Sep 23, 2012

Jangan tak mungkin_part 3



“Apa yang kau terintai-intai tu Bik?” tegur satu suara menyebabkan mangkuk tingkat yang dipegang hampir sahaja terlepas. Mujur dia masih sempat mengawal keadaan tubuhnya saat itu.

‘Hish! Ada lagi dia ni! Tak pergi kerja lagi ke? Huh!” berdongkol perasaan geramnya kepada lelaki itu tidak surut selepas apa yang berlaku dua hari lepas. Dia yang setia dengan topi kebunnya terus menundukkan wajah apabila sedar Azam menghampiri. Entah dari mana lelaki itu muncul dia tidak pasti.

Selepas apa yang berlaku dua hari lalu, dia tidak lagi menghantar mangkuk tingkat. Mamanya yang mengambil alih tugasan itu memandangkan Azam masih bercuti. Tetapi tidak pula dia menyangka kedatangannya hari itu akan bertemu lagi dengan azam memandangkan kereta Honda civic biru itu tiada di tempatnya. Begitu juga dengan kereta Vios milik Uncle Zakuan.

“Hari ni aku tak nak makan bubur lagi Bik. Dah tiga hari aku demam, asyik makan bubur aja. Kau masak apa hari ni?” tanya Azam selamba. Dia sudah penat ketawa kerana menjadi pemerhati dari tadi apabila dilihat ‘Bibik’ terintai-intai di pintu utama rumah tanpa menyedari kewujudan dirinya.

‘Setia betul kau dengan topi kebun tu Bik. Takut kena cahaya matahari ke apa dia ni?’ bebelnya dalam hati apabila melihat penampilan ‘Bibik’ hari itu. Berseluar track bottom biru tua bersama baju-t lengan panjang warna hijau. Rambut tetap ditocang dua seperti dua hari lalu.

“Er… Ikan pari masak asam pedas. Tuan Zakuan yang mahu.” jawab Ada tergagap cuba menyusun ayat seberangnya. Dilihat lelaki itu sudah pun masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan dirinya yang masih berdiri di tepi pintu.

‘Cisss! Bukan dia nak ambik mangkuk tingkat ni aku! Nak jugak aku hantar sampai depan muka dia.’ Rungutnya dalam hati. Dalam tidak mahu, dia terpaksa juga melangkah masuk ke dalam rumah seraya sengaja melebarkan lagi daun pintu agar lebih luas terbuka. Tidak mahu ada jiran-jiran mengesyaki yang bukan-bukan pula.

“Bagus! Tapi sebelum tu, kau ada letak tempe ke tak dalam tu?” tanya Azam yang sedang membuka pintu peti sejuk dan mencapai sebotol jus oren.

“Tempe?” lurus Ada bertanya kembali.

‘Ada ke orang letak tempe dalam asam pedas. Aku tak pernah masak pun. Merepek betul dia ni!’ getusnya dalam hati.

“Kau ni sebenarnya orang jawa ke bukan? Bukan semua suku sakat kau suka makan tempe ke? Macam Bibik aku dulu. Semua lauk dia masak, dia nak letak tempe. Memang saja nak bagi aku naik darahlah kalau kau buat macam tu jugak.” kata Azam memberi amaran awal.

Ada mencebik tanpa Azam sedari. Dia terus meletakkan mangkuk tingkat yang dibawa tadi di atas meja makan dan segera berlalu. Langsung tidak dihiraukan kata-kata Azam.

‘Tempe pun tak makan. Kacang soya bagus untuk kulit pun tak tahu. Nama aja kulit putih mamat ni. Oh.. patutlah kulit kau putih. Banyak makan tempe… Nasib baik tak nampak six pack kau hari ni.’ omelnya dalam hati.

“Oi! Bik! Kau ni, aku cakap dengan kau. Kau boleh blah macam tu aja?” kata Azam geram saat dia berpaling selepas minum segelas jus oren tadi. Dia menyangka ‘Bibik’ menantinya di situ untuk mendengar segala bebelannya. Dilihat gadis itu sudah pun menghampiri pintu utama dan sedia untuk pulang ke rumah. Dia juga dengan pantas terus melangkah.

Ada pula cepat-cepat mengatur langkah untuk menjauhi Azam. Malas mahu melayan mahupun mendengar bebelan Azam yang takda kena mengena dengan dirinya.

“Bibik!” pekik Azam dari muka pintu apabila melihat Ada sudah tiba di pintu pagar rumahnya.

“Saya permisi dulu tuan. Bye!” balas Ada tanpa menoleh. Hanya tangannya sahaja dilambaikan kepada Azam. Laju kakinya diatur untuk pulang ke rumah.

‘Jangan haraplah aku nak patah balik.’ kata Ada sendirian sambil mengatur langkah megahnya. Meraikan kemenangan.

Sementara Azam pula hanya mampu kertap bibir geram. Kelibat Ada yang menghilang masuk ke dalam rumah tidak lepas dipandang.

‘Apa punya peliklah Bibik si Shah ni. Macamlah aku nak makan dia. Aku baru nak pesan masak sambal udang petang nanti. Hish!’ bebelnya sendiri.

*********

“Kau kenapa dik sengih sorang-sorang? Berita tengah malam ni ada buat lawak ke?” tegur Shahimi yang hampir sepuluh minit melabuhkan duduk di sisi, langsung tidak dihiraukan.

Ada diam. Fikirannya tidak di situ. Hanya matanya sahaja yang sejak tadi melekat pada skrin nipis di hadapan mereka.

“Ada Syuhada Adlia!” jerit Shahimi rapat di sebelah telinga Ada membuatkan gadis itu terperanjat. Melambung alat kawalan jauh tv yang sedang dipegang sebelum menghempas ke lantai hingga terburai bateri dari tempatnya.

“Apa abang ni! Ada belum pekak lagilah!” bentak Ada sambil menggosok cuping telinganya. Memang terasa berdesing telinganya saat itu mendengar pekikan abangnya yang tiba-tiba.

“Kau tu yang kuat berangan. Tu lah sampai abang panggil pun tak dengar.” Balas Shahimi yang sudah terkekeh ketawa. Mana tidaknya, melambung alat kawalan jauh tv dari tangan adiknya tadi. Mujur tidak menimpa kepalanya.

“Abang nak apa ni? Kan tadi dah makan. Minum pun Ada dah buatkan. Menyibuk aja dekat sini. Pergilah tidur!” kata Ada cuba menutup perasaan malunya seraya mengutip semula alat kawalan jauh yang terdampar di lantai.

‘Apasal kau ni Ada…’ marah dirinya sendiri kerana terleka. Langsung tidak sedar dengan kehadiran abangnya tadi. Selepas ini bersiap sedialah dia menjadi bahan usikan Shahimi.

“Yang kau tu apasal tak tidur? Tengok jam tu dah pukul berapa.” Balas Shahimi dengan sengihan mengusik.

“Sibuklah abang ni. Ada bukan kerja pun esok. Abang tu yang kerja, pergilah tidur.” Jawab Ada selamba dengan wajah masam mencuka. Entah kenapa dia boleh terleka tadi. Semua sebab Azam! Kawan baik kau tu bang! Bebelnya dalam hati. Dalam kepalanya tidak henti teringatkan Azam. Sejak kes lelaki itu sembuh dari demam, kini dia tidak lagi boleh masak masakan yang dirasakan sesuai. Semua perlu mengikut senarai masakan yang telah disediakan. Setiap hari menu yang berbeza. Paling menyakitkan hati apabila senarai itu dibuat sendiri oleh Azam. Uncle Zakuan pula hanya menurut tanpa sebarang bantahan. Tidak cukup dengan itu. Dengan bayaran yang semakin bertambah, dia perlu melakukan kerja tambahan juga. Azam akan menghantar baju kemeja setiap hari Sabtu ke rumahnya untuk dicuci dan digosok.

“Kalau dah tahu tak kerja, esok jom ikut abang masuk office. Tolong buat account.” Kata Shahimi. Itu tujuan utama dia turun dari bilik tadi untuk bertemu Ada. Mulai esok pembantunya akan bercuti bersalin. Lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Suami pembantunya itu sendiri yang memaklumkan kepadanya sebentar tadi. Waktu kelahiran lebih awal dari waktu yang dijangkakan.

“Hish! Ada dah ada kerjalah sekarang. Mana boleh kerja dengan abang.” Balas Ada sambil menukar siaran tv. Tidak perasan cerita yang ditontonnya tadi sudah pun tamat. Diganti pula dengan berita tengah malam.

“Tadi kata takda kerja. Sekarang ada kerja pulak. Mana satu ni?” gerutu Shahimi dengan kerutan di wajah.

“Kan Ada jadi ‘Bibik’ tak rasmi kawan baik abang tu!” jawab Ada dengan rengusan kasar. Geram apabila Azam menambah tugasannya. Mujur bayaran yang diterima turut bertambah. Jika tidak, jangan haraplah dia mahu mencuci pakaian lelaki itu. Mencuci dan menggosok mungkin dia mampu terima lagi. Tetapi apabila dia mendapat surat ‘chinta’ daripada lelaki itu minggu lepas, membuatkan hatinya selalu geram.

Khas buat Bibik,

Bibik, terima kasih sebab cuci baju aku.

PESANAN PENTING:
BIBIK, GOSOK BAJU AKU LICIN-LICIN. KALAU PENGGOSOK DEKAT RUMAH TU ROSAK, KAU GUNA PENGGOSOK DEKAT RUMAH AKU NI. KALAU KAU TAK TAHU GOSOK, DATANG SINI AKU BOLEH BAGI KELAS MENGGOSOK UNTUK KAU. BAIK-BAIK SIKIT GOSOK BAJU MAHAL AKU TU. FAHAM! KALAU TAK, AKU POTONG GAJI KAU NANTI.

Tuan Azamuddin Ashraf

Ada mencebikkan bibir tiba-tiba apabila teringat kembali apa yang ditulis oleh lelaki itu.

“Oi!” sekali lagi Shahimi memekik di sebelah telinga adiknya.

“Apa abang ni!” marah Ada sambil menolak tubuh Shahimi.

“Kau tu. Abang cakap, boleh pulak kau buat pekak. Dengan buat bibir itik kau tu lagi.” Kata Shahimi geram. Yakin apa yang diperkatakan tadi langsung tidak melekat dalam kepala adiknya itu.

“Abang tu. Kan Ada dah cakap tak nak kerja. Tak nak kerjalah. Ada dah ada kerja sekarang.” Bentak Ada tidak mahu mengalah sekaligus cuba menutup malu kerana sekali lagi dia terleka apabila teringat tentang surat yang diterima.

“Alah.. Bukan lama pun. Sementara aja. Lagipun kau masak petang ajakan? Sempat lagi masak kalau lepas balik kerja. Si Azam tu pun balik bukan selalu awal. Uncle Zakuan aja yang ada kan.” Pujuk Shahimi lagi.

“Mana boleh. Penatlah Ada nanti. Balik terkejar-kejar pulak. Lagipun hari Sabtu Ada banyak kerjalah sekarang. Nak kena cuci baju kawan baik abang tu pulak setiap hari Sabtu. Lepas tu nak gosok lagi. Ada tak bolehlah kerja dengan abang.” Ada membuat alasan. Bukan dia tidak tahu tempat kerja abangnya beroperasi hingga hari Sabtu walaupun hanya setengah hari.

“Cuci baju? Sejak bila pulak ambik tender cuci baju si Azam ni?” tanya Shahimi pelik.

“Kawan Abang tu kan kerjanya nak membuli aja. Duit sampai dah tak tahu nak buat apa. Tu yang dia sedekah dekat Ada suruh cuci baju dia pulak.” Jawab Ada dengan wajah kelatnya.

“Erk? Azam tak cakap apa-apa pun dengan abang.” Balas Shahimi seraya cuba mengingati andai sahabatnya itu ada bercerita tentang kerja baru yang dilakukan oleh Ada sebagai ‘Bibik’ tak rasmi.

Ada diam tidak membalas. Matanya sahaja tetap terhala ke skrin nipis di hadapannya. Sebuah rancangan masakan menjadi pilihan.

“Dik, bolehlah eh.. boleh la.. Abang dah tak tahu nak cari dekat mana lagi ni…” kata Shahimi kembali memujuk apabila otaknya malas memikirkan hal Azam tadi.

“Apa abang ni. Ada tak naklah…” balas Ada tetap dengan keputusannya.

“Alah.. kau kan nak beli kereta kan..kan..kan? Kau ingat kerja masak tu boleh dapat beli kereta ke? Entah bila baru kau merasa nak pakai kereta. Kalau kerja dengan abang, boleh jugak cepat sikit nak pakai kereta.” ujar Shahimi tersengih-sengih. Cuba memasang umpan kerana tahu akan keinginan adiknya yang satu itu.

Ada berkerut dahi. Baharu teringat akan impiannya yang satu itu. Ahh! Shahimi memang pandai memancing perhatiannya.

“Erm.. berapa banyak gaji abang boleh bagi?” tanyanya dengan kening sebelah terangkat. Inginkan kepastian.

“Erm… disebabkan jawatan tu ikut diploma, abang bagi dalam… erm…” Shahimi sengaja membuat Ada ternanti-nanti.

“Berapa?!” sergah Ada tidak sabar.

“Esok ikut abang dulu, sampai office baharu abang bagitahu.” Jawab Shahimi dengan senyuman mengusik seraya bingkas bangun. Selesai sudah masalahnya untuk mencari pengganti buat sementara waktu itu.

“Abang!” sempat Ada menyambar tepi kain pelekat yang dipakai oleh abangnya membuatkan Shahimi pantas memegang kainnya di bahagian pinggang kerana risau akan terlucut.

“Apa main tarik-tarik kain orang ni.” Shahimi cuba menepis tangan Ada namun pegangan adiknya itu terlalu kejap.

“Takda..takda. Abang tak cakap, Ada tak lepaskan kain abang. Biar terlucut dekat sini.” kata Ada seraya menarik lagi kain Shahimi.

“Abang jerit nanti. Baru Ada tahu. Biar ayah marah Ada.” Shahimi mengugut pula. Sengaja menggunakan nama ayahnya.

“Eleh. Panggillah. Ada tak heran pun.” Jawab Ada berani. Sedikit tidak tergugat dengan ugutan abangnya.

“Betul ni?” cabar Shahimi lagi.

“Terpulang.”

“Baik!” Shahimi terus melepaskan ikatan kain pada pinggangnya membuatkan Ada serta merta melepaskan tangan dan memejam rapat matanya.

“Abang ni tak senonoh betul!” bentak Ada sambil menutup matanya dengan kusyen kecil.

Shahimi pula sudah tergelak-gelak meraikan kemenangan.

“Tahu takut..” ejek Sahimi sebelum berlalu dan terus memanjat tangga untuk kembali ke bilik.

Ada pula sudah kertap bibir geram. Tidak sempat membuat serangan balas kerana takut untuk membuka mata. Risau andai dia melihat perkara yang bukan-bukan.

**************

“Zam, kalau abah kenalkan anak kawan abah pada kamu, nak tak?” ujar Encik Zakuan tiba-tiba membuatkan Azam yang sedang leka menikmati makan malamnya tersedak.

Nana yang duduk di sisi Encik Zakuan pula sudah ketawa kecil melihat wajah abangnya yang merah padam menahan keperitan di tekak. Nasi yang dimakan warna merah menyala kerana digaul bersama sambal udang kegemaran lelaki itu.

“Apa abah ni. Takda angin takda ribut tiba-tiba nak kenalkan Azam dengan anak kawan abah.” Rungut Azam selepas meneguk dengan rakus air suam di sisinya. Habis segelas air diteguk namun rasa perit kerana pedas tidak pun hilang.

“Alah.. abah cakap aja. Manalah tahu kalau kamu berkenan. Kenal-kenal la dulu. Bukan abah suruh kahwin terus.” Jawab Encik Zakuan dengan senyuman. Kesian pula melihat anak bujangnya itu masih terbatuk-batuk.

“Tak naklah bah.” Balas Azam yang tidak senang dengan permintaan Encik Zakuan.

“Hm… abah baru berangan nak dapat menantu pandai masak dekat rumah ni. Hm.. tak kesampaianlah nampaknya..” Encik Zakuan pura-pura mengeluh. Sengaja ingin meraih simpati anak sulungnya itu.

“Apalah along ni. Abah suruh kenal aja pun. Bukan suruh terus kahwin kan bah. Itupun tak nak. Tambahlah sikit koleksi kawan-kawan perempuan along tu. Ni tak… balik-balik Abang Shah tu jugak kawan along Nana tengok.” Sampuk Nana sambil tersengih-sengih. Jarang dia dapat mengusik abangnya itu. Peluang yang ada ini, tidak mungkin akan dilepaskan.

‘Padan muka kau along! Susah sangat nak kahwin. Sampai nak kena abah pulak carikan calon.’ Ejeknya dalam hati.

“Ah.. kau dik. Menyibuklah. Kaulah yang kahwin.” getus Azam sambil menjeling tajam adiknya yang masih tersengih-sengih. Dua gelas air suam sudah selamat masuk ke dalam perutnya. Hidungnya pula sudah mula berair dek kerana tersedak tadi.

“Nana pulak. Nana tak habis study lagi kan bah. Mana boleh kahwin. Belajar masak dengan Bibik Aunty Shima pun belum.” Balas Nana meminta sokongan abahnya.

“Abah cakap pasal kamu Zam. Bukan pasal Nana. Kamu tu.. Hari tu kan abah dah cakap dengan kamu cari aja anak jiran kita ni kalau dah susah sangat kamu cari dekat luar tu. Ada aja anak jiran kita yang pandai masak, berkemas rumah macam arwah mama. Siap pandai tanam pokok bunga lagi.” Kata Encik Zakuan lagi masih tetap cuba memujuk. Semua sifat-sifat yang disebut itu pula memang dimiliki oleh anak sahabat baiknya sendiri, Ada. Gadis itu yang memasak makanan yang dimakan kini. Malah turut melakukan kerja tambahan lagi apabila anak sulungnya itu menyerahkan tugasan mencuci kepada Ada setiap hari Sabtu.

“Zam main-main ajalah hari tu bah. Takkanlah Zam nak kahwin dengan anak jiran-jiran kita pulak. Macamlah anak abah ni dah tak laku sangat sampai abah nak kena kenalkan. Anak jiran pulak tu..” Balas Azam sebelum menyambung semula makan. Nasi yang begitu sedap tadi mula dirasakan pahit apabila tiba ditekaknya. Terus hilang seleranya apabila abahnya menyebut hal kahwin.

“Habis tu.. sampai bila Zam? Abah tengok kamu macam tak berminat aja dengan perempuan. Semua perempuan kamu tak pandang.” Kata Encik Zakuan lagi yang perasan hidup anaknya itu hanyalah dengan kerja semata-mata. Langsung tidak menghiraukan hal peribadi.

“Tak pandang, tak bermakna Zam tak minat pada perempuan bah..” jawab Azam yang semakin tidak senang duduk dengan setiap patah kata yang keluar dari bibir abahnya. Mata sempat menjeling ke arah adiknya yang dari tadi tidak henti mentertawakannya.

“Hm.. abah tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan kamu ni Zam.” Tutur Encik Zakuan dengan keluhan terlepas di bibirnya. Malas lagi mahu membincangkan hal tersebut kerana sememangnya anak sulungnya itu tidak berminat.

“Biarkan dia bah kalau tak nak kahwin. Biar jadi bujang te..”

“Mulut kau jaga sikit dik. Along sumbat dengan sambal udang ni nanti..” pintas Azam yang tidak mahu mendengar istilah yang mahu disebut oleh adiknya itu.

“Tahu takut.. kalau dah takut, cepat-cepatlah kahwin long.. Bolehlah Nana dapat geng dekat rumah ni. 
Takda selalu kena buli dengan along aja.” Balas Nana dengan senyuman mengusiknya.

Azam menjeling tajam.

“Sampai bila kita nak guna khidmat ‘Bibik’ aja Zam..” celah Encik Zakuan mengingatkan.

“Sampai Zam dapat cari calon isterilah bah. Aunty Shima pun tak kisah kan..” balas Azam masih tetap dengan pendiriannya.

“Hm… Nanti kalau sampai si Bibik tu kahwin, macam mana?”

“Apa kena mengena Bibik kahwin dengan kita pulak bah..” balas Azam tidak faham.

Encik Zakuan tersengih. Hampir sahaja dia terlepas cakap.

“Kalau susah sangat, along kahwin ajalah dengan Bibik tu. Ada tengok, semua dia boleh buat. Pandai masak. Sedap macam arwah mama. Cantik pulak tu. Cukup pakejlah.” Kata Nana pula sengaja mahu menduga. Baharu beberapa hari lalu abahnya memberitahu tentang ‘Bibik’ yang dimaksudkan. Dia sendiri berkenan dengan keperibadian Ada.

“Bibik? Merepeklah. Nana nak ke kakak ipar dari seberang?” balas Azam dengan sengihan di bibir. Terasa lucu pula dengan kata-kata adiknya.

“Abah on aja..” sahut Encik Zakuan yang turut sama tersenyum penuh makna kepada anak bongsunya.

Azam mematikan senyum. Mata terhala ke wajah-wajah yang disayangi di hadapannya itu.

“Abah tadi sebenarnya cakap pasal Bibik la kan? Biar betul abah ni? Takkan abah nak anak abah ni kahwin dengan orang gaji Aunty Shima tu pulak.” Kata Azam seperti tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh abah dan adiknya.

Encik Zakuan dan Nana sudah menghamburkan tawa melihat wajah Azam yang terkulat-kulat.

“Kenapa? Bibik bukan orang ke?” soal Encik Zakuan kembali dalam sisa tawanya.

“Takdalah.. Abah tak kisah ke Azam kahwin dengan orang gaji?” Azam menyoal kembali bernada serius kerana yakin yang abahnya sengaja mahu mengusik.

“Tak kisah. Abah lagi suka kalau Azam kahwin dengan Bibik. Ada jugak orang tolong uruskan rumah ni.” Balas Encik Zakuan dalam senyuman.

Jika Azam bersetuju dengan pilihannya, dialah orang yang paling gembira. Sukar mahu mencari gadis selincah Ada melakukan semua kerja-kerja rumah.

Azam kerut dahi. Semakin tidak faham. Pinggan yang sudah pun kosong terus dibawa ke singki sebelum dia kembali semula ke meja makan. Bibir menarik senyum nipis.

“Abah ni kalau nak bergurau pun, agak-agaklah bah..” kata Azam sebelum mencapai gelas yang digunakan tadi. Air suam dituang.

“Betullah apa abah cakap. Abah tak kisah pun kalau Azam pilih Bibik jadi isteri.” Balas Encik Zakuan serius. Tetapi Nana yang duduk di sebelahnya sudah mentertawakan Azam kembali.

Senyuman di bibir Azam serta merta mati. Hanya matanya terkelip-kelip memandang ke wajah abahnya untuk mencari kebenaran akan kata-kata tadi.

“Er.. Abah gurau ajakan…” tutur Azam dengan mata terhala ke wajah abahnya yang sedang menyuap nasi.
Encik Zakuan mengunyah perlahan nasi di dalam mulutnya sebelum menjawab.

“Sudahlah tu Zam. Abah gurau aja.” Kata Encik Zakuan sebelum bangun dan membawa pinggannya ke singki.

“Along dah cuak la tu..” ejek Nana mengusik.

Azam kertap bibir geram. Dalam masa yang sama dia sudah menarik nafas lega. Risau jika abahnya benar-benar inginkan dia berkahwin dengan ‘Bibik’.

“Zam, esok kamu ada pergi mana-mana?” tanya Encik Zakuan seraya mengeringkan tangan selepas mencuci pinggan.

“Takda rasanya. Kenapa?” Azam menyoal kembali.

“Barang-barang masak untuk minggu depan abah tak sempat beli lagi. Esok abah nak pergi hostel adik kamu tu ha.. ambik barang dia. Kamulah pergi pasaraya boleh?” balas Encik Zakuan yang kembali ke meja makan. Anak bongsunya itu masih lagi belum selesai makan.

“Biar betul abah ni. Azam manalah tahu beli barang dapur..” jawab Azam dengan kerutan. Seumur hidupnya, belum pernah dia pergi membeli barang dapur.

“Alah. Bukan susah sangat. Kamu pergi aja pasaraya. Beli aja apa yang kamu nak makan. Lepas tu suruh aja Bibik masak.” balas Encik Zakuan senang.

“Memanglah boleh beli bah..tapi Zam manalah tahu nak pilih ikan, sayur semua. Nama pun Zam tak tahu.” Azam beralasan.

“Abahlah yang pergi. Biar Azam aja yang pergi ambik barang budak kecik ni esok.” Sambung Azam memberi cadangan.

“Tak naklah. Nanti kalau Along yang datang, mesti member-member Nana pandang.” Celah Nana sebelum membuat suapan terakhir.

Azam tersengih-sengih penuh makna.

“Sebenarnya kau takut boyfriend kau nampakkan dik. Tu yang kau tak bagi along datang.” Kata Azam dengan kedua-dua keningnya terangat. Mengambil peluang untuk mengenakan adiknya kembali.

Nana menjelirkan lidah sebelum bangun membawa pinggannya ke singki.

“Iyalah tu..” giat Azam lagi.

“Mana ada!” nafi Nana jujur. Yang sebenarnya dia perlu mengikut rancangan yang telah dibuat bersama abahnya tadi.

“Sudah tu. Esok kamu bawak aja Bibik. Nanti abah cakap dengan Aunty Shima kamu.” Putus Encik Zakuan akhirnya yang lebih memihak kepada Nana.

Nana tersengih lebar. Meraikan kemenangan.

‘Padan muka! Susah sangat nak kenal perempuan. Perempuan cantik depan mata pun tak nampak.’ Ejek Nana dalam hati.

“Dengan Bibik?? Oh..no.. Nanti kalau dia pakai topi kebun dia pergi pasaraya macam mana? Malu la Azam bah..” rungut Azam kurang bersetuju dengan rancangan abahnya.

Encik Zakuan dengan Nana sudah ketawa. Lucu dengan kata-kata Azam.

“Takkanlah Bibik nak pakai macam tu. Kamu ingat Bibik tu duduk dekat pedalaman ke sampai tak tahu nak beza baju pergi kebun dengan baju nak keluar.” balas Encik Zakuan dengan sisa tawanya.

“Entah along ni. Macamlah Bibik tu kolot sangat.” sokong Nana pula.

Wajah Azam sudah masam mencuka.

“Hish! Tengoklah macam mana bah.” Rungut Azam sebelum bangun dan meninggalkan meja makan. Dalam kepalanya sudah membayangkan dia keluar bersama ‘Bibik’ yang mengenakan topi kebun. Dengan kening yang hampir bercantum dia terus memanjat tangga untuk masuk ke dalam bilik.

**********

“Assalamualaikum..” buat kali kedua Azam memberi salam di hadapan pintu pagar. Namun tetap juga belum bersambut.

Mata mengerling sekilas jam di pergelangan tangan. Hampir pukul 10 pagi. Dalam tidak mahu, dia terpaksa juga menurut pesanan abahnya. Awal pagi lagi adik dan abahnya sudah keluar dari rumah tanpa dia sedari. Baharu sahaja mulutnya dibuka ingin memberi salam yang ketiga, ternampak ada seorang gadis keluar dari pintu utama. Dahi berkerut-kerut.

“Sejak bila pulak rumah ni ada perempuan cantik..” desisnya perlahan. Matanya sedikit pun tidak beralih dari memandang wajah comel yang sedang berjalan menghampirinya. Walaupun jelas ketegangan di wajah itu, tetapi masih tetap comel padanya.

‘Eh! Apa aku merepek ni!’ kata suara hatinya membuatkan dia menampar perlahan pipinya sendiri.

“Er… Assalamualaikum..” ucapnya dengan sedikit kalut saat gadis yang tidak dikenali itu tiba di hadapan pintu.

“Masuklah dulu.” pelawa Ada dengan suara mendatar. Salam lelaki itu tadi hanya dijawab perlahan. Tiada hati sebenarnya. Tetapi oleh kerana dia tidak mahu membantah kata-kata mamanya, terpaksa juga dia menebalkan muka untuk membuka pintu tambahan pula sebentar nanti dia akan keluar bersama-sama lelaki cerewet yang amat tidak disenangi itu.

“Er.. takpalah. Terima kasih. Saya datang nak ambik Bibik.” Kata Azam yang masih tidak bergerak dari hadapan pintu pagar walaupun gadis tadi sudah memberi laluan. Senyuman yang terukir di bibirnya saat itu dirasakan serba tidak kena.

“Bro! masuklah dulu. Ayah aku ajak minum dulu.” laung Shahimi tiba-tiba dari muka pintu.

Ada pula terus sahaja melangkah meninggalkan Azam keseorangan di situ tanpa lagi dipelawa. Anginnya tiada hari itu kerana apa yang dirahsiakan sudah lebih dari tiga bulan tidak akan menjadi rahsia lagi.

‘Mak aii… sombongnya minah ni.. dia boleh terus blah aja..’ sempat hatinya mengumpat apabila gadis yang mengenakan baju kurung kain cotton itu terus sahaja berlalu. Kaki diatur juga masuk ke perkarangan rumah apabila Shahimi masih tetap memanggilnya.

“Uncle..” sapanya ramah seraya menyalami tangan lelaki yang sebaya dengan abahnya itu.

“Uncle ingat kamu tak jadi nak bawak Ada keluar hari ni.” Kata Encik Shukri tanpa mengesyaki apa-apa pun.

“Ada?” wajah Azam berkerut. Nama itu begitu asing di pendengarannya.

“Tu.. Ada Syuhada Adlia.” Kata Shahimi sambil memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah adiknya yang tiba ke ruang itu sedang menatang dulang.

“Eh.. er.. aku janji nak bawak Bibik kau beli barang dapurlah bro.. bukan dengan..er..” mati kata-katanya kerana tidak tahu akan status gadis yang sedang menuangkan air di hadapannya itu.

“Bibik? Bibik mana pulak ni?” celah Encik Shukri yang tidak tahu menahu akan kewujudan Bibik di dalam rumahnya.

Saat itu Ada sudah menjeling tajam ke arah abangnya sebelum dia meninggalkan ruang itu.

“Tu..  Ada kan ‘Bibik’ dekat rumah kita ni yah..” jawab Shahimi sambil tersengih-sengih memandang ke wajah sahabatnya yang jelas sedikit bingung.

Ada yang sedang melangkah ke dapur semula sempat mendengar kata-kata abangnya. Bibir dikertap kuat. Bocor rahsianya selama ini.

“Kenapa masuk sini lagi ni. Jom duduk dekat depan sana sekali.” Kata Puan Shima sambil membawa sepinggan kuih karipap dan keria yang dibuat sendiri oleh anak bongsunya itu.

“Malaslah ma.” Jawab Ada dengan wajah masam mencuka.

“Jom mama kenalkan dengan Azam tu..” kata Puan Shima lagi.

“Ala..Kan Ada dah kenal. Nak kenal apa lagi.. tak naklah ma. Nanti dah la kena keluar dengan dia.” Rungut Ada. Kini wajahnya sudah memuncung pula.

“Suka hati kamulah.” Balas Puan Shima malas mahu memaksa lagi. Bukan dia tidak faham dengan mimik wajah anak daranya itu.

Sedaya upaya dia memujuk anaknya itu semalam agar menemani Azam untuk membeli barang dapur. Tambahan pula Encik Zakuan pernah menyuarakan hasrat untuk merisik anak perempuannya itu buat Azam. Cuma hajat itu sahaja yang belum disampaikan kepada Ada kerana tidak mahu anak bongsunya itu terkejut. Tambahan pula dia tahu keadaan hubungan kedua-duanya sebelum ini.

Ada hanya memandang kelibat mamanya menghilang dengan wajah yang masam mencuka. Seperti tidak percaya yang sebentar nanti dia akan keluar bersama ‘Tuan Azam’ yang cerewet itu. Untuk menolak, dia tidak sampai hati pula menghampakan hati Uncle Zakuan yang beriya-iya mahu dia membantu Azam membeli barang dapur yang akan dimasaknya buat ahli keluarga itu.

Sementara Azam yang duduk di ruang tamu semakin tidak senang hati. Otaknya cuba memproses akan perkara yang diberitahu oleh Shahimi sebentar tadi.

‘Ada Syuhada Adlia’ Sebaris nama itu bermain di dalam kepalanya. Masih tidak percaya Ada adalah gadis yang dipanggil Bibik dan gadis itu jugalah yang mencuci pakaian kerjanya. Entah kenapa dia tidak perasan akan wajah itu sebelum ini. Cuma satu persamaan yang dia perasaan. Mata. Mata bulat cantik bersinar itu pernah dilihat ketika kali pertama mereka bertemu di rumahnya. Hanya penampilan gadis itu yang membezakan segala-galanya kini. Spontan jantungnya hilang rentak. Pincang semuanya.

10 comments:

mizz acu said...

Yippieeee!!
Xsabo nak tau apa reakksi tuan azamm.. ;p

ciknie said...

amboi "pincang semuanya"..mmang dbar x tkata r kn azam oii..

einaz lynna said...

terkesima tuan adam tegok bibik cantik menawan..hahahahah

kak na said...

mata bertentang dan hati pun berkata

MaY_LiN said...

amboi..abah ni memang nak matchkan singa ngan bibik ya..
memang seksi+seksa la abang shah

persaan~perasan
tander~tender
keseorang~keseorangan


anak teruna ke anak bujang??

Anor said...

Baru Azam tau siapa bibik yg sebenar
nya.. kan dh rasa tak kena je...

hafizah hanem said...

Arsha....

bestnye...hahaaa padan muka tuan azam mesti tekejut...:-P

Anonymous said...

Dari mata turun ke hati kan kak na....azam dah ter....ngan ada...*hahaha
Arsha laling ada ker asam pedas buh tempe?? Pernah try masak ker??¤dewi¤

Kak Sue said...

Aduh rasa nak tergelak dan guling-guling sekali bila baca entry kali ni..... hahaha...
padan muka dengan pak cik cerewet tu.... cakap besar lagi..... ingat anak jiran awak tu x ada yang boleh buat hati mahu keluar dari baris ke????..... hahaha..... sendiri mahu tanggung lah.....
cepat sambungggg..... KAK SUE FOLLOW

Eijan said...

Wah...mesti tua azzam sudah terkedu melihat 'bibik' yg sebenar tu....emmm pas ni mesti dalam hati ada taman la tu...itu lah sombong dan cerewet sgt....kan dah ter'JATUH' HATI...