Jun 6, 2014

BMJM_bab 12_edited version


“Ai bang… Kenapa tak esok aje bangun. Orang semua dah sibuk ke sana ke mari, abang sedap-sedap aje tidur. Sampai dah masuk asar baru bangun.” Tegur Suzila saat Eshaq Hakimi melabuhkan duduk di hadapannya. Melihat lelaki itu sedang menahan kuap, dia tahu abangnya itu baru terjaga dari tidur.

Eshaq Hakimi beriak selamba. Sedikit pun dia tidak terusik akan sindiran adiknya.

“Abang ni tak kerja ke?” Bebel Suzila lagi sambil menyelak nota-nota kuliah untuk peperiksaan akhirnya nanti. Sedikit terganggu pembacaannya di taman mini belakang rumah, bersebelahan dengan kolam renang yang sudah menjadi tempat kegemaran lelaki itu apabila setiap kali pulang ke vila.

“Sibuk ajelah Suzy ni. Yang dia tu, dah takda kelas ke? Sibuk aje dekat sini..” rungut Eshaq Hakimi seraya menyambar gelas jus anggur atas meja kayu itu dan diteguk habis. Memang sengaja dia bercuti hari itu kerana keletihan tubuhnya masih belum hilang.

“Ha.., tu la.., lama sangat tidur. Otak pun jadi lembap! Orang dah exam week pun tak tahu. Tinggal satu paper aje lagi.” ejek Suzila yang memandang geram ke arah abangnya. Gelasnya sudah pun kosong.

“Manalah abang tahu…” jawab Eshaq Hakimi selamba sambil lehernya dipanjangkan ke sekitar untuk mencari kelibat ‘adik sayang’nya yang seorang itu.

“Tak payahlah abang cari adik kesayangan abang tu. Dia tengah bersiap dekat dalam bilik. Dah nak keluar kejap lagi. Lepas ni, abang jangan haraplah dapat buli dia lagi.” jelas Suzila walaupun tanpa dipinta. Cukup faham akan tingkah laku abangnya.

“Nak keluar ke mana? Kata exam week? Sempat pulak nak keluar-keluar.” sindir Eshaq Hakimi selamba. “Wait! Tak dapat buli dia lagi? Kenapa pulak? Apa maksud Suzy ni?” Nadanya serta-merta berubah.

“Abang ni… Suzy rasa abang banyak makan semutlah! Dekat rumah abang tu mesti banyak semut kan?” Sindir Suzila selamba. Dia yakin yang abangnya itu terlupa akan keadaan ibu sahabatnya yang sakit.

“Dekat rumah aku, sekor semut pun tak ada okey!” tingkah Eshaq Hakimi geram lalu menjentik hujung jari Suzila di atas meja.

“Sakitlah!” gadis itu terjerit.

“Abang dah tanya betul-betulkan? Jawab ajelah. Kawan baik Suzy tu nak keluar ke mana? Dia dah tak datang sini lagi ke?” Eshaq Hakimi menekan sedikit nadanya.

“Dia nak keluar jumpa ummi dia la! Itu pun lupa. Abang ingat dia nak keluar berfoya-foya ke apa? Nampak sangat abang ni dah tua!” Gerutu Suzila sedikit geram apabila jarinya menjadi mangsa. “Lagi satu, memang lepas ni dia dah tak datang sini. Dalam sementara tunggu last paper ni, dia duduk dengan ummi dia. Habis aje exam nanti, dia terus balik kampung. Jaga ummi dekat sana.” sambungnya kemudian.

Eshaq Hakimi berkerut. Tiba-tiba tidak senang hati apabila mendapat tahu yang gadis itu akan jauh dari keluarganya selepas ini. Serentak itu, mata menangkap susuk tubuh yang dimaksudkan keluar dari pintu dapur. Sejuk mata memandang apabila segala aurat gadis itu elok terjaga dari terlihat. Kemudian pandangan matanya jatuh pada beg galas pada bahu kanan gadis yang sedang berjalan menghampiri mereka di situ.

“Siti, awalnya awak siap. Kan tadi Abang Qayyum kata nak ambik awak pukul enam. Sekarang baru pukul lima setengah.” kata Suzila sambil mengilas jam di pergelangan tangan. Jika bukan kerana Qayyum ingin menziarahi ummi sahabatnya itu, pasti dia sendiri yang akan menghantar Siti Shafura ke pusat jagaan.

Eshaq Hakimi di situ hanya menjadi pendengar setia perbualan kedua-duanya walaupun hati mula tercuit dengan sebaris nama lelaki yang disebut oleh adiknya itu. ‘Qayyum? Siapa Qayyum? Boyfriend?’ desisnya dalam hati. Ringan sahaja mulut mahu bertanya namun tidak terluah. Otak mula berusaha mencipta akal untuk mengetahui siapa gerangan yang dimaksudkan memandangkan Siti Shafura masih ‘berhutang’. Dan selepas ini, mungkin sahaja dia sukar untuk bertemu dengan gadis itu lagi.

“Siti, kalau awak duduk sini aje tak boleh ke? Kita boleh study sama-sama. Saya pun boleh hantar awak pergi tengok ummi kalau awak nak. Tapi awak duduklah sini. Tak adalah awak susah-susah naik bas nak pergi exam nanti. Jauh sikit tahu tak?” Suzila cuba memujuk. Dia berat hati untuk membiarkan sahabatnya itu bermalam di pusat jagaan sementara menanti peperiksaan yang terakhir.

Siti Shafura menguntum senyum. Wajah abang angkatnya yang diam sejak tadi, dipandang sekilas sebelum membalas. “Tak bolehlah Suzy. Saya tak nak susahkan awak, mama dengan papa lagi. Mama dengan papa dah banyak tolong saya selama ni. Cukuplah Suzy. Tak terbalas saya nanti. Lagipun saya dah janji dengan ummi. Selama ni, saya tak sempat nak jaga ummi saya sendiri.” jawabnya merendah diri.

Dari ekor matanya, dia perasan Eshaq Hakimi sesekali akan memandangnya membuatkan dia sentiasa mengawal pandangan walaupun seperti ada suatu suara yang memaksa agar dia membalas renungan itu. Teringat akan hutang yang masih belum terlunas.

Dia akan cuba mencari masa yang sesuai untuk berbincang dengan lelaki itu agar hutangnya dapat segera diselesaikan. Dia tidak mahu menanggung hutang terlalu lama kerana risau dia tidak sempat untuk melunaskan jika ajal menjemput tiba-tiba. Dia sendiri tidak dapat pastikan itu. Cuma penuh berharap agar dia dapat menyelesaikan segala urusan di muka bumi ini sebelum dia menutup mata. Terutamanya apabila melibatkan hutang. Dia tahu, setiap manusia yang berhutang walau satu sen pun, tidak terlepas dari seksa-Nya. Maka, membayar hutang adalah wajib!

“Tak ada yang susah pun Siti. Kalau awak duduk sini, ada jugak saya kawan. Nak harapkan abang, jangan haraplah. Dia mana suka balik sini.” balas Suzila yang sempat mengerling sekilas ke wajah abangnya yang diam membisu dari tadi.

“Tak apalah Suzy. Ada masa, panjang umur, saya datanglah sini lagi.” jawab Siti Shafura perlahan sambil memeluk erat bahu Suzila.

Apa yang dilakukan oleh Suzila dan keluarga itu sudah cukup bermakna baginya. Dia tidak mahu lagi menumpang kesenangan yang ada. Selepas ini dia perlu berusaha sendiri untuk menghadapi sebarang masalah yang datang.

“Siti, tu kawannya dah sampai!” Laung Mak Lijah dari muka pintu dapur menyebabkan ketiga-tiganya berpaling.

“Awalnya Abang Qayyum ni datang. Tadi kata pukul enam.” rungut Suzila sebelum bingkas. Tanpa menghiraukan Eshaq Hakimi di situ, kedua-duanya terus berlalu masuk.

Eshaq Hakimi pula tidak lepas merenung langkah kedua-duanya yang kian menjauh. Tidak senang duduk di situ menyebabkan dia turut mengangkat punggung. Terdorong ingin melihat siapa lelaki bernama Qayyum. Dan saat kaki menginjak lantai ruang makan, sudah kelihatan seorang lelaki segak mengenakan kemeja ungu muda di ruang tamu utama. Berbual mesra dengan dua gadis tadi. Keningnya hampir bertaut saat melihat seraut wajah tenang itu. Seperti pernah bertemu dengan lelaki itu namun gagal mengingatinya.

“Abang, awalnya datang. Tadi sibuk kata pukul enam.” Rungut Suzila kepada Qayyum. Baginya dengan kedatangan Qayyum bermakna, waktu untuk bersama sahabatnya itu semakin singkat walaupun mereka akan bertemu pada hari peperiksaan nanti.

“Tadi abang keluar awal sebab nak cari rumah Suzy ni. Takut tersesat, lambat pulak sampai nanti.” jawab Qayyum sambil melipat lengan baju kemejanya ke siku kerana mulai rimas. Dia baru sahaja habis dutinya hari itu.

“Abang, boleh tak kalau kita tunggu mama dengan papa Suzy balik dulu? Dia orang keluar kejap tadi.” sambung Siti Shafura pula memandangkan lelaki itu tiba lebih awal dari waktu yang dijanjikan.

“Boleh. Abang pun belum solat asar ni. Ingat abang nak tumpang solat dulu. Boleh tak Suzy?”

“Boleh. Jom, Suzy tunjukkan bilik solat.” Suzila bingkas diikuti Qayyum. Manakala Siti Shafura melangkah ke ruang dapur.

“Er.., abang.” langkahnya terhenti apabila laluannya dihalangi tubuh Eshaq Hakimi di ruang makan.

“Siapa lelaki tu?” Terpacul soalan itu di bibir Eshaq Hakimi.

“Kawan.”

“Kawan ke boyfriend?” Eshaq Hakimi senyum sinis.

“Er.., dia..”

“Aku ingat orang alim tak couple.” sindir Eshaq Hakimi sebelum terus berlalu.

Siti Shafura tercengang sebelum helaan panjang dilepaskan diiringi istighfar. Terpaksa menelan tuduhan tidak berasas itu.

Sementara Eshaq Hakimi yang melangkah ke atas rumah, bertembung pula dengan Suzila.

“Abang, Suzy pinjam kain pelekat abang kejap eyh? Nak bagi Abang Qayyum.” ujar gadis itu sambil menunjukkan sehelai kain pelekat di tangan.

“Tahu pinjam, tahu basuh!” jawabnya dingin sebelum terus melangkah masuk ke bilik. Entah kenapa hati dicuit api cemburu dengan kehadiran lelaki bernama Qayyum itu. Terutamanya apabila melihat layanan mesra yang diberikan oleh Siti Shafura. Bukan sekali dua dia ternampak lekuk manis di kedua-dua belah pipi gadis itu ketika berbual tadi. Argh!!
……………

“Papa, terima kasih sebab selama ni dah banyak tolong Siti dengan ummi. Halalkan makan minum Siti sepanjang Siti tumpang dekat rumah papa ni. Maafkan Siti, kalau Siti ada buat salah dengan papa selama ni…” ucap Siti Shafura lirih sambil duduk bersimpuh di hadapan Tan Sri Kamil. Lelaki yang sebaya dengan arwah walidnya itu sudah dianggap seperti bapanya sendiri. Ingin didakap erat tubuh tua itu. Namun apabila memikirkan batas yang ada, hasrat itu terpaksa dipendam. Dengan berlapikkan kain tudung, tangan tua itu disalam tanda hormat.

“Papa halalkan semuanya. Terima kasih sebab sudi jadi anak papa.” balas Tan Sri Kamil perlahan sambil menyentuh kepala Siti Shafura yang berlapik tudung. Tersentuh hati tuanya dengan keluhuran gadis itu. Sebanyak mana kesenangan yang cuba diberi, gadis itu tidak pernah mengambil kesempatan.

Siti Shafura menyeka air matanya yang mula luruh sebelum beralih kepada Puan Sri Amna yang sudah teresak-esak menangis. “Mama…” Terus sahaja tubuhnya didakap erat. “Mama.., Siti mintak maaf, kalau selama Siti duduk sini, Siti ada buat salah dengan mama, berkasar dengan mama. Halalkan apa juga makanan yang masuk dalam perut Siti sepanjang Siti duduk sini ya mama..” ucapnya dengan suara yang tersekat-sekat kerana tidak dapat menahan kesedihan lagi. Hari itu merupakan hari yang terakhir dia tinggal di situ sebagai anak angkat keluarga Tan Sri Kamil kerana selepas sahaja peperiksaan akhir tamat, dia akan terus pulang ke kampung untuk menjaga umminya di sana.

“Mama halalkan semuanya sayang.. Mama halalkan.. Siti tak ada buat salah apa pun dengan mama. Mama lagi bangga dapat anak macam Siti. Terima kasih sebab selama ni, Siti dah banyak tolong ingatkan family mama. Ajar macam-macam pada family mama.” Tulus. Puan Sri Amna mengucup lembut dahi dan kedua-dua belah pipi gadis itu. Air mata yang mengalir di pipi mulus itu disapu lembut.

Dia amat bersyukur akan pinjaman yang telah Allah beri kepadanya dan keluarga. Kehadiran Siti Shafura dalam keluarganya memang memberi makna yang cukup besar dan tidak ternilai.

“Siti sayang mama.” ucap Siti Shafura lagi seraya membalas kucupan di kedua-dua belah pipi Puan Sri Amna.

“Siti tetap jadi anak mama dengan papa sampai bila-bila sayang. Rumah ni sentiasa terbuka untuk Siti.” wanita itu sudah mengalirkan air mata.

“Siti, kenapa awak menangis? Kan nanti kita boleh jumpa lagi..” rungut Suzila yang memerah mata apabila Siti Shafura mengambil tempat di sisinya. Sebenarnya dia sendiri terkesan dengan keputusan sahabatnya itu yang tidak akan lagi tinggal bersama mereka hingga peperiksaan akhir tamat.

Siti Shafura cuba memaniskan senyum. Memang mereka akan bertemu lagi ketika hari peperiksaan nanti. Tetapi, mereka tidak mungkin akan dapat menghabiskan masa bersama seperti sebelum ini.

Suzila yang sudah tidak dapat menahan sebak terus memeluk erat sahabatnya itu. “Siti, janji dengan saya, yang kita tetap jadi adik-beradik sampai bila-bila...” tuturnya sayu dengan linangan air mata.

“Insya-Allah Suzy. Hingga akhir hayat saya. Awak sahabat terbaik yang pernah saya ada dalam dunia ni…” balas Siti Shafura dalam nada yang sama. Semakin erat pelukannya.

Suzila tidak lagi mampu menjawab. Pelukan Siti Shafura dibalas seerat mungkin.

“Abang…” Siti Shafura terlihat kelibat Eshaq Hakimi melewati ruang tamu sebaik Suzila meleraikan pelukan. Laju langkah lelaki itu ke pintu utama. “Suzy, saya nak jumpa Abang Kimi kejap. Nanti saya datang balik.” ucapnya sebelum bingkas. Cepat dia mengatur langkah ke luar rumah apabila Eshaq Hakimi langsung tidak menghiraukan panggilannya tadi.

Tiga pasang mata yang ada di situ hanya memerhati. Sementara Qayyum yang sejak awal tadi lagi sedia menunggu di kereta untuk memberi ruang kepada Siti Shafura bersama keluarga angkatnya.

“Abang Kimi…” seru Siti Shafura lagi apabila lelaki itu terus sahaja meloloskan diri ke dalam kereta. Panggilannya langsung tidak diendahkan. Dia tidak mampu berbuat apa apabila Eshaq Hakimi terus sahaja memandu kereta keluar dari garaj tanpa berpaling lagi. Bibirnya melepaskan nafas berat. Ada hal penting yang ingin dibincangkan. Namun, tidak berkesempatan. Jelas mereka masih lagi terikat kerana ada perkara yang masih belum diselesaikan.

*******
“Siti, boleh abang tanya sikit?” Suara Qayyum memecah kesunyian sebaik mereka bertolak.

Siti Shafura menguntum senyum kecil. “Abang ni, sejak bila pandai mintak izin kalau nak tanya Siti? Macamlah baru semalam kenal Siti. Tanya ajelah apa yang abang nak tanya.” balasnya lembut. Walaupun kurang selesa apabila berdua-duaan begitu, dia terasa selamat jika bersama Qayyum. Antara yang telah banyak membantu dalam menguruskan hal umminya sebelum ini.

“Erm.., Siti ada apa-apa ke dengan abang Suzy tu?” Soalan yang sudah lama ingin ditanyakan sejak pertemuan mereka di restoren minggu lalu saat keluar bersama sahabat-sahabat gadis itu. Walaupun tidak bertegur sapa, dia perasan akan kelainan renungan Eshaq Hakimi.

Siti Shafura melebarkan senyum. Debar halus yang datang menyapa ruang dada, dikawal sebaiknya. Entah kenapa dengan mendengar sebaris nama itu sahaja, seperti terbau-bau aroma yang cukup menyenangkan. “Kenapa abang tanya macam tu?” Dia menjawab dengan soalan juga.

“Ialah… Sebab, abang tengok cara dia pandang Siti lain macam aje.” Dia tidak bodoh menilai maksud pandangan Eshaq Hakimi saat dia baru tiba tadi. Dingin.

“Lain macam? Lain macam, macam mana?”

“Erm… Dia macam suka Siti aje..” Qayyum melabuhkan senyum penuh makna. Dia percaya Siti Shafura tidak perasan akan kelainan tersebut memandangkan gadis itu sering menjaga pandangannya selama ini.

“Ia ke suka? Bukan dia tak suka Siti ke?” Siti Shafura sedikit pun tidak terkejut. Selama mengenali Eshaq Hakimi, lelaki itu tidak pernah menunjukkan sebarang kemesraan.

“Betul… Abang rasa dia suka Siti la… Tadi tengok abang, macam nak telan. Macamlah abang ni nak ambik Siti dari dia.” Qayyum tersengih.

“Tak adalah bang… Dia memang macam tu. Dari kali pertama Siti jumpa dia, muka dia memang macam tu abang. Susah nak senyum dengan orang yang dia tak kenal.” nafi Siti Shafura tidak mahu bersangka buruk.

“Ia ke? Tapi kenapa abang tak rasa macam tu?”

Siti Shafura memandang sekilas ke wajah Qayyum sebelum pandangannya di buang ke luar tingkap. “Bersangka baik ajelah bang…” tuturnya lembut. Dalam hatinya tersenyum lebar apabila teringat ayat yang sama dituturkan kepada Eshaq Hakimi malam tadi.

Qayyum tersengih kelat. Termalu sendiri. Terlupa akan salah satu pesanan yang biasa diingatkan kepada Siti Shafura dan rakan-rakan gadis itu sebelum ini. “Erm.., macam mana kalau apa yang abang kata tadi betul?” Sengaja dia menduga.

“Abang..” Siti Shafura memandang ke wajah Qayyum meminta agar lelaki itu menghentikan sahaja tekaan-tekaan yang dirasakan langsung tidak berkaitan.

“Abang bukan nak burukkan abang kesayangan Siti tu..”

“Habis tu?”

“Abang nak cakap, macam mana kalau abang kesayangan Siti tu betul-betul sukakan Siti? Siti nak tak terima dia?” Kata Qayyum berserta senyuman. Namun tidak buat gadis itu. Mati garisan halus yang biasa terpamer.

Dia percaya bahawa perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik... Begitulah sebaliknya seperti yang tercatat dalam surah An-Nur ayat 26.  Namun, dalam masa yang sama dia juga yakin jodoh yang ditentukan oleh Allah adalah yang terbaik walaupun lelaki itu tidak sebaik paras, tidak sebaik akhlak ataupun tidak sebanyak mana hartanya. Dia yakin semua yang telah ditentukan kerana Dia adalah sebaik-baik perancang. Dia tidak akan memberi apa yang kita mahu atau inginkan. Sebaliknya dia akan memberi apa yang kita perlukan.

“Siti..” seru Qayyum perlahan apabila Siti Shafura hanya mendiamkan diri.

“Kalau jodoh Siti dengan dia, apa yang Siti boleh buat bang… Siti akan belajar terima dia dengan reda yang paling maksimum kalau memang Allah dah tentukan dia jadi suami Siti nanti.” jawab Siti Shafura seikhlas mungkin. Ada debar halus menyapa lagi ruang dada diiringi aroma yang sering digunakan oleh Eshaq Hakimi hingga mengundang satu perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

“Siti tak kisah dia macam tu?” Duga Qayum lagi.

Siti Shafura tidak menjawab. Sebaliknya hanya senyuman manis yang dilemparkan. Dia tahu yang Qayyum tidak mengenali siapa sebenarnya Eshaq Hakimi seperti mana yang dia kenal. Soal jodoh dia memang tidak mampu tolak kerana dia hanya mampu merancang. Andai apa yang dirancangkan tidak menjadi, apa lagi yang boleh dilakukan selain reda. Mana-mana wanita akan memasang angan ingin mempunyai seorang suami yang soleh dan sentiasa taat kepada perintah-Nya. Seorang lelaki yang mampu menjadi imam, ketua keluarga dan ayah kepada isteri serta anak-anak. Seorang yang bertanggungjawab dan mampu membimbing ahli keluarganya jika terjatuh dan dia jugalah yang akan membawa semua ahli keluarganya ke dalam syurga kelak. Begitu jugalah yang pernah diharapkan sebelum ini.

“Kita hidup dalam dunia ni untuk saling lengkap melengkapi kan bang? Cuba bayangkan kalau kita semua terlalu memilih dalam mencari pasangan. Yang baik, mesti nak cari yang baik. Takkan yang kurang baik nak cari yang kurang baik jugak. Tak mungkin kan? Erm.., kalau semua yang baik cari yang baik, apa yang jadi pada yang kurang baik? Kalau macam tu, tak adalah konsep saling lengkap melengkapi lagi. Yang kurang baik terus terpesong jauh dari landasan yang sebenar. Orang yang baik-baiklah yang kena bimbing orang-orang yang kurang baik. Betul tak?” Bicaranya kemudian.

Qayyum senyum. Bangga dengan Siti Shafura sekejap. Gadis itu semakin bijak bicaranya. “Contohnya?” Ujinya lagi.

“Erm.., macam orang yang pakai tudung dengan yang tak pakai tudung. Tapi sebelum tu, Siti nak cakap yang Siti bukanlah yang terbaik. Ni contoh aje.” jawab Siti Shafura sambil menoleh sekilas ke wajah Qayyum dan lelaki itu menganggukkan kepala sedikit tanda mengerti.

“Siti bukan nak tuduh siapa-siapa. Tapi, kalau dekat kampus tu, Siti tengok bukan semua student yang pakai tudung akan berkawan dengan yang tak pakai tudung. Macam Siti kawan dengan Suzila, Nadia, Amylia. Sampai ada yang tanya kenapa Siti nak kawan dengan dia orang ni sedangkan Siti pakai tudung.” jelasnya.

“Sekarang, Siti dah tahukan kenapa abang pilih Amylia, kenapa abang tak pilih Siti.” sambung Qayyum dengan senyuman. Hal itu sudah banyak kali ditanyakan oleh Amylia kepadanya.

Siti Shafura senyum segaris. Dia tahu akan hakikat yang satu itu. Amylia memerlukan lelaki seperti Qayyum, yang boleh membimbing ke jalan kebaikan, memandangkan Amylia yang dikenali hari ini bukan seperti Amylia yang dahulu. Begitu juga dengan Suzila dan Nadia. Mereka bertiga sudah banyak berubah. Dan dia sendiri yakin dengan keupayaan Qayyum.

“Cuma.., Siti rasa, apa yang abang cakap pasal Abang Kimi tu, memang tak mungkinlah… Perempuan macam Siti mana layak untuk lelaki macam dia bang. Tengok ajelah family dia dengan family Siti.., jauh beza. Takut Siti.” luahnya merendah diri.

“Jodoh tak kenal darjat Siti..” Qayyum sekadar mengingatkan.

Siti Shafura tidak menjawab. Hanya senyuman nipis sahaja terukir di bibirnya. Akur akan hakikat tersebut walaupun sebaiknya, ukurlah baju di badan sendiri agar tiada kesulitan di kemudian hari. Tetapi apa yang pasti, dia amat menyayangi keluarga Tan Sri Kamil seperti keluarganya sendiri. Terutamanya Puan Sri Amna. Tersentuh hatinya tadi apabila Puan Sri Amna memberitahu telah mendaftarkan namanya untuk menunaikan umrah pada bulan hadapan bersama. Terlalu besar pemberian yang dihadiahkan menyebabkan dia terpaksa menolak. Tidak sampai hati menerima pemberian yang cukup bermakna itu walaupun dia memang teringin untuk menjejakkan kaki ke sana. Keinginan yang ditanam jika umminya sembuh nanti. Namun buat masa ini, segalanya tidak mengizinkan. Tidak sampai hati meninggalkan umminya begitu sahaja walaupun ada orang yang akan menjaga.

Air jernih bertakung lagi di tubir mata apabila teringat akan layanan yang diberi oleh keluarga Suzila kepadanya selama ini. Terlalu berharga hingga dia tidak mampu untuk membalasnya. Hanya seorang hamba Allah bernama Eshaq Hakimi sahaja yang masih dingin. Dalam diam dia menanam tekad mahu mencari masa yang sesuai untuk mertemu dengan lelaki itu sendiri sebelum pulang ke kampung nanti.


8 comments:

kak edah said...

Best arsha nak lagi thanks for lovely entry

Anonymous said...

Yippieee, suka kita, & trimakasih kerana sudi add Kak Siti alamak sama nama macan heroin awak nie. As usual nak lagi.

Peminat dari jauh
Siti Klinkner aka Anonymous (sebab tak tahu nak buat)

MaY_LiN said...

cian pureen
nape abg kimi ni
jeles bebeno

Bella Daud said...

terlebih emo lak si shaq nih....tak sabar nak nungguuuu full story...

Kak Sue said...

Kimi dah pandai cemburu nampak... 1 perkembangan yg baik... hihihi

Siti Klinkner said...

Bila nak upload yg baru

Siti Klinkner said...

bila nak sambung lagi

Siti Klinkner said...

Hari hari buka tengok bila nak sambung cik adik ooooiii