Jun 10, 2014

Dambaan Bahagia_bab 10

DB 10

Fathiyah menarik nafas dalam-dalam. Punggung dilabuhkan di tepi tembok hadapan dewan kuliah. Ada lagi 5 minit sebelum waktu kelas bermula. Otak mula merangka-rangka apa yang harus diucapkan sebagai mukadimah sebelum kuiz bermula.

                Mata dihalakan ke arah buku rujukan yang turut diserahkan oleh Suhana tadi. Satu subjek yang sudah lama ditinggalkan. Kemudian dia menyelak pula fail jernih yang dibawa. Melihat pada ketebalan kertas bertaip itu, keluhan berat terlepas di bibirnya. Ada 80 orang pelajar ke semuanya. Tidak menyangka sebegitu ramai pelajar Suhana.

                Jika tidak disebabkan Suhana punya urusan kecemasan hari itu, dia tidak mungkin kini di hadapan sebuah dewan kuliah di Fakulti Pendidikan. Oleh sebab tidak sampai hati menolak permintaan bakal kakak iparnya itu, dia terpaksa melalui sesuatu yang baru di situ.

“Tiya.. Kali ni aje Tiya. Tiya nak jadi lecturer kan? Ni la masanya Tiya cuba. Tahu suasana mengajar macam mana. Cuma yang ni, takdalah Tiya mengajar. Just tengokkan dia orang jawab soalan aje.. Tolong kesiankan akak Tiya..”

Rayuan Suhana yang tidak mampu ditolak menyebabkan dia bersetuju untuk membantu.

           Pandangan dibuang ke arah pintu dewan yang bertutup. Melalui cermin di pintu itu, dia boleh melihat lebih separuh daripada pelajar sudah pun tiba yang kebanyakannya adalah pelajar perempuan. Kata Suhana, hanya 30 orang pelajar lelaki dan selebihnya adalah perempuan. Melihat keadaan itu, dia kian kecut perut. Nafas ditarik lagi dan kali ini lebih panjang sebelum dia bingkas. Sudah tiba masanya dia masuk ke dewan kuliah. Skirt hitam labuh mencecah buku lali diperbetulkan sedikit. Begitu juga dengan kemeja putih yang tersarung di tubuh. Ikatan rambut ekor kudanya diperkemas sebelum sekali lagi dia menarik nafas dan dihembus perlahan. Dengan lafaz bismillah, kaki diayun kemas ke pintu.

                Sebaik kaki menginjak sahaja lantai dewan kuliah yang berhawa dingin itu, suasana menjadi sunyi. Semua mata terhala ke arahnya yang terus melangkah ke meja utama yang mengandungi sebuah monitor dan juga pembesar suara.

                Fail jernih bersama buku rujukan dan beg kuliah yang setia bersamanya sejak tadi diletakkan penuh yakin di atas meja sebelum matanya dihalakan ke hadapan. Sekali imbas memandang ke semua pelajar yang duduk bertingkat-tingkat di hadapannya. Semua memberi perhatian kepadanya. Bismillah dilafazkan dalam hati.

                “Assalamulaikum.” ucapnya yakin.

                “Cik, pakai mike? Tak dengar.” Ada satu suara melaung dari belakang cukup jelas di pendengarannya membuatkan dia sedikit terkejut.

                “Cik, boleh pakai mike tu.” Seorang gadis bertudung biru muda yang duduk di tingkat paling bawah, berhadapan dengannya pula menegur.

                “Oh.. Okey. Thanks.” Senyum kecil dilemparkan. Kekalutan segera dikawal agar tidak kelihatan. Hampir terlupa akan penggunaan pembesar suara yang disediakan di situ. Terasa mahu diketuk kepalanya saat itu.

                “Assalamualaikum semua.” ucapnya bersama senyuman manis.

                Bergema dewan kuliah itu apabila salamnya dijawab.  Fathiyah menarik nafas lega walaupun hatinya tetap terasa gentar dengan semua bakal pendidik di hadapannya.

                “Saya Nur Fathiyah Abdul Rahman. Yang menggantikan Cik Suhana hari ni kerana dia emergency call tadi.”

                “Oh..” Bergema lagi ruang dewan itu dengan suara pelajar-pelajar di hadapannya.

                “So, untuk kelas hari ni, saya yang akan ganti. Dan kelas pada minggu hadapan, Cik Suhana akan ambil semula seperti biasa.” ucapnya lagi menjelaskan seperti mana yang dipesan oleh bakal kakak iparnya tadi.

                “Untuk hari ni, saya diberitahu, anda semua akan..” Kata-katanya terhenti apabila pintu dewan kuliah terbuka dan sekumpulan pelajar lelaki masuk.

                Ada pelajar yang memberi salam, ada yang melemparkan senyum kepadanya sebelum semua mengambil tempat masing-masing. Dan panorama itu sebenarnya sedikit pun tidak menghairankan kerana pelajar universiti sudah sebati dengan kehadiran lewat pada setiap kali kuliah. Melainkan jika ada pensyarah-pensyarah yang meletakkan peraturan yang agak ketat. Di mana, setiap pelajarnya dikehendaki tiba di kelas, lima minit awal dari waktu yang dijadualkan.

                “Okey. Boleh saya sambung?” Dia kembali bersuara sebaik kumpulan pelajar lelaki tadi sudah pun kembali tenang di tempat masing-masing.

                “Okey. Seperti mana yang dimaklumkan oleh Cik Suhana, hari ni dia nak buat kuiz. So, saya akan serahkan soalan yang sudah disediakan setiap seorang dan anda dikehendaki menjawab hingga kelas tamat. Siapa yang siap awal, boleh balik awal.” Terasa dia makin selesa. Berkurangan rasa gentarnya tadi. Fail jernih yang dibawa tadi dibuka dan diagihkan kertas bertaip tersebut melalui pelajar yang paling hadapan.

                “Anda dikehendaki menjawab semua soalan yang diberi.”

                “Cik Nur Fathiyah Abdul Rahman!” Ada suara yang memanggil menyebabkan dia tercari-cari Si Empunya suara.

                “Ya. Ada soalan ke?” Soalnya terkawal dan cuba setenang mungkin sebaik mengenal pasti pelajar yang memanggilnya tadi. Lelaki yang cukup dikenali. ‘Macam mana aku tak perasan dia ada dalam ni tadi.. Haihh..’ Hati mengeluh berat apabila wajah Shah menjamu ruang mata. Hampir terlupa dia kini di fakulti lelaki itu.

                Shah mengoyak senyum lebar bersama gelengan.

                Fathiyah ketap bibir menahan geram namun segera dikawal. Dia berdeham beberapa kali sebelum kembali menyambung bicara. Wajahnya serius. Tanpa sekali pun memandang wajah Shah lagi kerana risau lelaki itu membuat onar di luar jangkaannya.

                Selesai menerangkan arahan seperti mana yang dijelaskan oleh Suhana kepadanya, dia terus melabuhkan duduk di kerusi tersedia. Mata dihalakan ke arah sekitar dewan kuliah. Memerhati bakal-bakal pendidik di hadapannya itu menjawab soalan yang diberi sebelum akhir sekali terhenti ke wajah yang telah mengucar-ngacirkan hatinya sejak dahulu lagi.

                Satu saat, dua saat, tiga saat.. Gulp!

                Liur ditelan kesat. Bola mata segera dilarikan ke arah lain. Resah apabila renungan mereka bertemu.

                Shah pula sembunyi senyum sebelum ia mengendur apabila teringat akan hakikat diri. Sepasang matanya tidak lepas merenung  wajah yang serba tidak kena duduk di hadapan sana. Dalam diam dia berdoa agar Fathiyah dapat bertemu dengan seorang lelaki yang lebih baik dan mampu menjaga hati dan perasaan gadis itu lebih daripada apa yang pernah dilakukan dulu.
………………

Fathiyah sudah berdecit beberapa kali. Kesabarannya kian menipis apabila Shah seperti sengaja tidak mahu menghantar kertas soalan yang diberi tadi sedangkan dewan kuliah itu sudah pun kosong. Hanya tinggal mereka berdua di situ.

                Bersama rengusan, dia melangkah mendapatkan Shah. Kaki diatur deras memanjat tingkat tangga kerana lelaki itu duduk di tingkat paling atas. Namun entah macam mana, belum pun sempat sampai pada anak tangga yang terakhir, kakinya tersadung menyebabkan tubuh hilang imbangan.

                “Tiya!” Segera Shah bingkas mendapatkan gadis itu.

                “Kaulah punya pasal ni!” Marah Fathiyah sambil menepi tangan Shah yang cuba membantunya untuk bangun semula.

                “Apasal salah aku pulak?” balas Shah pelik.

                “Kalau kau tak lembap sangat jawab, aku tak payah naik atas ni!” hambur Fathiyah yang sebenarnya benar-benar marah dengan kecuaian diri sendiri. Selalu benar menunjukkan kecuaian diri di hadapan lelaki itu. Kakinya mula terasa berdenyut menyebabkan agak sukar dia berdiri semula walaupun sudah berpaut pada kerusi di sisinya.

                Shah terkedu. Agak terusik dengan kata-kata gadis yang sedang menyeringai sakit itu.

                “Ada aku suruh kau naik sini ke? Takda kan? Siapa yang suruh kau naik sini?” balasnya dengan suara yang tertahan.

                Fathiyah ketap bibir. “Yang siapa suruh kau jawab lembap sangat! Sepuluh soalan pun, susah sangat ke kau nak jawab! Kau tak nampak kelas ni dah kosong! Satu jam pun dah habis tahu tak?! Kau ingat aku takda kerja lain ke, nak kena tunggu kau sorang-sorang dekat sini!” hamburnya lagi meletakkan kesalahan di bahu lelaki itu pula.

                “Kau yang jatuh sendiri, aku yang salah?” Shah mula tahan hati.

                “Ialah!! Kau tu, lembap sangat jawab! Patutlah tak pernah lulus!”

                Shah ketap bibir. Darah panas terasa naik ke kepala. “Fine! Kau nak sangat kertas tu kan?!” Dia bingkas dari tepi tangga itu. Kertas yang baru sahaja disiapkan, dilemparkan ke wajah gadis itu kasar sebelum dia mencapai beg sandangnya dan terus berlalu. Rasa belas untuk membantu gadis itu terus sahaja memudar. Tanpa berpaling lagi, dia meninggalkan Fathiyah keseorangan di situ dengan perasaan yang cukup terluka.

                “Macam kau sorang ada hati kan!” rungutnya geram. Dia juga punya hargai diri, punya ego yang perlu dijaga. Hati benar-benar tergores dengan cemuhan gadis itu.

                Fathiyah terpempan. Hanya pandangan mata yang menghantar pemergian lelaki itu menyebabkan tidak semena-mena air matanya merembes. “Shah..” Baru tersedar yang dia sudah melukakan hati lelaki itu. Bertahun-tahun mereka bersama, belum pernah dia melihat wajah Shah setegang itu.

                Dewan kuliah yang sunyi, bertambah sunyi memandangkan jam sudah pun menginjak tujuh malam. Bayang Shah sudah pun hilang dari pandangan. Diseka air mata yang masih berlinangan. Sungguh, kini dia terasa menyesal dengan keceloparan mulutnya tadi. Dengan kaki yang terasa sakit, perlahan-lahan dia bingkas walaupun terasa payah. Cukup sakit hingga tidak tergambar. Sedar yang kakinya mungkin sudah terseliuh apabila melihat bahagian buku lali yang membengkak.

                Sesekali dia terpaksa mengemam kuat bibirnya apabila terpaksa menahan rasa sakit setiap kali kaki kanan yang sakit memijak anak tangga. Mujur sahaja ada kerusi di sepanjang tangga itu untuk dia berpaut walaupun sukar. Entah kenapa dia amat berharap kemunculan Shah kala itu. Menitis lagi air matanya bersama rasa bersalah yang mula mencengkam.

Sementara Shah yang sedia duduk di dalam kereta, menahan rasa. Langsung tidak berganjak dari tempat parkir walaupun dia boleh sahaja terus beredar dengan perasaan marah yang bersisa. Sememangnya perasaan risau akan keadaan Fathiyah tidak mampu disingkirkan sepenuhnya walaupun hatinya sedikit terluka. Hampir sahaja dia kembali mendapatkan gadis itu tadi kerana keadaan Fathiyah yang sakit. Namun, akalnya yang melarang dan sudahnya dia hanya mampu menanti di situ untuk memerhati gadis itu dari jauh memandangkan hari semakin gelap. Keadaan fakulti juga sudah lengang.

Sepuluh minit menanti baru bayang Fathiyah muncul dari sebalik bangunan dewan kuliah. Melihat betapa sukar gadis itu berjalan, hati dilambung resah. Sayang yang tidak mampu dibuang. Mana ada hati yang senang jika melihat si kekasih hati dalam keadaan sakit. Terhincut-hincut gadis itu berjalan sambil berpaut mengikut susur dinding kuliah sebelum perlahan-lahan menuju ke perhentian bas. Beberapa kali dilihat gadis itu berhenti menarik nafas. Sungguh panorama itu menggamit rasa bersalah kerana membiarkan gadis itu sendirian tadi.

Stereng kereta digenggam kejap demi menahan keinginan untuk membantu. Hati dan akal berperang sesama sendiri sebelum tanpa sedar dia terus memandu kereta keluar dari petak parkir dan menuju ke perhentian bas. Melihat keadaan gadis itu menahan sakit, semakin sakit luka di hati.

                Fathiyah yang sedang cuba mengurut kakinya sendiri sedikit tergamam apabila ada sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapannya. Wajah tegang Shah yang keluar dari kereta, dipandang sekilas sebelum wajah dilarikan ke arah yang lain kerana cuba menyembunyikan air hangat yang kembali sarat di tubir mata.

                “Masuk!” Shah bersuara tegas sebaik membuka pintu kereta di sebelah tempat pemandu.

                Fathiyah pura-pura tidak dengar. Tidak dihiraukan Shah yang sedang merenung tajam. Setelah apa yang berlaku tadi, dia tidak bersedia untuk bertemu dengan lelaki itu walaupun ada perasaan bersalah yang bermukim di hati.

                Shah merengus keras. Bibir diketap serapatnya sebelum dia mendapatkan Fathiyah yang masih duduk di perhentian bas. Punggung dilabuhkan di sisi gadis itu.

                “Kau nak aku angkat kau masuk dalam kereta ke?” ujarnya tertahan hanya buat pendengaran gadis itu apabila masih ada beberapa orang pelajar lagi yang turut menanti bas di situ.

                “Aku boleh balik sendiri.” jawab Fathiyah tidak bernada menyebabkan sekali lagi Shah ketap bibir menahan geram.

                “Kau memang cabar aku kan!” ucapnya seraya bingkas. Lengang Fathiyah dipegang kejap menyebabkan gadis itu terperanjat besar. Wajah dingin Shah dipandang dengan rasa tidak percaya apabila lelaki itu berani bertindak sedemikian.

                “Apa kau buat ni?” Soalnya tertahan.

                “Aku kata masuk, masuk ajelah! Yang kau degil sangat kenapa!” jawab Shah di tepi telinga gadis itu.

                Fathiyah menjeling tajam. Lengannya cuba ditarik, namun makin ditarik, makin kejap cengkaman lelaki itu menyebabkan lengannya pula yang terasa sakit. Mahu atau tidak, dia terpaksa menurut. Dengan kaki yang sakit dan bertongkatkan lengan lelaki itu, perlahan-lahan dia melangkah.

                Masuk sahaja ke dalam kereta, masing-masing membungkam. Tiada sepatah kata pun yang terluah.

                Shah tekun memandu ke destinasi yang dirasakan paling sesuai buat keadaan Fathiyah yang sedang menahan sakit.

Manakala Fathiyah pula terus menerus memencilkan diri. Lengan yang dicengkam kejap oleh lelaki itu tadi, diurut lembut kerana mula terasa sengal. Berharap tiada kesan yang kelihatan di sebalik kemeja lengan panjang yang dipakai. Keluhan kecil terlepas dari bibirnya apabila mengenangkan keadaan diri. Hati sudah lama sakit. Dan kini ditambah pula dengan kaki dan lengan.

……………………
Apasal kau bawak aku ke sini!” Fathiyah baru bersuara sebaik kereta yang dipandu masuk ke kawasan perumahan keluarga lelaki itu.

                Shah mengerling sekilas. Tiada hati mahu menjawab selain terus sahaja memandu keretanya dengan tenang.

                “Aku cakap dengan kaulah!” Bentak Fathiyah geram seraya menampar lengan lelaki itu sekuat hati apabila kata-katanya langsung tidak diendahkan.

                Shah tetap tidak beriak walaupun lengannya terasa sedikit pedih.  Hatinya lagi pedih apa yang berlaku di dewan kuliah tadi.

                Kereta yang dipandu sudah pun masuk ke perkarangan rumah. Enjin kereta dimatikan sebelum terus berlalu keluar mendapatkan pintu di sebelah Fathiyah.

                “Dah sampai. Kau boleh keluar!” ujarnya dingin seperti tadi.

                “Hantar aku balik!” Fathiyah berpeluk tubuh.

                “Kalau aku tak nak, kau nak buat apa?” Cabar Shah berani walaupun dia yakin Fathiyah berani melakukan apa sahaja jika dalam keadaan marah.

                Fathiyah ketap bibir serapatnya. Wajah Shah dijeling tajam. Hatinya panas dengan perasaan marah yang berbuku menggantikan rasa bersalah yang ditanggung. Dengan rasa sakit hati, dia berusaha keluar dari kereta walaupun terasa payah.

                Shah pula hanya tertegak di tepi pintu. Hanya melihat akan kepayahan Fathiyah untuk berjalan. Bukan dia tidak perasan akan keadaan kaki yang kian membengkak.

                “Apa tunggu lagi tu? Kau nak balik sendiri kan? Tu, gate terbuka luas. Pergilah balik!” Cabar Shah lagi apabila melihat Fathiyah sedikit teragak-agak pula untuk melangkah sebaik berhenti di bahagian belakang kereta.

                Fathiyah menoleh sekilas dengan air mata yang mula bergenang. Sungguh dia rasa sakit hati apabila menerima layanan dingin daripada lelaki itu. ‘Sampai hati kau buat aku macam ni Shah..’ rintihnya dalam hati.

                “Tiya! Shah! Kenapa tak masuk lagi tu? Dah maghrib ni. Tak elok lama-lama dekat luar!” Laung Hajah Aznah yang muncul di muka pintu menyebabkan kedua-duanya berpaling.

                Shah terus sahaja melangkah tanpa menghiraukan Fathiyah yang masih bersandar di tepi keretanya.

                “Umi..” Tangan uminya dicapai.

                “Kenapa tak cakap nak bawak Tiya balik hari ni?” Tanya Hajah Aznah sedikit pelik melihat kemunculan kedua-duanya.

                “Sorry umi. Tiba-tiba rasa nak bawak balik sini.” jawab Shah bersama sengihan sebelum dia terus meloloskan diri apabila Hajah Aznah cuba memukul lengannya.

                “Bertuah punya anak. Suka hati aje nak bawak balik anak dara orang!” Gerutu Hajah Aznah sebelum membuang pandang ke arah Fathiyah yang masih tidak bergerak-gerak dari tepi kereta.

                “Tiya..” Panggilnya sebelum menyarung selipar untuk mendapatkan gadis itu. Dan saat kaki tiba di hadapan Fathiyah, hati tuanya tersentuh apabila melihat gadis itu sudah berair mata.

                “Tiya..,” Digamit tubuh itu dalam pelukan dan kedengaran esakan halus di tepi telinganya.

                “Kenapa Tiya menangis ni? Jom kita masuk dulu. Nanti Tiya cerita dengan umi..” Dia cuba memujuk sebaik meleraikan pelukan. Ibu jarinya menyapu lembut wajah yang lembap itu.

                “Umi.., Tiya tak boleh jalan..” lirih Fathiyah memberitahu keadaannya yang sebenar menyebabkan wanita itu beristighfar panjang. Kemudian, terus sahaja tubuhnya dipapah untuk masuk ke dalam rumah.

                “Tiya duduk sini sekejap.” ujar Hajah Aznah sebaik membantu Fathiyah duduk di ruang tamu. Melihat keadaan kaki yang sudah, dia segera berlalu ke ruang dapur untuk mengambil ais. Itu sahaja yang mampu dilakukan buat sementara waktu bagi mengurangkan bengkak yang ada sebelum mengenal pasti keadaan sebenar kaki.

                “Tiya tuam dulu kaki Tiya tu untuk kurangkan bengkak. Umi naik atas solat sekejap. Nanti umi tengokkan.” kata Hajah Aznah lagi sebelum memanjat tangga. Resah hari melihat keadaan Fathiyah begitu. Hanya satu bayang sahaja yang bergayutan di ruang matanya kala itu, Shah!

                Fathiyah hanya diam. Namun dia tetap menurut apa yang diarahkan.

                Di tingkat atas, Hajah Aznah terus sahaja merempuh bilik anak bujangnya.

                Shah yang sedang mengikat tuala di pinggang dan bersedia ke bilik air, terkejut.

                “Ada apa umi?” Soalnya pelik apabila melihat wajah tegang uminya.

                “Ada apa, Shah tanya umi?” Hajah Aznah menampar lengan anak keduanya itu. Geram! “Yang dekat bawah, sakit tu kenapa? Menangis lagi. Apa yang Shah dah buat pada anak dara orang tu!” Marahnya tertahan.

                “Erk? Apa pulak Shah? Umi tanyalah dia sendiri. Dia yang cari penyakit. Bukan Syah.” jawab Shah selamba sebelum terus sahaja berlalu ke bilik air.

                Hajah Aznah ketap bibir kuat menahan geram. Melihat Fathiyah yang sakit itu sahaja dia yakin ada sesuatu yang telah berlaku di antara kedua-duanya.

4 comments:

kak na said...

nk lggggggg...cpt cikit

MzaMuhd said...

Akhirnya... sampai gak kat episod 10. Sis, x sabar nak tggu last episod maybe...atau sis kuarkan novel nya. Best... mza suka.

Unknown said...

Alahai asyik bergaduh jer depa dua ni....huhuhu
Arshaa nak agi ler...cepat cepat2 sambung erk...





MaY_LiN said...

nak lagi achaaaaa
smbg ye