Azila memandang lagi ke kaunter
pendaftaran. Hampir lima jam dia menanti di situ semata-mata untuk menunggu
temujanji yang telah dibuat pada minggu lepas. Mengikut perancangan awal,
temujanji itu sebenarnya pada pukul 9 pagi. Namun, nama suaminya tetap juga
tidak dipanggil-panggil. Bukan dia tidak boleh bersabar. Tetapi apabila melihat
suaminya yang seperti sudah kehilangan tenaga hingga kepalanya tidak lagi mampu
ditegakkan ketika duduk di kerusi roda itu, dia semakin hilang sabar. Tidak
sampai hati melihat suaminya begitu. Tambahan pula waktu makan tengah hari
sudah pun lepas.
Tanpa niat mahu mengamuk tidak
tentu pasal, Azila pergi lagi ke kaunter pendaftaran itu untuk bertanya buat
kali ketiga memandangkan awal tadi dua jururawat yang bertugas di situ
menyatakan doktor yang ingin ditemui tiba lewat. Kali ini, dia tidak lagi mampu
bersabar apabila melihat wajah suaminya yang kian pucat semakin tidak bermaya
hingga tertidur di atas kerusi roda itu.
“Cik, berapa lama lagi saya kena
tunggu?” soal Azila dengan suara yang tertahan. Kalau boleh, dia tidak mahu
meninggikan suara. Rasa hormat masih ada dalam dirinya.
“Maaf Puan, Doktor Kamal dia
tidak sampai lagi. Dia ada kerja dekat HKL.” Jawab gadis muda bertudung.
“Habis tu, berapa lama saya nak
tunggu ni? Appointment saya pukul 9.
Sekarang dekat pukul 2. Dah lama saya tunggu dekat sini. Suami saya tu sakit
macam tu, takkan nak saya tunggu lagi?”kata Azila mula menghamburkan rasa
tidak puas hatinya selepas mendengar alasan yang diberi oleh gadis muda itu.
“Puan, kami tak boleh buat
apa-apa Puan.” Sahut seorang lagi gadis muda tidak bertudung yang turut sama
duduk di kaunter itu.
“Dari pagi suami saya tunggu
macam tu cik. Makan pun belum. Sekarang nak saya tunggu lagi? Lagi berapa lama
suami saya nak tunggu? Cik tahu tak dia sakit? Saya takpa lagi nak tunggu.
Suami saya tak larat dah nak tunggu lagi.” Kata Azila lagi sambil menunjuk ke
arah suaminya yang sudah lena. Dalam masa yang sama, dia perasan ada mata-mata
yang sudah memandang ke arahnya kerana suaranya sudah dapat didengari oleh
semua pesakit yang tunggu giliran yang sama juga.
Kedua jururawat yang bertugas
berpandangan antara satu lain selepas melihat keadaan Afrizal yang semakin
tidak bermaya.
“Macam ni la Puan. Kita bawak
suami Puan masuk wad dulu sementara tunggu doktor.” Putus gadis muda bertudung.
Azila merengus halus. Geram
dengan tindakan lambat pihak hospital sedangkan suaminya duduk paling hampir
dengan kaunter pendaftaran itu tadi.
Kemudian datang seorang jururawat
lain untuk menolak Afrizal masuk ke bilik rawatan sementara menanti. Azila
hanya menuruti dengan perasaan yang berbuku marah. Di situ Afrizal dimasukkan
air kerana tubuhnya tidak lagi bermaya sementara menunggu doktor tiba.
“Puan, saya rasa elok Puan pergi
makan dulu. Suami Puan biar dekat sini. Lagipun dia tengah tidur ni.” Ujar
jururawat yang membawa suaminya itu tadi selepas Afrizal sudah pun terbaring di
atas katil.
“Takpalah cik. Terima kasih. Saya
nak tunggu suami saya.” Balas Azila tidak setegang tadi. Seleranya terus mati
apabila melihat keadaan suaminya yang semakin tenat itu.
Selepas rawatan kedua yang
dilakukan oleh Ustaz Zaid bersama keluarga suaminya itu minggu lepas, Afrizal
dilihat semakin lemah walaupun menurut Ustaz Zaid, segala gangguan yang berpunca
dari milik keluarga itu sendiri sudah dipisahkan. Sepnajang proses rawatan
dilakukan, dia agak terkejut apabila ibu mertuanya menerangkan tentang saka
milik keluarganya yang terdahulu. Disebabkan tiada siapa yang mahu ‘memiliki’
warisan tersebut, ianya telah mengganggu salah seorang daripada anak-anaknya.
Dan mangsanya adalah Afrizal. Kerana di antara adik-beradik suaminya, Afrizal
merupakan seorang yang agak lemah semangat dalamannya menyebabkan, ‘benda’ itu
lebih mudah mendampingi. Ibu mertuanya sendiri tidak menyangka perkara itu
boleh berlaku kerana beranggapan ‘benda’ itu sudah pun menjauhi keluarganya.
Dan kini, Afrizal terpaksa menanggung segala-galanya.
Menurut Ustaz Zaid juga ‘benda’
yang dimaksudkan itu sebenarnya tidak jauh dari keluarga Afrizal. Walaupun
ianya sudah dinyahkan dari tubuh suaminya, ‘benda’ itu masih tetap ada. Dan
semua ahli keluarga diminta sentiasa berjaga-jaga selain mengamalkan membaca
ayat-ayat al-quran yang diajarkan oleh Ustaz Zaid.
Kini, dia hanya mampu menanti
keputusan dari ujian yang akan dijalankan. Atas nasihat Ustaz Zaid jugalah dia
membawa suaminya kembali ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut. Kali ini
dia benar-benar risau dengan keadaan Afrizal. Sejak seminggu lalu tiada lagi
sebiji nasi pun yang masuk ke dalam perut itu. Hanya susu dan air sahaja.
Itupun tidak pernah habis segelas. Selebihnya Afrizal hanya tidur. Bercakap pun
seperti sudah tidak mahu lagi.
Selepas hampir dua jam menunggu,
baharu datang seorang doktor menghampiri katil. Bukan doktor yang dinanti.
Sebaliknya seorang doktor perempuan dan merupakan pelatih dalam bidang yang
sama. Manis bertudung tersenyum kepadanya.
“Puan, saya gantikan Doktor Kamal
sekejap sebab dia dalam perjalanan ke sini. Kerja dia habis lambat. Maaf ya
Puan.” Tutur doktor muda itu lembut.
“Takpalah. Apa yang saya boleh
buat kan?” balas Azila dengan suara yang mengendur. Redha dengan ujian yang
sedang menantinya. Apa-apa pun, dia tetap yakin dengan kebolehan doktor muda
itu untuk menjalankan pemeriksaan lanjut kepada suaminya.
“Puan, erm.. hari tu Encik
Afrizal dah buat CT scan?” tanya doktor muda bernama Syakira seperti yang
tertulis pada tag nama jubah putih yang dipakai. Doktor itu bertanya setelah
melihat fail laporan pesakit di atas meja yang diletakkan oleh jururawat tadi.
“Dah buat sekali hari tu.” Jawab
Azila jujur.
“Erm, maknanya appointment Puan hari ni untuk apa ya?”
tanya doktor muda itu lagi.
“Sebenarnya kalau boleh saya nak
doktor buat lagi CT Scan pada suami saya. Sebab dia jadi macam sebelum ni
semula. Lepas buat CT scan dulu, Doktor Kamal kata takda apa-apa. Dia jugak suruh
saya guna perubatan alternatif. Saya dah buat guna rawatan alternatif tu. Suami
saya sihat dalam dua tiga hari aja. Lepas tu, jadi semula. Itu yang saya datang
untuk buat ujian tu sekali lagi.” Terang Azila akan tujuan utama dia datang
membuat temujanji dengan doktor yang merawat suaminya dahulu.
“Puan tunggu sekejap dekat sini.
Saya nak call Doktor Kamal buat confirmation.” Kata doktor muda itu
sebelum keluar dari bilik khas yang menempatkan suaminya.
Selepas setengah jam menanti,
doktor muda itu datang bersama doktor yang dinanti sejak awal pagi tadi.
“Assalamualaikum Puan. Apa
khabar?” ramah Doktor Kamal menegur.
Azila hanya tersenyum nipis.
Doktor Kamal memang peramah orangnya.
“Saya mintak maaf banyak-banyak
Puan.” Ucap Doktor Kamal yang memang kelihatan sudah berumur itu kepada Azila.
“Takpa Doktor. Saya tahu doktor
sibuk.” Jawab Azila seadanya. Dalam masa yang sama, dilihat Doktor Kamal terus
membuat pemeriksaan ke atas suaminya sambil diperhatikan oleh doktor muda tadi.
“Puan, macam ni.. Sebenarnya
pihak kami tak boleh nak buat ujian yang sama pada suami puan lagi sebab kita
dah buat ujian tu secara percuma sebelum ini. Kalau nak buat jugak, pihak kami
akan kenakan bayaran Puan.” Tutur Doktor Kamal selepas memeriksa tubuh Afrizal
yang sedang lena.
Azila sudah mula berasa tidak
senang sebaik mendengar penerangan Doktor Kamal. Sebenarnya dia sudah dapat
meneka sejak awal lagi perkara itu akan berlaku memandangkan ada salah seorang
daripada jirannya yang bertugas sebagai jururawat memaklumkan perkara yang
sama.
“Erm… macam mana saya nak buat
lagi doktor? Kalau doktor buat aja ujian tu tak boleh ke?” tanya Azila mencuba
nasib.
“Saya mintak maaf Puan. Memang
macam tu prosedurnya. Saya kena ikut prosedur yang ada Puan.” Jawab Doktor
Kamal yang turut bersimpati dengan keadaan Azila. Dia tahu bagaimana keadaan
kewangan yang ditanggung oleh Azila sebelum ini. Ibu muda itu tidak mempunyai
pendapatan yang tetap.
Azila seperti ingin menitiskan
airmata mendengar jawapan daripada Doktor Kamal. Dia tahu kos yang diperlukan
untuk menjalani rawatan itu memerlukan bayaran yang banyak bagi dirinya yang
tidak berkemampuan itu.
“Doktor tolonglah saya doktor.
Kalau suami saya tak sakit, mesti dia dah sihat doktor. Tapi.. bila jadi macam
ni semula, saya tahu dia sakit doktor. Tolonglah saya doktor.” Rayu Azila yang
menahan airmatanya dari gugur.
“Erm.. macam ni la Puan. Saya
boleh tolong Puan untuk buat rayuan. Tapi saya tak dapat nak jamin boleh lulus
atau tidak sebab ni untuk ujian yang kali kedua. Cuma buat masa ni, saya kena
tahan suami Puan dulu sebab badan dia terlalu lemah.” Putus Doktor Kamal
akhirnya. Dia tidak sampai hati menghampakan ibu muda itu kerana juga yakin
yang Afrizal mengalami masalah yang agak berat hingga menyebabkan tubuh itu
terlalu kurus serta tidak mampu lagi berjalan seperti biasa. Sebelum ini dia
juga pernah berjumpa dengan keluarga pesakit yang tidak berkemampuan seperti
Azila. Sedaya upaya dia akan membantu apa yang terdaya.
“Terima kasih. Terima kasih
banyak-banyak sebab sudi tolong saya dengan suami.” Ucap Azila dengan perasaan
gembira yang tidak terhingga. Dalam hati dia berharap permohonannya nanti akan
diluluskan. Jika permohonannya nanti akan menyebabkan dia terpaksa membayar setengah
daripada kos yang diperlukan juga, dia tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya kos
yang perlu ditanggung nanti tidak terlalu banyak. Dia akan berusaha mengumpul
duit untuk membiayai kos rawatan itu nanti.
************
Siang malam Azila tidak henti
berdoa agar rayuan untuk menjalankan rawatan lanjut ke atas suaminya dapat
diluluskan. Dan hasilnya, dia amat terharu apabila pihak hospital
menghubunginya untuk mengesahkan permohonan rayuannya diluluskan selepas
seminggu menanti. Kini dia sedang sabar menunggu keputusan daripada ujian yang
dilakukan ke atas diri suaminya.
Sebelum ujian dilakukan, sudah
berkali-kali dia mengingatkan diri agar tenang menerima sebarang keputusannya
nanti. Tidak putus dia berdoa agar suaminya tidak mengalami sebarang masalah
berat hingga boleh memudaratkan diri dan keluarganya. Dia masih memerlukan
Afrizal untuk menjadi pembimbing dan ayah kepada anak-anaknya yang masih tidak
mengerti apa-apa.
“Ila..” panggil Shafiq yang duduk
selang satu kerusi darinya.
Azila mengukir senyum pahit. Hatinya
berdebar-debar sejak tadi menanti keputusan daripada ujian yang dilakukan.
“Kalau Ila nak solat dulu
pergilah. Abang boleh tunggu dekat sini. Nanti kalau doktor panggil, Abang call Ila cepat-cepat.” Ujar Shafiq yang
juga merupakan abang ipar Azila merangkap sahabat baik Afrizal.
Sepanjang seminggu di hospital,
hanya keluarganya sahaja yang datang melawat Afrizal. Sama seperti sebelum ini.
Adik-beradik suaminya itu langsung tidak datang melawat. Apatah lagi mahu
menjaga. Dialah yang bersusah-payah sendirian.
Azila memandang ke wajah kakaknya
yang duduk di sisinya sejak tadi.
“Jom, kita solat dulu. Biar Abang
Shafiq tunggu sini.” kata Amira sambil memaut bahu adiknya itu.
“Abang nanti cepat-cepat call Ila ya?” sempat Azila berpesan
sebelum bangun. Tanggungjawab yang satu itu tidak akan sesekali ditinggalkan.
Kerana Dia jugalah segala urusannya dipermudahkan sepanjang suaminya terlantar
sakit. Kepada Dia jugalah dia mangadu selama ini.
“Iyalah.” Jawab Shafiq ringkas.
Baharu sahaja Azila dan isterinya
berlalu dari tempat ruang menunggu itu, seorang jururawat keluar dan
mendapatkannya.
“Encik keluarga pesakit Afrizal
Abdul Manaf?” tanya gadis muda itu.
“Iya.. kenapa cik? Result dah keluar ke?” tanya Shafiq
kurang sabar. Dia sendiri sebenarnya berdebar menanti keputusan daripada ujian
yang dijalankan. Entah kenapa kali ini debarnya sedikit berbeza daripada yang
sebelum ini. Dia seperti dapat merasakan ada sesuatu yang akan menimpa
sahabatnya itu.
“Dah keluar. Tapi doktor nak
jumpa isteri pesakit. Dia pergi mana?” tanya gadis itu lagi yang sudah
mengenali Azila kerana dialah yang memantau keadaan Afrizal sepanjang lelaki
itu ditempatkan di unit rawatan rapi.
“Dia ada. Pergi solat sekejap.
Nanti kalau dia sampai, saya bagitahu.” Jawab Shafiq akhirnya. Tahu yang dia tidak
punya hak untuk mengetahui keputusan itu sebelum Azila.
“Terima kasih encik.” Jawab gadis
itu pendek sebelum menghilangkan diri di sebalik pintu bilik rawatan.
Sepuluh minit menanti di situ,
Azila dan isterinya muncul semula di ruang menunggu itu.
“Ila, doktor panggil masuk
dalam.” Ujar Shafiq seraya bingkas. Seperti dia pula yang tidak sabar ingin
mengetahui keputusan ujian yang dilakukan terhadap sahabatnya.
“Akak, abang, Ila masuk dulu.
Nanti apa-apa hal Ila panggil. Abang dengan akak tunggu Ila ya?” kata Azila
dalam debar yang semakin memuncak. Dalam hati tidak henti berdoa agar dia hanya
akan dapat berita yang baik-baik sahaja daripada doktor.
Amira dan Shafiq hanya mampu
mengukir senyum nipis. Mereka sendiri tidak sampai hati untuk meninggalkan
Azila sendirian menguruskan Afrizal di hospital.
…………………
Doktor melekatkan sekeping imej
x-ray bahagian kepala pada skrin putih di hadapannya. Imej seperti itu pernah
dilihatnya sebelum ini ketika Afrizal menjalani ujian yang pertama beberapa
bulan lalu. Cuma kali ini sedikit berbeza.
“Puan, saya harap Puan boleh
bertenang dan bersabar dengan apa yang saya nak cakapkan ni.” Doktor Kamal
memulakan kata sebaik Azila melabuhkan duduk di hadapannya.
“Takpa doktor saya dah sedia.”
Jawab Azila sehabis tenang. Airmatanya juga cuba dikawal dari jatuh. Dari segi
percakapan Doktor Kamal, dia yakin yang Afrizal mempunyai masalah lebih berat.
“Ajal maut semua di tangan tuhan
kan? Saya ni sekadar membantu mana yang termampu..”
“Doktor, boleh tak doktor terus
terang aja dengan saya apa sebenarnya sakit suami saya.” Potong Azila tidak
sabar. Dia tidak mahu mendengar kata-kata yang jelas menunjukkan dia bakal
menghadapi ujian besar. Dia yakin itu dan dia telah bersedia untuk menerima
segala-galanya.
Doktor Kamal menyandarkan
tubuhnya ke kerusi sambil menarik nafas panjang.
“Macam ni Puan. Memang masa kita
buat ujian yang pertama dulu, suami puan memang langsung takda apa-apa sakit.
Semuanya stabil. Cuma kali ni, jauh berbeza dari apa yang saya jangka. Dan saya
sendiri terkejut dengan apa yang saya nampak.” Sambung Doktor Kamal sambil
memandang ke wajah Azila yang mula berubah riak. Jelas kesedihan mula terlukis
di wajah itu sebaik mendengar kata-katanya.
“Ada ketumbuhan dalam otak
sebelah kanan suami puan.” Lanjut Doktor Kamal tenang.
Azila yang mendengar sebaris ayat
itu keluar daripada mulut Doktor Kamal terasa seperti jantungnya berhenti
berdegup. Airmata yang ingin gugur saat itupun masih mampu dikawal.
Doktor Kamal tetap juga beriak
tenang.
“Boleh saya tahu ketumbuhan tu
besar mana doktor?” tanya Azila dengan suara yang tertahan. Dia masih berharap
yang suaminya tidak mengalami keadaan yang lebih buruk dari apa yang
disampaikan oleh Doktor Kamal kepadanya.
“Ketumbuhan tu agak besar Puan.
Besar penumbuk.” Jawab doktor Kamal masih dalam nada yang sama. Saat itu sempat
dia menunjukkan ke arah imej yang ditunjukkan.
“Besar ni ke doktor?” kata Azila
sambil menunjukkan sebelah tangannya yang digenggam kepada Doktor Kamal.
“Bukan besar penumbuk Puan. Besar
penumbuk saya ni.” Jawab Doktor kamal sambil mengepal penumbuknya dan
digabungkan dengan sebelah tangannya lagi. Dua kali ganda dari genggaman tangan
Azila yang tidak sebesar mana.
Azila terkejut. Seperti tidak
percaya dengan apa yang didengarinya. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana
ketumbuhan sebesar itu boleh ada dalam kepala suaminya kerana sebelum ini
ketumbuhan itu langsung tidak kelihatan. Airmata yang ditahan sejak tadi
akhirnya mengalir lesu ke pipi.
“Apa yang saya kena buat doktor?”
soal Azila dengan suara yang mula bergetar. Otaknya gagal berfikir saat itu.
“Kita kena buat pembedahan
secepat mungkin Puan untuk mengelak daripada tumor tu makin besar dan akan
menyukarkan lagi keadaan suami Puan.” Kata Doktor Kamal yang bersimpati melihat
keadaan Azila yang mula teresak-esak menangis.
“Banyakkan bersabar Puan. Saya
akan usaha mana yang mampu untuk tolong suami Puan.” Kata Doktor Kamal
menenangkan. Pada masa yang sama dia sudah menghubungi doktor muda tadi untuk
sama datang ke biliknya itu.
“Tak boleh baik ke doktor?” tanya
Azila dalam esak tangisnya.
“Dengan pembedahan aja Puan yang
kita boleh buat.” Jawab Doktor Kamal.
Azila tidak menjawab. Dia
terus-terusan menangis. Hilang segala semangat yang ditanamkan dalam dirinya
selama ini.
“Lagi satu yang Puan perlu tahu.
Peluang untuk operation ni hanya 50-50.
Tapi tu semua dalam jangkaan saya aja Puan. Semuanya terpulang pada Dia semula.”
Sambung Doktor Kamal dengan kawalan suara yang cukup baik. Hal hidup mati
seorang pesakit memang tidak berani dipersoalkan lebih. Semuanya di tangan yang
maha Esa.
Azila masih dalam keadaan yang
sama malah bertambah luluh hatinya mendengar peratusan daripada pembedahan yang
akan dilakukan.
“Semua keputusan terpulang kepada
Puan sekarang ni. Kalau Puan setuju, kita boleh selesaikan semua urusannya hari
ni jugak. Cuma saya perlukan tanda tangan daripada waris terdekatnya dan
seorang daripada ahli keluarganya.” Jelas Doktor Kamal mengenai prosedur pembedahan yang perlu dilakukan.
Dalam masa yang sama, doktor muda tadi melangkah masuk ke dalam biliknya.
“Doktor, semua dokumen yang
doktor nak tadi semua dah ada.” Ujar doktor muda itu sambil menghulurkan fail
warna kelabu kepada Doktor Kamal.
Azila masih tetap dalam keadaan
yang sama. Dia langsung tidak mampu bercakap apa. Perasaan malu kerana menangis
di hadapan kedua orang doktor itu tidak lagi dihiraukan. Dia benar-benar sedih
dengan keadaan yang dialami oleh Afrizal.
“Puan, banyakkan bersabar Puan.
Saya tahu bukan senang nak terima semua ni. Tapi saya harap Puan lebih kuat
untuk suami Puan dan anak-anak. Pihak kami boleh buat pembedahan untuk
keluarkan ketumbuhan tu. Cuma saya harap Puan bersedia untuk menerima apa juga
yang berlaku lepas pembedahan tu. Dan sekurang-kurangnya kita akan buat yang
terbaik untuk suami Puan. Semuanya juga bergantung pada kehendak Dia. Kami
hanya boleh berusaha yang terbaik.” Kata doktor muda itu lembut yang sudah
mengambil tempat di sebelah Azila yang masih menangis.
Dalam waktu itu juga dia perasan
kelibat kakaknya masuk ke dalam bilik bersama Shafiq. Terus sahaja dia meluru
memeluk erat tubuh Amira dengan tangisan yang semakin sayu kedengaran.
Amira pula tidak mampu berkata
apa. Dia yakin ada berita buruk yang disampaikan oleh kedua doktor yang ada di
dalam bilik itu. Tambahan pula melihat wajah keruh di kedua wajah.
Shafiq turut terdiam. Hanya
matanya terhala kepada skrin yang terpapar imej otak. Dia yakin ada yang tidak
kena dengan imej itu.
……………………
“Ya Allah… Semua tak boleh datang
kak. Macam mana ni?” keluh Azila sebaik mematikan talian dari bercakap dengan
kesemua adik-beradik suaminya.
Panggilan itu dibuat semata-mata
mahu menyelesaikan urusan pembedahan yang akan dilakukan ke atas suaminya dalam
masa terdekat itu. Surat pengesahan itu memerlukan tandatangan daripada salah
seorang adik-beradik Afrizal. Semuanya menyatakan tidak mempunyai waktu untuk
datang ke hospital saat itu. Ianya menambah lagi kesedihan di hati Azila.
Keluarga suaminya langsung tidak mengambil berat akan keadaan suaminya yang
sedang tenat.
“Akak pun dah tak tahu nak cakap
apa lagi Ila. Kalau Abang Shafiq boleh sign,
Abang Shafiq dah buat. Tak payah nak bagitahu dia orang tu.” Marah Amira yang
turut kecewa dengan apa yang berlaku.
“Erm..biar abang tanya Doktor
Kamal kalau-kalau ayah boleh sign,
kita panggil ayah aja datang sini.” Ujar Shafiq seraya bangun untuk masuk
semula ke bilik Doktor Kamal. Dia sendiri amat berharap agar segala urusan itu
dapat dilakukan dengan lebih cepat.
Azila dan Amira tidak pula
membantah. Mereka hanya memerhati sahaja kelibat Shafiq hilang di sebalik pintu
bilik Doktor Kamal.
Selang beberapa minit, Shafiq
keluar semula. Dengan senyuman nipis yang terukir, menunjukkan urusan mereka
dipermudahkan lagi oleh yang maha Esa. Dengan linangan airmata, Azila terus
menghubungi ayahnya agar segera datang ke hospital untuk menandatangani surat
kebenaran pembedahan itu. Keputusan paling berat yang pernah diambil dalam
hidupnya selama ini apabila ianya melibatkan hidup mati orang tersayang. Dia
tidak akan berputus asa seandainya itu merupakan salah satu cara yang boleh
membuatkan suaminya kembali sihat seperti sedia kala walaupun mempunyai risiko
yang amat tinggi.
***********
Sudah dua minggu Afrizal
terlantar di hospital. Pembedahan masih juga belum dijalankan kerana keadaan
diri Afrizal yang tidak mengizinkan. Tubuh itu terlalu lemah. Sepanjang tempoh
itu jugalah Azila menghadiri sesi kaunseling yang telah diaturkan oleh pihak
hospital bagi setiap ahli keluarga pesakit kanser seperti Afrizal. Semuanya
sebagai persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan bagi berhadapan dengan pesakit
kanser.
“Ila…” panggil Afrizal dengan
suara yang serak. Baharu hari itu dia mampu bersuara sedikit kuat. Jika tidak,
suaranya seperti terkepung di kerongkong sahaja.
“Abang…” sahut Azila dengan
senyuman manis. Dia setia menanti suaminya di situ sepanjang berada di hospital.
Cuma pada waktu malam sahaja dia tidak bermalam di situ kerana Afrizal di dalam
kawal rapi oleh jururawat yang bertugas.
“Abang nak makan?” tanya Azila
lembut seraya mengeluarkan bubur nasi yang dibawa dari rumah.
Afrizal cuba mengukir senyum buat
isterinya. Dia cukup terharu dengan apa yang dilakukan oleh isterinya selama
ini. Wanita itu sudah telalu banyak bersusah payah kerana dirinya. Kini segala
keperluan hariannya diuruskan oleh Azila kerana dia tidak lagi mampu untuk
berbuat demikian. Dengan denyutan di kepala yang kerap menyerang menyebabkan di
tidak boleh bergerak aktif. Malah untuk mencuci najisnya sendiri dia tidak
mampu. Segalanya diuruskan oleh Azila. Terlalu besar pengorbanan yang dilakukan
oleh isterinya itu buat dirinya hingga dirasakan tidak mampu dibalas.
“Assalamualaikum.” Ucap satu
suara yang baru masuk ke dalam bilik. Amira bersama Shafiq baru sahaja tiba
memandangkan ketika itu waktu melawat.
Afrizal seperti ingin menangis
apabila melihat kedua wajah itu. Dua wajah itulah hari-hari yang dilihatnya
sepanjang dia berada di hospital. Dia tidak pernah melihat wajah
adik-beradiknya yang lain datang melawat melainkan adik-beradik sebelah
isterinya. Hanya sekali dia dapat bertemu dengan ibunya. Itupun atas usaha
isterinya yang menjemput di rumah kakak sulungnya.
“Ila dah makan? Akak ada bawak
nasi ni.” Ujar Amira sambil melabuhkan duduk di kerusi Azila tadi sementara
wanita itu pergi mencuci tangan di singki yang disediakan. Kebersihan amat
perlu dititik beratkan sepanjang waktu demi memastikan kesihatan Afrizal lebih
terjaga.
“Belum kak.” jawab Azila dengan
senyuman tawar. Sejak mengetahui penyakit yang dialami oleh Afrizal, dia tidak
lagi berselera makan. Makan hanya bila perutnya benar-benar terasa lapar.
“Ila makanlah dulu. Biar akak
suapkan Rizal makan.” Amira menawarkan diri untuk membantu.
“Er..takpalah kak. Biar saya
tunggu Ila makan.” jawab Afrizal lambat. Terasa malu dengan kakak iparnya itu
walaupun sebelum ini mereka memang mesra kerana Shafiq sahabat baiknya.
“Makan ajalah bro. Apa salahnya.
Sama aja. Kau janganlah risau. Aku takkan jealous
punya.” Celah Shafiq yang cuba bergurau. Dia yang duduk di hujung kaki Afrizal
sempat melekapkan tapak tangannya di kedua belah kaki sahabatnya itu yang sudah
lama tidak menjejak tanah. Afrizal seperti hilang upaya untuk berjalan semenjak
sakit.
Afrizal tersenyum kecil mendengar
kata-kata usikan sahabatnya itu. Airmatanya sekali lagi ingin menitis apabila
memikirkan keperihatinan lebih pasangan itu terhadapnya sepanjang dia terlantar
sakit berbanding ahli keluarganya sendiri.
Ketika itu jugalah pintu biliknya
terkuak dari luar. Wajah kakak sulungnya muncul dari celah pintu.
“Kaklong.” Tutur Afrizal yang
sedikit gembira dengan kedatangan kakak sulungnya. Pertama kali dia melihat
wajah kakak sulungnya muncul sepanjang dia berada di hospital.
“Rizal macam mana? Sihat?” tanya Azrina
seraya bersalaman dengan Azila dan Amira.
“Alhamdulillah. Baik sikit dari
hari tu.” Jawab Azila mesra.
“Kaklong tak boleh lama ni
sebenarnya Rizal. Anak-anak tinggal dekat rumah dengan mak. Abang Long pun
tunggu dekat bawah tu.” Ujar Azrina yang jelas tidak mahu berlamaan di situ.
“Abang Long tak naik kak?” tanya
Azila yang cuba mengajak kakak iparnya itu berbual mesra walaupun sedar akan
kedinginan Azrina melayannya.
“Tak. Akak dengan abang nak cepat
ni. Kami ada hal lain lagi lepas ni.” Jawab Azrina yang sudah mengambil tempat
Amira apabila wanita itu memberi ruang kepada Azrina untuk merapati Afrizal.
“Mak sihat kak?” tanya Afrizal
dengan suara yang perlahan.
“Sihat. Kau tak payahlah risau
pasal mak. Tahulah akak nak jaga macam mana.” Jawab Azrina mendatar seraya
mengeluarkan telefon bimbit yang berbunyi dari dalam beg tangannya.
“Akak kena balik dululah Rizal.
Abang Long dah SMS akak suruh turun. Lain kali akak datang lagi okey?” ujar Azrina
seraya bingkas dan terus bersalaman dengan Amira serta Azila.
Azila tidak dapat berkata apa
lagi. Tidak mampu untuk menghalang. Amira yang memerhati dari sudah
menggelengkan kepala. Langsung tidak menyukai tindakan kakak sulung Afrizal
yang langsung tidak menghiraukan keadaan Afrizal.
“Sabarlah Zal. Agaknya dia
sibuk.” Celah Shafiq sambil mengurut perlahan kaki sahabatnya itu. Dia perasan
riak wajah sahabatnya yang agak keruh.
“Sudahlah tu Zal. Sini akak
suapkan makan. Ila, makan nasi tu dulu.” kata Amira lalu mengambil tempatnya
semula di sisi Afrizal.
“Kau kena makan Zal. Jangan tak
makan. Kalau tak, macam mana nak cepat sihat. Kesian anak-anak kau Zal. Selalu
tanya pasal kau.” Omel Amira lagi sambil menyudu bubur nasi ke mulut Afrizal.
Afrizal pula dalam tidak mahu
terpaksa membuka mulut. Tidak sampai hati untuk menolak. Memang perutnya terasa
lapar. Tetapi apabila mengenang kembali perangai kakak sulungnya tadi, terus
hilang seleranya. Dia malu dengan keluarga isterinya itu. Dia mampu bertahan
hingga ke hari ini pun hanyalah semata-mata kerana Azila dan anak-anak. Mereka
bertigalah semangatnya kini kerana ahli keluarganya kini seakan-akan tidak lagi
mempedulikan dirinya.
***********
Sekali lagi nasib masih menyebelahi
Afrizal. Dia terselamat dari pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan di
kepalanya. Doktor yang merawat juga terkejut dengan keadaan Afrizal yang lebih
baik kini berbanding sebelum pembedahan dilakukan. Cuma pergerakan Afrizal agak
terbatas kerana keadaan kakinya masih belum mampu bergerak seperti dahulu.
Pelbagai terapi dilakukan untuk memulihkan semula sistem tubuh Afrizal.
Hampir tiga bulan Afrizal tinggal
di hospital dan seperti sudah menjadi rumah kedua bagi Azila yang terpaksa
berulang-alik setiap hari untuk menjaga suaminya. Segala keperluan lelaki itu
terpaksa diuruskan sendiri. Dan kini perbelanjaannya semakin bertambah kerana
terpaksa membeli susu khas serta lampin pakai buang buat Afrizal. Bukan itu
sahaja, termasuklah keperluan kedua anaknya yang masih kecil serta bil-bil yang
berkaitan dengan pengurusan di rumah. Dalam masa yang sama, dia bersyukur
kerana kereta milik suaminya itu tidak perlu lagi dibayar kerana semuanya telah
diuruskan oleh Afrizal sebelum sakit lagi. Dengan upah yang dimiliki dari kerja
menjahit dan membantu jirannya membuat kuih itulah yang menampungnya kini.
Simpanan suaminya yang masih berbaki sedikit pula hanya digunakan untuk
keperluan perubatan Afrizal. Pelbagai jenis rawatan lagi yang perlu dijalani
oleh suaminya itu untuk kembali sihat seperti sediakala.
“Ila nak pergi mana kemas-kemas
ni?” tanya Afrizal yang leka memerhatikan isterinya memasukkan semua bajunya ke
dalam beg pakaian.
“Kita dah boleh balik hari ni.
Abang kata nak balik rumah jumpa anak-anak kan?” kata Azila ceria. Jika
diikutkan keadaan suaminya, doktor masih belum membenarkan Afrizal pulang ke
rumah. Tetapi atas perbincangannya bersama Doktor Kamal tadi, lelaki itu
membenarkannya. Cuma dalam seminggu, Azila perlu membawa suaminya itu membuat
pemeriksaan sebanyak dua kali selain menjalani terapi dengan lebih kerap agar
Afrizal dapat kembali berjalan semula.
Afrizal tersenyum tawar. Entah
kenapa hatinya tidak segembira mana apabila mendapat tahu dia sudah dibenarkan
keluar daripada hospital.
“Abang… kenapa muka macam tu? Kan
kita nak balik rumah. Abang tak suka ke?” tanya Azila lembut seraya melabuhkan
duduk di sisi suaminya yang duduk bersandar di kepala katil.
“Lepas ni abang kena susahkan Ila
lagi kan…” tutur Afrizal dengan senyuman pahitnya. Itu hakikat yang harus
diterima kini. Dia tidak mampu lagi bergerak aktif seperti dahulu.
“Siapa lagi nak jaga abang kalau
bukan Ila? Ila kan isteri abang.” Balas Azila dengan senyuman manis. Di redha
dengan apa yang berlaku.
“Dah siap semua?” muncul satu
suara dari celah pintu menyapa.
“Ayah.. Sikit lagi ayah.” Jawab
Azila yang menyambung semula melipat baju-baju suaminya masuk ke dalam beg
pakaian.
Encik Hamid terus membantu
mengemaskan barang keperluan lain.
“Terima kasih ayah… buat
susah-susah aja.” Ucap Afrizal dengan suara yang tertahan. Keluarga mertuanya
terlalu baik melayannya selama ini. Malah sedikit pun tidak berungut apabila
Azila terpaksa bersusah-payah menjaganya sepanjang dia sakit.
“Takda apa yang susahnya Rizal.
Kalau ayah yang sakit, mesti kamu tolong ayah jugak kan?” jawab Encik Hamid
dengan senyuman terukir di bibir tuanya.
Sekali lagi Afrizal tersenyum
tawar. Entah kenapa hatinya benar-benar tersentuh dengan keluhuran keluarga
isterinya. Mahupun mereka bukanlah dalam kalangan yang berada, tetapi aura
kebahagiaannya amat terasa.
.........................
maaf, belum lagi habis. ada sikit lagi..tak sempat siapkan.. huu
11 comments:
sedih baca cerita ni.. realiti kehidupan.. nak tahu sejauh mana keikhlasan seseorang, lihatlah sewaktu kita.. siapa yg dismping kita itu lah yg paling ikhlas..
sedih + terharu bca cerita ni..terharu sebab azila sntiasa tabah... sedih pulak sebab ada jugak keluarga yg tak ambik berat.
Sdh sgt2 cite ni... :'(
Hhuhuhhu sedihhhhh.. Harap rizal ok :(
x baik tol la fmly dia,time snang mcm2 mntak ble da susah mcm nie smua lari..time nie leh nilai mna yg ikhlas adik bradik pn xleh hrap..sbar je ila
kenapa saya rasa macam Azila tu pergi dulu sebelum Rizal eh? errr... harap2 ni perasaan saya je kut, hehe
citer ni sangat sedih, memang betul2 cekal si Azila ni
arsha..
nape sedih sangat ni..
nak hepi ending ya..
hope sume nye berjalan lancar
arsha..mulang tu pe dia..?
huhu..sggh sedeh skali.. tharu tgk ila jge rizal dgn baek..hehee... hope dpt wat ending y baek.. x mo kasi bnjir tau cik writer..hehe..^_^
adusss sedih nya, meleleh leleh air mata ku...harap rizal hargai sgt isteri dia & bagi pengajaran sikit kat keluarga dia yg sombong tu...
Biarlah Afrizal sihat demi anak-anak dan isteri.... Azila kuatkan semangat demi suami tercinta..... boleh mengalirkan air mata baca cerita ni..... sedih
Sedih crita ni.. Tp bnyk pengajarn. Mmg ada trjd ksh sbgni.. Hrp kita jdkn ikhtibr n brsyukur krn Allah membrikn kita kluarga n kluarga mertua yg alhamdulilah, baik. Kpd yg menempuh kjdian spt ini.. Brsbr n brdoa.. Jd kn ksh Azila nh sbg tauladan.
Post a Comment