Jul 8, 2012

Mengharap kasih_part 5


Azila memandang lagi ke kaunter pendaftaran. Hampir lima jam dia menanti di situ semata-mata untuk menunggu temujanji yang telah dibuat pada minggu lepas. Mengikut perancangan awal, temujanji itu sebenarnya pada pukul 9 pagi. Namun, nama suaminya tetap juga tidak dipanggil-panggil. Bukan dia tidak boleh bersabar. Tetapi apabila melihat suaminya yang seperti sudah kehilangan tenaga hingga kepalanya tidak lagi mampu ditegakkan ketika duduk di kerusi roda itu, dia semakin hilang sabar. Tidak sampai hati melihat suaminya begitu. Tambahan pula waktu makan tengah hari sudah pun lepas.

Tanpa niat mahu mengamuk tidak tentu pasal, Azila pergi lagi ke kaunter pendaftaran itu untuk bertanya buat kali ketiga memandangkan awal tadi dua jururawat yang bertugas di situ menyatakan doktor yang ingin ditemui tiba lewat. Kali ini, dia tidak lagi mampu bersabar apabila melihat wajah suaminya yang kian pucat semakin tidak bermaya hingga tertidur di atas kerusi roda itu.

“Cik, berapa lama lagi saya kena tunggu?” soal Azila dengan suara yang tertahan. Kalau boleh, dia tidak mahu meninggikan suara. Rasa hormat masih ada dalam dirinya.

“Maaf Puan, Doktor Kamal dia tidak sampai lagi. Dia ada kerja dekat HKL.” Jawab gadis muda bertudung.

“Habis tu, berapa lama saya nak tunggu ni? Appointment saya pukul 9. Sekarang dekat pukul 2. Dah lama saya tunggu dekat sini. Suami saya tu sakit macam tu, takkan nak saya tunggu lagi?”kata Azila mula menghamburkan rasa tidak puas hatinya selepas mendengar alasan yang diberi oleh gadis muda itu.

“Puan, kami tak boleh buat apa-apa Puan.” Sahut seorang lagi gadis muda tidak bertudung yang turut sama duduk di kaunter itu.

“Dari pagi suami saya tunggu macam tu cik. Makan pun belum. Sekarang nak saya tunggu lagi? Lagi berapa lama suami saya nak tunggu? Cik tahu tak dia sakit? Saya takpa lagi nak tunggu. Suami saya tak larat dah nak tunggu lagi.” Kata Azila lagi sambil menunjuk ke arah suaminya yang sudah lena. Dalam masa yang sama, dia perasan ada mata-mata yang sudah memandang ke arahnya kerana suaranya sudah dapat didengari oleh semua pesakit yang tunggu giliran yang sama juga.

Kedua jururawat yang bertugas berpandangan antara satu lain selepas melihat keadaan Afrizal yang semakin tidak bermaya.

“Macam ni la Puan. Kita bawak suami Puan masuk wad dulu sementara tunggu doktor.” Putus gadis muda bertudung.

Azila merengus halus. Geram dengan tindakan lambat pihak hospital sedangkan suaminya duduk paling hampir dengan kaunter pendaftaran itu tadi.

Kemudian datang seorang jururawat lain untuk menolak Afrizal masuk ke bilik rawatan sementara menanti. Azila hanya menuruti dengan perasaan yang berbuku marah. Di situ Afrizal dimasukkan air kerana tubuhnya tidak lagi bermaya sementara menunggu doktor tiba.

“Puan, saya rasa elok Puan pergi makan dulu. Suami Puan biar dekat sini. Lagipun dia tengah tidur ni.” Ujar jururawat yang membawa suaminya itu tadi selepas Afrizal sudah pun terbaring di atas katil.

“Takpalah cik. Terima kasih. Saya nak tunggu suami saya.” Balas Azila tidak setegang tadi. Seleranya terus mati apabila melihat keadaan suaminya yang semakin tenat itu.

Selepas rawatan kedua yang dilakukan oleh Ustaz Zaid bersama keluarga suaminya itu minggu lepas, Afrizal dilihat semakin lemah walaupun menurut Ustaz Zaid, segala gangguan yang berpunca dari milik keluarga itu sendiri sudah dipisahkan. Sepnajang proses rawatan dilakukan, dia agak terkejut apabila ibu mertuanya menerangkan tentang saka milik keluarganya yang terdahulu. Disebabkan tiada siapa yang mahu ‘memiliki’ warisan tersebut, ianya telah mengganggu salah seorang daripada anak-anaknya. Dan mangsanya adalah Afrizal. Kerana di antara adik-beradik suaminya, Afrizal merupakan seorang yang agak lemah semangat dalamannya menyebabkan, ‘benda’ itu lebih mudah mendampingi. Ibu mertuanya sendiri tidak menyangka perkara itu boleh berlaku kerana beranggapan ‘benda’ itu sudah pun menjauhi keluarganya. Dan kini, Afrizal terpaksa menanggung segala-galanya.

Menurut Ustaz Zaid juga ‘benda’ yang dimaksudkan itu sebenarnya tidak jauh dari keluarga Afrizal. Walaupun ianya sudah dinyahkan dari tubuh suaminya, ‘benda’ itu masih tetap ada. Dan semua ahli keluarga diminta sentiasa berjaga-jaga selain mengamalkan membaca ayat-ayat al-quran yang diajarkan oleh Ustaz Zaid.

Kini, dia hanya mampu menanti keputusan dari ujian yang akan dijalankan. Atas nasihat Ustaz Zaid jugalah dia membawa suaminya kembali ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut. Kali ini dia benar-benar risau dengan keadaan Afrizal. Sejak seminggu lalu tiada lagi sebiji nasi pun yang masuk ke dalam perut itu. Hanya susu dan air sahaja. Itupun tidak pernah habis segelas. Selebihnya Afrizal hanya tidur. Bercakap pun seperti sudah tidak mahu lagi.

Selepas hampir dua jam menunggu, baharu datang seorang doktor menghampiri katil. Bukan doktor yang dinanti. Sebaliknya seorang doktor perempuan dan merupakan pelatih dalam bidang yang sama. Manis bertudung tersenyum kepadanya.

“Puan, saya gantikan Doktor Kamal sekejap sebab dia dalam perjalanan ke sini. Kerja dia habis lambat. Maaf ya Puan.” Tutur doktor muda itu lembut.

“Takpalah. Apa yang saya boleh buat kan?” balas Azila dengan suara yang mengendur. Redha dengan ujian yang sedang menantinya. Apa-apa pun, dia tetap yakin dengan kebolehan doktor muda itu untuk menjalankan pemeriksaan lanjut kepada suaminya.

“Puan, erm.. hari tu Encik Afrizal dah buat CT scan?” tanya doktor muda bernama Syakira seperti yang tertulis pada tag nama jubah putih yang dipakai. Doktor itu bertanya setelah melihat fail laporan pesakit di atas meja yang diletakkan oleh jururawat tadi.

“Dah buat sekali hari tu.” Jawab Azila jujur.

“Erm, maknanya appointment Puan hari ni untuk apa ya?” tanya doktor muda itu lagi.

“Sebenarnya kalau boleh saya nak doktor buat lagi CT Scan pada suami saya. Sebab dia jadi macam sebelum ni semula. Lepas buat CT scan dulu, Doktor Kamal kata takda apa-apa. Dia jugak suruh saya guna perubatan alternatif. Saya dah buat guna rawatan alternatif tu. Suami saya sihat dalam dua tiga hari aja. Lepas tu, jadi semula. Itu yang saya datang untuk buat ujian tu sekali lagi.” Terang Azila akan tujuan utama dia datang membuat temujanji dengan doktor yang merawat suaminya dahulu.

“Puan tunggu sekejap dekat sini. Saya nak call Doktor Kamal buat confirmation.” Kata doktor muda itu sebelum keluar dari bilik khas yang menempatkan suaminya.

Selepas setengah jam menanti, doktor muda itu datang bersama doktor yang dinanti sejak awal pagi tadi.

“Assalamualaikum Puan. Apa khabar?” ramah Doktor Kamal menegur.

Azila hanya tersenyum nipis. Doktor Kamal memang peramah orangnya.

“Saya mintak maaf banyak-banyak Puan.” Ucap Doktor Kamal yang memang kelihatan sudah berumur itu kepada Azila.

“Takpa Doktor. Saya tahu doktor sibuk.” Jawab Azila seadanya. Dalam masa yang sama, dilihat Doktor Kamal terus membuat pemeriksaan ke atas suaminya sambil diperhatikan oleh doktor muda tadi.

“Puan, macam ni.. Sebenarnya pihak kami tak boleh nak buat ujian yang sama pada suami puan lagi sebab kita dah buat ujian tu secara percuma sebelum ini. Kalau nak buat jugak, pihak kami akan kenakan bayaran Puan.” Tutur Doktor Kamal selepas memeriksa tubuh Afrizal yang sedang lena.

Azila sudah mula berasa tidak senang sebaik mendengar penerangan Doktor Kamal. Sebenarnya dia sudah dapat meneka sejak awal lagi perkara itu akan berlaku memandangkan ada salah seorang daripada jirannya yang bertugas sebagai jururawat memaklumkan perkara yang sama.

“Erm… macam mana saya nak buat lagi doktor? Kalau doktor buat aja ujian tu tak boleh ke?” tanya Azila mencuba nasib.

“Saya mintak maaf Puan. Memang macam tu prosedurnya. Saya kena ikut prosedur yang ada Puan.” Jawab Doktor Kamal yang turut bersimpati dengan keadaan Azila. Dia tahu bagaimana keadaan kewangan yang ditanggung oleh Azila sebelum ini. Ibu muda itu tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Azila seperti ingin menitiskan airmata mendengar jawapan daripada Doktor Kamal. Dia tahu kos yang diperlukan untuk menjalani rawatan itu memerlukan bayaran yang banyak bagi dirinya yang tidak berkemampuan itu.

“Doktor tolonglah saya doktor. Kalau suami saya tak sakit, mesti dia dah sihat doktor. Tapi.. bila jadi macam ni semula, saya tahu dia sakit doktor. Tolonglah saya doktor.” Rayu Azila yang menahan airmatanya dari gugur.

“Erm.. macam ni la Puan. Saya boleh tolong Puan untuk buat rayuan. Tapi saya tak dapat nak jamin boleh lulus atau tidak sebab ni untuk ujian yang kali kedua. Cuma buat masa ni, saya kena tahan suami Puan dulu sebab badan dia terlalu lemah.” Putus Doktor Kamal akhirnya. Dia tidak sampai hati menghampakan ibu muda itu kerana juga yakin yang Afrizal mengalami masalah yang agak berat hingga menyebabkan tubuh itu terlalu kurus serta tidak mampu lagi berjalan seperti biasa. Sebelum ini dia juga pernah berjumpa dengan keluarga pesakit yang tidak berkemampuan seperti Azila. Sedaya upaya dia akan membantu apa yang terdaya.

“Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak sebab sudi tolong saya dengan suami.” Ucap Azila dengan perasaan gembira yang tidak terhingga. Dalam hati dia berharap permohonannya nanti akan diluluskan. Jika permohonannya nanti akan menyebabkan dia terpaksa membayar setengah daripada kos yang diperlukan juga, dia tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya kos yang perlu ditanggung nanti tidak terlalu banyak. Dia akan berusaha mengumpul duit untuk membiayai kos rawatan itu nanti.

************

Siang malam Azila tidak henti berdoa agar rayuan untuk menjalankan rawatan lanjut ke atas suaminya dapat diluluskan. Dan hasilnya, dia amat terharu apabila pihak hospital menghubunginya untuk mengesahkan permohonan rayuannya diluluskan selepas seminggu menanti. Kini dia sedang sabar menunggu keputusan daripada ujian yang dilakukan ke atas diri suaminya.

Sebelum ujian dilakukan, sudah berkali-kali dia mengingatkan diri agar tenang menerima sebarang keputusannya nanti. Tidak putus dia berdoa agar suaminya tidak mengalami sebarang masalah berat hingga boleh memudaratkan diri dan keluarganya. Dia masih memerlukan Afrizal untuk menjadi pembimbing dan ayah kepada anak-anaknya yang masih tidak mengerti apa-apa.

“Ila..” panggil Shafiq yang duduk selang satu kerusi darinya.

Azila mengukir senyum pahit. Hatinya berdebar-debar sejak tadi menanti keputusan daripada ujian yang dilakukan.

“Kalau Ila nak solat dulu pergilah. Abang boleh tunggu dekat sini. Nanti kalau doktor panggil, Abang call Ila cepat-cepat.” Ujar Shafiq yang juga merupakan abang ipar Azila merangkap sahabat baik Afrizal.
Sepanjang seminggu di hospital, hanya keluarganya sahaja yang datang melawat Afrizal. Sama seperti sebelum ini. Adik-beradik suaminya itu langsung tidak datang melawat. Apatah lagi mahu menjaga. Dialah yang bersusah-payah sendirian.

Azila memandang ke wajah kakaknya yang duduk di sisinya sejak tadi.

“Jom, kita solat dulu. Biar Abang Shafiq tunggu sini.” kata Amira sambil memaut bahu adiknya itu.

“Abang nanti cepat-cepat call Ila ya?” sempat Azila berpesan sebelum bangun. Tanggungjawab yang satu itu tidak akan sesekali ditinggalkan. Kerana Dia jugalah segala urusannya dipermudahkan sepanjang suaminya terlantar sakit. Kepada Dia jugalah dia mangadu selama ini.

“Iyalah.” Jawab Shafiq ringkas.

Baharu sahaja Azila dan isterinya berlalu dari tempat ruang menunggu itu, seorang jururawat keluar dan mendapatkannya.

“Encik keluarga pesakit Afrizal Abdul Manaf?” tanya gadis muda itu.

“Iya.. kenapa cik? Result dah keluar ke?” tanya Shafiq kurang sabar. Dia sendiri sebenarnya berdebar menanti keputusan daripada ujian yang dijalankan. Entah kenapa kali ini debarnya sedikit berbeza daripada yang sebelum ini. Dia seperti dapat merasakan ada sesuatu yang akan menimpa sahabatnya itu.

“Dah keluar. Tapi doktor nak jumpa isteri pesakit. Dia pergi mana?” tanya gadis itu lagi yang sudah mengenali Azila kerana dialah yang memantau keadaan Afrizal sepanjang lelaki itu ditempatkan di unit rawatan rapi.

“Dia ada. Pergi solat sekejap. Nanti kalau dia sampai, saya bagitahu.” Jawab Shafiq akhirnya. Tahu yang dia tidak punya hak untuk mengetahui keputusan itu sebelum Azila.

“Terima kasih encik.” Jawab gadis itu pendek sebelum menghilangkan diri di sebalik pintu bilik rawatan.
Sepuluh minit menanti di situ, Azila dan isterinya muncul semula di ruang menunggu itu.

“Ila, doktor panggil masuk dalam.” Ujar Shafiq seraya bingkas. Seperti dia pula yang tidak sabar ingin mengetahui keputusan ujian yang dilakukan terhadap sahabatnya.

“Akak, abang, Ila masuk dulu. Nanti apa-apa hal Ila panggil. Abang dengan akak tunggu Ila ya?” kata Azila dalam debar yang semakin memuncak. Dalam hati tidak henti berdoa agar dia hanya akan dapat berita yang baik-baik sahaja daripada doktor.

Amira dan Shafiq hanya mampu mengukir senyum nipis. Mereka sendiri tidak sampai hati untuk meninggalkan Azila sendirian menguruskan Afrizal di hospital.
…………………

Doktor melekatkan sekeping imej x-ray bahagian kepala pada skrin putih di hadapannya. Imej seperti itu pernah dilihatnya sebelum ini ketika Afrizal menjalani ujian yang pertama beberapa bulan lalu. Cuma kali ini sedikit berbeza.

“Puan, saya harap Puan boleh bertenang dan bersabar dengan apa yang saya nak cakapkan ni.” Doktor Kamal memulakan kata sebaik Azila melabuhkan duduk di hadapannya.

“Takpa doktor saya dah sedia.” Jawab Azila sehabis tenang. Airmatanya juga cuba dikawal dari jatuh. Dari segi percakapan Doktor Kamal, dia yakin yang Afrizal mempunyai masalah lebih berat.

“Ajal maut semua di tangan tuhan kan? Saya ni sekadar membantu mana yang termampu..”

“Doktor, boleh tak doktor terus terang aja dengan saya apa sebenarnya sakit suami saya.” Potong Azila tidak sabar. Dia tidak mahu mendengar kata-kata yang jelas menunjukkan dia bakal menghadapi ujian besar. Dia yakin itu dan dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya.

Doktor Kamal menyandarkan tubuhnya ke kerusi sambil menarik nafas panjang.

“Macam ni Puan. Memang masa kita buat ujian yang pertama dulu, suami puan memang langsung takda apa-apa sakit. Semuanya stabil. Cuma kali ni, jauh berbeza dari apa yang saya jangka. Dan saya sendiri terkejut dengan apa yang saya nampak.” Sambung Doktor Kamal sambil memandang ke wajah Azila yang mula berubah riak. Jelas kesedihan mula terlukis di wajah itu sebaik mendengar kata-katanya.

“Ada ketumbuhan dalam otak sebelah kanan suami puan.” Lanjut Doktor Kamal tenang.

Azila yang mendengar sebaris ayat itu keluar daripada mulut Doktor Kamal terasa seperti jantungnya berhenti berdegup. Airmata yang ingin gugur saat itupun masih mampu dikawal.

Doktor Kamal tetap juga beriak tenang.

“Boleh saya tahu ketumbuhan tu besar mana doktor?” tanya Azila dengan suara yang tertahan. Dia masih berharap yang suaminya tidak mengalami keadaan yang lebih buruk dari apa yang disampaikan oleh Doktor Kamal kepadanya.

“Ketumbuhan tu agak besar Puan. Besar penumbuk.” Jawab doktor Kamal masih dalam nada yang sama. Saat itu sempat dia menunjukkan ke arah imej yang ditunjukkan.

“Besar ni ke doktor?” kata Azila sambil menunjukkan sebelah tangannya yang digenggam kepada Doktor Kamal.

“Bukan besar penumbuk Puan. Besar penumbuk saya ni.” Jawab Doktor kamal sambil mengepal penumbuknya dan digabungkan dengan sebelah tangannya lagi. Dua kali ganda dari genggaman tangan Azila yang tidak sebesar mana.

Azila terkejut. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana ketumbuhan sebesar itu boleh ada dalam kepala suaminya kerana sebelum ini ketumbuhan itu langsung tidak kelihatan. Airmata yang ditahan sejak tadi akhirnya mengalir lesu ke pipi.

“Apa yang saya kena buat doktor?” soal Azila dengan suara yang mula bergetar. Otaknya gagal berfikir saat itu.

“Kita kena buat pembedahan secepat mungkin Puan untuk mengelak daripada tumor tu makin besar dan akan menyukarkan lagi keadaan suami Puan.” Kata Doktor Kamal yang bersimpati melihat keadaan Azila yang mula teresak-esak menangis.

“Banyakkan bersabar Puan. Saya akan usaha mana yang mampu untuk tolong suami Puan.” Kata Doktor Kamal menenangkan. Pada masa yang sama dia sudah menghubungi doktor muda tadi untuk sama datang ke biliknya itu.

“Tak boleh baik ke doktor?” tanya Azila dalam esak tangisnya.

“Dengan pembedahan aja Puan yang kita boleh buat.” Jawab Doktor Kamal.

Azila tidak menjawab. Dia terus-terusan menangis. Hilang segala semangat yang ditanamkan dalam dirinya selama ini.

“Lagi satu yang Puan perlu tahu. Peluang untuk operation ni hanya 50-50. Tapi tu semua dalam jangkaan saya aja Puan. Semuanya terpulang pada Dia semula.” Sambung Doktor Kamal dengan kawalan suara yang cukup baik. Hal hidup mati seorang pesakit memang tidak berani dipersoalkan lebih. Semuanya di tangan yang maha Esa.

Azila masih dalam keadaan yang sama malah bertambah luluh hatinya mendengar peratusan daripada pembedahan yang akan dilakukan.

“Semua keputusan terpulang kepada Puan sekarang ni. Kalau Puan setuju, kita boleh selesaikan semua urusannya hari ni jugak. Cuma saya perlukan tanda tangan daripada waris terdekatnya dan seorang daripada ahli keluarganya.” Jelas Doktor Kamal mengenai  prosedur pembedahan yang perlu dilakukan. Dalam masa yang sama, doktor muda tadi melangkah masuk ke dalam biliknya.

“Doktor, semua dokumen yang doktor nak tadi semua dah ada.” Ujar doktor muda itu sambil menghulurkan fail warna kelabu kepada Doktor Kamal.

Azila masih tetap dalam keadaan yang sama. Dia langsung tidak mampu bercakap apa. Perasaan malu kerana menangis di hadapan kedua orang doktor itu tidak lagi dihiraukan. Dia benar-benar sedih dengan keadaan yang dialami oleh Afrizal.

“Puan, banyakkan bersabar Puan. Saya tahu bukan senang nak terima semua ni. Tapi saya harap Puan lebih kuat untuk suami Puan dan anak-anak. Pihak kami boleh buat pembedahan untuk keluarkan ketumbuhan tu. Cuma saya harap Puan bersedia untuk menerima apa juga yang berlaku lepas pembedahan tu. Dan sekurang-kurangnya kita akan buat yang terbaik untuk suami Puan. Semuanya juga bergantung pada kehendak Dia. Kami hanya boleh berusaha yang terbaik.” Kata doktor muda itu lembut yang sudah mengambil tempat di sebelah Azila yang masih menangis.

Dalam waktu itu juga dia perasan kelibat kakaknya masuk ke dalam bilik bersama Shafiq. Terus sahaja dia meluru memeluk erat tubuh Amira dengan tangisan yang semakin sayu kedengaran.

Amira pula tidak mampu berkata apa. Dia yakin ada berita buruk yang disampaikan oleh kedua doktor yang ada di dalam bilik itu. Tambahan pula melihat wajah keruh di kedua wajah.

Shafiq turut terdiam. Hanya matanya terhala kepada skrin yang terpapar imej otak. Dia yakin ada yang tidak kena dengan imej itu.

……………………

“Ya Allah… Semua tak boleh datang kak. Macam mana ni?” keluh Azila sebaik mematikan talian dari bercakap dengan kesemua adik-beradik suaminya.

Panggilan itu dibuat semata-mata mahu menyelesaikan urusan pembedahan yang akan dilakukan ke atas suaminya dalam masa terdekat itu. Surat pengesahan itu memerlukan tandatangan daripada salah seorang adik-beradik Afrizal. Semuanya menyatakan tidak mempunyai waktu untuk datang ke hospital saat itu. Ianya menambah lagi kesedihan di hati Azila. Keluarga suaminya langsung tidak mengambil berat akan keadaan suaminya yang sedang tenat.

“Akak pun dah tak tahu nak cakap apa lagi Ila. Kalau Abang Shafiq boleh sign, Abang Shafiq dah buat. Tak payah nak bagitahu dia orang tu.” Marah Amira yang turut kecewa dengan apa yang berlaku.

“Erm..biar abang tanya Doktor Kamal kalau-kalau ayah boleh sign, kita panggil ayah aja datang sini.” Ujar Shafiq seraya bangun untuk masuk semula ke bilik Doktor Kamal. Dia sendiri amat berharap agar segala urusan itu dapat dilakukan dengan lebih cepat.

Azila dan Amira tidak pula membantah. Mereka hanya memerhati sahaja kelibat Shafiq hilang di sebalik pintu bilik Doktor Kamal.

Selang beberapa minit, Shafiq keluar semula. Dengan senyuman nipis yang terukir, menunjukkan urusan mereka dipermudahkan lagi oleh yang maha Esa. Dengan linangan airmata, Azila terus menghubungi ayahnya agar segera datang ke hospital untuk menandatangani surat kebenaran pembedahan itu. Keputusan paling berat yang pernah diambil dalam hidupnya selama ini apabila ianya melibatkan hidup mati orang tersayang. Dia tidak akan berputus asa seandainya itu merupakan salah satu cara yang boleh membuatkan suaminya kembali sihat seperti sedia kala walaupun mempunyai risiko yang amat tinggi.

***********

Sudah dua minggu Afrizal terlantar di hospital. Pembedahan masih juga belum dijalankan kerana keadaan diri Afrizal yang tidak mengizinkan. Tubuh itu terlalu lemah. Sepanjang tempoh itu jugalah Azila menghadiri sesi kaunseling yang telah diaturkan oleh pihak hospital bagi setiap ahli keluarga pesakit kanser seperti Afrizal. Semuanya sebagai persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan bagi berhadapan dengan pesakit kanser.

“Ila…” panggil Afrizal dengan suara yang serak. Baharu hari itu dia mampu bersuara sedikit kuat. Jika tidak, suaranya seperti terkepung di kerongkong sahaja.

“Abang…” sahut Azila dengan senyuman manis. Dia setia menanti suaminya di situ sepanjang berada di hospital. Cuma pada waktu malam sahaja dia tidak bermalam di situ kerana Afrizal di dalam kawal rapi oleh jururawat yang bertugas.

“Abang nak makan?” tanya Azila lembut seraya mengeluarkan bubur nasi yang dibawa dari rumah.

Afrizal cuba mengukir senyum buat isterinya. Dia cukup terharu dengan apa yang dilakukan oleh isterinya selama ini. Wanita itu sudah telalu banyak bersusah payah kerana dirinya. Kini segala keperluan hariannya diuruskan oleh Azila kerana dia tidak lagi mampu untuk berbuat demikian. Dengan denyutan di kepala yang kerap menyerang menyebabkan di tidak boleh bergerak aktif. Malah untuk mencuci najisnya sendiri dia tidak mampu. Segalanya diuruskan oleh Azila. Terlalu besar pengorbanan yang dilakukan oleh isterinya itu buat dirinya hingga dirasakan tidak mampu dibalas.

“Assalamualaikum.” Ucap satu suara yang baru masuk ke dalam bilik. Amira bersama Shafiq baru sahaja tiba memandangkan ketika itu waktu melawat.

Afrizal seperti ingin menangis apabila melihat kedua wajah itu. Dua wajah itulah hari-hari yang dilihatnya sepanjang dia berada di hospital. Dia tidak pernah melihat wajah adik-beradiknya yang lain datang melawat melainkan adik-beradik sebelah isterinya. Hanya sekali dia dapat bertemu dengan ibunya. Itupun atas usaha isterinya yang menjemput di rumah kakak sulungnya.

“Ila dah makan? Akak ada bawak nasi ni.” Ujar Amira sambil melabuhkan duduk di kerusi Azila tadi sementara wanita itu pergi mencuci tangan di singki yang disediakan. Kebersihan amat perlu dititik beratkan sepanjang waktu demi memastikan kesihatan Afrizal lebih terjaga.

“Belum kak.” jawab Azila dengan senyuman tawar. Sejak mengetahui penyakit yang dialami oleh Afrizal, dia tidak lagi berselera makan. Makan hanya bila perutnya benar-benar terasa lapar.

“Ila makanlah dulu. Biar akak suapkan Rizal makan.” Amira menawarkan diri untuk membantu.

“Er..takpalah kak. Biar saya tunggu Ila makan.” jawab Afrizal lambat. Terasa malu dengan kakak iparnya itu walaupun sebelum ini mereka memang mesra kerana Shafiq sahabat baiknya.

“Makan ajalah bro. Apa salahnya. Sama aja. Kau janganlah risau. Aku takkan jealous punya.” Celah Shafiq yang cuba bergurau. Dia yang duduk di hujung kaki Afrizal sempat melekapkan tapak tangannya di kedua belah kaki sahabatnya itu yang sudah lama tidak menjejak tanah. Afrizal seperti hilang upaya untuk berjalan semenjak sakit.

Afrizal tersenyum kecil mendengar kata-kata usikan sahabatnya itu. Airmatanya sekali lagi ingin menitis apabila memikirkan keperihatinan lebih pasangan itu terhadapnya sepanjang dia terlantar sakit berbanding ahli keluarganya sendiri.

Ketika itu jugalah pintu biliknya terkuak dari luar. Wajah kakak sulungnya muncul dari celah pintu.

“Kaklong.” Tutur Afrizal yang sedikit gembira dengan kedatangan kakak sulungnya. Pertama kali dia melihat wajah kakak sulungnya muncul sepanjang dia berada di hospital.

“Rizal macam mana? Sihat?” tanya Azrina seraya bersalaman dengan Azila dan Amira.

“Alhamdulillah. Baik sikit dari hari tu.” Jawab Azila mesra.

“Kaklong tak boleh lama ni sebenarnya Rizal. Anak-anak tinggal dekat rumah dengan mak. Abang Long pun tunggu dekat bawah tu.” Ujar Azrina yang jelas tidak mahu berlamaan di situ.

“Abang Long tak naik kak?” tanya Azila yang cuba mengajak kakak iparnya itu berbual mesra walaupun sedar akan kedinginan Azrina melayannya.

“Tak. Akak dengan abang nak cepat ni. Kami ada hal lain lagi lepas ni.” Jawab Azrina yang sudah mengambil tempat Amira apabila wanita itu memberi ruang kepada Azrina untuk merapati Afrizal.

“Mak sihat kak?” tanya Afrizal dengan suara yang perlahan.

“Sihat. Kau tak payahlah risau pasal mak. Tahulah akak nak jaga macam mana.” Jawab Azrina mendatar seraya mengeluarkan telefon bimbit yang berbunyi dari dalam beg tangannya.

“Akak kena balik dululah Rizal. Abang Long dah SMS akak suruh turun. Lain kali akak datang lagi okey?” ujar Azrina seraya bingkas dan terus bersalaman dengan Amira serta Azila.

Azila tidak dapat berkata apa lagi. Tidak mampu untuk menghalang. Amira yang memerhati dari sudah menggelengkan kepala. Langsung tidak menyukai tindakan kakak sulung Afrizal yang langsung tidak menghiraukan keadaan Afrizal.

“Sabarlah Zal. Agaknya dia sibuk.” Celah Shafiq sambil mengurut perlahan kaki sahabatnya itu. Dia perasan riak wajah sahabatnya yang agak keruh.

“Sudahlah tu Zal. Sini akak suapkan makan. Ila, makan nasi tu dulu.” kata Amira lalu mengambil tempatnya semula di sisi Afrizal.

“Kau kena makan Zal. Jangan tak makan. Kalau tak, macam mana nak cepat sihat. Kesian anak-anak kau Zal. Selalu tanya pasal kau.” Omel Amira lagi sambil menyudu bubur nasi ke mulut Afrizal.

Afrizal pula dalam tidak mahu terpaksa membuka mulut. Tidak sampai hati untuk menolak. Memang perutnya terasa lapar. Tetapi apabila mengenang kembali perangai kakak sulungnya tadi, terus hilang seleranya. Dia malu dengan keluarga isterinya itu. Dia mampu bertahan hingga ke hari ini pun hanyalah semata-mata kerana Azila dan anak-anak. Mereka bertigalah semangatnya kini kerana ahli keluarganya kini seakan-akan tidak lagi mempedulikan dirinya.

***********

Sekali lagi nasib masih menyebelahi Afrizal. Dia terselamat dari pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan di kepalanya. Doktor yang merawat juga terkejut dengan keadaan Afrizal yang lebih baik kini berbanding sebelum pembedahan dilakukan. Cuma pergerakan Afrizal agak terbatas kerana keadaan kakinya masih belum mampu bergerak seperti dahulu. Pelbagai terapi dilakukan untuk memulihkan semula sistem tubuh Afrizal.

Hampir tiga bulan Afrizal tinggal di hospital dan seperti sudah menjadi rumah kedua bagi Azila yang terpaksa berulang-alik setiap hari untuk menjaga suaminya. Segala keperluan lelaki itu terpaksa diuruskan sendiri. Dan kini perbelanjaannya semakin bertambah kerana terpaksa membeli susu khas serta lampin pakai buang buat Afrizal. Bukan itu sahaja, termasuklah keperluan kedua anaknya yang masih kecil serta bil-bil yang berkaitan dengan pengurusan di rumah. Dalam masa yang sama, dia bersyukur kerana kereta milik suaminya itu tidak perlu lagi dibayar kerana semuanya telah diuruskan oleh Afrizal sebelum sakit lagi. Dengan upah yang dimiliki dari kerja menjahit dan membantu jirannya membuat kuih itulah yang menampungnya kini. Simpanan suaminya yang masih berbaki sedikit pula hanya digunakan untuk keperluan perubatan Afrizal. Pelbagai jenis rawatan lagi yang perlu dijalani oleh suaminya itu untuk kembali sihat seperti sediakala.

“Ila nak pergi mana kemas-kemas ni?” tanya Afrizal yang leka memerhatikan isterinya memasukkan semua bajunya ke dalam beg pakaian.

“Kita dah boleh balik hari ni. Abang kata nak balik rumah jumpa anak-anak kan?” kata Azila ceria. Jika diikutkan keadaan suaminya, doktor masih belum membenarkan Afrizal pulang ke rumah. Tetapi atas perbincangannya bersama Doktor Kamal tadi, lelaki itu membenarkannya. Cuma dalam seminggu, Azila perlu membawa suaminya itu membuat pemeriksaan sebanyak dua kali selain menjalani terapi dengan lebih kerap agar Afrizal dapat kembali berjalan semula.

Afrizal tersenyum tawar. Entah kenapa hatinya tidak segembira mana apabila mendapat tahu dia sudah dibenarkan keluar daripada hospital.

“Abang… kenapa muka macam tu? Kan kita nak balik rumah. Abang tak suka ke?” tanya Azila lembut seraya melabuhkan duduk di sisi suaminya yang duduk bersandar di kepala katil.

“Lepas ni abang kena susahkan Ila lagi kan…” tutur Afrizal dengan senyuman pahitnya. Itu hakikat yang harus diterima kini. Dia tidak mampu lagi bergerak aktif seperti dahulu.

“Siapa lagi nak jaga abang kalau bukan Ila? Ila kan isteri abang.” Balas Azila dengan senyuman manis. Di redha dengan apa yang berlaku.

“Dah siap semua?” muncul satu suara dari celah pintu menyapa.

“Ayah.. Sikit lagi ayah.” Jawab Azila yang menyambung semula melipat baju-baju suaminya masuk ke dalam beg pakaian.

Encik Hamid terus membantu mengemaskan barang keperluan lain.

“Terima kasih ayah… buat susah-susah aja.” Ucap Afrizal dengan suara yang tertahan. Keluarga mertuanya terlalu baik melayannya selama ini. Malah sedikit pun tidak berungut apabila Azila terpaksa bersusah-payah menjaganya sepanjang dia sakit.

“Takda apa yang susahnya Rizal. Kalau ayah yang sakit, mesti kamu tolong ayah jugak kan?” jawab Encik Hamid dengan senyuman terukir di bibir tuanya.

Sekali lagi Afrizal tersenyum tawar. Entah kenapa hatinya benar-benar tersentuh dengan keluhuran keluarga isterinya. Mahupun mereka bukanlah dalam kalangan yang berada, tetapi aura kebahagiaannya amat terasa.

.........................
maaf, belum lagi habis. ada sikit lagi..tak sempat siapkan.. huu

11 comments:

Anonymous said...

sedih baca cerita ni.. realiti kehidupan.. nak tahu sejauh mana keikhlasan seseorang, lihatlah sewaktu kita.. siapa yg dismping kita itu lah yg paling ikhlas..

Unknown said...

sedih + terharu bca cerita ni..terharu sebab azila sntiasa tabah... sedih pulak sebab ada jugak keluarga yg tak ambik berat.

Anonymous said...

Sdh sgt2 cite ni... :'(

mizz acu said...

Hhuhuhhu sedihhhhh.. Harap rizal ok :(

ciknie said...

x baik tol la fmly dia,time snang mcm2 mntak ble da susah mcm nie smua lari..time nie leh nilai mna yg ikhlas adik bradik pn xleh hrap..sbar je ila

Anonymous said...

kenapa saya rasa macam Azila tu pergi dulu sebelum Rizal eh? errr... harap2 ni perasaan saya je kut, hehe
citer ni sangat sedih, memang betul2 cekal si Azila ni

MaY_LiN said...

arsha..
nape sedih sangat ni..
nak hepi ending ya..
hope sume nye berjalan lancar

arsha..mulang tu pe dia..?

Anonymous said...

huhu..sggh sedeh skali.. tharu tgk ila jge rizal dgn baek..hehee... hope dpt wat ending y baek.. x mo kasi bnjir tau cik writer..hehe..^_^

mila said...

adusss sedih nya, meleleh leleh air mata ku...harap rizal hargai sgt isteri dia & bagi pengajaran sikit kat keluarga dia yg sombong tu...

Kak Sue said...

Biarlah Afrizal sihat demi anak-anak dan isteri.... Azila kuatkan semangat demi suami tercinta..... boleh mengalirkan air mata baca cerita ni..... sedih

kak min said...

Sedih crita ni.. Tp bnyk pengajarn. Mmg ada trjd ksh sbgni.. Hrp kita jdkn ikhtibr n brsyukur krn Allah membrikn kita kluarga n kluarga mertua yg alhamdulilah, baik. Kpd yg menempuh kjdian spt ini.. Brsbr n brdoa.. Jd kn ksh Azila nh sbg tauladan.