Oct 11, 2013

Mengharap kasih_edisi khas 3 final

Mengharap kasih_edisi khas 3 final

“Awak..”

“Hm..” Ramzan menoleh ke wajah Azila di sisi sebelum pandangan matanya kembali ke taman permainan. Aniq dan Danish leka bermain di situ. Sudah menjadi kemestian dia akan bertemu dengan dua anak kecil itu jika ada masa terluang.

“Ibu awak macam mana? Dah lama awak tak cerita pasal ibu awak. Dia sihat?” Lembut Azila bertanya.

Lebih lima bulan berhubungan, dia sabar menanti akan keputusan Ramzan yang mahu memperisterikannya. Namun hingga ke hari itu, tiada tanda-tanda mereka akan melanjutkan hubungan pada tahap yang lebih serius apabila lelaki itu lebih sibuk dengan hal kerja. Langsung tiada menyentuh akan hal perkahwinan seperti yang pernah diucapkan sebelum ini. Ibubapanya sendiri tidak berhenti menanyakan hal yang sama kerana sudah menjadi pegangan hidupnya hanya akan berteman dengan lelaki yang benar-benar mahu memperisterikannya. Itu juga syarat ayahnya sejak dulu lagi.

“Sihat.” Balas Ramzan acuh tidak acuh. Hanya kerana ibunya, dia sendiri kini dalam dilema. Serba salah dengan wanita di sisinya itu.

“Erm.. Kalau minggu depan saya jumpa mak awak boleh?”

“Jangan!” Laju Ramzan menjawab membuatkan Azila sedikit terkejut. Hampir bertaut dua keningnya.

“Er.. Kenapa? Kan ibu awak dah tahu pasal kita. Awak cakap hari tu ibu awak okey aje kan?” Ujar Azila dengan sedikit rasa tidak senang apabila melihat reaksi Ramzan begitu.

Ramzan melepaskan keluhan panjang. Wajah ayu di sisinya itu tidak mampu dipandang. “Saya rasa tak boleh minggu ni.. Saya kena kerjalah wak..” Balasnya lambat cuba mencipta alasan.

Azila mengerutkan dahi. Agak curiga dengan jawapan yang diberi. “Awak okey ke Azan? Kenapa saya tengok awak macam..” Terpaksa diluahkan juga apa yang tersirat di hatinya sejak akhir-akhir itu. Memang dia sering bertemu dengan lelaki itu. Namun tiada lagi keceriaan di wajah Ramzan seperti di awal perhubungan mereka.

“Sekarang ni saya tengah banyak kerja Zila.. Kalau nak diikutkan, hari ni pun saya kerja.. Tapi sebab dah janji dengan budak-budak..” Pintas Ramzan yang tidak mampu meluahkan apa yang disimpan. Tidak sanggup dia melihat riak kecewa yang terlukis di wajah yang disayangi itu nanti.

Azila menghela nafas. Wajahnya ditalakan ke arah anak-anaknya yang ligat berkejar-kejaran. “Saya tak pernah paksa awak untuk keluar dengan anak-anak saya selalu Azan.. Kalau awak sibuk, saya faham. Anak-anak pun faham kalau awak banyak kerja. Jangan paksa diri kalau tak boleh Azan..” Perlahan dia menuturkannya. Sedar yang dia dan anak-anaknya mungkin memberi beban kepada lelaki itu.

Ramzan menoleh. Nafaz berat terhela. Ada rasa bersalah terbit di hatinya.

“Azan..” Azila turut membalas renungan. “Lepas ni saya rasa, awak tak payah susah-susah bawak anak-anak saya keluar. Saya tak nak awak rasa susah sebab anak-anak saya Azan. Cukuplah awak dah manjakan dia orang sebelum ni. Duit belanja yang awak bagi tiap-tiap bulan lagi. Saya faham kalau awak sibuk. Nanti saya cakap dengan anak-anak. Awak buatlah kerja awak.” Tuturnya dalam nada yang sama.

“Bukan macam tu Zila.. Saya..”

“Kenapa saya rasa ibu awak macam tak boleh terima saya Azan..” Pintas Azila dengan apa yang dirasakan di hatinya saat itu. Dia tidak mampu menyembunyikannya lagi.

“Zila.. Please.. Bagi saya masa..”

Azila menarik senyum tepi. “Boleh tak awak terus terang dengan saya Azan.. Ibu awak tak boleh terima saya ke?” Soalnya lembut ingin tahu.

Ramzan melepaskan keluhan berat. Rambutnya dilurut ke belakang. Terlalu berat apa yang ingin diluahkan. Sungguh dia tidak mahu melihat kesedihan di wajah ayu itu. “Bagi saya masa Zila.. Saya yakin ibu saya boleh terima awak. Cuma buat masa ni.. Dia..” Tidak terlepas apa yang ingin diungkapkan.

Azila melemparkan senyum tawar. Seperti yang sudah dijangka sejak awal perhubungan mereka lagi. “Saya reda Azan kalau kita takda jodoh.” Tuturnya lemah. Sememangnya dia tidak pernah meletakkan harapan tinggi. Dia benar-benar menyerahkan semuanya kepada takdir dan semata-mata demi kebahagiaan anak-anaknya.

“Awak janganlah cakap macam tu..”

“Habis tu awak nak saya cakap apa Azan? Dari mula lagi saya dah ingatkan awak pasal hal ni kan..”

“Jodoh pertemuan bukan dekat tangan awak Azila.” Ramzan bertegas. Dia mula tahan hati.

“Azan.” Azila menarik sedikit bahu Ramzan agar memandang ke arahnya. “Sepatutnya awak kena terima hakikat ni dari awal lagi Azan.. Memang jodoh bukan dekat tangan saya. Tapi awak kena faham keadaan kita sekarang ni. Saya bukan macam perempuan lain Azan. Saya ada amanah yang kena saya jaga. Awak ada tanggungjawab pada ibu awak Azan. Saya tak nak disebabkan saya, awak dengan ibu awak bergaduh.” Lembut dia menuturkan agar Azan faham akan keadaan yang sedang mereka alami.

“Awak bercakap macam saya ni takda makna langsung pada awak Azila..” Balas Ramzan diiringi helaan berat. Tidak senang dengan apa yang diungkapkan walaupun sedar akan hakikat yang harus diterima itu.

“Bukan macam tu.. Sekarang ni awak sedar tak keadaan kita? Awak sedar tak Azan?” Tingkah Azila sedikit tidak berpuas hati apabila Ramzan menuduhnya begitu. Sesungguhnya kehadiran Ramzan dalam hidupnya merupakan suatu nikmat tuhan yang tidak ternilai. Lelaki itu menjadi tempat menumpang kasih anak-anaknya kini.

“Azila.. Please.. Awak bagi saya masa. Saya akan pujuk ibu saya sampai dia boleh terima awak..” Ramzan menarik jemari Azila dan digenggam kemas.

Azila melemparkan senyum tawar lagi sebelum jemarinya ditarik semula. Tidak senang begitu dengan lelaki yang masih tidak mempunyai sebarang ikatan sah dengannya. “Saya sentiasa bagi masa pada awak Azan. Ambiklah berapa banyak masa yang awak nak. Saya takkan halang. Cuma saya rasa, elok kita berkawan aje Azan. Jangan letak apa-apa harapan pun dalam hubungan kita ni.. Sebab saya pun tak pernah letak harapan tinggi pada awak. Apa yang awak buat pada saya dengan anak-anak pun dah lebih dari cukup Azan.” Balasnya dengan suara yang tertahan. Ada sebak yang bertandang di hatinya sebaik habis menuturkan kata.

“Apa awak cakap ni Zila? Awak tak percayakan saya ke?” Balas Ramzan yang sedikit terkejut dengan apa yang terluah.

Senyuman nipis dilemparkan oleh Azila. Jika dia tidak percaya pada lelaki itu, mana mungkin hatinya kerap menyanyi lagu indah setiap kali mereka bertemu.

Rengusan terlepas di bibir Ramzan sebelum dia bingkas dari bangku rehat di tepi padang permainan itu. “Saya tak cukup layak jadi ayah pada budak-budak tu ke Azila?” Dia menyoal dengan mata dihalakan ke arah Aniq dan Danish yang masih leka bermain.

“Awak lebih dari layak Azan.. Tapi mungkin awak lagi layak untuk jadi ayah pada zuriat awak sendiri..” Balas Azila penuh makna.

“Awak aje yang akan lahirkan zuriat-zuriat saya Azila. Bukan perempuan lain!” Ramzan bertegas sebelum berlalu. Meninggalkan padang permainan itu dengan perasaan yang bercampur baur.

Azila pula hanya mampu memerhati. Sebak yang bertandang di hati mula mengundang air hangat di hujung mata. “Kenapa awak tak nak faham Azan..” Keluhnya sendiri.
………….

“Ummi.. Kenapa Cik Zan balik?” Soal Aniq saat mereka dalam perjalanan pulang.

“Cik Zan ada kerja sayang..” Jawab Azila yang tetap memaniskan senyum walaupun soalan itu sudah berkali-kali ditanyakan kepadanya sejak tadi.

“Adik anak (taknak) awan (kawan) Cik Zan!” Sampuk Danish yang duduk di belakang. Wajah si kecil itu masam mencuka selepas melihat Ramzan berlalu pergi tadi.

“Erm.. Tadi Cik Zan janji nak bawak Along dengan Adik pergi makan aiskrim mi..” Kata Aniq lagi dengan wajah yang memuncung.

Azila yang tenang memandu mengerling ke sisinya sekilas. Senyuman manis dilemparkan. Dia tahu anak-anaknya sedikit terasa hati dengan Ramzan. “Cik Zan ada banyak kerja hari ni. Lain kali mesti dia bawak Along dengan Adik makan aiskrim. Hari ni biar ummi yang belanja Along dengan Adik makan aiskrim ya?” Dia cuba memujuk.

“Tak best la ummi Cik Zan takda..” Keluh Aniq yang masih dengan wajah yang keruh.

“Adik anak awan Cik Zan!” Sahut Danish lebih kuat berbanding tadi.

Azila memandang cermin pandang belakang. Wajah cemberut anak bongsunya itu dipandang. Dia tahu Danish yang paling marah apabila Ramzan pergi begitu sahaja tadi. Si kecil itu memang manja dengan Ramzan lebih dari anak sulungnya. “Adik dah tak sayang Cik Zan ke?” Lembut dia bertanya.

“Adik nak akan aiskrim ngan Cik Zan.” Jawab si kecil itu dengan wajah yang kelat.

“Kan ummi dah kata tadi Cik Zan ada kerja. Sebab tu dia tak boleh makan aiskrim dengan kita. Kan Cik Zan selalu makan aiskrim dengan Adik. Hari ni aje yang Cik Zan tak boleh. Dia ada kerja nak buat. Sebab dia kena balik awal.” Cukup sabar Azila menerangkan agar si kecil itu faham.

“Erm.. Nape Cik Zan anak (tak nak) umpa (jumpa) Adik. Adik lum (belum) kiss Cik Zan.” Jawab si kecil itu dalam nada yang sama. Wajahnya juga masih macam mencuka.

“Erm.. Along pun belum salam Cik Zan tadi mi..” Celah Aniq pula membuatkan Azila menguntum senyum walaupun terasa payah. Hubungan akrab antara anak-anaknya dengan Ramzan tidak mampu disangkal lagi.

“Erm.. Tadi dia nak cepat. Sebab tu dia tak sempat nak jumpa Along dengan Adik. Lain kali kita jumpa Cik Zan lagi okey?” Balasnya tetap cuba memujuk kedua-duanya.

“Ummi.. Kereta pak ngah.” Kata Aniq tiba-tiba apabila ada sebuah kereta memintas kereta yang dipandu. Azila mengerutkan dahi sambil melihat kereta Saga putih di hadapannya. Cuba mengingati nombor pendaftaran kereta tersebut. Serentak itu jantungnya berdegup laju. Bekas abang iparnya! Dan kini dia terpaksa memperlahankan kereta ke tepi jalan apabila dia ternampak ada tangan dari kereta hadapan mengarahkannya agar berhenti.

“Ummi.. Kenapa berhenti dekat sini?” Aniq mula bertanya namun dia tidak mampu menjawab. Matanya terhala ke arah dua orang lelaki yang kian menghampiri. Cermin keretanya diketuk.

“Pakngah!” Mesra Aniq menyapa namun lelaki itu langsung tidak menghiraukannya.

“Er.. Assalamulaikum Abang Wan. Kenapa ni?” Soal Azila sedikit takut sebaik cermin kereta diturunkan. Kemunculan abang iparnya yang sudah lama tidak ditemui itu mengundang rasa tidak senang. Yakin ada sesuatu yang diinginkan oleh lelaki itu.

“Aku nak ambik balik kereta Rizal ni.” Jawab lelaki itu tanpa perasaan.

Azila sedikit tergamam. “Er.. Apa Abang Zuan cakap ni?” Soalnya dengan suara yang bergetar.

“Kau jangan buat-buat tak tahu boleh tak Zila?!” Tiba-tiba Azuan menengking tanpa perasaan membuatkan kedua-dua anaknya terus memegang tangannya kejap.

“Tapi bang.. Zila..”

“Takda-takda. Kau keluar sekarang! Bawak anak-anak kau ni sekali! Aku nak ambik kereta ni sekarang jugak!” Pintas Azuan dalam nada yang sama sambil menarik daun pintu membuatkan Azila kian kecut perut.

“Ummi…” Danish saat itu mula menangis.

“Abang.. Janganlah buat macam ni. Tengah jalan ni bang. Kita boleh bincang baik-baik.” Azila cuba memujuk. Dia langsung tidak bergerak mahupun pintu di sebelahnya sudah terbuka.

“Aku takda masa nak bincang-bincang! Ni kereta aku! Kau keluar sekarang!” Tengking Azuan sambil menarik kasar tali pinggang keledar yang masih dipakai Azila dan terus sahaja menarik tubuh kurus itu keluar. Manakala seorang lagi lelaki sudah membuka pintu sebelah Aniq dan menarik anak-anak kecil itu keluar.

“Abang!” Azila cuba menarik tangan Azuan yang sedang mengeluarkan segala barang yang ada dari dalam keretanya.

“Kau lupa ke kereta ni atas nama siapa?” Azuan menyoal garang.

“Zila tahu kereta ni atas nama abang. Tapi bang.. Kesiankanlah Zila dengan anak-anak. Ni aje harta yang Rizal tinggalkan untuk Zila.. Tolonglah bang.. Jangan macam ni..” Azila cuba merayu.

Memang dia tahu akan hakikat itu sejak dia berkahwin dengan Afrizal lagi dan kereta itu jugalah yang telah digunakannya hingga ke hari ini. Namun dia tidak menyangka bekas abang iparnya akan menuntut harta itu setelah hampir tiga tahu pemergian suaminya.

“Ah! Aku nak jual kereta ni. Lagi pun kau bukannya ada hak. Rizal pun takda hak. Kau sekarang ni pun, aku dengar dah nak kahwin dengan orang kayakan? Apalah sangat kereta kenari buruk kau ni..” Selamba Azuan menolak tubuh kurus itu sebelum dia terus masuk ke tempat pemandu.

“Abang!” Azila tetap juga memegang tangan Azuan.

“Lepas aku jual kereta ni, nanti aku bagi bahagian anak-anak buah aku tu. Tapi sebelum tu, terima kasihlah sebab dah jaga kereta ni baik-baik.” Selamba Azuan menuturkannya sebelum merentap tangannya kasar dan menaikkan semula cermin tingkap.

“Abang! Jangan buat Zila macam ni bang!” Azila cuba mengetuk cermin tingkap pula.

“Ummi!” Jerit Danish sudah menangis teresak-esak sambil memeluk Aniq yang turut sama menangis.

Apabila terdengar sahaja jeritan Danish, Azila terus mendapatkan anak-anaknya yang sudah terduduk di atas rumput. “Sayang.. Ummi sini sayang..” Dia terus sahaja merangkul kedua-duanya erat. Air matanya mencurah-curah keluar sambil melihat kelibat kereta Kenari hitam kesayangannya yang kian menjauh.

“Ummi.. Pakngah jahat! Pakngah jahat ummi!” Marah Aniq dalam esakan.

“Ummi.. Adik akut (takut).. Adik akut.. Adik anak (tak nak) awan (kawan) angah (pakngah) Angah ahat! (jahat)..” Tutur si adik pula yang tersedu-sedan menangis. Semakin kejap dia memeluk tubuh umminya.

Azila saat itu pula tidak lagi mampu mengucap kata. Hanya hatinya sahaja tidak henti beristighfar untuk melawan rasa sedih yang ditanggung dan mahu kembali menenangkan diri. Dia tahu apa yang berlaku tidak lain hanyalah dugaan yang diberi oleh-Nya. Dia redha itu.
…………..

“Ee… Aku kalau dapat si Zuan tu, memang aku lempang muka dia kau tahu tak! Kurang ajar punya lelaki! Dia tak nampak ke kau perempuan! Dengan budak-budak lagi!” Amira meluahkan amarahnya.

Mujur dia dan suaminya masih ada di rumah saat adiknya itu menghubungi. Dia benar-benar terkejut dengan apa yang baru sahaja menimpa Azila.

“Sayang.. Sudahlah tu..” Shafiq cuba menenteramkan isterinya. Kini dia ligat memikirkan tindakan yang harus diambil untuk membela nasib adik iparnya itu.

“Kita report polis ajelah bang. Mira geram betul la!” Hambur Amira lagi dengan wajahnya yang menegang. Aniq yang duduk diam membisu di sisinya itu dipeluk erat. Dia tahu si kecil itu masih terkejut dengan apa yang terjadi.

“Jangan kak!” Azila baru bersuara setelah lama mendiamkan diri. Danish yang sudah tertidur di ribanya di usap penuh kasih. Si kecil itu baru sahaja berhenti menangis setelah puas dipujuk Shafiq tadi.

“Jangan kau cakap? Habis tu kau nak biar macam tu aje? Lepas ni entah apa pulak yang dia nak tuntut dari kau. Kau tak ingat pasal rumah lama kau tu? Macam tu aje kau bagi pada dia. Sekarang ni kereta pulak. Lepas ni apa lagi?” Marah Amira masih belum reda.

Azila melepaskan keluhan berat. Akui akan kata-kata kakaknya itu. Memang rumah yang didiaminya dahulu bersama Afrizal, kini menjadi milik Azuan. Dia langsung tidak berhak kerana rumah itu bukan atas nama arwah suaminya. Tetapi nama abang iparnya itu.

“Patutnya dari dulu Rizal tukar semua harta yang dia ada pada nama kau. Baik sangat punya pasal la jadi macam sekarang ni. Selama ni pun si Rizal tu yang bagai nak mati kerja bayar semua tu. Si Zuan tu buat apa? Satu sen pun takda duit dialah!” Luah Amira lagi geram.

“Amira.” Shafiq yang lebih banyak diam sejak tadi bersuara tegas. Dia menggeleng beberapa kali melihat wajah isterinya yang tegang. “Erm.. Apa Zila nak buat sekarang ni..” Soalnya tenang. Dia lebih menghormati keputusan yang akan keluar dari mulut Azila dari dia bertindak mengikut hatinya sendiri.

“Zila nak baliklah bang.. Biarlah Abang Zuan nak ambik kereta tu. Kalau Zila tuntut pun, Zila takkan dapat bang..” Balas Azila lemah. Kalah dengan undang-undang ciptaan manusia.

“Kau ni kenapa Zila?” Amira mahu menghamburkan amarahnya lagi namun segera dilarang oleh Shafiq membuatkannya tidak jadi meneruskan kata.

Serentak itu juga Danish yang masih di ribaan Azila terkejut lalu menangis kembali.

“Ummi…” Teresak-esak Danish menangis.

“Sayang.. sayang.. Ummi ada dekat sini.. Syyhh..” Azila mendakap erat tubuh anak bongsunya itu penuh kasih untuk meredakan tangis yang kedengaran. Air matanya sendiri kini mula merembes. Sayu hati mengenangkan nasib yang menimpa diri.

*******

“Azan..” Ramlah menegur saat anak bongsunya itu melangkah masuk ke dalam rumah. Melihat wajah Ramzan yang tidak seceria ketika keluar tadi, dia yakin angin anak bongsunya itu tidak sebaik mana. “Azan dah makan? Kalau belum, jom temankan ibu makan.” Lanjutnya sebaik Ramzan melabuhkan duduk di sofa kosong hadapannya.

“Azan..”

“Azan tak lapar.” Mendatar Ramzan menjawab sambil memandang ke arah skrin tv yang terpasang.

“Sampai bila Azan nak boikot ibu ni?” Luah Ramlah kian tidak dapat menahan sabar akan kedinginan anak bongsunya itu.

“Sampai ibu boleh terima Zila dengan anak-anaknya.” Jawab Ramzan selamba tanpa menoleh.

Memang sejak dia berterus terang akan hubungannya dengan Azila beberapa bulan lalu, ibunya berubah sikap. Langsung tidak memberi peluang apabila dia cuba berbincang. Dan disebabkan itu juga dia sendiri beriak dingin. Tidak mahu lagi memaksa walaupun segunung harapan diletakkan agar ibunya itu terbuka hati untuk menerima Azila.

“Sebab perempuan tu sampai Azan sanggup buat ibu macam ni?” Balas Ramlah dengan sebak di dada. Terasa hati dengan apa yang terucap di bibir anak kesayangannya itu.

“Apa kurangnya Zila bu? Dia sama macam perempuan lain jugak.” Jawab Ramzan cuba berlembut. Sedar akan kata-katanya sudah menyinggung perasaan hati tua ibunya. Bukan dia tidak perasan riak keruh yang terlukis.

“Tapi kenapa mesti Zila? Kan ramai lagi perempuan bujang dalam dunia ni? Kenapa mesti perempuan..”

“Janda? Yang dah anak dua? Tu yang jadi masalah ibu sekarang ni kan?” Sampuk Ramzan mula tahan hati. Dia cukup tidak suka apabila ibunya mempersoalkan tentang status Azila. Dua anak kecil wanita itu begitu istimewa di hatinya dan begitu sukar untuk disingkirkan perasaan indah yang sudah sebati. Perasaan yang belum pernah dirasakan sebelum ini.

“Ibu tak nak anak ibu terpaksa bersusah payah kena jaga anak orang lain. Budak-budak tu bukan anak Azan. Ibu tak nak budak-budak tu jadi cucu ibu.” Jawab Ramlah yang tetap dengan keputusannya.

“Ibu!” Ramzan laju menegakkan tubuh. Rengusan terlepas. Diraup wajahnya beberapa kali berserta helaan berat. “Ibu tahu tak dia orang tu siapa bu? Ibu sedar tak? Dia orang tak bersalah bu. Dia orang kecik lagi.. Dia orang dah takda ayah bu.. Dia orang perlukan ayah, dia orang perlukan Azan.” Balasnya kian mengendur.

“Tu bukan masalah ibu. Yang ibu tahu, ibu takkan izinkan, takkan restu Azan nikah dengan perempuan tu. Ibu takkan terima! Tu keputusan muktamad ibu!” Ramlah mula bertegas.

Ramzan menarik senyum tepi. “Iyalah.. Kalau itulah keputusan ibu.. Siapa Azan nak bantah. Azan tak nak jadi anak derhaka. Tapi Azan pun ada keputusan Azan sendiri bu..” Balasnya lambat dengan genangan air mata.

“Apa maksud Azan ni? Keputusan apa?”

“Azan takkan kahwin dengan Zila tanpa restu ibu. Bukan dengan Zila aje bu. Dengan mana-mana perempuan pun! Azan takkan kahwin bu!” Jawab Ramzan sebelum bingkas. Laju dia menapak ke bilik membawa hati yang luluh. Kecewa dengan keputusan ibunya.

Ramlah saat itu pula terus tergamam. Sedikit bergetar bibirnya kerana tidak menyangka hingga begitu sekali keputusan yang diambil oleh Ramzan hanya kerana dia tidak merestui hubungan yang sedia ada.

****
“Ummi.. Boleh tak kita ajak Cik Zan datang sekolah Along masa Along ambik hadiah? Cik Zan kata Cik Zan nak datang kalau Along dapat hadiah.” Ujar Aniq tiba-tiba saat mereka beriringan menyusuri pantai petang hujung minggu itu.

“Cik Zan sibuk..” Itu sahaja jawapan yang mampu diulang-ulang kepada anak sulungnya jika soal Ramzan ditimbulkan.

Hampir tiga bulan dia tidak berbual apatah lagi bertemu dengan lelaki itu selepas sedikit ketegangan yang berlaku. Lelaki itu hanya akan lebih kerap menghubungi ayahnya semata-mata mahu bercakap dengan kedua-dua anaknya. Hampir setiap malam lelaki itu akan berbual dengan kedua-duanya sebelum tidur hingga dia sendiri sudah tidak mampu untuk melarang.

Soal hatinya? Tidak lagi menjadi persoalan. Dia benar-benar reda dengan apa yang berlaku walaupun tiada langsung penjelasan yang keluar dari bibir Ramzan mengenai status hubungan mereka. Dia sedar akan hakikat yang ibu Ramzan tidak dapat menerima kehadirannya walaupun lelaki itu tidak pernah pun mengucapkannya. Dia sedar akan hakikat itu.

“Alah… Cik Zan tak sibuklah mii.. Cik Zan selalu kata Cik Zan miss Along dengan Adik. Bolehlah mii.. Boleh ya mi?” Ujar si kecil itu lagi cuba memujuk.

Azila menguntum senyum manis. Wajah anak sulungnya yang lebih mewarisi wajah arwah suaminya, dipandang penuh kasih. “Okey-okey boleh. Tapi, kalau Cik Zan dah datang sekolah Along, ummi tak payah datang pun takpa kan?” Sengaja dia mahu menduga.

“Alah… Kenapa.” Aniq mula memuncung. Terkelip-kelip matanya memandang ke wajah Azila.

“Iyalah.. Alongkan sayang Cik Zan lagi banyak dari ummi.” Azila pura-pura berjauh hati.

“Mana ada! Along sayang ummi..” Aniq terus saya memeluk tubuh Azila membuatkan langkah mereka terhenti.

Azila mengoyak senyum lebar sambil membalas pelukan erat anak sulungnya itu.

“Cik Zan! Cik Zan! Ummi, Cik Zan!”

Laung Danish tiba-tiba membuatkan Azila terus meleraikan pelukan. Bola matanya terhala ke arah anak bongsunya yang sejak tadi bermain di gigi air tidak jauh dari mereka.

“Ummi, Cik Zan la ummi!” Ujar Aniq pula sebelum melepaskan jemarinya dan terus mendapatkan Ramzan yang turut sama berada di gigi air tidak jauh dari mereka.

Azila sedikit tergamam. Tidak menyangka mereka akan bertemu  hari itu setelah apa yang berlaku. Padahal hampir setiap minggu dia membawa anak-anaknya ke situ. Bibir mengulum senyum nipis apabila mata mereka berlaga beberapa ketika walaupun jarak mereka agak jauh. Kaki melangkah berat untuk mendapatkan lelaki itu yang sudah digomol oleh anak-anaknya.

“Jom duduk sana.” Ujar Ramzan sambil menunjuk ke arah bangku rehat yang tersedia di bawah salah satu pohon rhu di situ. Debar di hatinya tetap sama seperti mana kali pertama mereka bertemu.

Danish yang sudah puas memeluk dan mencium Ramzan sudah kembali ke gigi air. Hanya Aniq yang tetap memegang tangan lelaki itu dan sama-sama ke bangku.

“Cik Zan, ummi kata Cik Zan boleh datang sekolah Along masa Along ambik hadiah minggu depan.” Beritahu Aniq yang mengambil tempat di antara umminya dan lelaki itu.

“Iya ke?” Balas Ramzan sambil mengerling ke arah Azila yang menunduk.

“Haah. Ummi kata Cik Zan boleh datang.” Kata Aniq lagi ceria.

“Inshaa Allah. Kalau Cik Zan tak banyak kerja, Cik Zan datang okey?” Balas Ramzan demi tidak mahu menghampakan.

“Yeay! Nanti Along nak tunjukkan Cik Zan dengan kawan-kawan Along.” Sorak si kecil itu gembira namun mengundang kerutan di dahi Ramzan.

“Kenapa nak tunjuk Cik Zan dengan kawan-kawan Along?”

“Erm.. Kawan –kawan Along selalu kata Along takda ayah. Cik Zan la ganti ayah Along.” Selamba si kecil itu menjawab membuatkan Ramzan dan Azila berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tergamam.

“Er.. Along pergi ambik layang-layang Along dengan Adik dekat pokok sana dulu. Tadi ummi lupa nak ambik.” Ujar Azila terus menukar topik perbualan mereka.

“Okey ummi!” Senang si kecil itu menjawab sebelum berlalu.

“Er.. Sorry..” Ucap Azila sebaik kelibat anaknya itu menjauh. Serba salah dengan apa yang terucap di bibir anak sulungnya sebentar tadi.

“Takpa.. Budak-budak.” Balas Ramzan dengan rasa terharu di hati.

“Erm.. Kalau awak tak boleh datang takpa. Along tu saja aje.” Ujar Azila sedikit kekok.

“Takpa. Sabtu depan saya tak sibuk pun.” Balas Ramzan senang. Tidak mampu dia menoleh ke wajah Azila. Hatinya tidak cukup kuat melihat wajah yang berpura-pura ceria itu. Sedar yang dia sudah pun melukakan hati wanita itu dengan apa yang telah berlaku sebelum ini.

Seketika kemudian masing-masing mengunci mulut. Hanya deru ombak yang kedengaran diselang-seli dengan gelak tawa Aniq dan Danish yang mula bermain dengan layang-layang masing-masing.

“Zila..”

Azila menoleh ke sisinya sekilas sebelum kembali ditalakan ke arah anak-anaknya yang sedang bermain.

“Saya mintak maaf..” Ramzan merenung sisi wajah Azila. Ada perasaan bersalah menggunung yang ditanggung selepas apa yang berlaku.

“Takda apa yang saya nak maafkan awak Azan..” Perlahan Azila menjawab.

“Saya gagal nak tunaikan janji saya sebelum ni.. Saya tak mampu Zila..” Ucap Ramzan tulus. Rasa sebak mula bergema dalam hatinya apabila mengenang kembali kata-kata ibunya.

“Takpa Azan.. Saya faham..” Azila membalas renungan lembut di sisi lelaki itu sekilas. Senyuman manis cuba dilemparkan.

Tiada apa lagi yang mampu dikata jika sudah ditentukan yang dia tidak punya jodoh dengan lelaki itu.

“Saya malu dengan awak Zila.. Malu dengan family awak..”

“Jangan macam tu Azan.. Saya okey.. Family saya pun faham. Saya dah cakap dengan mak ayah saya. Kalau kita kahwin tanpa restu ibu awak pun, saya yakin kita takkan ke mana.. Cukuplah Azan apa yang dah jadi dalam hidup saya sebelum ni. Jadi menantu bukan pilihan, bukan senang. Saya tak nak benda yang sama jadi balik..” Balas Azila tenang.

Ramzan menghela nafas berat. Tidak henti dia menyalahkan dirinya sendiri. Dia terpaksa memilih antara dua. Dan pilihannya sudah pasti kepada ibunya sendiri walaupun ada hati yang akan terluka. Hatinya sendiri menanggung rasa sedih tidak bertepi hanya kerana kasih seorang ibu. Sedar restu wanita itu begitu penting agar dia mampu menjalani hidup dengan tenang dan sentiasa dalam keredaan Allah.

“Azan.. Saya rasa lepas ni, awak tak payahlah lagi masukkan duit dalam akaun saya. Er.. Saya tak selesa Azan.. Lagipun duit gaji saya cukup untuk anak-anak saya.” Lanjut Azila apabila Ramzan hanya mendiamkan diri.

“Rezeki budak-budak Zila.. Lagipun saya dah anggap dia orang dah macam anak-anak saya sendiri. Awak guna ajelah duit tu. Itu aje yang saya mampu buat untuk awak dengan anak-anak.” Balas Ramzan tulus.

“Er.. Tapi Azan.. Kalau ibu awak tahu yang awak bagi duit pada anak-anak saya,.. Ibu awak mesti..”

“Awak jangan risau tu semua.. Takda siapa pun tahu hal tu melainkan kita..” Pintas Ramzan lebih menenangkan. “Erm.. Zila..” Dia sudah memusingkan tubuh menghadap Azila. Ada sesuatu yang dia ingin tahu dari mulut wanita itu sendiri. Jika tidak kerana akan hal tersebut, yakin dia tidak akan bertemu dengan Azila hari itu. Rasa bersalahnya bukan sedikit selepas Aniq ada terlepas kata dengannya beberapa hari lalu apabila mereka berbual mengenai kereta. Dan dia sendiri sudah mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hamid sendiri dengan apa yang berlaku.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Soal Azila tidak faham akan maksud renungan mata Ramzan. Segera dia memalingkan wajahnya yang tiba-tiba terasa kebas.

“Awak okey?”

Azila mengoyak senyum tawar. Tidak menyangka soalan itu yang menyapa gegendang telinganya. “Saya ada dekat sini dengan anak-anak, maknanya saya okeyla..” Jawabnya senang.

“Kalau saya tahu apa yang jadi dengan awak hari tu, saya takkan tinggalkan awak dengan anak-anak Zila..” Ucap Ramzan perlahan. Segunung perasaan bersalah setelah mendapat tahu apa yang berlaku. Tidak dapat dibayangkan apa yang berlaku ke atas tiga beranak itu.

“Benda dah jadi Azan.. Saya dengan anak-anak pun takda apa-apa.” Celah Azila ringkas. Tidak mahu hal itu ditimbulkan lagi kerana ia akan mengundang sebak di dadanya. Dia yakin hal itu telah disampaikan oleh Aniq. Jika tidak, pasti Ramzan tidak akan menyoalnya begitu.

Hingga ke hari ini, dia langsung tidak mendengar khabar berita daripada Azuan. Dia tidak tahu apa yang berlaku dengan kereta arwah suaminya dahulu kerana dia sendiri tidak mahu ambil tahu lagi. Diserahkan segala-galanya kepada yang maha Esa untuk membalas segala perbuatan bekas abang iparnya itu. Dia reda dengan apa yang dimiliki kini.

“Zila.. Saya sayang awak Zila..” Luah Ramzan tidak tertahan. “Kalau ibu saya restu hubungan kita ni.. Sekarang jugak saya nak nikah dengan awak..” Tambahnya penuh perasaan.

Azila mengukir senyum lagi. “Ada jodoh tak ke mana Azan.. Tapi buat masa ni, saya rasa saya dah cukup selesa kita macam ni. Awak boleh teruskan hidup awak macam biasa, saya boleh teruskan hidup saya dengan anak-anak macam dulu lagi.. Takda apa yang menghalang masing-masing.” Balasnya tetap tenang seperti tadi walaupun di hati mula dihujani rasa sedih apabila hasrat hati tidak kesampaian. Takdir mendahului segala-galanya.

Ramzan melepaskan nafas berat. Entah kenapa terasa sukar dia menerima keputusan yang telah dibuat oleh wanita. Sungguh hatinya masih tidak pernah putus berharap. Dia sanggup menanti hingga ibunya terbuka hati untuk menerima Azila. Tiada lagi perempuan lain mampu mengambil tempat wanita itu.

“Cik Zan! Adik pijak layang-layang Along!” Jerit Aniq sambil membawa layang-layang dimaksudkan untuk ditunjukkan kepada Ramzan.

Ane (mana) ada!” Balas si kecil Danish pula tidak mahu mengalah.

“Mana patah?” Ramzan terus bingkas mendapatkan Aniq.

Manakala Azila yang memerhati dari situ hanya mengulum senyum. Terasa bahagia melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh Ramzan. Lelaki yang tidak pernah jemu melayan kerenah anak-anaknya seperti mana arwah suaminya dahulu yang terlalu sukakan kanak-kanak. Tanpa disedari ada air hangat yang bertakung di tubir mata. Hatinya sedih namun ia tidak mampu membiarkan perasaan tersebut terus menyelubungi hidupnya. Dia masih punya amanah dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Setiap hela nafasnya kini hanyalah buat anak-anak dan mereka jugalah yang telah menjadi nadi penguat kepadanya untuk meneruskan hidup selama ini. Soal jodohnya tidak lagi menjadi kepentingan. Sepenuhnya diserahkan kepada percaturan takdir bersama sekelumit harapan agar ada seorang lelaki yang mampu menjaga dan melindunginya bersama anak-anak di saat mereka memerlukan.


20 comments:

Eijan said...

Sedihnya dgn nasib zila anak beranak....tak sangka zaman moden masi ada lagi ibu bapa yg x blh terima wanita yg bergelar janda....

Harap citer ni disambung lagi....tak nak abis takat ni aje....plesssss arsha

Dewi Mus said...

Touching arr ....sian zila ngan anak-anak, abang ipar pon takda hati perut betul ...hope ibu azan terbuka hati untuk terima zila...

Arsha lepas ni tak nak touching2 arr bagilah mak azan tu terima zila dan anak-anak...huuu

kak na said...

abeh da?
cm ada sambungan je

kak na said...

mbak dewi....ds final tu

Anonymous said...

ala xnak ending cmni xnak2...haha -quya-

arsha wangi said...

Eijan>

akak, stakat ni memang takat tu je kak sebab memang kisah sebenarnya pun, sampai situ je. hu.. Azila masih menanti.. :)

Kakna>

ada rezeki azila sebenar naik pelamin saya bagitau kak. sekarang ni memang macam tu.. hee

arsha wangi said...

quya>

sory quya.. setakat ni sampai situ je.. ada rezeki azila kwen, inshaa Allah sambung. heee

Dewi Mus said...

Tak nak final arr cam ni kak na...huuu ending sedih lagu ni...arsha sambung lagi yer dear plsss...

arsha wangi said...

Hihihi thanks for comment guys!

InshaaAllah ada smbung. Semua manusia berhak hidup bahagia kan. :)

Anonymous said...

Ada kekeliruan masa Ramzan pulang dia disebut anak bongsu... masa bersikap dingin dia dikatakan anak sulung

arsha wangi said...

thanks yep anonymous. :)

noted!

Atty Ismail said...

Sian...tp mcm pelik aje...Cam x abis citer ni...
Selamat Hari Raya Arsha

arsha wangi said...

Selamat hari raya kembali..

Mmg blum hbis ni.. tp mmg stakat tu je azila mampu. Dia masih mngharap. Hihih

MaY_LiN said...

mymmy arsha!!!!!
nk lg hehehe

abang wan~abang zuan
(pakngah) Angah~(pakngah). Angah
saya~saja

Kak Sue said...

Kasihan Zila dan Zan kan...
apa bezanya janda dgn anak dara... x ada bezanya kalau kalau anak dara yang x tahu jaga adab sopan ... sambunglah lah lagi... x puas...

Anonymous said...

citer yg menarik..xpe kalo ending cm nie sbb jarang ada ending yg cm nie..sesekali wat kelainan pn ok gak..gud luck tok next story..

arsha wangi said...

Thanks for reading yep!

ONE MOMENT IN TIME said...

arsha…buat la ending yg akhirnya ibu Ramzan terima juga azila sebab kalau ada jodoh x kemana. Secara x sengaja ke ibu ramzan terserempak dgn azila dalam keadaan dia dapat menilai kebaikan dan kemurnian hati dan tingkah laku azila. kak wan sedihlah ending dia mcm ni..hahahahahhaha

arsha wangi said...

Hihi kak wan..

Thanks sbb sudi baca.
Citer ni sbnrnye sye folow cter sbnar. Stakat ni, sampai situ je hubungan azila n ramzan. Ada jodoh mmg xkmne. Klau ada pkmbgan, ats izinnya, sye smbung. Hee

ciknie said...

kejam btul abg ipar zila nie..ksian anak2 dia