Oct 30, 2013

Dambaan bahagia_bab 4


“Ehem-ehem.. Malu bertanya sesat jalan.”

Tegur satu suara di belakang membuatkan kepalanya laju menoleh. “Menyibuk ajelah!” Gumamnya sendiri namun masih dapat didengari lelaki itu.

Amirudin tersenyum nipis.

“Kau ni kenapa?! Kalau kau tak ganggu aku tak boleh ke?!” Bentak Fathiyah geram saat Amirudin melabuhkan duduk di sisinya. Namun masih terkawal memandangkan mereka di tempat terbuka.

“Aku cuma nak tolong aje..” Amirudin dengan lagak macho menyilangkan tangan ke dada. Kertas yang hampir koyak di tangan gadis itu jelas di ruang matanya. “Hai.. Dah dekat sebulan kau dalam ni, takkan sesat lagi.” Selamba dia menyindir kerana sedia faham akan kelemahan Fathiyah sejak dulu lagi. Sukar mengingati jalan.

“Suka hati akulah! Aku bukan susahkan kau pun.” Dingin Fathiyah menjawab dengan suara yang tertahan. Perasaan benci mula meluap-luap di hatinya.

“Eleh.. Macamlah aku tak tahu kau tu.” Amirudin masih mahu mengusik. Bukan senang dia dapat berbual dengan gadis itu. Apabila terserempak dengan kelibatnya, pasti Fathiyah akan cuba mengelakkan diri. Cuma hari itu, mahu atau tidak, Fathiyah kena berhadapan dengannya.

Fathiyah menegakkan wajah. Peta kampus dihempas ke riba. Wajah lelaki yang masih tidak lekang dengan senyuman itu dipandang tajam. “Kau siapa nak sibuk hal aku? Aku ada ganggu hidup kau ke? Takda kan? So, boleh tak kau pergi dari sini. Aku menyampahlah tengok muka kau!” Dia menghamburkan rasa tidak puas hati yang terpendam.

“Siapa kata kau tak ganggu hidup aku? Kau sambung study dekat sini, kau ingat hati aku boleh duduk diam? Memang taklah. Aku terganggu kau tahu tak?” Tingkah Amirudin berterus terang. Tidak berselindung lagi apa yang tersirat di hatinya walaupun yakin yang hubungan mereka tidak akan sebaik dulu. Dia sendiri tidak pernah meletakkan harapan kerana sedar akan keadaan diri. Namun disebabkan amanah yang dipikul kini, terpaksa diturutkan juga hasrat hati kerana sememangnya gadis itu sentiasa dekat di hati.

“Huh!” Giliran Fathiyah mengukir senyum sinis. Wajah ditalakan ke arah  lain. “Ada aku kisah kau terganggu ke tak.. Tapi sekarang ni, kau tu yang dah ganggu aku!” Lawannya tetap dalam kedinginan.

“Makcik. Hello. Aku ni terpaksa ganggu kau tahu tak? Jom aku hantar balik.” Balas Amirudin geram. Malas lagi mahu bertekak dengan Fathiyah yang takkan pernah habis. Dia perasan api kebencian yang marak menyala dalam sepasang mata bundar itu.

“Huh! Kau gila ke apa aku nak balik dengan kau. Memang taklah!” Sengaja Fathiyah mengulangi kata-kata lelaki itu tadi. Tetapi siap dengan mata dijulingkan ke atas lagi.

Hey Makcik! Kau tengok jam kau sekarang pukul berapa?” Kasar Amirudin menarik lengan gadis itu dan dibawa ke hadapan mata. “Dah dekat pukul tujuh tahu tak? Kau ingat aku suka-suka datang sini ganggu ketenteraman kau? Memang taklah! Kau pun bukan nak jumpa aku kan? Banyak lagi kerja yang berfaedah aku boleh buat dari jumpa kau dekat sini.” Lanjutnya cuba bersabar. Hanya kerana Amir dia ke situ.

Fathiyah menarik kembali tangannya sebelum mencebikkan bibir. “Tahu pulak sekarang kau buat kerja tak berfaedah. Habis tu kau tunggu apa lagi dekat sini. Pergilah buat kerja berfaedah sangat kau tu. Tak payah nak sibuk hal aku dekat sini.” Dia menyindir.

Amirudin ketap bibir rapat. “Kau tengok sekeliling kau sekarang. Ada tak orang lagi? Dah dekat maghrib ni. Kau nak tunggu bas sampai bila dekat sini?” Sememangnya perhentian bas di hadapan perpustakaan itu sedikit sunyi jika menginjak lewat petang.

“Biarlah! Aku tak susahkan kau pun.” Fathiyah menjawab selamba walaupun hatinya mula dilambung kerisauan. Selama dia di situ, hanya abangnya sahaja yang akan datang menjemput setiap kali tamat kelas. Cuma hari itu dia terpaksa pulang sendiri kerana abangnya berkursus di Ipoh selepas menghantarnya pagi tadi. Bakal kakak iparnya pula sedang bercuti di kampung.

“Kau tak payah banyak songeh sangatlah. Kalau jadi apa-apa pada kau, aku jugak yang susah!” Amirudin terus sahaja menyambar beg sandang gadis itu bersama buku-buku kulit tebal yang ada bersama.

“Shah!” Terkocoh-kocoh Fathiyah mengekori langkah panjang Amirudin ke tempat letak kereta.

“Masuk!” Tegas Amirudin bersuara sebaik dia membuka pintu kereta.

“Kalau aku tak nak macam mana?” Fathiyah masih cuba menduga hati lelaki di hadapannya itu.

Amirudin mengecilkan mata sebelum wajahnya terus sahaja dirapatkan ke wajah gadis itu hingga Fathiyah tersandar di tepi kereta. “Kau ni memang suka cabar aku kan..”

“Ada apa ni?” Sapa satu suara menyebabkan masing-masing menoleh. Amirudin menjarakkan dirinya. Wajah pensyarah muda itu dipandang.

“Er.. Doctor..” Fathiyah serba salah.

“Fathiyah.. Are you okay?” Dr. Kamarulzaman prihatin.

“Er.. Okey..” Sengihan pahit dilemparkan pada penyelia tesisnya.

“Cepat masuk! Kita dah lambat ni.” Tegas Amirudin mengarahkan dengan suara tertahan kerana tidak senang dengan kehadiran pensyarah muda itu dengan tiba-tiba.

Fathiyah menghadiahkan jelingan tajam kepada Amirudin sebelum senyuman manis yang dibuat-buat pula kepada lelaki berkemeja hijau muda itu. “Er.. Doctor, saya balik dulu. Appointment kita esokkan? Esok saya datang jumpa doc. Bye!” Ucapnya sebelum terus sahaja meloloskan diri ke dalam kereta.

Sorry doc. Assalamulaikum.” Amirudin berbahasa sebelum dia terus mengambil tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan. Tanpa menghiraukan wajah Kamarulzaman yang masih terpinga-pinga, kereta dipecut keluar dari kawasan parkir.

“Aku cakap elok-elok kau tak nak dengar! Kau memang suka aku paksa-paksa kau kan.” Omelnya sambil melihat bayang pensyarah muda tadi semakin mengecil dalam cermin pandang belakangnya.

Fathiyah menjuihkan bibir dengan pandangan mata ditalakan ke luar tingkap. Masam kelat wajahnya saat itu. Terpaksa dia menurut kata-kata Amirudin kerana tidak mahu penyelianya tahu apa yang sedang berlaku.

“Aku nak hantar balik pun susah! Mengalahkan macam orang kena paksa kahwin!” Amirudin masih lagi tidak henti membebel.

Fathiyah menoleh. “Kau jangan sebut pasal kahwin or segala tok nenek kahwin! Aku tak nak dengar! Nak sangat hantar aku balik kan? Drive ajelah elok-elok! Tak payah nak membebel mak nenek!” Hamburnya geram. Sakit hati mendengar perkataan yang bersangkut paut dengan kisah lalu.

Giliran Amirudin pula menjuihkan bibir. Sengaja dia menambah kelajuan kereta Toyota Vios miliknya walaupun jalan yang dilalui sedikit sesak. Banyak kereta pada lewat petang begitu. “Macam manalah aku boleh suka dengan perempuan macam kau ni.” Ucapnya perlahan namun masih sampai di pendengaran Fathiyah.

Excuse me? Kau suka aku lagi? Hahaha.. Kelakar.” Fathiyah pura-pura gelak walaupun ada getaran halus muncul dari celah hatinya.

“Suka akulah nak suka kau ke tak. Bukan aku usik kau pun.” Selamba Amirudin menjawab akan hakikat hatinya selama ini.

“Erk? Whatever! Ada aku kisah! Tapi kau jangan haraplah aku nak suka kau. Memang taklah!” Jawab Fathiyah pura-pura yakin. Padahal hatinya kian bergetar hebat.

“Ada aku suruh kau suka aku ke? Takda kan? So, janganlah perasan.” Amirudin tidak mahu mengalah.

Fathiyah mencebikkan bibir. “Macamlah aku terhegeh-hegeh nakkan kau. Tak hingin aku budak repeat macam kau.” Perlahan sahaja bibirnya menjawab. Namun cukup jelas pula di pendengaran lelaki itu.

Amirudin menarik senyum tepi. Hakikat yang terpaksa ditelan walaupun terasa pahit. “Kau jangan risaulah Tiya.. Aku suka kau, takkan sampai aku nak nikah dengan kau. Aku tahu aku tak layak untuk kau. Ada ramai lagi lelaki baik dekat luar tu untuk kau.” Balasnya lebih mengendur berbanding tadi.

Fathiyah tidak membalas. Dia pura-pura tidak dengar walaupun hatinya mula keliru dengan apa yang terucap. Tidak faham kenapa perlu adanya cinta di hati lelaki itu memandangkan tiada penyatuan di penghujungnya.

“Seminggu ni aku yang akan ambik jemput kau dari rumah. Apa-apa hal call aje aku.” Suara garau Amirudin memecah sepi antara mereka membuatkan Fathiyah laju menoleh ke sisi.

Apasal pulak? Kau ingat aku dah takda kaki nak pergi balik sendiri ke?” Fathiyah kembali tidak senang hati.

“Kau ni kalau tak menjawab tak boleh ya? Aku cakap tu ikut ajelah!” Amirudin kembali meninggi suara. Kesabarannya tercalar dek mulut Fathiya yang memang kuat menjawab.

Fathiyah mencebik. Wajah dipalingkan ke sisi. Sakit hati! Tidak menyangka hidupnya masih berkaitan dengan lelaki itu walaupun hubungan mereka sudah lama berakhir. “Kau nak bawak aku ke mana pulak ni? Kata nak hantar aku balik?” Dingin dia bersuara apabila Amirudin memperlahankan kereta saat tiba di satu persimpangan.

“Kau tak nampak tu apa?” Balas Amirudin sinis.

Fathiyah memandang ke arah yang dimaksudkan. Matanya membulat. Terasa seperti ada orang mengetuk kepalanya saat mata terpandang akan sebuah masjid yang tersergam indah. Terlupa yang waktu itu sudah pun masuk waktu maghrib.

“Lain kali jangan nak fikir jahat aku aje.” Selamba Amirudin menyindir sebelum memakirkan kereta di tempat yang disediakan.

Fathiyah tetap berlagak tidak bersalah.

“Kau boleh solat ke tak? Kalau tak, aku tak matikan enjin ni.” Ujar Amirudin lagi sebaik menolak daun pintu.

“Tak.” Ringkas Fathiyah menjawab dengan wajah yang mula terasa kebas. Tidak terpandang wajah Amirudin saat itu.

“Jaga kereta aku baik-baik. Kunci pintu. Risau pulak ada hantu masuk usik kau nanti.” Sempat Amirudin mahu mengusik sebelum keluar. Sengaja mahu menambah sakit hati gadis itu dan ingin meraikan kemenangan di pihaknya.

******

Puas dia memusingkan tubuh untuk melelapkan mata. Namun tetap juga gagal. Kini mata yang layu terasa segar. Kipas siling yang berputar ligat di siling dipandang kosong. “Kenapalah aku jumpa kau..” Keluhan terlepas dari bibirnya apabila mengingati apa yang berlaku tadi. Mata dipejamkan untuk cuba lena. Namun hasratnya terganggu apabila telinga dapat menangkap bunyi getaran.

Bersama rengusan, dia terus menyambar telefon bimbitnya dari atas meja sisi katil. “Siapa pulak yang call aku malam-malam buta ni.” Bebelnya sebaik melihat sebaris nombor tidak bertuan di skrin iPhone 4s miliknya. Tiada hati mahu menjawab, dibiarkan panggilan itu terputus sendiri. Dan apabila sekali lagi telefon bimbitnya kembali mengeluarkan getaran, dia merengus geram. Gajet itu terus dilekapkan ke telinga.

“Siapa ni?” Kasar dia menyoal kerana tidak suka orang yang tidak dikenali menghubunginya lewat malam begitu.

“Aku dah agak dah kau tak boleh tidur punya.” Suara garau menyapa diiringi tawa menyebabkan hatinya mula mendidih. Darah panas mencanak ke kepala. Talian terus diputuskan. Walaupun nombor tidak bertuan, dia cukup kenal dengan suara garau menyakitkan hati itu. Terkumat-kamit mulutnya memarahi. Tidak sampai seminit, gajet yang masih dipegang mengeluarkan bunyi semula. Tetapi kali ini SMS diterima.

+ Sorry la kacau kau malam-malam ni. Aku tak boleh tidur la..

Bibir diketap. Serentak itu laju dia membalas.

+ Ada aku kisah kau tak boleh tidur?

Ayat menyakitkan hati.

+ Eleh.. Tak kisah konon. Kalau tak kisah yang kau balas mesej aku kenapa? :P

Sekali lagi bibirnya diketap rapat. Nafas keras dilepaskan sebelum tubuhnya direbahkan kasar. Mengambil keputusan untuk tidak lagi membalas. Hatinya benar-benar geram dengan Amirudin yang sengaja menduga kesabarannya. Mata dipejamkan rapat. Cuba untuk melelapkan mata. Namun ketenangannya tidak berlanjutan kerana dia telefon bimbitnya masih lagi berbunyi dan dia sudah dapat meneka siapa yang mengganggunya lagi saat itu.

+ Takkan sentap kut.. Relax la.. Nak gurau pun tak boleh. Kita pun dah lama tak berbualkan.. Kau tak rindu dekat aku ke? :P

Rengusan dilepaskan lagi selepas membaca SMS yang dihantar oleh Amirudin.

+ Kau memang tak faham bahasakan?! Kau lupa apa aku cakap dulu. Kita dah takda apa-apa la. Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau lagi! Kau tak faham ke?

Dia membalas geram.

+ Aku faham, aku ingat. Aku takkan lupa sampai aku mati. Tapi tak boleh ke kalau kita jadi kawan macam dulu-dulu? Aku tahu kau tak pernah nak maafkan apa yang aku dah buat pada kau sebelum ni. Aku faham tu. Tapi boleh tak kalau kau lupakan hal tu.. Aku janji aku nak kawan aje dengan kau. Dekat dua tahun aku hidup dalam dendam kau Tiya.. Aku dah penat.. Please Tiya.. Aku janji takkan ada rasa cinta lagi dalam hati kau untuk aku.. Aku cuma mintak kita boleh jadi kawan.

Ada air hangat mula bertakung di tubir mata saat membaca ayat panjang yang terpapar di skrin. Dalam kekeliruan akan susunan ayat yang dibaca, hatinya tetap digamit rasa sedih. Sesungguhnya dia tidak dapat menafikan apa yang tersirat di hatinya. Masih ada sisa kasih yang sukar disingkirkan buat lelaki itu. Cuma dia sahaja yang sedaya upaya menafikannya.

+ Semua ni takkan jadi kalau kau tak batalkan pertunangan kita dulu..

Itu sahaja yang mampu dibalas sekali gus meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada lelaki itu. Hingga ke hari ini dia tidak mampu menerima alasan yang diberi oleh Amirudin demi membatalkan majlis pertunangan mereka dahulu.

+ Aku tahu aku salah Tiya. Tapi aku nak kau tahu, aku buat semua tu bersebab. Dan mungkin kita memang takda jodoh.

+ Kalau kau dah tahu kita takda jodoh, apa lagi yang kau nak dari aku?! Kenapa kau cuba lagi nak berkawan dengan aku?! Kau tahu tak, hati aku sakit bila nampak muka kau.. Pleaselah Shah. Aku dah tak nak ada kena mengena dengan kau lagi..

Dia membalas dalam esakan yang mula kedengaran sebelum telefon bimbitnya terus dimatikan. Tidak lagi aktif. Dia tidak mahu membaca ayat-ayat yang mampu menggoyahkan tembok kebencian yang telah kukuh ditanamkan di dalam hatinya selama ini.

………………

“Kau ni biar betul bro. Dah tengah malam ni tahu tak? Kalau jiran-jiran dia nampak macam mana? Tak pasal-pasal kita ke dalam nanti. Kau nak muka kita keluar front page semua paper esok?” Anuar ragu-ragu dengan apa yang ingin dilakukan oleh Amirudin.

“Biarlah.. Bukan luak pun. Paling teruk pun jadi glemer sekejap. Dua pemain hoki kebangsaan ditangkap kerana mengendap bekas kekasih.” Amirudin tersengih nakal dengan mata meliar ke sekeliling memerhati kawasan perumahan yang sudah pun sunyi dari keriuhan. Yakin semuanya sudah lena diulit mimpi memandangkan jam menginjak dua pagi.

Hotak kau! Kau nak kita kena singkir dari team ke apa?” Anuar meluahkan kerisauan. Lebih setengah jam mereka berdiri di hadapan pintu pagar itu.

“Alah! Dari elok-elok orang tak tahu kita dekat sini, silap-silap wartawan pun datang kalau dengar kau membebel dari tadi.” Tingkah Amirudin dengan suara yang tertahan.

“Takdalah.. Dah tentu-tentu kau nak hantar dia pergi kelas esok, yang kau susah-susah nak skodeng malam-malam buta ni kenapa?” Anuar merendahkan sedikit nada suaranya. Risau akan kata-kata sahabatnya itu tadi.

“Aku ni pegang amanah orang Nuar.. Kalau jadi apa-apa pada dia, aku jugak yang kena marah dengan si Amir tu nanti. Tu belum lagi kalau si Amri tu.. Mahunya dia kurung aku dalam sangkar si Gina tu..” Amirudin masih tetap dengan rancangannya dia. Dia mahu melihat sendiri keadaan Fathiyah kerana sudah berkali-kali dia menghubungi gadis itu, talian langsung tidak dapat disambungkan.

Anuar tergelak. “Lantak kaulah. Aku nak tunggu dalam kereta. Aku tak nak masuk campur. Apa-apa jadi, kau tanggung sendiri. Aku tak nak terlibat.” Dia beredar dari pintu pagar rumah teres dua tingkat itu untuk kembali ke kereta di seberang jalan.

“Nuar!” Amirudin ketap bibir. Geram melihat sahabatnya hanya melambaikan tangan sebelum meloloskan diri dalam kereta. “Hampeh! Aku suruh tunggu sini, dia blah pulak!” Gerutunya sendiri kerana mula ragu-ragu apa yang ingin dilakukan. Sememangnya dia punya kunci pendua rumah teres itu kerana dia pernah menyewa salah sebuah bilik di situ sebelum ini.

Telefon bimbit dikeluarkan. Dia mahu cuba sekali lagi menghubungi Fathiyah sebelum bertindak. Beberapa saat menanti, talian masih tetap sama. Rumah yang gelap-gelita itu dipandang lagi. “Berani betul perempuan ni tidur dalam gelap.” Omelnya sendiri apabila perasan memang tiada satu lampu pun yang terpasang. Perasaan risau terhadap gadis itu kembali menjentik hati.

Telefon bimbit yang masih dipegang tiba-tiba mengeluarkan getaran. Nama Anuar terpampang membuatkan dia menoleh ke arah kereta. Talian disambungkan. “Kenapa?” Dia mendahului.

“Jomlah kita balik. Aku tak sedap hati la. Kalau tiba-tiba pencengah maksiat datang macam mana?”

“Mulut kau memang mintak kayu hoki aku kan.” Dia memandang wajah sahabatnya yang sedang tersengih-sengih.

“Kau jangan cakap aku tak ingatkan.”

“Kau ni bukan nak support aku. Lagi nak doakan aku yang bukan-bukan.” Balasnya dengan suara tertahan.
“Iyalah-iyalah. Aku support kau la ni. Kalau tak support, takdanya aku nak datang buang masa dekat sini. Cepat sikit buat kerja gila kau tu. Aku dah mengantuk ni. Kalau aku tertidur, pandai-pandailah kau.” Balas suara garau sahabatnya sebelum talian diputuskan. Ibu jari dinaikkan menunjuk ke arah sahabatnya di seberang jalan. Bibir mengoyak senyum yakin. Segugus kunci dikeluarkan.

Sebaik sahaja pintu utama terbuka, dia terus sahaja melangkah masuk. Tanpa mahu menghidupkan suis lampu, kakinya terus menginjak tangga. Dengan bantuan samar cahaya lampu jalan, dia masih dapat melihat tiga buah pintu yang bertutup rapat. Cuba meneka di mana Fathiyah berada. Kaki diatur ke pintu yang paling hujung kerana teringat akan bilik yang pernah didiami lebih setahun itu.

Pintu yang tidak berkunci ditolak. Suis lampu dicari. Gerakannya kaku saat terlihat sekujur tubuh yang senang lena. Liur ditelan. Aurat yang tidak sewajarnya menjadi tatapan, kini terlihat. Lambat-lambat kakinya melangkah merapati katil. Tidak senang melihat panorama itu. Dengan hati-hati, kain selimut di hujung kaki ditarik untuk menutupi tubuh yang agak terdedah. Wajah Fathiyah yang sedang lena dipandang dalam-dalam. Terusik sedikit hatinya melihat ada sisa air jernih di hujung mata gadis itu. Tanpa dipaksa, hujung jarinya menyapu lembut wajah mulus itu.

Bunyi ketukan tiba-tiba di pintu utama membuatkan dia terkejut. Tubuh segera dijarakkan apabila Fathiyah mula bergerak. Bunyi ketukan kembali kedengaran malah kini bertambah kuat menyebabkan terus sahaja dia melangkah keluar dari bilik kerana yakin Anuar yang memanggilnya. Dan di saat pintu utama dibuka, wajah Anuar terpampang bersama beberapa orang lelaki yang tidak dikenali.

“Nuar..”

Terdengar keluhan berat terlepas di bibir sahabatnya itu.

Manakala Fathiyah yang terpisat-pisat bangun terus sahaja turun dari katil apabila terdengar suara orang sedang berbual-bual. Namun langkahnya mati di muka pintu yang terbuka apabila mula terasa pelik. Keningnya hampir bertaut. Cuba mengingati kembali apa yang berlaku sebelum dia terlena tadi. Biliknya terang benderang dengan pintu bilik luas terbuka. “Bila masa aku…” Ayatnya mati di situ apabila suara asing semakin jelas di pendengarannya. Mata terus terhala ke arah tangga yang terang. “Angah dah balik ke?” Omelnya sendiri sebelum dia menyambung langkah.

“Angah…” Langkahnya mati di tengah tangga saat mata terpandang akan wajah-wajah yang tidak dikenali sebelum akhir sekali terhenti pada seorang lelaki yang cukup dikenali sedang  duduk menunduk di sofa.


Oct 18, 2013

Dambaan bahagia_bab 3

“Ibu!!!”

“Dah kenapa agaknya budak ni.. Suka sangat terjerit-jerit.” Omel Zainab saat terdengar jeritan anak bongsunya yang tiba-tiba itu. Getah paip yang digunakan untuk menyiram pokok-pokok bunganya segera diletakkan ke tempatnya kembali. Laju dia melangkah masuk ke dalam rumah.

“Tiya ni kenapa jerit-jerit? Tak malu ke jiran-jiran dengar?” Marahnya sambil bercekak pinggang melihat Fathiyah sedang meniarap hingga setengah badan di bawah katil. “Tiya cari apa ni?” Soalnya sambil melihat keadaan bilik yang sudah bersepah. Baru semalam dia mengemaskan  bilik itu kerana tahu anak bongsunya akan pulang cuti hujung minggu.

“Bu.. Gojes hilang..” Jawab gadis itu dari bawah katil.

“Macam mana pulak boleh hilang?” Soal Zainab lanjut sambil mengutip bantal yang terdampar di atas lantai.

“Manalah Tiya tahu bu.. Tadi Tiya nak ganti serbuk kayu dia tu. Tiya letak dia kejap dekat dalam kotak kasut tu.” Jelas Fathiyah yang masih tercari-cari di bawah katil.

“Kamu tu yang cuai. Dah tahu Si Gojes tu pantang dapat keluar yang kamu tak kurung dia betul-betul kenapa..” Kini Zainab turut sama mencari hamster kesayangan anak bongsunya itu pula. “Ada ke tidak tu?” Soalnya apabila anaknya itu masih lagi tidak keluar.

“Ala.. Bu… Takdalah bu bawah katil..” Balas Fathiyah sambil membuang sawang-sawang yang melekat di rambutnya sebaik keluar.

“Baik Tiya pergi cari dekat luar tu. Nanti kalau jumpa Si Mary dengan Si Alex tu nanti.. Jangan haraplah kamu dapat Si Gojes tu balik. Tiya tak ingat dulu telinga Si Gojes tu dekat terkoyak dikerjakan ‘budak’ berdua tu..” Jawab Zainab yang kini sibuk mengemaskan baju-baju masih belum berbasuh yang berlonggok di belakang pintu. Itulah ‘kerja’ Fathiyah jika setiap kali pulang ke rumah sejak bersekolah asrama lagi. Pasti banyak baju kotor yang akan dibawa pulang.

“Alah…” Panjang Fathiyah mengeluh sebelum terus bingkas. Laju dia mengatur langkah untuk mencari kelibat dua ekor kucing kesayangan abang sulungnya.

“Alex! Mary!” Terjerit dia memanggil kedua-duanya dengan mata meliar ke sekeliling jika ternampak akan kelibat tikus berbulu gebu kesayangannya.

“Cuba Tiya cari dekat belakang. Tadi ibu bagi Si Mary dengan Si Alex tu makan.” Laung ibunya dari dalam bilik.

Fathiyah tanpa menunggu lama terus ke arah yang dimaksudkan. “Alex.. Mary..” Tidak henti dia memanggil kedua-duanya. “Alah.. Time aku panggil tak nak pulak datang. Time aku tak panggil, sibuk korang nak datang dekat dengan aku kan..” Bebelnya sendiri apabila kelibat kedua-duanya masih tidak kelihatan.

Saat tiba di muka pintu stor, kakinya terhenti. “Alah.. Ni yang aku malas ni..” Dia bebel lagi. Tiada hati mahu menjejakkan kaki ke situ kerana terlalu banyak sejarah yang telah disumbatkan ke dalam bilik tersebut. “Ibu!” Jeritnya dari depan pintu bilik stor yang tidak bertutup rapat. Telinganya mula dapat menangkap bunyi dari dalam bilik tersebut.

“Dah jumpa ke?” Muncul Zainab di situ bersama sebuah bakul yang dipenuhi baju kotor dari dalam bilik anak bongsunya tadi.

“Bu.. Ibu masuklah.. Tu Tiya dengar macam ada bunyi tu. Entah-entah Si Alex dengan Si Mary ada dekat dalam tu.” Ujarnya tanpa mahu menolak sedikit pun pintu bilik stor. Sebaliknya dia berundur beberapa tapak ke belakang untuk memberi laluan kepada ibunya.

“Habis tu, pergilah masuk tengok. Entah-entah dia orang tengah main dengan Si Gojes kamu tu.” Balas Zainab yang sudah meletakkan bakul baju yang dibawa ke tepi mesin basuh berhampiran.

“Ibu, ibu lupa ke bilik puaka ni dah kena sumpah dengan Tiya. Jangan haraplah Tiya nak masuk.” Jawab Fathiyah selamba. Memang sudah ditekadkan hatinya tidak mahu lagi masuk ke bilik itu kerana terlalu banyak kenangan yang menyakitkan tersimpan di dalamnya dua tahun lalu.

“Eleh.. Bilik puaka apa bendanya. Habis tu, kalau ibu tak nak masuk jugak macam mana? Kamu sanggup nak biar Si Gojes kamu tu kena baham dengan Si Mary, dengan Si Alex dalam tu?” Sengaja Zainab menduga.

“Alah.. Bu.. Janganlah main ugut-ugut macam tu bu..” Fathiyah mula merengek. Risau andai ibunya serius dengan apa yang diucapkan.

“Ee.. Macam-macamlah kamu ni.” Gerutu Zainab sebelum menolak daun pintu.

Fathiyah terus memalingkan wajah. Dia tidak mahu memandang segala isi bilik stor itu. Jika terpandang akan segala barang yang terdapat di situ, pasti ia akan mengundang rasa sedih di hati dan membuatkannya terkenang kembali sejarah paling pahit dalam hidupnya.

“Tiya, tengok Gojes kamu ni..” Zainab memanggil apabila melihat hamster kepunyaan anaknya itu menyorok di dalam salah satu kotak kasut yang terjatuh dari rak yang ada.

Ambik ajelah bu..” Balas Fathiyah masih tidak mahu berpaling.

“Alah… Tiya, Gojes Tiya lari la.. Tiya masuklah sini.. Dia tak nak dengan ibu.” Kata Zainab yang cuba mendapatkan hamster gebu itu. Namun baru sahaja dia cuba menangkap, Gojes terus berlari masuk ke bawah almari pula. Dengan timbunan barang yang begitu banyak, agak sukar untuk dia mengeluarkan Gojes.

“Alah… Gojes ni kan… Macam dah takda tempat lain nak masuk!” Rungut Fathiyah dengan keluhan panjang.

“Tiya masuk, ibu tolong jagakan Mary dengan Si Alex ni. Nanti kalau ‘budak’ berdua ni dapat tangkap Si Gojes tu, lagi susah.” Ujar Zainab lagi yang terus mengangkat dua ekor kucing berbulu tebal warna putih dan oren itu sebelum dibawa keluar.

“Haih! Gojes ni kan..” Dengan wajah yang masam mencuka terpaksa juga dia melangkah masuk ke dalam stor tersebut. “Gojes!” Keras dia memanggil dengan wajah yang kelat. Kotak kasut yang masih terdampar di atas lantai disepak kasar. Mendadak sakit hatinya melihat kotak kasut berjenama terkenal itu.

“Kasut tak bersalah tu yang kamu sepak kenapa?” Tegur Zainab yang berdiri muka pintu.

“Siapa suruh dia dekat situ.” Jawab Fathiyah selamba. “Gojes ni kenapa? Takda tempat lain nak masuk ke?” Bebelnya lagi saat kelibat hamster kesayangannya mula kelihatan. Terbongkok-bongkok dia mengintai di bawah almari lama itu untuk mencapai Gojes yang mendiamkan diri di hujung sudut. Tanpa menunggu lama dia terus mencapai Gojes dan dibawa keluar.

Zainab menggeleng. Kasut tumit tinggi yang terpelanting ke tepi dinding dikutip. “Sayang beli kasut mahal-mahal tak pakai.” Ujarnya sambil meletakkan kembali kasut tersebut ke tempatnya semula.

“Siapa yang nak pakai kasut dari budak senget tu! Baik bakar je lagi bagus. Menyusahkan orang aje!” Bentak Fathiyah geram sebelum terus berlalu ke biliknya. Perasaan marah, benci dan sedih bergumpal-gumpal dalam hati hingga mengundang air jernih di tubir matanya. Sebaik dia memasukkan semula Gojes ke dalam sangkar, tidak semena-mena air matanya merembes. Dan akhirnya dia tersedu-sedan menangis sendirian.

******
Dua tahun lalu…

“Kenapa kau buat aku macam ni! Apa salah aku!” Fathiyah menolak sekuat hati dada Amirudin yang berdiri kaku tidak berperasaan di hadapannya. Air mata yang menuruni pipinya saat itu tidak lagi diendahkan.

Amirudin tetap kaku walaupun hatinya terasa disiat-siat saat melihat air mata yang menuruni pipi gadis di hadapannya itu.

“Kenapa Shah.. Apa salah aku Shah.. Kalau kau dah ada orang lain, kenapa kau beriya-iya sangat suruh aku buat semua persiapan untuk kita bertunang. Buat apa tu semua kalau ni yang aku dapat! Apa tujuan kau sebenarnya Shah.. Kau memang saja nak sakitkan hati aku atau kau memang sengaja nak tengok aku macam orang bodoh macam ni!” Turun naik nada Fathiyah menghamburkan rasa amarahnya. Sakit benar hatinya saat itu apabila terasa cinta dan kasihnya selama ini seperti tidak bernilai.

“Aku mintak maaf Tiya.. Aku rasa kita dah buat keputusan yang salah.. Kita muda lagi Fathiyah.. Lagipun aku belum habis study lagi.. Aku rasa.. Belum tiba masanya lagi kita ikat hubungan kita ni..” Tutur Amirudin cukup tenang.

Fathiyah yang sudah melabuhkan duduk di kerusi batu itu mengangkat wajahnya. Wajah Amirudin direnung tajam. Panas telinganya tiba-tiba apabila mendengar alasan yang meniti bibir si kekasih hati. “Apa kau cakap? Kita? Kita yang buat keputusan salah?” Ulangnya diiringi senyuman sinis. Air mata yang masih galak menuruni pipinya saat itu diseka kasar. “Aku ke yang buat keputusan untuk kita bertunang Sabtu ni? Aku ke Shah?” Ucapnya dengan suara yang cukup lirih.

Sebulan lalu Amirudin yang beriya-iya mahu mengikat tali pertunangan dan dia sendiri bersetuju memandangkan mereka sudah berteman sejak kecil lagi. Tambahan pula keluarga mereka bersahabat baik dan merestui akan hubungan yang terjalin. Tetapi hari ini..

Sorry Tiya.. Bukan aku sengaja buat kau macam ni.. Kau tahukan aku sayang kau sampai bila-bila..”

“Sayang kayu hoki kau! Macam ni kau cakap sayang?! Aku kena rasa sakit macam ni kau baru kata nak sayang aku?! Mana otak kau Shah! Kau dah tertelan bola hoki kau ke sampai kau boleh buat aku macam ni!!” Fathiyah terus sahaja menghamburkan rasa sakit hatinya belum sempat Amirudin menghabiskan kata. Berombak dadanya menahan jiwa yang terlukis kerana diperlakukan sebegitu. Kasih dan sayangnya terasa dipermainkan.

Amirudin melepaskan keluhan lagi. Terpaksa menelan kesat akan segala tuduhan yang dilemparkan. Tahu yang ucapan kasih dan sayangnya tidak akan mampu memujuk hati yang sedang terluka itu. “Tiya, aku bukan nak kita putuskan terus hubungan kita ni.. Aku cuma mintak kita tangguhkan aje dulu. Tu aje Tiya..” Dia tetap cuba memujuk.

Fathiyah mengoyak senyum sinis lagi. “Kau ingat.. Lepas apa yang kau buat ni, aku boleh maafkan macam tu aje? Kau ingat aku senang-senang nak terima semua ni! Kau ingat aku apa Shah? Kau bagi harapan, kau yang bersungguh suruh aku buat semuanya.. Tiba-tiba hari ni kau datang, kau cakap nak tangguhkan pertunangan kita ni? Kau ingat aku apa? Macam bola hoki kau yang boleh kau pukul jauh, lepas tu kau kutip balik? Macam tu!” Keras suaranya menghamburkan rasa kecewa. “Aku bukan kayu Shah.. Takda perasaan, takda hati..” Semakin laju air matanya merembes.

“Tiya.. Ada sebab aku buat semua ni Tiya.. Aku tak nak kau rasa terikat lepas kita bertunang nanti.. Kau pun ada cita-cita kau kan.. Aku pun ada cita-cita aku.. Perjalanan kita jauh lagi Tiya.. Ada jodoh tak ke mana..” Amirudin tahan hati. Sedar akan kata-katanya itu seumpama minyak panas yang hanya akan menambah api yang sedang marak menyala.

“Tak payah tunggu cita-cita Shah. Cukup takat ni aje hubungan kita! Aku dah tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan kau! Cukup sampai sini!” Putus Fathiyah sebelum dia bingkas.

“Tiya!” Amirudin sempat menyambar lengan Fathiyah dari terus berlalu.

“Lepaslah! Kau pergilah kejar sangat cita-cita kau tu!” Bentak Fathiyah sebelum terus berlalu masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Amirudin sendirian di situ.

******
“Shah..” Aqilah menyentuh lembut bahu adik lelakinya yang jauh termenung duduk di tepi kolam ikan abahnya.

“Kak Long..” Amirudin memaniskan senyum. Hilang bertaburan wajah sendu Fathiyah di ruang matanya tadi bersama wajah-wajah orang yang disayangi.

“Menung apa tu?” Aqilah berbasa-basi yang sudah mengambil tempat di sisi adiknya itu.

Amirudin tetap melemparkan senyum. Namun senyuman kian bertukar payau. Tidak berperisa.

“Tak nak ke share dengan Kak Long?” Aqilah cuba memancing. Dia seperti dapat meneka apa yang tersirat di hati adiknya saat itu.

“Takda apa nak share kak..” Balas Amirudin dengan helaan nafas panjang. Pandangannya jauh dilontarkan ke dada langit yang sedikit gelap.

“Iya ke takda apa? Macam ada apa-apa aje?” Aqilah tetap juga mencuba.

Amirudin tersengih pula. Wajah kakak sulungnya itu dipandang sayang. “Akak ni macam tahu-tahu ajelah. Patutlah akak jadi pakar psikologi.” Balasnya lambat.

Well.. Now tell me..” Aqilah membetulkan letak duduknya. Terus sahaja dia bersila menghadap Amirudin. Sedia untuk mendengar luahan hati adik kesayangannya itu.

Amirudin senyum lagi. Wajah kakaknya itu dipandang lagi sebelum sengihan di bibirnya mati. Nafas ditarik dalam-dalam. “Shah jumpa Tiya dekat kampus.” Jawabnya dengan senyuman tawar.

Aqilah mengoyak senyum. “Sebab tu aje?” Balasnya yang tidak terkejut pun mendengar apa yang diberitahu kerana dia sedia maklum akan hal itu daripada Suhana. Sahabat baiknya sendiri.

“Ada hal lain lagi..” Jawab Amirudin malas. Hal itu begitu menggamit hatinya sejak akhir-akhir itu.

“Apa dia?”

“Shah nak cari mak.” Tutur Amirudin sambil memandang ke wajah ayu kakaknya.

Aqila mematikan senyum. Wajahnya mula berkerut sebelum keluhan berat terlepas dari bibirnya. “Shah lupa ke apa yang ummi cakap?” Soalnya mendatar sebelum memusingkan tubuh menghadap kolam ikan di hadapannya.

“Shah ingat kak.. Tapi Shah..”

“Takda tapi-tapi lagi Shah. Shah lupa apa yang ummi pesan dengan Shah hari tu? Takda siapa tahu, takda siapa kenal pun mak Shah.” Aqilah memintas dan bersuara tegas.

“Tapi kak..”

No! Stop it Shah. Akak tak suka Shah cakap benda ni lagi. Kalau ummi dengar macam mana? Kecik hati ummi. Lupakan aje niat Shah tu..” Sekali lagi Aqilah memintas dalam nada yang sama.

“Akak.. Shah tak boleh terus hidup macam ni kak..”

“Apa yang tak boleh? Cuba Shah cakap dengan akak. Selama ni Shah lupa Shah duduk dengan siapa, siapa yang besarkan, siapa yang sekolahkan Shah sampai berjaya sampai hari ni? Apa yang tak bolehnya?” Tebak Aqilah yang cukup tidak suka hal itu ditimbulkan walaupun sudah berkali-kali diingatkan.

“Akak tak faham apa yang Shah rasa..” Mengendur suara Amirudin meluahkannya.

“Cukuplah Shah.. Akak tak nak dengar lagi.. Buat apa Shah cari orang yang dah buang Shah. Bukan buang, tapi yang cuba bunuh Shah. Buat apa?!” Aqilah mula beremosi.

“Akak..”

“Cukup Shah! Akak tak nak dengar lagi!” Pintas Aqilah dengan wajah yang cukup keruh. “Shah dengar sini baik-baik apa akak nak cakap.” Dia menarik tubuh Amirudin agar sama-sama menghadapnya. Dua tapak tangannya dilekapkan ke wajah lelaki itu. “Kita orang semua sayang Shah sangat-sangat. Ummi sayang Shah.. Abah sayang Shah.. Rina.. Awin.. Semua sayang Shah.. Kita orang tak pernah pun anggap Shah macam orang luar. Ummi sayang Shah lebih dari kita orang semua, akak dengan adik-adik yang lain tak pernah pun ambik hati.. Itu pun tak cukup lagi ke.. Tolonglah Shah.. Kesiankan ummi.. Kesiankan abah yang dah susah-susah jaga Shah selama ni..” Pujuknya lirih dengan genangan air mata.

“Kak Long..” Amirudin terus sahaja mendakap tubuh kecil Aqilah. Sebak yang bertandang tidak mampu lagi ditahan. Merembes lagi air mata lelakinya apabila mengenang akan status diri yang tidak mampu ditafsirkan.

Dalam pada itu, ada hati lain yang turut menangis apabila melihat kedua-dua insan yang disayangi saling berdakapan. Dia bangga kerana memiliki kedua-duanya.


..........
maaf. pendek je. uhuu

Oct 7, 2013

Dambaan bahagia_bab 2


“Boleh tahan jugak budak-budak baru sem ni kan bro.” Ujar Anuar dengan sengihan apabila ada sekumpulan pelajar perempuan turun dari bas dan terus masuk ke kafeteria itu.

“Berdosa pandang lama-lama weh..” Balas Amirudin tanpa menoleh. Dia leka dengan nasi dalam pinggannya yang masih berbaki.

“Dua kali baru berdosa bro. Aku pandang sekali aje ni.” Jawab Anuar yang masih tidak lepas memandang seorang demi seorang pelajar perempuan yang melewati meja mereka.

“Aku salah pandang ke, mata aku yang rabun ni..” Omelnya kepada diri sendiri apabila mata dapat menangkap kelibat seseorang yang dikenali.

Amirudin mengangkat wajahnya berserta kerutan. “Kau apasal?” Soalnya sebelum mencapai air sirap bandung di sisinya.

“Aku nampak Tiya bro.”

Serentak itu air sirap bandung yang baru sahaja disedut oleh Amirudin tersembur ke wajah Anuar. Terbatuk-batuk dia seketika kerana air yang diminum masuk ke salur pernafasannya.

“Hoi! Kau ni apasal?” Marah Anuar yang terkejut apabila wajahnya tiba-tiba lencun dibasahi sirap bandung.

“Yang kau pergi sebut nama yang bukan-bukan dekat sini kenapa?” Tingkah Amirudin diselangi batuk Ada debar yang bertandang di hatinya sebaik sebaris nama itu meniti bibir Anuar tadi.

Ngok. Kau ingat aku main-main ke. Tu.. Kau tengok tu siapa. Tiya si kekasih hati kau tu.” Jawab Anuar sambil menunjuk ke arah salah satu penjuru kafe.

“Kau jangan buat hal Nuar. Aku takda masa nak gurau-gurau ni. Banyak lagi kerja yang aku boleh buat.” Balas Amirudin yang tetap tidak mahu menoleh. Gusar jika Anuar benar-benar serius dengan apa yang diperkatakan.

“Kau ingat aku ada masa nak gurau la? Muka aku kau dah sembur. Tak percaya, kau tengok sana tu. Cinta hati dunia akhirat kau tu.” Kata Anuar lagi sambil mengelap wajah dan bajunya yang mula terasa melekit dek semburan percuma sahabatnya itu.

Dengan debar yang tidak hilang Amirudin perlahan-lahan menoleh dengan harapan Anuar tersalah orang. Namun kini, dia terpempan. Tidak berkelip dia memandang ke salah satu sudut kafe. Seraut wajah yang sudah lama tidak bertamu di ruang matanya.

“Weh.. Tak payah nak tenung si Tiya tu macam kau boleh dapat sekarang. Kau habiskan nasi kau tu cepat sikit. Lepas aku hantar kau ke fakulti, aku nak terus balik. Kejap lagi corak free dekat baju aku ni terus tak boleh hilang kalau biar lama.” Tegur Anuar seraya menepuk bahu sahabatnya itu. Terasa segan untuk berlamaan di situ lagi kerana sejak tadi mereka sudah menjadi tumpuan. Ramai yang mengenali mereka di situ terutamanya Amirudin.

“Ala.. Kau kata nak teman aku sampai aku settle kan semua register aku.” Balas Amirudin tidak puas hati.
“Ahh.. Malas aku. Dengan baju aku dah ada corak ni, tak kuasa aku ikut kau. Aku baru nak usha freshie kalau-kalau boleh buat calon. Ni belum lagi aku usha, kau dah potong.” Jawab Anuar masih tetap dengan keputusannya.

Amirudin tersengih. Terlupa sebentar akan hal Fathiyah tadi apabila bertingkah dengan sahabatnya itu. “Iyalah.. Aku tahulah aku ni student repeat. Kawan semua dah menyombong.. Maklumlah nak temankan budak repeat macam aku ni, manalah ada standard kan..” Ujarnya kemudian pura-pura berjauh hati. Dia tahu sahabatnya itu tidak akan sampai hati jika dia sudah mengeluarkan ayat minta simpati begitu.

“Kau tak payahlah nak buat ayat kesian macam tu. Macamlah aku nak kesian. Takda takda. Kali ni jangan haraplah aku tergoda dengan ayat kesian kau tu. Aku nak terus balik lepas ni.” Anuar bertegas walaupun hatinya tetap terpancing dengan kata-kata Amirudin. Dia sudah berjanji dengan lelaki itu semalam.

“Kalau macam tu, kau baliklah sekarang. Aku boleh pergi sendiri.” Jawab Amirudin benar-benar berjauh hati apabila melihat ketegasan sahabatnya itu.

“Ahh kau ni. Nak buat ayat touching pulak dekat sini. Entah macam mana la kalau dah kahwin nanti kalau sikit-sikit nak merajuk. Nak ke si Tiya tu selalu pujuk kau.” Balas Anuar yang cukup faham akan perangai Amirudin yang bijak menyusun ayat memujuk.

“Hoi! Kau cakap baik sikit eh. Siapa yang nak kahwin dengan si Tiya tu? Kalau nak kahwin, dari hari tu aku dah kahwin bro. Macam confirm aje jodoh aku dengan dia kan..” Tingkah Amirudin kurang senang dengan apa yang diucapkan oleh Anuar menyebabkan debarnya tadi kembali bertandang malah semakin hebat. Akalnya kembali memberi tumpuan akan hal Tiya yang turut sama ada di kampusnya itu. Bukan dia tidak perasan dengan siapa gadis itu tadi. Bersama tunangan sahabatnya sendiri.

Anuar terdiam. Bola matanya terhenti pada satu arah.

“Kau kenapa ni?” Amirudin memandang pelik ke wajah Anuar yang tertegak duduk tidak bergerak dengan pandangan mata lurus ke arahnya. “Hoi!” Dia menampar perlahan pipi Anuar.

“Er.. Tu..” Ujar Anuar dengan bibir yang dimuncungkan.

“Apa tu?”

“Belakang kau tu.” Kata Anuar sambil melekapkan dua tapak tangannya ke wajah Amirudin dan ditolak ke arah yang dimaksudkan.

Amirudin telan liur. Wajah dingin Fathiyah melatari ruang mata sedekat itu. Begitu tajam sepasang mata bundar itu merenungnya.

“Aku pun tak hinginlah kahwin dengan lelaki yang repeat otak senteng macam kau!” Kata gadis itu sebelum terus berlalu.

Perghh.. Kejamnya ayat..” Tutur Anuar sebaik kelibat Fathiyah hilang dari pandangan.

Amirudin melepas keluhan panjang. Dia yakin Fathiyah terdengar apa yang diucapkannya tadi. Perasaannya mula berperang sesama sendiri.

“Sabarlah sahabat..” Anuar menepuk beberapa kali bahu Amirudin. Dia tahu sahabatnya itu memendam rasa. Ada sesuatu yang disimpan dan dipendam yang telah menjadi penyebab utama terputusnya hubungan kasih yang terbina sebelum ini.

*****

“Tiya..” Lembut Suhana memanggil apabila bakal adik iparnya itu hanya mendiamkan diri sebaik masuk ke dalam kereta.

“Kenapa mesti Tiya jumpa dia kak..” Itu yang terluah di bibir Fathiya dengan genangan air mata. Hatinya terasa sakit apabila teringat kembali kata-kata Amirudin tadi. Dan dia tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki itu dalam tempoh seminggu dia menyambung pengajiannya.

“Dah nama pun sama kampus. Mesti jumpalah..” Jawab Suhana sedikit berhati-hati kerana tahu apabila hal Amirudin diungkitkan, Fathiyah akan menjadi seorang yang cukup sensitif.

“Ni semua Angah punya pasal! Tak jumpa konon. Yang tadi tu siapa kalau bukan Shah. Roh Shah?!” Hambur Fathiyah geram. Peta kampus yang menjadi peneman setia ke mana sahaja dia pergi dalam waktu seminggu itu menjadi tempat melepaskan sakit hati. Habis renyuk dikerjakan. Mulutnya pula terus menerus terkumat-kamit memarahi.

Suhana tergelak kecil. Dia sedia maklum akan perangai bakal adik iparnya yang seorang itu. “Sudahlah tu Tiya. Kesian peta tu. Akak dah takda copy nak bagi nanti kalau dah lunyai Tiya kerjakan..” Ujarnya cuba memujuk.

“Tiya benci dia kak.. Tak nak kahwin konon. Macamlah Tiya ni yang tergila-gilakan sangat nak kahwin dengan dia.” Lepas Fathiyah lagi dengan hati yang membuak panas. Dia belum puas lagi menghamburkan amarah yang terkepung.

Suhana yang tekun memandu menggeleng beberapa kali. “Apa yang Shah dah cakap pada Tiya ni sampai Tiya marah macam ni. Sampai masuk bab kahwin sekali?” Balasnya lembut.

Fathiyah merengus. Pandangan mata terus dihalakan keluar tingkap. “Lelaki bajet handsome! Macamlah Tiya hadap sangat dengan dia!” Luah Fathiyah lagi tanpa menjawab pertanyaan wanita di sisinya itu.

Suhana menghela nafas panjang. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. “Sudahlah tu Tiya. Tiya tak payahlah ingatkan dia lagi. Tiya masuk sini sebab nak belajar kan? Tiya fokus aje dengan study Tiya. Tak payah nak sibukkan hal dia. Lagipun, bukannya hari-hari Tiya akan jumpa dia. Korang lain fakulti pun kan.. Tiya pun bukannya hari-hari ada kelas.” Ujarnya mahu menamatkan sahaja topik yang menghangatkan hati Fathiyah saat itu.

“Memanglah tak sama. Tapi Tiya tetap tak sukalah. Hish! Angah la punya pasal ni.. Tiya geram betul dengan dia. Saja aje nak kenakan Tiya sebenarnya. Macamlah course Tiya ni dekat U lain takda..” Fathiyah tidak henti menyalahkan Amir. Dia yang menyambung pengajian dalam bidang kerja sosial terpaksa menurut akan segala pilihan abangnya.

“Bukan macam tu la Tiya.. Abang Tiya pilih U ni.. Sebab nanti ada orang boleh tengokkan Tiya..” Suhana cuba menjelaskan keadaan sebenar namun belum pun sempat dia menyambung kata, Fathiyah sudah mencelah.

“Angah nak suruh budak senget tu yang tengokkan Tiya? Huh! Terima kasih ajelah. Tiya dah besar okey! Tak payah nak orang tengok-tengok. Baik dia jaga diri dia sendiri!” Masam mencuka wajah Fathiyah saat itu.

Suhana melepaskan tawa kecil lagi. “Tiya ni.. Akak belum lagi habis cakap..” Ujarnya dengan gelengan. “Ibu Tiya dekat rumah tu risau sangat pada Tiya tau. Sebab tu dia nak Tiya sambung belajar dekat sini. Angah dengan akak boleh tengok-tengokkan Tiya. Dari Tiya keluar dengan kawan-kawan Tiya tu… Selalu balik lewat sampai ke pagi. Dari Tiya buang masa macam tu, kan lagi bagus Tiya sambung belajar. Ibu Tiya pun tak risau sebab dah ada orang jaga Tiya.” Jelasnya panjang lebar.

Fathiyah terdiam. Dia terlupa akan ibunya. Memang ibunya yang begitu beriya-iya mahu dia menyambung pengajiannya.

“Tiya.. Dengar tak apa akak cakap ni?” Soal Suhana apabila gadis di sisinya itu hanya mendiamkan diri.

“Dengar..” Jawab Fathiyah perlahan. Terasa rindu pula pada ibunya di rumah. Lebih seminggu tidak pulang ke rumah kerana sibuk dengan jadual kelas yang masih belum tersusun dengan betul. Tambahan pula dia dalam proses untuk mengingati selok-belok jalan di dalam kampus kerana dia seorang yang begitu susah untuk mengingati jalan walaupun sudah berkali-kali memalui jalan yang sama.

“Erm.. Tiya janji dengan supervisor Tiya pukul berapa ni?” Suhana terus menukar topik perbualan mereka apabila teringat akan tujuan utama gadis itu bertemu dengannya. Kereta yang dipandu sudah pun masuk ke Fakuliti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

“Erm.. Pukul dua kak..” Jawab Fathiyah selepas mengerling jam di pergelangan tangannya.  “Erm.. Kak, Dr. Kamarulzaman ni muda ke tua kak?” Lanjutnya yang sedikit risau dengan siapa dia akan berurusan sepanjang tempoh pengajian selama dua tahun itu.  

“Tiya rasa?” Suhana mengajukan soalan juga berserta sengihan penuh makna. Dalam pada itu, kereta yang dipandu sudah pun berhenti di salah sebuah petak khas buat tenaga akademik.

“Entah.. Tapi kalau muda pun, mesti dah tak single.” Balas Fathiyah senang. Tidak berminat mahu meneka.

“Kita tengoklah macam mana. Jom masuk bilik akak dulu. Solat. Lepas tu nanti Tiya boleh terus pergi jumpa dia.” Ujar Suhana selepas mematikan enjin kereta. Dia berkongsi bangunan pejabat dengan Kamarulzaman yang bertindak sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan. Manakala dia di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan.

******

“Kau tak cakap pun dengan aku Tiya nak sambung study?” Ujar Amirudin sebaik sahabatnya itu melabuhkan duduk. Suasana yang agak bising di restoran 24 jam itu langsung tidak mengganggunya.

Amir tersenyum kecil. “Kenapa? Kau ada jumpa dia ke?” Dia mengajukan soalan juga.

“Kalau tak jumpa takpa bro. Sebab aku terjumpa dialah aku datang jumpa kau ni. Apasal sebelum ni kau tak cakap pun dengan aku dia nak sambung study. Nak sambung study tu takpalah. Ni dia sambung dekat tempat yang sama dengan aku kenapa? Memang dia mintak ke atau dia saja-saja mintak?” Bertalu-talu Amirudin meluahkan yang terpendam sejak bertemu secara tidak sengaja dengan bekas cinta hatinya.

Amir tersengih. “Kau ingat dia nak sangat pilih sama tempat dengan kau? Jangan haraplah. Aku yang uruskan semua borang dia hari tu. Memang sengaja aku pilih sama tempat dengan kau bro. Kalau aku takda, aku boleh harapkan kau tengokkan dia.” Jawabnya mengakui apa yang telah dilakukan. Puas dia memujuk Fathiyah minggu lalu supaya bersetuju dengan pilihan yang telah dibuat.

Amirudin menarik senyum tepi. “Kau nak harapkan aku tengokkan dia? Aku rasa kau salah oranglah bro. Tengok muka aku pun dia tak nak, ni kau nak aku tolong tengokkan dia? Untunglah kalau dia nak bro.” Balasnya sinis.

“Aku takda siapa yang nak harapkan lagilah Shah. Kau pun tahu yang Ana kadang-kadang kena pergi kursus jauh-jauh. Pergi seminarlah, apalah.. Tu yang kalau boleh, ada orang tengokkan dia dalam U tu.. Aku ni memanglah ada. Tapi time dia dekat rumah ajelah.” Terang Amir lanjut yang tidak mahu sahabatnya itu tersalah faham.

“Kejap-kejap! Kau nak bagi aku wasiat ke apa ni?” Sahut Amirudin cepat. Dia risau  jika Amir benar-benar mahu dia sentiasa memerhatikan Fathiyah sepanjang berada di kampus.

“Bagi wasiat la ni. Kau tak kisah kan? Lagi pun bukan aku tak tahu kau syok lagi dekat adik aku tu kan..” Jawab Amir yang cukup kenal dengan hati budi Amirudin walaupun kadang-kadang tindakan lelaki itu sukar diramal.

Amirudin tersenyum nipis. Memang dia tidak mampu membohongi sahabatnya itu. Hatinya tidak pernah memadamkan sebaris nama yang terpahat sejak dulu lagi. “Dia bukan macam Tiya yang aku kenal dulu Mer..” Ucapnya lambat disertai helaan berat.

“Dia jadi macam tu pun, kau tahu sebab apa kan?” Balas Amir mengendur. Tumpang simpati dengan apa yang telah berlaku.

“Aku ni takda pilihan Mer..”

“Kau bukan takda pilihan. Tapi kau yang takut nak pilih.”

“Pilihan apa yang aku ada?” Balas Amirudin dengan keluhan.

“Shah.. Kau tak percaya ke pada takdir?” Amir mengajukan soalan juga.

Amirudin tidak mampu menjawab. Sememangnya dia sedar akan takdir yang telah ditentukan buatnya sejak lahir lagi.

“Kau kena ingat Shah, kalau ikutkan hati aku, jangan haraplah aku nak baik-baik dengan kau lagi. Kalau ikut Amri lagi la.. Silap-silap, kau dah tak boleh main hoki lagi bro..” Lanjut Amir apabila teringat kembali apa yang telah dilakukan oleh Amirudin kepada satu-satunya adik yang dia ada. “Tapi disebabkan aku dengan Amri percaya pada takdir, percaya pada qadak dengan qadar dia.. Aku tahu mesti ada sebab Dia gerakkan hati kau untuk cancel majlis bertunang kau dulu.” Tambahnya apabila teringat peristiwa hampir dua tahu lalu.

Sorry Mer.. Aku..” Keluhan lagi yang terlepas di bibir Amirudin. Perasaan bersalahnya sehingga ke hari ini tidak pernah surut terhadap keluarga Fathiyah. Sedar banyak hati yang telah terluka di atas perbuatannya.

Amir menepuk beberapa kali bahu sahabatnya itu persis memberi semangat. “Sudahlah Shah.. Aku tahu, tak senang ada dekat tempat kau. Tetapi kadang-kadang, baik kita hargai orang ada depan mata kita dari kita tercari-cari benda yang tak pasti. Bersyukur dengan apa yang ada Shah.. Hargai orang yang dah bersusah-payah jadikan Amirudin Zulkarnain Shah hari ni.” Nasihatnya ikhlas sebagai seorang sahabat.

“Tapi Tiya..”

Pasal Tiya kau janganlah risau. Dia tu mulut aje kata benci.” Pintas Amir yang faham apa yang dirasai oleh lelaki itu.

Amirudin tersenyum nipis. “Erm.. Mer, kalau pasal kau nak suruh aku tengok-tengokkan dia, aku tak rasa aku bolehlah bro. Kau tahukan dia kalau boleh memang dah tak nak langsung tengok muka aku ni.” Luahnya serba salah untuk menerima tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

“Aku tak suruh pun kau tengok dia dua puluh empat jam. Kalau ternampak atau terserempak dengan dia. Kau tolonglah tengok-tengokkan. Kau tahukan dia macam mana. Aku rasa kawannya ada dekat mana-mana aje. Pantang orang ajak, cepat aje dia melangkah. Tu yang aku risau dia tu. Ni dia dah merengek nak drive kereta arwah ayah aku. Aku aje yang tak bagi. Biar dia susah sikit nak ke mana-mana. Kalau tak, panjang langkahnya.” Amir mula meluahkan kerisauan hatinya pula.

“Aku tak boleh nak janji dengan kau Mer.. Kau tahu aku pun busy dengan game aku, training aku. Aku tak tahu bila masanya aku dapat jumpa dia. Budak master ni kelas bukannya hari-hari.. Fakulti pun tak sama. Susah sikitlah..” Balas Amirudin sebelum mencapai cawan teh tarik yang belum berusik sejak tadi.

“Tu kau tak payah risaulah. Nanti aku bagi jadual kelas dia pada kau. Senang sikit nanti.” Jawab Amir dengan menjongketkan dua keningnya. Sedaya upaya dia akan cuba menjernihkan kembali hubungan yang telah keruh dan itu juga telah menjadi sebab utama dia memilih universiti yang sama buat adiknya.


Amirudin tersenyum tawar. Tidak menyangka sahabatnya itu begitu beriya-iya mahu dia berbaik kembali bersama Fathiyah setelah apa yang dilakukan. Namun begitu, yakin dia tidak mampu menjadi yang terbaik buat Fathiyah dan gadis itu tidak akan sewenang-wenangnya dapat menerima dirinya kembali seperti dulu. Sepasang mata bundar yang merenungnya siang tadi penuh dengan api kebencian yang begitu mendalam dan tidak mampu untuk dipadamkan walaupun dia berterus terang akan penyebab di sebalik kejadian. 

Oct 2, 2013

Dambaan bahagia_bab 1

Assalamualaikum.

Siapa-siapa yang sudi menyuarakan tajuk, silakan... :)

Hope boleh hadam.. :)
.......

bab 1

“Tiya!” Kuat Zainab menjerit memanggil anak bongsunya dari ruang dapur.

“Bu, pagi-pagi lagi dah test vokal.” Muncul Amir di ruang itu.

“Kamu tengok tu? Siapa punya kerja tu? Nasib ibu kamu ni takde sakit jantung. Kalau tak, dah lama agaknya..” Jawab Zainab sambil mengurut dadanya yang sedikit berombak.

Amir melepaskan tawa kecil selepas memandang ke arah yang dimaksudkan oleh ibunya itu.

“Kamu pergi kejutkan dia. Suruh dia turunkan Gina tu. Siapa punya kerja kalau tak dia..” Arah Zainab sebelum menuang air suam ke dalam gelas.

“Alah ibu ni. Macamlah tak kenal Gina. Gina bukan usik ibu pun. Mesti Gina tidur tu.” Balas Amir senang seraya melabuhkan duduk di kerusi meja makan. Aroma nasi lemak menerobos ke rongga hidung sebaik penutup makanan dibuka.

“Kalau Si Gina tu jatuh dalam kuali ibu ni tadi macam mana? Kamu nak makan dia?” Lawan Zainab yang masih tidak hilang lagi rasa geram di hatinya. “Tiya!” Laungnya lagi tanpa mempedulikan anak nombor duanya yang mula makan itu. “Budak ni memang suka buat darah ibu naik tau!” Omel Zainab sebelum keluar dari ruang dapur. Langkah terus diatur ke kamar anak bongsunya. Daun pintu yang bertutup rapat diketuk sekuat hati.

“Tiya! Bangun Tiya!” Pekiknya berselang-seli dengan ketukan di pintu. “Pukul berapa dia balik malam tadi Angah?” Lanjutnya dari depan pintu bilik Fathiyah.

“Entah. Angah tidur awal malam tadi bu.” Jawab Amir yang hanya menggelengkan kepala melihat ibunya tidak henti mengetuk pintu bilik adik bongsunya. Bukan dia tidak tahu adiknya itu memang sukar dikejutkan jika sudah tidur lewat.

“Budak ni kan.. Tiya! Bangun! Kalau Tiya tak bangun, ibu masak Gina tu buat sup hari ni!” Panggil Zainab lagi tidak henti.

Amir yang sedang makan, mengekek gelak mendengar ugutan ibunya.

“Ish! Siap. Tiya ni memang nak mandi atas katil ni.” Gerutu Zainab sebelum kembali semula ke ruang dapur. Tangannya terus mencapai mangkuk plastik selebar tapak tangan dan diisikan dengan air paip.

“Tiya! Baik kau bangun! Kejap lagi mandilah kau atas katil tu..” Amir pula melaung dari meja makan memandangkan bilik adiknya yang paling hampir dengan ruang dapur itu. Dia cukup faham dengan apa yang akan dilakukan oleh ibunya sebentar nanti.

“Tiya.. Ibu kira sampai tiga. Kalau Tiya tak bangun, ibu bukak kunci ni nanti, Tiya mandi atas katil.” Ugut Zainab yang sudah bersedia dengan segugus kunci di tangan.

“Satu.. Dua.. Ti..” Pintu bilik terbuka. Wajah kusut Fathiyah muncul di muka pintu.

“Ibu ni.. Sikit-sikit nak ugut. Kenapa kejutkan Tiya pagi-pagi ni..” Rungut gadis genit itu sambil menekup mulut. Cuba menahan kuap. Kelopak matanya terasa berat benar untuk diangkat menyebabkan bayang ibunya hanya samar-samar.

“Sini.. Pergi turunkan Gina tu. Kalau tak, ibu masakkan Tiya sup Gina tengah hari ni.” Zainab terus menarik tangan anak bongsunya hingga ke ruang dapur. “Turunkan sekarang!” Arahnya tegas sambil menunjuk ke penjuru petak siling yang terbuka.

“Alah ibu ni.. Gina bukan usik ibu pun. Tu mesti dia tengah tidur. Tak payahlah kacau dia.. Nanti dia bangun, tahulah dia tarik balik ekor dia tu..” Selamba Fathiyah menjawab sambil menggonyoh matanya yang terasa pedih apabila cahaya matahari yang menerobos masuk dari pintu dapur yang terbuka.

“Takda-takda. Ibu tak kira. Turunkan dia sekarang!” Zainab tetap bertegas.

“Alah.. Tengah hari nantilah.. Bagi Tiya tidur kejap dulu..” Jawab Fathiyah malas sebelum kembali mengorak langkah. Berkira-kira mahu meninggalkan ruang dapur itu untuk menyambung semula tidurnya yang terganggu.

“Jangan nak mengada-ngada. Turunkan Si Gina tu dulu!” Halang Zainab sambil menarik lengan anak gadisnya yang seorang itu dari kembali semula ke bilik.

“Ibu, biarlah Tiya tidur. Lepas makan ni nanti Angah turunkan Gina tu.” Sahut Amir yang tidak sampai hati melihat adik bongsunya yang benar-benar mengantuk.

Cayaalah Angah. Ni sayang Angah lebih ni. Nanti Tiya mandikan Toby Angah tu sebulan. Okey bye!” Sahut Fathiyah laju seraya menghadiahkan kucupan sekilas ke pipi abang keduanya itu. Kemudian cepat-cepat dia mengatur langkah ke bilik tidurnya semula.

“Ee… Ada air liur basi, kiss orang.” Gerutu Amir sambil mengelap pipinya cepat.

Toby yang dimaksudkan adalah kura-kura kecil warna jingga dari spesies Indian Star yang sudah dipelihara sejak dua tahun lalu.

Zainab saat itu pula sudah bercekak pinggang. Kelibat anak bongsunya yang menghilang ke dalam bilik dipandang geram. “Sorang Toby, sorang Gina. Belum lagi dengan Si Mary dengan Si Alex tu.” Gerutu Zainab sebelum kembali menyambung kerjanya yang tergendala.

Hampir gugur jantungnya tadi apabila sedang leka dia mengupas kulit bawang, terjuntai ekor ular sawa milik anak bongsunya itu dengan tiba-tiba.

Amir yang masih berada di ruang makan itu kembali mengekek gelak mendengar bebelan ibunya. “Boleh jadi zoo rumah kita kan bu.” Ujarnya kemudian sengaja mahu mengusik.

“Banyaklah kamu punya zoo.” Balas Zainab sambil menjeling sekilas ke wajah anak keduanya itu. “Erm.. Kamu jadi cuti Isnin ni?” Lanjutnya sebelum mencuci tangan. Anak keduanya itu hanya pulang ke rumah pada hujung minggu sahaja.

“Jadi bu. Kan Angah dah janji nak uruskan pasal Tiya tu.” Jawab Amir yang kembali menyambung makan.

“Selagi dia tak sambung belajar, tak senang hati ibu ni tau. Ke sana ke mari sesuka hati dia aje. Balik lewat-lewat malam. Risau hati ibu ni.” Luah Zainab akan perasaan risau yang dirasai sejak anak bongsunya tamat pengajian di peringkat ijazah dua tahun lalu.

“Jangan risau sangat bu. Nanti dia dah sambung belajar, Angah boleh tengokkan dia.” Balas Amir menenangkan. Sejak ayahnya meninggal dunia, tanggungjawab menjaga dan memastikan keselamatan adiknya tergalas di bahunya dan abang sulungnya.

“Macam mana ibu tak risau Angah. Kamu tengoklah dia. Marah sikit nanti, merajuk panjanglah dia. Tapi bukan nak dengar kata. Tambah-tambah susah hati ibu ni.” Tambah Zainab lagi.

“Dia tengah ligat bu.. Nanti dah lepas sambung belajar, tahulah dia macam mana. Nanti Angah tengok-tengokkan dia. Ibu janganlah risau. Lagipun nanti, ada orang yang dah sedia nak tengokkan dia masa dalam kampus nanti.” Jawab Amir berserta senyuman penuh makna terukir di bibirnya.

“Siapa?” Zainab mula berkerut dahi.

Amir angkat dua kali kedua-dua keningnya bersama senyuman yang semakin dilebarkan.

“Ada cerita best ke?” Muncul Amri di ruang makan itu sebelum terus melabuhkan duduk di kepala meja.

“Ni ibu tengah bincang pasal adik bertuah kamu tu la..” Sahut Zainab sambil menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan kosong sebelum dihulurkan kepada anak sulungnya itu.

“Oh.. Erm.. Tak silap Along dia balik malam tadi dah dekat pukul tiga bu.. Sebab time tu Along baru habis tengok bola.” Balas Amri sebelum meneguk perlahan air teh yang dituangkan oleh adiknya.

“Hish! Sebab tu la ibu tak bagi dia bawak kereta arwah ayah tu. Panjang langkahnya. Entah ke mana dia malam tadi.” Sahut Zainab yang turut melabuhkan duduk di situ.

“Alah.. Biasalah dia bu.. Sibuk aje dengan kawan-kawan dia. Tak pun sibuk berkampung dekat kedai si Alan tu ha..” Balas Amri sambil menjongketkan sebelah keningnya kepada Amir. Mereka cukup faham akan perangai Fathiyah. Lebih suka menghabiskan masa di luar berbanding di rumah.

“Tu lagi satu yang ibu tak suka. Suka sangat dia duduk dekat kedai budak Alan tu. Ibu kahwinkan terus baru tahu.” Bebel Zainab lagi sedikit geram.

“Sudahlah tu bu.. Bukan dia ke mana pun. Alan tu pun kawan kita orang. Ibu pun kenal Alan tu kan.. Takda apalah..” Ujar Amri menenangkan.

“Selagi dia tak sambung belajar, selagi tu la hati ibu ni tak senang.. Entah siapa-siapa kawannya, bukan ibu tahu. Kalau jadi apa-apa macam mana?” Jawab Zainab yang masih tetap dengan perasaan risaunya.

“Bu, biarlah dia sebulan ni.. Bulan depan, senanglah hati ibu.” Sambung Amir pula.

Zainab menghela nafas panjang. Tidak tahu apa yang dirasakan saat itu. Kelegaan pun tidak, ketenangan apatah lagi. “Nanti dah sambung belajar kamu tengokkan dia betul-betul Angah.” Ujarnya lambat berserta keluhan.

“Iya bu.. Ibu janganlah risau. Kan Angah kata tadi nanti dalam kampus ada orang tolong tengok-tengokkan dia.” Balas Amir lagi yang sudah pun menghabiskan sepinggan nasi lemaknya.

“Siapa?” Hampir serentak Amri dan Zainab menyoal.

“Suhana kan ada..” Balas Amir sebelum bingkas.

“Tunang kau tu tak busy ke wei..” Sahut Amri mengusik. Tahu yang tunangan adiknya itu seorang pensyarah di kampus yang dimaksudkan.

“Kalau Suhana busy, Amirudin Zulkarnain Shah ada.” Jawab Amir diiringi sengihan lebar.

Amri terus menghamburkan tawa sebaik sebaris nama yang cukup dikenali itu disebut adiknya. Namun tidak pada Zainab. Bertambah kerutan di wajah tuanya.

“Kamu jangan main-main Angah. Bukan ke budak tu dah habis belajar tahun lepas?” Ujar Zainab dengan riak kerisauan bertambah.

“Dia kena repeat lagi satu paper bu.” Jawab Amir senang tentang sebaris nama yang disebut sebentar tadi.

“Subjek apa? TITAS lagi? Lama lagilah budak tu berkampung dekat situ.” Sahut Amri seraya menyambung tawa. Setahunya sudah dua kali Amirudin mengulangi subjek yang sama dua semester lepas menyebabkan lelaki itu masih juga tidak berjaya menamatkan pengajiannya.

“Ha’ah. Mana tak repeat. Orang masuk kelas, dia sibuk dengan kayu hoki. Training la, game la. Entah apa lagi entah..” Jelas Amir yang berhubung rapat dengan Amirudin sejak mereka kecil lagi kerana keluarga mereka bersahabat.

Zainab sudah melepaskan keluhan berat. Sungguh hati tuanya tidak senang saat itu apabila memikirkan tentang lelaki yang dimaksudkan.

“Bu.. Janganlah risau sangat. Inshaa Allah dia orang tu okey nanti..” Tambah Amir apabila melihat wajah Zainab yang sedikit keruh. Dia faham apa yang dirasai oleh ibunya itu. Menjaga Nur Fathiyah merupakan satu tanggungjawab besar bagi keluarga mereka selepas ketiadaan ayah. Tambahan pula selepas apa yang berlaku dalam hidup gadis itu hampir dua tahun lalu.

******
“Hoi! Pagi-pagi dah termenung. Bersemangatlah sikit bro..” Tegur Anuar yang menepuk bahunya membuatkan lamunannya hilang bertaburan. Keluhan terlepas apabila memandang wajah ceria sahabatnya itu. “Kau ni kenapa pagi-pagi lagi muka macam bini lari dari rumah?” Sambung sahabatnya itu lagi menyebabkan senyuman nipis terbentuk di bibir.

“Kalau aku terus aje berhenti belajar okey tak bro?” Amirudin menjawab dengan soalan juga.

“Kau ni biar betul? Tinggal satu sem aje kan? Kalau kau berhenti, kau nak jadi apa bro? Takkan kita nak main hoki sampai ke tua.” Balas Anuar kurang setuju dengan apa yang disampaikan oleh sahabatnya itu.

Amirudin melepaskan keluhan. Entah kenapa dirasakan dia tidak mampu untuk berjaya seperti orang lain. Kerap benar dia gagal dalam pelajaran sejak terlibat dalam sukan hoki. Padahal kawan-kawan yang lain semua berjaya walaupun sama-sama sibuk dengan latihan dan perlawanan yang perlu dihadiri. Disebabkan itu juga dia terpaksa mengulang satu semester lagi sebelum dapat menggenggam segulung ijazah dalam bidang sains sukan. Rakan-rakan yang sebaya dengannya sudah pun berjaya menggenggam ijazah tersebut setahun yang lalu.

“Kau masuk belajar balik lagi seminggu kan?” Soal Anuar lagi yang siap sedia masuk ke tengah padang untuk memanaskan badan selepas siap memakai kasut.

“Ha’ah.” Balas Amirudin malas.

“Bro, apa kata kau stop main sekejap. Kau fokus dengan study kau dulu. Tu lagi bagus dari kau kena repeat tiap-tiap sem.” Usul Anuar yang tidak mahu sahabatnya itu membuat keputusan terburu-buru.

“Aku dah malaslah Nuar. Buat habis duit aje kalau aku sambung. Aku dah banyak susahkan mak ayah aku. Aku rasa, baik aku fokus aje dengan apa yang aku buat sekarang ni.” Balas Amirudin tidak bersemangat. Sememangnya sudah lama hal itu difikirkan selepas mendapat keputusan peperiksaan yang agak mengecewakan beberapa bulan lepas.

“Kau jangan macam tu Din.. Kesian mak ayah kau. Dia orang nak sangat tengok kau berjaya. Kalau tak, family kau takda susah-susah nak bayar yuran study kau selama ni. Dulu kau dah dapat offer pergi US. Buat doktor lagi. Kau tolak. Sekarang ni, family kau ikutkan aje kata kau nak buat sports science. Takkan kau sanggup nak kecewakan dia orang buat kali kedua kut.. Opss.. Mungkin kali ketiga.” Kata Anuar diiringi sengihan mengusik.

Amirudin tetap dengan wajah tidak berperasaannya walaupun sedar akan maksud kata sahabatnya itu.

“Tinggal satu sem aje lagi Din. Habiskan ajelah..” Anuar tidak henti menasihati. Amirudin yang dikenali bukanlah seorang yang cepat berputus asa. Malah sahabatnya itu seorang yang kuat berusaha dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Jika tidak, mana mungkin Amirudin kini menjadi salah seorang atlet harapan kebangsaan dalam sukan hoki.

“Kau tak faham Nuar apa yang aku rasa..” Balas Amirudin mengendur. Pandangan matanya ditalakan ke tengah padang. Rakan-rakan yang lebih awal tiba sudah pun ligat memanaskan badan.

Anuar yang sedang meregangkan tubuh terus terhenti. Wajah Amirudin yang sedikit keruh dipandang. “Come on Din.. Kau jangan macam ni.. Amirudin Zulkarnain Shah yang aku kenal bukan macam ni.. Wake up bro! Semua yang jadi atas perancangan Dia. Takda yang sempurna dalam dunia ni bro. Takdir hidup kita dalam dunia ni tak sama Din. Kau kena tahu tu.” Nasihat Anuar memberi semangat dan peringatan. Dia sedia maklum akan keadaan diri lelaki itu.

Amirudin masih sama seperti anak muda yang sebaya dengannya. Cuma permulaan hidup lelaki itu tidak seperti orang lain. Dia insan paling istimewa menjadi penyeri hidup buat pasangan Sulaiman dan Aida. Hakikat itu yang dia tahu dan tidak hairanlah jika Amirudin terkenal dengan jolokan anak manja sejak mereka berteman di sekolah rendah lagi.

“Nuar.. Aku..” Keluhan berat kedengaran lagi dari bibir Amirudin membuatkan Anuar menggelengkan kepala beberapa kali.

“Sudahlah tu sahabat. I love u so much tau. Dah tu. Kau jangan nak macam-macam lagi. Pagi ni aku belum bersedia nak dengar luahan hati kau yang tak pernah habis tu. Malam-malam sikit kalau kau nak luah pun. Nanti aku siap boleh bagi ceramah free dekat kau sampai ada sinetron air mata. Bangun-bangun!” Anuar terus sahaja menarik tangan Amirudin agar lelaki itu bingkas. Mereka perlu segera berlatih sebelum jurulatih tiba. Sudah menjadi kebiasaan apabila disiplin menjadi keutamaan mereka.

Amirudin tersenyum kecil mendengar kata-kata Anuar yang selalu sahaja kedengaran tulus. Itulah sahabat dia berkongsi suka dan dukanya selama ini. Sahabat paling bermakna yang pernah dia ada. Dia terlalu bersyukur akan nikmat yang dikurniakan Allah di sepanjang hidupnya. Cuma kadangkala, tergelincir juga hatinya hingga terlupa akan janji Allah kepada setiap hamba-Nya.

******

“Apa ni Ngah.. Ala…” Fathiyah sudah mempamerkan wajah menolak. Dia tidak setuju akan pilihan yang telah dibuat oleh Amir.

“Eh, hari tu siapa yang kata tak kisah?” Balas Amir selamba sambil menyusun atur akan segala keperluan untuk pendaftaran esok.

“Memanglah tak kisah. Tapi kenapa dekat situ yang Angah pilih? Punyalah banyak U dekat dalam Malaysia ni, kenapa dekat situ jugak Angah pilih?” Bentak  Fathiyah menghamburkan rasa tidak puas hatinya.

“Kan senang kalau Tiya dekat situ. Sama jugak dekat mana-mana pun..”

“Tak sama!”

“Belajar jugak..”

“Tapi tetap tak sama Ngah!”

“Apa masalah Tiya sebenarnya ni? Cuba cakap dengan Angah apa yang tak eloknya U yang Angah pilih tu?” Ujar Amir sengaja mahu menduga walaupun dia sudah dapat mengenal pasti akan sebab musababnya.

“Tiya tak sukalah dekat situ! Macam dah takda U lain..” Rungut Fathiyah dengan bibir yang memuncung. Mary si kucing kembang dalam pelukannya sejak tadi dilepaskan. Kini tangannya sibuk membelai lembut pula bulu Alex si kucing kembang warna oren yang datang menghampiri.

“Hari tu Tiya kata kalau dapat yang lagi dekat lagi baguskan? Yang paling dekatlah ni Angah pilih. Kak Ana pun ada boleh tengokkan Tiya nanti.” Jawab Amir cuba meyakinkan. Lagi pun dia tahu Fathiyah rapat dengan tunangnya itu.

“Angah tipu! Angah saja nak Tiya jumpa budak gila tu kan?!” Tingkah Fathiyah lagi. Geram. Teringat akan seraut wajah itu hatinya panas.

Amir tergelak. “Tiya kata dah tak nak tahu langsung pasal dia. Ni, mana Tiya tahu yang dia ada lagi dekat situ?” Usik Amir menduga.

Fathiyah menjuihkan bibir. Wajah abangnya itu dijeling geram. “Budak sengal macam dia, memang takkan lulus punya. Repeatlah sampai ke tua!” Hamburnya sakit hati.

Amir tergelak lagi. “Tak baik Tiya doakan orang macam tu. Kan dia bakal suami Tiya tu.” Balas Amir dalam sisa tawanya.

Bukk! 

Bantal kecil di sisinya dilemparkan tepat mengenai muka Amir.

“Padan muka! Angah cakap lagi macam tu, jangan harap Tiya pergi esok!” Bentak Fathiya geram sebelum terus mencapai kunci kereta atas meja kopi dan dia terus berlalu.

“Tiya! Nak ke mana tu?” Muncul Zainab dari ruang dapur apabila ternampak kelibat anak bongsunya berlalu keluar dengan wajah ketat.

“Biarkanlah dia bu.. Tak ke mananya dia tu..” Sahut Amir masih dalam sisa tawanya.

Zainab sudah memandang geram ke wajah anak keduanya. Sedia maklum Fathiyah pasti merajuk kerana diusik.