Apr 19, 2012

Anugerah istimewa_short_part 1


“Pakcik, hari ni nak cari buku apa?” sapa Sara mesra kepada Pakcik Zahim yang akan datang pada setiap hujung minggu ke kedai buku itu. Semenjak setahun lalu Pakcik Zahim menjadi pelanggan setia. Ada sahaja buku yang akan dibeli pada setiap minggu. Bukan itu sahaja, kadang-kadang sanggup datang sejauh itu kerana ingin membeli alat tulis. Pada mulanya dia berasa pelik kerana Pakcik Zahim berasal dari Kuala Lumpur. Kedai buku itu pula di selatan Johor. Tetapi lama kelamaan, dia tidak endahkan. Hak pembeli, takkan pula dia mahu melarang. Untuk bertanya lebih pun dia tiada hak. Dia sendiri hanya pekerja di kedai buku itu.

“Ada buku baru sampai?” Pakcik Zahim pula menyoal tanpa menjawab pertanyaan Sara.

“Ada pakcik. Tapi belum sempat susun lagi. Baru aja sampai tadi.” Balas Sara sambil menunjukkan ke satu sudut kedai yang dipenuhi dengan kotak dan timbunan buku baru.

“Erm… Sara sibuk ke hari ni?” tanya Pakcik Zahim berbasa-basi. Sejak kali pertama bertemu dengan gadis itu, hatinya tertarik. Penuh santun dan amat menghormatinya. Dia yang sudah ketiadaan isteri sejak sepuluh tahun lalu, berasa begitu gembira tiap kali melihat wajah tenang di hadapannya itu.

“Sibuklah jugak pakcik. Kala cuti hari ni. Sekarang tinggal Sara sorang. Am dengan Dina pergi makan dulu.” jawab Sara sambil menyusun atur buku-buka yang sedikit terkeluar dari susunannya.

“Oh.. kalau macam tu, nanti makan dengan pakciklah. Pakcik tadi pun belum makan lagi ni.” Balas Pakcik Zahim sambil memandang gadis yang sentiasa murah dengan senyuman itu. Manis selalu wajah itu walaupun tidak tersenyum.

“Boleh jugak..” balas Sara senang hati.

“Sara, boleh pakcik tanya sikit?” soal Pakcik Zahim sambil sebelah tangannya mencapai sebuah buku hasil tulisan HM Tuah.

“Tanya ajalah pakcik. Macamlah baru sehari dua kenal Sara. Pakcik tanyalah apa yang pakcik nak tanya.” Balas Sara dengan senyuman di bibirnya.

“Sara ada boyfriend?” tanya Pakcik Zahim sambil mengerling ke wajah Sara yang sentiasa tenang itu.

“Siapalah yang nak Sara ni pakcik. Rupa pun takda. Belajar pun tak habis. Orang susah pulak tu..” balas Sara merendah diri.

Dia yang belajar dalam bidang pengurusan terpaksa menangguhkan pelajaran kerana ingin membantu keluarganya yang berada dalam kesempitan. Selepas abang dan ayahnya meninggal dunia dalam sebuah kemalangan setahun lalu, keluarganya terus hilang punca pendapatan. Jika tidak, dia dan keluarganya bergantung harap pada pendapatan abangnya sebagai seorang supervisor sebuah kilang tidak jauh dari situ. Ayahnya pula waktu itu sudah tidak bekerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Asma yang dialami semakin memburuk hinggalah pada suatu malam abangnya ingin menghantar ayahnya ke hospital terlibat dalam kemalangan. Sejak itu dia mengambil keputusan untuk menangguhkan pelajaran untuk membantu ibunya menanggung tiga lagi adik beradiknya yang masih belajar.

“Alah. Sara janganlah tipu pakcik. Takkan comel macam Sara ni takda siapa nak..” balas Pakcik Zahim sudah mengetahui liku hidup keluarga gadis itu. Malah dia sendiri pernah mengekori secara diam untuk melihat keadaan tempat tinggal gadis itu. Hanya sebuah rumah kampung lama. Katanya rumah pusaka peninggalan arwah neneknya.

“Apalah pakcik ni. Betullah Sara cakap. Orang macam Sara ni mana sempat nak bercinta pakcik. Sara pun tak fikir lagi tu semua. Kalau ada jodoh, Sara terima. Kalau takda, Sara redha ajalah.” Balas Sara senang.

“Ai.. dulu belajar.. takkan takda sorang pun yang suka Sara.” Tanya Pakcik Zahim lagi. Sengaja ingin mengetahui rahsia hati gadis itu. Sejak mengenali gadis itu, dia tidak pernah bertanya soal peribadi selain hal keluarga.

“Entahlah pakcik. Tu Sara tak tahulah. Yang Sara tahu, Sara takda ambik peduli pun pasal bercinta-cinta ni. Time tu yang Sara tahu, Sara nak fokus pada study aja..” balas Sara jujur. Seumur hidupnya, dia tidak pernah bercinta. Sungguh pun ada yang menghulur salam perkenalan, dia hanya menganggap semuanya sebagai kawan. Tidak lebih dari itu. Fokusnya ketika belajar hanya satu. Ingin cemerlang dan pada masa akan datang dapat membantu meringankan beban keluarganya. Namun, tidak kesampaian. Kini, dia terpaksa mengorbankan semuanya demi keluarga yang tersayang.

“Habis tu, kalau ada orang masuk meminang Sara, Sara terima ke?” Sengaja Pakcik Zahim menduga. Padanya, rugi jika melepaskan gadis sebaik Sara. Susah untuk menemui gadis yang berkeperibadian seperti Sara pada masa kini. Walaupun hidup susah, tak pernah berungut. Redha menerima segalanya malah sanggup mengorbankan masa depannya demi membantu keluarga.

“Eh Pakcik Zahim ni, macam ada calon untuk Sara pulak..” dalih Sara sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan Pakcik Zahim. Dia tidak pernah fikir sejauh itu untuk masa depannya. Apa yang dia tahu kini adalah untuk membantu keluarganya. Dia tidak mahu adik-beradiknya yang lain berasa susah.

Pakcik Zahim tergelak kecil.

“Iyalah… Pakcik tanya aja. Manalah tahu kalau tiba-tiba anak orang kaya datang meminang Sara. Kan untung macam tu. Ibu dengan adik-adik Sara takdalah susah payah lagi. Sara pun boleh sambung belajar.” Balas Pakcik Zahim. Sekali lagi dia ingin menguji ketulusan hati gadis itu.

Kini giliran Sara pula ketawa kecil sambil berlalu ke kaunter hadapan. Pakcik Zahim hanya mengekori dengan membawa buku yang dicapainya tadi.

“Dari kahwin dengan anak orang kaya, baik saya kahwin dengan ayahnya.” Balas Sara sambil ketawa.

“Oh… mata duitan jugaklah kan Sara ni…” sahut Pakcik Zahim sambil tersenyum. Dia tahu gadis itu hanya bergurau.

“Kalau Sara mata duitan, dah lama Sara pergi carik datuk-datuk kaya dekat luar tu..” jawab Sara lagi dalam sisa tawanya.

“Hmm.. maknanya, Sara memang ada hati jugaklah nak kahwin dengan orang kaya kan…” ujar Pakcik Zahim lagi yang sudah menarik kerusi kosong dan duduk sama di tepi kaunter.

“Kalau Sara nak, dah lama Sara buat pakcik.” Balas Sara dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. Lelaki di hadapannya itu terlalu baik melayannya. Setiap kali datang ke kedai buku itu, mesti dititipkan sama duit untuk adik-adiknya. Hingga dia sendiri naik segan. Dia kerap menolak, tetapi lelaki itu yang beriya-iya ingin bersedekah katanya. Akhirnya dia sendiri tidak mampu menolak. Duit yang diberi akan terus diserahkan kepada ibunya. Satu sen pun dia belum pernah mengambil duit pemberian lelaki itu.

“So, kenapa tak buat?” soal lelaki itu lagi membuatkan senyuman manis di bibirnya tadi betukar kelat.

“Duit gaji saya yang sikit ni lagi berkat untuk tampung makan pakai keluarga saya pakcik.” Balas Sara dengan wajah yang cuba dimaniskan. Sedikit terasa dengan kata-kata lelaki yang berumur akhir 40-an itu. Walaupun umur hampir mencecah 50 tahun, lelaki itu masih lagi segak. Sekiranya beriringan dengannya, masih lagi kelihatan seperti abang dan adik. Tidak nampak lelaki itu seperti ayahnya. Atau sebenarnya, wajah dia yang terlebih matang dari umur sebenar? Entah!

Pakcik Zahim perasan wajah gadis di hadapannya itu sudah berubah riak.

“Eh tu kawan Sara dah balik. Jom kita pergi makan. Hari ni pakcik nak belanja Sara.” Ujar Pakcik Zahim terus mengubah topik perbualan. Dia percaya gadis di hadapannya itu bukanlah gadis yang materialistik. Jika begitulah perangainya, tentu sahaja dia telah menjadi salah seorang daripada mangsa gadis itu. Selama setahun mengenali Sara, belum pernah gadis itu mengambil kesempatan ke atas dirinya.

“Hari ni biar Sara lah yang belanja pakcik. Asyik pakcik aja yang belanja Sara selama ni kan..” balas Sara yang berubah ceria. Tidak mahu Pakcik Zahim sedar akan perubahan hatinya. Selama ini pun, dengan lelaki itu dia banyak bercerita tentang masalah yang dihadapi. Dan pelbagai nasihat pula yang akan dititipkan buat dirinya agar kuar menghadapi semua masalah.

“Okay. Tapi kalau duit Sara tak cukup, pakcik tak tahu…” balas Pakcik Zahim cuba berseloroh. Tidak mahu gadis itu terasa hati dengan apa yang dikatakan tadi.

“No hal la pakcik. Setakat mi bandung Muar, lima mangkuk pun pakcik boleh makan.” Jawab Sara diiringi tawa kecil. Pada masa yang sama, mereka beriringan keluar selepas Am dan Dina masuk ke dalam kedai. Sempat Pakcik Zahim menyapa mesra keduanya.

**********

“Paksu, macam mana hari ni? Best dapat keluar makan dengan kekasih hati.” Usik Aflah selepas bapa saudaranya itu bertemu dengan ibunya di dalam rumah. Dia pula lebih selesa tidak ikut campur apa jua urusan bapa saudaranya dengan mummynya sejak akhir-akhir ini. Kerap benar pula bapa saudaranya itu datang ke rumah untuk bertemu dengan mummynya. Entah apa yang dibincangkan, dia sendiri tidak pasti. Apa yang diketahui dari mummynya, bapa saudaranya itu sedang mengenali seorang gadis. Jauh lebih muda dari dirinya sendiri.

“Bestlah jugak. Kenapa kamu tanya? Jealouslah tu kan? Tu la.. Mummy kamu nak carikan bini, kamu tak nak. Jual mahal…” balas Zahim kepada anak saudara tunggalnya. Itulah satu-satunya anak saudara yang dia ada dari kakaknya.

“Eleh. Takda masa saya nak jealous dengan paksu.” Balas Aflah selamba. Dia yang duduk di kerusi rehat hadapan kolam itu tadi terus menyambung pembacaan yang terganggu dengan kedatangan bapa saudaranya.

“Alah. Kamu cakap aja tak jealous. Tu yang muka dah ketat semacam kenapa? Mengaku ajalah Aflah yang kamu tu dah tak laku. Umur dah dekat 35. Sorang awek pun paksu tak pernah nampak. Apa kes..” Giat Zahim lagi sengaja ingin menguji.

“Wah! Mulut paksu. Sedap aja nak mengata saya. Bukan saya tak laku. Tapi saya yang tak nak. Perempuan sekarangkan banyak yang tak boleh percaya. Pantang nampak lelaki poket tebal sikit, mulalah merengek mintak macam-macam. Ee…tak naklah saya. Dari saya laburkan duit untuk dia orang, baik saya dermakan aja pada anak yatim. Ada jugak pahalanya.” Balas Aflah cuba mempertahankan pendiriannya. Memang sebelum ini dia pernah mempunyai kekasih hati. Namun, jodoh mereka tidak ada apabila kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan lelaki yang lebih kaya darinya.

“Hah. Dah baguslah tu. Kalau macam tu, elok kamu cari aja perempuan kampung buat bini. Tadi mummy kamu kata, dia dah ada calon untuk kamu.” Sahut Zahim dengan senyuman penuh makna.

“Hah! Merepek ajalah paksu ni… bila masa pulak mummy cari calon untuk saya ni?” soal Aflah yang mula tidak senang dengan kata-kata bapa saudaranya. Memang sebelum ini dia ada bergurau dengan menyuruh mummynya sahaja yang mencarikan calon isteri buat dirinya. Tapi, tidak menyangka pula gurauannya itu diambil serius oleh mummynya.

“Dia kata, hari tu kamu yang suruh dia carikan. Sekarang dia dah carikan, apa lagi… terima ajalah..” balas Zahim diiringi tawa kecil. Perasan riak keruh di wajah anak saudaranya itu.

“Ish! Mummy ni. Pandai-pandai aja carikan jodoh untuk saya…” rungut Aflah sendirian tapi masih dapat didengari Zahim.

“Dah eloklah tu Aflah. Jodoh dari keluarga lagi berkat tau..” tambah Zahim lagi.

“Ala… paksu cakap senanglah.” Kata Aflah lagi dengan wajah yang sudah masam mencuka. Buku yang dipegang tadi sudah diletak tepi. Dia melurut kasar rambutnya.

“Betul paksu cakap ni Aflah. Mummy kamu mestilah cari calon menantu dia yang cukup sesuai untuk kamu. Mummy kamu takkan cari orang sebarangan untuk jadi menantu dia Aflah. Percayalah cakap paksu.” Lanjut Zahim tenang. Ikhlas apa yang dituturkan buat anak saudaranya itu.

Terlepas keluhan berat dari bibir Aflah.

“Habis tu, paksu macam mana pulak?” soal Aflah pula.

“Macam mana apa?”

“Yalah…kan paksu sekarang sibuk tengah usha anak dara orang kan…” jelas Aflah tentang gadis yang selalu diceritakan oleh bapa saudaranya itu.

“Oh… Sara? Hmm.. belum lagi. Nantilah dulu pakcik slow talk dengan dia. Kenapa kamu tanya?” balas Zahim dengan kening dijungkitkan sebelah kepada Aflah.

“Takda apa. Manalah tahu kita boleh naik pelamin sama…” jawab Aflah diiringi tawa besar. Sengaja ingin mengenakan bapa saudaranya itu. Pada masa yang sama cuba menutup keresahan hatinya tentang calon isteri yang telah dicari oleh mummynya.

“Tak naklah paksu naik pelamin dengan kamu. Apa kelas nak naik sama. Nanti kamu mesti jealous kalau tengok wife paksu lagi cantik dari wife kamu.” Sahut Zahim sekali sengaja ingin mengusik.

“He’eleh.. Macamlah Sara tu canti sangat.” Ejek Aflah tidak berpuas hati.

Of course! Tapi paksu tak tahulah calon isteri kamu tu cantik ke tak..” giat Zahim lagi tidak mengalah.
Aflah menjuihkan bibirnya. Rasa tercabar dengan kata-kata bapa saudaranya.

I’ll make sure she’s a prettier than Sara paksu.” Balas dengan penuh yakin. Dia tidak berpuas hati dengan bapa saudaranya yang sudah berumur berjaya menambat hati seorang gadis yang lebih muda berbanding dirinya yang sememangnya jauh lebih muda dari bapa saudaranya. Huh! Tak boleh jadi ni! Takkanlah lelaki sepertinya tidak boleh memiliki gadis yang cantik seperti Sara. Dari cerita bapa saudaranya, Sara cantik serba-serbi walaupun hanya orang kampung.

“Silakan…” cabar Zahim. Dia tahu anak saudaranya itu memang pantang dicabar.

“Saya nak jumpa mama, nak tengok gambar calon yang dia dah cari untuk saya tu.” Ujar Aflah lalu bingkas untuk masuk ke dalam rumah. Dia tidak mengendahkan bapa saudaranya yang sedang ketawa. Dia tahu lelaki itu sedang mentertawakannya.

************

“Bro, kau apsal asyik termenung aja dua tiga hari ni?” soal Ihsan seraya duduk di kerusi hadapan meja kerja Aflah. Mereka baru sahaja habis mesyuarat. Dia perasan fokus sahabatnya itu sedikit terganggu sejak akhir-akhir ini. Ketika mesyuarat tadi pun dia ditegur oleh pihak atasan walaupun syarikat itu milik keluarganya.

“Hmm… aku kusutlah… mama aku dah sibuk nak suruh aku kahwin cepat-cepat. Dia kata dia sunyi dekat rumah.” Adu Aflah dengan keluhan berat meniti bibirnya.

“So, apa lagi? Kahwin ajalah.. apa masalahnya?” ujar Ihsan pula diiringi tawa kecil. Dia bukan tidak kenal sahabatnya itu. Semenjak berpisah dengan kekasih lama, lelaki itu menjadi seorang yang pemilih dan cerewet!

“Huh! Senang betul kau cakap kan… Kau ingat aku nak main kahwin-kahwin ke wei? Hari ni kahwin esok bercerai? Kahwin untuk seumur hidup apa…” bidas Aflah sedikit geram.

“Habis tu, dah engkau memilih sangat. Kalau susah sangat, tu secretary kau tu pun hot aku tengok..” usik Ihsan apabila teringat akan Zarina, setiausaha sahabatnya itu yang sudah lama menaruh hati terhadap Aflah. Bukan sahaja Zarina, malah ramai staf wanita di dalam pejabat itu begitu meminati dan kagum dengan sahabatnya itu. Pantang Aflah lalu, mulalah mereka buat muka teruja. Dengan harapan Aflah akan tertarik kepada mereka.

“Huh! Tak nak aku. Pakai baju sampai tak cukup kain aku tengok. Tunjuk sana, tunjuk sini. Buat rugi aku aja..” jawab Aflah yang tidak suka pada wanita yang terlalu seksi.

“Habis tu. Kau nak yang macam mana lagi. Bukan sebelum ni awek kau pun hot and sexy ke?” balas Ihsan apabila teringat pada Akila. Akila sanggup bermain kayu tiga di belakang Aflah semata-mata ingin kesenangan yang lebih dari apa yang Aflah telah laburkan buat kesenangan wanita itu. Oleh kerana itu, Aflah masih membujang hingga kini. Dia sendiri sudah punya dua anak dari hasil perkahwinannya bersama Haida yang dikenali sejak di universiti lagi.

“Entahlah.. aku pun tak tahulah sekarang ni. Semua perempuan sekarang susah nak percaya.” Katanya lagi mengeluarkan pendapat mengenai wanita di zaman yang semakin maju ini.

“Hmm… payahlah kalau kau dah tanam mind set kau macam tu. Alamat sampai ke tualah kau tak kahwin bro. Kau tak jealous ke tengok aku dengan si kembar aku tu..” giat Ihsan dengan sengihan di bibir yang melebar.

“Bro, kalau aku jumpalah perempuan yang aku nak tu, sekarang jugaklah aku kahwin. Anytime aja aku pun boleh dapat kembar macam kau.” Balas Aflah tidak mahu mengalah. Sungguh dia sebenarnya dia cemburu melihat kebahagiaan sahabatnya itu.

“Eleh… kalau dah macam tu, kau carilah cepat-cepat. Jangan nak memilih sangat bro. Kita ni bukan muda lagi. Nak cari yang perfect, memang tak jumpalah beb. Nobody’s perfect right?” Nasihat Ihsan ikhlas.

“Tu yang aku serabut sekarang ni. Mummy aku dah cari calon untuk aku. Kalau boleh dia nak aku kahwin hujung bulan depan.” Adu Aflah akan hal sebenar yang mengganggu fokus kerjanya.

“Wow! Sounds good.” Kata Ihsan sebelum ketawa.

“Kau jangan nak gelak-gelak. Aku tak buat cerita lawak okay!” marah Aflah geram apabila ditertawakan oleh sahabatnya itu.

“Sorry..sorry… Okaylah tu beb.. dah senang kerja kau kan.. Tak payah susah-susah cari. Mummy kau dah carikan pun.. so, apa tunggu lagi.. on ajalah..” ujar Ihsan dalam sisa tawanya. Tidak menyangka ada lagi keluarga yang ingin menentukan jodoh anak-anak dalam zaman moden ini. Terutamanya berlaku dalam hidup sahabatnya yang serba mewah itu.

“Tu lah masalahnya sekarang ni. Mummy aku dah berkenan sangat dah dengan perempuan tu. Aku tengok perempuan tu biasa aja… Budak kampung pulak tu..” terang Aflah seraya melurut rambutnya yang tersisir kemas. “Pening dah kepala aku ni fikir. Bulan depan kot mama nak aku kahwin.. Gila tak gila..?” lanjutnya lagi dengan keluhan berat. Tali leher yang terikat kemas tadi, sudah diuraikan. Hatinya memang tidak tenang apabila teringat seraut wajah yang ditunjukkan oleh mamanya beberapa hari lepas.

“Ala beb… mestilah mummy kau dah siasat latar belakang dia kan.. kalau tak, takdanya mama kau nak pakai pilih aja… Restu mummy kau yang penting dalam perkahwinan kau nanti beb. Kalau kau cari calon yang mummy kau tak berkenan nanti, lagi susah. Apa kata kau try tengok dulu dengan gurl tu. Kenal-kenal dulu ke.. agak2 selesa, kau proceed ajalah nikah bulan depan. Yang lebih-lebih tu, kau interview la lepas kahwin. Lagi senang.. macam-macam nak buat pun, dah takda siapa nak marah..” balas Ihsan panjang lebar beserta senyuman nakal terhias di bibirnya.

“Amboi kau.. aku tahulah kau dah banyak pengalaman…” ejek Aflah yang tersenyum mendengar pendapat sahabatnya itu. Memang hal itu ada difikirkan beberapa hari ni. Tapi, dia belum membuat keputusan yang tepat lagi. Hanya seorang sahaja yang dapat membantunya saat itu. Zahim. Bapa saudaranya itu sendiri sedang cuba memikat seorang gadis. Dia tahu bapa saudaranya lebih banyak pengalaman dalam mengenali seorang perempuan.

***********

“Sara…” panggil Hasmah yang berdiri di muka pintu bilik Sara.

“Kenapa mak?” tanya Sara dengan senyuman kecil melihat wajah ibunya yang tersenyum.

“Sara sibuk ke?”

“Takdalah mak… kemas sikit buku-buku lama ni…” jawab Sara yang sambil meneliti buku-buka sekolahnya yang sudah tidak digunakan lagi. Pada masa yang sama dia cuba melihat-lihat buku yang masih boleh digunakan untuk adik-adiknya yang masih bersekolah.

Sara menoleh ke wajah ibunya yang sudah melabuhkan duduk di atas tilam bujangnya di atas lantai.

“Mak ada apa-apa nak cakap dengan Sara ke?” soal Sara lagi seraya mendapatkan ibunya.

“Sara ni, mak baru nak rahsiakan dari Diha.” Seloroh Hasmah. Tapi hatinya sedikit pun tidak senang dengan gurauan yang dibuatnya. Ada perkara penting yang harus dibincangkan kepada anak gadisnya itu. Hasrat orang perlu juga disampaikan.

“Ada apa mak? Pasal duit ke? Kalau pasal duit, mak tak payahlah risau. Duit Sara cukup. Mak gunalah duit yang Sara bagi tu untuk adik-adik sekolah. Kalau tak cukup mak cakap dengan Sara.” balas Sara yang mula berdebar dengan berita yang ingin disampaikan. Jika setiap pertengahan bulan begitu, pasti ibunya akan bertanya tentang duit belanjanya. Risau dia tidak mempunyai duit belanja yang cukup untuk berulang-alik ke tempat kerja selepas dia menyerahkan setengah daripada gajinya buat perbelanjaan keluarga.

“Bukan pasal duit. Duit yang Sara bagi tak luak lagi. Ada lagi Sara. Cukup untuk bulan ni..” jawab Hasmah sambil menyentuh bahu anak gadisnya itu. Dia bersyukur kerana dikurniakan seorang anak yang bertanggungjawab dan penyabar.

“Habis tu? Erm..pasal Sham ke mak?” Sara meneka tentang adik lelakinya yang sedang membuat persediaan akhir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Tidak sampai sebulan lagi adiknya itu akan berlepas ke India. Adiknya itu begitu bernasib baik apabila layak menerima biasiswa kerajaan yang akan menampung segala perbelanjaannya nanti.

“Bukan… Erm…mak nak cakap pasal Sara.” Jawab Hasmah dengan senyuman pahit. Dalam kepala dia cuba merangka-rangka ayat yang sesuai untuk menyampaikan perkara tersebut agar anak gadisnya itu tidak terkejut.

“Pasal Sara? Pasal apa mak?” soal Sara yang sudah kembali duduk bersila di rak kayu uzur menjadi tempat susunan buku-buku lama tadi.

“Erm.. mak cakap, Sara janganlah marah..” ujar Hasmah lembut. Dia tahu anak gadisnya itu bukanlah jenis yang cepat melatah. Malah, jarang sekali dapat melihat anak gadisnya itu dalam keadaan marah. Senyuman memang sentiasa terhias di bibir itu.

“Cakap ajalah mak. Buat apa Sara nak marah pulak kalau benda tu tak buat Sara marah..” jawab Sara selamba. Ketika itu dia sibuk menilik buku latihan matematiknya ketika berada di tingkatan lima dahulu. Dia senyum sendiri apabila teringat kembali zaman sekolahnya itu.

“Erm…ada orang tanya pasal Sara…” beritahu Hasmah perlahan.

Serta merta buku latihan yang sedang dipegang oleh Sara terlepas dari tangan. Wajahnya menoleh ke arah ibunya yang turut sama memandang. Dia tidak bodoh akan makna kata-kata ibunya itu tadi. Bukan sekali ibunya pernah bertanya tentang hal yang sama. Cuma setelah ayahnya meninggal setahun lalu, baru hari ini soalan itu diajukan lagi kepadanya.

“Siapa kali ni mak?” tanya Sara yang cuba mengawal perasaannya saat itu. Sebenarnya dia bukanlah seorang yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Cuma ketika dia menolak pinangan yang pernah sampai dahulu, ketika itu dia masih belajar. Dan dengan alasan belajar itulah dia menolak hajat orang yang ingin memperisterikannya. Tapi hari itu...

“Orang jauh Sara. Mak pun tak tahu macam mana dia boleh tahu rumah kita ni..” jawab Hasmah jujur. Dia sendiri terkejut apabila menerima kedatangan wakil dari jauh itu.

“Erm.. apa keputusan mak..” tanya Sara inginkan kepastian.

“Mak ikut Sar aja.. Mak tak kisah Sara, asalkan orang tu ikhlas nak kahwin dengan Sara.” Ujar Hasmah. Ada satu hal lagi yang masih dirahsiakan dari anak gadisnya itu. Tapi dirasakan, belum tiba masanya untuk disampaikan. Dia tidak mahu anak gadisnya itu susah hati memikirkan perkara itu pula.

Sara mengeluh perlahan. Tidak tahu untuk membuat keputusan saat itu.

“Mak ada janji dengan dorang nak bagi keputusan bila?” Sara bertanya lanjut. Dengan harapan dia masih lagi mempunyai ruang dan masa untuk berfikir selanjutnya.

“Sampai hujung bulan ni. Sebab katanya kalau Sara setuju, terus dia orang nak hantar rombongan untuk majlis pertunangan awal bulan depan.” Terang Hasmah. Kotak baldu merah yang dibawa bersama tadi dihulurkan kepada anak gadisnya.

“Ni cincin risik.” Kata Hasmah lagi.

Sara yang masih terkejut dengan berita yang baru disampaikan oleh ibunya itu, seperti teragak-agak untuk menyambut.

“Cepatnya mak…” keluh Sara perlahan.

“Erm… mak, kalau Sara tolak boleh tak mak?” kata Sara seraya memandang ke wajah ibunya yang sedikit beriak resah.

“Kalau Sara nak tolak, atas alasan apa mak nak bagi nanti?” soal Hasmah kembali.

Sekali lagi Sara mengeluh perlahan. Dirasakan dia tidak punya alasan yang kukuh untuk menolak. Ligat kepalanya tercari-cari alasan. Pada waktu itu juga dia teringatkan kata-kata seseorang kepadanya… Takkanlah??

“Erm..mak, esok Sara bagi keputusan ya?” putus Sara akhirnya.

“Hm…ikut Saralah.. Cuma apa yang mak nak Sara tahu, mak tak halang pun kalau Sara nak kahwin. Lagi satu, sebelum ni Sara dah pernah tolak pinangan orang lain kan. Mak harap kali ni, Sara pertimbangkanlah betul-betul. Mak tak sampai hati nak tolak pinangan kali ni.. Dia orang pun beriya nakkan Sara…” ujar Hasmah apabila teringat wajah wanita yang hampir sebaya dengannya begitu lembut tutur bicaranya untuk meminang anak gadisnya itu. “Kalau pasal mak dengan adik-adik yang Sara risaukan, mak rasa Sara terima aja pinangan kali ni. Mak tak nak Sara rasa terbeban untuk tanggung mak dengan adik-adik. Duit simpanan mak tu, cukup lagi untuk tampung adik-adik kamu belajar. Kalau Sara kahwin pun, Sara takkan lupakan mak dengan adik-adikkan…” sambung Hasmah yang mula menahan sebak di dada apabila mengenangkan anak gadisnya itu akan meninggalkannya. Teras berat hatinya untuk melepaskan Sara.

Keluhan lagi yang terzahir di bibir Sara. Dia mula buntu dengan keputusan yang bakal dibuat. Semuanya harus dipertimbangkan demi masa depan dia dan keluarganya. Sempat hatinya berdoa agar dia diberi petunjuk ke jalan yang benar. Dia harus fikir semasak-masaknya agar keputusan yang bakal dibuat nanti tidak akan menyukarkannya kelak.

5 comments:

Anonymous said...

nice story.........

mizz acu said...

Interesting introo!! Hehe.. Ingatkan pakcikk tu risik utk diri sndiri.. Rupenye anak buah diaa.. ;)

ain79 said...

aflah x knl ag dgn sara mmg la dye kte mcm2 mse mle2 mst la sara nie bdak bek kn smpai ayh sdre dye pinangkn tok aflah nie..x sbar la plak nk bce n3 strusnye

mila said...

intro yg menarik..tq arsha

nzlyna'im said...

nice story,,cerpen ke nie tw mini novel..heheheheh