Sep 7, 2012

Jangan tak mungkin_part 2

~maaf lambat. :(

---------

Jangan tak mungkin_part 2

“Ma, lunch tadi Shah jumpa Azam. Dia kirim salam dengan mama. Dia kata lauk yang mama masak semuanya sedap.” ujar Shahimi sebaik melabuhkan duduk di sisi Puan Shima.

“Waalaikumussalam.” balas Puan Shima sepatah beserta senyuman manis menghiasi bibirnya mendengar kata pujian yang disampaikan oleh anak sulungnya itu.  Mata masih tetap menatap skrin 42 inci yang terpasang. Slot samarinda memang menjadi pilihannya hingga tidak dibenarkan sesiapa pun yang mengganggu jika dia sedang menonton.

“Bila masanya mama hantar lauk dekat rumah dia? Shah tak tahu pun.” tanya Shahimi lagi seraya menarik tali leher yang sudah dirungkaikan ikatannya dari koler baju kemeja yang dipakai. Dia agak lewat tiba di rumah kerana mempunyai urusan di luar selepas bertemu dengan Azam tengah hari tadi.

“Hari-hari.” jawab Puan Shima selamba sebelum menoleh sekilas ke arah anak sulungnya yang jelas keletihan.

“Hari-hari?” Shahimi pelik.

Puan Shima hanya menganggukkan kepala kerana dia sedang khusyuk menonton.

Shahimi mengukir senyum melihat mamanya yang terlalu asyik dengan cerita kegemarannya. Melihat mamanya keseorangan di waktu begitu, dia tahu ayahnya pula mesti banyak menghabiskan masa dengan membaca di dalam bilik.

“Abang.. dah lama ke sampai?” sapa Ada yang baharu keluar dari ruang dapur terus melabuhkan duduk di sofa kosong.

“Baru aja.” Jawab Shahimi pendek sambil memicit belakang tengkuknya yang terasa tegang.

“Dik, lauk apa ada. Abang belum makan la..” ujar Shahimi sambil memandang ke wajah adiknya mohon simpati.

Ada pula menjuihkan bibir. Cukup faham apabila Shahimi membuat mimik muka begitu.

“Ada dah panaskan semua lauk. Tinggal makan aja dekat atas meja tu.” Jawab Ada sambil mulut dimuncungkan ke ruang makan. Tahu yang abangnya akan tiba lewat malam itu.

“Sayang lebihlah macam ni.” Jawab Shahimi dengan senyuman lebar sebelum bingkas bangun. Ada juga turut sama bangun.

“Bau sedap aja ni. Kau tengah masak apa dekat dapur tu.” Tanya Shahimi sebaik melabuhkan duduk di meja makan.

“Kek.” Jawab Ada sepatah sambil menghulurkan bekas air cuci tangan kepada abangnya. Dia senang melakukan semuanya walaupun tanpa dipinta.

“Kek apa?”

“Coklat.”

Confirm sedap.” Balas Shahimi memuji.

“Iyalah tu..” balas Ada malas. Mencebik!

Dia faham sangat dengan taktik abangnya apabila memuji masakannya. Semuanya sekadar ingin mengambil hati kerana dia sudah menyediakan segala-galanya untuk makan malam itu. Jika tidak, lelaki itulah pengkritik tegar untuk semua jenis makanan yang dimasak.

Shahimi tersengih sebelum membaca doa makan. Lauk yang tersedia di hadapan mata memang benar-benar membuka seleranya.

Ada pula terus masuk ke ruang dapur apabila dirasakan tempoh masak kek coklat yang dibakar tadi sudah pun cukup.

“Bang, Ada nak tanya sikit boleh?” Ada mengajukan soalan sebaik dia kembali semula ke ruang makan selepas mengeluarkan kek yang sudah siap dibakar dari dalam ketuhar.

“Nak tanya apa? Nak kerja? Kalau nak kerja, esok ikut abang masuk office.” Jawab Shahimi terus dengan sengihan lebar di bibir.

“Apa abang ni. Orang belum lagi tanya, dia dah jawab sendiri.” Gerutu Ada geram. Abangnya memang selalu begitu. Kurang sabar!

“Iyalah iyalah. Apa dia?” Shahimi akhirnya mengalah sebelum menyuap masuk nasi ke dalam mulut dan dikunyah perlahan.

“Ada nak tanya pasal anak Uncle Zakuan.” Ujar Ada sambil menuangkan air kosong ke dalam gelas di hadapan Shahimi.

“Hah. Ni kenapa tanya pasal anak teruna orang pulak ni? Ada hati nak merisik anak teruna Uncle Zakuan ke?” usik Shahimi sambil tersengih dengan kening sebelah dijungkitkan.

Ada menjuihkan bibir. Tahu yang abangnya itu akan cuba mencari bahan untuk mengenakannya.

“Abang jangan nak fikir yang bukan-bukan eh. Ada takdalah terdesak sangat sampai nakkan anak Uncle Zakuan tu. Dah la suka mengamuk, marah-marah maid sampai maid lari. Ada tak heranlah kalau tak dapat langsung pun!” Balas Ada dengan geram. Tajam matanya menjeling Shahimi yang duduk bertetangan dengannya sedang ketawa.

“Alah.. nak gurau sikit pun tak boleh. Erm.. apa yang Ada nak tahu?” soal Shahimi kembali dalam sisa tawa. Semenjak adiknya tu kembali duduk bersama, riuh rumah dengan suara mereka bertekak walaupun hanya kerana hal remeh. Sudah menjadi kewajipan pula apabila setiap pulang dari kerja, dia akan menyakat adiknya itu.

“Tadi Uncle Zakuan datang jumpa Ada. Anak dia suruh Ada masak hari-hari untuk dia orang. Tapi dia bayarlah nanti.” Jawab Ada dengan wajah yang berkerut.

Petang tadi Encik Zakuan datang bertemu dengannya untuk memulangkan mangkuk tingkat seperti selalu. Tetapi petang tadi kedatangannya ada hajat yang lain. Anaknya mahu membayar perkhidmatannya kerana sanggup memasakkan makanan setiap hari. Malah selepas ini, segala barang masakan akan diuruskan oleh Encik Zakuan dan anaknya. Dia hanya perlu memasak sahaja.

“Hari-hari? Maknanya yang masak selama ni, Ada ke..mama?” soal Shahimi yang tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku tanpa pengetahuannya.

Dia hampir terlupa yang sahabatnya tadi ada bertanya tentang pembantu rumah hingga dia sendiri pelik. Entah dari mana sahabatnya itu dapat tahu yang keluarganya ada pembantu rumah. Selama mereka tinggal di situ, belum pernah mereka menggaji pembantu rumah. Segala kerja rumah dilakukan sendiri oleh mamanya.

“Haruslah Ada. Sekarang ni kan mama jadi ‘Mem’ besar dalam rumah ni. Semua kerja Ada yang buat.” Jawab Ada yang sengaja menekan sedikit perkataan ‘Mem besar’ bagi menarik perhatian mamanya yang sedang khusyuk menonton tv. Langsung takda respon!

“Boleh percaya ke?” Shahimi ragu-ragu dengan pengakuan satu-satu adik yang dia miliki.

“Hello abang. Ingat Ada tak tahu masak ke? Abang ingat semua lauk yang abang makan sepanjang Ada balik sini, ingat mama yang masak ke?” balas Ada geram yang tahu abangnya itu akan cari peluang untuk memperkecilkan kemampuannya.

“Iya ke?” Shahimi masih lagi tidak mempercayai. Memang setiap makanan yang dimakan sepanjang adiknya pulang, kena dengan setiap seleranya. Malah terasa badannya semakin berisi kerana tidak sah jika dia tidak menambah nasi buat kali kedua setiap kali makan.

“Alah… cakap ajalah yang Ada masak semua sedap kan.. Kalau tak, takdanya perut abang tu dah naik sekarang. Hilang dah six pack abang tu.” Ejek Ada diiringi tawa kecil.

“Eleh.. tipulah.” Jawab Shahimi masih dengan pendiriannya.

“Tak percaya sudah. Abang tanyalah mama. Kalau tak, takdanya kawan baik abang tu sanggup nak upah Ada masak untuk dia hari-hari.” balas Ada seraya bangun sekaligus meraikan kemenangannya.

Shahimi hanya menjuihkan bibir. Tanda malas mahu melayan kerana yakin dengan apa yang diucapkan oleh adiknya itu.

“Abang… ada satu hal Ada lupa nak cakap. Abang nanti jangan gatal mulut pulak cakap dengan kawan baik abang tu semua makanan yang dia makan selama ni Ada yang masak. Cakap aja Bibik yang masak.” Ujar Ada yang sempat berpesan sebelum melabuhkan duduk di sisi mamanya yang langsung tidak terkesan dengan perbalahan di antara dia dan Shahimi tadi.

“Bibik? Bibik mana pulak dah..?” balas Shahimi yang mula pening kepala melayan adiknya.

“Abang jawab ajalah Bibik kalau dia tanya. Jangan cakap Ada yang masak.” Jawab Ada lagi yang tidak mahu hal itu tiba di pengetahuan Azam. Uncle Zakuan sendiri merahsiakan perkara itu dengan anaknya. Atas tujuan apa, dia sendiri tidak pasti. Dia sekadar memenuhi permintaan lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya sendiri itu.

“Ish! Iyalah. Macam-macam betullah kau ni dik.” Balas Shahimi yang malas bersoal panjang lagi. Dia terus kembali dengan makanannya.

***********

“Zam… lauk abah dah panaskan. Jom makan.” ujar Encik Zakuan sebaik menghidangkan makanan dari mangkuk tingkat yang sedia dipanaskan.

“Zam takda seleralah bah.” Jawab Azam lambat yang tebaring di hadapan tv selepas mandi dan bersolat maghrib. Hari itu dia pulang sedikit awal ke rumah kerana berasakan keadaan tubuh yang kurang selesa.

“Hai… sejak bila pulak pandai tak berselera ni. Selalu kamu yang bersemangat kalau bab makan.” balas Encik Zakuan seraya mendapatkan anaknya di ruang tamu.

Sudah lebih dari sebulan dia menggunakan khidmat ‘pembantu rumah’ Puan Shima untuk memasakkan makanan buat mereka dua beranak.

“Tak tahulah bah.. Hari ni rasa lain macam sikit. Pahit aja tekak Zam ni.” Jawab Azam sambil menegakkan tubuh. Terasa kepalanya yang mula memberat tanda-tanda ingin demam. Hidungnya pula sudah tersumbat kerana selsema yang turut menyerang.

“Kamu demam ke?” soal Encik Zakuan sambil meletakkan belakang tapak tangannya ke dahi anak sulungnya itu. Dia perasan wajah yang tidak bermaya ketika pulang dari kerja tadi.

“Entahlah bah..” jawab Azam yang sudah bersandar di sofa dengan mata terpejam.

“Abah buat bubur nak?” Encik Zakuan menawarkan diri untuk memasak bubur jika anaknya itu tidak beselera untuk makan nasi.

“Takpalah bah. Abah pergilah makan. Esok suruh ‘Bibik’ ajalah yang masak.” Putus Azam kerana tidak mahu menyusahkan abahnya untuk memasak bubur malam itu.

“Habis tu kamu tak lapar ke? Dari siang tadi kamu kata kamu tak makan kan..” Encik Zakuan memang mengambil berat akan keadaan kesihatan anak-anak walaupun anak sulungnya itu sudah besar panjang.

“Takpalah bah. Zam boleh tahan. Zam nak minum air aja ni.” Jawab Azam seraya menegakkan tubuh. Bersedia untuk bangun.

“Kamu pergilah terus naik atas. Biar abah buatkan air milo. Nanti abah hantar dengan panadol sekali. Esok kalau tak surut, abah hantarkan pergi klinik.” Kata Encik Zakuan seraya bangun untuk ke dapur. Dia tidak akan senang hati andai melihat anak-anaknya sakit.

“Jangan susah-susahlah bah. Abah pergilah makan dulu dengan Nana. Dah lepas makan nanti abah suruh aja Nana hantar dalam bilik Zam.” Ujar Azam yang berasa sedikit terharu dengan keperihatinan abahnya. Sejak dahulu lagi memang abahnya begitu jika ada sesiapa yang sakit dalam keluarganya. Dia teringat lagi ketika dia terlantar sakit di hospital selepas terlibat dalam kemalangan yang hingga menyebabkan kematian ibunda tercinta. Abahnya itulah yang berulang-alik untuk menjaganya di hospital.

“Iyalah. Kamu pergi naik sana. Nanti abah suruh Nana hantar.” Balas Encik Zakuan dari dalam ruang dapur.

**********

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam uncle!” sahut Ada mesra seperti selalu. Ketika itu dia sedang menyiram pokok-pokok bunganya di tepi pagar rumah. Terus dimatikan pili air sebelum dia membuka pintu pagar.

“Awalnya uncle. Ada apa-apa ke?” soal Ada yang sedikit pelik dengan kedatangan Encik Zakuan ke rumahnya awal pagi itu. Kebiasaannya, Encik Zakuan hanya datang tiga kali dalam seminggu untuk menghantar bahan-bahan masak ke rumahnya. Pada sebelah petang baharu dia hantarkan mangkuk tingkat memandangkan lelaki itu jarang sekali ada di rumah pada sebelah siang.

“Ha.. uncle datang ni nak mintak tolong Ada sikit.” Jawab Encik Zakuan sambil melangkah masuk ke kawasan rumah selepas Ada membuka pintu pagar.

“Ada apa uncle?” tanya Ada seraya mempersilakan Encik Zakuan duduk di kerusi batu hadapan rumah.

“Ada boleh tak tolong masakkan bubur nasi sebelum tengah hari ni, dengan sebelah petang nanti?” ujar Encik Zakuan dan matanya tidak lepas memandang wajah comel di hadapannya itu. Mudah benar gadis genit di hadapannya itu tersenyum.

“Boleh uncle. Senang aja tu.” Balas Ada tidak keberatan. Setia di bibirnya dengan senyuman ikhlas.

“Uncle dah nak keluar ni, nanti Ada letak aja atas meja macam biasa ya?” kata Encik Zakuan sebelum bangun.

Sepanjang gadis itu menjadi tukang masak rasminya, dia sudah menyerahkan kunci pendua rumah agar senang gadis itu untuk menghantarkan mangkuk tingkat ke rumah jika dia tiada. Sudah diletak kepercayaan sepenuhnya kepada gadis itu hingga sanggup menyerahkan kunci rumah.

“Abang Kuan.” Sapa satu suara membuatkan kedua-duanya menoleh.

“Shima.” Balas Encik Zakuan dengan melemparkan senyuman kepada sahabat baik arwah isterinya yang baharu keluar dari pintu utama.

“Dah nak balik ke? Tak masuk dulu?” Ramah Puan Shima mempelawa.

“Ada, kenapa tak ajak Uncle Zakuan masuk?”

Ada hanya tersengih. Lupa.

“Eh,, takpalah Shima. Sekejap aja ni. Shukri pun dah pergi kerja ya..” kata Encik Zakuan yang perasan tiada satu kereta pun yang ada dalam kawasan rumah itu.

“Ha’ah. Baru aja pergi.” Balas Puan Shima.

“Sekejap aja datang ni Shima. Nak suruh Ada buatkan bubur. Lepas ni ada hal sikit dekat Darul Kasih.” Kata Encik Zakuan lagi seraya berjalan ke arah pintu pagar. Dia ada urusan lain pagi itu di rumah kebajikan yang sudah menjadi rumah kedua baginya. Di situ dia banyak menghabiskan masa semenjak bersara dan ketiadaan isterinya.

“Oh..”

“Uncle pergi dulu Ada. Assalamualaikum.” Encik Zakuan berpamitan sebelum melintas jalan untuk kembali ke rumahnya.

“Waalaikumussalam..” jawab dua beranak itu hampir serentak.

“Hati-hati uncle.” sempat Ada menambah sambil memerhati Encik Zakuan yang sudah menyeberangi jalan.
Encik Zakuan sempat melemparkan senyuman kepada dua beranak itu dan melambaikan tangan sebelum terus berlalu.

“Tu Uncle Zakuan kamu pakai kereta Azam, agaknya si Azam outstation la tu.” omel Puan Shima yang perasan jirannya itu masuk ke dalam kereta Honda Civic warna biru metalik milik Azam.

“Mama ni macam tahu-tahu aja anak Uncle Zakuan tu pergi mana.” Sahut Ada sambil membuang pandang ke arah yang sama.

Sedikit kagum melihat kereta yang dimaksudkan oleh mamanya tadi. Yakin lelaki yang dimaksudkan oleh mamanya mempunyai kerja yang bagus walaupun sebelum ini dia tidak perasan langsung akan kewujudan kereta itu. Setiap pagi apabila dia ingin menyiram pokok bunga, kereta itu sudah tiada di tempatnya. Uncle Zakuan sendiri ada memberitahunya yang Azam akan lebih awal keluar pada waktu pagi dan akan pulang pula apabila hari sudah gelap.

Wajah lelaki yang dimaksudkan itu juga dia pernah lihat. Tetapi hanya melalui gambar yang diambil ketika menamatkan pengajian. Mungkin gambar hampir sepuluh tahun lalu. Itupun selepas dia curi-curi tengok setiap kali menghantar mangkuk tingkat.

“Selalunya macam tu la. Kalau tak, susah nak nampak kereta tu ada dekat rumah.” Jawab Puan Shima sebelum kembali semula ke dalam rumah. Dia mahu mengemas meja makan yang masih belum sempat berkemas apabila terdengar suara orang berbual tadi.

Ada tidak membalas. Dia menyambung semula kerja menyiram tadi. Kurang berminat untuk mengetahui lanjut tentang anak teruna orang itu. Risau dikatakan ‘tersyok’ pula. Percuma dia menjadi bahan abangnya nanti.
……………………..

“Ni mesti Uncle Zakuan nak cepat tadi. Tak pernah-pernah ada baju kotor dekat ruang tamu ni. Dengan tv terpasang pulak… pintu pun tak kunci.” Omel Ada saat melangkah masuk sambil membawa bubur seperti yang dipesan oleh Encik Zakuan awal pagi tadi.

Dia terus melangkah ke ruang dapur untuk meletakkan bekas bubur yang dibawa. Kemudian dia kembali semula ke ruang tamu untuk mengutip sehelai kain pelekat dan baju-t yang terletak di sofa serta terus menekan alat kawalan jauh. Serta merta skrin 42 inci yang sama besar dengan tv di rumahnya itu bergelap.

Dia terus sahaja mengatur langkah ke ruang dapur semula untuk meletakkan pakaian kotor tadi ke dalam bakul yang disediakan berhampiran mesin pencuci. Dia pernah melihat Uncle Zakuan meletakkan pakaian kotor di situ sebelum ini.

Baharu sahaja dia memusingkan tubuh untuk kembali semula ke ruang hadapan, langkahnya mati. Bola matanya tidak bergerak apabila bayang seorang lelaki yang hanya mengenakan seluar pendek paras lutut turut berdiri terpaku tidak jauh darinya. Masing-masing merenung antara satu sama lain. Dia terkaku. Kakinya terasa berat untuk melangkah. Mulut pula terkunci rapat. Darah menyerbu ke kepala membuatkan peluh mula merenik ke dahinya.

“Kau siapa? Macam mana kau boleh masuk rumah aku ni? Kau nak mencuri ya? Mana baju dengan kain aku tadi kau bawak? Kau curi ke apa?” serang Azam tanpa usul periksa. Tajam matanya menikam ke wajah gadis genit bertocang dua di hadapannya itu. Persis tukang kebun di sekolahnya dahulu apabila gadis di hadapannya itu mengenakan topi besar di kepala. Pakaian pula dengan kemeja comot yang tersarung di luar baju-t lengan panjang yang dipakai.

Dia yang baharu turun dari bilik kerana pergi mengambil telefon bimbit, terkejut apabila dilihat pintu utama rumah terbuka. Pakaian yang ditinggalkan di atas sofa juga tiada membuatkan dia terus ke dapur kerana beranggapan abahnya sudah balik dari Darul Kasih. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Dia sedikit terkejut dengan kehadiran makhluk Allah yang berdiri di hadapannya saat itu tetapi sedaya upaya dikawal. Walaupun dengan pakaian yang selekeh, dia perasan ada sesuatu pada gadis yang mula menunduk itu. Mata yang bulat dengan rambut bertocang dua. Comel kut! Tapi pecah masuk rumah orang pulak. Muka takda pulak rupa pecah rumah.

“Er… tak..tak.. enggak..” kalut Ada menutur kata. Ligat akalnya memikirkan ayat yang sesuai. Dia mengenali makhluk ciptaan Allah yang sedang membahasakannya saat itu. Dia pernah melihat gambar lelaki itu sedang menggenggam segulung ijazah di salah satu sudut rumah sebelum ini. Yakin yang dia tidak tersalah orang. Cuma lelaki yang berdiri di hadapannya saat itu sedikit berbeza. Wajah itu jauh lebih matang dari gambar yang pernah dilihatnya. Hampir terlupa yang kini lelaki itu sebaya dengan abangnya. Malah berkawan baik pula.

“Apa enggak enggak? Macam mana kau masuk rumah aku ni? Apa yang kau nak buat sebenarnya ni ha?” tebak suara itu garang membuatkan Ada tidak berani menentang wajah yang memerah itu mula mendekat. Tambahan pula dengan keadaan tidak berbaju itu. Malu dia melihat aurat yang ditayang percuma buatnya. Mengundur dia beberapa tapak ke belakang.

‘Nak jual body ke apa dia ni. Aku tahulah kulit kau putih! Siap dengan six pack lagi! Hidung aja dah macam clown.’ sempat hatinya mengutuk.

Kini dia tahu kenapa Uncle Zakuan suruh dia memasak bubur. Rupanya ada orang sakit di rumah itu. Maknanya telahan mamanya pagi tadi langsung tidak tepat. Azam ada di rumah kerana sakit. Bukan bekerja di luar kawasan.

“Er… tuan.. saya Bibik.” jawab Ada lambat dengan wajah yang menunduk. Baharu teringat apa yang pernah dipesan oleh Uncle Zakuan sebelum ini. Dialah ‘Bibik’ yang memasakkan semua jenis masakan yang dimakan oleh keluarga Uncle Zakuan hampir dua bulan itu.

“Bibik? O.. Bibik Aunty Shima. Tapi apasal tak macam Bibik? Macam tukang kebun aja aku tengok kau ni?” kata suara itu selamba dengan mata yang tidak lepas memandang dari atas ke bawah. Dia ingin menatap sekali lagi wajah yang kian menunduk dan terlindung dek kerana topi kebun yang besar itu.

‘Suka hati aja dia kata aku ni tukang kebun! Dia ni memang betullah tak sayang mulut.’ Marah Ada hanya terluah di hati kerana tidak berani mahu membalas. Dia tahu siapa Azam seperti yang diceritakan oleh bekas pembantu rumah lelaki itu dahulu. Panas baran dan kuat memarahi orang tidak tentu pasal! Dia tidak mahu menerima habuan percuma dari lelaki itu.

‘Harap muka aja boleh tahan. Mulut kau.. ‘baiklah’ sangat!’ umpatnya dalam hati tanpa pengetahuan Azam. Geram! Tapi memang salah dia pun sebab pakai pakaian yang biasa digunakan untuk membelek bunga-bunganya. Bubur itu sudah dimasak awal. Cuma hampir terlupa untuk dihantar kerana sibuk dengan bunga-bunganya sahaja. Tanpa menukar pakaian dia terus menghantar bubur yang sudah siap diisikan oleh mamanya ke dalam bekas.

“Oi.. kau takda telinga ke? Ke.. sebab topi kau tu besar sangat?” tanya Azam lagi sambil mendekati lagi gadis yang semakin menunduk itu.

“Er… saya permisi dulu tuan. Buburnya ada atas meja.” Jawab Ada tergagap-gagap kerana cuba mengingati kembali perkataan-perkataan yang biasa didengari dari sinetron kegemaran mamanya. Sampai tergeliat lidahnya untuk menyebut apabila dirasakan terlalu pelik ayat yang cuba disusun.

“Apalah kau ni Bik. Apasal kau macam takut sangat ni? Sampai menggigil tangan tu aku tengok. Aku bukannya makan orang.” Kata Azam yang sudah sembunyi senyum melihat gadis di hadapannya itu meramas sesama sendiri kedua-dua tangan. Jawapan yang keluar dari bibir itu juga dirasakan sedikit kalut hingga pelik di pendengarannya.

Ada kertap bibir geram. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dibahasakan kembali lelaki di hadapannya itu.

“Er.. saya pulang dulu tuan..” ujar Ada masih dalam kekalutan seraya berjalan menjauhi Azam. Wajahnya memang sengaja dikekalkan begitu hingga melepas Azam yang masih berdiri memerhatikannya.

“Bik, kejap. Petang nanti kau buat banyak sikit bubur ya? Ni sikit sangat. Aku dari semalam belum makan Bik. Takda selera nak makan nasi. Pahit aja tekak aku ni.” Kata Azam yang sudah mencapai bekas bubur yang dibawa oleh gadis tadi. Langsung tidak dihiraukan Ada yang deras mengatur langkah menjauhinya. Sudah menjadi kebiasaan kepada sesiapa yang menjadi pembantu rumahnya, pasti takut untuk menghampiri dirinya.

Ada berhenti melangkah apabila mendengar kata-kata Azam. Namun masih tidak berpaling.

“Iya. Nanti saya buatkan. Saya ba.. pulang dulu. Assalamualaikum.” Katanya laju seraya melangkah cepat ke pintu. Tidak betah berdua-duaan dengan lelaki bukan mahramnya di dalam rumah itu. Kalut dia menyarung selipar dengan kaki yang bersarung stoking itu membuatkan dia terus mengangkat selipar dan terus pulang ke rumah hanya berlapik stoking.

“Bibik! Bik kejap Bik!” laung Azam tiba-tiba saat kelibat ‘Bibik’ sudah hilang keluar dari pintu rumah. Terkejar-kejar pula dia untuk mendapatkannya.

“Bibik!” panggil Azam lagi kuat apabila dilihat gadis tadi sudah berada di pagar rumahnya.

Ada yang mendengar panggilan itu kertap bibir lagi. Langkahnya mati. Segera dia berpaling semula memandang ke arah muka pintu. Azam yang berdiri di muka pintu sedang ketawa.

‘Huh! Gelakkan akulah tu!’ gerutunya geram. Sedar keadaan dirinya kini yang tidak berkasut.

“Bik, sinilah kejap. Aku ada hal nak cakap sikit dengan kau. Takkan kau nak aku jerit-jerit dari sini pulak. Dah la tekak aku ni sakit.” Kata Azam sambil menggamit gadis tadi agar kembali semula dalam sisa tawanya. Lucu melihat gadis itu menjinjing selipar dari memakainya.

‘Apa pelik punya Bibik. Takut sampai selipar pakai dekat tangan ke? Hahah..’ sempat hatinya mengutuk. Hati sudah tergolek-golek gelakkan.

Ada kertap rapat bibirnya kerana terpaksa menurut arahan Azam. Takkan pula dia mahu bantah.

‘Hish! Apa lagi yang mamat seksi ni nak!’ bentaknya dalam hati. Namun kaki tetap juga melangkah kembali menghampiri Azam.

“Tuan mau apa?” tanya ringkas sebaik tiba. Kali ini tidak lagi kalut seperti tadi kerana rasa geramnya sudah mengatasi perasaan takut. Wajahnya tetap ditundukkan. Mimik muka geram yang terpapar pun berjaya disembunyikan di sebalik topi kebun besar yang digelar oleh Azam tadi.

“Kau tolong buatkan aku air limau suam Bik. Aku tak tahu nak buat. Biasa abah aku yang buatkan. Kalau dulu mama ada, mama buat. Sekarang kau ada, kaulah yang buatkan untuk aku Bik. Bolehkan? Hidung aku ni dah tak bau apa dah. Sampai bau busuk kau pun aku tak boleh nak hidu ni.” Omel Azam seraya melangkah semula masuk ke dalam rumah, terus ke ruang dapur kembali untuk makan bubur. Perutnya memang minta diisi sejak terjaga awal pagi tadi.

Ada angkat muka sebaik sedar yang Azam kembali berlalu ke dalam rumah. Matanya membulat. Terasa mahu dicili mulut Azam yang celupar. Senang hati mengata dia busuk.

‘Mulut dia ni.. lagi busuk dari baja tahi ayam dekat rumah aku la.. huh!’ gerutunya geram. Kaki terpaksa juga melangkah masuk dengan stoking yang sudah memijak jalan berturap tadi.

“Hah.. kau jangan lupa nak bukak stoking busuk kau tu sekali. Nanti kotor pulak lantai rumah aku ni, tak pasal-pasal kucing aku dapat virus dari stoking kau. Dah la Hero aku tu cerewet.” Kata Azam yang perasan gadis tadi sudah melangkah masuk ke dalam rumahnya semula dengan stoking hijau yang dipakai.

‘Huh! Kucinglah sangat! Muka macho tapi nak menipu! Huh! Aku tak pernah nampak pun kucing dekat rumah kau sebelum ni.’ Kutuknya dalam hati. Dengan rasa geram yang menggunung di hati, terpaksa juga dia membuka stoking yang dipakai terlebih dahulu.

“Kau jangan nak mengumpat dalam hati Bik. Kau ingat aku tak tahu kau mengumpat. Mesti kau kata aku menipu kan sebab kau tak nampak si Hero aku ada dekat rumah ni.” Tebak Azam yang sudah melabuhkan duduk di kerusi makan. Bubur juga sudah selamat masuk ke dalam mulut tiga empat sudu.

“Er..tak..enggak tuan.” Ada cuba menafikan. Padahal, sudah berbakul-bakul dia mengumpat lelaki itu di dalam hati. Memang dia tidak pernah nampak pun kucing yang dimaksudkan sepanjang dia keluar masuk menghantar mangkuk tingkat. Kaki kemudiannya terus diatur ke peti sejuk untuk mencari limau kasturi untuk dibuat air yang diminta. Lincah sahaja tangannya mencari kerana pernah membuka peti sejuk itu untuk menyusun barang masak yang berbaki jika Uncle Zakuan membeli lebih.

“Si Hero aku tu tengah tidur sekarang dekat bilik. Bila aku pergi kerja dia duduk dalam sangkar. Kalau abah aku ada, baru dia keluar. Kejap lagi dia turun tengok stoking hijau kau tu, mahu pengsan dia aku rasa.” Bebel Azam lagi tanpa henti. Entah kenapa dia mahu menceritakan semuanya kepada gadis baru pertama kali ditemui itu. Jika tidak, mulutnya itu kerjanya mahu mengamuk dan memarahi sahaja.

‘Erk? Tidur dalam bilik. Cantik sangat ke Hero tu sampai tidur dalam bilik? Uwek!” Ada menjelirkan lidah mengejek tanpa disedari Azam. Tangan pula sedang memerah dua biji limau ke dalam air panas suam pada mug. Dia mahu segera menyudahkan kerjanya itu agar dapat pulang cepat ke rumah. Risau jika ada jiran terlihat mereka berduaan di situ dan pencegah maksiat datang menyerbu. Tidak pasal-pasal dia dituduh Azam cuba mencabul kehormatan lelaki itu. Bukan boleh dia percaya mulut puaka yang tidak ada insuran itu. Tak pasal-pasal meroyan mamanya nanti. Tidak sampai satu jam dia di situ, berguni-guni mulut itu mengutuknya sesuka hati.

‘Dahlah pakai seluar pendek aja. Nak goda aku ke apa entah!’ bebel hatinya sendiri.

“Sudah tuan. Air limaunya. Saya permisi dulu. Bye.” Katanya cepat seraya meletakkan mug tadi di hadapan Azam. Kaki terus melangkah ke pintu utama.

“Bik! Kau ni memang saja nak kenakan aku ke apa? Mana gulanya. Masam aja air ni.” Kata Azam sebaik dia menyisip air limau suam yang diminta tadi.

Langkah Ada terhenti lagi. Darah sudah naik ke kepala kerana melayan Azam yang cerewet.

‘Memang patutlah maid kau sampai 54 orang!’ sempat hatinya mengutuk.

“Tuan, kalau mau baik flu nya, air limaunya biar gitu aja. Cepat sembuh nanti.” Balasnya cuba mengawal suara. Tetapi dia tidak berpaling memandang Azam yang masih duduk di meja makan.

“Iya ke? Kau biar betul nak minum masam-masam macam ni.” Balas Azam dengan kening lebatnya hampir bercantum.

“Betul Tuan. Saya permisi dulu. Bye!” jawab Ada pantas dan terus melangkah. Tidak mahu lagi ada kerja lain yang akan disuruh oleh Azam. Panas telinganya nanti mendengar bebelan lelaki itu. Persis abangnya juga.

“Apa punya peliklah dia ni. Tatabahasa dahlah tunggang langgang. Tahu pula nak bye bye dengan aku.” Omel Azam sendirian apabila kelibat gadis tadi sudah hilang. Mahu atau tidak, terpaksa jugalah dia mempercayai kata-kata gadis tadi.

Fokusnya kembali kepada bubur yang masih berbaki di dalam mangkuk. Tanpa sedar  bibir menarik senyum tiba-tiba dan akhirnya tawa besarnya terhambur apabila teringat kembali gadis tadi. Memang mengusik hati lelakinya. Terasa yang dia sudah lama benar tidak ketawa begitu. Demam yang dialami juga seperti sudah tidak terasa.





10 comments:

Anonymous said...

lawak la azam ni,si ada pun sama gak

Kak Sue said...

hahaha .... mamat yang garang macam singa lapar dah pandai mengedik macam kucing siam yang mengesil kaki orang pulak... ..

Anonymous said...

bestlah...smbung lg ye....

Anonymous said...

Nak demam jgk la cmni tp ubat dya shaq n ct ngan azam n ada...hehe
boleh ye arsha? ;)

Ehem said...

hihihi

Anonymous said...

best..lawak2...gud job arsha...im a fan of urs!

MaY_LiN said...

amboi abang zam ni..
kemain nak ngorat bibik ya..
pandai abang ada ni..
asik kenakan ada je

koler ke kolar?

Ehem said...

erm.. kolar ke koler sebenarnya..

Anonymous said...

adehhh... Best rrr.. Nak lg ekk..

mizz acu said...

Dan2 kebah demam ;)