Apr 21, 2012

Anugerah istimewa_short_part 2


Anugerah istimewa_part 2

“Paksu, betul ke dekat sini dia kerja? Tak nampak pun dia. Dah seminggu kita berulang ke sini…” rungut Aflah sambil melihat tempat yang dimaksudkan.

“Adalah… takkanlah mummy kamu nak menipu pulak. Dia siap dah pergi jumpa mak budak tu.. dah tentulah betul..” jawab Zahim sambil menggelengkan kepala dengan kerenah anak saudaranya yang seorang itu. Tidak henti bertanya itu ini kepadanya tentang calon isteri yang telah dipilih oleh kakaknya.

“Takda pun paksu..” rungut Aflah lagi. Baru lima minit mereka menanti di situ, dia sudah tidak tentu arah.

“Kejap lagi agaknya.. relaxlah dulu.. manalah tahu hari ni dia datang…” jawab Zahim dengan mata sama tersorot ke satu sudut yang dipandang oleh Aflah.

“Entah-entah dia cuti lagi kot paksu..” Kata Aflah lagi.

“Hish! Kamu ni. Cuba bawak bersabar. Paksu dah tanya dah dengan kawan yang kerja sama dengan dia tu.” Marah Zahim pada Aflah yang memang pada awalnya tidak setuju dengan rancangan kakaknya itu. Tetapi akhirnya menurut, namun bersyarat. Dia mahu melihat sendiri kegiatan gadis itu dengan mata kepalanya sendiri. Dia ingin memastikan gadis itu merupakan yang benar-benar jujur ingin mengahwininya bukan atas sebab kekayaan yang dimiliki.

“Paksu, yang comel ni aja yang kita selalu nampak paksu..” kata Aflah apabila melihat seorang gadis yang sedang berjalan menghampiri ke tempat yang dimaksudkan tadi. Mujur cermin keretanya agak gelap. Ianya menyukarkan sesiapa pun yang melihat. Hampir seminggu itu jugalah hanya wajah comel gadis itu sahaja yang menjamu matanya.

Mata Zahim turut tersorot ke arah yang sama sebelum mengukir senyum.

“Mana gambar yang mummy kamu bagi tu?” tanya Zahim apabila teringat gambar yang ditunjukkan oleh Aflah sebelum bertolak tadi.

“Ni ha…” jawab Aflah sambil mengeluarkan sekeping gambar dari poket bajunya.

“Entah-entah mummy salah orang kot paksu.. Entah-entah budak comel yang kita nampak dalam seminggu ni..” lanjutnya lagi.

Zahim tidak menjawab. Sebaliknya mata terpaku pada sekeping gambar yang dilihatnya itu.

“Tak mungkin mummy kamu tu silap.. Nak kata sama, tak sama pulak dalam gambar ni..” tutur Zahim yang sembunyi senyum.

“Memanglah tak sama paksu.. yang tu lagi comel dari dalam gambar ni..” jawab Aflah yang tidak lepas memandang ke arah gadis yang dilihat itu hingga hilang disebalik pintu kaca. Gadis yang memakai baju kurung itu, sungguh memikat hati membuatkan matanya sendiri sukar untuk melepaskan bayang gadis itu hilang. Hampir seminggu itu jugalah bayang wajah itu menghiasi mimpi malamnya.

“Iya ke? Bukan sama ke?” kata Zahim lagi cuba menduga ketelitian anak saudaranya itu.

“Tak.. yang tu lagi comel la paksu..” kata Aflah lagi dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

“Paksu, apa kata… paksu tolong saya usha yang tadi tu..” ujar Aflah dengan senyuman yang semakin melebar.

“Eh, kenapa pulak paksu yang kena pulak. Kamu yang nak, kamu ajalah yang pergi.. Nanti kalau Sara paksu tu nampak paksu dengan perempuan lain, habislah paksu..” balas Zahim tidak bersetuju dengan cadangan gila anak saudaranya itu.

“Ala… paksulah.. kalau saya yang pergi, habislah saya paksu. Paksu tahukan mata perempuan sekarang macam mana.. Lagipun, paksu kan senang borak dengan sesiapa pun kan.. please paksu..” pujuk Aflah. Dia teringin berkenalan dengan gadis yang dilihat tadi. Sungguhpun gadis itu jelas kekampungan, tapi wajah itu begitu menarik hatinya. Entah bagaimana perasaannya saat itu. Dia sendiri tidak faham. Ketika bersama Akila dahulu, tidak pula dirasakan begitu. Malah kali ini, tarikannya lebih kuat yang belum pernah dirasakan. Membuak-buak hatinya ingin mengenali gadis yang hampir seminggu dilihat itu.

“Malaslah paksu..” tolak Zahim.

“Ala paksu… sekali ni aja… at least dapat tahu status girl tadi tu pun jadi la.. takpun, paksu bolehlah risik-risik pasal Madiha tu.. mesti dia tahu kan..” kata Aflah lagi.

“Kalau dah dapat tahu status dia, kamu nak buat apa? Baik kamu kenal dengan calon mummy kamu ni lagi bagus..” balas Zahim pula.

“Ala paksu… Tolonglah paksu.. sekali ni aja.. sambil menyelam, kita minum airlah paksu.. tolonglah paksu.. please…” pujuk Aflah lagi. “Manalah tahu, kalau tiba-tiba paksu jumpa dia, tu sebenarnya Madiha? Kan bagus tu…” sengaja Aflah memancing bapa saudaranya itu. Tetapi pada masa yang sama, dia tidak boleh menipu perasaan indah yang dirasakan saat itu.

“Hish! kamu ni.. Ada-ada ajalah…” balas Zahim malas melayan kerenah anak saudaranya itu.

“Alah… sekali ni aja paksu… bukan nak buat apa-apa pun. Saja aja.. please paksu..” pujuk Aflah lagi tidak jemu.

“Macam tu lah paksu Aqil Aflah…” jawab Aflah dengan wajah yang bersinar-sinar.

“Kalau dia sangkut dengan paksu, sorrylah ya.. jangan jealous pulak..” sempat Zahim mengusik.

“Paksu jangan macam-macam paksu.. nanti saya bagitahu Sara.. baru tahu..” balas Aflah pula mengugut.

“Alah. Bukan kamu kenal pun girlfriend paksu tu..” ejek Zahim yang sedikit pun tidak terkesan dengan ugutan anak saudaranya itu.

“Cepatlah paksu..” kata Aflah yang malas bertekak lagi tentang gadis yang dimaksudkan oleh paksunya itu.

************

“Sara…” Hasmah berdiri di muka pintu bilik anak gadisnya. Rombongan pihak lelaki sudah pun tiba.

Sara menegakkan wajah memandang ke wajah ibunya yang tersenyum. Selepas dia memutuskan untuk menerima risikan orang yang datang ke rumahnya minggu lalu, ibunyalah orang yang paling gembira. Cuma kini hatinya agak berdebar-debar ingin bertemu dengan keluarga lelaki yang telah dikenali sejak setahun lalu. Dia tidak menyangka kedatangan Pakcik Zahim selama ini mempunyai hajat yang besar. Yang membuatkannya terharu adalah apabila keluarga lelaki itu sanggup menerima keadaan diri dan keluarganya yang serba kekurangan. Dia redha dengan jodohnya itu setelah meminta petunjuk dari yang maha berkuasa. Dia cukup yakin dengan petunjuk yang diberi.

“Tu, wakil dari pihak lelaki nak masuk sarungkan cincin..” kata ibunya sambil mempersilakan seorang wanita yang hampir sebaya dengan ibunya masuk ke dalam bilik.

Bibir mengukir senyum sebelum menyambut huluran tangan wanita yang kelihatan masih bergaya itu. Manis wajah wanita itu tersenyum kepadanya.

Usai cincin disarungkan ke jarinya, sekali lagi dia mengucup hormat tangan wanita itu. Dalam pada itu matanya sempat singgah ke wajah lelaki yang banyak membantu dan mengambil berat akan keadaan keluarganya. Dia sendiri sudah mula jatuh sayang dengan lelaki itu. Bukan sahaja dia. Malah adik-adiknya juga amat serasi dengan keluarga lelaki itu.

 Dia perasan lelaki yang manis dengan senyuman itu segak mengenakan sepersalinan baju melayu senada dengan warna baju yang tersarung di tubuhnya. Baju kurung moden warna merah jambu itu juga merupakan pemberian dari lelaki itu walaupun puas dia menolak.

Dia redha dengan apa yang telah ditentukan. Dia akan cuba sedaya upaya menerima kehadiran lelaki yang bakal menjadi imam dan pemimpinnya kelak. Kalau dengan cara itu dia dapat membuatkan ibunya senang hati, dia akan lakukan yang terbaik demi tidak menghampakan hasrat hati orang yang menaruh perasaan terhadapnya. Kenapa tidak dia belajar menerima kehadiran lelaki itu sedangkang hatinya belum pernah terisi dengan mana-mana kehadiran lelaki asing sebelum ini.

Dia mengukir senyuman yang paling manis untuk dihadiahkan kepada lelaki yang tidak lepas memandangnya dari tadi. Mungkin inilah nikmat yang Allah ingin berikan kepada dirinya dan keluarga di atas kesukaran yang dialami dalam setahun itu.

………………………..

“Bro… kau tak payahlah nak buat muka ketat kau dekat sini.. kau bertunang aja kan.. bukan suruh nikah pun…” kata Ihsan mengusik.

“Diamlah kau.. aku tengah takda mood ni..” jawab Aflah geram. Perasaan kecewanya tentang seorang gadis yang dilihat minggu lalu masih lagi terasa. Dia kecewa bila dimaklumkan oleh paksunya yang gadis itu sudah pun menjadi tunangan orang.

“He’eleh. Takda mood konon.. sudahlah.. Aku nak masuk ni. Nanti kalau dah settle semua, aku call kau. Lepas tu, baru kau boleh masuk.” Kata Ihsan yang malas melayan angin tidak baik sahabatnya itu. “Kau masuk nanti jangan buat muka macam ni beb. Sia-sia ajalah kau pakai baju smart-smart macam ni..” kata Ihsan lagi yang melihat penampilan sahabatnya itu yang sentiasa mementingkan penampilan diri walau ke mana pun sahabatnya itu ingin pergi.

“Pergilah kau. Cakap dengan mummy aku cepat sikit. Aku tak tahan duduk lama-lama dekat sini. Panas.” Jawab Aflah dengan wajah masam mencuka. Demi memuaskan hati mummynya, akhirnya dia menerima juga cadangan untuk bertunang dengan gadis bernama Madiha yang tidak ditemui itu. Dia redha sahaja menerima.

Ketiadaan bapa saudaranya dalam majlis pertunangannya hari itu menambah rasa tidak tenang di hati. Bapa saudaranya itu rupanya telah merancang untuk menghantar pinangan kepada gadis yang bernama Sara pada hari yang sama dengan majlis pertunangannya. Katanya, tidak mahu dia turut serta dalam rombongan itu dengan alasan tidak membenarkan dia bertemu dengan Sara. Alasan yang diberi oleh bapa saudaranya itu menambah sakit di hati. Sengaja mencabar egonya yang menganggap Sara lebih cantik daripada Madihahnya.

Bibir menghela nafas berat entah buat ke berapa kali hari itu, dia sendiri tidak pasti. Pandangan mata dibuang ke arah rumah kayu yang tidak jauh dari tempatnya meletakkan kereta. Jelas pada pandangannya beberapa orang tetamu yang tidak dikenali masuk ke rumah itu tadi. Pastinya dari kaum keluarga tunangannya itu. Pada waktu itu juga, dalam benaknya mula menerjah pelbagai jenis telahaan tidak baik mengenai gadis yang menjadi tunangannya hari itu. Melihat pada keadaan rumah kayu yang agak lama dari segi sturktur binaannya, dia dapat mengagak yang tunangannya itu memang bukan dari keluarga yang senang. Malah menurut mummynya sendiri gadis itu yang menampung perbelanjaan keluarga. Kepalanya sudah memikirkan yang tidak-tidak mengenai Madihah hingga berkerut-kerut dahi. Tidak mustahil gadis itu menerimanya semata-mata kerana kekayaan yang dimiliki. Desis hatinya sendiri.

************

“Aqil..” sapa Puan Azlina seraya duduk di sisi anak tunggalnya itu yang sejak tadi leka mengadap tv. Namun, dia tahu hanya mata sahaja yang terhala di situ. Dia perasan sejak tadi bibir anak tunggalnya itu tersenyum sendiri.

“Aqil… mummy cakap dengan Aqil ni..” kata Puan Azlina lagi seraya menepuk peha anak tunggalnya itu.

“Ala mummy ni.. sakitlah.. kan Aqil tengah tengok tv ni..” balas Aflah yang sedikit terkejut dengan sergahan mummynya itu.

“Tengok tv apanya. Tu cerita hantu yang kamu tengok tu.. kenapa pulak sampai nak senyum-senyum.” Tebak Puan Azlina menyebabkan Aflah menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Ala mummy ni.. mana ada Aqil senyum-senyum.. Aqil betul tengah tengok la ni..” balas Aflah yang mula memerah wajahnya apabila mummynya dapat menangkap ketika otaknya jauh menerawang pada majlis pertunangannya dua minggu lalu.

“Janganlah nak tipu mummy. Macamlah mummy tak nampak..” jawab Puan Zalina yang tersenyum penuh makna. Dia dapat meneka apa yang difikirkan oleh anak terunanya itu.

“Okay..okay.. yalah.. Aqil mengakulah..” Aflah mengalah. Malas cuba menyembunyikan lagi rasa malunya. Dia tahu mummynya itu bijak menilai orang yang tengah angau macam dia. Hanya dua minggu lagi dia akan bernikah dengan Madiha. Wanita yang mula mendapat tempat di hatinya itu membuatkan dia tidak lena tidur. Sebelum tidur, suara lembut itu wajib menyapa gegendang telinganya. Mujurlah kedudukan mereka jauh. Jika tidak, hari-hari dia ingin menatap wajah itu agar tenang dia melalui hari-hari yang mendatang.

“Tu la.. dulu bukan main tak nak lagi kan… Sekali dah jumpa, bukan main angau lagi mummy tengok. Bibir tu, makin lebar senyum.” Usik Puan Azlina yang perasan perubahan anak terunanya itu selepas majlis pertunangan minggu lalu.

“Itu time belum jumpa.. sekarang dah jumpa mummy…” balas Aflah dengan sengihan yang semakin melebar.

“Eleh… sukalah tu kan.. kalau tak, muka tu macam Boboi sakit perut.” Ejek Puan Azlina. Boboi kucing kesayangan anak tunggalnya itu.

“Tak kisahlah mummy nak cakap muka Aqil macam Boboi ke apa ke.. yang penting Madiha tak lama duduk dengan kita…” balas Aflah yang tidak terkesan pun dengan usikan Puan Azlina.

“Ha… cakap pasal menantu mummy tu..”

“Amboi mummy.. Diha belum lagi jadi wife Aqil tau.. mummy lagi excited nak terima menantu nampaknya ni…” giliran Aflah mengusik.

“Alah. Biarlah.. yang penting, mummy dah dapat peluk dia..” balas Puan Azlina yang sudah ketawa kecil. Sengaja ingin mengusik.

“Takpa..takpa… lagi dua minggu aja.. lepas aja dua minggu tu… Mummy jangan haraplah dapat peluang peluk Diha..” giat Aflah dengan senyuman nakal tersungging di bibirnya.

“Ee… sikit pun mummy tak jealous..” balas Puan Zalina dengan senyuman.

“Hah..dah la kamu tu.. makin merepek pulak.. ni mummy nak cakap.. esok jangan lupa pergi jemput Diha dekat Pudu. Nanti menantu mummy tu tunggu lama pulak dekat situ. Dia bukan biasa dekat KL ni..” ujar Puan Azlina selanjutnya.

“Ya Allah… nasib baik mummy ingatkan. Esok Aqil ingat nak pergi Perak dengan Ihsan.” Jawab Aflah seraya mencapai telefon bimbitnya di atas meja empat segi di hadapannya.

“Hish! Macam mana tunang sendiri nak datang kamu boleh lupa ni.. Tu la.. sibuk kerja aja. Kalau tak sibuk kerja, sibuk berangan aja. Tu yang sampai tak ingat semua. Berangan lagi benda merepek-repek…” Marah Puan Azlina dengan satu kelemahan anak terunanya itu. Apabila terlalu sibuk dengan kerja, sampai semua dilupakan. Cuma selepas bertunang itu, dilihat ada sedikit perubahan.

Aflah hanya tersengih memandang wajah mamanya. Dalam kepalanya sudah terbayang-bayang wajah tunangannya. Hanya ketika di majlis pertunangan itu mereka bersua muka. Kemudian dia tidak lagi dibenarkan oleh mummynya untuk bertemu dengan Madiha memandangkan tarikh pernikahan mereka semakin hampir. Hanya telefon sahaja yang menghubungkan mereka. Walaupun di dalam telefon, dia dapat merasakan yang Madiha masih segan dengannya. Selalunya dia yang akan berceloteh itu ini. Tetapi gadis itu tetap menjadi pendengar setia. Dan kini sebarang masalah yang dihadapi di pejabat, akan disampaikan kepada gadis itu. Dia suka mendengar gadis itu memberi pendapat dan kadangkala apa yang diucapkan amat menyenangkan hatinya. Suara lembut yang kedengaran gemersik menyapa telinganya itulah dijadikan peneman tidur malamnya kini. Biar hanya mimpi indah yang menjelma.

Apabila teringat kembali apa yang berlaku sewaktu majlis pertunangannya minggu lalu, dia tersenyum sendiri.

************

Dua minggu lalu….

“Woi, muka kau janganlah nak ketat sangat. Jom masuk. Semua dah settle tu.” Ujar Ihsan yang berdiri di tepi pintu kereta menanti Aflah. Lelaki itu membuat degilnya sendiri apabila enggan masuk ke dalam rumah untuk melihat si gadis yang menjadi tunangan.

“Malaslah aku… aku dah penat tunggu dekat sini. Kau cakap ajalah dengan mummy, yang aku ada hal. Takpun kau cakap aja aku nak pergi jumpa paksu aku.” Jawab Aflah yang sudah menghidupkan enjin keretanya sedia untuk beredar dari rumah tunangannya itu.

“Suka hati kau aja. Kau tak nak tengok ke tunang kau tu dulu? Kau jangan menyesal pulak kalau tak tengok nanti..” kata Ihsan lagi yang geram dengan sikap keras kepala sahabatnya itu.

“Ah..malaslah. Sama aja aku tengok ke tak.. hujung bulan ni aku nikah, aku jumpa dia jugak kan..” balas Aflah yang masih dengan pendiriannya.

“Ha’eleh… kau jangan pulak nak buat perangai dekat rumah orang ni wei.. semua orang tengah tunggu kau tu nk ambik gambar... Nanti mummy kau bising la…” bebel Ihsan lagi.

“Malaslah aku… semua dah settle, jomlah kita balik.. tak payahlah nak ambik gambar sangat. Time nikah pun nak ambik gambar jugak kan..” jawab Aflah selamba.

“Tu pun kalau kau panjang umur. Dah jom. Kau jangan nak buat hal. Masuk cepat. Kalau kau tak nak lama-lama, sekejap pun jadilah. Janji kau tunjuk muka. Tunang kau tu pun belum tengok lagi muka kau yang konon hensem tu. Lagipun kau dah sampai sini kan..”kata Ihsan sinis. Geram sangat dengan Ihsan yang degil itu.

“Hello sir. Kau yang sibuk ajak aku pergi tadi kan… Bukan ke kalau ikut adat lelaki sebenarnya tak payah datang rumah perempuan? Tapi tadi kau yang beriya-iya ajak aku. Nasib baik aku tak pakai baju melayu macam kau. Mengalahkan orang nak nikah. Colour pink pulak tu… Tak pasal-pasal aja aku pakai kemeja pink hari ni..” hambur Aflah yang sama geram dengan majlis yang dirancangkan oleh mummynya itu. Hampir ke semua wakil dari keluarganya mengenakan baju berwarna merah jambu. Termasuklah sahabatnya itu. Hanya dia sahaja yang mengenakan baju kemeja. Ikutkan hatinya jangan haraplah dia akan mengenakan baju warna merah jambu. Oleh sebab sebelum bertolak tadi dia dibebel teruk oleh mummynya, terpaksa juga mengenakan kemeja merah jambu.

“Okay apa.. baju free.. pakai ajalah.. Kau ingat senang-senang dapat baju tajaan dari mummy kau.. Kau pun kedekut dengan aku. Dah lah.. cepatlah keluar. Penat dah aku berdiri tengah panas ni pujuk pengantin lelaki yang kena paksa kahwin.” Seloroh Ihsan diiringi tawa.

“Kau jangan nak gelak-gelakkan aku weh.. Kau tu yang sibuk suruh aku terima aja Madiha tu… Lepas tu kau nak gelak-gelakkan aku pulak… Kang kalau aku batalkan terus majlis ni karang, baru tahu…” marah Aflah apabila diusik begitu.

“Woo.. kau jangan nak buat hal. Tak pasal-pasal kau jadi si Tanggang pulak hari ni. Aku tak boleh nak tolong nanti… Jom keluar cepat. Kau jangan nak buat hal dekat rumah orang ni.” Kata Ihsan seraya mencapai tempat kunci dan mematikan enjin kereta Aflah.

“Woi! Bagi sini kunci aku tu!” bentak Aflah apabila sahabatnya itu sudah pun membawa kunci keretanya bersama untuk kembali masuk ke dalam rumah.

“Hampeh punya sahabat!” bentaknya sendiri. Dalam tidak mahu, dia terpaksa juga menurut. Pintu kereta ditolak kasar. Dia perasan wajah Ihsan yang sudah pun berdiri di muka pintu sedang tersenyum mengejek kepadanya.

Dengan langkah yang berat, dia masuk juga ke dalam rumah. Dan pada waktu itu jugalah semua mata tertumpu kepadanya. Pandangan mata dibuang ke sekitar ruang rumah. Amat sederhana. Tiada pun perabot-perabot mahal seperti di rumahnya. Di hujung sudut hanya ada set kerusi rotan yang sudah lusuh benar dilihatnya. Kemudian matanya pula terarah kepada wajah lelaki yang amat dikenalinya. Terus dia mendapatkan lelaki yang segak bermaju melayu warna senada dengannya itu.

“Paksu. Semalam paksu kata…” tergantung ayatnya di situ. Minta penjelasan lanjut dari bapa saudaranya itu.

“Betullah apa yang paksu kata semalam..” jawab Zahim selamba dengan senyuman penuh makna.

Semua mata-mata yang ada sama di situ sudah memandang antara satu sama lain. Malah ada yang berbisik sesama sendiri melihat kehadirannya di situ. Otakknya saat itu masih gagal menafsir apa sebenarnya tujuan bapa saudaranya itu merahsiakan tentang kehadirannya di rumah itu.

“Sara macam mana?” soal Aflah apabila teringat akan sebaris nama yang sering meniti bibir bapa saudaranya sejak akhir-akhir itu.

“Dia dah selamat bertunang dah..” jawab Zahim selamba. Bukan dia tidak perasan kerutan di wajah anak saudaranya itu.

“Eh, semalam kan paksu yang kata paksu nak masuk meminang? Tu la..ni mesti kes paksu dah terlambat ni kan…” telah Aflah dengan senyuman kecil di bibir. Kesian betul paksu aku ni…

“Paksu, mummy mana?” tanya Aflah yang perasan kelibat mummynya tiada di situ. Mata-mata yang memandang kearahnya langsung tidak dihiraukan.

“Ada dekat dalam bilik tu. Kejap lagi keluarlah..” jawab Zahim dengan mata dibuang ke arah pintu bilik yang dimasuki tadi. Dia yakin yang pilihan dia dan kakaknya itu adalah yang paling tepat untuk dijadikan sebagai isteri Aflah.

Aflah menoleh ke wajah sahabatnya yang duduk bersila di sebelah kanan bapa saudaranya. Sempat dia menjeling kepada sahabatnya yang sedang tersengih-sengih memandangnya.

“Ha.. tu dah keluar calon isteri kamu..”ujar Zahim membuatkan Aflah turut membuang pandang ke arah yang dimaksudkan. Wajah mummynya yang sedang tersenyum lebar diikuti seorang gadis yang hanya menunduk.
Matanya masih tidak lepas memandang ke arah gadis yang baru sahaja menjadi tunangannya itu. Entah kenapa hatinya berdebar-debar saat menanti gadis yang memakai baju kurung moden warna senada dengannya itu mengangkat wajah.

“Hoi! Cover-cover la sikit.” Tegur Ihsan yang entah bila berpindah duduk di sebelahnya. Namun sedikit pun kata-kata itu tidak dihiraukan. Matanya masih terarah kepada gadis yang mengambil tempat di sisi mummynya.

“Ya Allah…!” itu sahaja yang terluah di bibir saat si gadis mengangkat wajah dan tersenyum manis kepadanya. Dan kemudian, dirasakan dunianya gelap dengan tiba-tiba.

8 comments:

mizz acu said...

erkss.. aflah pengsan??? adoiii.. wat malu je la bro.. ahhaha.. padan muka!tu la belagak sgt!! nasib baik pompuan comel tu xterlepas lagi.. menjadi jugak tunang awak.. :)

kak na said...

pengsan ke?....iskh

MaY_LiN said...

alamakwei..
pengsan??
cit..aflah ni..
terkejut beno gamaknya..

zm said...

hikhik klakar la.... comel jer

cheknie said...

ley plak pgsan kn..mmg tkjut sgt 2 yela madiha ngn girl yg dye nk usha 2 kn sme..madiha cm da slh org je cz x clap bkn ihsan ke yg pkai bj mlyu n tng dye kn pkai kmeja pink..

mizz acu said...

Rasanya cm yg madiha tgkk tu paksu zahim tu kott

arsha wangi said...

thanks kepada semua yang komen :)

chekni>

thanks chekni sebab tgur. sbnrnya tema hari tu memang pink. paksu zahim pkai bju mlyu pink, also ihsan. aflah je pakai baju kemeja pink. :)

mila said...

pengsan???? kelakar la aflah nie. hehehe. suka tq