelaki itu sakit kerana dirinya. “Suka hati awaklah!” bentaknya geram sebelum menutup kasar pintu kereta di tempat duduk Azam. Kemudian dia terus kembali masuk ke tempat pemandu.

Dengan wajah yang masam mencuka, dia terus memandu pulang. Sepanjang perjalanan itu tiada satu pun perkataan yang keluar dari bibir kedua-duanya hingga mereka tiba ke destinasi.

“Th…”

Ada terus sahaja masuk ke dalam kereta semula sebaik mengeluarkan beg pakaian Azam dari dalam bonet kereta. Belum pun sempat Azam menghabiskan kata-katanya. Entah kenapa dia benar-benar sakit hati dengan kedegilan Azam tadi membuatkan dia tidak mahu memandang apatah lagi bercakap dengan lelaki itu.
Azam pula mengeluh berat. Hanya pandangan mata sahaja yang mampu menghantar kelibat Ada yang sedang memandu masuk kereta ke perkarangan rumah tanpa berpaling ke arahnya lagi. Dia tahu gadis itu begitu marah dengannya.

Laju sahaja Ada mengatur langkah masuk ke dalam rumah sebaik turun dari kereta. Melihat keadaan rumahnya yang masih berkunci dan ketiadaan kereta ayahnya, tahu yang ahli keluarganya masih belum pulang.

Masuk sahaja ke dalam rumah, dia terus melemparkan kunci kereta abangnya ke sofa. Tubuhnya dihenyakkan ke situ juga untuk membuang rasa hati yang membahang terhadap Azam. Bergunung perasaan bersalah yang dirasai di hatinya saat itu kerana gagal memujuk Azam pergi ke klinik tadi. Entah kenapa dia benar-benar terasa bertanggungjawab ke atas kesihatan lelaki itu kini. Semuanya kerana syarat yang dikenakannya dahulu membuatkan lelaki itu berubah begitu. Dia memejam mata sebentar untuk mententeramkan diri sendiri dengan apa yang baharu sahaja berlaku. Namun tidak sampai lima minit mata terpejam, kelopak matanya terangkat semula. Deringan dari telefon bimbit yang diletak di atas meja kopi hadapannya berdering minta diangkat.

“Hello.. Assalamulaikum dik.” Sapa suara garau di hujung sana.

“Waalaikumussalam. Abang nak apa? Kalau nak tanya kawan baik abang tu dah selamat sampai rumah ke tidak, dia dah selamat sampai dah. Agaknya tengah sedap tidur sekarang ni.” Sahut Ada panjang lebar yang dapat meneka akan tujuan abangnya itu menghubungi.

“Janganlah marah. Abang tak tanya apa pun kau terus aja serang abang.” Kata suara itu lagi diiringi tawa membuatkan hatinya kembali membahang.

“Apa abang nak ni?” soalnya malas. Tiada hati mahu berbual panjang.

“Tadi Uncle Zakuan call abang suruh Ada masakkan bubur untuk Azam. Dia balik dari Johor esok.” Jawab suara itu membuatkan Ada mengeluh berat. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberi.

“Dik, kau dengar tak ni apa abang cakap? Kau jangan tak masak pulak. Kesian Azam tak makan apa lagi hari ni.” Kata abangnya lagi apabila dia hanya mendiamkan diri.

“Iyalah iyalah!” bentaknya geram seraya terus memutuskan talian. Terpaksa akur lagi. Perasaan geram terhadap Azam masih lagi bersisa di hatinya. Tetapi kini terpaksa pula kembali berhadapan dengan lelaki itu. Dengan langkah yang berat, dia menapak naik ke bilik untuk bersolat Asar terlebih dahulu sebelum memasakkan bubur buat Azam.
……………….

+ Awak tunggu dekat bawah. Saya hantar bubur. Saya tak nak kena gosip pulak ‘anak dara Encik Shukri pergi goda anak bujang Encik Zakuan’.

Azam menarik senyum saat membaca SMS daripada gadis yang memarahinya tadi buat kali kelima. Bila-bila masa sahaja Ada akan tiba menghantar bubur buatnya. Tubuh yang hanya mengenakan baju-t putih bersama kain pelekat disandarkan ke sofa. Matanya pula dipejamkan dengan dua belah tangan meramas rambutnya sendiri untuk mengurangkan denyutan yang masih terasa.

“Assalamualaikum.” Terdengar suara memberi salam membuatkan dia mengangkat kelopak matanya semula. Mata terhala ke muka pintu yang sedia terbuka luas agar tidak menimbulkan fitnah kerana mereka berdua-duaan dalam satu rumah.

Ada melangkah masuk ke dalam rumah dan terus berlalu ke ruang dapur. Tanpa disuruh, dia mengeluarkan bubur yang dibawa itu dan dimasukkan ke dalam mangkuk untuk dihidangkan kepada Azam.

“Saya dah letakkan baki bubur ni dalam mangkuk dekat dapur tu. Kalau nak tambah, awak ambiklah sendiri.” Kata Ada sebaik meletakkan semangkuk bubur yang masih mengeluarkan asap nipis di atas meja hadapan Azam yang tidak lepas memadangnya sejak tadi.

Azam tidak membalas apa. Hanya matanya sahaja masih melekat ke wajah yang sedikit segar dan tidak pula semasam tadi.

Ada yang mula tidak selesa dengan pandangan mata Azam, ingin segera berlalu.

“Ada.” Azam memanggil apabila dilihat gadis itu ingin berlalu.

Ada pula mematikan langkah. Namun masih tidak berpaling. Terasa debar hatinya tiba-tiba apabila suara Azam menyapa gegendang telinga.

“Teman saya makan kejap..” meluncur laju dari bibirnya mahu gadis itu menemaninya. Dia masih belum berterima kasih di atas apa yang dilakukan oleh gadis itu tadi.

“Tak elok jiran-jiran nampak kita berdua macam ni. Saya balik dulu.” Balas Ada memberi alasan sebelum terus berlalu. Lagi pula alasannya itu berasas memandangkan waktu itu hampir sahaja masuk waktu maghrib dan ahli keluarganya juga akan pulang tidak lama lagi. Dia tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku di situ memandangkan masing-masing hanya manusia biasa. Masih ada nafsu yang harus dikawal dan dia risau andai masing-masing gagal mengawalnya jika ia tidak henti digoda oleh ‘orang ketiga’ di antara mereka.

Azam pula menghela nafas berat. Tidak mampu berkata apa apabila keliabat Ada sudah pun hilang dari pandangan.

Sementara Ada saat itu terasa ingin menitiskan airmata sebaik dia melangkah keluar meninggalkan rumah Azam. Terasa sarat di dadanya dengan perasaan bersalah apabila melihat keadaan Azam yang tidak sihat walaupun rasa geram dan marah dengan apa yang berlaku di antara mereka sebelum ini masih bersisa.

“Dik.”

Tegur satu suara membuatkan dia segera menyeka hujung mata yang mula terasa hangat. Terleka dia melayan perasaan hingga tidak sedar ahli keluarganya yang baharu sahaja tiba. Cepat-cepat dia membuka pintu pagar untuk memberi laluan abangnya memandu kereta masuk ke perkarangan rumah.

“Dah hantar bubur?” soal Puan Shima sebaik turun dari kereta.

“Dah.” Jawab Ada dengan senyuman paksa terukir di bibir.

“Macam mana Azam?” tambah Encik Shukri pula.

“Tak tahulah yah. Okey kut.” Jawabnya serba tidak kena. Dia sendiri tidak pasti bagaimana keadaan Azam yang sebenar.

Dalam pada masa yang sama, matanya terhala ke arah abangnya mohon bantuan. Dia yakin selepas ini ayahnya akan bertanya semula.

“Tak tahu? Kenapa pulak tak tahu? Kan Ada yang pergi ambik dia tadi?” seperti yang dijangka, Encik Shukri akan terus bertanya.

Ada tersenyum kelat.

“Takpa yah. Nanti lepas maghrib, biar Shah pergi tengok dia kejap.” sahut Shahimi lambat yang faham akan makna pandangan mata adiknya.

“Hm.. Macam mana kamu ni Ada.” Kata Encik Shukri dengan gelengan di kepala sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Isterinya pula sudah mendahului.

“Kau sebenarnya kenapa ni?” soal Shahimi selepas kelibat ayahnya hilang ke dalam rumah.

“Takda apalah.” Jawab Ada seadanya.

“Kalau takda apa, lepas maghrib nanti ikut abang pergi jumpa Azam.” Putus Shahimi selamba sebelum dia pula melangkah masuk.

Ada tidak sempat menjawab apa. Hanya matanya sahaja terkebil-kebil memandang susuk tubuh abangnya yang menghilang. Terlepas keluhan panjang di bibir.

6 comments:

Kak Sue said...

Azam tu kalau suka cakap ja lah... ego tinggi melangit betul... dah sakit tu pun nak buat Ada marah lagi...
Pandai ya Azam ... rindu Ada ada je nak buat... Baik hati betul Abang Ada ya.... Kasihan Ada... hehehe

Eijan said...

Azzam ni saje je nk duga Ada tu sama ada prihatin tak kat dia...dlm hati dia dah ada taman tp memasing tak nak mengaku...

Apa2 pun mmg best juga citer ni....

ainulrida said...

eee....sayapun rasa geram dgn azam. apa la???? suka ckp je la suka. ni tak, nak dera lagi perasaan si Ada.

Atty Ismail said...

Azam oh Azam....Kalu ko x amik la si Ada ni jd bini ko...Baik la ko terjun masuk laut china selatan...Bengong sungguh

hk said...

terbaeklah abang si Ada ni.. sporting abis

MaY_LiN said...

uish..
ada ni asik hot je ngan abang azam tu..


mama arsha..
bersenang-senang ke bersenang-lenang??