DB 4
“Ehem-ehem.. Malu bertanya sesat
jalan.”
Tegur satu
suara di belakang membuatkan kepalanya laju menoleh. “Menyibuk ajelah!”
Gumamnya sendiri namun masih dapat didengari lelaki itu.
Shah tersenyum
nipis.
“Kau ni
kenapa?! Kalau kau tak ganggu aku tak boleh ke?!” Bentak Fathiyah geram saat Shah
melabuhkan duduk di sisinya. Namun masih terkawal memandangkan mereka di tempat
terbuka.
“Aku cuma nak
tolong aje..” Shah dengan lagak macho
menyilangkan tangan ke dada. Kertas yang hampir koyak di tangan gadis itu jelas
di ruang matanya. “Hai.. dah dekat sebulan kau dalam ni, takkan sesat lagi.” selamba
dia menyindir kerana sedia faham akan kelemahan Fathiyah sejak dulu lagi. Sukar
mengingati jalan.
“Suka hati
akulah! Aku bukan susahkan kau pun!” Dingin Fathiyah menjawab. Perasaan benci
mula meluap-luap di hatinya.
“Eleh..
Macamlah aku tak tahu kau tu.” Shah masih mahu mengusik. Bukan senang dia dapat
berbual dengan gadis itu. Apabila terserempak dengan kelibatnya, pasti Fathiyah
akan cuba mengelakkan diri. Cuma hari itu, mahu atau tidak, Fathiyah kena
berhadapan dengannya.
Fathiyah
menegakkan wajah. Peta kampus dihempas ke riba. Wajah lelaki yang masih tidak
lekang dengan senyuman itu dipandang tajam. “Kau siapa nak sibuk hal aku? Aku ada
ganggu hidup kau ke? Takda kan? So,
boleh tak kau pergi dari sini. Aku menyampah tengok muka lelaki sewel macam
kau!” Dia menghamburkan rasa tidak puas hati yang terpendam.
“Siapa kata
kau tak ganggu hidup aku? Kau sambung study
dekat sini, kau ingat hati aku boleh duduk diam? Memang taklah. Aku terganggu kau
tahu tak?” Tingkah Shah berterus terang. Tidak berselindung lagi apa yang
tersirat di hatinya walaupun yakin yang hubungan mereka tidak akan sebaik dulu.
Dia sendiri tidak pernah meletakkan harapan kerana sedar akan keadaan diri.
Namun disebabkan amanah yang dipikul kini, terpaksa diturutkan juga hasrat hati
kerana sememangnya gadis itu sentiasa dekat di hati.
“Huh!” Giliran
Fathiyah mengukir senyum sinis. Wajah ditalakan ke arah lain. “Ada aku kisah kau terganggu ke tak? Tapi
sekarang ni, kau tu yang dah ganggu aku!” Lawannya tetap dalam kedinginan.
“Makcik. Hello. Aku ni terpaksa ganggu kau tahu
tak? Kalau tak, aku pun tak nak. Dah! Jom, aku hantar balik.” balas Shah geram.
Malas lagi mahu bertekak dengan Fathiyah yang takkan pernah habis. Dia perasan
api kebencian yang marak menyala dalam sepasang mata bundar itu.
“Huh! Kau gila
ke apa, aku nak balik dengan kau. Memang taklah!” Sengaja Fathiyah mengulangi
kata-kata lelaki itu tadi. Tetapi siap dengan mata dijulingkan ke atas lagi.
“Hei Makcik! Kau tengok jam kau sekarang
pukul berapa?” Kasar Amirudin menarik lengan gadis itu dan dibawa ke hadapan
mata. “Dah dekat pukul tujuh tahu tak? Kau ingat, aku suka-suka datang sini
ganggu ketenteraman kau? Memang taklah! Kau pun, bukan nak jumpa aku kan? Banyak
lagi kerja yang berfaedah aku boleh buat dari jumpa kau dekat sini!” Shah cuba
bersabar. Hanya kerana Amir dia ke situ.
Fathiyah merentap
kembali tangannya sebelum mencebikkan bibir. “Tahu pulak sekarang kau buat kerja tak berfaedah. Habis tu, kau tunggu
apa lagi dekat sini. Pergilah buat kerja berfaedah sangat kau tu! Tak payah nak
sibuk hal aku dekat sini!” Dia menyindir.
Shah ketap
bibir rapat. “Kau tengok sekeliling kau sekarang. Ada tak orang lagi? Dah dekat
maghrib ni. Kau nak tunggu bas sampai bila dekat sini? Sampai esok?”
Sememangnya perhentian bas di hadapan perpustakaan itu sedikit sunyi jika
menginjak lewat petang.
“Biarlah! Aku
tak susahkan kau pun.” Fathiyah menjawab selamba walaupun hatinya mula
dilambung kerisauan. Selama dia di situ, hanya abangnya sahaja yang akan datang
menjemput setiap kali tamat kelas. Cuma hari itu, dia terpaksa pulang sendiri
kerana abangnya berkursus di Ipoh selepas menghantarnya pagi tadi. Bakal kakak
iparnya pula sedang bercuti di kampung.
“Kau tak payah
banyak songeh sangatlah! Kalau jadi apa-apa pada kau, aku jugak yang susah!” Shah terus sahaja menyambar beg sandang gadis
itu bersama buku-buku kulit tebal yang ada bersama.
“Shah!”
Terkocoh-kocoh Fathiyah mengekori langkah panjang Shah ke tempat letak kereta.
“Masuk!” Tegas
Amirudin bersuara sebaik dia membuka pintu kereta.
“Kalau aku tak
nak macam mana?” cabar Fathiyah berani.
Shah
mengecilkan mata sebelum wajahnya terus sahaja dirapatkan ke wajah gadis itu
hingga Fathiyah tersandar di tepi kereta. “Kau ni memang suka cabar aku kan..”
“Ada apa ni?”
Sapa satu suara menyebabkan masing-masing menoleh. Shah menjarakkan dirinya. Wajah
pensyarah muda itu dipandang.
“Er.. Doctor..” Fathiyah serba salah.
“Fathiyah.. Are you okay?” Dr. Kamarulzaman
prihatin.
“Er.. Okey..”
Sengihan pahit dilemparkan pada penyelia tesisnya.
“Cepat masuk!
Kita dah lambat ni!” Tegas Shah mengarahkan dengan suara tertahan kerana tidak
senang dengan kehadiran pensyarah muda itu dengan tiba-tiba.
Fathiyah
menghadiahkan jelingan tajam kepada Shah sebelum senyuman manis yang
dibuat-buat pula kepada lelaki berkemeja hijau muda itu. “Er.. Doctor, saya balik dulu. Appointment kita esokkan? Esok saya
datang jumpa doc. Bye!” Ucapnya sebelum terus sahaja meloloskan
diri ke dalam kereta.
“Sorry doc. Assalamulaikum.” Shah
berbahasa sebelum dia terus mengambil tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan.
Tanpa menghiraukan wajah Kamarulzaman yang masih terpinga-pinga, kereta dipecut
keluar dari kawasan parkir.
“Aku cakap
elok-elok kau tak nak dengar! Kau memang suka aku paksa-paksa kau kan?!” bebelnya
sambil melihat bayang pensyarah muda tadi semakin mengecil dalam cermin pandang
belakangnya.
Fathiyah
menjuihkan bibir dengan pandangan mata ditalakan ke luar tingkap. Masam kelat
wajahnya saat itu. Terpaksa dia menurut kata-kata Shah kerana tidak mahu penyelianya
tahu apa yang sedang berlaku.
“Aku nak
hantar balik pun susah! Mengalahkan macam orang kena paksa kahwin!” Shah masih
lagi tidak henti membebel.
Fathiyah
menoleh. “Kau jangan sebut pasal
kahwin or segala tok nenek kahwin!
Aku tak nak dengar! Nak sangat hantar aku balik kan? Drive ajelah elok-elok! Tak payah nak membebel macam mak nenek!”
Hamburnya geram. Sakit hati mendengar perkataan yang bersangkut paut dengan
kisah lalu.
Shah menjeling.
Sengaja dia menambah kelajuan kereta Toyota Vios miliknya walaupun jalan yang
dilalui sedikit sesak. Banyak kereta pada lewat petang begitu. “Macam manalah
aku boleh suka dengan perempuan macam kau ni.” ucapnya perlahan namun masih
sampai di pendengaran Fathiyah.
“Excuse me? Kau suka aku lagi? Ha ha ha..
Kelakar!” Fathiyah pura-pura gelak walaupun ada getaran halus muncul dari celah
hatinya.
“Suka akulah
nak suka kau ke tak. Bukan aku usik kau pun.” Selamba Shah menjawab akan
hakikat hatinya selama ini.
“Erk? Whatever! Ada aku kisah! Tapi kau jangan
haraplah aku nak suka kau. Memang taklah!” jawab Fathiyah pura-pura yakin.
Padahal hatinya kian bergetar hebat.
“Ada aku suruh
kau suka aku ke? Takda kan? So,
janganlah perasan!” Shah tidak mahu mengalah.
Fathiyah
mencebikkan. “Macamlah aku terhegeh-hegeh nakkan kau! Tak hingin aku budak repeat macam kau!” Perlahan sahaja
bibirnya menjawab. Namun cukup jelas pula di pendengaran lelaki itu.
Shah menarik
senyum tepi. Hakikat yang terpaksa ditelan walaupun terasa pahit. “Kau jangan
risaulah Tiya.. Aku suka kau, takkan sampai aku nak nikah dengan kau. Aku tahu
aku tak layak untuk kau. Ada ramai lagi lelaki baik dekat luar tu untuk kau.” balasnya
lebih mengendur berbanding tadi. Kata-kata yang menghiris hatinya sendiri.
Fathiyah ketap
bibir. Wajah dipalingkan ke luar. Cuba tidak menghiraukan kata-kata yang
menghiris lumat hatinya. Dia keliru. Kenapa perlu ada sayang di hati lelaki itu
memandangkan tiada penyatuan di penghujungnya.
Sepi.
“Seminggu ni
aku yang akan ambik, jemput kau dari
rumah. Apa-apa hal call aje aku.”
Suara garau Shah memecah sepi membuatkan
Fathiyah laju menoleh ke sisi.
“Apasal pulak? Kau ingat aku dah takda
kaki nak pergi balik sendiri ke?”
“Kau ni, kalau
tak menjawab tak boleh ya? Aku cakap tu, ikut ajelah!” Shah kembali meninggi
suara. Kesabarannya tercalar dek mulut Fathiya yang memang kuat menjawab.
Fathiyah
mencebik. Wajah dipalingkan ke sisi. Sakit hati! Tidak menyangka hidupnya masih
berkaitan dengan lelaki itu walaupun hubungan mereka sudah lama berakhir. “Kau
nak bawak aku ke mana pulak ni? Kata nak hantar aku balik?” Bentaknya
memperlahankan kereta saat tiba di satu persimpangan.
“Kau tak
nampak tu apa?” balas Shah sinis.
Fathiyah
memandang ke arah yang dimaksudkan. Matanya membulat. Terasa seperti ada orang
mengetuk kepalanya saat mata terpandang akan sebuah masjid yang tersergam
indah. Terlupa yang waktu itu sudah pun masuk waktu maghrib.
“Lain kali
jangan nak fikir jahat aku aje!” Selamba Shah menyindir sebelum memakirkan kereta
di tempat yang disediakan.
Fathiyah tetap
berlagak tidak bersalah.
“Kau boleh
solat ke tak? Kalau tak, aku tak matikan enjin ni.” tanya Shah sebaik menolak
daun pintu.
“Tak.” Ringkas
Fathiyah menjawab dengan wajah yang mula terasa kebas. Tidak terpandang wajah
Shah saat itu.
“Jaga kereta
aku baik-baik. Kunci pintu. Risau pulak
ada hantu masuk usik kau nanti.” Sempat Shah mahu mengusik sebelum keluar.
Sengaja mahu menambah sakit hati gadis itu dan ingin meraikan kemenangan di
pihaknya.
******
Puas dia memusingkan tubuh untuk
melelapkan mata. Namun tetap juga gagal. Kini mata yang layu terasa segar.
Kipas siling yang berputar ligat dipandang kosong.
“Kenapalah aku
jumpa kau..” Keluhan terlepas dari bibirnya apabila mengingati apa yang berlaku
tadi. Mata dipejamkan cuba untuk lena. Namun hasratnya terganggu apabila telinga
dapat menangkap bunyi getaran.
Bersama
rengusan, dia terus menyambar telefon bimbitnya dari atas meja sisi katil.
“Siapa pulak yang call aku malam-malam buta ni.” bebelnya
sebaik melihat sebaris nombor tidak bertuan di skrin iPhone 4s miliknya. Tiada
hati mahu menjawab, dibiarkan panggilan itu terputus sendiri. Dan apabila
sekali lagi gadget itu kembali
mengeluarkan getaran, dia merengus geram. Gadget
itu terus dilekapkan ke telinga.
“Siapa ni?”
Kasar dia menyoal kerana tidak suka orang yang tidak dikenali menghubunginya
lewat malam begitu.
“Aku dah agak
kau tak boleh tidur punya.” Suara garau menyapa diiringi tawa menyebabkan
hatinya mula mendidih. Darah panas mencanak ke kepala. Talian terus diputuskan.
Walaupun nombor tidak bertuan, dia cukup kenal dengan suara garau menyakitkan
hati itu. Terkumat-kamit mulutnya memarahi.
Tidak sampai seminit, gadget
yang masih dipegang bergetar semula. Tetapi kali ini SMS diterima.
+
Sorry la kacau kau malam-malam ni. Aku tak boleh tidur la..
Bibir diketap.
Serentak itu laju dia membalas.
+ Ada aku kisah kau tak boleh tidur?
Ayat
menyakitkan hati.
+
Eleh.. Tak kisah konon. Kalau tak kisah, yang kau balas mesej aku kenapa? :P
Sekali lagi
bibirnya diketap rapat. Nafas keras dilepaskan sebelum tubuhnya direbahkan
kasar. Mengambil keputusan untuk tidak lagi membalas. Hatinya benar-benar geram
dengan Shah yang sengaja menduga kesabarannya. Mata dipejamkan rapat. Cuba
untuk melelapkan mata. Namun ketenangannya tidak berlanjutan kerana telefon bimbitnya masih lagi bergetar dan dia
sudah dapat meneka siapa yang mengganggunya lagi saat itu.
+
Takkan sentap kut.. Relax la.. Nak gurau pun tak boleh. Kita pun dah lama tak
berbualkan.. Kau tak rindu dekat aku ke? :P
Rengusan
dilepaskan lagi selepas membaca SMS yang dihantar.
+ Kau memang tak faham bahasakan?! Kau lupa
apa aku cakap dulu? Kita dah takda apa-apa la. Aku tak nak ada apa-apa hubungan
dengan kau lagi! Kau tak faham ke?!!
Dia membalas
geram.
+
Aku faham, aku ingat. Aku takkan lupa sampai aku mati. Tapi tak boleh ke, kalau
kita jadi kawan macam dulu-dulu? Aku tahu kau tak pernah nak maafkan apa yang
aku dah buat pada kau sebelum ni. Aku faham tu. Tapi, boleh tak kalau kau
lupakan hal tu? Aku janji aku nak kawan aje dengan kau. Dua tahun aku hidup
dalam dendam kau Tiya.. Aku dah penat.. Please Tiya.. Aku janji takkan ada rasa
cinta lagi dalam hati kau untuk aku.. Aku cuma mintak kita boleh jadi kawan.
Ada air hangat
mula bertakung di tubir mata saat membaca ayat panjang yang terpapar di skrin.
Dalam kekeliruan akan susunan ayat yang dibaca, hatinya tetap digamit rasa
sedih. Sesungguhnya dia tidak dapat menafikan apa yang tersirat di hatinya. Masih
ada sisa kasih yang sukar disingkirkan buat lelaki itu. Cuma dia sahaja yang sedaya
upaya menafikannya.
+ Semua ni takkan jadi kalau kau tak batalkan
pertunangan kita dulu..
Itu sahaja yang
mampu dibalas sekali gus meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada lelaki itu. Hingga
ke hari ini dia tidak mampu menerima alasan yang diberi oleh Shah demi
membatalkan majlis pertunangan mereka dahulu.
+
Aku tahu aku salah Tiya. Tapi aku nak kau tahu, aku buat semua tu bersebab. Dan
mungkin kita memang takda jodoh.
+ Kalau kau dah tahu kita takda jodoh, apa
lagi yang kau nak dari aku?! Kenapa kau cuba lagi nak berkawan dengan aku?! Kau
tahu tak, hati aku sakit bila nampak muka kau.. Pleaselah Shah. Aku dah tak nak ada kena mengena dengan kau lagi..
Dia membalas
dalam esakan yang mula kedengaran sebelum telefon bimbitnya terus dimatikan.
Tidak lagi aktif. Dia tidak mahu membaca ayat-ayat yang mampu menggoyahkan
tembok kebencian yang telah kukuh ditanamkan di dalam hatinya selama dua tahun
itu.
………………
“Kau ni biar betul bro. Dah tengah malam ni tahu tak? Kalau
jiran-jiran dia nampak macam mana? Tak pasal-pasal
kita ke dalam nanti. Kau nak muka kita keluar front page semua paper
esok?” Anuar ragu-ragu dengan apa yang ingin dilakukan oleh Shah.
“Biarlah!
Bukan luak pun. Paling teruk pun jadi glemer
sekejap. Dua bekas pemain hoki kebangsaan ditangkap kerana mengendap bekas
kekasih.” Amirudin tersengih nakal dengan mata meliar ke sekeliling memerhati
kawasan perumahan yang sudah pun sunyi dari keriuhan. Yakin semuanya sudah lena
diulit mimpi memandangkan jam menginjak dua pagi.
“Hotak kau! Kau nak kita kena singkir
dari team ke apa?” Anuar meluahkan
kerisauan. Lebih setengah jam mereka berdiri di hadapan pintu pagar itu.
“Alah! Dari
elok-elok orang tak tahu kita dekat sini, silap-silap wartawan pun datang kalau
dengar kau membebel dari tadi.” Tingkah Shah dengan suara yang tertahan.
“Takdalah..
Dah tentu-tentu kau nak hantar dia pergi kelas esok, yang kau susah-susah nak skodeng malam-malam buta ni kenapa?”
Anuar merendahkan sedikit nada suaranya. Risau akan kata-kata sahabatnya itu
tadi.
“Aku ni pegang
amanah orang Nuar.. Kalau jadi apa-apa pada dia, aku jugak yang kena marah dengan Si Amir tu nanti. Tu belum lagi kalau
Along tahu.. Mahunya dia kurung aku dalam sangkar Si Gina tu..” Shah masih
tetap dengan rancangannya dia. Dia mahu melihat sendiri keadaan Fathiyah kerana
sudah berkali-kali dia menghubungi gadis itu, talian langsung tidak dapat bersambung.
Anuar
tergelak. “Lantak kaulah! Aku nak tunggu dalam kereta. Aku tak nak masuk
campur. Apa-apa jadi, kau tanggung sendiri. Aku tak nak terlibat!” Dia beredar
dari pintu pagar rumah teres dua tingkat itu untuk kembali ke kereta di
seberang jalan.
“Nuar!” Shah ketap
bibir. Geram melihat sahabatnya hanya melambaikan tangan sebelum meloloskan
diri dalam kereta. “Hampeh! Aku suruh
tunggu sini, dia blah pulak!” Gerutunya sendiri kerana mula
ragu-ragu apa yang ingin dilakukan. Sememangnya dia punya kunci pendua rumah
teres itu kerana dia pernah sama-sama tinggal di situ sebelum berpindah ke
rumah keluarganya.
Telefon bimbit
dikeluarkan. Dia mahu cuba sekali lagi menghubungi Fathiyah sebelum bertindak.
Beberapa saat menanti, talian masih tetap sama. Rumah yang gelap-gelita itu
dipandang lagi. “Berani betul perempuan ni tidur dalam gelap.” omelnya sendiri
apabila perasan memang tiada satu lampu pun yang terpasang. Perasaan risau terhadap
gadis itu kembali menjentik hati.
Telefon bimbit
yang masih dipegang tiba-tiba mengeluarkan getaran. Nama Anuar terpampang
membuatkan dia menoleh ke arah kereta. Talian disambungkan. “Kenapa?” Dia
mendahului.
“Jomlah kita
balik. Aku tak sedap hati la. Kalau tiba-tiba pencegah maksiat datang macam
mana?”
“Mulut kau
memang mintak kayu hoki aku kan.” Dia
memandang wajah sahabatnya yang sedang tersengih-sengih.
“Kau jangan
cakap aku tak ingatkan.”
“Kau ni bukan nak
support aku. Lagi nak doakan aku yang
bukan-bukan!”
“Ialah-ialah.
Aku support kau la ni. Kalau tak support, takdanya aku nak datang buang
masa dekat sini. Cepat sikit buat kerja gila kau tu! Aku dah mengantuk ni.
Kalau aku tertidur, pandai-pandailah kau.” balas suara garau sahabatnya sebelum
talian diputuskan. Ibu jari dinaikkan menunjuk ke arah sahabatnya di seberang
jalan. Bibir mengoyak senyum yakin. Segugus kunci dikeluarkan.
Sebaik sahaja
pintu utama terbuka, dia terus sahaja melangkah masuk. Tanpa mahu menghidupkan
suis lampu, kakinya terus menginjak tangga. Dengan bantuan samar cahaya lampu
jalan, dia masih dapat melihat tiga buah pintu yang bertutup rapat. Cuba meneka
di mana Fathiyah berada. Kaki diatur ke pintu yang paling hujung kerana
teringat akan bilik yang pernah didiami lebih setahun itu.
Pintu yang
tidak berkunci ditolak. Suis lampu dicari. Gerakannya kaku saat terlihat
sekujur tubuh yang sedang lena. Liur ditelan. Aurat yang tidak sewajarnya
menjadi tatapan, kini terlihat. Lambat-lambat kakinya melangkah merapati katil.
Tidak senang melihat panorama itu, dengan hati-hati, kain selimut di hujung
kaki ditarik untuk menutupi tubuh yang agak terdedah. Wajah Fathiyah yang
sedang lena dipandang dalam-dalam. Terusik sedikit hatinya melihat ada sisa air
jernih di hujung mata gadis itu. Tanpa dipaksa, hujung jarinya menyapu lembut
wajah mulus itu.
Bunyi ketukan
tiba-tiba di pintu utama membuatkan dia terkejut. Tubuh segera dijarakkan
apabila Fathiyah mula bergerak. Bunyi ketukan kembali kedengaran malah kini
bertambah kuat menyebabkan terus sahaja dia melangkah keluar dari bilik kerana
yakin Anuar yang memanggilnya. Dan di saat pintu utama dibuka, wajah Anuar
terpampang bersama beberapa orang lelaki yang tidak dikenali.
“Nuar..”
Terdengar
keluhan berat terlepas di bibir sahabatnya itu.
Manakala
Fathiyah yang terpisat-pisat bangun, terus sahaja turun dari katil apabila
terdengar suara orang sedang berbual-bual. Namun langkahnya mati di muka pintu
yang terbuka apabila mula terasa pelik. Keningnya hampir bertaut. Cuba mengingati
kembali apa yang berlaku sebelum dia terlena tadi. Biliknya terang benderang
dengan pintu bilik luas terbuka. “Bila masa aku…” Ayatnya mati di situ apabila
suara asing semakin jelas di pendengarannya. Mata terus terhala ke arah tangga
yang terang. “Angah dah balik ke?” omelnya sendiri sebelum dia menyambung langkah.
“Angah…”
Langkahnya mati di tengah tangga saat mata terpandang akan wajah-wajah yang
tidak dikenali sebelum akhir sekali terhenti pada seorang lelaki yang cukup
dikenali sedang duduk menunduk di sofa.
No comments:
Post a Comment