DB 10
Fathiyah menarik nafas
dalam-dalam. Punggung dilabuhkan di tepi tembok hadapan dewan kuliah. Ada lagi 5
minit sebelum waktu kelas bermula. Otak mula merangka-rangka apa yang harus
diucapkan sebagai mukadimah sebelum kuiz bermula.
Mata
dihalakan ke arah buku rujukan yang turut diserahkan oleh Suhana tadi. Satu
subjek yang sudah lama ditinggalkan. Kemudian dia menyelak pula fail jernih
yang dibawa. Melihat pada ketebalan kertas bertaip itu, keluhan berat terlepas
di bibirnya. Ada 80 orang pelajar ke semuanya. Tidak menyangka sebegitu ramai
pelajar Suhana.
Jika
tidak disebabkan Suhana punya urusan kecemasan hari itu, dia tidak mungkin kini
di hadapan sebuah dewan kuliah di Fakulti Pendidikan. Oleh sebab tidak sampai
hati menolak permintaan bakal kakak iparnya itu, dia terpaksa melalui sesuatu
yang baru di situ.
“Tiya.. Kali
ni aje Tiya. Tiya nak jadi lecturer
kan? Ni la masanya Tiya cuba. Tahu suasana mengajar macam mana. Cuma yang ni,
takdalah Tiya mengajar. Just
tengokkan dia orang jawab soalan aje.. Tolong kesiankan akak Tiya..”
Rayuan Suhana
yang tidak mampu ditolak menyebabkan dia bersetuju untuk membantu.
Pandangan
dibuang ke arah pintu dewan yang bertutup. Melalui cermin di pintu itu, dia
boleh melihat lebih separuh daripada pelajar sudah pun tiba yang kebanyakannya
adalah pelajar perempuan. Kata Suhana, hanya 30 orang pelajar lelaki dan
selebihnya adalah perempuan. Melihat keadaan itu, dia kian kecut perut. Nafas
ditarik lagi dan kali ini lebih panjang sebelum dia bingkas. Sudah tiba masanya
dia masuk ke dewan kuliah. Skirt
hitam labuh mencecah buku lali diperbetulkan sedikit. Begitu juga dengan kemeja
putih yang tersarung di tubuh. Ikatan rambut ekor kudanya diperkemas sebelum
sekali lagi dia menarik nafas dan dihembus perlahan. Dengan lafaz bismillah,
kaki diayun kemas ke pintu.
Sebaik
kaki menginjak sahaja lantai dewan kuliah yang berhawa dingin itu, suasana
menjadi sunyi. Semua mata terhala ke arahnya yang terus melangkah ke meja utama
yang mengandungi sebuah monitor dan juga pembesar suara.
Fail
jernih bersama buku rujukan dan beg kuliah yang setia bersamanya sejak tadi
diletakkan penuh yakin di atas meja sebelum matanya dihalakan ke hadapan.
Sekali imbas memandang ke semua pelajar yang duduk bertingkat-tingkat di
hadapannya. Semua memberi perhatian kepadanya. Bismillah dilafazkan dalam hati.
“Assalamulaikum.”
ucapnya yakin.
“Cik,
pakai mike? Tak dengar.” Ada satu
suara melaung dari belakang cukup jelas di pendengarannya membuatkan dia
sedikit terkejut.
“Cik,
boleh pakai mike tu.” Seorang gadis
bertudung biru muda yang duduk di tingkat paling bawah, berhadapan dengannya
pula menegur.
“Oh..
Okey. Thanks.” Senyum kecil
dilemparkan. Kekalutan segera dikawal agar tidak kelihatan. Hampir terlupa akan
penggunaan pembesar suara yang disediakan di situ. Terasa mahu diketuk
kepalanya saat itu.
“Assalamualaikum
semua.” ucapnya bersama senyuman manis.
Bergema
dewan kuliah itu apabila salamnya dijawab.
Fathiyah menarik nafas lega walaupun hatinya tetap terasa gentar dengan semua
bakal pendidik di hadapannya.
“Saya
Nur Fathiyah Abdul Rahman. Yang menggantikan Cik Suhana hari ni kerana dia emergency call tadi.”
“Oh..”
Bergema lagi ruang dewan itu dengan suara pelajar-pelajar di hadapannya.
“So, untuk kelas hari ni, saya yang akan
ganti. Dan kelas pada minggu hadapan, Cik Suhana akan ambil semula seperti
biasa.” ucapnya lagi menjelaskan seperti mana yang dipesan oleh bakal kakak
iparnya tadi.
“Untuk
hari ni, saya diberitahu, anda semua akan..” Kata-katanya terhenti apabila
pintu dewan kuliah terbuka dan sekumpulan pelajar lelaki masuk.
Ada
pelajar yang memberi salam, ada yang melemparkan senyum kepadanya sebelum semua
mengambil tempat masing-masing. Dan panorama itu sebenarnya sedikit pun tidak
menghairankan kerana pelajar universiti sudah sebati dengan kehadiran lewat
pada setiap kali kuliah. Melainkan jika ada pensyarah-pensyarah yang meletakkan
peraturan yang agak ketat. Di mana, setiap pelajarnya dikehendaki tiba di
kelas, lima minit awal dari waktu yang dijadualkan.
“Okey.
Boleh saya sambung?” Dia kembali bersuara sebaik kumpulan pelajar lelaki tadi
sudah pun kembali tenang di tempat masing-masing.
“Okey.
Seperti mana yang dimaklumkan oleh Cik Suhana, hari ni dia nak buat kuiz. So, saya akan serahkan soalan yang sudah
disediakan setiap seorang dan anda dikehendaki menjawab hingga kelas tamat.
Siapa yang siap awal, boleh balik awal.” Terasa dia makin selesa. Berkurangan
rasa gentarnya tadi. Fail jernih yang dibawa tadi dibuka dan diagihkan kertas
bertaip tersebut melalui pelajar yang paling hadapan.
“Anda
dikehendaki menjawab semua soalan yang diberi.”
“Cik
Nur Fathiyah Abdul Rahman!” Ada suara yang memanggil menyebabkan dia
tercari-cari Si Empunya suara.
“Ya.
Ada soalan ke?” Soalnya terkawal dan cuba setenang mungkin sebaik mengenal pasti
pelajar yang memanggilnya tadi. Lelaki yang cukup dikenali. ‘Macam mana aku tak
perasan dia ada dalam ni tadi.. Haihh..’ Hati mengeluh berat apabila wajah Shah
menjamu ruang mata. Hampir terlupa dia kini di fakulti lelaki itu.
Shah
mengoyak senyum lebar bersama gelengan.
Fathiyah
ketap bibir menahan geram namun segera dikawal. Dia berdeham beberapa kali
sebelum kembali menyambung bicara. Wajahnya serius. Tanpa sekali pun memandang
wajah Shah lagi kerana risau lelaki itu membuat onar di luar jangkaannya.
Selesai
menerangkan arahan seperti mana yang dijelaskan oleh Suhana kepadanya, dia
terus melabuhkan duduk di kerusi tersedia. Mata dihalakan ke arah sekitar dewan
kuliah. Memerhati bakal-bakal pendidik di hadapannya itu menjawab soalan yang
diberi sebelum akhir sekali terhenti ke wajah yang telah mengucar-ngacirkan
hatinya sejak dahulu lagi.
Satu
saat, dua saat, tiga saat.. Gulp!
Liur
ditelan kesat. Bola mata segera dilarikan ke arah lain. Resah apabila renungan
mereka bertemu.
Shah
pula sembunyi senyum sebelum ia mengendur apabila teringat akan hakikat diri.
Sepasang matanya tidak lepas merenung
wajah yang serba tidak kena duduk di hadapan sana. Dalam diam dia berdoa
agar Fathiyah dapat bertemu dengan seorang lelaki yang lebih baik dan mampu
menjaga hati dan perasaan gadis itu lebih daripada apa yang pernah dilakukan
dulu.
………………
Fathiyah sudah berdecit beberapa
kali. Kesabarannya kian menipis apabila Shah seperti sengaja tidak mahu
menghantar kertas soalan yang diberi tadi sedangkan dewan kuliah itu sudah pun
kosong. Hanya tinggal mereka berdua di situ.
Bersama
rengusan, dia melangkah mendapatkan Shah. Kaki diatur deras memanjat tingkat
tangga kerana lelaki itu duduk di tingkat paling atas. Namun entah macam mana, belum
pun sempat sampai pada anak tangga yang terakhir, kakinya tersadung menyebabkan
tubuh hilang imbangan.
“Tiya!”
Segera Shah bingkas mendapatkan gadis itu.
“Kaulah
punya pasal ni!” Marah Fathiyah sambil menepi tangan Shah yang cuba membantunya
untuk bangun semula.
“Apasal salah aku pulak?” balas Shah pelik.
“Kalau
kau tak lembap sangat jawab, aku tak payah naik atas ni!” hambur Fathiyah yang sebenarnya
benar-benar marah dengan kecuaian diri sendiri. Selalu benar menunjukkan
kecuaian diri di hadapan lelaki itu. Kakinya mula terasa berdenyut menyebabkan
agak sukar dia berdiri semula walaupun sudah berpaut pada kerusi di sisinya.
Shah
terkedu. Agak terusik dengan kata-kata gadis yang sedang menyeringai sakit itu.
“Ada
aku suruh kau naik sini ke? Takda kan? Siapa yang suruh kau naik sini?” balasnya
dengan suara yang tertahan.
Fathiyah
ketap bibir. “Yang siapa suruh kau jawab lembap sangat! Sepuluh soalan pun,
susah sangat ke kau nak jawab! Kau tak nampak kelas ni dah kosong! Satu jam pun
dah habis tahu tak?! Kau ingat aku takda kerja lain ke, nak kena tunggu kau sorang-sorang dekat sini!” hamburnya
lagi meletakkan kesalahan di bahu lelaki itu pula.
“Kau
yang jatuh sendiri, aku yang salah?” Shah mula tahan hati.
“Ialah!!
Kau tu, lembap sangat jawab! Patutlah tak pernah lulus!”
Shah
ketap bibir. Darah panas terasa naik ke kepala. “Fine! Kau nak sangat kertas tu kan?!” Dia bingkas dari tepi tangga
itu. Kertas yang baru sahaja disiapkan, dilemparkan ke wajah gadis itu kasar
sebelum dia mencapai beg sandangnya dan terus berlalu. Rasa belas untuk
membantu gadis itu terus sahaja memudar. Tanpa berpaling lagi, dia meninggalkan
Fathiyah keseorangan di situ dengan perasaan yang cukup terluka.
“Macam
kau sorang ada hati kan!” rungutnya
geram. Dia juga punya hargai diri, punya ego yang perlu dijaga. Hati
benar-benar tergores dengan cemuhan gadis itu.
Fathiyah
terpempan. Hanya pandangan mata yang menghantar pemergian lelaki itu
menyebabkan tidak semena-mena air matanya merembes. “Shah..” Baru tersedar yang
dia sudah melukakan hati lelaki itu. Bertahun-tahun mereka bersama, belum
pernah dia melihat wajah Shah setegang itu.
Dewan
kuliah yang sunyi, bertambah sunyi memandangkan jam sudah pun menginjak tujuh
malam. Bayang Shah sudah pun hilang dari pandangan. Diseka air mata yang masih
berlinangan. Sungguh, kini dia terasa menyesal dengan keceloparan mulutnya tadi.
Dengan kaki yang terasa sakit, perlahan-lahan dia bingkas walaupun terasa
payah. Cukup sakit hingga tidak tergambar. Sedar yang kakinya mungkin sudah
terseliuh apabila melihat bahagian buku lali yang membengkak.
Sesekali
dia terpaksa mengemam kuat bibirnya apabila terpaksa menahan rasa sakit setiap
kali kaki kanan yang sakit memijak anak tangga. Mujur sahaja ada kerusi di
sepanjang tangga itu untuk dia berpaut walaupun sukar. Entah kenapa dia amat
berharap kemunculan Shah kala itu. Menitis lagi air matanya bersama rasa
bersalah yang mula mencengkam.
Sementara Shah
yang sedia duduk di dalam kereta, menahan rasa. Langsung tidak berganjak dari
tempat parkir walaupun dia boleh sahaja terus beredar dengan perasaan marah
yang bersisa. Sememangnya perasaan risau akan keadaan Fathiyah tidak mampu
disingkirkan sepenuhnya walaupun hatinya sedikit terluka. Hampir sahaja dia
kembali mendapatkan gadis itu tadi kerana keadaan Fathiyah yang sakit. Namun,
akalnya yang melarang dan sudahnya dia hanya mampu menanti di situ untuk
memerhati gadis itu dari jauh memandangkan hari semakin gelap. Keadaan fakulti
juga sudah lengang.
Sepuluh minit
menanti baru bayang Fathiyah muncul dari sebalik bangunan dewan kuliah. Melihat
betapa sukar gadis itu berjalan, hati dilambung resah. Sayang yang tidak mampu
dibuang. Mana ada hati yang senang jika melihat si kekasih hati dalam keadaan
sakit. Terhincut-hincut gadis itu berjalan sambil berpaut mengikut susur
dinding kuliah sebelum perlahan-lahan menuju ke perhentian bas. Beberapa kali
dilihat gadis itu berhenti menarik nafas. Sungguh panorama itu menggamit rasa
bersalah kerana membiarkan gadis itu sendirian tadi.
Stereng kereta
digenggam kejap demi menahan keinginan untuk membantu. Hati dan akal berperang
sesama sendiri sebelum tanpa sedar dia terus memandu kereta keluar dari petak
parkir dan menuju ke perhentian bas. Melihat keadaan gadis itu menahan sakit,
semakin sakit luka di hati.
Fathiyah
yang sedang cuba mengurut kakinya sendiri sedikit tergamam apabila ada sebuah
kereta berhenti betul-betul di hadapannya. Wajah tegang Shah yang keluar dari
kereta, dipandang sekilas sebelum wajah dilarikan ke arah yang lain kerana cuba
menyembunyikan air hangat yang kembali sarat di tubir mata.
“Masuk!”
Shah bersuara tegas sebaik membuka pintu kereta di sebelah tempat pemandu.
Fathiyah
pura-pura tidak dengar. Tidak dihiraukan Shah yang sedang merenung tajam. Setelah
apa yang berlaku tadi, dia tidak bersedia untuk bertemu dengan lelaki itu walaupun
ada perasaan bersalah yang bermukim di hati.
Shah
merengus keras. Bibir diketap serapatnya sebelum dia mendapatkan Fathiyah yang
masih duduk di perhentian bas. Punggung dilabuhkan di sisi gadis itu.
“Kau
nak aku angkat kau masuk dalam kereta ke?” ujarnya tertahan hanya buat
pendengaran gadis itu apabila masih ada beberapa orang pelajar lagi yang turut
menanti bas di situ.
“Aku
boleh balik sendiri.” jawab Fathiyah tidak bernada menyebabkan sekali lagi Shah
ketap bibir menahan geram.
“Kau
memang cabar aku kan!” ucapnya seraya bingkas. Lengang Fathiyah dipegang kejap
menyebabkan gadis itu terperanjat besar. Wajah dingin Shah dipandang dengan
rasa tidak percaya apabila lelaki itu berani bertindak sedemikian.
“Apa
kau buat ni?” Soalnya tertahan.
“Aku
kata masuk, masuk ajelah! Yang kau degil sangat kenapa!” jawab Shah di tepi telinga
gadis itu.
Fathiyah
menjeling tajam. Lengannya cuba ditarik, namun makin ditarik, makin kejap cengkaman
lelaki itu menyebabkan lengannya pula yang terasa sakit. Mahu atau tidak, dia
terpaksa menurut. Dengan kaki yang sakit dan bertongkatkan lengan lelaki itu,
perlahan-lahan dia melangkah.
Masuk
sahaja ke dalam kereta, masing-masing membungkam. Tiada sepatah kata pun yang
terluah.
Shah
tekun memandu ke destinasi yang dirasakan paling sesuai buat keadaan Fathiyah yang
sedang menahan sakit.
Manakala
Fathiyah pula terus menerus memencilkan diri. Lengan yang dicengkam kejap oleh
lelaki itu tadi, diurut lembut kerana mula terasa sengal. Berharap tiada kesan
yang kelihatan di sebalik kemeja lengan panjang yang dipakai. Keluhan kecil
terlepas dari bibirnya apabila mengenangkan keadaan diri. Hati sudah lama
sakit. Dan kini ditambah pula dengan kaki dan lengan.
……………………
“Apasal kau bawak aku ke
sini!” Fathiyah baru bersuara sebaik kereta yang dipandu masuk ke kawasan
perumahan keluarga lelaki itu.
Shah
mengerling sekilas. Tiada hati mahu menjawab selain terus sahaja memandu
keretanya dengan tenang.
“Aku
cakap dengan kaulah!” Bentak Fathiyah geram seraya menampar lengan lelaki itu sekuat
hati apabila kata-katanya langsung tidak diendahkan.
Shah
tetap tidak beriak walaupun lengannya terasa sedikit pedih. Hatinya lagi pedih apa yang berlaku di dewan
kuliah tadi.
Kereta
yang dipandu sudah pun masuk ke perkarangan rumah. Enjin kereta dimatikan
sebelum terus berlalu keluar mendapatkan pintu di sebelah Fathiyah.
“Dah
sampai. Kau boleh keluar!” ujarnya dingin seperti tadi.
“Hantar
aku balik!” Fathiyah berpeluk tubuh.
“Kalau
aku tak nak, kau nak buat apa?” Cabar Shah berani walaupun dia yakin Fathiyah
berani melakukan apa sahaja jika dalam keadaan marah.
Fathiyah
ketap bibir serapatnya. Wajah Shah dijeling tajam. Hatinya panas dengan
perasaan marah yang berbuku menggantikan rasa bersalah yang ditanggung. Dengan
rasa sakit hati, dia berusaha keluar dari kereta walaupun terasa payah.
Shah
pula hanya tertegak di tepi pintu. Hanya melihat akan kepayahan Fathiyah untuk
berjalan. Bukan dia tidak perasan akan keadaan kaki yang kian membengkak.
“Apa
tunggu lagi tu? Kau nak balik sendiri kan? Tu, gate terbuka luas. Pergilah balik!” Cabar Shah lagi apabila melihat
Fathiyah sedikit teragak-agak pula untuk melangkah sebaik berhenti di bahagian
belakang kereta.
Fathiyah
menoleh sekilas dengan air mata yang mula bergenang. Sungguh dia rasa sakit
hati apabila menerima layanan dingin daripada lelaki itu. ‘Sampai hati kau buat
aku macam ni Shah..’ rintihnya dalam hati.
“Tiya!
Shah! Kenapa tak masuk lagi tu? Dah maghrib ni. Tak elok lama-lama dekat luar!”
Laung Hajah Aznah yang muncul di muka pintu menyebabkan kedua-duanya berpaling.
Shah
terus sahaja melangkah tanpa menghiraukan Fathiyah yang masih bersandar di tepi
keretanya.
“Umi..”
Tangan uminya dicapai.
“Kenapa
tak cakap nak bawak Tiya balik hari ni?” Tanya Hajah Aznah sedikit pelik
melihat kemunculan kedua-duanya.
“Sorry
umi. Tiba-tiba rasa nak bawak balik sini.” jawab Shah bersama sengihan sebelum
dia terus meloloskan diri apabila Hajah Aznah cuba memukul lengannya.
“Bertuah
punya anak. Suka hati aje nak bawak balik anak dara orang!” Gerutu Hajah Aznah
sebelum membuang pandang ke arah Fathiyah yang masih tidak bergerak-gerak dari
tepi kereta.
“Tiya..”
Panggilnya sebelum menyarung selipar untuk mendapatkan gadis itu. Dan saat kaki
tiba di hadapan Fathiyah, hati tuanya tersentuh apabila melihat gadis itu sudah
berair mata.
“Tiya..,”
Digamit tubuh itu dalam pelukan dan kedengaran esakan halus di tepi telinganya.
“Kenapa
Tiya menangis ni? Jom kita masuk dulu. Nanti Tiya cerita dengan umi..” Dia cuba
memujuk sebaik meleraikan pelukan. Ibu jarinya menyapu lembut wajah yang lembap
itu.
“Umi..,
Tiya tak boleh jalan..” lirih Fathiyah memberitahu keadaannya yang sebenar
menyebabkan wanita itu beristighfar panjang. Kemudian, terus sahaja tubuhnya
dipapah untuk masuk ke dalam rumah.
“Tiya
duduk sini sekejap.” ujar Hajah Aznah sebaik membantu Fathiyah duduk di ruang
tamu. Melihat keadaan kaki yang sudah, dia segera berlalu ke ruang dapur untuk
mengambil ais. Itu sahaja yang mampu dilakukan buat sementara waktu bagi
mengurangkan bengkak yang ada sebelum mengenal pasti keadaan sebenar kaki.
“Tiya
tuam dulu kaki Tiya tu untuk kurangkan bengkak. Umi naik atas solat sekejap.
Nanti umi tengokkan.” kata Hajah Aznah lagi sebelum memanjat tangga. Resah hari
melihat keadaan Fathiyah begitu. Hanya satu bayang sahaja yang bergayutan di
ruang matanya kala itu, Shah!
Fathiyah
hanya diam. Namun dia tetap menurut apa yang diarahkan.
Di
tingkat atas, Hajah Aznah terus sahaja merempuh bilik anak bujangnya.
Shah
yang sedang mengikat tuala di pinggang dan bersedia ke bilik air, terkejut.
“Ada
apa umi?” Soalnya pelik apabila melihat wajah tegang uminya.
“Ada
apa, Shah tanya umi?” Hajah Aznah menampar lengan anak keduanya itu. Geram! “Yang
dekat bawah, sakit tu kenapa? Menangis lagi. Apa yang Shah dah buat pada anak
dara orang tu!” Marahnya tertahan.
“Erk?
Apa pulak Shah? Umi tanyalah dia
sendiri. Dia yang cari penyakit. Bukan Syah.” jawab Shah selamba sebelum terus
sahaja berlalu ke bilik air.
Hajah
Aznah ketap bibir kuat menahan geram. Melihat Fathiyah yang sakit itu sahaja
dia yakin ada sesuatu yang telah berlaku di antara kedua-duanya.
4 comments:
nk lggggggg...cpt cikit
Akhirnya... sampai gak kat episod 10. Sis, x sabar nak tggu last episod maybe...atau sis kuarkan novel nya. Best... mza suka.
Alahai asyik bergaduh jer depa dua ni....huhuhu
Arshaa nak agi ler...cepat cepat2 sambung erk...
nak lagi achaaaaa
smbg ye
Post a Comment