“Apa yang kau terintai-intai tu
Bik?” tegur satu suara menyebabkan mangkuk tingkat yang dipegang hampir sahaja
terlepas. Mujur dia masih sempat mengawal keadaan tubuhnya saat itu.
‘Hish! Ada lagi dia ni! Tak pergi
kerja lagi ke? Huh!” berdongkol perasaan geramnya kepada lelaki itu tidak surut
selepas apa yang berlaku dua hari lepas. Dia yang setia dengan topi kebunnya
terus menundukkan wajah apabila sedar Azam menghampiri. Entah dari mana lelaki
itu muncul dia tidak pasti.
Selepas apa yang berlaku dua hari
lalu, dia tidak lagi menghantar mangkuk tingkat. Mamanya yang mengambil alih
tugasan itu memandangkan Azam masih bercuti. Tetapi tidak pula dia menyangka kedatangannya
hari itu akan bertemu lagi dengan azam memandangkan kereta Honda civic biru itu
tiada di tempatnya. Begitu juga dengan kereta Vios milik Uncle Zakuan.
“Hari ni aku tak nak makan bubur
lagi Bik. Dah tiga hari aku demam, asyik makan bubur aja. Kau masak apa hari
ni?” tanya Azam selamba. Dia sudah penat ketawa kerana menjadi pemerhati dari
tadi apabila dilihat ‘Bibik’ terintai-intai di pintu utama rumah tanpa
menyedari kewujudan dirinya.
‘Setia betul kau dengan topi
kebun tu Bik. Takut kena cahaya matahari ke apa dia ni?’ bebelnya dalam hati
apabila melihat penampilan ‘Bibik’ hari itu. Berseluar track bottom biru tua
bersama baju-t lengan panjang warna hijau. Rambut tetap ditocang dua seperti
dua hari lalu.
“Er… Ikan pari masak asam pedas.
Tuan Zakuan yang mahu.” jawab Ada tergagap cuba menyusun ayat seberangnya.
Dilihat lelaki itu sudah pun masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan dirinya
yang masih berdiri di tepi pintu.
‘Cisss! Bukan dia nak ambik
mangkuk tingkat ni aku! Nak jugak aku hantar sampai depan muka dia.’ Rungutnya
dalam hati. Dalam tidak mahu, dia terpaksa juga melangkah masuk ke dalam rumah
seraya sengaja melebarkan lagi daun pintu agar lebih luas terbuka. Tidak mahu
ada jiran-jiran mengesyaki yang bukan-bukan pula.
“Bagus! Tapi sebelum tu, kau ada
letak tempe ke tak dalam tu?” tanya Azam yang sedang membuka pintu peti sejuk
dan mencapai sebotol jus oren.
“Tempe?” lurus Ada bertanya
kembali.
‘Ada ke orang letak tempe dalam
asam pedas. Aku tak pernah masak pun. Merepek betul dia ni!’ getusnya dalam
hati.
“Kau ni sebenarnya orang jawa ke
bukan? Bukan semua suku sakat kau suka makan tempe ke? Macam Bibik aku dulu.
Semua lauk dia masak, dia nak letak tempe. Memang saja nak bagi aku naik
darahlah kalau kau buat macam tu jugak.” kata Azam memberi amaran awal.
Ada mencebik tanpa Azam sedari.
Dia terus meletakkan mangkuk tingkat yang dibawa tadi di atas meja makan dan
segera berlalu. Langsung tidak dihiraukan kata-kata Azam.
‘Tempe pun tak makan. Kacang soya
bagus untuk kulit pun tak tahu. Nama aja kulit putih mamat ni. Oh.. patutlah
kulit kau putih. Banyak makan tempe… Nasib baik tak nampak six pack kau hari ni.’ omelnya dalam hati.
“Oi! Bik! Kau ni, aku cakap dengan
kau. Kau boleh blah macam tu aja?” kata
Azam geram saat dia berpaling selepas minum segelas jus oren tadi. Dia
menyangka ‘Bibik’ menantinya di situ untuk mendengar segala bebelannya. Dilihat
gadis itu sudah pun menghampiri pintu utama dan sedia untuk pulang ke rumah.
Dia juga dengan pantas terus melangkah.
Ada pula cepat-cepat mengatur
langkah untuk menjauhi Azam. Malas mahu melayan mahupun mendengar bebelan Azam
yang takda kena mengena dengan dirinya.
“Bibik!” pekik Azam dari muka
pintu apabila melihat Ada sudah tiba di pintu pagar rumahnya.
“Saya permisi dulu tuan. Bye!” balas Ada tanpa menoleh. Hanya tangannya
sahaja dilambaikan kepada Azam. Laju kakinya diatur untuk pulang ke rumah.
‘Jangan haraplah aku nak patah
balik.’ kata Ada sendirian sambil mengatur langkah megahnya. Meraikan
kemenangan.
Sementara Azam pula hanya mampu
kertap bibir geram. Kelibat Ada yang menghilang masuk ke dalam rumah tidak
lepas dipandang.
‘Apa punya peliklah Bibik si Shah
ni. Macamlah aku nak makan dia. Aku baru nak pesan masak sambal udang petang
nanti. Hish!’ bebelnya sendiri.
*********
“Kau kenapa dik sengih sorang-sorang? Berita tengah malam ni
ada buat lawak ke?” tegur Shahimi yang hampir sepuluh minit melabuhkan duduk di
sisi, langsung tidak dihiraukan.
Ada diam. Fikirannya tidak di
situ. Hanya matanya sahaja yang sejak tadi melekat pada skrin nipis di hadapan
mereka.
“Ada Syuhada Adlia!” jerit
Shahimi rapat di sebelah telinga Ada membuatkan gadis itu terperanjat. Melambung
alat kawalan jauh tv yang sedang dipegang sebelum menghempas ke lantai hingga
terburai bateri dari tempatnya.
“Apa abang ni! Ada belum pekak
lagilah!” bentak Ada sambil menggosok cuping telinganya. Memang terasa
berdesing telinganya saat itu mendengar pekikan abangnya yang tiba-tiba.
“Kau tu yang kuat berangan. Tu
lah sampai abang panggil pun tak dengar.” Balas Shahimi yang sudah terkekeh
ketawa. Mana tidaknya, melambung alat kawalan jauh tv dari tangan adiknya tadi.
Mujur tidak menimpa kepalanya.
“Abang nak apa ni? Kan tadi dah
makan. Minum pun Ada dah buatkan. Menyibuk aja dekat sini. Pergilah tidur!”
kata Ada cuba menutup perasaan malunya seraya mengutip semula alat kawalan jauh
yang terdampar di lantai.
‘Apasal kau ni Ada…’ marah
dirinya sendiri kerana terleka. Langsung tidak sedar dengan kehadiran abangnya
tadi. Selepas ini bersiap sedialah dia menjadi bahan usikan Shahimi.
“Yang kau tu apasal tak tidur?
Tengok jam tu dah pukul berapa.” Balas Shahimi dengan sengihan mengusik.
“Sibuklah abang ni. Ada bukan
kerja pun esok. Abang tu yang kerja, pergilah tidur.” Jawab Ada selamba dengan
wajah masam mencuka. Entah kenapa dia boleh terleka tadi. Semua sebab Azam!
Kawan baik kau tu bang! Bebelnya dalam hati. Dalam kepalanya tidak henti
teringatkan Azam. Sejak kes lelaki itu sembuh dari demam, kini dia tidak lagi
boleh masak masakan yang dirasakan sesuai. Semua perlu mengikut senarai masakan
yang telah disediakan. Setiap hari menu yang berbeza. Paling menyakitkan hati
apabila senarai itu dibuat sendiri oleh Azam. Uncle Zakuan pula hanya menurut
tanpa sebarang bantahan. Tidak cukup dengan itu. Dengan bayaran yang semakin
bertambah, dia perlu melakukan kerja tambahan juga. Azam akan menghantar baju
kemeja setiap hari Sabtu ke rumahnya untuk dicuci dan digosok.
“Kalau dah tahu tak kerja, esok
jom ikut abang masuk office. Tolong buat account.” Kata Shahimi. Itu tujuan
utama dia turun dari bilik tadi untuk bertemu Ada. Mulai esok pembantunya akan
bercuti bersalin. Lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Suami pembantunya itu
sendiri yang memaklumkan kepadanya sebentar tadi. Waktu kelahiran lebih awal
dari waktu yang dijangkakan.
“Hish! Ada dah ada kerjalah
sekarang. Mana boleh kerja dengan abang.” Balas Ada sambil menukar siaran tv.
Tidak perasan cerita yang ditontonnya tadi sudah pun tamat. Diganti pula dengan
berita tengah malam.
“Tadi kata takda kerja. Sekarang
ada kerja pulak. Mana satu ni?” gerutu Shahimi dengan kerutan di wajah.
“Kan Ada jadi ‘Bibik’ tak rasmi
kawan baik abang tu!” jawab Ada dengan rengusan kasar. Geram apabila Azam
menambah tugasannya. Mujur bayaran yang diterima turut bertambah. Jika tidak,
jangan haraplah dia mahu mencuci pakaian lelaki itu. Mencuci dan menggosok
mungkin dia mampu terima lagi. Tetapi apabila dia mendapat surat ‘chinta’
daripada lelaki itu minggu lepas, membuatkan hatinya selalu geram.
Khas buat Bibik,
Bibik, terima kasih
sebab cuci baju aku.
PESANAN PENTING:
BIBIK, GOSOK BAJU
AKU LICIN-LICIN. KALAU PENGGOSOK DEKAT RUMAH TU ROSAK, KAU GUNA PENGGOSOK DEKAT
RUMAH AKU NI. KALAU KAU TAK TAHU GOSOK, DATANG SINI AKU BOLEH BAGI KELAS
MENGGOSOK UNTUK KAU. BAIK-BAIK SIKIT GOSOK BAJU MAHAL AKU TU. FAHAM! KALAU TAK,
AKU POTONG GAJI KAU NANTI.
Tuan Azamuddin
Ashraf
Ada mencebikkan bibir tiba-tiba
apabila teringat kembali apa yang ditulis oleh lelaki itu.
“Oi!” sekali lagi Shahimi memekik
di sebelah telinga adiknya.
“Apa abang ni!” marah Ada sambil
menolak tubuh Shahimi.
“Kau tu. Abang cakap, boleh pulak
kau buat pekak. Dengan buat bibir itik kau tu lagi.” Kata Shahimi geram. Yakin
apa yang diperkatakan tadi langsung tidak melekat dalam kepala adiknya itu.
“Abang tu. Kan Ada dah cakap tak
nak kerja. Tak nak kerjalah. Ada dah ada kerja sekarang.” Bentak Ada tidak mahu
mengalah sekaligus cuba menutup malu kerana sekali lagi dia terleka apabila
teringat tentang surat yang diterima.
“Alah.. Bukan lama pun. Sementara
aja. Lagipun kau masak petang ajakan? Sempat lagi masak kalau lepas balik
kerja. Si Azam tu pun balik bukan selalu awal. Uncle Zakuan aja yang ada kan.”
Pujuk Shahimi lagi.
“Mana boleh. Penatlah Ada nanti.
Balik terkejar-kejar pulak. Lagipun hari Sabtu Ada banyak kerjalah sekarang.
Nak kena cuci baju kawan baik abang tu pulak setiap hari Sabtu. Lepas tu nak
gosok lagi. Ada tak bolehlah kerja dengan abang.” Ada membuat alasan. Bukan dia
tidak tahu tempat kerja abangnya beroperasi hingga hari Sabtu walaupun hanya
setengah hari.
“Cuci baju? Sejak bila pulak
ambik tender cuci baju si Azam ni?” tanya Shahimi pelik.
“Kawan Abang tu kan kerjanya nak
membuli aja. Duit sampai dah tak tahu nak buat apa. Tu yang dia sedekah dekat
Ada suruh cuci baju dia pulak.” Jawab Ada dengan wajah kelatnya.
“Erk? Azam tak cakap apa-apa pun
dengan abang.” Balas Shahimi seraya cuba mengingati andai sahabatnya itu ada
bercerita tentang kerja baru yang dilakukan oleh Ada sebagai ‘Bibik’ tak rasmi.
Ada diam tidak membalas. Matanya
sahaja tetap terhala ke skrin nipis di hadapannya. Sebuah rancangan masakan
menjadi pilihan.
“Dik, bolehlah eh.. boleh la..
Abang dah tak tahu nak cari dekat mana lagi ni…” kata Shahimi kembali memujuk
apabila otaknya malas memikirkan hal Azam tadi.
“Apa abang ni. Ada tak naklah…”
balas Ada tetap dengan keputusannya.
“Alah.. kau kan nak beli kereta
kan..kan..kan? Kau ingat kerja masak tu boleh dapat beli kereta ke? Entah bila
baru kau merasa nak pakai kereta. Kalau kerja dengan abang, boleh jugak cepat
sikit nak pakai kereta.” ujar Shahimi tersengih-sengih. Cuba memasang umpan kerana
tahu akan keinginan adiknya yang satu itu.
Ada berkerut dahi. Baharu
teringat akan impiannya yang satu itu. Ahh! Shahimi memang pandai memancing perhatiannya.
“Erm.. berapa banyak gaji abang
boleh bagi?” tanyanya dengan kening sebelah terangkat. Inginkan kepastian.
“Erm… disebabkan jawatan tu ikut
diploma, abang bagi dalam… erm…” Shahimi sengaja membuat Ada ternanti-nanti.
“Berapa?!” sergah Ada tidak
sabar.
“Esok ikut abang dulu, sampai office baharu abang bagitahu.” Jawab
Shahimi dengan senyuman mengusik seraya bingkas bangun. Selesai sudah
masalahnya untuk mencari pengganti buat sementara waktu itu.
“Abang!” sempat Ada menyambar
tepi kain pelekat yang dipakai oleh abangnya membuatkan Shahimi pantas memegang
kainnya di bahagian pinggang kerana risau akan terlucut.
“Apa main tarik-tarik kain orang
ni.” Shahimi cuba menepis tangan Ada namun pegangan adiknya itu terlalu kejap.
“Takda..takda. Abang tak cakap,
Ada tak lepaskan kain abang. Biar terlucut dekat sini.” kata Ada seraya menarik
lagi kain Shahimi.
“Abang jerit nanti. Baru Ada
tahu. Biar ayah marah Ada.” Shahimi mengugut pula. Sengaja menggunakan nama
ayahnya.
“Eleh. Panggillah. Ada tak heran
pun.” Jawab Ada berani. Sedikit tidak tergugat dengan ugutan abangnya.
“Betul ni?” cabar Shahimi lagi.
“Terpulang.”
“Baik!” Shahimi terus melepaskan
ikatan kain pada pinggangnya membuatkan Ada serta merta melepaskan tangan dan
memejam rapat matanya.
“Abang ni tak senonoh betul!”
bentak Ada sambil menutup matanya dengan kusyen kecil.
Shahimi pula sudah tergelak-gelak
meraikan kemenangan.
“Tahu takut..” ejek Sahimi
sebelum berlalu dan terus memanjat tangga untuk kembali ke bilik.
Ada pula sudah kertap bibir
geram. Tidak sempat membuat serangan balas kerana takut untuk membuka mata.
Risau andai dia melihat perkara yang bukan-bukan.
**************
“Zam, kalau abah kenalkan anak
kawan abah pada kamu, nak tak?” ujar Encik Zakuan tiba-tiba membuatkan Azam
yang sedang leka menikmati makan malamnya tersedak.
Nana yang duduk di sisi Encik
Zakuan pula sudah ketawa kecil melihat wajah abangnya yang merah padam menahan
keperitan di tekak. Nasi yang dimakan warna merah menyala kerana digaul bersama
sambal udang kegemaran lelaki itu.
“Apa abah ni. Takda angin takda
ribut tiba-tiba nak kenalkan Azam dengan anak kawan abah.” Rungut Azam selepas
meneguk dengan rakus air suam di sisinya. Habis segelas air diteguk namun rasa
perit kerana pedas tidak pun hilang.
“Alah.. abah cakap aja. Manalah
tahu kalau kamu berkenan. Kenal-kenal la dulu. Bukan abah suruh kahwin terus.”
Jawab Encik Zakuan dengan senyuman. Kesian pula melihat anak bujangnya itu
masih terbatuk-batuk.
“Tak naklah bah.” Balas Azam yang
tidak senang dengan permintaan Encik Zakuan.
“Hm… abah baru berangan nak dapat
menantu pandai masak dekat rumah ni. Hm.. tak kesampaianlah nampaknya..” Encik
Zakuan pura-pura mengeluh. Sengaja ingin meraih simpati anak sulungnya itu.
“Apalah along ni. Abah suruh
kenal aja pun. Bukan suruh terus kahwin kan bah. Itupun tak nak. Tambahlah
sikit koleksi kawan-kawan perempuan along tu. Ni tak… balik-balik Abang Shah tu
jugak kawan along Nana tengok.” Sampuk Nana sambil tersengih-sengih. Jarang dia
dapat mengusik abangnya itu. Peluang yang ada ini, tidak mungkin akan
dilepaskan.
‘Padan muka kau along! Susah
sangat nak kahwin. Sampai nak kena abah pulak carikan calon.’ Ejeknya dalam
hati.
“Ah.. kau dik. Menyibuklah.
Kaulah yang kahwin.” getus Azam sambil menjeling tajam adiknya yang masih
tersengih-sengih. Dua gelas air suam sudah selamat masuk ke dalam perutnya.
Hidungnya pula sudah mula berair dek kerana tersedak tadi.
“Nana pulak. Nana tak habis study lagi kan bah. Mana boleh kahwin.
Belajar masak dengan Bibik Aunty Shima pun belum.” Balas Nana meminta sokongan
abahnya.
“Abah cakap pasal kamu Zam. Bukan
pasal Nana. Kamu tu.. Hari tu kan abah dah cakap dengan kamu cari aja anak
jiran kita ni kalau dah susah sangat kamu cari dekat luar tu. Ada aja anak
jiran kita yang pandai masak, berkemas rumah macam arwah mama. Siap pandai
tanam pokok bunga lagi.” Kata Encik Zakuan lagi masih tetap cuba memujuk. Semua
sifat-sifat yang disebut itu pula memang dimiliki oleh anak sahabat baiknya
sendiri, Ada. Gadis itu yang memasak makanan yang dimakan kini. Malah turut
melakukan kerja tambahan lagi apabila anak sulungnya itu menyerahkan tugasan mencuci
kepada Ada setiap hari Sabtu.
“Zam main-main ajalah hari tu
bah. Takkanlah Zam nak kahwin dengan anak jiran-jiran kita pulak. Macamlah anak
abah ni dah tak laku sangat sampai abah nak kena kenalkan. Anak jiran pulak
tu..” Balas Azam sebelum menyambung semula makan. Nasi yang begitu sedap tadi
mula dirasakan pahit apabila tiba ditekaknya. Terus hilang seleranya apabila
abahnya menyebut hal kahwin.
“Habis tu.. sampai bila Zam? Abah
tengok kamu macam tak berminat aja dengan perempuan. Semua perempuan kamu tak
pandang.” Kata Encik Zakuan lagi yang perasan hidup anaknya itu hanyalah dengan
kerja semata-mata. Langsung tidak menghiraukan hal peribadi.
“Tak pandang, tak bermakna Zam
tak minat pada perempuan bah..” jawab Azam yang semakin tidak senang duduk
dengan setiap patah kata yang keluar dari bibir abahnya. Mata sempat menjeling
ke arah adiknya yang dari tadi tidak henti mentertawakannya.
“Hm.. abah tak tahu nak cakap
macam mana lagi dengan kamu ni Zam.” Tutur Encik Zakuan dengan keluhan terlepas
di bibirnya. Malas lagi mahu membincangkan hal tersebut kerana sememangnya anak
sulungnya itu tidak berminat.
“Biarkan dia bah kalau tak nak
kahwin. Biar jadi bujang te..”
“Mulut kau jaga sikit dik. Along
sumbat dengan sambal udang ni nanti..” pintas Azam yang tidak mahu mendengar
istilah yang mahu disebut oleh adiknya itu.
“Tahu takut.. kalau dah takut,
cepat-cepatlah kahwin long.. Bolehlah Nana dapat geng dekat rumah ni.
Takda
selalu kena buli dengan along aja.” Balas Nana dengan senyuman mengusiknya.
Azam menjeling tajam.
“Sampai bila kita nak guna
khidmat ‘Bibik’ aja Zam..” celah Encik Zakuan mengingatkan.
“Sampai Zam dapat cari calon
isterilah bah. Aunty Shima pun tak kisah kan..” balas Azam masih tetap dengan
pendiriannya.
“Hm… Nanti kalau sampai si Bibik
tu kahwin, macam mana?”
“Apa kena mengena Bibik kahwin
dengan kita pulak bah..” balas Azam tidak faham.
Encik Zakuan tersengih. Hampir
sahaja dia terlepas cakap.
“Kalau susah sangat, along kahwin
ajalah dengan Bibik tu. Ada tengok, semua dia boleh buat. Pandai masak. Sedap
macam arwah mama. Cantik pulak tu. Cukup pakejlah.” Kata Nana pula sengaja mahu
menduga. Baharu beberapa hari lalu abahnya memberitahu tentang ‘Bibik’ yang
dimaksudkan. Dia sendiri berkenan dengan keperibadian Ada.
“Bibik? Merepeklah. Nana nak ke
kakak ipar dari seberang?” balas Azam dengan sengihan di bibir. Terasa lucu
pula dengan kata-kata adiknya.
“Abah on aja..” sahut Encik Zakuan yang turut sama tersenyum penuh makna
kepada anak bongsunya.
Azam mematikan senyum. Mata
terhala ke wajah-wajah yang disayangi di hadapannya itu.
“Abah tadi sebenarnya cakap pasal
Bibik la kan? Biar betul abah ni? Takkan abah nak anak abah ni kahwin dengan
orang gaji Aunty Shima tu pulak.” Kata Azam seperti tidak percaya dengan apa
yang diperkatakan oleh abah dan adiknya.
Encik Zakuan dan Nana sudah
menghamburkan tawa melihat wajah Azam yang terkulat-kulat.
“Kenapa? Bibik bukan orang ke?”
soal Encik Zakuan kembali dalam sisa tawanya.
“Takdalah.. Abah tak kisah ke Azam
kahwin dengan orang gaji?” Azam menyoal kembali bernada serius kerana yakin
yang abahnya sengaja mahu mengusik.
“Tak kisah. Abah lagi suka kalau Azam
kahwin dengan Bibik. Ada jugak orang tolong uruskan rumah ni.” Balas Encik
Zakuan dalam senyuman.
Jika Azam bersetuju dengan
pilihannya, dialah orang yang paling gembira. Sukar mahu mencari gadis selincah
Ada melakukan semua kerja-kerja rumah.
Azam kerut dahi. Semakin tidak
faham. Pinggan yang sudah pun kosong terus dibawa ke singki sebelum dia kembali
semula ke meja makan. Bibir menarik senyum nipis.
“Abah ni kalau nak bergurau pun,
agak-agaklah bah..” kata Azam sebelum mencapai gelas yang digunakan tadi. Air
suam dituang.
“Betullah apa abah cakap. Abah
tak kisah pun kalau Azam pilih Bibik jadi isteri.” Balas Encik Zakuan serius.
Tetapi Nana yang duduk di sebelahnya sudah mentertawakan Azam kembali.
Senyuman di bibir Azam serta
merta mati. Hanya matanya terkelip-kelip memandang ke wajah abahnya untuk
mencari kebenaran akan kata-kata tadi.
“Er.. Abah gurau ajakan…” tutur
Azam dengan mata terhala ke wajah abahnya yang sedang menyuap nasi.
Encik Zakuan mengunyah perlahan
nasi di dalam mulutnya sebelum menjawab.
“Sudahlah tu Zam. Abah gurau aja.”
Kata Encik Zakuan sebelum bangun dan membawa pinggannya ke singki.
“Along dah cuak la tu..” ejek
Nana mengusik.
Azam kertap bibir geram. Dalam
masa yang sama dia sudah menarik nafas lega. Risau jika abahnya benar-benar
inginkan dia berkahwin dengan ‘Bibik’.
“Zam, esok kamu ada pergi
mana-mana?” tanya Encik Zakuan seraya mengeringkan tangan selepas mencuci
pinggan.
“Takda rasanya. Kenapa?” Azam
menyoal kembali.
“Barang-barang masak untuk minggu
depan abah tak sempat beli lagi. Esok abah nak pergi hostel adik kamu tu ha..
ambik barang dia. Kamulah pergi pasaraya boleh?” balas Encik Zakuan yang
kembali ke meja makan. Anak bongsunya itu masih lagi belum selesai makan.
“Biar betul abah ni. Azam manalah
tahu beli barang dapur..” jawab Azam dengan kerutan. Seumur hidupnya, belum
pernah dia pergi membeli barang dapur.
“Alah. Bukan susah sangat. Kamu
pergi aja pasaraya. Beli aja apa yang kamu nak makan. Lepas tu suruh aja Bibik
masak.” balas Encik Zakuan senang.
“Memanglah boleh beli bah..tapi
Zam manalah tahu nak pilih ikan, sayur semua. Nama pun Zam tak tahu.” Azam
beralasan.
“Abahlah yang pergi. Biar Azam
aja yang pergi ambik barang budak kecik ni esok.” Sambung Azam memberi
cadangan.
“Tak naklah. Nanti kalau Along
yang datang, mesti member-member Nana
pandang.” Celah Nana sebelum membuat suapan terakhir.
Azam tersengih-sengih penuh
makna.
“Sebenarnya kau takut boyfriend kau nampakkan dik. Tu yang kau
tak bagi along datang.” Kata Azam dengan kedua-dua keningnya terangat.
Mengambil peluang untuk mengenakan adiknya kembali.
Nana menjelirkan lidah sebelum
bangun membawa pinggannya ke singki.
“Iyalah tu..” giat Azam lagi.
“Mana ada!” nafi Nana jujur. Yang
sebenarnya dia perlu mengikut rancangan yang telah dibuat bersama abahnya tadi.
“Sudah tu. Esok kamu bawak aja
Bibik. Nanti abah cakap dengan Aunty Shima kamu.” Putus Encik Zakuan akhirnya
yang lebih memihak kepada Nana.
Nana tersengih lebar. Meraikan kemenangan.
‘Padan muka! Susah sangat nak
kenal perempuan. Perempuan cantik depan mata pun tak nampak.’ Ejek Nana dalam
hati.
“Dengan Bibik?? Oh..no.. Nanti
kalau dia pakai topi kebun dia pergi pasaraya macam mana? Malu la Azam bah..”
rungut Azam kurang bersetuju dengan rancangan abahnya.
Encik Zakuan dengan Nana sudah
ketawa. Lucu dengan kata-kata Azam.
“Takkanlah Bibik nak pakai macam
tu. Kamu ingat Bibik tu duduk dekat pedalaman ke sampai tak tahu nak beza baju
pergi kebun dengan baju nak keluar.” balas Encik Zakuan dengan sisa tawanya.
“Entah along ni. Macamlah Bibik
tu kolot sangat.” sokong Nana pula.
Wajah Azam sudah masam mencuka.
“Hish! Tengoklah macam mana bah.”
Rungut Azam sebelum bangun dan meninggalkan meja makan. Dalam kepalanya sudah
membayangkan dia keluar bersama ‘Bibik’ yang mengenakan topi kebun. Dengan
kening yang hampir bercantum dia terus memanjat tangga untuk masuk ke dalam
bilik.
**********
“Assalamualaikum..” buat kali
kedua Azam memberi salam di hadapan pintu pagar. Namun tetap juga belum
bersambut.
Mata mengerling sekilas jam di
pergelangan tangan. Hampir pukul 10 pagi. Dalam tidak mahu, dia terpaksa juga
menurut pesanan abahnya. Awal pagi lagi adik dan abahnya sudah keluar dari
rumah tanpa dia sedari. Baharu sahaja mulutnya dibuka ingin memberi salam yang
ketiga, ternampak ada seorang gadis keluar dari pintu utama. Dahi
berkerut-kerut.
“Sejak bila pulak rumah ni ada
perempuan cantik..” desisnya perlahan. Matanya sedikit pun tidak beralih dari
memandang wajah comel yang sedang berjalan menghampirinya. Walaupun jelas
ketegangan di wajah itu, tetapi masih tetap comel padanya.
‘Eh! Apa aku merepek ni!’ kata
suara hatinya membuatkan dia menampar perlahan pipinya sendiri.
“Er… Assalamualaikum..” ucapnya
dengan sedikit kalut saat gadis yang tidak dikenali itu tiba di hadapan pintu.
“Masuklah dulu.” pelawa Ada
dengan suara mendatar. Salam lelaki itu tadi hanya dijawab perlahan. Tiada hati
sebenarnya. Tetapi oleh kerana dia tidak mahu membantah kata-kata mamanya,
terpaksa juga dia menebalkan muka untuk membuka pintu tambahan pula sebentar
nanti dia akan keluar bersama-sama lelaki cerewet yang amat tidak disenangi
itu.
“Er.. takpalah. Terima kasih. Saya
datang nak ambik Bibik.” Kata Azam yang masih tidak bergerak dari hadapan pintu
pagar walaupun gadis tadi sudah memberi laluan. Senyuman yang terukir di
bibirnya saat itu dirasakan serba tidak kena.
“Bro! masuklah dulu. Ayah aku
ajak minum dulu.” laung Shahimi tiba-tiba dari muka pintu.
Ada pula terus sahaja melangkah
meninggalkan Azam keseorangan di situ tanpa lagi dipelawa. Anginnya tiada hari
itu kerana apa yang dirahsiakan sudah lebih dari tiga bulan tidak akan menjadi
rahsia lagi.
‘Mak aii… sombongnya minah ni..
dia boleh terus blah aja..’ sempat hatinya mengumpat apabila gadis yang
mengenakan baju kurung kain cotton itu terus sahaja berlalu. Kaki diatur juga
masuk ke perkarangan rumah apabila Shahimi masih tetap memanggilnya.
“Uncle..” sapanya ramah seraya
menyalami tangan lelaki yang sebaya dengan abahnya itu.
“Uncle ingat kamu tak jadi nak
bawak Ada keluar hari ni.” Kata Encik Shukri tanpa mengesyaki apa-apa pun.
“Ada?” wajah Azam berkerut. Nama
itu begitu asing di pendengarannya.
“Tu.. Ada Syuhada Adlia.” Kata
Shahimi sambil memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah adiknya yang tiba ke
ruang itu sedang menatang dulang.
“Eh.. er.. aku janji nak bawak
Bibik kau beli barang dapurlah bro.. bukan dengan..er..” mati kata-katanya
kerana tidak tahu akan status gadis yang sedang menuangkan air di hadapannya
itu.
“Bibik? Bibik mana pulak ni?”
celah Encik Shukri yang tidak tahu menahu akan kewujudan Bibik di dalam
rumahnya.
Saat itu Ada sudah menjeling tajam
ke arah abangnya sebelum dia meninggalkan ruang itu.
“Tu.. Ada kan ‘Bibik’ dekat rumah kita ni yah..”
jawab Shahimi sambil tersengih-sengih memandang ke wajah sahabatnya yang jelas
sedikit bingung.
Ada yang sedang melangkah ke
dapur semula sempat mendengar kata-kata abangnya. Bibir dikertap kuat. Bocor rahsianya
selama ini.
“Kenapa masuk sini lagi ni. Jom
duduk dekat depan sana sekali.” Kata Puan Shima sambil membawa sepinggan kuih
karipap dan keria yang dibuat sendiri oleh anak bongsunya itu.
“Malaslah ma.” Jawab Ada dengan
wajah masam mencuka.
“Jom mama kenalkan dengan Azam
tu..” kata Puan Shima lagi.
“Ala..Kan Ada dah kenal. Nak
kenal apa lagi.. tak naklah ma. Nanti dah la kena keluar dengan dia.” Rungut Ada.
Kini wajahnya sudah memuncung pula.
“Suka hati kamulah.” Balas Puan
Shima malas mahu memaksa lagi. Bukan dia tidak faham dengan mimik wajah anak
daranya itu.
Sedaya upaya dia memujuk anaknya
itu semalam agar menemani Azam untuk membeli barang dapur. Tambahan pula Encik
Zakuan pernah menyuarakan hasrat untuk merisik anak perempuannya itu buat Azam.
Cuma hajat itu sahaja yang belum disampaikan kepada Ada kerana tidak mahu anak
bongsunya itu terkejut. Tambahan pula dia tahu keadaan hubungan kedua-duanya
sebelum ini.
Ada hanya memandang kelibat
mamanya menghilang dengan wajah yang masam mencuka. Seperti tidak percaya yang
sebentar nanti dia akan keluar bersama ‘Tuan Azam’ yang cerewet itu. Untuk
menolak, dia tidak sampai hati pula menghampakan hati Uncle Zakuan yang
beriya-iya mahu dia membantu Azam membeli barang dapur yang akan dimasaknya
buat ahli keluarga itu.
Sementara Azam yang duduk di
ruang tamu semakin tidak senang hati. Otaknya cuba memproses akan perkara yang
diberitahu oleh Shahimi sebentar tadi.
‘Ada Syuhada Adlia’ Sebaris nama
itu bermain di dalam kepalanya. Masih tidak percaya Ada adalah gadis yang
dipanggil Bibik dan gadis itu jugalah yang mencuci pakaian kerjanya. Entah
kenapa dia tidak perasan akan wajah itu sebelum ini. Cuma satu persamaan yang
dia perasaan. Mata. Mata bulat cantik bersinar itu pernah dilihat ketika kali
pertama mereka bertemu di rumahnya. Hanya penampilan gadis itu yang membezakan
segala-galanya kini. Spontan jantungnya hilang rentak. Pincang semuanya.
10 comments:
Yippieeee!!
Xsabo nak tau apa reakksi tuan azamm.. ;p
amboi "pincang semuanya"..mmang dbar x tkata r kn azam oii..
terkesima tuan adam tegok bibik cantik menawan..hahahahah
mata bertentang dan hati pun berkata
amboi..abah ni memang nak matchkan singa ngan bibik ya..
memang seksi+seksa la abang shah
persaan~perasan
tander~tender
keseorang~keseorangan
anak teruna ke anak bujang??
Baru Azam tau siapa bibik yg sebenar
nya.. kan dh rasa tak kena je...
Arsha....
bestnye...hahaaa padan muka tuan azam mesti tekejut...:-P
Dari mata turun ke hati kan kak na....azam dah ter....ngan ada...*hahaha
Arsha laling ada ker asam pedas buh tempe?? Pernah try masak ker??¤dewi¤
Aduh rasa nak tergelak dan guling-guling sekali bila baca entry kali ni..... hahaha...
padan muka dengan pak cik cerewet tu.... cakap besar lagi..... ingat anak jiran awak tu x ada yang boleh buat hati mahu keluar dari baris ke????..... hahaha..... sendiri mahu tanggung lah.....
cepat sambungggg..... KAK SUE FOLLOW
Wah...mesti tua azzam sudah terkedu melihat 'bibik' yg sebenar tu....emmm pas ni mesti dalam hati ada taman la tu...itu lah sombong dan cerewet sgt....kan dah ter'JATUH' HATI...
Post a Comment