“Pakcik, hari ni nak cari buku
apa?” sapa Sara mesra kepada Pakcik Zahim yang akan datang pada setiap hujung
minggu ke kedai buku itu. Semenjak setahun lalu Pakcik Zahim menjadi pelanggan
setia. Ada sahaja buku yang akan dibeli pada setiap minggu. Bukan itu sahaja,
kadang-kadang sanggup datang sejauh itu kerana ingin membeli alat tulis. Pada
mulanya dia berasa pelik kerana Pakcik Zahim berasal dari Kuala Lumpur. Kedai
buku itu pula di selatan Johor. Tetapi lama kelamaan, dia tidak endahkan. Hak
pembeli, takkan pula dia mahu melarang. Untuk bertanya lebih pun dia tiada hak.
Dia sendiri hanya pekerja di kedai buku itu.
“Ada buku baru sampai?” Pakcik
Zahim pula menyoal tanpa menjawab pertanyaan Sara.
“Ada pakcik. Tapi belum sempat
susun lagi. Baru aja sampai tadi.” Balas Sara sambil menunjukkan ke satu sudut
kedai yang dipenuhi dengan kotak dan timbunan buku baru.
“Erm… Sara sibuk ke hari ni?”
tanya Pakcik Zahim berbasa-basi. Sejak kali pertama bertemu dengan gadis itu,
hatinya tertarik. Penuh santun dan amat menghormatinya. Dia yang sudah
ketiadaan isteri sejak sepuluh tahun lalu, berasa begitu gembira tiap kali
melihat wajah tenang di hadapannya itu.
“Sibuklah jugak pakcik. Kala cuti
hari ni. Sekarang tinggal Sara sorang. Am dengan Dina pergi makan dulu.” jawab
Sara sambil menyusun atur buku-buka yang sedikit terkeluar dari susunannya.
“Oh.. kalau macam tu, nanti makan
dengan pakciklah. Pakcik tadi pun belum makan lagi ni.” Balas Pakcik Zahim
sambil memandang gadis yang sentiasa murah dengan senyuman itu. Manis selalu
wajah itu walaupun tidak tersenyum.
“Boleh jugak..” balas Sara senang
hati.
“Sara, boleh pakcik tanya sikit?”
soal Pakcik Zahim sambil sebelah tangannya mencapai sebuah buku hasil tulisan
HM Tuah.
“Tanya ajalah pakcik. Macamlah baru
sehari dua kenal Sara. Pakcik tanyalah apa yang pakcik nak tanya.” Balas Sara
dengan senyuman di bibirnya.
“Sara ada boyfriend?” tanya
Pakcik Zahim sambil mengerling ke wajah Sara yang sentiasa tenang itu.
“Siapalah yang nak Sara ni
pakcik. Rupa pun takda. Belajar pun tak habis. Orang susah pulak tu..” balas
Sara merendah diri.
Dia yang belajar dalam bidang
pengurusan terpaksa menangguhkan pelajaran kerana ingin membantu keluarganya
yang berada dalam kesempitan. Selepas abang dan ayahnya meninggal dunia dalam
sebuah kemalangan setahun lalu, keluarganya terus hilang punca pendapatan. Jika
tidak, dia dan keluarganya bergantung harap pada pendapatan abangnya sebagai
seorang supervisor sebuah kilang tidak jauh dari situ. Ayahnya pula waktu itu
sudah tidak bekerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Asma yang
dialami semakin memburuk hinggalah pada suatu malam abangnya ingin menghantar
ayahnya ke hospital terlibat dalam kemalangan. Sejak itu dia mengambil
keputusan untuk menangguhkan pelajaran untuk membantu ibunya menanggung tiga
lagi adik beradiknya yang masih belajar.
“Alah. Sara janganlah tipu
pakcik. Takkan comel macam Sara ni takda siapa nak..” balas Pakcik Zahim sudah
mengetahui liku hidup keluarga gadis itu. Malah dia sendiri pernah mengekori
secara diam untuk melihat keadaan tempat tinggal gadis itu. Hanya sebuah rumah
kampung lama. Katanya rumah pusaka peninggalan arwah neneknya.
“Apalah pakcik ni. Betullah Sara
cakap. Orang macam Sara ni mana sempat nak bercinta pakcik. Sara pun tak fikir
lagi tu semua. Kalau ada jodoh, Sara terima. Kalau takda, Sara redha ajalah.”
Balas Sara senang.
“Ai.. dulu belajar.. takkan takda
sorang pun yang suka Sara.” Tanya Pakcik Zahim lagi. Sengaja ingin mengetahui
rahsia hati gadis itu. Sejak mengenali gadis itu, dia tidak pernah bertanya
soal peribadi selain hal keluarga.
“Entahlah pakcik. Tu Sara tak
tahulah. Yang Sara tahu, Sara takda ambik peduli pun pasal bercinta-cinta ni.
Time tu yang Sara tahu, Sara nak fokus pada study aja..” balas Sara jujur.
Seumur hidupnya, dia tidak pernah bercinta. Sungguh pun ada yang menghulur
salam perkenalan, dia hanya menganggap semuanya sebagai kawan. Tidak lebih dari
itu. Fokusnya ketika belajar hanya satu. Ingin cemerlang dan pada masa akan
datang dapat membantu meringankan beban keluarganya. Namun, tidak kesampaian.
Kini, dia terpaksa mengorbankan semuanya demi keluarga yang tersayang.
“Habis tu, kalau ada orang masuk
meminang Sara, Sara terima ke?” Sengaja Pakcik Zahim menduga. Padanya, rugi
jika melepaskan gadis sebaik Sara. Susah untuk menemui gadis yang berkeperibadian
seperti Sara pada masa kini. Walaupun hidup susah, tak pernah berungut. Redha
menerima segalanya malah sanggup mengorbankan masa depannya demi membantu
keluarga.
“Eh Pakcik Zahim ni, macam ada
calon untuk Sara pulak..” dalih Sara sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan
Pakcik Zahim. Dia tidak pernah fikir sejauh itu untuk masa depannya. Apa yang
dia tahu kini adalah untuk membantu keluarganya. Dia tidak mahu adik-beradiknya
yang lain berasa susah.
Pakcik Zahim tergelak kecil.
“Iyalah… Pakcik tanya aja.
Manalah tahu kalau tiba-tiba anak orang kaya datang meminang Sara. Kan untung
macam tu. Ibu dengan adik-adik Sara takdalah susah payah lagi. Sara pun boleh
sambung belajar.” Balas Pakcik Zahim. Sekali lagi dia ingin menguji ketulusan
hati gadis itu.
Kini giliran Sara pula ketawa
kecil sambil berlalu ke kaunter hadapan. Pakcik Zahim hanya mengekori dengan
membawa buku yang dicapainya tadi.
“Dari kahwin dengan anak orang
kaya, baik saya kahwin dengan ayahnya.” Balas Sara sambil ketawa.
“Oh… mata duitan jugaklah kan
Sara ni…” sahut Pakcik Zahim sambil tersenyum. Dia tahu gadis itu hanya
bergurau.
“Kalau Sara mata duitan, dah lama
Sara pergi carik datuk-datuk kaya dekat luar tu..” jawab Sara lagi dalam sisa
tawanya.
“Hmm.. maknanya, Sara memang ada
hati jugaklah nak kahwin dengan orang kaya kan…” ujar Pakcik Zahim lagi yang
sudah menarik kerusi kosong dan duduk sama di tepi kaunter.
“Kalau Sara nak, dah lama Sara
buat pakcik.” Balas Sara dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. Lelaki di
hadapannya itu terlalu baik melayannya. Setiap kali datang ke kedai buku itu,
mesti dititipkan sama duit untuk adik-adiknya. Hingga dia sendiri naik segan.
Dia kerap menolak, tetapi lelaki itu yang beriya-iya ingin bersedekah katanya.
Akhirnya dia sendiri tidak mampu menolak. Duit yang diberi akan terus
diserahkan kepada ibunya. Satu sen pun dia belum pernah mengambil duit
pemberian lelaki itu.
“So, kenapa tak buat?” soal
lelaki itu lagi membuatkan senyuman manis di bibirnya tadi betukar kelat.
“Duit gaji saya yang sikit ni
lagi berkat untuk tampung makan pakai keluarga saya pakcik.” Balas Sara dengan
wajah yang cuba dimaniskan. Sedikit terasa dengan kata-kata lelaki yang berumur
akhir 40-an itu. Walaupun umur hampir mencecah 50 tahun, lelaki itu masih lagi
segak. Sekiranya beriringan dengannya, masih lagi kelihatan seperti abang dan
adik. Tidak nampak lelaki itu seperti ayahnya. Atau sebenarnya, wajah dia yang
terlebih matang dari umur sebenar? Entah!
Pakcik Zahim perasan wajah gadis di
hadapannya itu sudah berubah riak.
“Eh tu kawan Sara dah balik. Jom
kita pergi makan. Hari ni pakcik nak belanja Sara.” Ujar Pakcik Zahim terus
mengubah topik perbualan. Dia percaya gadis di hadapannya itu bukanlah gadis
yang materialistik. Jika begitulah perangainya, tentu sahaja dia telah menjadi
salah seorang daripada mangsa gadis itu. Selama setahun mengenali Sara, belum
pernah gadis itu mengambil kesempatan ke atas dirinya.
“Hari ni biar Sara lah yang
belanja pakcik. Asyik pakcik aja yang belanja Sara selama ni kan..” balas Sara
yang berubah ceria. Tidak mahu Pakcik Zahim sedar akan perubahan hatinya.
Selama ini pun, dengan lelaki itu dia banyak bercerita tentang masalah yang
dihadapi. Dan pelbagai nasihat pula yang akan dititipkan buat dirinya agar kuar
menghadapi semua masalah.
“Okay. Tapi kalau duit Sara tak
cukup, pakcik tak tahu…” balas Pakcik Zahim cuba berseloroh. Tidak mahu gadis
itu terasa hati dengan apa yang dikatakan tadi.
“No hal la pakcik. Setakat mi
bandung Muar, lima mangkuk pun pakcik boleh makan.” Jawab Sara diiringi tawa
kecil. Pada masa yang sama, mereka beriringan keluar selepas Am dan Dina masuk
ke dalam kedai. Sempat Pakcik Zahim menyapa mesra keduanya.
**********
“Paksu, macam mana hari ni? Best
dapat keluar makan dengan kekasih hati.” Usik Aflah selepas bapa saudaranya itu
bertemu dengan ibunya di dalam rumah. Dia pula lebih selesa tidak ikut campur
apa jua urusan bapa saudaranya dengan mummynya sejak akhir-akhir ini. Kerap
benar pula bapa saudaranya itu datang ke rumah untuk bertemu dengan mummynya.
Entah apa yang dibincangkan, dia sendiri tidak pasti. Apa yang diketahui dari
mummynya, bapa saudaranya itu sedang mengenali seorang gadis. Jauh lebih muda
dari dirinya sendiri.
“Bestlah jugak. Kenapa kamu
tanya? Jealouslah tu kan? Tu la.. Mummy kamu nak carikan bini, kamu tak nak.
Jual mahal…” balas Zahim kepada anak saudara tunggalnya. Itulah satu-satunya
anak saudara yang dia ada dari kakaknya.
“Eleh. Takda masa saya nak
jealous dengan paksu.” Balas Aflah selamba. Dia yang duduk di kerusi rehat
hadapan kolam itu tadi terus menyambung pembacaan yang terganggu dengan
kedatangan bapa saudaranya.
“Alah. Kamu cakap aja tak
jealous. Tu yang muka dah ketat semacam kenapa? Mengaku ajalah Aflah yang kamu
tu dah tak laku. Umur dah dekat 35. Sorang awek pun paksu tak pernah nampak.
Apa kes..” Giat Zahim lagi sengaja ingin menguji.
“Wah! Mulut paksu. Sedap aja nak
mengata saya. Bukan saya tak laku. Tapi saya yang tak nak. Perempuan
sekarangkan banyak yang tak boleh percaya. Pantang nampak lelaki poket tebal
sikit, mulalah merengek mintak macam-macam. Ee…tak naklah saya. Dari saya
laburkan duit untuk dia orang, baik saya dermakan aja pada anak yatim. Ada
jugak pahalanya.” Balas Aflah cuba mempertahankan pendiriannya. Memang sebelum
ini dia pernah mempunyai kekasih hati. Namun, jodoh mereka tidak ada apabila
kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan lelaki yang lebih kaya darinya.
“Hah. Dah baguslah tu. Kalau
macam tu, elok kamu cari aja perempuan kampung buat bini. Tadi mummy kamu kata,
dia dah ada calon untuk kamu.” Sahut Zahim dengan senyuman penuh makna.
“Hah! Merepek ajalah paksu ni…
bila masa pulak mummy cari calon untuk saya ni?” soal Aflah yang mula tidak
senang dengan kata-kata bapa saudaranya. Memang sebelum ini dia ada bergurau
dengan menyuruh mummynya sahaja yang mencarikan calon isteri buat dirinya.
Tapi, tidak menyangka pula gurauannya itu diambil serius oleh mummynya.
“Dia kata, hari tu kamu yang
suruh dia carikan. Sekarang dia dah carikan, apa lagi… terima ajalah..” balas
Zahim diiringi tawa kecil. Perasan riak keruh di wajah anak saudaranya itu.
“Ish! Mummy ni. Pandai-pandai aja
carikan jodoh untuk saya…” rungut Aflah sendirian tapi masih dapat didengari
Zahim.
“Dah eloklah tu Aflah. Jodoh dari
keluarga lagi berkat tau..” tambah Zahim lagi.
“Ala… paksu cakap senanglah.”
Kata Aflah lagi dengan wajah yang sudah masam mencuka. Buku yang dipegang tadi
sudah diletak tepi. Dia melurut kasar rambutnya.
“Betul paksu cakap ni Aflah.
Mummy kamu mestilah cari calon menantu dia yang cukup sesuai untuk kamu. Mummy
kamu takkan cari orang sebarangan untuk jadi menantu dia Aflah. Percayalah
cakap paksu.” Lanjut Zahim tenang. Ikhlas apa yang dituturkan buat anak
saudaranya itu.
Terlepas keluhan berat dari bibir
Aflah.
“Habis tu, paksu macam mana
pulak?” soal Aflah pula.
“Macam mana apa?”
“Yalah…kan paksu sekarang sibuk
tengah usha anak dara orang kan…”
jelas Aflah tentang gadis yang selalu diceritakan oleh bapa saudaranya itu.
“Oh… Sara? Hmm.. belum lagi.
Nantilah dulu pakcik slow talk dengan
dia. Kenapa kamu tanya?” balas Zahim dengan kening dijungkitkan sebelah kepada
Aflah.
“Takda apa. Manalah tahu kita
boleh naik pelamin sama…” jawab Aflah diiringi tawa besar. Sengaja ingin
mengenakan bapa saudaranya itu. Pada masa yang sama cuba menutup keresahan
hatinya tentang calon isteri yang telah dicari oleh mummynya.
“Tak naklah paksu naik pelamin
dengan kamu. Apa kelas nak naik sama. Nanti kamu mesti jealous kalau tengok wife
paksu lagi cantik dari wife kamu.”
Sahut Zahim sekali sengaja ingin mengusik.
“He’eleh.. Macamlah Sara tu canti
sangat.” Ejek Aflah tidak berpuas hati.
“Of course! Tapi paksu tak tahulah calon isteri kamu tu cantik ke
tak..” giat Zahim lagi tidak mengalah.
Aflah menjuihkan bibirnya. Rasa
tercabar dengan kata-kata bapa saudaranya.
“I’ll make sure she’s a prettier than Sara paksu.” Balas dengan
penuh yakin. Dia tidak berpuas hati dengan bapa saudaranya yang sudah berumur
berjaya menambat hati seorang gadis yang lebih muda berbanding dirinya yang
sememangnya jauh lebih muda dari bapa saudaranya. Huh! Tak boleh jadi ni!
Takkanlah lelaki sepertinya tidak boleh memiliki gadis yang cantik seperti
Sara. Dari cerita bapa saudaranya, Sara cantik serba-serbi walaupun hanya orang
kampung.
“Silakan…” cabar Zahim. Dia tahu
anak saudaranya itu memang pantang dicabar.
“Saya nak jumpa mama, nak tengok
gambar calon yang dia dah cari untuk saya tu.” Ujar Aflah lalu bingkas untuk
masuk ke dalam rumah. Dia tidak mengendahkan bapa saudaranya yang sedang ketawa.
Dia tahu lelaki itu sedang mentertawakannya.
************
“Bro, kau apsal asyik termenung
aja dua tiga hari ni?” soal Ihsan seraya duduk di kerusi hadapan meja kerja
Aflah. Mereka baru sahaja habis mesyuarat. Dia perasan fokus sahabatnya itu
sedikit terganggu sejak akhir-akhir ini. Ketika mesyuarat tadi pun dia ditegur
oleh pihak atasan walaupun syarikat itu milik keluarganya.
“Hmm… aku kusutlah… mama aku dah sibuk nak
suruh aku kahwin cepat-cepat. Dia kata dia sunyi dekat rumah.” Adu Aflah dengan
keluhan berat meniti bibirnya.
“So, apa lagi? Kahwin ajalah..
apa masalahnya?” ujar Ihsan pula diiringi tawa kecil. Dia bukan tidak kenal
sahabatnya itu. Semenjak berpisah dengan kekasih lama, lelaki itu menjadi
seorang yang pemilih dan cerewet!
“Huh! Senang betul kau cakap kan…
Kau ingat aku nak main kahwin-kahwin ke wei? Hari ni kahwin esok bercerai? Kahwin
untuk seumur hidup apa…” bidas Aflah sedikit geram.
“Habis tu, dah engkau memilih
sangat. Kalau susah sangat, tu secretary kau tu pun hot aku tengok..” usik
Ihsan apabila teringat akan Zarina, setiausaha sahabatnya itu yang sudah lama
menaruh hati terhadap Aflah. Bukan sahaja Zarina, malah ramai staf wanita di
dalam pejabat itu begitu meminati dan kagum dengan sahabatnya itu. Pantang
Aflah lalu, mulalah mereka buat muka teruja. Dengan harapan Aflah akan tertarik
kepada mereka.
“Huh! Tak nak aku. Pakai baju
sampai tak cukup kain aku tengok. Tunjuk sana, tunjuk sini. Buat rugi aku
aja..” jawab Aflah yang tidak suka pada wanita yang terlalu seksi.
“Habis tu. Kau nak yang macam
mana lagi. Bukan sebelum ni awek kau pun hot and sexy ke?” balas Ihsan apabila
teringat pada Akila. Akila sanggup bermain kayu tiga di belakang Aflah
semata-mata ingin kesenangan yang lebih dari apa yang Aflah telah laburkan buat
kesenangan wanita itu. Oleh kerana itu, Aflah masih membujang hingga kini. Dia sendiri
sudah punya dua anak dari hasil perkahwinannya bersama Haida yang dikenali
sejak di universiti lagi.
“Entahlah.. aku pun tak tahulah
sekarang ni. Semua perempuan sekarang susah nak percaya.” Katanya lagi
mengeluarkan pendapat mengenai wanita di zaman yang semakin maju ini.
“Hmm… payahlah kalau kau dah
tanam mind set kau macam tu. Alamat
sampai ke tualah kau tak kahwin bro. Kau tak jealous ke tengok aku dengan si kembar aku tu..” giat Ihsan dengan
sengihan di bibir yang melebar.
“Bro, kalau aku jumpalah
perempuan yang aku nak tu, sekarang jugaklah aku kahwin. Anytime aja aku pun
boleh dapat kembar macam kau.” Balas Aflah tidak mahu mengalah. Sungguh dia
sebenarnya dia cemburu melihat kebahagiaan sahabatnya itu.
“Eleh… kalau dah macam tu, kau
carilah cepat-cepat. Jangan nak memilih sangat bro. Kita ni bukan muda lagi.
Nak cari yang perfect, memang tak jumpalah beb. Nobody’s perfect right?”
Nasihat Ihsan ikhlas.
“Tu yang aku serabut sekarang ni.
Mummy aku dah cari calon untuk aku. Kalau boleh dia nak aku kahwin hujung bulan
depan.” Adu Aflah akan hal sebenar yang mengganggu fokus kerjanya.
“Wow! Sounds good.” Kata Ihsan
sebelum ketawa.
“Kau jangan nak gelak-gelak. Aku
tak buat cerita lawak okay!” marah Aflah geram apabila ditertawakan oleh
sahabatnya itu.
“Sorry..sorry… Okaylah tu beb..
dah senang kerja kau kan.. Tak payah susah-susah cari. Mummy kau dah carikan
pun.. so, apa tunggu lagi.. on ajalah..” ujar Ihsan dalam sisa tawanya. Tidak
menyangka ada lagi keluarga yang ingin menentukan jodoh anak-anak dalam zaman
moden ini. Terutamanya berlaku dalam hidup sahabatnya yang serba mewah itu.
“Tu lah masalahnya sekarang ni. Mummy
aku dah berkenan sangat dah dengan perempuan tu. Aku tengok perempuan tu biasa
aja… Budak kampung pulak tu..” terang Aflah seraya melurut rambutnya yang
tersisir kemas. “Pening dah kepala aku ni fikir. Bulan depan kot mama nak aku
kahwin.. Gila tak gila..?” lanjutnya lagi dengan keluhan berat. Tali leher yang
terikat kemas tadi, sudah diuraikan. Hatinya memang tidak tenang apabila teringat
seraut wajah yang ditunjukkan oleh mamanya beberapa hari lepas.
“Ala beb… mestilah mummy kau dah
siasat latar belakang dia kan.. kalau tak, takdanya mama kau nak pakai pilih
aja… Restu mummy kau yang penting dalam perkahwinan kau nanti beb. Kalau kau
cari calon yang mummy kau tak berkenan nanti, lagi susah. Apa kata kau try
tengok dulu dengan gurl tu. Kenal-kenal dulu ke.. agak2 selesa, kau proceed
ajalah nikah bulan depan. Yang lebih-lebih tu, kau interview la lepas kahwin.
Lagi senang.. macam-macam nak buat pun, dah takda siapa nak marah..” balas
Ihsan panjang lebar beserta senyuman nakal terhias di bibirnya.
“Amboi kau.. aku tahulah kau dah
banyak pengalaman…” ejek Aflah yang tersenyum mendengar pendapat sahabatnya
itu. Memang hal itu ada difikirkan beberapa hari ni. Tapi, dia belum membuat
keputusan yang tepat lagi. Hanya seorang sahaja yang dapat membantunya saat
itu. Zahim. Bapa saudaranya itu sendiri sedang cuba memikat seorang gadis. Dia
tahu bapa saudaranya lebih banyak pengalaman dalam mengenali seorang perempuan.
***********
“Sara…” panggil Hasmah yang
berdiri di muka pintu bilik Sara.
“Kenapa mak?” tanya Sara dengan
senyuman kecil melihat wajah ibunya yang tersenyum.
“Sara sibuk ke?”
“Takdalah mak… kemas sikit
buku-buku lama ni…” jawab Sara yang sambil meneliti buku-buka sekolahnya yang
sudah tidak digunakan lagi. Pada masa yang sama dia cuba melihat-lihat buku
yang masih boleh digunakan untuk adik-adiknya yang masih bersekolah.
Sara menoleh ke wajah ibunya yang
sudah melabuhkan duduk di atas tilam bujangnya di atas lantai.
“Mak ada apa-apa nak cakap dengan
Sara ke?” soal Sara lagi seraya mendapatkan ibunya.
“Sara ni, mak baru nak rahsiakan
dari Diha.” Seloroh Hasmah. Tapi hatinya sedikit pun tidak senang dengan
gurauan yang dibuatnya. Ada perkara penting yang harus dibincangkan kepada anak
gadisnya itu. Hasrat orang perlu juga disampaikan.
“Ada apa mak? Pasal duit ke?
Kalau pasal duit, mak tak payahlah risau. Duit Sara cukup. Mak gunalah duit
yang Sara bagi tu untuk adik-adik sekolah. Kalau tak cukup mak cakap dengan Sara.”
balas Sara yang mula berdebar dengan berita yang ingin disampaikan. Jika setiap
pertengahan bulan begitu, pasti ibunya akan bertanya tentang duit belanjanya.
Risau dia tidak mempunyai duit belanja yang cukup untuk berulang-alik ke tempat
kerja selepas dia menyerahkan setengah daripada gajinya buat perbelanjaan
keluarga.
“Bukan pasal duit. Duit yang Sara
bagi tak luak lagi. Ada lagi Sara. Cukup untuk bulan ni..” jawab Hasmah sambil
menyentuh bahu anak gadisnya itu. Dia bersyukur kerana dikurniakan seorang anak
yang bertanggungjawab dan penyabar.
“Habis tu? Erm..pasal Sham ke
mak?” Sara meneka tentang adik lelakinya yang sedang membuat persediaan akhir
untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Tidak sampai sebulan lagi
adiknya itu akan berlepas ke India. Adiknya itu begitu bernasib baik apabila
layak menerima biasiswa kerajaan yang akan menampung segala perbelanjaannya
nanti.
“Bukan… Erm…mak nak cakap pasal Sara.”
Jawab Hasmah dengan senyuman pahit. Dalam kepala dia cuba merangka-rangka ayat
yang sesuai untuk menyampaikan perkara tersebut agar anak gadisnya itu tidak
terkejut.
“Pasal Sara? Pasal apa mak?” soal
Sara yang sudah kembali duduk bersila di rak kayu uzur menjadi tempat susunan
buku-buku lama tadi.
“Erm.. mak cakap, Sara janganlah
marah..” ujar Hasmah lembut. Dia tahu anak gadisnya itu bukanlah jenis yang
cepat melatah. Malah, jarang sekali dapat melihat anak gadisnya itu dalam
keadaan marah. Senyuman memang sentiasa terhias di bibir itu.
“Cakap ajalah mak. Buat apa Sara
nak marah pulak kalau benda tu tak buat Sara marah..” jawab Sara selamba.
Ketika itu dia sibuk menilik buku latihan matematiknya ketika berada di
tingkatan lima dahulu. Dia senyum sendiri apabila teringat kembali zaman
sekolahnya itu.
“Erm…ada orang tanya pasal Sara…”
beritahu Hasmah perlahan.
Serta merta buku latihan yang
sedang dipegang oleh Sara terlepas dari tangan. Wajahnya menoleh ke arah ibunya
yang turut sama memandang. Dia tidak bodoh akan makna kata-kata ibunya itu
tadi. Bukan sekali ibunya pernah bertanya tentang hal yang sama. Cuma setelah
ayahnya meninggal setahun lalu, baru hari ini soalan itu diajukan lagi
kepadanya.
“Siapa kali ni mak?” tanya Sara
yang cuba mengawal perasaannya saat itu. Sebenarnya dia bukanlah seorang yang
cerewet dalam memilih pasangan hidup. Cuma ketika dia menolak pinangan yang
pernah sampai dahulu, ketika itu dia masih belajar. Dan dengan alasan belajar
itulah dia menolak hajat orang yang ingin memperisterikannya. Tapi hari itu...
“Orang jauh Sara. Mak pun tak
tahu macam mana dia boleh tahu rumah kita ni..” jawab Hasmah jujur. Dia sendiri
terkejut apabila menerima kedatangan wakil dari jauh itu.
“Erm.. apa keputusan mak..” tanya
Sara inginkan kepastian.
“Mak ikut Sar aja.. Mak tak kisah
Sara, asalkan orang tu ikhlas nak kahwin dengan Sara.” Ujar Hasmah. Ada satu
hal lagi yang masih dirahsiakan dari anak gadisnya itu. Tapi dirasakan, belum
tiba masanya untuk disampaikan. Dia tidak mahu anak gadisnya itu susah hati
memikirkan perkara itu pula.
Sara mengeluh perlahan. Tidak
tahu untuk membuat keputusan saat itu.
“Mak ada janji dengan dorang nak
bagi keputusan bila?” Sara bertanya lanjut. Dengan harapan dia masih lagi
mempunyai ruang dan masa untuk berfikir selanjutnya.
“Sampai hujung bulan ni. Sebab
katanya kalau Sara setuju, terus dia orang nak hantar rombongan untuk majlis
pertunangan awal bulan depan.” Terang Hasmah. Kotak baldu merah yang dibawa
bersama tadi dihulurkan kepada anak gadisnya.
“Ni cincin risik.” Kata Hasmah
lagi.
Sara yang masih terkejut dengan berita
yang baru disampaikan oleh ibunya itu, seperti teragak-agak untuk menyambut.
“Cepatnya mak…” keluh Sara
perlahan.
“Erm… mak, kalau Sara tolak boleh
tak mak?” kata Sara seraya memandang ke wajah ibunya yang sedikit beriak resah.
“Kalau Sara nak tolak, atas
alasan apa mak nak bagi nanti?” soal Hasmah kembali.
Sekali lagi Sara mengeluh
perlahan. Dirasakan dia tidak punya alasan yang kukuh untuk menolak. Ligat
kepalanya tercari-cari alasan. Pada waktu itu juga dia teringatkan kata-kata
seseorang kepadanya… Takkanlah??
“Erm..mak, esok Sara bagi
keputusan ya?” putus Sara akhirnya.
“Hm…ikut Saralah.. Cuma apa yang
mak nak Sara tahu, mak tak halang pun kalau Sara nak kahwin. Lagi satu, sebelum
ni Sara dah pernah tolak pinangan orang lain kan. Mak harap kali ni, Sara
pertimbangkanlah betul-betul. Mak tak sampai hati nak tolak pinangan kali ni..
Dia orang pun beriya nakkan Sara…” ujar Hasmah apabila teringat wajah wanita
yang hampir sebaya dengannya begitu lembut tutur bicaranya untuk meminang anak
gadisnya itu. “Kalau pasal mak dengan adik-adik yang Sara risaukan, mak rasa
Sara terima aja pinangan kali ni. Mak tak nak Sara rasa terbeban untuk tanggung
mak dengan adik-adik. Duit simpanan mak tu, cukup lagi untuk tampung adik-adik
kamu belajar. Kalau Sara kahwin pun, Sara takkan lupakan mak dengan
adik-adikkan…” sambung Hasmah yang mula menahan sebak di dada apabila
mengenangkan anak gadisnya itu akan meninggalkannya. Teras berat hatinya untuk
melepaskan Sara.
Keluhan lagi yang terzahir di
bibir Sara. Dia mula buntu dengan keputusan yang bakal dibuat. Semuanya harus
dipertimbangkan demi masa depan dia dan keluarganya. Sempat hatinya berdoa agar
dia diberi petunjuk ke jalan yang benar. Dia harus fikir semasak-masaknya agar
keputusan yang bakal dibuat nanti tidak akan menyukarkannya kelak.
5 comments:
nice story.........
Interesting introo!! Hehe.. Ingatkan pakcikk tu risik utk diri sndiri.. Rupenye anak buah diaa.. ;)
aflah x knl ag dgn sara mmg la dye kte mcm2 mse mle2 mst la sara nie bdak bek kn smpai ayh sdre dye pinangkn tok aflah nie..x sbar la plak nk bce n3 strusnye
intro yg menarik..tq arsha
nice story,,cerpen ke nie tw mini novel..heheheheh
Post a Comment