Jun 23, 2014

Dambaan Bahagia_bab 14

DB 14

“Macam mana?” Fathiyah jongket kening. Senyum dilebarkan.

“Orang cantik, pakai apa-apa pun cantik.” balas Emma ikhlas diiringi rasa terharu. Kagum melihat sahabatnya yang mahu berhijab hingga dia sendiri terasa ingin melakukan perkara yang sama. Cuma ia tidak terluah di bibirnya.

“Alah.. aku bukan suruh cakap cantik ke tak? Shawl ni. Okey ke tidak aku lilit ni..” Fathiyah membelek shawl yang sudah dililitkan ke kepala seperti mana yang dipelajari di youtube malam tadi.

Itu tekadnya yang baru sempena ulang tahun kelahirannya semalam setelah memikirkan semasak-masaknya sejak akhir-akhir itu selepas menerima teguran Azlan.

Perihal lelaki itu, terpaksa ditolak tepi buat sementara waktu walaupun keresahan hati tidak dapat dibuang. Sepanjang malam menanti lelaki itu menghubunginya semula, namun hampa. Sudahnya, dia melayari youtube untuk melihat pelbagai cara untuk menggayakan hijab mengikut tren masa kini.

“Dah cantik tu beb.” Puji Emma ikhlas dalam getar suara. Ada perasaan aneh mula menyelinap masuk ke dalam hati sejak Fathiyah memberitahu mahu berhijab selepas mereka menunaikan solat subuh awal pagi tadi.

Fathiyah yang menghadap cermin panjang di hadapannya berpaling. Wajah Emma dipandang.

“Kau tak apa ke, aku nak pakai tudung?” soalnya terasa serba salah melihat Emma yang merenungnya sejak tadi.

Emma tersenyum nipis, hati menahan sebak. “Tak apa Tiya. Tapi tengok kau cantik pakai tudung, aku pun rasa macam..” Bibir dikemam kuat.

Fathiyah terus mendapatkan sahabatnya itu di birai katil.

“Kita pakai tudung sama-sama Emma..” ucapnya perlahan bersama harapan.

Dia tahu, hal menutup aurat agak sensitif jika dibicarakan walaupun sebenarnya masing-masing tahu akan kewajipan seorang wanita Islam. Hal yang wajib tetap wajib. Hukum yang telah ditetapkan tuhan dan bukannya undang-undang ciptaan manusia. Dia tahu itu. Namun, hanya kerana kejahilan diri masing-masing, hal itu dipandang mudah sungguhpun azab yang bakal diterima di akhirat nanti, tidak akan tertanggung.

“Er..aku..” Emma menunduk. Pelupuk mata memberat. Keinsafan diri terasa mula menjalar ke seluruh tubuh.

“Emma.. kita sama-sama cuba. Aku tahu, aku pun tak cukup baik Emma. Terlalu lalai sebelum ni. Tuntutan yang ringan macam ni pun aku tak boleh buat, apatah lagi yang lain. Banyak lagi yang aku kena belajar. Tapi tak salahkan kalau kita nak berubah ke arah yang lebih baik? At least, kita mulakan dengan yang ni. Kita takkan rugi pun Emma..” pujuk Fathiyah agak berhati-hati demi tidak mahu menggores hati dan perasaan sahabatnya itu.

Sungguhpun syurga itu masih terlalu jauh dari jangkauannya, tidak mungkin dia mahu memilih ke gaung api neraka. Dia tahu dugaan untuk orang yang berubah bukan sedikit. Namun dia akan tetap berusaha.

Emma angkat wajah. Sepasang mata Fathiyah yang berkaca-kaca cukup menyentuh hati menyebabkan air matanya terus merembes.

“Emma..” Air mata tidak mampu lagi dibendung. Tubuh sahabatnya itu terus didakap erat. Ya Allah.. berkatilah keputusan yang kami pilih ini.. Dititipkan buat yang Maha Esa yang telah membuka hati-hati hamba-Nya yang Dia kehendaki. Allahu..

********

“Tiya! Nur Fathiyah!”

Fathiyah lambat-lambat menoleh kerana cukup kenal dengan suara garau tersebut. Senyum nipis dilemparkan sebaik lelaki itu datang mendekat.

“Tiya.. kau..”

Shah kematian kata. Seperti tidak percaya dengan apa dilihat kini. Penampilan gadis di hadapannya itu jauh berbeza dari kali terakhir mereka bertemu di rumahnya minggu lepas.

“Shah.. kau janganlah pandang macam tu. Macam aku tak pakai baju pulak.” Fathiyah mengawal riak. Terasa malu apabila sepasang mata itu tidak berkelip memandangnya.

Shah melepaskan tawa kecil. “Dah makan? Jom lunch sama.” Pelawanya mesra dengan debar indah bertamu di ruang dada.

“Err.. boleh jugak.” Tidak sampai hati untuk menolak memandangkan mereka sudah berjanji untuk berkawan seperti biasa.

Langkah diatur ke kafeteria di sebelah bangunan pentadbiran universiti. Tidak menyangka akan bertemu dengan Shah di situ selepas seminggu berlalu. Dia tahu masing-masing sibuk memandangkan minggu hadapan peperiksaan akhir akan bermula.

“Sejak bila ni hm?” tanya Shah sebaik masing-masing melabuhkan duduk dengan sepinggan nasi campur yang diambil.

Fathiyah tersengih. “Sehari selepas birthday aku hari tu..” jawabnya malu.

Tekad dia mahu menutup aurat yang begitu diagung-agungkan sebelum ini, walaupun keputusan yang diambil kelihatan agak drastik.

“Kalau dari dulu macam ni kan, cantik..” puji Shah ikhlas. Senang benar hatinya melihat penampilan baru gadis itu.

“Jangan nak puji kalau tak ikhlas eyh? Mesti buruk rupa aku sekarang ni kan? Orang pakai tudung lilit, aku pun nak lilit. Nasib tak terbelit.” balas Fathiyah sambil membetulkan kedudukan shawl rona biru muda yang baru dibeli beberapa hari lalu bersama Emma. Masing-masing masih berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu.

Shah tergelak. Lucu melihat Fathiyah yang berkali-kali menggunakan telefon bimbitnya sendiri untuk dijadikan cermin.

“Dah cantiklah tu. Slow-slow la. Baru lagi kan..” Dia menenangkan sungguhpun hatinya sendiri tidak begitu tenang. Rasa cinta yang tidak pernah terpadam dalam hatinya selama ini terasa subur kembali.

“Tu la..” keluh Fathiyah perlahan sebelum kembali mencapai sudu dan garfu di tepi pinggan.

Jeda. Masing-masing leka menikmati makan tengah hari dengan tenang. Cuma Fathiyah tidak sedar Shah sering kali mencuri pandang ke arahnya.

“Tiya..” Cukup lunak suaranya memanggil nama gadis itu.

Fathiyah angkat wajah. Berlaga seketika mata mereka sebelum dia menunduk kembali. Terasa nasi yang telan berpasir. Renungan yang mampu menyuburkan kembali rasa cinta yang cuba dipadamkan selama ini.

“Shah, boleh tak jangan panggil macam tu? Aku nak makan ni.” katanya dalam menunduk. Sungguh dia tidak senang begitu walaupun dia telah bersetuju untuk berbaik dengan lelaki itu seperti biasa.

Shah ketawa kecil. Wajah yang mula memerah di hadapannya itu begitu mengusik hati.

“Kan bagus kalau aku tak batalkan majlis..”

“Shah!” Fathiyah terus mengangkat wajahnya. Tidak senang dengan apa yang terucap di bibir lelaki itu. Tidak mahu sejarah lalu disingkap kembali kerana dia sedang berusaha melupakan semuanya kini.

Sorry..” Shah serba salah.

“Kita lupakan semua tu please. Kau dah janji nak jadi kawan aku kan?” balas Fathiyah mengingatkan.

Shah menghela nafas panjang. Terlalu sukar menerima perkataan kawan itu.

“Kita buka buku baru Shah. Kau ada hidup kau, aku ada hidup aku. Banyak hikmah dari apa yang jadi kan? Mungkin ni salah satu darinya.” sambung Fathiyah perlahan.

“Aku mengaku Shah.. sebelum ni, aku memang tak boleh terima apa yang jadi pada kita. Tapi, bila fikir balik, perjalanan hidup kita ni semua, memang dah tertulis. Mungkin ini takdir kita Shah..”

Lebih sebulan tidak bertemu dengan lelaki itu, memberinya peluang untuk bermuhasabah diri. Dia belajar reda, belajar terima hakikat apa yang sudah ditentukan oleh-Nya walaupun sukar.

Shah mengangguk berat. Terpaksa akur, terpaksa menelan setiap bait kata yang terucap di bibir gadis itu.

“Kita jadi kawan baik?” ujar Fathiyah penuh mengharap walaupun sebenarnya masih lagi ada sisa kasih buat lelaki itu di hatinya. Dia belum mampu menyingkirkan ke semuanya.

Shah menarik senyum paksa. Mungkin sudah tiba masanya dia juga melakukan perkara yang sama. Gadis itu berhak memilih kebahagiaannya sendiri. Begitu juga dia.

Thanks Shah.” Fathiyah lempar senyum ikhlas.

Most welcome Fathiyah.” jawab Shah berat. Roman wajah sedaya upaya dimaniskan buat tatapan gadis itu.

“Erm… esok balik rumah? Nak aku hantar?” lanjutnya terus menutup topik yang cukup menggores hati.

“Erm.. tak tahu lagilah. Isnin ni aku mula exam. Kau exam bila?” jawab Fathiyah sebelum menyedut perlahan jus tembikai di sisinya.

“Selasa. Erm.. doakan aku Tiya. Aku dah tak nak repeat dah. Penat.” luah Shah tertunduk. Malu dengan pencapaian sendiri.

“Insya-Allah. Kau pun doakan aku.”

Shah senyum. “Sentiasa Tiya. Insya-Allah..” Penuh makna.

Jeda lagi.

“Erm… Shah..”

Shah panggung kepala. Kening terjongket.

“Kau ada jumpa Alan?” tanya Fathiyah cuba mengawal riak.

Shah yang sedang menyedut air limau, terhenti. Senyum tepi ditarik sungguhpun sekali lagi hati tercarik.

“Kenapa tanya aku? Kau tahu, aku dengan dia macam mana kan?” Terlayar kembali kemesraan yang dilihat beberapa hari sebelum ulang tahun kelahiran gadis itu.

Fathiyah meletakkan sudu dan garfunya di tepi pinggan. Ada keluhan halus terlepas di bibirnya.

“Kau gaduh dengan dia ke?” soal Shah berbasa-basi. Padahal, teringin benar dia tahu akan status hubungan kedua-duanya.

“Tak adalah..” Fathiyah cepat-cepat mengulum senyum. Air tembikai disedut lagi.

“Kata kawan.. kalau ada apa-apa yang kau nak aku tolong, bagi tahulah Tiya hm?” Shah cuba memujuk. Melihat wajah yang tidak seceria mana sebaik nama Azlan terucap tadi, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena.

 Fathiyah merenung wajah di hadapannya seketika sebelum pandangan dihalakan ke arah pinggan yang ditolak ke hadapan. Cuba menimbang baik buruk dia memberitahu akan keresahan yang ditanggung beberapa hari itu.

“Erm.. dia merajuk dengan aku kut..” keluhnya perlahan.

Shah tersenyum.

Sorry Tiya, kalau aku masuk campur hal peribadi kau.”

Fathiyah pula tersenyum walaupun tawar. Lelaki itu sudah berjanji tidak akan masuk campur segala urusan peribadinya sebelum ini.

It’s okay selagi kau tak buat aku rimas.” balasnya bersama sengihan.

“Okey. Erm.. boleh aku tahu, kau dengan dia sebenarnya macam mana?” Shah sedaya upaya mengawal rasa. Terpaksa bersedia dengan jawapan yang bakal meranapkan hatinya sendiri.

“Kawan.” jawab Fathiyah sepatah. Jawapan yang dia sendiri tidak pasti sejak akhir-akhir itu.

“Kau lagi faham dia dari aku Tiya..” balas Shah penuh makna. Hati belum cukup kuat untuk bertemu dengan Azlan semata-mata mahu membantu merapatkan hubungan mereka.

Fathiyah tersenyum hambar. Terasa pahit liur yang ditelan.

……………..
+ Alan, kau kata nak call aku. Kau dah sampai ke? Hujan ni.  Harap kau dah selamat sampai.. Aku tidur dululah.

+ Alan. Thanks bunga. Cantik sangat. Love it! Tapi tadi, malu aku nak bawa ke naik bilik. Semua orang pandang. Ikan tu pun cantik. Sorry sebab dah susahkan kau, carikan untuk aku. Shawl tu pun. Aku suka. Sorry Alan, pasal malam tadi.. huu..

+ Alan. Kenapa ni? Kenapa aku call kau tak angkat? Whatsapp aku, kau tak balas. Aku tahu kau baca ni Alan. Tapi kenapa kau tak balas.

+ Alan, angkatlah phone. Please.. Jangan buat aku rasa bersalah macam ni. Aku tahu, kau marah aku pasal aku membebel-bebel semalam. Manalah aku tahu kau ada nak bagi hadiah lain..

+ Alan.. aku penatlah call kau. Sekali pun kau tak nak angkat. Sorry la kalau kau marah pasal aku tersasul sebut nama kau tu.

+ Alan.. Janganlah buat aku macam ni..

+ Alan.. kau tak sayang aku ke? Kata sayang aku..

+Alaaann!!

+ Muhammad Nurazlan Lee bin Muhammad Aznan Lee!

+ Alan.. please.. aku dah macam orang bodoh ni..

+ Alaaann!!! *aku dah jerit kuat-kuat ni. Dengar tak???

+ Alan, malam ni aku ada dinner dekat rumah Shah. Umi jemput aku. Hmm.. Babe, angkatlah phone. Penatlah taip mesej ni. Bukan kau nak balas satu pun.. :(

+ Alan.. Aku tak tahu nak cakap apa dengan Shah ni. Tolong aku!

+ Alan, kau memang marah aku kan? Dengar suara kau pun, aku dah tahu. Sorry aku ganggu. Aku tunggu kau call balik..

+ Alan, penat aku tunggu kau call balik. Kata nak call balik. Tipulah kau ni..

+ Alan… Sampai hati kau diam macam ni. :’(

+ Alan, kau tak habis-habis lagi marah aku ke?

+ Alan, aku tahulah aku salah. Tapi janganlah buat aku macam orang bodoh. Aku ada perasaan Alan. Kau ingat, kau sorang aje tahu marah? Aku pun tahu! Suka hati kaulah! Kalau kau dah tak nak kawan aku, sudah!

Tersengih lagi. Itulah yang dia lakukan apabila setiap kali baca pesanan-pesanan yang diterima daripada Fathiyah sejak beberapa hari lalu. Tiada satu pun yang dibalas. Cuma pesanan yang terakhir itu agak mengusik hati kerana tiada lagi panggilan atau pesanan yang diterima selepas itu. Seminggu berlalu, tiada lagi kata-kata pujukan yang diterima menyebabkan dia resah sendiri.

Iphone5 yang dipegang, dibelek lagi. Berkira-kira untuk menghubungi gadis itu namun terhenti apabila pintu bilik terkuak.

“Alan, jom makan! Kau dah habis packing kan?” Muncul Amir.

Sudah dua malam mereka berkongsi bilik yang sama kerana menghadiri kursus di pusat peranginan itu. Walaupun mengajar di sekolah yang berlainan, tidak menyangka mereka akan bertemu di situ.

“Dah.” Dia bingkas dari katil.

Bro, kau free tak dalam hujung bulan ni..” tanya Amir saat mereka beriringan.

“Hujung bulan ni? Dua minggu lagi la?” Kerutan terbentuk di wajah Azlan.

Amir mengangguk.

“Kenapa?”

“Adik Suhana nikah. Dapat pulak orang Kedah. So, dia ajak aku satu family ikut sekali ke sana.”

So?”

“Tiya balik hari Sabtu. Aku dah bertolak ke rumah family Suhana, Jumaat malam. Abang Am pun tak ada. Dia ada operasi. Tak tahu dia balik bila. Sekarang ni, tak ada siapa nak angkut semua barang dia bawa balik sebab dah cuti sem kan..” jelas Amir lanjut.

“Shah kan ada?” Azlan tarik senyum tepi. Maha hebat getar yang memalu ruang dada sebaik nama gadis yang dicintai menyapa gegendang telinga. Namun, ia segera dikawal dari dikesan oleh lelaki itu.

Amir melepaskan keluhan. “Sekarang aku tak tahulah dia orang macam mana. Lepas dinner dekat rumah Shah hari tu, nampak macam okey la. Tapi, dah tak macam dulu. Aku pun dah tak tahu nak buat apa dengan budak berdua tu. Agaknya memang dah tak ada jodoh kut..” lanjutnya.

“Erm.. dia tahu kau tak boleh jemput dia?” Azlan tidak mahu menyentuh perihal hati dan perasaan pasangan tersebut. Tidak berhak untuk ikut campur walaupun sebelum ini Fathiyah terbuka untuk bercerita soal hati dan perasaan.

“Belum. Suhana pun baru bagi tahu tadi..”

Sepi sehingga mereka tiba di ruang kafeteria.

“Boleh tak bro?” Soal Amir inginkan kepastian.

“Erm.. kau percayakan aku ke?” Azlan memulangkan soalan juga.

“Kalau tak percaya, aku tak suruh kau. Ibu aku pun dah kenal kau kan? Siap dia nak kahwinkan kau dengan Tiya, sebab sebelum ni Tiya selalu lepak dekat kedai kau sampai dua tiga pagi..” Amir tergelak sendiri apabila teringat ibunya merungut tentang adik bongsunya itu.

Azlan tidak mampu tertawa sungguhpun kata-kata itu hanya gurauan. Rasa tidak tertelan liurnya saat itu. Tapi kalau betul… dia tarik senyum pula.

“Tiya ada Shah, Mir.. Manalah dia pandang aku ni..” balasnya lambat merendah diri.

Best men win bro. Takkanlah belum cuba dah give up. Buat malu golongan pendidik ajelah kau ni!” Amir menepuk beberapa kali bali bahu sahabatnya sebelum terus berlalu ke meja bufet tersedia.

Azlan terkaku sendiri. Rasa tidak sanggup dia memusnahkan kebahagiaan sahabat sendiri. Walaupun hubungannya dengan Shah tidak begitu akrab, mereka masih bersahabat.


Jun 20, 2014

Dambaan Bahagia_bab 13

DB 13

“Shah.”

Kepala diangkat memandang wajah umi yang melabuhkan duduk di sisinya.

“Lambat Shah balik hari ni? Kelas lambat habis ke?” tanya Hajah Aznah lembut.

Melihat wajah murung anak keduanya itu, hati tuanya dipagut sayu. Dia sedia maklum apa yang berlaku sejak Fathiyah bermalam di rumahnya. Tiada lagi kemesraan di antara kedua-duanya. Wajah anak tunggal lelakinya itu tidak lagi seceria mana.

“Ada discussion tadi..” jelas Shah jujur.

Jeda seketika. Hajah Aznah merenung sisi wajah anak keduanya tanpa lepas. Jelas emosi Shah tidak dalam keadaan baik apabila dilihat lelaki itu termenung jauh. Seperti jasadnya sahaja yang ada di sisinya kini.

“Shah..” Dicapai jemari kasar Shah dan dibawa ke riba menyebabkan lelaki itu sedikit tersentak.

“Ada apa umi..” Shah berusaha memaniskan roman wajah.

“Ada apa-apa Shah nak cerita dengan umi?” Dielus lembut jemari kasar dalam genggaman.

Shah melepaskan nafas berat. Rambutnya dilurut ke belakang.

“Tak ada apalah umi..” dalihnya cuba menyembunyikan perasaannya yang sebenar.

Gelak tawa Fathiyah bersama Azlan tempoh hari, bermain di ruang matanya tanpa dipaksa. Terlalu sukar untuk dilupakan.

Sepi lagi.

“Shah..”

“Hm..”

“Esok hari jadi Tiya kan?”

Shah terus menoleh.

“Umi ingat birthday Tiya?” soalnya sedikit kagum.

“Mana boleh umi lupa. Shah lupa, tarikh Shah tak jadi bertunang dulu sama dengan birthday dia?” Hajah Aznah membalas pandangan.

Shah menghela nafas panjang. Dia hampir terlupa tentang itu.

“Umi ingat nak ajak family dia makan-makan dekat rumah kita. Umi pun dah lama tak jumpa ibu dia. Macam mana?” usul Hajah Aznah.

Shah menarik senyum payau. “Dia jumpa Shah pun tak nak umi. Inikan pula nak bercakap.” keluhnya perlahan.

“Umi tak suruh Shah cakap dengan dia. Tak apa, nanti umi call dia sendiri.” Hajah Aznah sudah menguntum senyum. Cuba merancang sesuatu yang boleh bantu memulihkan hubungan kedua-duanya. Dia reda andai Fathiyah tidak ditakdirkan jadi menantunya. Namun sekurang-kurangnya, dia mahu hubungan kedua-duanya baik.

“Nak ke dia ummi?” Dia tidak mahu meletakkan harapan.

“Insya-Allah. Tak cuba tak tahu kan?” Uminya memberi harapan dan dia hanya mampu tersenyum hambar. Namun jauh di sudut, ada secebis doa yang dipanjatkan agar apa yang dirancangkan oleh uminya berhasil.

*******

“Kau memang kedekut kan Alan?” Fathiyah menghadiahkan jelingan kepada Azlan yang tersengih-sengih di hadapannya.

“Cukup bagus aku belanja makan ni. Sedap apa burger tiga rasa ni.” Azlan tergelak sendiri.

Fathiyah mencebik. Terasa mahu diketuk kepala Azlan kerana mengajaknya keluar semata-mata mahu meraikan ulang tahun kelahirannya lewat malam itu. Di kafeteria kolej kediamannya, paling dia tidak boleh terima!

“Setakat burger ni, hari-hari aku boleh beli sendiri! Tak payah kau susah-susah datang jauh-jauh macam ni nak jumpa aku!” Bebelnya geram menyebabkan meledak lagi tawa Azlan hingga menarik perhatian mata-mata yang memandang.

“Ee… kau ni kan..” Tapak tangannya terus hinggap ke lengan Azlan. Geram!

“Cuba kau bersyukur sikit Tiya. Penat-penat aku datang jauh-jauh ni tau. Bukan nak appreciate. Lagi nak marah-marah aku.” balas Azlan pura-pura berjauh hati. Burger yang masih tinggal setengah, ditolak ke hadapan. Air sirap limau di sisi disedut perlahan.

“Kau tu! Bagilah hadiah ke apa. Ni burger yang hari-hari aku dah makan.” Fathiyah memuncung.

“Alah! Selama ni, aku belanja makan jugak. Kau tak bising-bising pun. Cuma malam ni, special sikit. Birthday kau pun belum kan? Ada lagi…” Azlan mengerling jam di pergelangan tangan. “Lagi tiga puluh minit sebelum pukul dua belas.” Dia sumbang senyum bergula.

“Masalahnya sekarang ni.. ni B-U-R-G-E-R. Burger Cik Abang oi..” Fathiyah tetap tarik muka bengang dan Azlan tergelak lagi.

“Tapi, burger ni special tahu tak? Tiga rasa. Mana ada dekat kedai aku. Dekat sini aje ada.” balasnya membela diri menyebabkan sekali lagi lengannya menjadi mangsa.

“Kalau kau nak, aku pun boleh masaklah!” gerutu Fathiyah masih tidak berpuas hati. Sudahlah dia agak letih hari itu. Esok pula dia ada temu janji dengan penyelia tesisnya.

Azlan mematikan tawa. Senyum nakalnya terbentuk. “Serius?”

Fathiyah menjeling. “Jangan nak perasan! Tak hingin aku masakkan untuk kau!” Dia berpeluk tubuh.

Azlan mencebik. “Ialah.. tak nak sudah. Siapalah aku kan..” Dicapai semula burgernya yang masih berbaki tadi. Selamba menghabiskan baki yang ada memandangkan hari semakin lewat. Kerja sebagai guru, sudah pasti rutinnya akan bermula lebih awal esok.

Fathiyah hanya memandang. Burger yang berlapis daging ayam, lembu dan telur bersama kepingan keju di hadapannya itu hanya dipandang. Dipandang pula wajah Azlan yang leka menikmati makanan segera itu hingga habis.

“Kau nak makan ke tak tu? Aku dah nak balik  ni.” Nadanya seperti berjauh hati. Sengaja menduga gadis itu.

“Tak naklah!” Fathiya menolak burger tersebut ke hadapan lelaki itu.

Azlan menggeleng. “Penat-penat aku datang sini nak belanja burger ni, kau langsung tak sudi nak makan kan?” ujarnya benar-benar terusik hati.

“Perut aku dah kenyanglah. Takkan nak paksa pulak..” jawab Fathiyah malas. Langsung tidak perasan akan perubahan pada wajah lelaki itu.

“Kalau tak nak, simpan, boleh makan breakfast esok.” Dicapai makanan segera tersebut dan dibungkus kemas dengan kertas kalis air tersedia. “Kalau kau betul tak sudi, bagi aje roommate kau. Tak baik membazir.” sambung Azlan sebelum bingkas untuk ke stall burger di belakangnya. Plastik warna kuning diminta sebelum memasukkan burger yang sudah dibungkus tadi.

Bungkusan plastik terus diserahkan kepada gadis itu.

“Jom. Aku hantar kau sampai pintu pagar.” ujarnya kemudian.

Fathiyah lambat-lambat bingkas. Langkah diatur menuruti langkah Azlan yang sudah mendahului. Belakang tubuh lelaki itu dipandang kosong. Kalaulah Shah yang.. Cepat-cepat dia menggeleng kepala apabila seraut wajah itu yang mula dibayangkan. Beberapa kali pipinya ditampar sendiri bagi melupakan bayangan lelaki itu hingga tiba-tiba..

Ouch!

Dahi terhantuk pada suatu objek di hadapan. Hampir sahaja tubuhnya menyembah jalan tetapi sempat dia berpaut pada objek tersebut. Kepala diangkat. Renungan redup Azlan bertamu di ruang mata sebelum dia segera menjarakkan diri. Pautan pada lengan lelaki itu terlepas.

“Berangan lagi!” Selar Azlan dengan wajah serius.

Sudah lama dia berdiri tegak menghalangi jalan semata-mata mahu menanti Fathiyah yang tertinggal di belakang. Namun dia tidak menyangka gadis itu khayal hingga melanggar tubuhnya yang dua kali ganda lebih besar itu.

Fathiyah terkebil-kebil. Sedaya upaya menahan debar yang mengetuk ruang dada tidak semena-mena.

“Macam manalah kau tak selalu jatuh. Badan aku yang besar ni pun kau nak langgar. Kau teringat pada siapa? Shah lagi?” sambung Azlan bersama helaan berat.

“Er.. sorry..” Fathiya tersenyum pahit.

Azlan menggeleng. “Dah la! Kau pun dah sampai. Sekarang aku nak balik.” ucapnya sebelum beredar ke ruang tempat letak motosikal. Dia tidak memandu malam itu. Kawasaki Z1000 kesayangannya menjadi pilihan demi mengelakkan kesesakan dan pergerakannya lebih pantas.

“Er.. Shah!”

Gulp!

Fathiyah tekup mulut. Terasa mahu ditampar mulutnya saat itu apabila nama orang lain yang meluncur dari bibirnya.

Azlan yang sedang menyarung jaket kulit hitamnya terhenti. Wajah Fathiyah dipandang tajam. Sumpah! Kali ini hatinya betul-betul tergores.

“Kalau kau rindu sangat dia, pergi cari dia.” ucapnya bergetar seraya membuang pandang ke arah lain. Merajuk!

Fathiyah datang mendekat.

“Alah… Alan.. tersasul la..” Fathiyah serba salah.

“Pergilah cari Shah tu. Aku tahu kau rindu dia.” balas Azlan tidak bernada tanpa memandang. Glove hitam dicapai dan disarung.

“Mana ada!” Tingkah Fathiyah cepat.

Azlan menoleh. “Jangan tipu diri sendirilah Tiya.” Sepasang mata bulat itu dipandang dalam-dalam. Mencari sesuatu yang lebih pasti.

“Sudahlah! Aku nak balik. Selamat ulang tahun kelahiran yang ke dua puluh enam. Moga Allah panjangkan lagi umur, murahkan lagi rezeki kau. Berjaya di dunia dan akhirat hendaknya. Cepat-cepat dapat jodoh. Ameen.. insya-Allah.” Ikhlas mendoakan kesejahteraan gadis itu.

Fathiyah terkedu. Tidak lepas memandang Azlan yang sudah bersiap sedia ingin pulang.

“Kau tak ada apa-apa nak cakap kan? Aku balik dulu.” Azlan ingin menyarung helmet hitamnya namun terhenti apabila tangan gadis itu melekap ke lengannya.

“Apa?”

Thanks.” Dicorakkan senyum manis khas buat lelaki yang sering ada saat dia sedang berduka.

No hal!” Terus sahaja Azlan menyarung helmet hitamnya.

“Alan..”

Baru sahaja dia menghidupkan enjin motonya, gerakannya terhenti. Wajah gadis itu dipandang lagi.

“Hati-hati. Nanti sampai call aku.” ucap Fathiyah perlahan. Entah kenapa itu yang terluncur di bibirnya.

Azlan hanya mengangguk kecil sebelum terus berlalu.

Fathiyah melepaskan helaan panjang sebaik kelibat lelaki itu hilang dari jangkauan penglihatan. Bungkusan burger di tangan dipandang. Alan.. Ada perasaan bersalah terbit di celah hati. Bibir disentuh. Tidak tahu kenapa nama Shah yang terbit di situ tadi saat memanggil lelaki itu.

Spoiled la kau ni Tiya!” omelnya sendirian sebelum perlahan-lahan berjalan masuk ke kawasan hostel.

*******
Best gila bunga kau ni! Untunglah orang ada kekasih ni kan.. Dua puluh enam kuntum okey! Lain daripada yang lain. Orang selalu bagi roses. Kali ni, red daisy. Merah menyala. Siap dengan dua ekor ikan biru merah yang kau nak cari hari tu. Dengan shawl ni lagi..”

Kata-kata usikan Emma bergema lagi di gegendang telinganya hingga ke saat itu. iPhone 4s yang dipegang, dibelek lagi. Sejak malam tadi, hinggalah kini, Azlan langsung tidak menghubunginya. Berpuluh kali dia cuba menghubungi dan berpuluh pesanan juga telah dihantar. Namun tiada satu pun yang berbalas.

Dia benar-benar terkejut dengan penghantaran jambangan bunga itu pagi tadi. Pada awalnya, dia menyangka bunga tersebut daripada Shah. Tetapi telahannya meleset apabila melihat nama si pengirim pada sekeping kad yang disertakan.

Anytime, anywhere..
I’m always by your side. Insya-Allah.
selamat ulang tahun babe!
Kenang ku dalam doa mu!
~yang kacak, MNLee

“Ehem..”

Fathiyah menoleh. Kembali dari khayalannya. Wajah Shah terbias di ruang mata menyebabkan dia segera memaniskan roman wajah dalam serba tidak kena.

Jika tidak kerana mengenangkan kebaikan yang ditabur oleh Hajah Aznah saat kakinya terseliuh bulan lepas, pasti dia tidak berada di hadapan Shah saat itu. Sungguh dia tidak mampu menolak pelawaan wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu.

“Kau okey ke?” Lembut Shah bertanya.

“Okey.” Hanya sepatah. Senyum nipis dilayarkan. Menutup getar yang terasa.

“Tiya.. aku mintak maaf pasal hari tu..” ucap Shah perlahan. Berharap gadis itu faham yang dia tidak mampu hidup dengan tenteram dalam keadaan mereka yang tidak bertegur sapa itu.

“Aku yang patut mintak maaf pada kau..” balas Fathiyah dalam nada yang sama.

“Kenapa?”

“Aku mengata kau macam-macam sebelum aku jatuh hari tu.” Fathiyah membuang pandang ke arah kolam ikan di hadapannya.

“Aku dah lama lupakan Tiya..” Ikhlas. Tunak Shah memandang gadis yang manis berbaju kurung biru firus itu.

Thanks.” ucap Fathiyah bersama senyuman yang dimaniskan.

Sepi seketika. Masing-masing cuba menyesuaikan diri setelah lebih sebulan tidak bercakap.

“Tiya..”

Fathiyah mengangkat wajah. Menanti lelaki melanjutkan bicara.

“Tiya, boleh tak lepas ni, kita buat macam biasa? Aku tak nak, kau lari-lari bila jumpa aku. Sampai tak nak cakap dengan aku.. please..” ucap Shah penuh mengharap.

Fathiyah menghela nafas panjang. Sudah dijangka akan permintaan lelaki itu sejak dari awal lagi. Disebabkan hal itu juga dia mengelakkan diri. Risau dia berpaling dengan perasaannya sendiri selepas tekad baru yang ditanamkan.

“Boleh.. tapi dengan satu syarat.” balasnya selepas diam beberapa ketika. Memikirkan baik buruk keputusan yang dibuat.

“Apa saja Tiya. Aku janji.” Laju Shah bersetuju.

“Jangan masuk campur urusan peribadi aku lagi lepas ni? Dulu, kau pernah janji nak bagi aku peluang cari orang yang betul-betul boleh jaga aku kan? Kita boleh kawan macam biasa seperti mana yang kau pernah mintak sebelum ni..” Fathiyah cuba membaca riak wajah lelaki itu. Jelas terkejut dengan syarat yang diletak.

Shah terdiam. Cahaya kebahagiaan yang baru sahaja kembali bersinar dirasakan terus malap serta-merta. Pandangan terus dibuang ke arah kolam ikan buatan abahnya di hadapan.

“Shah..”

Dia menoleh.

“Boleh tak?” Fathiyah inginkan kepastian.

Shah mengangguk berat. “Itu dah cukup baik dari kau langsung tak nak cakap dengan aku..” balasnya lambat dengan berat hati. Selebihnya, terpaksa kerana dia tidak punya pilihan walaupun syarat tersebut terlalu berat untuk diterima.

“Tiya! Shah!” Aqilah muncul di muka pintu.

Kedua-duanya menoleh.

“Masuk makan! Semua dah siap!” Laung wanita itu.

“Jom!” Pelawa Shah pula bersama secebis senyuman.

Fathiyah hanya mengangguk sebelum mereka sama-sama beredar dari tepi kolam ikan hiasan tersebut.
……………….

“Haaiii.. takkan baru balik dari rumah kekasih hati, muka monyok..” usik Emma yang kembali dari bilik air.

        “Banyaklah kekasih hati!” Balas Fathiyah malas. Seutas jam tangan berjenama pemberian Shah, disimpan semula dalam kotak hitam beriben putih yang baru sahaja dibuka sebentar tadi.

“Kan cinta mati kau tu?” giat Emma lagi menyebabkan Fathiyah menghadiahkan jelingan tajam.

“Tu dulu eyh..” balasnya sedikit geram.

Emma tergelak. Dari duduk di atas katilnya, dia berpindah duduk di sebelah sahabatnya itu.

“Kau ni kenapa? Dari lepas kau jumpa si Chinese look tu malam tadi, kau jadi macam ni. Nak kata merajuk, pagi-pagi lagi dah hantar bunga. Nak kata bergaduh dengan kekasih cinta mati kau tu, tadi dah pergi dinner dekat rumah dia. Apa hal sebenarnya kau ni?” Tawanya reda. Sedikit risau melihat teman sebiliknya resah sejak semalam lagi.

“Tak ada apalah.” Fathiyah mencapai telefonnya dari dalam beg tangan. Tidak bersedia untuk berkongsi kegusaran hati yang ditanggung sejak semalam.

Sepi seketika.

Beb, hadiah dari Zahril kau dah buka?” tanya Emma yang tidak lepas memandang kelakuan Fathiyah yang begitu leka membelek telefon. Sejak semalam lagi sahabatnya begitu.

“Dah..” jawab Fathiyah sepatah. Fokusnya tidak pun pada Emma. Hati dan akalnya kini hanya buat Azlan. Resah kerana Azlan belum pernah pun tidak membalas setiap panggilan dan pesanannya selama ini.

Beb..”

“Hm..”

“Kau okey ke ni? Kau ada tunggu call dari sesiapa ke?”

Fathiyah melepaskan keluhan sebelum dia bingkas.

“Kau nak ke mana?” Soal Emma pelik.

“Aku nak call member aku kejap. Kalau ada siapa-siapa cari, cakap aku dekat anjung sana tu eyh?” Fathiyah capai shawl pemberian Azlan dan disangkutkan ke kepala sebelum dia menapak keluar.

Emma berkerut. Cukup pelik melihat tingkah Fathiyah yang serba tidak kena.

Sementara Fathiyah, sudah berkali-kali mendail nombor telefon Azlan namun masih tetap tidak bersambung. Punggung dilabuhkan pada anak tangga yang menghubungkan tingkat empat dan lima. Angin malam yang menyapa tubuh terasa dingin menyebabkan shawl yang tersangkut di leher terus dibelit ke tubuh.

“Alan angkatlah..” omelnya sendiri apabila sekali lagi nombor yang didail tidak bersambung.

“Takkan dah tidur..” Mata mengerling jam pada skrin telefon. Hampir dua belas malam. Dia tahu, Azlan bukanlah yang jenis tidur awal.

Sebelum menyambung pengajiannya, hampir setiap malam dia menghabiskan masa di restoran ibu lelaki itu. Dan Azlan tidak pernah jemu melayannya hingga dua atau tiga pagi walaupun lelaki akan bangun awal untuk memulakan rutinnya sebagai seorang guru.

Teringat akan restoran ibu lelaki itu, datang idea dalam kepalanya. Nombor telefon restoran pantas dicari. Yakin Azlan ada restoran kerana di situ sahajalah lelaki itu akan menghabiskan masa pada setiap malam untuk menggantikan tempat ibunya.

“Hello!” Pantas sahaja dia bersuara sebaik talian bersambung. Mendengar suara garau yang cukup dikenali di hujung talian, bibir mengukir senyum lebar.

“Alan! Kenapa tak angkat phone? Semalam janji nak call aku, tapi kau tak call pun.” luahnya terus tanpa sempat ditahan.

“Aku sibuklah.”

“Alan..” Suaranya mengendur apabila mendengar dua patah perkataan itu. Dingin.

“Ramai oranglah sekarang Tiya. Aku sibuk ni. Nanti aku telefon kau balik. Bye!”

Bibir dikemam kuat. Rasa terkilan menular sebaik talian terputus tanpa sempat dia mengucap kata.

Tanpa mahu berlamaan di situ lagi, dia bingkas masuk ke bilik. Terasa mahu menangis tetapi ditahan.

“Sekejap aje?” tegur Emma yang sedang menghadap komputer riba.

Fathiyah melepaskan keluhan panjang. Shawl yang terlilit di tubuh diletakkan ke tepi sebelum dia terus merebahkan tubuh. Ada sebak yang bertandang tidak semena-mena.

“Tiya..”

“Alan kenapa macam marah aku eyh Emma?” Soalan itu yang terlepas di bibirnya. Sungguh dia risau apabila lelaki itu seperti sengaja mahu mengelakkan diri.

Korang gaduh ke?” Soalan juga Emma ajukan.

Fathiyah mengeluh lagi. Dia keliru. Keliru dengan perasaannya sendiri yang terlalu risau akan keadaan Azlan.

“Semalam dia elok aje. Cuma..” Bibir digigit lembut. Ada perasaan bersalah menjengah.

“Apa yang kau dah buat semalam?” celah Emma ingin tahu.

Fathiyah terus menceritakan semua yang berlaku hinggalah hal burger yang dibawa pulang ke bilik semalam. Sudahnya ke tong sampah apabila Emma juga menolak kerana kekenyangan. Kalaulah Azlan tahu makanan segera itu sudah ke tong sampah…

“Kecil hati dia Tiya..” ulas Emma yang sudah melabuhkan duduk di sisi sahabatnya itu. Sama-sama duduk bersandar.

“Tapi sebelum ni, kita orang gurau-gurau elok aje..” keluh Fathiyah perlahan.

“Kan kau tahu dia suka kau. Kau tak nampak apa yang dia hantar pada kau pagi tadi? Terconggok bunga atas meja kau tu, ikan kau tu ha.. ni, shawl ni lagi.. banyak makna ni Tiya. Kau kata dia tak pernah bagi semua ni sebelum ni kan?” tambah Emma tumpang simpati.

Fathiyah mencapai shawl dari tangan Emma. Diramas lembut. Teringat akan kata-kata lelaki itu mengenai auratnya. Menjalar lagi perasaan halus yang tidak tergambar menyebabkan dia menahan sebak tiba-tiba. Mungkin sudah tiba masanya dia melangkah setapak ke hadapan meninggalkan apa yang tidak sepatutnya. Dia mahu berubah…

Jun 18, 2014

Dambaan Bahagia_bab 12

DB 12

Gelas tembikai laici ditolak ke hadapan si pemilik sebelum dia melabuhkan duduk di hadapannya.

Sepi.

“Tiya, kalau kau datang sini semata-mata nak tenung aku, baik tak payah. Nanti aku tak boleh tidur, kau jugak yang susah.” Azlan cuba bergurau memandangkan hampir setengah jam Fathiyah di situ, hanya sepatah dua perkataan sahaja yang kedengaran. Lebih sebulan gadis itu tidak menjejakkan ke restoran ibunya itu.

Fathiyah menghela nafas panjang. Mata tunak memandang gelas tinggi berisi air tembikai laici ketiga yang dipesan.

“Mana aku nak cari ular eyh?” Itu yang terpacul di bibirnya menyebabkan Azlan hampir sahaja terlopong.

“Kau ni gila ke apa?” Azlan berkerut sambil mengurut belakang tengkuk. Merinding bulu roma apabila haiwan eksotik itu disebut.

Fathiyah menarik senyum segaris. “Aku baru cakap ular, muka kau dah tak boleh blah. Macam mana aku nak terima kau Alan, kalau dengan ular pun kau takut.” ucapnya sebelum menyedut perlahan air tembikai laici di hadapannya.

“Kau ni, punyalah banyak binatang dalam dunia ni, yang kau nak pergi jaga ular jugak kenapa? Nanti hilang, kau jugak yang menangis.” balas Azlan bersama gelengan. Fathiyahlah satu-satunya sahabat dan gadis yang begitu obses dengan haiwan eksotik tersebut.

“Si Gina tu, Abang Am yang buang. Bukan hilang. Saja mendengki dengan aku dia tu! Nasib aku tak jual Si Alex dengan Si Mary tu. Biar dia menangis pulak!” rengus Fathiyah sedikit geram. Dia masih lagi tidak berpuas hati dengan tindakan Amrizan yang melepaskan haiwan kesayangannya itu tanpa pengetahuannya.

Azlan tergelak pula. “Habis tu, kau nak cari ganti Gina la ni?” Sengaja menduga dan gadis itu terus mengangguk menyebabkan sekali lagi dia menggeleng perlahan.

“Nantilah, kalau ada mana-mana anak ular sawa melintas depan ni, aku tangkapkan untuk kau.” Dia berlelucon menyebabkan lengannya menerima habuan jemari runcing gadis itu.

“Sebab kau peliklah, aku suka kau Tiya..” sambung Azlan kemudian berubah serius.

Fathiyah hanya tersengih. Tidak ambil pusing apa yang terluah di bibir lelaki itu kerana sudah acap kali didengari. Dan dia sendiri pernah berterus-terang akan perasaannya yang sebenar. Dia lebih selesa mereka berhubung atas tiket persahabatan yang terjalin.

Sepi seketika apabila masing-masing hanya bertukar renungan sebelum tawa meledak dari bibir kedua-duanya.

“Sebab ni la aku suka kawan dengan kau Alan.” ujar Fathiya sebaik tawanya reda. Azlan seperti penyejuk hati di kala duka.

Semenjak peristiwa kakinya terseliuh bulan lepas, dia tidak lagi berhubung dengan Shah. Bukan tidak pernah terserempak, malah agak kerap mereka bertembung di kampus. Berkali-kali Shah cuba bercakap dengannya. Cuma dia sahaja yang memilih untuk mengelakkan diri. Segala panggilan dan SMS lelaki itu, hanya dipandang sepi. Dikebalkan hatinya hingga ke hari ini semata-mata mahu membuang segala jenis perasaan yang pernah tersimpan buat lelaki itu walaupun begitu payah sekali.

“Ialah tu.. time susah, barulah cari aku. Time senang? Jangan harap!” sindir Azlan selamba.

Fathiyah tersengih lagi.

“Kali ni, hikayat mana yang kau nak cerita dengan aku ni hm?” Azlan jongket kening sebelah. Melihat wajah yang sedikit cengkung itu, dia yakin ada sesuatu yang telah berlaku selama gadis itu tidak ke situ.

Fathiyah melepaskan halus. Senyumannya mengendur.

“Jom, ikut aku pergi pet shop. Aku nak cari ikan kecik kaler-kaler tu la. Tak berseri meja study aku dekat hostel lepas aku hantar Gojes balik. Nak study pun tak ada mood.” Fathiyah bingkas. Kunci kereta Saga putih milik arwah ayahnya dihulurkan. Mahu lelaki itu yang memandu dan sememangnya Azlan tidak menghampakan apabila kunci sudah pun bertukar tangan.

“Air tiga gelas ni, kau belanjakan?” Fathiyah menayangkan barisan gigi yang tersusun kemas.

Azlan hanya mampu menggeleng sebelum mereka sama-sama beriringan ke tempat letak kereta.
……………….

“Habis tu, kaki kau sekarang macam mana? Dah okey?” Azlan sedikit terkejut mendengar apa yang diceritakan kepadanya.

“Kau ni kan, nama aje cikgu. Tapi tanya soalan, macam budak umur sepuluh tahun. Kau nampak aku tak pakai tongkat, kaki tak berbalut kan? Maknanya dah eloklah.. Kalau tak, jangan harap aku balik rumah. Kau tahu ajelah ibu aku macam mana. Memang kena bebel la kalau dia tahu aku jatuh sampai kaki terseliuh. Nasib tak patah. Kalau tak, memang hujung sem nanti baru aku jumpa kau Alan..” balas Fathiyah bersama sengihan.

Azlan yang tenang memandu pula terus meledakkan tawa. Lucu dengan pertanyaan sendiri.

Sorry la.. aku cuma risau aje. Kau tu dari dulu memang careless. Bukan careless aje, clumsy sekali. Tapi, memang patutlah pun kau jatuh. Siapa suruh mulut kau macam puaka. Memang patutlah si Shah tu tinggalkan kau. Tapi disebabkan dia memang cinta mati pada kau kan, tak sanggup biar kau balik sendiri.” Dia tersengih. Mengusik.

Fathiyah mengeluh. Teringat akan Shah, sehingga kini dia tidak lagi meminta maaf akan keceloparan mulutnya. Sedar akan sakit yang dialami sebenarnya satu kifarah daripada perbuatannya sendiri.

“Dah.. kau jangan nak buat muka touching-touching dekat sini. Aku tak nak tengok. Rugi aje tengok muka touching kau tu. Alang-alang dah keluar ni, kita pergi tengok wayang ke, makan-makan ke, nak? Lepas tu, baru pergi pet shop. Amacam hm?” Azlan cepat-cepat memulihkan keadaan. Tidak mahu Fathiyah terus berwajah muram begitu.

“Boleh jugaklah. Tapi kau belanja.” Fathiyah sudah tersengih kembali.

Everything for you Nur Fathiyah..” Azlan sudah melunakkan suara. Ada lirikan nakal di hujung mata sengaja mahu menduga gadis itu.

“Tak payah nak pandang aku macam tu. Buat seram aje. Kau bukan boleh percaya sangat ni!” Fathiyah memberi amaran. Jari telunjuknya sudah menunjal bahu Azlan menyebabkan lelaki itu mengekek gelak.

“Ialah.. Faham.. Aku ni kan, tempat luah perasaan aje. Lainlah Amirudin Zulkarnain Shah tu..” balas Azlan pura-pura berjauh hati sebaik tawanya reda.

Kereta yang dipandu kala itu, sudah masuk ke tempat parkir pusat membeli-belah.

Fathiyah mencebik. “Kau ni, tak ada nama orang lain ke nak sebut? Aku dah jemulah dengar nama dia.” balasnya tahan rasa. Bohonglah andai dia tidak merasai apa-apa. Setiap kali nama itu menyapa gegendang telinga, akan ada getaran halus mengetuk kamar hati.

“Okey. Kalau macam tu, cuba kau sebut nama aku banyak kali. Muhammad Nurazlan Lee bin Muhammad Aznan Lee. Gantikan tempat Amirudin Zulkarnain Shah dalam hati kau tu hm?” Azlan sekali lagi lirik senyum nakal sebaik memberhentikan kereta.

“Erk? Perasan tak habis kau ni!” Fathiyah tolak hujung dagu Azlan dengan hujung jarinya sebelum terus menolak pintu kereta. Mengelak daripada lelaki itu perasan akan rona merah yang mula menjelma di wajahnya apabila diusik begitu. Tambahan pula dengan senyuman nakal yang tersungging di bibir lelaki itu yang mudah mengusik hati mata-mata yang melihat.

“Kita nak tengok cerita apa ni?” soalnya sebaik mereka beriringan. Cuba mengawal debar aneh yang tiba-tiba datang menyapa.

“Kau nak tengok cerita apa?” Azlan memulangkan soalan kembali. Mencerun mata memandang Fathiyah yang hanya separas bahunya.

             “Erm.. Need for Speed 3D.” Fathiyah senyum comel. Terkelip-kelip mata bulatnya.

“Kau jangan sekali-kali berani buat muka macam tu lagi depan aku eyh? Kalau tiba-tiba muka kau tu kena cium, kau jangan salahkan aku.” Azlan tahan hati.

Sungguh Fathiyah mampu membuatkan imannya yang tidak setebal mana itu goyah. Dia lelaki normal dikurniakan 1 nafsu dan 9 akal. Nafsu yang satu itulah yang begitu sukar dikawal jika berterusan menerima godaan syaitan terlaknat.

“Muka macam mana? Macam ni ke?” Sekali Fathiyah membuat muka comelnya sebelum tergelak.

“Okey.. sekarang aku dah tahu kelemahan kau.” sambungnya nakal.

Azlan ketap bibir. Langkah dipanjangkan. Sengaja meninggalkan gadis itu kerana wajahnya yang mula terasa pijar.

Fathiyah tergelak lagi seraya melajukan langkah untuk kembali menyaingi Azlan.

“Alah! Aku gurau ajelah! Slow la sikit. Pancit aku kejar kaki panjang kau tu.” Fathiyah paut lengan Azlan agar lelaki itu memendekkan langkah yang panjang. Dia terasa megah apabila terpaksa berlari-lari anak untuk mengejar Azlan yang terlalu cepat melangkah.

“Ish! Jatuhlah saham aku. Tak payahlah pegang.” Azlan menarik semula lengannya. Seperti ada arus elektrik mengalir ke seluruh tubuh apabila gadis itu menyentuhnya walaupun masih berlapik. Tingkah lepas laku gadis itu memang sukar dijangka hingga kadang-kadang dia tidak sempat mengelak.

“Eleh.. sebelum ni okey aje.” ejek Fathiyah mencebik.

Azlan diam. Malas mahu bersoal jawab lagi. “Kau tunggu sini. Aku pergi beli tiket.” ujarnya kemudian sebaik tiba di hadapan panggung. Terus dia beredar ke kaunter tiket.

Dalam pada itu, tanpa mereka sedari ada mata yang memandang. Ada hati yang tercarik melihat gelak tawa mesra pasangan tersebut.
………………

Azlan jeling sebelah. Bibir diketap kuat apabila perasan gadis di sisi galak tersenyum sambil menikmati berpiring-piring sushi sejak tadi tanpa jemu. Tetapi tidak baginya. Perut terasa sebu apabila teringat kembali insiden dalam panggung wayang.

“Tiya, mintak sikit popcorn tu.” bisiknya demi tidak mahu mengganggu konsentrasi penonton lain. Dia menoleh apabila tiada respon dari si gadis.

“Kau ni pekak ke?” tekannya seraya mengambil kotak bertih dari tangan Fathiyah yang begitu khusyuk. Dia sedia maklum keadaan gadis itu jika menonton. Terlalu khusyuk hinggakan tidak sedar akan keadaan di sekeliling.

“Alah.. Kacau la kau ni! Tadi berlagak tak nak beli!” rungut gadis itu tertahan sebelum matanya kembali ke skrin besar apabila tiba di scene berlumba antara tiga buah kereta mewah.

Dia tersengih puas dalam gelap. Cermin mata 3D dibetulkan kedudukannya sebelum sama-sama memberi fokus sambil makan bertih. Berselang-seli tangannya dan tangan Fathiyah masuk ke dalam kotak bertih dalam keadaan masing-masing leka menonton. Dalam kelekaan itu jugalah, saat dia mengangkat kotak bertih dari riba untuk mencapai botol air mineral, tidak sedar tangan Fathiyah yang menjangkau kotak bertih hingga akhirnya mendarat ke tempat yang tidak sepatutnya. Tersembur air mineral yang sedang diteguk menyebabkan kotak bertih tergolek ke bawah tidak sempat diselamatkan.

Sama-sama terkejut dengan apa yang berlaku hingga mereka menjadi perhatian seketika. Sudahnya, dia terpaksa keluar dari panggung apabila melihat Fathiyah langsung tidak beriak.

Dan disebabkan hal itu, terasa seleranya tertutup. Untuk berhadapan dengan gadis itu pun dia terasa segan.

“Kau tak payahlah nak cover-cover Tiya. Kau ingat, aku tak tahu kau nak gelakkan aku? Lain kali nak tengok wayang, jangan haraplah dapat duduk sebelah aku!” Rungutnya tertahan apabila melihat gadis itu hanya beriak selamba sejak habis menonton tadi. Seperti tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka.

Fathiyah terhenti mengunyah. Wajah di sisi dipandang seketika sebelum tawanya meletus. Hampir sahaja soft shell crab yang masih berbaki dalam mulut tersembur. Cepat-cepat dia mencapai tisu yang dihulurkan Azlan untuk menekup mulutnya.

“Sampai hati kau Tiya..” Azlan sedikit berjauh hati.

Alololo.. merajuk pulak. Macam mana kau nak ganti nama si polan tu? Aku baru gurau sikit aje, kau  dah tergores hm?” Fathiyah koyak senyum dengan keningnya terangkat-angkat.

“Gurau sikit kau kata? Aku malu tahu tak? Tahu tak, kau boleh didakwa sebab buat sexual harassment pada aku.” tingkah Azlan sambil memalingkan wajah ke arah lain.

Sorry sikit eyh? Sikit pun aku tak tergoda dengan kau.” Fathiyah mencebik. “Kau nak malu apanya? Bukan aku buat apa-apa pun.” sambungnya selamba walaupun sebenarnya dia sedaya upaya menahan tawa yang ingin terhambur lagi apabila teringat apa yang berlaku tadi.

“Kau lupa apa yang kau pegang tadi? Tadi kau pengang aku punya..” Mulut tidak dapat meneruskan kata apabila tangan gadis itu sudah terlekap di situ.

“Kau jangan buat fitnah eyh? Aku T-E-R-pegang aje. Bukan sengaja. Itu pun tak sempat kena. Tangan aku sampai celah peha kau aje kan?” Jelas Fathiyah perlahan di tepi telinga lelaki itu.

Azlan menolak jemari runcing yang terlekap di mulutnya apabila perasan mereka mula menjadi perhatian di situ.

“Ish! Cepatlah makan.” getusnya tertahan. Tidak sanggup rasanya berlamaan di situ lagi.

“Alah.. sorrylah Alan.. aku tak sengaja. Sumpah!” Fathiyah mula membuat wajah comelnya semata-mata ingin memujuk lelaki itu.

Azlan mencebik. “Tak payah nak sumpah-sumpah sangat! Kang tersumpah kahwin dengan aku baru tahu! Time tu, kau nak pegang apa pun aku dah tak kisah!” balasnya sambil menarik sebelah tangan Fathiyah yang tegak seperti membaca ikrar. “Muka tu, tak payah nak buat perasan comel. Tak ingat ke, apa yang aku cakap tadi hm?” lanjutnya seraya merapatkan wajah. Sengaja mahu menduga gadis itu walaupun selebihnya cuba mengawal debar yang bertandang.

“Erk? Jangan nak perasan sangat! Aku belum nak kahwin.” selamba Fathiyah menjawab sebelum mencapai gelas air teh hijau dan diteguk laju. Perutnya sudah pun kenyang.

“Eleh.. Allah kalau nak bagi kau jodoh, tak payah tunggu esok lusa beb.” Azlan angkat kening dan gadis itu mencebik pula.

“Dah la. Tak naklah cakap pasal kahwin ni. Kita cakap pasal tadi. Barulah syok.” Fathiyah sumbang senyum nakal menyebabkan Azlan ketap bibir kuat menahan geram. Terasa berbahang wajahnya.

“Kau ni kan..” Ditarik klip rambut warna ungu yang dikepilkan di atas ubun-ubun gadis itu menyebabkan semua anak rambut terlepas dan terjuntai ke dahi. Senyumnya lebar sebelum dia terus bingkas memanggil pelayan restoran makanan Jepun itu.

Fathiyah ketap bibir. Pantang sungguh jika rambutnya diusik. Kembali dirampas klip rambutnya pada tangan Azlan yang sudah tersengih-sengih.

“Dah. Jom balik! Kata nak cari ikan kaler-kaler kau tadi.” ujar Azlan sebaik kertas bil berada di tangannya sebelum terus berlalu ke kaunter pembayaran di tepi pintu masuk.

Fathiyah akur dengan wajah yang mencuka. Dituruti langkah lelaki itu ke kaunter pembayaran.

“Okey.. Sekarang, aku dah tahu kelemahan kau.” Bisik Azlan di tepi telinga Fathiyah bersama sengihan nakal. Dipulangkan semula kata-kata gadis itu dengan senang hati.

Fathiyah mencebik.

“Patutlah selama ni, aku tak pernah nampak kau warnakan rambut kau dengan warna pelangi.” giat Azlan lagi saat mereka beriringan keluar sebaik menyelesaikan pembayaran.

“Gila ke apa nak warnakan rambut? Ingat aku tak solat ke?” tingkah Fathiya yang masih tidak hilang wajah kelatnya.

“Nur Fathiyah sayangku. Kalau dah tahu solat, pakailah tudung. Biar amalan kita, seiring dengan perbuatan kita.. Simpan sikit aurat tu untuk yang berhak aje Tiya.” Azlan melunakkan suara menyebabkan gadis itu memberhentikan langkah dengan tiba-tiba.

Fathiyah terpempan. Hatinya terpukul. Tidak berkelip dia memandang Azlan yang turut mematikan langkah. Entah kenapa kata-kata lelaki itu begitu menusuk hingga ke dasar hati. Ada satu perasaan yang tidak pernah dirasai kini menjalar ke seluruh tubuhnya.

“Kenapa pulak ni?” Azlan berkerut. “Tiya?” Dicuit bahu gadis itu dengan hujung jarinya.

Fathiyah tersedar. Cepat-cepat dia menarik senyum namun tidak semanis biasa. “Er.., jomlah balik.” Dia mengorak langkah. Meninggalkan Azlan yang sedikit terpinga-pinga. Tidak faham apa yang berlaku.

Dan sekali lagi, ada hati yang sudah tercarik, kian parah apabila melihat pasangan tersebut.